Tag Archives: Kreatif

Idea Percuma Setiap Masa

Meet OKDOTHIS from OKDOTHIS on Vimeo.

Kini anda boleh merakam foto kreatif walaupun anda telah kehabisan idea. Sebuah aplikasi telah dicipta untuk membantu anda merakam foto yang menarik dan kreatif pada bila-bila masa dan di mana jua. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web ini – http://okdothis.com/


Jangan Tertipu dengan Gambar Ini!

Jika anda perhatikan gambar di atas, anda tentu akan menyangka bahawa ianya adalah 4 keping gambar berlainan yang dicantumkan untuk menjadi sekeping gambar. Cuba tengok betul-betul. Sebenarnya, gambar ini adalah sekeping gambar yang dirakam sekali sahaja! Cuba lihat situasi sebenar seperti gambar di bawah ini:

Gambar ini dirakam oleh jurugambar bernama Bela Borsodi. Laman web beliau di sini –  http://www.belaborsodi.com/
Sumber artikel dari Gizmodo.com

Anda juga boleh tonton video di bawah yang menunjukkan video ‘time-lapse’ langkah demi langkah bagaimana gambar ini dihasilkan. Memang rumit!

Report – Kursus Pencahayaan Kreatif khas untuk Insitut Pengurusan Kesihatan

Gambar peserta Kursus Pencahayaan Kreatif khas untuk Institut Pengurusan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah diadakan pada 25-26 November 2013. Kepada peserta yang ingin mendapatkan foto ini di dalam saiz besar, sila ke: http://fototeacher.com/2GroupPhotoIPK2013Large.jpg

Kepada anda yang ingin menyertai kursus seperti ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di – http://www.fototeacher.com/

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 (waktu pejabat) E-mel: sales@fototeacher.com atau sila layari laman web kami – http://www.fototeacher.com/

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Rakam Gambar Makro dengan ‘Camera Phone’ Guna Titisan Air

Titiskan sedikit air pada lensa 'camera phone'. Titisan air ini akan membentuk kanta yang membolehkan anda merakam foto dari jarak yang sangat dekat.
Inilah hasil foto yang dirakam dari jarak dekat menggunakan titisan air pada lensa 'camera phone'

Untuk mengetahui teknik terperinci dan membaca artikel penuh, sila ke – http://en.rocketnews24.com/2012/03/15/it-really-works-turn-your-iphone-into-a-microscope-with-just-a-drop-of-water/

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Buku Fotografi yang Saya Cadangkan

Oleh Hasnuddin Abu Samah

Bagi anda yang agak baru dalam bidang fotografi, tentu anda tertanya-tanya bagaimanakah cara untuk menghasilkan gambar yang menarik dan buku apakah yang baik untuk dijadikan rujukan. Di sini saya senaraikan buku-buku fotografi yang telah saya senarai pendekkan, yang pada pendapat saya merupakan buku yang berkualiti yang boleh membantu anda dalam memahami seni dalam fotografi ke arah merakam gambar yang bernilai tinggi.

Buku-buku yang saya senaraikan ini bukan buku teknikal mengenai kawalan kamera, tetapi ianya adalah buku yang membincangkan mengenai aspek kreativiti dan seni dalam fotografi yang ramai peminat fotografi kurang memahami dan mahir mengenainya. Sila klik pada gambar di bawah dan seterusnya anda boleh melihat preview buku tersebut. Lihat isi kandungannya dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk membelinya.

Kebanyakan buku-buku yang saya senaraikan ini jarang dijual di kedai buku biasa (kecuali di Kinokuniya) kerana skopnya yang agak advance dimana tidak ramai orang yang mahu membelinya. Jadi, salah satu cara untuk mendapatkannya adalah dari Amazon.com. Saya sendiri kerap membeli buku dari Amazon kerana ianya memudahkan. Anda hanya perlu pilih, buat bayaran dan seterusnya anda akan menerima buku anda dalam masa sekitar 10 hari kemudian.

Untuk membeli secara online dari Amazon.com, anda perlu mempunyai kad kredit. Namun, jika anda tiada kad kredit, anda boleh minta rakan anda yang mempunyai kad kredit untuk belikan buku ini untuk anda. Tentu rakan anda tidak keberatan asalkan anda membayar mereka terlebih dahulu wang tersebut kepada rakan anda.


Selain dari buku subjek fotografi seperti di atas, saya juga ingin mencadangkan kepada anda sebuah lagi buku yang amat menarik yang bertajuk ‘Mecca the Blessed, Madina the Radiant: The Holiest Cities of Islam’ Buku ini memaparkan foto-foto oleh seorang jurufoto Jepun beragama Islam – Ali Kazuyoshi Nomachi. Foto-foto yang dirakam adalah luar biasa dan menyentuh hati, memaparkan imej-imej di kota suci Mekah dan Madinah yang jarang dapat kita disaksikan sebelum ini. Walaupun buku ini sudah agak lama (diterbitkan pada tahun 1997), namun, ianya tetap dapat memberikan satu perspektif baru dalam kita melihat imej-imej keislaman di dua kota suci ini.

Selamat membaca!

Blog Arkib – Ijazah Jurufoto

IJAZAH JURUFOTO
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Ijazah Jurufoto”– 2 April 2011)

“Perlukah masuk universiti untuk jadi jurufoto profesional?” Saya seringkali ditanya soalan ini. Selalunya yang bertanya itu ialah golongan remaja yang minat fotografi dan ingin menjadikan fotografi sebagai kerjaya mereka. Jawapan ringkasnya – tidak perlu. Anda tidak perlu ada sijil, diploma dan sebagainya untuk menjadi jurufoto profesional. Tetapi, jika anda ada kelulusan formal dalam bidang fotografi, ianya akan menjadi satu kelebihan buat anda. Tetapi dengan satu syarat.

Syaratnya ialah, anda mestilah mempunyai portfolio yang kuat (portfolio adalah contoh hasil karya anda yang dapat menunjukkan tahap kemahiran anda sebagai seorang jurufoto). Portfolio inilah yang akan dinilai sebelum anda ditawarkan sesuatu kerja. Semakin baik portfolio anda, semakin mudah anda mendapat kerja dan semakin tinggi gaji yang boleh anda dapatkan.

Tetapi, jika anda ingin bekerja dalam bidang fotografi dengan pihak kerajaan, eloklah anda ada kelulusan formal dalam bidang fotografi kerana gaji yang dibayar biasanya berdasarkan tahap kelulusan formal anda samada anda pemegang sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah dan sebagainya. Begitu juga jika anda ingin menjadi pensyarah fotografi di universiti, kelulusan akademik dalam bidang fotografi adalah amat penting.

Saya bergambar bersama pelajar diploma fotografi UTMSPACE. (Sekadar gambar hiasan)

Di Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menawarkan pengajian khusus dalam bidang fotografi pada peringkat Diploma hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. UNISEL pula ada menawarkan pengajian dalam bidang fotografi hingga ke peringkat Diploma. SPACE UTM juga ada menawarkan pengajian fotografi dengan kelulusan Diploma Eksekutif, sesuai dihadiri secara sambilan. Selain dari itu, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) juga menawarkan pengajian dalam bidang fotografi pada peringkat Sijil.

Jurufoto yang tiada kelulusan formal dalam bidang fotografi pun boleh berjaya. Peluangnya adalah sama. Segalanya bergantung kepada usaha dan bakat yang dimiliki oleh setiap individu. Cuma, biasanya jurufoto yang belajar sendiri tanpa masuk ke universiti perlu melalui jalan yang agak sukar dalam proses pembelajaran kerana tidak mendapat bimbingan yang sistematik, tidak seperti di universiti. Tetapi, sekali lagi ditegaskan, jurufoto yang belajar sendiri ini tetap boleh berjaya jika beliau rajin berusaha.

Pelajar yang belajar fotografi di universiti biasanya mempunyai masa hadapan yang lebih cerah asalkan mereka belajar bersungguh-sungguh dan rajin berusaha. Pelajar universiti tidak akan berjaya di dalam industri sebagai jurufoto profesional jika mereka hanya bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata, tetapi tidak berusaha menghasilkan portfolio yang bagus. Pelajar juga mestilah menggunakan peluang networking di universiti dengan sepenuhnya kerana, ini akan menjadi aset penting bila mereka berada di dalam alam pekerjaan sebenar. Rakan-rakan kenalan universiti ini akan memegang jawatan tertentu di dalam industri selepas beberapa tahun dan mereka akan menawarkan berbagai peluang dan pertolongan yang berguna satu hari nanti.

Perkara yang perlu dipertimbangkan apabila ingin belajar fotografi di universiti ialah faktor masa dan kos pengajian. Misalnya, pengajian pada peringkat diploma akan memakan masa selama 3 tahun dan kos yang terlibat juga adalah agak tinggi (bergantung di universiti mana anda belajar). Jika dibandingkan dengan individu yang belajar sendiri, mereka sudah boleh mula menjana pendapatan dalam tempoh kurang dari 3 tahun. Tetapi, untuk jangka masa panjang, individu yang memiliki kelulusan formal dalam fotografi boleh pergi lebih jauh dan mendapat peluang yang lebih besar asalkan berusaha gigih. Tetapi, saya perlu tegaskan lagi sekali bahawa, perkara ini adalah amat subjektif. Individu yang tiada kelulusan formal dalam fotografi pun boleh berjaya jika mereka bijak mengambil peluang dan bekerja keras. Memang ramai pun jurufoto di Malaysia yang berjaya walaupun tidak memiliki sebarang kelulusan akademik dalam bidang fotografi. Sebaliknya, ada juga graduan dari universiti berkelulusan diploma atau ijazah sarjana muda dalam bidang fotografi yang tidak mendapat kerja dengan bayaran setimpal. Semuanya terletak atas pilihan dan usaha individu itu sendiri.

Satu lagi isu yang selalu timbul ialah ibu bapa biasanya tidak berapa yakin bila anaknya ingin belajar di universiti dalam bidang fotografi kerana bimbang tiada masa depan. Apa yang boleh saya katakan ialah, tidak kira bidang apa pun, kita boleh mendapat pendapatan yang lumayan jika kita rajin berusaha. Tetapi, kita perlu sedar bahawa, untuk berjaya dan mendapat pendapatan lumayan dari fotografi bukanlah mudah. Sama juga dengan bidang lain. Jadi, untuk memastikan anda terus kekal dalam fotografi dan menghadapi segala rintangan sebelum anda berjaya, anda perlu pastikan bahawa anda betul-betul meminati fotografi. Bukan sekadar terikut dengan kawan atau trend semasa. Minat yang mendalam inilah yang akan menjadi azimat untuk anda terus berjuang dalam fotografi hingglah anda berjaya kecapi kejayaan tertinggi.

Pokok pangkalnya ialah usaha. Jika anda masuk universiti untuk belajar fotografi, janganlah hanya bergantung kepada sekeping siji yang bakal anda terima nanti. Banyakkan berusaha sendiri sebagai persediaan untuk bersaing di dalam dunia pekerjaan sebenar nanti. Hasilkan portfolio yang kuat, kerana portfolio inilah yang akan ‘bercakap’ untuk anda.

Nasihat yang boleh saya berikan ialah, jika anda mampu, ada masa dan ada peluang untuk masuk universiti, maka rebutlah peluang itu. Tetapi pastikan bahawa anda memang minat fotografi dan sanggup berkorban untuknya. Ingatlah bahawa bidang fotografi bukan bidang main-main. Fotografi sebagai hobi berbeza dengan fotografi sebagai kerjaya.

Kepada anda yang tidak berpeluang untuk masuk universiti, tidak mengapa. Anda perlu ingat, ada banyak jalan untuk berjaya. Ada banyak cara untuk belajar, tambahan sekarang ini dengan kemudahan internet, maklumat boleh didapati dengan begitu mudah. Anda juga boleh menghadiri kursus pendek yang dianjurkan oleh banyak pihak sekarang ini. Cuma, berhati-hatilah – pastikan anda belajar dari guru yang bertauliah dan berpengalaman. Kemudian, carilah mentor atau orang yang boleh membimbing anda dalam fotogafi. Cari pengalaman sebanyak mungkin dengan bekerja dengan jurufoto profesional dengan tujuan untuk belajar dan cari pengalaman, lupakan dulu tentang bayaran lumayan.

Kesimpulannya, tiada jawapan yang mutlak untuk isu ini. Tidak kira anda ada kelulusan formal di dalam fotografi atau tidak, anda tetap boleh berjaya sebagai seorang jurufoto. Cuma, jalannya yang berbeza. Setiap satu jalan ada kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Segalanya terpulang kepada anda sendiri untuk membuat keputusan.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

TIPS DAN PANDUAN FOTOGRAFI PERCUMA – SILA KLIK DI SINI

Sekiranya anda berminat untuk belajar fotografi melalui kursus jangka pendek, anda boleh hadiri berbagai kursus dan bengkel anjuran FOTOTEACHER.COM. Barisan tenaga pengajar dan jurulatih kami terdiri dari individu yang mempunyai kelulusan formal dalam bidang fotografi dan mempunyai pengalaman minima selama 15 tahun dalam industri sebagai jurufoto profesional. SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Dokumentari Foto – Nenek dan Kucing

Sebuah dokumentari foto yang memberikan inspirasi. Subjek ‘biasa’ yang dirakam dengan sepenuh jiwa, lantas menghasilkan sebuah karya yang bernilai tinggi. Seorang jurufoto wanita yang bernama Miyoko Ihara dari Jepun telah mendokumentasikan kisah kehidupan neneknya bersama seekor kucing.

12 tahun lalu, Miyoko telah merakam gambar neneknya yang bernama Misa. Pada suatu hari, nenek beliau telah menjumpai seekor kucing yang unik dimana kucing ini mempunyai sepasang mata yang berwarna tidak sama. Kucing ini diberi nama Fukumaru. Sejak itu, Miyoko telah merakam hari-hari dalam kehidupan neneknya yang sering ditemani kucing ini.

Semua foto di atas adalah hakcipta Miyoko Ihara. Untuk melihat gambar-gambar lain, SILA KLIK DI SINI

Miyoko Ihara telah membuktikan kepada kita bahawa, walaupun hanya merakam gambar sesuatu yang ‘biasa’ yang terdapat di sekeliling kita, seseorang jurufoto itu tetap boleh menghasilkan karya yang hebat jika ianya dilakukan dengan sepenuh hati dan dilakukan secara konsisten dalam satu tempoh masa yang panjang. Hasil karya Miyoko kini telah dibukukan. Maklumat lanjut boleh didapati di sini

Belajar Fotografi ke Peringkat Diploma Secara Separuh Masa

Kini anda boleh belajar Fotografi ke Peringkat Diploma Secara Separuh Masa. Untuk maklumat lanjut, anda boleh hadir ke sesi ‘preview’ atau anda juga boleh layari laman web – http://www.sorient-edu.com/

Report – Bengkel Lanjutan Fotografi di Gold Coast Morib Resort

Gambar peserta Bengkel Lanjutan Fotografi (BLF) yang telah diadakan pada 26-28 Mei 2012 bertempat di Gold Coast Morib Resort. Kepada peserta yang ingin mendapatkan foto ini di dalam saiz besar, SILA KLIK DI SINI

Kepada anda yang ingin menyertai kursus ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran DI SINI

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 (waktu pejabat) E-mel: sales@fototeacher.com atau sila layari laman web kami – www.fototeacher.com

Bengkel Lanjutan Fotografi Kali Ke-4 Kini Dibuka untuk Pendaftaran!

Bengkel seperti ini jarang-jarang diadakan di Malaysia. Sebuah bengkel intensif 3 hari 2 malam yang bukan sahaja mengajar, tetapi melatih anda untuk menghasilkan gambar yang hebat. Pelajaran bukan sahaja dalam bentuk teori, tetapi setiap ilmu yang disampaikan akan disusuli oleh demo terperinci oleh jurulatih. Bukan sekadar itu, semua peserta akan mempraktikkan sendiri apa yang telah dipelajari dalam 9 projek fotografi yang mesti dilengkapkan. Itu pun masih tidak mencukupi. Selepas sesi praktikal merakam gambar, karya setiap peserta akan dinilai dan diberikan komen tentang bagaimana cara untuk memperbaiki gambar yang telah dirakam. Akhir sekali, setiap peserta akan merakam lagi gambar dengan tema yang sama sehingga mendapat gambar yang sempurna!

Dalam bengkel ini, semua peserta akan menginap di hotel – bermakna, tumpuan penuh akan diberikan hanya untuk belajar. Siang dan malam penuh dengan aktiviti fotografi sambil dikelilingi rakan-rakan yang sama minat dengan anda. Setiap peserta juga akan dibimbing dengan rapat oleh jurulatih dan fasilitator disepanjang bengkel ini. Peserta juga akan diberikan sesi bimbingan secara one-to-one agar masalah spesifik yang dihadapi oleh setiap peserta dapat diselesaikan.

Kini, bengkel ini akan diadakan lagi untuk kali yang ke-4. Jangan lepaskan peluang ini jika anda benar-benar ingin memperbaiki kemahiran fotografi anda; tanpa membuang masa dengan trial & error.

Kami menawarkan harga diskaun early bird sekiranya anda membuat bayaran sebelum 1 Mei 2012. Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, sila ke – http://fototeacher.com/blf.htm

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155 (waktu pejabat) atau 012-6020770 atau hantarkan e-mel kepada sales@fototeacher.com. Sila layari laman web – http://fototeacher.com/blf.htm

E-book Percuma – Craft & Vision

E-book yang bertajuk “Craft & Vision – 11 Ways You Can Improve Your Photography” ini adalah hasil penulisan dari beberapa orang jurufoto antarabangsa seperti David duChemin, Piet Van den Eynde, Andrew S. Gibson, Nicole S. Young, Alexandre Buisse, Stuart Sipahigil, Eli Reinholdtsen and Michael Frye.

E-book ini boleh dimuat turun secara percuma. Untuk maklumat lanjut, sila layari – http://craftandvision.com/books/craft-and-vision/

Pameran Fotografi vs Facebook Album

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Di dalam zaman internet kini, jurufoto dengan mudah dapat mempamerkan karya mereka melalui laman web, blog, Facebook, Flickr dan sebagainya. Karya foto dapat ‘dipamerkan’ dalam media elektronik ini dengan mudah dan dapat mencapai ribuan pelawat di alam siber dari seluruh dunia! Disebabkan faktor ini, ramai jurufoto tidak lagi berminat untuk mempamerkan karya mereka dalam pameran fotografi yang diadakan di galeri yang ternyata lebih sukar prosesnya dan lebih tinggi kosnya.

Tidak seperti berkongsi karya foto di internet, apabila mengadakan pameran fotografi di galeri, seseorang jurufoto perlu mengeluarkan kos tambahan seperti mencetak foto ke saiz besar, membingkaikan foto dan adakalanya terpaksa membayar kos sewaan galeri.

Jadi, mengapa perlu mempamerkan foto di galeri? Apakah kelebihannya? Adakah berbaloi kita mengorbankan masa dan wang untuk mempamerkan karya foto kita di galeri?

Sebelum era digital dan internet, cara terbaik untuk memperlihatkan karya senifoto adalah melalui pameran fotografi yang diadakan di galeri seni. Selain dari berkongsi karya, pameran fotografi mampu mengangkat tahap seseorang jurufoto dan secara tidak langsung, setiap pameran yang diadakan adalah seumpama pengiktirafan istimewa kepada seseorang jurufoto itu. Selain dari itu, ada juga jurufoto yang memperolehi pendapatan lumayan dengan menjual karya senifoto mereka kepada pengumpul karya seni.

Tidak seperti mempamerkan foto di internet, pameran fotografi di galeri memberikan impak yang amat berbeza. Foto yang dilihat di skrin komputer tidak dapat menandingi kesan yang diberikan oleh paparan foto yang dipamerkan di dinding-dinding galeri. Di galeri, foto dicetak ke saiz yang besar siap dengan kemasan bingkai. Selalunya, semakin besar saiz foto yang dipamerkan, semakin kuat impak yang dihasilkan. Segalanya juga harus kelihatan sempurna – kualiti cetakan foto, pemilihan mounting, pemilihan bingkai, susunan siri foto, tema, konsep pameran, kualiti pencahayaan bahan pameran dan sebagainya. Ianya merupakan sebuah persembahan seni yang cukup unggul.

Di era digital, jarang sekali kita mencetak foto yang dirakam. Selalunya, foto-foto ini sekadar dimuat-naik dan dikongsikan di alam internet. Dari satu sudut pandang, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa, foto yang tidak dicetak dan tidak dipamerkan di ‘alam nyata’ adalah satu karya yang tidak sempurna prosesnya! Jadi, secara ekstremnya mungkin kita boleh katakan bahawa, jika kita rasa karya kita layak dikongsi dan kita menghargai karya kita sendiri – maka pamerkan karya itu di galeri!

Mempamerkan karya di galeri juga memberikan peluang kepada jurufoto untuk bertemu secara bersemuka dengan peminat karyanya. Jurufoto boleh menjawab soalan, berbincang dan berbual secara langsung dengan pengunjung pameran. Jurufoto juga perlu bersedia menghadapi kritikan dan mempertahankan karyanya jika perlu. Bentuk komunikasi begini nampak lebih telus dan lebih hidup berbanding komunikasi di alam siber.

Dunia seni telah meletakkan standard bahawa, karya seni harus dipamerkan di galeri sebagai satu bentuk penghargaan kepada karya seni itu sendiri. Ini juga akan membuktikan kesungguhan seseorang artis dalam kerjayanya. Artis seni lukis dan seni arca misalnya telah lama ‘bermain’ dan sentiasa aktif dalam berbagai pameran seni. Kini sudah tiba masanya, pengkarya fotografi pula melibatkan diri secara aktif dalam mempamerkan karya mereka di galeri seni, sesuai dengan perkembangan fotografi dewasa ini.

Sebagai permulaan, kita boleh mengadakan pameran secara berkumpulan bersama beberapa orang rakan jurufoto atau lebih mudah lagi jika kita menyertai pameran yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Matlamat seterusnya adalah untuk mengadakan pameran solo pula. Pameran solo memerlukan seseorang jurufoto mempunyai koleksi karya foto yang lebih banyak dan ianya juga lebih rumit untuk diadakan.

Terdapat dua cara untuk mendapatkan ruang galeri. Cara pertama ialah dengan menunjukkan contoh karya kita kepada galeri yang telah dipilih. Pihak galeri akan membuat keputusan samada karya kita cukup kuat untuk dipamerkan. Jika pihak galeri setuju mempamerkan karya kita, mereka biasanya akan mengambil sejumlah komisen dari setiap karya kita yang terjual semasa pameran berlangsung.

Cara kedua untuk mendapatkan ruang galeri ialah dengan membayar keseluruhan kos sewaan galeri. Biasanya, dengan cara ini, pihak galeri tidak begitu kisah tentang karya yang ingin dipamerkan asalkan kita membayar kos sewa yang telah ditetapkan. Kos sewaan galeri ini biasanya dalam lingkungan RM2,000 hingga RM5,000 untuk sewaan seminggu bergantung kepada saiz ruang dan lokasi galeri. Selain dari kos ini, jurufoto perlu menanggung sendiri kos cetakan gambar, bingkai foto, promosi, katalog pameran dan majlis pelancaran. Kos ini boleh diringankan dengan mengadakan pameran secara berkumpulan atau mendapatkan penaja.

Tidak seperti di negara maju, jiwa masyarakat kita belum begitu ‘hampir’ dengan galeri atau karya seni itu sendiri. Mengunjungi galeri bukan menjadi kebiasaan bagi kebanyakan dari kita. Tetapi, situasi itu boleh diubah. Kita sendiri perlu mengubahnya. Mungkin ramai yang malas untuk mengunjungi galeri kerana terpaksa meluangkan masa dan menempuh kesesakan jalanraya misalnya. Tetapi, percayalah, memang berbaloi meluangkan masa untuk menghayati pameran foto yang bagus. Ianya boleh memberikan inspirasi kepada kita untuk terus berkarya di dalam fotografi.

Bagi jurufoto yang berjaya mempamerkan karyanya di galeri, ianya merupakan kemuncak kepuasan dalam berkarya. Ianya adalah umpama satu pencapaian dalam perjalanan kita sebagai seorang jurufoto.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2011. Dilarang mengeluarkan semula artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari FOTOTEACHER.COM

Saya bersama Bustamam Mokhtar semasa pameran solo beliau di Pavilion Kuala Lumpur
Saya ketika menyertai Pameran Fotografi yang dianjurkan oleh AKAR & KukuBesi Manipulasi
Ketika menghadiri pameran fotografi oleh pelajar fotografi UTM SPACE di Annexe Gallery
Bersama rakan-rakan dan Ikram Ismail ketika pameran fotografi solo beliau di Balai Berita, NSTP
Bersama karya foto saya yang dipamerkan dalam Pameran Terbuka 2011, Galeri Shah Alam

DAPATKAN AKSESORI FOTOGRAFI DARI KEDAI ONLINE FOTOTEACHER! SILA KLIK DI SINI

Light Painting

Light Painting - Pantai Nenasi, Pekan, Pahang

Light Painting ialah satu teknik dimana imej dirakam di dalam gelap; sumber cahaya dari lampu suluh dan sebagainya digunakan untuk menyuluh subjek agar imejnya dapat dirakam oleh sensor kamera. Apa yang menarik mengenai light painting ialah, kita dapat memberikan kesan pencahayaan kepada subjek dari berbagai arah dengan berbagai tahap kecerahan, walau hanya menggunakan satu sumber cahaya. Ini dapat dilakukan apabila merakam gambar di tempat gelap menggunakan tempoh dedahan shutter yang lama.

Foto di atas dirakam pada kira-kira jam 8.30 malam di kawasan yang gelap. Kamera dipasang pada tripod dan shutter dibuka selama 4 minit menggunakan BULB. Aperture f/8 dan ISO 200 digunakan. Sepanjang tempoh dedahan selama 4 minit itu, 2 lampu suluh digunakan untuk menyuluh bahagian-bahagian yang hendak ditunjukkan di dalam gambar. Lampu kereta digunakan untuk menyuluh subjek dari tepi. Saya dibantu oleh 2 orang rakan untuk proses ini.

Setiap objek di dalam gambar disuluh dari arah yang berbeza untuk mendapatkan kesan sudut pencahayaan yang menarik. Setiap objek juga disuluh dengan tempoh suluhan yang berbeza agar kecerahan yang pelbagai diperolehi. Objek yang ingin dicerahkan disuluh lebih lama berbanding objek yang ingin digelapkan. Dalam gambar di atas, terdapat 8 jenis pencahayaan berbeza digunakan untuk menerangi keseluruhan gambar.

Light painting memang satu proses yang seronok untuk dilakukan. Harap anda dapat mencubanya sendiri.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Sertai FOTOTEACHER di Facebook untuk mendapatkan berbagai tips fotografi dan info terbaru tentang dunia fotografi. Sila ke Page Facebook kami di – http://www.facebook.com/fototeacher

BLOG ARKIB – Kreatif Tak Tentu Hala @ Syok Sendiri


KREATIF TAK TENTU HALA @ SYOK SENDIRI
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk Kreatif Tak Tentu Hala @ Syok Sendiri – 10 November 2008)

Tadi saya sempat dengar feedback dari seorang client yang tak berapa puas hati dengan hasil gambar yang dia dapat. Client ini baru kahwin. Jadi, semasa majlis perkahwinan dia baru-baru ini, dia telah upah seorang photographer. Photographer ini banyak shoot gambar-gambar ala-ala kreatif dengan ‘trend terkini’.

Masalahnya, client ini sudah melepasi usia ‘remaja’ dan jenis yang ada ‘citarasa. Client macam ini biasanya tidak berapa suka gambar yang terlalu kreatif dan style gila-gila. Gambar sebegini biasanya hanya digemari oleh pengantin remaja. Pengantin yang bukan remaja dan dari golongan pertengahan ke atas, lebih suka gambar standard yang cantik dengan sedikit sentuhan kreatif. Jadi, jurugambar seharusnya tahu, gambar jenis macamana yang boleh tackle hati pengantin.

Kalau shoot gambar kreatif yang berpada-pada, saya rasa, ramai orang boleh terima. Kreatif itu memang bagus -yang menjadi masalah sekarang ini, gambar kreatif yang sudah jadi karya syok sendiri; gambar yang dirakam tanpa memikirkan ‘hati dan perasaan’ orang lain.

Ramai jurugambar sekarang terikut-ikut dengan trend dan pelbagai gaya fotografi. Yang mengikut itu pula, tidak tahu kenapa dia mengikut. Yang dia tahu, dia mengikut sahaja. Orang shoot pakai fisheye lens, dia ikut. Orang shoot low angle, dia ikut. Orang shoot candid, dia ikut.

Nak shoot pakai  fisheye lens, kenalah tengok subjek yang sesuai. Bukan semua subjek sesuai dirakam guna fisheye lens. Kalau boleh, janganlah letak muka subjek di bucu framing sampai kembang muka subjek kita tu dek distortion. Kita sebagai jurugambar memanglah suka efek distortion dan perspective yang unik ini. Tapi, kita kena tanya diri kita, siapa yang bayar kita ambil gambar ni? Dia sukakah apa yang kita suka? Client ni, selalunya dia tak complaint depan-depan kita – maklumlah, orang Melayu penuh dengan sopan santun. Tapi, saya banyak kali dengar client complaint pasal kes gambar herot dan kembang ni. OK, sebelum saya diserang, saya nak buat disclaimer. Kalau ada jurugambar yang memang confirm kata client dia sangat suka gambar muka herot dan kembang – then, go ahead. Janji client suka. Lagi satu, pasal isu distortion ni, saya bercakap untuk wedding photography saja. Bidang fotografi lain seperti fine art, photojournalism dan sebagainya, saya taknak komen pasal distortion. Itu dah tajuk lain.

Lagi satu pasal shooting dari low angle. Shoot dari low angle ni memang dah ada dalam teknik fotografi sejak zaman Tok Kadok lagi. Cuma sekarang ni dah terover popular. Kalau nak shoot low angle tu memanglah boleh. Tapi, kena tengoklah jugak kalau-kalau angle tu mencacatkan gambar, terutamanya muka subjek kita. Satu orang client ni complaint kat saya, ada sorang jurugambar ni banyak shoot gambar kahwin dia dari low angle. Kata client ni, lubang hidung dia nampak besar dari low angle. Lubang hidung dia ni dahlah memang besar, shoot pulak dari low angle, memang nampak lubang hidung je la.

Lagi satu complaint yang selalu saya dengar dari client ialah pasal photographer shoot gambar kandid budak-budak. Budak-budak kecil ni memang comel. Tapi, kalau boleh, kena tengok jugak, apa hubungan budak kecil tu dengan pengantin dan samada pengantin suka atau tidak gambar-gambar kandid macam ni. Janganlah main tembak saja – shoot gambar kandid budak-budak ni sampai 50 frame, macam-macam gaya, sampai lupa nak shoot gambar pengantin.  Alih-alih, budak kecil tu rupanya anak kepada kawan kepada pakcik kepada jiran kepada mamat yang supply P.A. System kat majlis kahwin tu. Tak ke haru. Gambar budak tu pulak dah dimasukkan dalam custom album, dengan centre spread layout. Double haru…

Minta maaf kalau saya ada menyinggung mana-mana pihak dalam artikel ni. Sekadar berkongsi dan menyampaikan apa yang saya dengar dari pelanggan – untuk kebaikan kita bersama. Apa yang saya tulis, hanya betul bagi pendapat saya dan saya percaya, ada pendapat lain yang betul juga. Harap anda boleh kongsi pengalaman dan pendapat anda di ruangan komen di bawah ni.

LANGGAN NEWSLETTER PERCUMA DARI fototeacher.com! Anda akan diberitahu secara automatik melalui e-mel sekiranya ada sebarang artikel baru, kursus percuma, promosi, program baru, berita terkini dan sebagainya. Untuk melanggan newsletter percuma ini, sila ke –http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

STREET PHOTOGRAPHY

STREET PHOTOGRAPHY
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Street Photography atau aktiviti merakam foto di sekitar jalan di bandar merupakan satu lagi cabang fotografi yang semakin popular di Malaysia ketika ini. Street Photography bukanlah satu bidang baru, ianya telah wujud sebagai satu cabang dalam fotografi sejak zaman awal fotografi lagi. Namun, Street Photography pada ketika ini telah telah diberi ‘nafas’ baru dengan penggabungan elemen lain dan gaya-gaya tertentu.

Di dalam Street Photography, selalunya jurufoto merakam dan menceritakan kehidupan masyarakat di sesuatu tempat (atau sekitar jalanan di sesuatu bandar) mengikut kacamata jurufoto. Biasanya, subjek utama yang dirakam adalah manusia, tetapi, sesuai dengan nama Street Photography, latar belakang atau elemen-elemen lain yang selalu ada di dalam foto itu adalah bangunan, kaki lima, jalanraya, gerai, jambatan dan seumpamanya.

Perkara yang menarik mengenai Street Photography ialah kita tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan subjek yang menarik. Kebanyakan dari kita tinggal berhampiran bandar atau tinggal di dalam bandar itu sendiri. Apa yang perlu dilakukan ialah ‘melihat’ sesuatu subjek itu dengan pandangan seorang jurufoto. Ada banyak subjek menarik yang selalu kita terlepas pandang. Dengan sedikit penghayatan, menunggu masa yang sesuai dan kreativiti, kita mampu menghasilkan imej-imej yang menarik dalam Street Photography. Kita mungkin dapat hasilkan foto yang luar biasa hanya dengan merakam subjek biasa yang jarang-jarang orang lain pernah hiraukan.

Salah seorang tokoh awal Street Photography ialah Henri Cartier-Bresson (1908-2004), seorang jurufoto lagenda yang hasil karyanya dikagumi sehingga kini. Namun, Henri Cartier-Bresson pada zamannya tidaklah digelar sebagai Street Photographer, tetapi lebih dikenali sebagai seorang jurufoto yang berkebolehan merakam foto tepat pada detik yang paling sukar atau lebih terkenal dengan istilah ‘the decisive moment‘. Pada zaman sekarang, istilah ini juga telah disama ertikan dengan nama candid atau moment.

Henri Cartier-Bresson juga merupakan perintis kepada bidang photojournalism atau  foto kewartawanan. Beliau merupakan salah seorang dari ahli pengasas Magnun Photo Agency, sebuah agensi foto kewartawanan yang disegani hingga kini. Oleh kerana banyak foto beliau dirakam dijalanan, maka, ada juga yang berpendapat bahawa beliau juga boleh dikategorikan sebagai seorang Street Photographer.

Antara hasil karya Henri Cartier-Bresson:


Foto oleh Henri Cartier-Bresson


Foto oleh Henri Cartier-Bresson


Foto oleh Henri Cartier-Bresson


Foto oleh Henri Cartier-Bresson


Foto oleh Henri Cartier-Bresson

Di Malaysia pada ketika ini, terdapat beberapa orang jurufoto yang serius merakam subjek dalam bidang Street Photography. Masing-masing mempunyai kecenderungan, citarasa, gaya dan pendapat yang tersendiri mengenai Street Photography.

Salah seorang Street Photographer yang mempunyai gayanya yang unik dan tersendiri ialah Che’ Ahmad Azhar – seorang yang berpengalaman luas dalam bidang komunikasi visual yang kini bertugas di Universiti Multimedia Malaysia. Selain dari aktif merakam foto Street Photography, beliau juga kini sedang giat membuat penyelidikan mengenai bidang Street Photography. Che’ Ahmad Azhar atau lebih dikenali dengan nama Che’ Mat dikalangan rakan-rakan jurufoto akan bersama-sama berkongsi hasil penyelidikan dan pengalaman beliau dalam satu program Photo Talk – Street Photography yang akan diadakan pada 12 Februari 2011.

Antara hasil karya Che’ Ahmad Azhar:


Foto oleh Che’ Ahmad Azhar


Foto oleh Che’ Ahmad Azhar


Foto oleh Che’ Ahmad Azhar


Foto oleh Che’ Ahmad Azhar


Foto oleh Che’ Ahmad Azhar

FOTOTEACHER akan mengadakan 2 program bertemakan Street Photography iaitu Photo Talk pada 12 Februari 2011 (yuran penyertaan minima dikenakan) dan diikuti program outing percuma pada 13 Februari 2011 di sekitar Kuala Lumpur. Che’ Ahmad Azhar sendiri akan mengendalikan kedua-dua program ini.

Maklumat lain adalah seperti di bawah ini:


Program: Photo Talk – Street Photography
Tarikh: 12 Februari 2011
Masa: 2.00 petang – 5.00 petang
Tempat: FOTOTEACHER Training Centre, Cheras, Kuala Lumpur
Yuran penyertaan: RM85 seorang (Harga istimewa RM50 seorang untuk bekas peserta kursus AFD FOTOTEACHER)
Untuk melihat maklumat lanjut dan pendaftaran, SILA KLIK DI SINI
(Sila buat pendaftaran dan bayaran segera, tempat terhad!)


Program: Photo Outing – Street Photography
Tarikh: 13 Februari 2011
Masa: 8.00 pagi – 11.00 pagi
Tempat: Sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur
Yuran penyertaan: PERCUMA
Untuk melihat terma & syarat, maklumat lanjut dan pendaftaran, SILA KLIK DI SINI
(Sila buat pendaftaran segera, tempat terhad!)

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155 (waktu pejabat) atau hantarkan e-mel kepada sales@fototeacher.com

Untuk menyertai berbagai kursus fotografi, sila layari – www.fototeacher.com

TEAM FOTOTEACHER.COM