Jurufoto Event Bidan Terjun
Jurufoto Event Bidan Terjun
Oleh: Amir Ridhwan untuk fototeacher.com
Sudah menjadi tradisi di syarikat saya bekerja untuk mengadakan jamuan tahunan di awal pertengahan bulan Disember. Syarikat kami mempunyai kira-kira 300 orang pekerja di Kuala Lumpur yang mana merupakan ibu pejabat operasi kami di Asia Pasifik. Pada jamuan tahunan baru-baru ini, pengurus besar kami telah meminta agar saya mengambil beberapa keping gambar di majlis tersebut.
Seperti mana kebanyakan pengguna DSLR di Malaysia, saya adalah amatur yang menjadikan fotografi hanya sebagai hobi. Bahkan saya lebih menjurus kepada teknik makro dan nature photography. Sebagai amatur yang tidak mempunyai banyak pengalaman dalam fotografi majlis, saya umpama bidan terjun sahaja namun sudah tentu saya tidak mahu menghampakan pengurus besar saya.
Pertamanya saya pastikan saya merakam gambar wajib- gambar GM, pengarah syarikat dan VVIP yang lain. Majlis tersebut tiada langsung sesi “kata-kata aluan” yang membosankan jadi tak perlu ada gambar orang berucap. Terdapat beberapa persembahan oleh staff, cabutan betuah dan pemberian anugerah yang mana perlu dirakam. Seterusnya saya pergi dari meja ke meja untuk merakamkan gambar rakan sekerja dan selebihnya untuk candid. Foto sebegitu sudah cukup untuk menggambarkan kisah yang berlaku pada malam tersebut.
Tanpa pengalaman khusus dalam bidang ini, saya memilih untuk mengambil gambar yang “selamat” dengan kaedah yang mudah. Disebabkan siling ballroom tidak terlalu tinggi maka saya boleh menggunakan bounced flash dan fill-in guna kad. Apa yang penting ialah saya mahu latar belakang tidak terlalu gelap. Saya acapkali berinteraksi dengan rakan sekerja sejurus sebelum mengambil gambar mereka agar saya dapat merakam ekspresi yang terbaik. Mungkin kekurangan dari segi teknikal dapat ditampung dengan ekspresi subjek yang memuaskan. Dengan ini rakan sekerja saya sudah tentu akan ternanti-nanti untuk melihat hasil foto pada malam tersebut.
Oleh: Amir Ridhwan untuk fototeacher.com




Ya, yg penting baju yang glamour dan lip lap tu mau kasi nampak ok.
walaupun jadi bidan terjun, photo2 ko mmg smart bro red.. macro to event.. mantap