MUTU PERKHIDMATAN DI MALAYSIA
Kita keluar sikit dari topik fotografi, kali ni mengenai mutu perkhidmatan di Malaysia.
Setelah membaca tulisan blog dari rakan saya, Fishie, saya tertarik untuk berikan komen berikut:
“Baru-baru ini, saya menghubungi ambulans kerana ada kecemasan. Ambulans ni lambat sampai sebab tersesat. (Ambulans pun boleh sesat???) Pihak hospital call kata ambulans tak jumpa rumah dan suruh sesiapa ‘jemput’ ambulans kat balai polis. Tak bolehkah pemandu ambulans ni diberi latihan untuk tahu semua jalan dalam kawasannya, bawak peta atau secara mudahnya, pakai navigator? Memanglah sangat lemah perkhidmatan di Malaysia. Bukanlah nak dibanggakan negara luar, tapi kita patut belajar dari mereka dan berusaha untuk memperbaiki.”
Fishie menulis mengenai pengalaman beliau di sebuah Hospital Kerajaan di Australia yang mengamalkan perkhidmatan cemerlang dimana bezanya dengan di Malaysia bagaikan langit dengan bumi. Sila baca penulisan yang sungguh menarik ini di – http://ilhamfishie.blogspot.com/2008/05/my-experience-hospital-in-melbourne.html
Ketika di Tokyo, saya rasa senang sebagai pelanggan. Setiap kali masuk ke mana-mana kedai, semua pekerja-pekerja akan menyapa kita dengan ucapan “Selamat Datang!” (dalam bahasa Jepun). Setiap pertanyaan akan dijawab dengan panjang lebar walaupun selalunya mereka tak berapa faham Bahasa Inggeris. Kita sebagai pelanggan yang bakal membelanjakan wang pasti akan rasa senang dengan keramahan sebegini.
Kalau di Malaysia, bila kita masuk ke kedai, biasanya pekerja akan buat tak kisah. Pekerja-pekerja sibuk bersembang sesama sendiri dan adakalanya akan gelak kuat-kuat sesama mereka. Bila bantuan diminta, mereka akan tarik muka masam dan cuba mengelak dari membantu. Langsung tak ada hormat kepada pelanggan. Bagi saya, pekerja kedai yang bersembang sesama sendiri di depan pelanggan mencerminkan sikap yang amat biadap.
Namun, tidak dinafikan ada juga segelintir kedai di Malaysia yang mempamerkan perkhidmatan pelanggan yang mesra. Apa pengajarannya? Kalau orang kita tak sedar akan kepentingan melayani pelanggan, kita takkan dapat maju dalam persaingan sengit perniagaan. Kepada anda yang memberikan khidmat kepada pelanggan (terutamanya dalam bidang fotografi), layanlah pelanggan anda bagai raja. Pelanggan yang dilayan dengan baik akan terdorong untuk membelanjakan wang yang lebih dari yang sepatutnya kepada anda.
Apa pendapat anda? Ada kisah yang anda nak kongsi di sini? Sila tuliskan di ruang komen di bawah…
Hasnuddin

