Tag Archives: rumah

Kelas Fotografi Sesi Personal

Program khas untuk anda yang sukar mencari masa untuk hadir ke kursus kami. Atau untuk anda yang sukakan privacy. Belajar secara one-to-one, dibimbing secara personal oleh jurulatih. Anda boleh pilih sendiri tarikh, masa, durasi, tempat dan subjek yang ingin anda pelajari.

Kelas boleh diadakan di rumah anda, diwaktu pejabat atau sebarang ciri yang anda tentukan sendiri. Anda juga boleh ajak rakan-rakan anda (maksima 3 orang) untuk sertai kelas ini dan anda mungkin boleh berkongsi bayaran yuran dengan mereka. Jika anda berminat, hubungi kami segera kerana kami mempunyai slot terhad untuk program ini.

Hubungi kami melalui e-mel: sales@fototeacher.com atau buat panggilan/SMS/WhatsApp di nombor: 012-3665641.

Untuk melihat biodata jurulatih, SILA KLIK DI SINI

Buat Duit dari Microstock (Bahagian 3/3)

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Sebelum membaca artikel ini, anda disarankan untuk membaca artikel Bahagian 1 dan Bahagian 2 terlebih dahulu.

Andaikan selepas 5 tahun, anda telah mempunyai 6,000 keping gambar di dalam microstock. Secara kasarnya, anda akan memperolehi pendapatan diantara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan. Jumlah ini nampak agak selesa terutamanya bagi anda yang melakukan kerja ini secara sambilan. Tetapi, setelah mengambil kira kos dan masa yang terlibat, adakah pendapatan ini berbaloi? Kita akan bincangkan selepas ini.

Satu lagi perkara penting yang perlu dinyatakan, pendapatan yang anda perolehi dari microstock seperti Shutterstock akan dikenakan cukai oleh kerajaan Amerika Syarikat sebanyak 30%. Sekiranya hasil jualan gambar anda ialah RM6,000 sebulan, anda perlu membayar cukai sebanyak RM1,800. Oleh itu, anda hanya akan menerima bayaran berjumlah RM4,200.00 sahaja setelah ditolak bayaran cukai.

Untuk memiliki 6,000 keping gambar di dalam microstock, anda perlu mendapatkan 25 keping gambar setiap minggu atau 100 keping gambar setiap bulan selama 5 tahun. Jumlah ini hanya sebagai cadangan sahaja. Anda boleh merakam lebih banyak gambar setiap minggu jika anda mahu. Jadi, untuk merakam 25 keping gambar yang berkualiti setiap minggu, agaknya berapa lamakah masa yang perlu anda luangkan? Berapakah agaknya ‘gaji’ anda sejam untuk kerja ini?

Berikut ini dinyatakan proses kerja yang terlibat dan anggaran masa yang diperlukan untuk mendapatkan 25 keping gambar seminggu:

Jumlah masa yang digunakan ialah – 15 jam untuk mendapatkan 25 keping gambar. Ini bermaksud, secara puratanya, anda memerlukan 36 minit untuk proses lengkap bagi penghasilan setiap keping gambar. Katakan setiap keping gambar akan memberikan anda pulangan RM1 setiap bulan selama 5 tahun (selepas 5 tahun, gambar ini mungkin sudah tidak laku lagi), jumlah pendapatan yang diperolehi dari setiap keping gambar ini adalah RM60.00 di sepanjang 5 tahun. Jadi, 36 minit untuk menghasilkan sekeping gambar yang memberikan pulangan RM60.00, bermaksud, gaji atau upah anda adalah sekitar RM100 sejam. Nampaknya, angka ini agak baik juga. Tetapi perlu diingat. Ini cuma anggaran kasar – pendapatan anda mungkin lebih tinggi atau mungkin juga kurang dari jumlah yang dinyatakan ini.

Untuk menjadi lebih produktif, bagi mendapatkan 25 keping gambar setiap minggu; rancang sesi fotografi anda supaya anda merakam gambar satu subjek sahaja, dengan satu tema. Buat berbagai variasi 'pose', komposisi, penggunaan 'props' yang berbeza, penggunaan pakaian yang berbeza dan sebagainya. Semuanya perlu berjalan lancar, dan setiap sesi perlu disiapkan dalam masa 5-6 jam penggambaran sahaja.

Ada bermacam jenis teori dan formula untuk meramal pendapatan dari microstock ini. Tetapi, tidak ada siapa yang akan tahu, berapa jumlah wang sebenarnya yang akan anda perolehi, melainkan anda perlu cuba sendiri!

Contoh di atas hanya menunjukkan jumlah masa kerja yang terlibat untuk penghasilan gambar. Ini belum termasuk kos wang ringgit yang perlu anda belanjakan untuk sesi rakaman gambar. Kos yang dimaksudkan ialah seperti kos membeli props, bayaran kepada model, sewa studio, pengangkutan dan sebagainya. Tetapi, biasanya, jurufoto microstock akan mengelak dari mengeluarkan sebarang kos atau mereka akan cuba untuk bekerja dengan kos yang paling minima. Jadi terpulanglah kepada kepandaian anda untuk mengawal kos yang mungkin terlibat.

Shutterstock merupakan salah satu agensi microstock yang terbesar ketika ini.

SILA KLIK DI SINI UNTUK MENDAFTAR DAN MENJUAL GAMBAR ANDA DI MICROSTOCK

15 tahun dahulu, tidak ramai jurufoto yang menceburi bidang microstock. Pada waktu itu, pendapatan dari microstock boleh dikatakan jauh lebih lumayan dari apa yang ditawarkan oleh bidang microstock sekarang ini. Persaingan kini semakin sengit, sudah ada terlalu ramai jurufoto dan sudah ada terlalu banyak gambar di dalam bidang microstock. Pada masa ini, agak sukar untuk memperolehi pendapatan yang baik dari bidang microstock. Memang inilah kenyataan yang selalu disebutkan oleh jurufoto-jurufoto yang telah lama berpengalaman di dalam bidang ini.

Walaupun begitu, bidang microstock masih tetap menjanjikan keuntungan walaupun tidak semewah dahulu. Jurufoto sekarang perlu lebih kreatif, lebih bijak dan perlu bekerja lebih keras untuk berjaya di dalam bidang ini. Untuk berjaya, jurufoto perlu membuat pengkhususan di dalam merakam gambar subjek-sebjek tertentu yang belum pernah atau jarang dirakam oleh jurufoto lain, asalkan ada permintaan terhadap gambar sebegitu. Mungkin, seseorang jurufoto itu perlu menggunakan teknik-teknik terbaru serta mencipta gaya fotografinya yang tersendiri bagi membolehkannya bersaing di dalam bidang ini.

Gambar ini mungkin nampak sudah cukup baik, tetapi, ianya telah ditolak (reject) oleh pihak microstock kerana tidak menepati tahap kualiti teknikal yang dikehendaki. Dari sini, kita akan belajar dan terus memperbaiki kualiti gambar yang kita rakam.

Tidak ada apa yang mudah. Tetapi peluangnya tetap ada. Belum cuba, belum tahu. Mungkin, sebagai permulaan, tidak perlulah fikirkan sangat mengenai keuntungan besar dan segera. Usaha ini memerlukan masa yang lama. Untuk langkah awal ini, elok juga jika seseorang itu menganggap microstock hanya sebagai platform untuk berlatih dan memantapkan kemahiran fotografi dan dalam masa yang sama, seseorang itu boleh mendapatkan sedikit wang hasil untuk menampung kegiatan fotografinya.

Microstock sesuai dilakukan secara sambilan disamping anda bekerja dalam bidang lain yang lebih menguntungkan buat masa ini. Anda boleh cuba microstock selama beberapa bulan atau beberapa tahun dan lihat dulu hasilnya. Jika dirasakan tidak berbaloi, anda boleh berhenti saja. Sekurang-kurangnya anda telah mencuba, bukan sekadar mendengar cakap-cakap orang lain.

Apa yang pasti, apabila anda menceburi bidang microstock, anda akan banyak belajar perkara baru mengenai fotografi terutamanya dari aspek komersial. Dari masa ke semasa, gambar anda akan ditolak (reject) oleh agensi microstock kerana tidak mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Dari sini anda akan belajar dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan. Setelah beberapa lama, kemahiran anda akan menjadi semakin mantap. Gambar yang anda hasilkan juga akan menjadi lebih berkualiti dan semakin laris dijual. Pada tahap ini, mungkin wang yang lumayan sudah mula masuk dengan lancar ke akaun anda pada setiap bulan.

Daftarkan diri anda dengan agensi microstock sekarang!

Beli buku berkenaan microstock dari Amazon.com

Buat Duit dari Microstock (Bahagian 2/3)

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Sebelum membaca artikel di bawah, anda disarankan untuk membaca Bahagian 1 artikel ini terlebih dahulu. SILA KLIK DI SINI.

Microstock memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjana pendapatan melalui penjualan foto di internet. Persoalannya, berapa banyakkan pendapatan yang boleh diperolehi? Adakah ianya cukup lumayan dan berbaloi untuk mengusahakannya?

Tiada jawapan tepat untuk persoalan ini. Semuanya bergantung kepada kemahiran dan kesungguhan seseorang individu itu sendiri. Yuri Arcurs, seorang jurufoto yang terkenal di dalam arena microstock, dikatakan memperolehi pendapatan sebanyak RM10 juta setahun hasil dari jualan gambar di microstock. Untuk situasi di Malaysia pula, dikhabarkan, ada jurufoto tempatan yang memperolehi pendapatan yang stabil sebanyak RM24,000 setahun hasil jualan foto di microstock. Mungkin ada juga jurufoto di Malaysia yang mendapat pendapatan yang lebih dari yang dinyatakan. Kita tidak tahu angka sebenar, kerana jurufoto jarang ingin berkongsi berapakah pendapatan beliau hasil dari microstock. Samalah seperti kita tidak mahu mendedahkan kepada orang lain, berapakah gaji kita sebulan.

Ini adalah di antara gambar saya yang agak laris dijual di microstock. Gambar yang diminati biasanya adalah gambar yang 'simple', 'straightforward', jelas dan terang.

Berapakah bayaran yang kita akan dapat hasil dari jualan sekeping gambar di microstock? Jumlah bayaran atau komisen yang diterima untuk sekeping gambar yang dijual adalah berbeza-beza diantara setiap agensi atau syarikat microstock. Ada agensi yang membayar mahal, ada agensi yang membayar dengan harga yang murah. Contohnya, syarikat Shutterstock membayar komisen (minima) sebanyak 25 sen (dalam matawang US Dollar, ini bersamaan dengan kira-kira 75 sen di dalam Ringgit Malaysia) untuk setiap foto yang berjaya dijual. Shutterstock membayar komisen dalam jumlah yang sangat kecil, tetapi, melalui Shutterstock, gambar anda akan dijual dengan lebih kerap. Ini bermakna, dalam jangka masa panjang, anda tetap akan mendapat bayaran yang tinggi, asalkan anda mempunyai banyak gambar yang boleh dijual dengan berulang kali.

Melihat kepada angka 25 sen ini, ramai jurufoto profesional merungut mengatakan harga yang dibayar tidak munasabah dan ianya menjejaskan nilai perkhidmatan seseorang jurufoto. Harga 25 sen ini juga membuatkan ramai orang yang tidak nampak jalan bagaimana boleh mendapat untung dari microstock ini. Hanya ada satu penyelesaian disini – anda mesti mempunyai gambar yang banyak untuk dijual bagi memperolehi pendapatan yang selesa. Banyak yang dimaksudkan di sini ialah mungkin sekitar 5,000 keping gambar!

Anda mungkin terkejut mendengar. Tetapi, anda tidak perlu risau, semua orang bermula dari kosong. Anda boleh merakam dan mengumpul gambar sedikit demi sedikit. Mungkin anda boleh mulakan dengan 10 keping gambar dahulu. Setelah beberapa ketika, mungkin anda boleh jadi lebih produktif dengan merakam 25 gambar setiap minggu. Ini bermakna, anda akan mendapat 100 gambar sebulan. Jika anda berusaha dengan konsisten, selepas 5 tahun, anda akan mendapat 6,000 keping gambar dalam koleksi anda di microstock! Jadi, setelah anda mempunyai 6,000 keping gambar, berapakah pendapatan yang boleh anda perolehi setiap bulan?

Bukan semua gambar boleh diterima untuk dijual di microstock. Gambar seperti ini tidak boleh dijual di microstock kerana isu hakcipta lukisan peta yang dipaparkan di dalam gambar.

Semakin banyak gambar yang anda miliki, tentulah semakin tinggi peluang anda untuk menjana pendapatan. Sebagai kiraan kasar, setiap keping gambar yang anda miliki akan menjana RM1 untuk anda pada setiap bulan. Ini bermakna, jika anda mempunyai 6,000 keping gambar yang berkualiti di microstock, anda akan memperolehi pendapatan sebanyak RM6,000 setiap bulan!

Kiraan di atas hanyalah kiraan kasar dan bergantung kepada kualiti gambar yang anda miliki. Contohnya, jika seseorang itu mempunyai 6,000 keping gambar, tetapi gambarnya tidak berkualiti dan kurang mempunyai nilai komersial, mungkin dia hanya boleh mendapat RM3,000 sahaja setiap bulan hasil dari jualan gambarnya. Kesimpulannya, jumlah pendapatan seseorang itu bukan sahaja bergantung kepada berapa banyak jumlah gambar yang dia miliki, tetapi juga amat bergantung kepada berapa lariskah gambar beliau dijual. Ini memerlukan perancangan, kajian, strategi, kemahiran dan kerja keras.

Sekarang anda sudah mendapat sedikit gambaran tentang pendapatan yang boleh anda perolehi dari microstock. Persoalannya, berapa banyak masakah yang perlu anda luangkan untuk memperolehi pendapatan sebanyak RM6,000 sebulan? Apakah proses-proses lain yang terlibat selain dari merakam gambar? Adakah semua ini berbaloi? Apakah cara yang lebih cepat dan mudah untuk berjaya dalam bidang ini? Tunggu sambungan artikel ini tidak lama lagi. InsyaAllah saya akan jelaskan persoalan di atas di dalam artikel seterusnya. Untuk tidak terlepas membaca sambungan artikel ini, SILA KLIK DI SINI

Daftarkan diri anda dengan agensi microstock sekarang!

Beli buku berkenaan microstock dari Amazon.com

TIPS DAN PANDUAN FOTOGRAFI PERCUMA – SILA KLIK DI SINI

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Buat Duit dari Microstock (Bahagian 1/3)

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Salah satu cara untuk buat duit dari fotografi ialah dengan menjual gambar anda melalui microstock agency. Jurufoto akan dibayar sejumlah komisen dari setiap keping gambar yang dijual. Gambar-gambar ini biasanya ialah gambar-gambar yang mempunyai nilai komersial bagi digunakan di laman web, buku, majalah, poster, billboard dan sebagainya.

Salah satu contoh foto yang dijual di microstock. Walaupun foto ini nampak ringkas, ianya mempunyai mesej yang jelas; sesuai digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan dengan jualan murah, membeli belah, pasaraya, ekonomi dan sebagainya.

Microstock agency adalah sebuah agensi yang bertindak memasarkan dan ‘menjual’ gambar-gambar jurufoto yang berdaftar dengan mereka. Pelanggan yang ‘membeli’ gambar dari microstock agency biasanya terdiri dari individu yang terlibat di dalam bidang pengiklanan, penerbitan dan sebagainya. Golongan ini ‘membeli’ foto dari microstock agency kerana harga foto yang dijual adalah jauh lebih rendah berbanding jika mereka mengupah jurufoto untuk merakam gambar yang tertentu.

Sebagai contoh dan perbandingan, untuk ‘membeli’ sekeping gambar dari microstock agency, pelanggan cuma perlu membayar RM3 sekeping (bergantung kepada beberapa faktor). Tetapi sekiranya seseorang pelanggan ingin mengupah jurufoto bagi tugasan tertentu, seseorang pelanggan mungkin perlu membayar sehingga RM300 hanya untuk mendapat sekeping gambar. Oleh sebab itulah, ramai pengguna lebih cenderung untuk membeli gambar dari microstock agency kerana harganya yang jauh lebih murah. Lagi satu sebab mengapa pelanggan membeli dari microstock agency ialah kerana, foto yang diingini boleh didapati (dimuat turun) serta merta jika foto tersebut telah sedia ada di dalam koleksi microstock agency. Sebaliknya, jika pelanggan ingin merakam sendiri gambar tersebut, proses ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau minggu dari proses mencari jurufoto, menyelaraskan keperluan rakaman, kerja post production dan sebagainya.

Tetapi, apabila membeli dari microstock agency, pelanggan terpaksa memilih dan berpuas hati dengan apa-apa sahaja gambar yang bersesuaian dengan apa yang dicari. Tidak semestinya mereka akan mendapat apa yang mereka kehendaki dengan tepat dan sempurna. Satu kelemahan lagi ialah, foto yang dibeli itu boleh dibeli juga oleh pihak lain (kecuali dengan status exclusive rights). Ini bermakna, foto yang digunakan itu tidak menjadi unik kerana foto yang sama mungkin digunakan oleh pihak lain untuk tujuan lain.

2 syarikat yang berbeza dan merupakan pesaing dalam industri, iaitu Dell dan Gateway dengan tidak sengaja telah menggunakan foto dari microstock yang memaparkan model yang sama di lokasi yang sama.

Foto dari asmp.org

Sesebuah microstock agency mempunyai koleksi foto yang amat banyak, mencakupi segala subjek untuk berbagai tujuan kegunaan. Ada microstock agency yang memiliki sehingga 20 juta foto, ilustrasi, vektor dan video! Bidang microstock adalah satu industri yang besar. Terdapat berpuluh syarikat microstock agency di seluruh dunia. Ada syarikat yang besar dan ada juga syarikat yang kecil yang mengkhusus kepada subjek atau negara tertentu sahaja. Antara syarikat microstock yang terkenal adalah Shutterstock, iStockphoto, Dreamstime, Fotolia dan 123RF.

Selain dari microstock, ada satu lagi bidang yang hampir sama iaitu macrostock atau turut dikenali dengan nama traditional photo stock. Beza utama diantara keduanya ialah, microstock menjual foto dengan harga yang amat rendah, tetapi, jumlah jualan gambar adalah banyak. Sekeping gambar boleh ‘dijual’ di seluruh dunia kepada ramai orang dan boleh ‘dijual’ berulang-ulang kali selama beberapa tahun, selagi ada permintaan terhadap gambar tersebut. Sementara itu, macrostock pula menjual gambar dengan harga yang lebih mahal dan lebih bersifat eksklusif. Koleksi foto yang ditawarkan oleh macrostock juga adalah lebih berkualiti tinggi. Antara syarikat macrostock yang terkenal adalah Getty Images, Corbis dan Alamy.

Gambar seperti di atas banyak terdapat di dalam microstock. Walaupun nampak tidak ada apa-apa yang menarik dari segi seninya, namum, foto ini amat berguna dan sangat dikehendaki oleh pelanggan tertentu untuk berbagai kegunaan.

Disebabkan menjual gambar dengan harga yang terlalu rendah, syarikat microstock pernah dikritik dan dilabel sebagai perosak kerjaya fotografi dimana karya seseorang jurufoto sudah menjadi seakan tidak bernilai. Namun, dalam masa yang sama, ada ramai juga jurufoto yang dapat menyara hidup hanya dengan merakam gambar untuk microstock secara sepenuh masa. Malah, ada jurufoto yang berjaya menjana pendapatan jutaan ringgit setiap tahun hasil dari jualan gambar melalui microstock.

Jadi, apakah sebenarnya kemahiran yang perlu dimiliki oleh seseorang itu untuk menjual gambar di microstock? Bagaimanakah cara mudah untuk memohon dan diterima sebagai jurufoto yang berdaftar dengan microstock? Berapakah sebenarnya pendapatan yang boleh diperolehi hasil dari menjual gambar di microstock? Adakah berbaloi meluangkan masa, bersusah payah dan ‘melabur’ wang di dalam bidang microstock ini? InsyaAllah, kesemua persoalan ini akan cuba saya jawab di dalam bahagian kedua artikel ini.

Saya akan maklumkan kepada anda sebaik sahaja sambungan artikel ini disiarkan di blog ini nanti, SILA KLIK DI SINI.

Daftarkan diri anda dengan agensi microstock sekarang!

Beli buku berkenaan microstock dari Amazon.com

Teknik Unik Merakam Foto Architecture

Tonton video ini untuk melihat tutorial cara merakam foto architecture secara multiple exposure dimana setiap dedahan dirakam menggunakan pencahayaan yang berlainan. Hasil kesemua foto ini digabungkan di dalam Adobe Photoshop untuk sentuhan akhir.