Tag Archives: perkahwinan

Pertandingan Fotografi Perkahwinan Anjuran MWPPM

Sertai Photo Contest MWPPM bulan April ini. 12 juara bulanan akan berentap merebut gelaran ‘Photographer of The Year MWPPM’ !

Terjemahkan ‘happiness’ atau ‘kebahagiaan’ dalam cara yang paling kreatif melalui foto anda dan menangi hadiah tajaan MWPPMserta sijil penghargaan. Pemenang pada setiap bulan ( 12 pemenang bulanan ) akan berpeluang bertanding merebut gelaran ‘Photographer of The Year’ MWPPM pada bulan Mac 2015.

Contest submission: 1 April – 23 April 2014

Emelkan maksima 2 gambar ke: contest@mwppmalaysia.org

Sertakan info anda:
Nama penuh :
Alamat lengkap :
No keahlian MWPPM :
No telefon :
Facebook :

Keputusan contest: 29/30 April 2014

Terma & Syarat:

1. Pertandingan dibuka untuk para ahli MWPPM sahaja.
2. Penyertaan adalah terhad kepada 2 foto bagi setiap ahli dan hendaklah dihantar ke emel yang telah ditetapkan. Saiz tidak boleh melebihi 1MB bagi setiap foto.
3. Foto yang dihantar mestilah karya asli jurugambar tersebut dan bukan hasil karya orang lain.
4. Efek khas / manipulasi gambar sekiranya ada hendaklah pada kadar yang minima.
5. Keputusan panel juri adalah muktamad.

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA LAYARI FB PAGE RASMI MWPPM DI SINI

Blog Arkib – Jurufoto Sambilan

Jurufoto Sambilan
Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk ” Jurufoto Sambilan”– 21 Oktober 2011)

Penghasilan karya foto adalah satu bentuk produk niaga untuk seorang usahawan fotografi.

Bagi peminat fotografi baru (beginners), salah satu cara yang paling mudah untuk menjana pendapatan adalah melalui fotografi perkahwinan. Bagi golongan yang mempunyai pendapatan tetap, bisnes fotografi perkahwinan dilakukan secara sambilan. Apabila dilakukan secara sambilan, ada segelintir jurufoto sambilan yang kurang bersungguh-sungguh dalam kerja fotografi perkahwinan. Tanpa minat dan kesungguhan, seseorang itu tidak boleh maju dalam bidang ini.

Tanpa ilmu dan bimbingan yang betul, ada masanya seseorang itu akan terperangkap dalam beberapa masalah. Adakalanya ini akan membuatkan seseorang itu berputus asa lalu meninggalkan terus bidang ini. Selain dari itu, ada juga golongan yang terlibat dalam fotografi perkahwinan dalam satu tempoh masa yang lama, tetapi malangnya mereka tidak memperolehi hasil yang setimpal walaupun telah mengorbankan banyak wang dan masa mereka.

Sebenarnya, jika pekerjaan ini dilakukan dengan cara yang betul, ianya boleh memberikan pendapatan yang lumayan. Sudah terbukti, ramai jurufoto perkahwinan di luar sana yang telah berjaya.

Bidang fotografi perkahwinan nampak mudah pada awalnya. Tetapi, sebenarnya, ia tidak semudah yang disangka. Memang betul, sesiapa sahaja boleh merakam foto perkahwinan, tetapi untuk merakam foto perkahwinan yang berkualiti tinggi, memerlukan ilmu, kemahiran, pengalaman dan usaha yang bersungguh-sungguh. Adalah lebih sukar lagi untuk menjana keuntungan dari fotografi perkahwinan. Seseorang itu perlu ada ilmu perniagaan selain dari ilmu fotografi. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, ilmu perniagaan adalah lebih penting dari ilmu fotografi sekiranya seseorang itu ingin berjaya dalam fotografi perkahwinan.

Ramai jurufoto sambilan menyangka mereka mendapat untung setiap kali mendapat pelanggan. Tetapi, hakikatnya mereka selalu rugi, terutamanya dalam jangka masa panjang. Memanglah setiap kali kerja dilakukan, mereka akan mendapat sedikit wang untung bersih, tetapi, mereka tidak sedar bahawa mereka telah rugi satu perkara yang lebih bernilai, iaitu – masa. Untung bersih yang diperolehi tidak setimpal dengan masa yang telah dikorbankan jika bisnes ini dilakukan dengan cara yang salah.

Antara kesilapan lain yang selalu dilakukan oleh jurufoto perkahwinan yang melakukan kerja secara sambilan ialah:

1)    Menganggap fotografi perkahwinan adalah sebahagian dari hobinya dalam fotografi. Disebabkan itu, mereka tidak begitu kisah dengan jumlah bayaran yang diterima. Mereka tidak faham maksud hobi. Hobi ialah melakukan sesuatu untuk kepuasan diri sendiri, tetapi fotografi perkahwinan bukan satu hobi kerana kita perlu merakam gambar untuk kepuasan pelanggan.

2)    Membelanjakan wang dengan cara yang salah untuk membeli kamera, lensa dan lain-lain peralatan fotografi yang sebenarnya tidak diperlukan. Mereka menyangka, peralatan yang mahal boleh memajukan perniagaan mereka, tetapi sebenarnya itu tidak benar. Kesilapan pengurusan kewangan ini boleh mengundang masalah lain yang lebih besar. Mereka sepatutnya turut memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan pemasaran, modal pusingan dan lain-lain.

3)    Tidak mengetahui dan tidak mahir teknik yang betul dalam merakam foto perkahwinan. Bidang fotografi adalah bidang yang luas dan setiap bidang pengkhususan dalam fotografi itu mempunyai teknik-tekniknya yang tersendiri. Teknik yang digunakan untuk merakam foto sebagai hobi misalnya, adalah berlainan dengan teknik merakam foto perkahwinan. Biasanya, teknik dalam fotografi perkahwinan mementingkan teknik yang ringkas, cepat tetapi berkesan. Di dalam fotografi perkahwinan juga, imej yang dihasilkan mestilah mempunyai tahap kesenian yang tertentu disamping ianya juga perlu menambat hati pelanggan.

4)    Mudah terikut dan meniru gaya foto yang dihasilkan oleh jurufoto lain. Disebabkan meniru, hasil karya mereka tidak mempunyai keaslian atau identiti sendiri. Dengan cara mengikut tanpa faham konsep dan tanpa ada kemahiran mengenainya, hasilnya juga tidak begitu menjadi. Untuk bersaing, seseorang jurufoto itu perlu mempunyai karya yang unik agar dia boleh ‘dilihat’ dan dihargai oleh bakal pelanggan.

5)    Tidak mahir dalam bidang pemasaran. Walau sebagus mana pun karya seseorang itu, tanpa pemasaran yang betul, karya itu tidak dapat menjana pendapatan untuknya. Jurufoto sambilan biasanya tidak sanggup untuk membelanjakan wang untuk pemasaran (tetapi sanggup membeli kamera mahal) Mereka tidak faham bahawa, wang yang dikeluarkan untuk menjalankan pemasaran yang berkesan adalah satu pelaburan, bukannya satu pembaziran. Bukankah bijak jika terpaksa membelanjakan RM10,000 untuk pemasaran jika kita akan mendapat untung RM50,000 darinya?

Tetapi, semua ini adalah normal – dalam proses belajar, kita memang akan sentiasa membuat kesilapan. Apa yang penting ialah kita belajar dari kesilapan. Makin besar kesilapan yang dibuat, makin besar pengajaran yang akan didapati. Tetapi, orang yang lebih bijak ialah orang yang belajar dari kesilapan orang lain. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya jurufoto sambilan yang masih baru di dalam bidang ini menambahkan usaha untuk mencari ilmu dan belajar dari jurufoto lain yang lebih berpengalaman.

Selain dari penguasaan berbagai teknik fotografi, apa yang lebih penting lagi, seseorang jurufoto itu mestilah sanggup bekerja keras untuk mencapai kejayaan

Akan sampai masanya nanti apabila seseorang itu telah lama dalam bidang ini, dia akan tiba di satu titik untuk membuat keputusan – berhenti kerja tetap dan lakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa! Untuk pergi lebih jauh, semua orang akan melalui peringkat ini. Peringkat yang lebih sukar, lebih mencabar dan lebih berisiko. Tetapi, pulangannya berbaloi jika kita berjaya.

Jika dilakukan dengan cara yang betul, setelah beberapa tahun melakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa, seseorang itu akan pergi ke langkah seterusnya, iaitu mempunyai pejabat yang khusus untuk perniagaannya. Bukan lagi beroperasi dari rumah. Disebabkan tugasan yang banyak, pada peringkat ini juga, jurufoto akan mula mempunyai pekerja yang akan membantu dalam beberapa urusan. Pada peringkat ini juga, jurufoto tadi bukan sahaja sibuk merakam foto, tetapi dia juga akan sibuk dalam menguruskan bermacam-macam hal berkaitan perniagaannya. Mungkin selepas beberapa ketika, dia akan membuka satu lagi perniagaan baru, menambah bilangan pekerja atau berpindah ke pejabat yang lebih besar. Ini menandakan bahawa seseorang jurufoto itu telah berjaya di dalam bidangnya, walau pada awalnya dia hanya bermula dari seorang jurufoto sambilan.

SERTAI KURSUS FOTOGRAFI PERKAHWINAN OLEH HASNUDDIN ABU SAMAH. SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT

Report – Kursus Fotografi Perkahwinan

Gambar peserta Kursus Fotografi Perkahwinan yang telah diadakan pada 18 Mei 2013. Kepada peserta yang ingin mendapatkan foto ini di dalam saiz besar, sila ke: http://www.fototeacher.com/GroupPhotoKFP18Mei2013Large.jpg

Kepada anda yang ingin menyertai kursus seperti ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di – http://www.fototeacher.com

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 (waktu pejabat) E-mel: sales@fototeacher.com atau sila layari laman web kami – http://www.fototeacher.com

Rahsia Perniagaan dan Tips Penting dalam Kursus Fotografi Perkahwinan

Kursus Fotografi Perkahwinan akan diadakan pada 18 Mei 2013 di Pusat Latihan FOTOTEACHER.COM di Cheras.

 

Kepada anda yang berminat untuk mendalami pengetahuan mengenai bidang ini, silalah hadir ke program yang sungguh padat dan penuh dengan informasi ini. Banyak rahsia perniagaan dan tips penting yang akan didedahkan kepada anda bagi mempersiapkan anda untuk menjadi seorang jurufoto perkahwinan yang profesional.

 

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI

Tarikh Kursus-Kursus Fotografi yang Akan Datang

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, SILA KLIK DI SINI

Fotografi dan Wang

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Buat duit dari fotografi bukan kerja senang. Tiada siapa akan berikan kita duit dengan mudah, kecuali jika kita memang benar-benar layak dan terbukti bagus. Ramai peminat fotografi berhasrat untuk menjana wang dari bidang fotografi kerana dikatakan – menjana wang dengan melakukan perkara yang kita minati adalah sungguh menyeronokkan. Kenyataan ini nampak sungguh menarik; semua orang pasti sukakannya. Tetapi malang sekali, kenyataan ini telah mengelirukan dan memperdayakan ramai orang, lalu ramailah yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Jadi, apakah realitinya?

Studio fotografi milik Ikram Ismail ini boleh disewa oleh peminat fotografi. Untuk memiliki studio seperti ini bukan sahaja memerlukan belanja awal (setup) yang tinggi untuk pembelian peralatan, tetapi ia juga menuntut kos bayaran sewa dan penyelenggaraan secara bulanan. Jika anda mengimpikan untuk memiliki studio sendiri, eloklah pastikan dahulu bahawa anda berupaya memperolehi pendapatan yang stabil (foto oleh Ikram Ismail)

Tidak dinafikan, ada segelintir jurufoto yang memperolehi pendapatan lumayan disamping mengecap kepuasan dengan melakukan kerja yang diminatinya. Sekadar sebagai contoh, mungkin ada jurufoto yang amat meminati fotografi hidupan liar dan telah berjaya menampung hidupnya melalui bidang yang dicintainya ini. Mari kita namakan jurufoto ini dengan nama Sulaiman. Hidup Sulaiman kelihatan indah dan menjadi idaman ramai orang. Sulaiman tidak perlu menempuh kesesakan lalu lintas untuk pergi ke pejabat setiap hari; sebaliknya, Sulaiman selalu melakukan tugasan di tempat-tempat eksotik yang hanya mampu dimimpikan oleh kebanyakan orang lain. Tugasan sebagai jurufoto hidupan liar juga memberi peluang kepada Sulaiman untuk menyaksikan sendiri berbagai keajaiban hidupan liar di habitat mereka, dimana perkara ini hanya dapat disaksikan oleh orang lain melalui kaca televisyen atau menerusi gambar semata-mata. Sulaiman juga mempunyai kamera, lensa dan peralatan fotografi yang hebat-hebat belaka; sesuai dengan dirinya sebagai seorang jurufoto bertaraf profesional. Karya foto Sulaiman juga seringkali terpampang di dalam majalah, di dalam buku dan kerap juga dipamerkan di pameran-pameran fotografi yang berprestij. Dengan semua ini, Sulaiman juga memperolehi pendapatan yang lumayan dari kerjayanya (sekurang-kurangnya inilah apa yang disangkakan) Apa yang lebih menarik ialah, Sulaiman menjalani hidupnya dengan melakukan kerja yang amat diminatinya dan dibayar untuk melakukannya!

Gaya hidup dan kerjaya seperti Sulaiman memang menjadi idaman ramai orang, terutamanya bagi jurufoto yang meminati fotografi hidupan liar. Tetapi, disebalik semua keindahan kerjaya yang kelihatan ideal ini, tidak ramai yang tahu realitinya. Memang telah menjadi lumrah; kita sering diceritakan mengenai perkara yang baik dan positif sahaja. Tujuannya adalah baik – agar kita mendapat inspirasi dan motivasi untuk turut berjaya seperti Sulaiman. Tetapi, tanpa mengetahui realiti di sebalik kehidupan Sulaiman, peminat fotografi yang baru berjinak-jinak di dalam bidang ini akan tenggelam dalam mimpi.

Apa yang digambarkan mengenai gaya hidup Sulaiman mungkin benar atau mungkin hanya separuh benar. Apakah agaknya kenyataan yang mungkin tidak benar itu? Benarkah Sulaiman memperolehi pendapatan lumayan hasil dari menjadi jurufoto hidupan liar? Mungkin ianya benar. Tetapi, siapa tahu, mungkin juga sebenarnya Sulaiman mempunyai sumber pendapatan lain seperti pendapatan dari belian saham atau seumpamanya. Atau mungkin juga Sulaiman sebenarnya adalah anak kepada seorang tauke balak yang kaya raya! Sulaiman tentu tidak akan mendedahkan kepada kita bahawa beliau sebenarnya dibiayai oleh bapanya. Bagaimana pula dengan kamera mahal dan lensa-lensa besar yang dimiliki oleh Sulaiman? Mungkin beliau sememangnya memiliki peralatan tersebut hasil dari kerja fotografinya. Tetapi, mungkin juga sebenarnya peralatan tersebut adalah peralatan terpakai yang dibeli dengan harga murah. Atau mungkin juga peralatan tersebut dipinjam dari seorang rakan baiknya. Tidak kiralah apa pun, samada Sulaiman anak tauke balak atau Sulaiman meminjam kamera orang lain, Sulaiman tidak bersalah. Apa yang salah ialah orang lain yang berangan ingin menjadi seperti Sulaiman, tetapi tidak tahu realiti sebenarnya.

Gambar seperti ini mungkin mempunyai nilai seni, tetapi tidak nilai komersial. Apa pun, gambar seperti ini dirakam bukan untuk wang, tetapi untuk kepuasan peribadi. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Seterusnya, mari kita buat andaian lain yang lebih positif pula. Katakanlah Sulaiman memang memperolehi pendapatan lumayan dari bidang fotografi hidupan liar. Beliau adalah seorang yang berjaya dalam bidang fotografi dan beliau juga adalah seorang yang berjaya dari aspek kewangan. Beliau berasal dari keluarga miskin dan beliau banyak berdikari sehingga berjaya. Senario ini nampak lebih hebat dan Sulaiman memang patut dijadikan idola. Lalu, ramailah yang bercita-cita untuk menjadi seperti Sulaiman – seorang jurufoto hidupan liar yang hidupnya penuh dengan pengembaraan sambil memperolehi pendapatan lumayan. Tetapi, nanti dulu!

Kehidupan Sulaiman sekarang memang nampak hebat. Tetapi, tahukah kita betapa sukarnya jalan yang telah ditempuh oleh Sulaiman untuk sampai ke tahap ini? Adakah kita cukup tabah dan benar-benar mempunyai keghairahan seperti Sulaiman untuk terus kuat menghadapi berbagai dugaan dalam bidang ini? Tanpa minat yang mendalam, cabaran yang datang akan menjadi beban yang tidak akan terpikul. Hanya minat dan kesungguhan yang akan meringankan cabaran yang mendatang.

Ketika ini Sulaiman hidup senang. Sambil goyang kaki pun, wangnya terus masuk melalui royalti dari jualan buku-buku hidupan liar yang pernah diterbitkannya. Tetapi, pernahkah kita terfikir atau tertanya, berapa lamakah Sulaiman pernah hidup susah di awal pembabitannya di dalam bidang ini? Suatu waktu dahulu, mungkin Sulaiman pernah ditipu oleh penerbit buku, pernah berhutang keliling pinggang, pernah tinggal di rumah yang sempit dan sebagainya. Sanggupkah kita melalui kesusahan yang sama?

Sulaiman yang hebat ini telah menjejakkan kaki ke hampir seluruh pelusuk dunia bagi merakam gambar haiwan-haiwan di habitat mereka. Sulaiman telah menjelajah ke segenap hutan rimba, gunung-ganang, gurun dan lautan. Ini bukan percutian, tetapi tugasan. Beliau telah banyak berkorban dan mengambil risiko. Berkorban masa berjauhan dengan orang yang tersayang dalam tempoh masa yang lama dan mengambil risiko tinggi berhadapan dengan bahaya dan penyakit di tempat yang asing lagi terpencil. Apa pula yang sanggup kita korbankan dan pertaruhkan?

Sulaiman yang terkenal ini dilihat sebagai seorang yang sentiasa menempuh pengalaman menarik dalam kerjayanya. Ramai orang yang ingin merasai pengalaman seperti beliau. Tentu sekali Sulaiman juga gembira kerana berpeluang merasai pengalaman unik yang tidak diperolehi oleh orang lain. Tetapi, sebagai seorang jurufoto profesional, Sulaiman memikul tanggungjawab yang besar dan bekerja dengan berbagai tekanan. Tidak seperti peminat fotografi yang merakam gambar burung di hujung minggu untuk kegiatan hobi mereka.

Demikianlah realiti hidup Sulaiman – seorang jurufoto hidupan liar. Jika anda ingin menjadi seperti Sulaiman, bersedialah dan berusahalah. Jika anda tidak sanggup menghadapi cabaran dan tidak sanggup berkorban, inilah masanya untuk memikirkan semula impian anda. Sesungguhnya, kerjaya ini bukan untuk semua orang. Tentu ada bidang fotografi lain yang lebih sesuai untuk anda. Logiknya, tidak ada satu pun perkara atau kerjaya yang baik belaka. Setiap keindahan dan kesenangan, perlu dibayar dengan kesukaran dan pengorbanan. Ingin ditegaskan sekali lagi, kenyataan yang mengatakan ‘dibayar untuk melakukan kerja yang kita minati’ tidaklah seindah khabar dari rupa. Seperti ungkapan Inggeris – it’s too good to be true. Jika ia sebagus itu, tentu ada sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya yang kita tidak tahu. Jika ianya begitu bagus, mengapa tidak semua orang memilikinya? Jika semua orang ingin mendapatkannya, tentulah akan wujud persaingan yang amat hebat, lalu seseorang itu perlu berusaha gigih untuk berjaya.

Kisah Sulaiman sebagai seorang jurufoto hidupan liar adalah simbolik kepada apa jua bidang fotografi yang kita minati yang ingin kita jadikan kerjaya atau sumber pendapatan. Mungkin ianya bukan fotografi hidupan liar, tetapi bidang lain dalam fotografi yang kita minati seperti fotografi pemandangan, fotografi fesyen, fotografi kewartawanan, fotografi seni halus dan sebagainya. Untuk menjadikan bidang-bidang ini sebagai hobi tidak ada masalah. Tetapi jika anda ingin menjadikannya sebagai punca pendapatan utama, ianya perlu difikirkan masak-masak. Walau bagaimana pun, tidak ada perkara yang mustahil yang tidak dapat kita capai asalkan kita sanggup bekerja keras. Buatlah keputusan mengikut kebolehan dan kesanggupan diri kita sendiri.

Kesimpulan dari kisah Sulaiman ialah, hobi anda dalam fotografi hidupan liar misalnya mungkin hanya patut kekal sebagai hobi kerana tidak semestinya sesuatu hobi itu sesuai dijadikan sumber pendapatan utama. Hobi dan kerjaya adalah sesuatu yang amat berbeza dan hakikatnya ia tidak boleh jalan selari. Hobi dibuat untuk kepuasan diri sendiri semata-mata tanpa ada sebarang tekanan dari sesiapa. Sementara itu, kerjaya adalah sesuatu kerja yang dibuat untuk memenuhi permintaan pasaran atau pelanggan sehingga membolehkan kita menerima bayaran. Di dalam kerjaya atau perniagaan, wujud tekanan masa, tekanan kos dan tekanan dari pihak atasan. Kerjaya perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab, bukan sekadar suka-suka untuk memenuhi masa lapang seperti kita melakukan hobi.

Walaupun begitu, anda masih boleh menjana pendapatan dari bidang fotografi. Mungkin anda minat merakam gambar pemandangan (atau apa-apa subjek sekalipun) Tetapi, tidak semestinya anda perlu merakam gambar pemandangan untuk menjana pendapatan sekiranya subjek ini tidak menjanjikan pendapatan yang berbaloi untuk anda (mungkin ada jurufoto lain yang berjaya menjana pendapatan dari melakukan fotografi pemandangan, tetapi, mungkin ia tidak sesuai untuk anda) Kekalkan minat anda merakam gambar pemandangan sebagai hobi sahaja. Sebaliknya, untuk menjana pendapatan, cari bidang fotografi lain yang lebih menguntungkan dan lebih sesuai dengan diri anda.

Kita mungkin akan rasa teruja apabila mengetahui ada seorang jurufoto telah berjaya menjual sekeping gambar pemandangan yang dirakamnya dengan harga RM5,000! Lalu, kita pun lekas-lekas ingin menjadi seperti beliau. Tetapi, satu perkara yang kita terlepas pandang ialah, beliau telah bergiat dalam bidang ini selama lebih dari 5 tahun secara serius dan ini adalah kali pertama gambarnya berjaya dijual semahal itu. Jadi, sebenarnya, nilai RM5,000 itu adalah sangat-sangat kecil jika dibandingkan dengan pelaburan masa dan pelaburan wang yang telah beliau lakukan. Ya, sekurang-kurangnya dia tetap mendapat wang sebagai pendapatan sampingan. Tetapi, angka itu tidak cukup baik, lebih-lebih lagi jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan utama.

Dari aspek perniagaan, untuk menjana pendapatan, kita tidak semestinya buat apa yang kita minat semata-mata, tetapi kita harus minat buat apa saja yang boleh memberikan keuntungan asalkan ianya tidak menyalahi undang-undang. Jika kebetulan bidang perniagaan itu adalah satu bidang yang kita minati, maka ianya adalah satu bonus besar untuk kita. Namun, kita bebas melakukan apa saja yang kita suka untuk mendapat kepuasan, tetapi belum tentu kita akan berjaya menjana pendapatan yang lumayan.

Saya seringkali ditanya oleh peminat fotografi baru – bagaimanakah cara mudah untuk menjana pendapatan dari fotografi? Jawapan saya – buat duit dari fotografi bukan suatu perkara mudah. Ianya adalah satu perkara yang berbeza dari fotografi itu sendiri. Buat duit dari fotografi adalah bukan mengenai fotografi lagi. Ianya adalah mengenai keusahawanan. Disamping mesti mempunyai ilmu dan kemahiran dalam fotografi, kita juga perlu ada ilmu dan kemahiran dalam bidang perniagaan jika kita ingin benar-benar berjaya menjana wang dari fotografi.

Ilmu dalam perniagaan itu sendiri adalah amat luas sekali. Ianya mencakupi penjenamaan, pemasaran, jualan, strategi harga, kualiti produk, kawalan kos material, kecekapan kerja, pengurusan kewangan, akaun, pentadbiran, pengurusan tenaga kerja dan sebagainya. Tetapi, semua ini boleh dipelajari. Pengalaman akan mendewasakan kita. Usahanya mungkin perlu lebih, tetapi hasilnya amat berbaloi.

Jadi, anda perlu pastikan dan pilih keutamaan anda. Adakah anda ingin melakukan sesuatu untuk kepuasan atau adakah anda ingin menjana pendapatan? Anda mungkin boleh dapat kedua-duanya sekali, tetapi ianya adalah amat sukar. Apabila keutamaan anda adalah untuk menjana pendapatan, lupakan dulu mengenai kepuasan berkarya. Apabila anda telah buat keputusan untuk menjana pendapatan, perkara pertama yang perlu disoal ialah – bidang fotografi apakah yang paling besar potensinya untuk mendapat keuntungan? Dalam beberapa bidang yang telah dikenal pasti, pilihlah bidang yang paling sesuai dengan diri anda. Lakukannya dengan bersungguh-sungguh atas sebab keusahawanan, bukan atas sebab kepuasan berkarya semata-mata.

Bidang fotografi yang paling popular dan dianggap ‘mudah’ untuk menjana pendapatan ialah fotografi perkahwinan. Ianya amat popular terutama sekali di kalangan peminat fotografi yang baru menceburkan diri dalam bidang ini. Sememangnya permintaan untuk khidmat fotografi perkahwinan adalah tinggi. Namun begitu, persaingan juga adalah sengit sekali. Fotografi perkahwinan diminati oleh jurufoto yang ingin mencari duit lebih kerana bidang ini hanya memerlukan peralatan minima, kemahiran minima dan modal yang minima. Persaingan adalah sengit dalam sektor bajet rendah untuk fotografi perkahwinan disebabkan kelayakan minima yang diperlukan untuk berniaga dalam bidang ini. Namun, untuk pakej fotografi bagi pelanggan yang berbajet besar, persaingannya tidaklah begitu sengit kerana pada sektor ini, seseorang jurufoto itu perlu betul-betul cemerlang dalam penghasilan karyanya, cemerlang dalam pemasaran dan sebagainya. Apa pun, memang telah terbukti, telah ada ramai jurufoto yang telah berjaya menjana pendapatan lumayan dari bidang fotografi perkahwinan. Mereka ini tidak menganggap fotografi perkahwinan sebagai hobi mereka. Ia adalah kerjaya yang dilakukan dengan komitmen yang tinggi. Bidang ini bukanlah bidang glamour atau berstatus tinggi (selalunya) jika dibandingkan dengan bidang fotografi lain; tetapi, ianya memberikan pulangan yang baik dari segi kewangan.

Walaupun fotografi perkahwinan nampak mudah, ia sebenarnya memerlukan kerja keras beserta pengetahuan dan kemahiran yang tinggi baik dalam bidang fotografi mahupun dalam bidang strategi perniagaan jika seseorang itu ingin menjana pendapatan yang lumayan dari bidang ini. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Selain dari fotografi perkahwinan, bidang fotografi lain yang popular sebagai penjana pendapatan ialah perkhidmatan fotografi majlis rasmi, fotografi komersial, fotografi potret, fotografi produk, fotografi fesyen, fotografi dokumentari, fotografi microstock dan sebagainya. Ada diantara bidang yang dinyatakan ini nampak lebih hebat dan lebih glamour berbanding bidang lain. Lalu wujudlah jurufoto yang cuba untuk menguasai bidang tersebut. Disebabkan bidang itu adalah bidang yang diminatinya dan ia memberi kepuasan kepada jurufoto tersebut, maka adakalanya dia sanggup menerima tugasan dengan bayaran rendah; malah ada yang sanggup melakukannya secara percuma! Dia tidak kisah walau tidak dapat duit asalkan dia mendapat kepuasan. Lalu, ini akan memberi kesan buruk terhadap nilai pasaran bagi perkhidmatan tersebut. Ada dua perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Pertama, kita perlu bersaing secara sihat dari segi kualiti perkhidmatan atau produk, bukannya bersaing dengan melancarkan perang harga. Penyelesaian kedua ialah, cuba elakkan bidang fotografi yang ramai jurufoto minat melakukannya kerana kepuasan peribadi semata-mata. Bidang seperti ini selalu mempunyai masalah perang harga. Kecuali jika anda berjaya membezakan diri anda dari pesaing-pesaing lain dari segi kualiti atau jika anda ‘bermain’ di sektor tertentu yang tidak sensitif kepada faktor harga.

Perang harga dan pembunuh pasaran memang menjadi salah satu masalah dalam bidang perniagaan fotografi kerana fotografi adalah merupakan hobi kebanyakan orang. Lalu, penghobi ini rela merakam gambar secara percuma, sedangkan ada jurufoto lain yang cuba mencari rezeki dari bidang ini secara sepenuh masa.

Tidak seperti kerjaya profesional yang lain seperti peguam, arkitek atau doktor perubatan; untuk bergelar peguam, arkitek atau doktor perubatan, seseorang itu perlu melepasi syarat-syarat kelayakan yang ketat. Dalam bidang-bidang ini juga tidak ada masalah besar dari segi perang harga kerana tidak ada orang yang melakukan kerjaya peguam, arkitek atau doktor sebagai hobi dan kepuasan semata-mata.

Tidak ada gunanya kita menyalahkan penggiat hobi. Mereka mempunyai objektif yang berbeza dari jurufoto profesional atau usahawan fotografi. Apa yang lebih penting ialah, usahawan fotografi sendiri perlulah bijak menangani masalah ini dan perlu bijak mencari peluang-peluang baru untuk berjaya.

Kita dapat lihat sekarang ini, begitu ramai orang yang meminati bidang fotografi berikutan perkembangan pesat dalam teknologi kamera digital. Oleh kerana semakin ramainya peminat fotografi, maka makin ramai juga jurufoto yang cuba menjana pendapatan dari bidang ini. Oleh itu, persaingan adalah begitu sengit sekali. Lebih parah lagi apabila ada jurufoto yang bersaing secara tidak sihat dengan menawarkan harga yang sangat rendah. Lebih memburukkan keadaan apabila keadaan ekonomi dunia tidak begitu memberangsangkan buat ketika ini.

Kewujudan ramai peminat fotografi sekarang ini adalah petanda positif bahawa industri fotografi adalah satu industri yang mempunyai potensi besar dari sudut ekonomi. Walaupun wujud persaingan, ia adalah perkara normal apabila sesuatu industri itu sedang berkembang maju. Persaingan sihat diperlukan, individu yang terbaik pasti akan berjaya. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Kemunculan ramai jurufoto sambilan yang cari makan dalam industri fotografi ini memang agak memeningkan kepala bagi sesetengah jurufoto yang menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan utama mereka. Tetapi, jika dilihat dalam sudut yang positif, fenomena ini mempunyai kebaikan dan kesan yang baik dari sudut lain. Kebaikan pertama ialah; dengan persaingan sihat yang wujud, setiap jurufoto akan berusaha dengan lebih gigih bagi menghasilkan karya dan perkhidmatan yang terbaik. Dengan itu, bidang fotografi akan maju ke tahap yang lebih tinggi dalam tempoh masa yang lebih cepat. Kebaikan kedua ialah, pelanggan akan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan harga yang lebih kompetitif (asalkan bukan harga rendah yang tidak munasabah). Harga kompetitif bukan bermakna kerugian bagi pihak jurufoto, tetapi ianya merupakan satu kebaikan dimana jurufoto akan menjadi lebih bijak menangani isu kos dan kecekapan kerja agar harga berpatutan dapat ditawarkan disamping memperolehi keuntungan yang optima.

Dalam konteks yang lebih luas, lambakan jurufoto sekarang ini adalah petunjuk positif bahawa industri fotografi adalah satu industri yang besar, mempunyai permintaan yang tinggi dan sentiasa berkembang maju. Ini bermakna, ada banyak peluang perniagaan yang belum diterokai sepenuhnya dalam industri ini. Cuma, kita jangan sempitkan peluang perniagaan itu hanya dengan cara merakam gambar semata-mata. Bila kita melihat fotografi sebagai satu industri besar, kita harus faham bahawa, fotografi bukan sekadar mengenai jurufoto sahaja.

Apabila ramai orang meminati fotografi, ianya memberi kesan kepada keseluruhan industri. Untuk mengembangkan bidang fotografi, semua bidang lain yang berkaitan dengan fotografi perlu turut berkembang maju. Dengan erti kata lain, semua bidang yang berkaitan dengan fotografi juga akan turut menawarkan peluang perniagaan yang luas. Maksudnya, apabila wujudnya ramai jurufoto, maka akan wujud juga permintaan yang tinggi terhadap jualan kamera, jualan aksesori fotografi, pembelajaran fotografi, majalah fotografi, buku fotografi, kedai mencetak foto, perkhidmatan photo retouching, kedai membuat album, kedai bingkai gambar, khidmat sewaan studio dan sebagainya. Kita boleh merebut peluang ini dengan menawarkan perkhidmatan atau menjalankan perniagaan dalam mana-mana sektor yang berkaitan fotografi.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat permintaan yang tinggi terhadap jualan kamera dan peralatan fotografi. Kita dapat lihat ada banyak kedai-kedai menjual kamera muncul di mana-mana sahaja. Malah, kedai kamera secara online juga turut muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Walaupun terdapat berpuluh kedai kamera di Malaysia, adakalanya masih ada juga barang yang dicari tidak ada dijual di kedai mereka. Ini menunjukkan bahawa masih ada ruang dan peluang terutamanya dalam bidang pengkhususan (niche) untuk sektor ini. Bidang ini adalah dalam kategori peruncitan (retailing) Mungkin anda tidak meminati bidang peruncitan, tetapi, sekurang-kurangnya ia masih berkisar mengenai fotografi. Dengan minat dan pengetahuan anda dalam fotografi, ia akan menjadi satu nilai tambah bagi perniagaan menjual kamera dan peralatan fotografi.

Program seminar atau bengkel fotografi seperti ini mendapat permintaan yang baik di kalangan peminat fotografi yang dahagakan ilmu dalam bidang ini. Tetapi, apa yang penting, setiap program yang dianjurkan mestilah berkualiti dan dijalankan dengan penuh tanggungjawab, bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata. (foto oleh Hatta/Avicenna Studio)

Sementara itu, sektor pembelajaran fotografi juga turut sama berkembang pesat selari dengan bertambahnya peminat fotografi di negara ini. Kita boleh lihat sekarang, berbagai institusi pengajian tinggi telah menawarkan pengajian berkaitan bidang fotografi untuk peringkat sijil, diploma mahupun ijazah sarjana muda, samada secara separuh masa atau sepenuh masa. Antara institusi pengajian tinggi yang dimaksudkan ialah UiTM, UNISEL, UNIMAS, UTMSPACE, UIA , Open University Malaysia, Limkokwing, KDU, SEGi dan beberapa lagi. Selain dari insititusi pengajian tinggi, ada lebih banyak lagi syarikat atau individu yang menganjurkan kursus dan lain-lain bentuk pembelajaran fotografi di seluruh Malaysia. Sektor ini amat memerlukan pensyarah dan jurulatih yang berkemahiran. Siapa lagi yang lebih layak jika bukan dari kalangan peminat fotografi yang berilmu dan berkemahiran?

Oleh kerana wujudnya permintaan yang tinggi terhadap informasi dan ilmu fotografi, sektor penerbitan bahan fotografi juga telah berkembang maju. Kita boleh lihat kini, dalam masa yang singkat telah muncul beberapa majalah fotografi baru bagi menyokong perkongisan maklumat dalam bidang ini. Begitu juga dengan buku fotografi – semakin banyak buku dengan berbagai tajuk pengkhususan fotografi telah diterbitkan untuk peminat-peminat fotografi. Apa yang lebih menarik lagi, kini buku-buku fotografi dan majalah fotografi telah mula ditulis dalam Bahasa Malaysia dan diterbitkan oleh syarikat di Malaysia! Ini menunjukkan wujudnya permintaan yang baik dalam sektor ini berikutan perkembangan dalam industri fotografi itu sendiri. Sektor ini amat memerlukan penulis yang bukan sahaja berkemahiran menulis, tetapi perlu juga mempunyai pengetahuan dalam bidang fotografi. Jadi, selain menjadi jurufoto, peminat fotografi kini juga boleh mempertimbangkan untuk menulis artikel atau menulis buku untuk berkongsi ilmu pengetahuan disamping menjana pendapatan.

Kini ada berbagai buku bertemakan fotografi telah mula ditulis dalam Bahasa Malaysia bagi menampung permintaan peminat fotografi di negara ini. Semakin banyak buku baru dijangka akan diterbitkan dalam masa yang terdekat ini. Sektor ini juga turut menawarkan peluang bagi peminat fotografi bagi memperolehi pendapatan hasil dari menulis buku. (foto oleh PTS NetMedia)

Sebenarnya ada banyak lagi bidang berkaitan fotografi yang menawarkan peluang kerja atau peluang perniagaan bagi sesiapa sahaja yang bijak mencari, mengesan dan merebut peluang tersebut. Syaratnya – jangan hanya melihat fotografi dalam skop yang kecil. Fikir secara kreatif, fikir mengenai pengkhususan dan jadi pakar dalam bidang tersebut agar kita dapat bersaing atau lebih baik lagi jika kita dapat menjadikan persaingan adalah tidak relevan.

Artikel ini saya tulis berdasarkan pengalaman saya selama lebih dari 10 tahun sebagai usahawan dalam bidang fotografi. Sumber pendapatan utama saya sekarang adalah melalui 2 perniagaan ini – iaitu Adan Cameraworks (khidmat fotografi dan videografi) dan FOTOTEACHER.COM (pusat latihan fotografi) Sebuah lagi perniagaan yang baru diwujudkan oleh kami ialah perniagaan menjual aksesori fotografi dengan pengkhususan dalam kelengkapan fotografi analog.

Apa yang saya tulis di dalam artikel ini adalah pendapat dan pandangan saya berdasarkan pengalaman saya sendiri. Terimalah apa yang anda rasakan baik untuk anda.

Hakcipta Terpelihara – Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM 2012

Sesi Dialog oleh MWPPM – Penetapan Harga Jurugambar Perkahwinan

Satu sesi dialog mengenai Penetapan Harga Jurugambar Perkahwinan akan dianjurkan oleh MWPPM (Malay Wedding & Portrait Photographers Malaysia) pada 31 Oktober 2012 di INTEKMA RESORT, Shah Alam. Program bermula pada jam 7.30 malam hingga 11.30 malam.

Satu sesi penerangan ringkas mengenai ‘costing & pricing’ akan disampaikan oleh Hasnuddin Abu Samah, Adan Cameraworks/FOTOTEACHER.COM

Semua dijemput hadir. Penyertaan adalah percuma.

Report – Kelas Wedding Photography untuk UTMSPACE


Bergambar selepas kelas Wedding Photography untuk pelajar Executive Diploma in Photography and Digital Imaging, UTMSPACE. Kelas praktikal sesi akhir telah diadakan di Putrajaya Maritime Centre. Kelas telah disampaikan oleh Hasnuddin Abu Samah (Adan Cameraworks/FOTOTEACHER.COM)

Blog Arkib – Tips Penggunaan Flash

Tips Penggunaan Flash
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Tips Penggunaan Flash”– 11 Mei 2010)

Contoh foto potret dengan kawalan flash yang baik

Bila merakam foto menggunakan flash, biasanya hasil gambarnya akan kelihatan tidak natural. Saya selalu pesan kepada peserta kursus – kalau pakai flash, jangan bagi nampak macam pakai flash. Maksudnya, kita mesti kawal supaya cahaya flash tersebut nampak natural dan cantik. Untuk mendapatkan kesan cahaya flash yang menarik, anda boleh mengikuti beberapa tips ini:

1) Jadikan flash sebagai fill-in sahaja, bukan sebagai main light. Secara mudahnya, gunakan ISO yang agak tinggi, aperture yang besar dan shutter speed yang perlahan untuk mendapatkan kesan flash yang natural dan teradun dengan cahaya semulajadi. Jika anda menggunakan kawalan TTL pada flash, anda boleh letakkan flash compensation pada -1, -2 dan sebagainya, untuk menjadikan flash anda sebagai fill-in sahaja.

2) Lembutkan cahaya flash dengan cara memantulkan (bounce) flash tersebut ke siling atau ke dinding. Cuma pastikan sudut pantulan anda adalah betul dan menghasilkan kesan pencahayaan yang menarik. Anda juga perlu ingat agar elakkan bounce kepada siling atau permukaan yang terlalu tinggi atau berwarna gelap kerana kuasa flash anda tidak mampu memantulkan balik cahaya tersebut. Dengan memaksa flash bekerja kuat (bounce pada siling tinggi atau siling warna gelap), flash akan mengeluarkan kuasa yang maksima dan ini akan mengakibatkan flash anda jadi cepat panas, tempoh recycle bateri menjadi perlahan dan bateri cepat habis. Jika permukaan tersebut terlalu jauh atau berwarna terlalu gelap, gambar yang dihasilkan biasanya akan turut menjadi gelap (under exposed)

3) Untuk mengurangkan bayang yang dihasilkan oleh flash, anda boleh gunakan reflector untuk memantulkan kembali cahaya utama sekaligus mengurangkan bayang. Reflector adalah satu aksesori yang amat penting dan berguna untuk jurufoto perkahwinan atau jurufoto potret. Terdapat berbagai jenis reflector di pasaran, tetapi yang paling praktikal adalah reflector bernama TriGrip buatan Lastolite.

4) Anda juga boleh lembutkan cahaya flash dengan menggunakan diffuser dihadapan flash. Diffuser ini boleh dibuat dari sebarang objek yang lutcahaya. Setiap bahan akan memberikan kesan cahaya yang berlainan. Anda boleh gunakan kertas putih, kertas tisu atau plastik putih yang lutcahaya (seperti botol susu yang dibuat dari plastik) Untuk anda yang lebih serius, anda boleh gunakan aksesori seperti umbrella atau softbox. Antara jenama yang terkenal adalah Lumiquest dan Lastolite.

5) Untuk kesan yang lebih semualajadi, jangan pakai flash langsung jika keadaan mengizinkan. Anda perlu ada lensa dengan aperture yang besar seperti f/2.8 untuk tujuan ini. Anda juga mestilah boleh merakam foto dengan shutter yang perlahan seperti 1/15 saat serta ISO tinggi seperti ISO 800 (jika kamera anda membenarkannya tanpa noise ketara). Untuk merakam foto dengan shutter yang perlahan, anda perlu ada lensa dengan ciri VR (Vibration Reduction untuk lensa Nikon) atau IS (Image Stabilizer untuk lensa Canon). Atau anda boleh guna lensa biasa, tetapi perlu mempunyai tangan yang stabil. Anda juga boleh menstabilkan lagi kamera dengan menggunakan monopod atau tripod.

6) Selain dari cahaya lembut, cahaya direct flash juga boleh menghasilkan foto yang menarik jika kena dengan subjeknya. Cahaya direct flash lebih kasar dan menghasilkan bayang yang ketara. Untuk menjadikan direct flash lebih menarik, anda perlu pancarkan flash anda secara off-camera (flash tidak berada di atas kamera) Anda perlu mempunyai TTL cord untuk tujuan ini. Anda boleh pancarkan flash dari sudut tepi kamera anda dan sebagainya. Dengan pancaran flash secara off-camera, foto anda tidak akan kelihatan seperti foto biasa dimana flash dipancarkan dari atas kamera.

Diharap tips ringkas di atas dapat memberi manfaat kepada anda. Jika anda berminat untuk mempelajari teknik flash dengan lebih mendalam,  anda boleh menghadiri Bengkel Portable Flash anjuran FOTOTEACHER.COM


Seminar COSTING untuk Jurufoto Perkahwinan

TERHAD hanya untuk 30 orang peserta, MWPPM (Malay Wedding & Portrait Photographers Malaysia) buat julung kalinya menganjurkan seminar COSTING buat semua yang ingin mempelajari teknik yang betul dalam meletakkan harga perkhidmatan fotografi perkahwinan. Bertempat di Fototeacher Training Centre ( http://www.fototeacher.com/contactus.htm ) pada 14 April 2012 dari jam 8.00pm hingga 10.30pm

Jurugambar perkahwinan sepenuh masa En Hafiz Ismail dari Wow Photo akan berkongsi pengetahuan beliau dengan hanya pelaburan sebanyak RM85 bagi bukan ahli dan RM65 bagi ahli.

Minuman, nota dan sijil elektronik akan disediakan. Hubungi En Gafur Majid bagi tujuan tempahan tempat anda dan pembayaran di 0122918148. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI

Seminar ini adalah anjuran MWPPM, dengan kerjasama Fototeacher.

Report – Bengkel Asas Photoshop

Gambar peserta Bengkel Asas Photoshop (BAP) yang telah diadakan pada 26 Februari 2012 di Fototeacher Training Centre, Cheras Kuala Lumpur. Kepada peserta yang ingin mendapatkan foto ini di dalam saiz besar, sila ke – http://fototeacher.com/GroupPhotoBAP26Feb2012Large.jpg

Kepada anda yang ingin menyertai kursus ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di – http://fototeacher.com/photoshop.htm

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 (waktu pejabat) E-mel: sales@fototeacher.com atau sila layari laman web kami – http://fototeacher.com/index.htm

Report – Kursus Fotografi Perkahwinan

Gambar peserta Kursus Fotografi Perkahwinan (KFP) yang telah diadakan pada 25 Februari 2012 di Fototeacher Training Centre, Cheras Kuala Lumpur. Kepada peserta yang ingin mendapatkan foto ini di dalam saiz besar, sila ke – http://fototeacher.com/GroupPhotoKFP25Feb2012Large.jpg

Terima kasih kepada semua peserta yang hadir. Terima kasih juga di atas maklum balas dari peserta untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan kami serta testimoni dari para peserta:

“Kursus yang menguntungkan, penceramah yang banyak pengalaman, banyak pengetahuan dapat ditingkatkan dan insyaAllah dapat diamalkan segala panduan yang diberikan” – Zulkhairi Ahmad

“Satu pengalaman yang menakjubkan dimana teknik-teknik fotografi perkahwinan disertakan dengan pelan perancangan perniagaan fotografi perkahwinan yang sangat berguna untuk setiap peserta program, diajar dengan cara yang mudah difahami” – Mohd Kamal Nizam bin Karim

“Segala persoalan tentang fotografi perkahwinan yang saya perlukan terjawab setelah saya menyertai KFP” – Sufian Hadi bin Mahrim

“Beberapa kali setelah membuat fotografi perkahwinan, kini baru terbuka peluang dan jelas arah tuju saya selepas menyertai kursus ini” – Mohd Khalil

“Kursus KFP dapat membantu saya dalam ilmu perkahwinan fotografi dan bisnes fotografi perkahwinan” – AB Halim bin Mohamad

“Saya berpuas hati dengan penerangan yang diberikan oleh penceramah serta tips-tips yang diberikan” – Hanif Ismail

“Kursus yang amat baik khususnya bagi mereka yang baru menceburi bidang fotografi. Yuran kursus ini juga amat berbaloi” – Azhar bin Mohamed

“Banyak ilmu yang saya dapat dari kursus ini” – Siti Zainab Mokhtar

Kepada anda yang ingin menyertai kursus ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di – http://fototeacher.com/kfp.htm Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 (waktu pejabat) E-mel: sales@fototeacher.com

BLOG ARKIB – Komposisi Gambar

Komposisi Gambar
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Komposisi Gambar”– 20 Jun 2009)

Jurugambar perkahwinan bertanggungjawab untuk hasilkan gambar perkahwinan yang cantik, walaupun mungkin pada hakikatnya, majlis perkahwinan yang kita rakam itu tidak berapa cantik. Dengan kemahiran komposisi, kita boleh jadikan sesuatu subjek itu lebih menarik di dalam gambar.

Lihat pada gambar A

Gambar A menunjukkan keadaan sebenar pelamin yang dipasang di hadapan rumah pengantin. Tembok dan meja kosong di sebelah kiri gambar tersebut tidak perlu berada di dalam gambar kita. Begitu juga dengan kipas angin yang terletak di sebelah kanan gambar. Jadi, ‘keluarkan’ objek-objek yang tidak dikehendaki tersebut dari komposisi gambar kita.

Lihat pada gambar B

Beri perhatian kepada subjek yang lebih cantik dan menarik. Dengan komposisi yang padat ini, subjek penting akan lebih menyerlah di dalam gambar. Tanpa gangguan dari objek lain yang tidak penting, gambar ini telah jadi lebih cantik, kemas dan menarik.

Walaupun gambar B lebih menarik, anda perlu juga merakam gambar seperti gambar A yang menunjukkan keseluruhan pemandangan pelamin. Ini kerana, kadangkala, pelanggan ingin lihat gambar keseluruhan pelamin. Anda perlu cadangkan supaya pelanggan pilih gambar B. Namun begitu, pelanggan berhak memilih gambar mana yang beliau suka.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Sekiranya anda berminat untuk mempelajari teknik fotografi perkahwinan, sila ikuti Kursus Fotografi Perkahwinan anjuran FOTOTEACHER.COM. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, SILA KLIK DI SINI


Harga Diskaun untuk Kursus Fotografi Perkahwinan

FOTOTEACHER akan mengadakan Kursus Fotografi Perkahwinan kali yang ke-11 pada 25 Februari 2012 nanti. Rebutlah tawaran istimewa harga diskaun early bird sekiranya anda membuat bayaran sebelum 6 Februari 2012. Anda cuma perlu membayar RM460 sekiranya anda membuat bayara sebelum tarikh yang dinyatakan. Harga biasa kursus ini adalah RM600 seorang. Jadi, jangan berlengah lagi, buat bayaran awal dan jimat sehingga RM150!

Untuk mengetahui faedah-faedah yang akan anda perolehi dari kursus ini, sila layari laman web – http://fototeacher.com/kfp.htm

Untuk pertanyaan, anda juga boleh menghubungi kami di 03-91017155 atau e-mel kepada sales@fototeacher.com

SILA KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT GAMBAR-GAMBAR DAN TESTIMONI PESERTA YANG TELAH MENGIKUTI KURSUS INI.