Tag Archives: optik

Ilusi Optik yang Mesti Anda Cuba!

Gambar negatif di atas adalah gambar dari iklan Sony Cybershot. Anda akan dapat kesan ajaib dengan melakukan perkara di bawah ini:

1) Tenung 3 titik berwarna pada hidung wanita di dalam gambar ini selama 30 saat
2) Kemudian, alihkan pandangan anda ke permukaan putih (dinding/skrin/kertas) dan kelipkan mata dengan cepat
3) Anda akan dapat lihat imej wanita tersebut dalam warna penuh!

Sejarah Ringkas Fotografi

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Adalah penting untuk kita mengetahui sedikit sejarah mengenai fotografi agar kita lebih menghargai dan memahami asas mengenai bidang ini.

Pada zaman awal fotografi, manusia lebih memberi tumpuan kepada proses penciptaan kamera itu sendiri. Berbagai proses telah dicipta dan diperkenalkan. Ciptaan-ciptaan awal ini mempunyai berbagai kelemahan yang kemudiannya sentiasa diperbaiki oleh ciptaan-ciptaan lain yang lebih baik.

Setelah beberapa lama, apabila kamera menjadi semakin mudah digunakan dan menghasilkan kualiti yang lebih baik, dunia fotografi terus berkembang dengan lahirnya jurufoto-jurufoto yang menggunakan kamera sebagai alat untuk berkarya. Fotografi juga telah berkembang menjadi satu bentuk media visual yang mempunyai nilai seni yang tersendiri. Ianya juga turut memberi faedah yang besar dalam berbagai bidang seperti kewartawanan, pengiklanan, perubatan, pendidikan, pemetaan dan sebagainya.

Penciptaan Kamera

Siapakah yang mencipta kamera? Sebenarnya, penciptaan kamera tidak dilakukan oleh seorang individu sahaja. Proses penciptaan kamera ini berlaku secara beransur-ansur selama ratusan tahun melibatkan berbagai pengetahuan dalam ilmu fizik, kimia dan optik. Beberapa orang individu penting telah mencipta beberapa perkara yang akhirnya menyumbang kepada terciptanya kamera pertama yang boleh merakam imej kekal.

Manusia telah lama mengetahui prinsip asas berkaitan fotografi, iaitu sekitar tahun 300 sebelum masihi dimana Aristotle (ahli falsafah Greek) telah menulis mengenai fenomena pembentukan imej yang merupakan asas kepada fungsi sebuah kamera. Pada sekitar abad yang sama, Mo Ti (ahli falsafah Cina) telah mencipta sebuah alat yang berfungsi sebagai sebuah kamera yang ringkas. Tetapi, kamera ini tidak boleh merakam gambar.

Seorang lagi tokoh penting yang menyumbang ke arah penciptaan kamera ialah Ibn Al-Haytham (Dunia Barat mengenalinya sebagai Alhazen). Beliau adalah seorang saintis muslim yang dianggap sebagai Bapa Optik Moden dan jasanya diiktiraf oleh sarjana Barat. Pada sekitar tahun 1000 masehi, Ibn Al-Haytham telah membina camera obscura dan telah menerangkan secara saintifik mengenai camera obscura, sifat cahaya dan beberapa perkara mengenai optik. Hasil kajian dan penemuan oleh Ibn Al-Haytham dikembangkan lagi oleh saintis barat selepas itu.

Pada zaman awal ini, kamera yang dicipta tidak boleh digunakan untuk merakam imej secara kekal. Kamera yang dikenali sebagai camera obscura ini cuma boleh memaparkan imej yang hanya boleh dilihat sahaja. Selepas beberapa lama, kamera ini diperbaiki lagi lalu membolehkan imej yang dilihat itu boleh ditekap bagi dijadikan lukisan.

Perkataan camera obscura adalah perkataan yang berasal dari Bahasa Latin dimana ‘camera’ bermaksud bilik dan ‘obscura’ bermaksud gelap. Oleh itu, camera obscura bermaksud bilik gelap. Memang pada asalnya, kamera adalah merupakan sebuah bilik yang tertutup dan gelap. Satu lubang kecil akan dibuat pada satu dinding di bilik tersebut bagi membolehkan cahaya masuk. Cahaya yang masuk melalui lubang kecil ini akan membentukkan imej pada satu permukaan yang bertentangan di dalam bilik ini. Kamera yang bersaiz sebuah bilik ini kemudian telah dikecilkan saiznya sehingga ia menjadi mudah alih. Camera obscura seterusnya menjadi semakin popular apabila ianya dijadikan dalam bentuk kotak yang dibuat dari kayu dan bersaiz lebih kecil.

Camera obscura yang telah diperbaiki – bersaiz lebih kecil dan mudah alih. Alat ini digunakan untuk menekap imej yang dihasilkan untuk dijadikan lukisan. Sumber foto dari Wikimedia Commons

Penciptaan Kaedah untuk Merakam Imej Foto Kekal

Untuk mencipta sebuah kamera adalah tidak begitu sukar. Apa yang lebih sukar adalah untuk merakam imej secara kekal. Pada sekitar tahun 1800, Thomas Wedgewood telah berjaya merakam gambar foto, tetapi gambar tersebut tidak kekal. Foto yang dirakam hanya bertahan selama beberapa saat sahaja sebelum ianya pudar dan terus lenyap.

Setelah lebih dari 800 tahun sejak wujudnya camera obscura, manusia masih belum boleh merakam foto yang kekal. Akhirnya, pada tahun 1826(1), Nicephore Niepce telah berjaya merakam foto alam semulajadi(1) yang pertama di dunia secara kekal! Untuk mendapatkan foto ini, Niepce telah menggunakan proses yang diberi nama Heliograph dan telah membuat dedahan cahaya selama 8 jam untuk merakam imej (kamera sekarang boleh merakam foto dengan dedahan cahaya hanya selama 1/125 saat atau lebih cepat)

Huraian: (1) Di bahagian belakang foto ini tertera tulisan tahun 1827. Ada pendapat yang mengatakan foto ini dirakam pada tahun tersebut. Ada pula pendapat lain mengatakan, tahun 1827 yang ditulis di bahagian belakang foto itu adalah tahun dimana Niepce menghadiahkan foto itu kepada rakannya, tetapi foto ini sebenarnya dirakam pada tahun 1826. (2) Foto yang lebih awal sebenarnya telah dihasilkan pada tahun 1822 dari objek bukan alam semulajadi, iaitu foto salinan dari lithograph (litograph ialah sejenis teknik cetakan menggunakan goresan) Sumber rujukan: Harry Ransom Center, University of Texas at Austin

Foto yang diberi nama ‘View from the Window’ ini telah dikenali sebagai foto kekal yang pertama di dunia yang telah dirakam oleh Nicephore Niepce di rumahnya di Perancis. Sumber foto dari Wikimedia Commons

Pada tahun 1837, Louis Daguerre telah menunjukkan proses yang dikenali dengan nama Daguerreotype dimana foto boleh dirakam dengan dedahan yang lebih pendek iaitu kurang dari 30 minit. Proses Daguerreotype ini boleh menghasilkan foto yang cantik dan merupakan satu proses yang popular di seluruh dunia pada zaman itu.

Kamera yang digunakan untuk menghasilkan foto dengan proses Daguerreotype. Foto oleh Liudmila & Nelson, Wikimedia Commons

Pada tahun 1839, satu lagi penemuan besar dalam fotografi telah dibuat oleh William Henry Fox Talbot. Beliau telah mencipta satu proses yang dinamakan Calotype dimana proses ini boleh menghasilkan imej negatif. Imej negatif ini boleh digunakan untuk mencetak semula imej-imej positif. Ini bermaksud, foto yang dirakam boleh dicetak semula sebanyak mana yang dikehendaki. Proses Calotype ini telah memberi idea asas kepada proses negatif-positif yang telah digunakan secara meluas dalam era fotografi analog selama lebih dari 100 tahun selepas itu.

Selepas proses Calotype diperkenalkan, ada banyak lagi proses lain telah dicipta – antaranya ialah Wet Plate Collodion, Ambrotype (Collodion Positive), Tintype, Cyanotype dan beberapa proses lagi. Namun, kesemua proses ini masih tidak cukup sempurna dan ianya tidak begitu mesra pengguna. Kamera yang digunakan bersaiz besar dan berat. Proses menghasilkan foto juga adalah remeh dan memakan masa.

Sehinggalah pada tahun 1888, George Eastman menerusi syarikatnya Kodak telah mengeluarkan kamera yang lebih mesra pengguna. Kamera yang diberi nama Kodak No. 1 ini dikilangkan secara besar-besaran untuk kegunaan orang ramai. Kamera ini menggunakan filem negatif dan boleh merakam sehingga 100 keping foto untuk setiap kali isian.

Kamera Kodak No. 2A (Brownie) yang telah diperbaharui dari kamera sebelumnya, iaitu Kodak No. 1. Penghasilan kamera jenis ini telah menjadikan fotografi lebih popular di kalangan orang awam. Foto oleh John Kratz, Wikimedia Commons

Perkembangan Fotografi Analog

Kodak telah mencetuskan perubahan dimana fotografi boleh dipraktikkan secara lebih meluas terutamanya di kalangan jurufoto amatur. Dari sini, fotografi semakin berkembang dimana kamera semakin mampu dimiliki dan proses merakam gambar menjadi lebih mudah.

Kamera terus menjadi semakin canggih. Secara beransur-ansur, kamera yang beroperasi secara mekanikal diperbaiki dengan penggunaan komponen elektronik. Berbagai kawalan automatik ditambah untuk memudahkan pengguna.

Teknologi fotografi analog (menggunakan filem) digunakan selama lebih dari 100 tahun lamanya. Dalam tempoh ini, bidang fotografi telah menjadi cukup matang, baik dari segi teknologinya mahupun dari segi perkembangan artistiknya.

Kamera Canon New F1, antara kamera analog yang termasyhur di zamannya. Kamera seperti ini banyak digunakan oleh jurufoto profesional pada sekitar tahun 1980an. Foto oleh Richard Hilber, Wikimedia Commons.

Fotografi Digital

Menurut rekod yang sah, kamera digital pertama dicipta pada tahun 1975 oleh Steve Sasson, seorang jurutera Kodak. Kamera ini boleh menangkap gambar menggunakan CCD (Charge-Coupled Device) dengan 10,000 piksel. Namun, fotografi digital juga dikatakan telah mula digunakan oleh NASA (National Aeronautics and Space Adiministration) sejak tahun 1960an lagi untuk menerima isyarat imej digital yang dirakam oleh pesawat di angkasa lepas. Asas kepada fotografi digital ini juga sebenarnya telah wujud sejak tahun 1950an berasaskan dari teknologi kamera video.

Antara kamera digital yang terawal – Kodak DCS 420 yang menggunakan badan kamera analog Nikon F90. Sistem ini mempunyai sensor dengan 1.2 megapixel sahaja dan mula diperkenalkan pada tahun 1994. Sumber foto dari Wikimedia Commons

Apa pun, fotografi digital tidak digunakan oleh orang ramai secara meluas sehinggalah pada sekitar tahun 2002 apabila kamera digital mula dipasarkan secara komersial. Perkembangan teknologi fotografi digital berlaku dengan begitu pesat sejak dari itu. Dengan ini, bermulalah satu era baru dalam sejarah fotografi.

Hakcipta Terpelihara 2012 – Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

BLOG ARKIB – Ibnu Haytam & Fotografi

BLOG ARKIB – Ibnu Haytam & Fotografi
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Ibnu Haytam & Fotografi”– 2 Januari 2009)

Ibnu Haytam & Fotografi
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Beliau adalah seorang berketurunan Iraq yang lahir di Basra pada tahun 965 masihi. Beliau dikenali di zamannya sebagai cendikiawan Islam tersohor dan oleh saintis sedunia sebagai bapa optik moden.

Apa yang menarik tentang beliau ialah sumbangannya terhadap kajian optik yang mana ratusan tahun selepas itu menjadi asas kepada fotografi. Dalam kitabnya berkenaan kajian optik, Ibnu Haytam telah menggariskan beberapa teori dan eksperimen tentang sifat cahaya seperti kesan biasan dan pantulan. Ratusan tahun sebelum kelahiran saintis terkemuka Sir Isaac Newton, Ibnu Haytam telah menulis tentang sifat cahaya yang hanya bergerak dalam garis lurus dan mempunyai ciri-ciri zarah. Bahkan Kitab Optik (Al-Manazir) tulisan beliau telah diletakkan sama taraf dengan karya agung Sir Isaac Newton, Philosophiae Naturalis Principia Mathematica, kerana sumbangannya yang sangat besar kepada asas fizik sedunia.

Fotografi terbit daripada ciptaan kamera lubang jarum. Sesiapa yang pernah mempelajari teori berkenaan kamera lubang jarum tentu jelas tentang sifat imej yang terbentuk- lebih kecil dan terbalik secara vertikal. Ciri-ciri ini telah dijelaskan dengan kaedah saintifik  oleh Ibnu Haytam yang mana membolehkan pengiraan jitu dilakukan untuk membuat lensa yang sesuai. Walaupun kemungkinan besar beliau tidak pernah terfikir bahawa imej tersebut satu hari nanti dapat diabadikan sebagai foto, kerja asas untuk mencipta kamera telah dihuraikan dalam tulisan beliau.

Sepanjang hayat beliau dipercayai telah menulis lebih 200 buku namun kebanyakannya telah musnah. Sebahagian besar buku yang selamat hanyalah salinan yang telah dialih bahasa ke Latin dan Hebrew (Yahudi) ketika Perang Salib.

Oleh Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

Dapatkan berbagai aksesori fotografi di kedai online FOTOTEACHER di – http://www.fototeacher.com/shop.html