Tag Archives: pelik

Ilusi Optik yang Mesti Anda Cuba!

Gambar negatif di atas adalah gambar dari iklan Sony Cybershot. Anda akan dapat kesan ajaib dengan melakukan perkara di bawah ini:

1) Tenung 3 titik berwarna pada hidung wanita di dalam gambar ini selama 30 saat
2) Kemudian, alihkan pandangan anda ke permukaan putih (dinding/skrin/kertas) dan kelipkan mata dengan cepat
3) Anda akan dapat lihat imej wanita tersebut dalam warna penuh!

Jangan Tertipu dengan Gambar Ini!

Jika anda perhatikan gambar di atas, anda tentu akan menyangka bahawa ianya adalah 4 keping gambar berlainan yang dicantumkan untuk menjadi sekeping gambar. Cuba tengok betul-betul. Sebenarnya, gambar ini adalah sekeping gambar yang dirakam sekali sahaja! Cuba lihat situasi sebenar seperti gambar di bawah ini:

Gambar ini dirakam oleh jurugambar bernama Bela Borsodi. Laman web beliau di sini –  http://www.belaborsodi.com/
Sumber artikel dari Gizmodo.com

Anda juga boleh tonton video di bawah yang menunjukkan video ‘time-lapse’ langkah demi langkah bagaimana gambar ini dihasilkan. Memang rumit!

Kamera Paling ‘Sempoi’ dari Afghanistan

Kamera yang paling asas yang telah digunakan di Afghanistan untuk merakam foto potret di tepian jalan. Tidak perlu bateri, tidak perlu elektrik! Cuma menggunakan kamera kayu buatan sendiri, photographic paper dan bahan kimia untuk menghasilkan gambar. Kamera ini merupakan satu ciptaan yang unik dan semakin pupus atau mungkin telah pun pupus sekarang ini.

Blog Arkib – Fotografi Bukan Macam Matematik

Fotografi Bukan Macam Matematik
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Fotografi Bukan Macam Matematik”– 2 Mac 2011)

Matematik ialah subjek yang saya paling lemah masa di sekolah dulu. Sebab itulah saya jadi jurufoto sekarang, bukan ahli matematik. Bila dapat masuk ITM dalam jurusan fotografi, saya rasa lega dapat belajar bidang yang saya minati. Tapi, macam tidak percaya, rupanya ada juga subjek matematik yang saya kena belajar untuk dapatkan diploma dalam fotografi. Subjek itu dinamakan Photo Science Mathematics!

Sebenarnya penting juga subjek sains dan matematik di dalam bidang fotografi ini. Sebabnya, fotografi dicipta melalui sains dan untuk kiraan yang tepat untuk beberapa perkara, ilmu matematik amatlah diperlukan. Contohnya, ada formula menggunakan matematik untuk mengira jarak fokus, jarak fokal, kuasa pembesaran imej, nilai f/number dan entah apa-apa lagi. Tapi, anda tidak perlulah risau, sebab kalau anda tidak pandai matematik pun, anda masih boleh jadi jurufoto yang bagus juga. Baiklah, cerita tadi cuma intro sahaja. Saya hendak bercakap pasal perkara lain sebenarnya.

Karya fotografi tidak sama macam matematik. Fotografi adalah satu bidang kreatif dimana penilaian terhadap mutu sesuatu karya adalah begitu subjektif. Maksud saya, apa pun yang anda baca atau belajar mengenai ‘peraturan’ artistik dalam fotografi, ianya hanyalah sekadar panduan sahaja sebenarnya. Tidak ada betul atau salah dalam fotografi apabila kita bercakap mengenai aspek seninya.

Selalunya, bila merakam gambar, seseorang itu akan mengelakkan kesan noise. Tetapi, di dalam gambar ini, kesan noise (lebih tepat lagi film grain) sengaja dimasukkan ketika proses di dalam Adobe Photoshop. - Foto oleh Hasnuddin Abu Samah

Jangan terima bulat-bulat apa yang diajar di dalam buku atau apa yang diajar oleh cikgu fotografi anda. Semuanya terpulang kepada anda untuk mengubahsuai ‘panduan’ yang telah diberikan tersebut. Contohnya, dalam pelajaran fotografi dikatakan, kalau rakam foto, subjek yang kita rakam mestilah tajam (sharp) difokus. Tetapi, itu tidak semestinya. Gambar yang kabur  (blur/out of focus) pun boleh menjadi gambar yang baik kalau kena pada tempatnya. Satu lagi contoh ialah mengenai noise. Secara teknikalnya, foto yang dirakam mestilah kurang noise, barulah gambar tu dikatakan cantik atau berkualiti. Maka sibuklah sekelian orang berlumba-lumba tukar kamera baru yang kurang noise. Dengan itu juga, ada pula segelintir ‘kaum’, bila tengok gambar orang saja, dia cari noise! Kalau nampak noise pada gambar orang, noise itu yang dikomen dulu – bukannya nilai artistik pada gambar tersebut. Hakikatnya, gambar yang ada noise pun boleh jadi gambar yang berjaya kalau kena pada tempatnya. Kalau gambar yang ada noise itu ada kekuatan lain seperti aksi yang sangat menarik contohnya, maka kelemahan noise itu bolehlah diabaikan saja.

Maka, akan ada pula yang akan bertanya, “Kalau noise tidak penting, kenapa diaorang buat kamera baru yang kurang noise?” Ada dua sebab. Nombor satu, sebab pengeluar kamera perlu bersaing untuk jual kamera mereka. Siapa yang dapat buat kamera yang paling canggih, dia akan dapat jual lebih banyak kamera. Baguslah begitu, kita memang ingin makin maju, bukan makin mundur. Tetapi, bagi yang kurang berkemampuan, janganlah susahkan diri asyik beli kamera baru. Sebab nombor dua ialah, ada sesetengah kerja fotografi memang memerlukan noise yang kurang, contohnya untuk fotografi pengiklanan dan fotografi landscape. Itupun, tidak semestinya – kadang-kadang, kita boleh nampak gambar di papan iklan yang blur dan banyak noise. Cantik juga bila kena dengan konsepnya.

Adakalanya, gambar objek tertentu di dalam gambar sengaja dijadikan kabur (blur) bagi mencapai kesan tertentu. Jadi, tidak ada peraturan yang boleh menetapkan setiap gambar mestilah tajam (sharp) - Foto oleh Hasnuddin Abu Samah

Satu lagi perkara subjektif di dalam fotografi ialah penilaian gambar. Contohnya bila kita masuk pertandingan, kita rasa gambar kita cantik, tiba-tiba gambar orang lain pula yang menang. Janganlah marah atau kecil hati. Kita kena ingat, penilaian gambar sangat subjektif. Bukan macam matematik yang cuma ada satu jawapan untuk setiap satu soalan. Pemilihan gambar yang menang dibuat oleh juri pertandingan yang biasanya terdiri dari jurufoto yang berpengalaman. Juri adalah manusia, bukan robot atau mesin kira. Juri ada perasaan, minat yang berlainan, citarasa berbeza, pengalaman berbeza dan pendapat mereka pun berbeza. Sebab itulah dalam pertandingan fotografi, biasanya juri ada ramai – sekitar 3-5 orang dan biasanya latar belakang mereka juga berbeza. Ini supaya keputusan keseluruhan adalah lebih adil hasil dari pengiraan purata markah yang diberikan oleh kesemua juri. Sebab itulah, salah satu tips untuk menang pertandingan fotografi ialah, kita kena kenal siapakah barisan juri dan bagaimanakah jenis gambar yang mereka minati. Kalau kita rakam gambar mengikut citarasa mereka, besarlah peluang kita untuk menang. Contohnya, jika kebanyakan juri pertandingan tu suka pada gambar hitam putih, maka kalau kita hantar gambar hitam putih, senanglah kita menambat hati mereka.

Itu tadi cerita juri profesional. Sekarang kita cerita pula pasal juri awam atau penonton di rumah (yang selalu komen gambar dalam Facebook itulah) Pendapat orang awam yang tidak mahir dalam fotografi pun adakalanya kita perlu ambil kira. Sebabnya ialah kerana penilaian mereka tidak akan terikat dengan kualiti teknikal fotografi semata-mata. Mereka akan terus menilai sesuatu foto itu secara keseluruhannya. Kalau gambar itu dapat menarik perhatian mereka, mereka akan kata cantik. Tapi, kita janganlah cepat perasan. Selalunya di Facebook ini, orang komen sebab hendak jaga hati kita dan ingin ‘memeriahkan’ suasana. Kalau setakat komen seperti ‘nice‘ atau ‘good job bro‘, anggaplah itu sebagai satu cara untuk mengeratkan silaturrahim sahaja.

Sama juga kalau kita rakam gambar kahwin untuk pengantin. Cantik atau tidak sesuatu gambar itu, akhirnya pelanggan yang akan tentukan. Eloklah jika kita pastikan dia suka gambar yang kita rakam, kalau tidak, susah dia nak bayar. Sebagai jurufoto, kita akan lebih terdorong untuk pilih gambar yang susah dirakam. Kita juga akan lebih cenderung untuk suka kepada gambar dengan teknik-teknik yang kononnya berseni seperti rakaman gambar secara silhouettemoment yang pelik dan close-up gambar kaki dan sebagainya. Tetapi, adakah pelanggan kita akan suka gambar macam ini? Biasanya, untuk mengelakkan saya syok sendiri, saya akan tanya pendapat isteri saya samada gambar pengantin yang saya rakam itu, cantik atau tidak di mata seorang perempuan. Bukankah berbeza matematik dengan fotografi? Kalau matematik, tidak perlu tanya pendapat orang lain, buat saja kiraan yang betul, dapatlah jawapannya.

Jadi, dalam fotografi tidak usahlah gaduh sangat pasal perkara yang subjektif  sebegini. Buka fikiran kita. Terima pendapat orang lain kerana ada sesuatu yang boleh kita belajar dari mereka. Kita tidak perlu ikut pendapat orang lain, tetapi sekadar menerima itu sebagai satu pendapat. Namanya pun pendapat, bukan peraturan. Dalam fotografi, tidak ada polis akan tangkap orang yang tidak ikut rule of third. Kecuali kalau orang itu tidak ikut rule of third sambil tidak ikut rule lampu isyarat, bolehlah kena saman dengan polis.

Tetapi, janganlah kebebasan berkarya dan faktor subjektif dalam fotografi ini dijadikan alasan untuk kita buat sesuka hati dalam fotografi. Kita boleh buat apa saja dalam fotografi asalkan kita tahu apa yang kita buat dan mesti boleh terangkan mengapa kita buat begitu. Orang boleh terima atau tidak, terpulang kepada mereka. Apa yang penting, bila kita terangkan mengapa kita buat sesuatu dengan cara tertentu, sekurang-kurangnya orang faham tujuan dan pendirian kita.

Pelukis lukisan abstrak yang kita tidak faham entah gambar apa yang dia lukis itu, boleh jual lukisan dia sebab dia boleh cerita pasal lukisannya dengan panjang lebar sampai orang yang mendengar cuma angguk-anggukkan kepala. Tetapi, bila pelukis tersebut sudah ada nama dan terkenal, dia tidak perlu bercerita panjang lebar lagi. Orang akan tunggu hasil karya dia yang terbaru dan berebut-rebut ingin membeli. Sama juga macam jurufoto. Seorang jurufoto yang sudah ada nama, kalau dia hasilkan gambar yang biasa saja pun, gambar itu tetap akan ada nilai yang tinggi. Sebenarnya, bukan gambar itu yang bernilai tinggi sangat, tetapi, siapa yang merakam gambar itu yang lebih penting adakalanya.

Fotografi ini satu bidang yang luas. Ada orang yang tidak berapa nampak keluasan bidang fotografi ini. Contohnya pasal penggunaan Photoshop. Ada segolongan orang yang tidak berapa pandai rakam gambar, lalu, banyak kerja mencantikkan gambar dibuat di dalam Photoshop. Kita kata, kalau hendak jadi jurufoto, mesti boleh rakam gambar dengan sesempurna mungkin di dalam kamera. Kita masukkan gambar dalam Photoshop untuk mencantikkan lagi gambar yang sudah sedia cantik. Tetapi, adakah salah kalau buat banyak kerja foto di dalam Photoshop? Tidak salah. Tetapi, orang yang buat banyak kerja di dalam Photoshop tidak sesuai dipanggil sebagai jurufoto. Dia adalah artis photo manipulation atau artis digital imaging. Salahkah artis yang mengubahsuai gambar di dalam Photoshop ini? Tidak salah, dia juga adalah insan seni dan karyanya diiktiraf sebagai karya seni. Adakah bidang ini juga diiktiraf sebagai fotografi? Ya, bidang ini juga diterima sebagai satu cabang dari fotografi, tetapi, ianya hanyalah pecahan dari bidang fotografi yang luas. Jadi apa yang salah? Saya rasa, yang salah atau yang tidak berapa tepat ialah, orang yang buat banyak kerja dalam Photoshop, dia tidak pandai rakam gambar, tetapi dia mengaku kata dia professional photographer.

Sama juga macam jenis orang yang suka beli kamera mahal-mahal dan asyik beli kamera untuk penuhkan dry box dia. Kemudian asyik beli dry box lagi untuk isi kamera baru lagi. Salahkah orang macam ini? Tidak salah. Sebab nombor satu ialah – dia beli kamera pakai duit dia sendiri, dia bukannya mencuri. Jadi apa yang salah? Hendak dikata salah, kasar sangat bunyinya. Cuma kita rasa tidak sesuailah kalau orang yang asyik beli kamera ini gelar dirinya sebagai seorang jurufoto; tetapi dia hanya sibuk bergaya dengan kamera, ikut orang pergi shooting, lepas itu sibuk komen gambar orang, tetapi gambar dia sendiri orang lain tidak pernah tengok. Orang macam ini boleh memberi tanggapan yang mengelirukan kepada bidang fotografi dan paling bahaya ialah dia boleh meracun orang lain untuk habiskan duit beli barang fotografi tanpa ada apa-apa kemajuan dalam penghasilan gambar itu sendiri.

Sebenarnya, saya kagum juga dengan golongan yang suka beli kamera ini. Cuma mereka tidak begitu sesuai dikategorikan sebagai jurufoto. Mereka lebih sesuai dikategorikan sebagai camera collector. Saya kenal beberapa orang camera collector yang hebat. Mereka tidak pernah mengaku mereka adalah jurufoto. Malah mereka berbangga menggelar diri mereka sebagai camera collector. Saya tabik mereka kerana minat mereka yang mendalam terhadap kamera dan kesanggupan mereka untuk melabur wang dalam membeli kamera yang bukan murah harganya. Apa yang lebih saya kagumi ialah, golongan camera collector tulen ini mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap spesifikasi dan segala hal mengenai kamera yang mereka kumpul. Ini juga satu hobi yang baik.

Saya harap, anda dapat faham apa yang cuba saya sampaikan. Saya harap penulisan saya ini tidak mengelirukan sesiapa. Ianya cuma sekadar pendapat peribadi saya yang tentunya berbeza dengan pendapat orang lain.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

TIPS DAN PANDUAN FOTOGRAFI PERCUMA – SILA KLIK DI SINI

Jurufoto di Jepun yang Gila-Gila dan Selamba

Lihat telatah seorang jurufoto di Jepun yang merakam foto potret di tengah kesibukan orang ramai melintas jalan di Shibuya, Jepun. Shibuya Crossing (lintasan pejalan kaki di Shibuya) adalah lokasi yang amat terkenal dan dikatakan sebagai lintasan pejalan kaki yang paling sibuk di dunia!

Video – Proses Filem Menggunakan Kopi dan Vitamin C!

Satu cara alternatif yang sungguh menarik! Kopi dan vitamin C digunakan sebagai developer untuk memproses filem. Hasilnya tidaklah sesempurna seperti menggunakan developer sebenar, tetapi, ianya memberikan kesan yang menarik dan menyeronokkan.

Untuk maklumat tambahan, sila ke laman web Photojojo dan Caffenol.

Dapatkan berbagai tips dan info mengenai fotografi di laman Facebook kami di – http://www.facebook.com/fototeacher

Kamera Pelik dan Kamera Pengintipan

Kamera-kamera di atas ini dicipta pada zaman perkembangan kamera analog yang menggunakan filem. Pada waktu itu, kamera biasanya bersaiz besar. Ini bermakna, ciptaan kamera di atas merupakan hasil ciptaan yang unik dan hebat pada masa itu.