Tag Archives: kerjaya

Report – Kursus Pencahayaan Kreatif khas untuk Insitut Pengurusan Kesihatan

Gambar peserta Kursus Pencahayaan Kreatif khas untuk Institut Pengurusan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah diadakan pada 25-26 November 2013. Kepada peserta yang ingin mendapatkan foto ini di dalam saiz besar, sila ke: http://fototeacher.com/2GroupPhotoIPK2013Large.jpg

Kepada anda yang ingin menyertai kursus seperti ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di – http://www.fototeacher.com/

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 (waktu pejabat) E-mel: sales@fototeacher.com atau sila layari laman web kami – http://www.fototeacher.com/

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Blog Arkib – Jurufoto Sambilan

Jurufoto Sambilan
Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk ” Jurufoto Sambilan”– 21 Oktober 2011)

Penghasilan karya foto adalah satu bentuk produk niaga untuk seorang usahawan fotografi.

Bagi peminat fotografi baru (beginners), salah satu cara yang paling mudah untuk menjana pendapatan adalah melalui fotografi perkahwinan. Bagi golongan yang mempunyai pendapatan tetap, bisnes fotografi perkahwinan dilakukan secara sambilan. Apabila dilakukan secara sambilan, ada segelintir jurufoto sambilan yang kurang bersungguh-sungguh dalam kerja fotografi perkahwinan. Tanpa minat dan kesungguhan, seseorang itu tidak boleh maju dalam bidang ini.

Tanpa ilmu dan bimbingan yang betul, ada masanya seseorang itu akan terperangkap dalam beberapa masalah. Adakalanya ini akan membuatkan seseorang itu berputus asa lalu meninggalkan terus bidang ini. Selain dari itu, ada juga golongan yang terlibat dalam fotografi perkahwinan dalam satu tempoh masa yang lama, tetapi malangnya mereka tidak memperolehi hasil yang setimpal walaupun telah mengorbankan banyak wang dan masa mereka.

Sebenarnya, jika pekerjaan ini dilakukan dengan cara yang betul, ianya boleh memberikan pendapatan yang lumayan. Sudah terbukti, ramai jurufoto perkahwinan di luar sana yang telah berjaya.

Bidang fotografi perkahwinan nampak mudah pada awalnya. Tetapi, sebenarnya, ia tidak semudah yang disangka. Memang betul, sesiapa sahaja boleh merakam foto perkahwinan, tetapi untuk merakam foto perkahwinan yang berkualiti tinggi, memerlukan ilmu, kemahiran, pengalaman dan usaha yang bersungguh-sungguh. Adalah lebih sukar lagi untuk menjana keuntungan dari fotografi perkahwinan. Seseorang itu perlu ada ilmu perniagaan selain dari ilmu fotografi. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, ilmu perniagaan adalah lebih penting dari ilmu fotografi sekiranya seseorang itu ingin berjaya dalam fotografi perkahwinan.

Ramai jurufoto sambilan menyangka mereka mendapat untung setiap kali mendapat pelanggan. Tetapi, hakikatnya mereka selalu rugi, terutamanya dalam jangka masa panjang. Memanglah setiap kali kerja dilakukan, mereka akan mendapat sedikit wang untung bersih, tetapi, mereka tidak sedar bahawa mereka telah rugi satu perkara yang lebih bernilai, iaitu – masa. Untung bersih yang diperolehi tidak setimpal dengan masa yang telah dikorbankan jika bisnes ini dilakukan dengan cara yang salah.

Antara kesilapan lain yang selalu dilakukan oleh jurufoto perkahwinan yang melakukan kerja secara sambilan ialah:

1)    Menganggap fotografi perkahwinan adalah sebahagian dari hobinya dalam fotografi. Disebabkan itu, mereka tidak begitu kisah dengan jumlah bayaran yang diterima. Mereka tidak faham maksud hobi. Hobi ialah melakukan sesuatu untuk kepuasan diri sendiri, tetapi fotografi perkahwinan bukan satu hobi kerana kita perlu merakam gambar untuk kepuasan pelanggan.

2)    Membelanjakan wang dengan cara yang salah untuk membeli kamera, lensa dan lain-lain peralatan fotografi yang sebenarnya tidak diperlukan. Mereka menyangka, peralatan yang mahal boleh memajukan perniagaan mereka, tetapi sebenarnya itu tidak benar. Kesilapan pengurusan kewangan ini boleh mengundang masalah lain yang lebih besar. Mereka sepatutnya turut memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan pemasaran, modal pusingan dan lain-lain.

3)    Tidak mengetahui dan tidak mahir teknik yang betul dalam merakam foto perkahwinan. Bidang fotografi adalah bidang yang luas dan setiap bidang pengkhususan dalam fotografi itu mempunyai teknik-tekniknya yang tersendiri. Teknik yang digunakan untuk merakam foto sebagai hobi misalnya, adalah berlainan dengan teknik merakam foto perkahwinan. Biasanya, teknik dalam fotografi perkahwinan mementingkan teknik yang ringkas, cepat tetapi berkesan. Di dalam fotografi perkahwinan juga, imej yang dihasilkan mestilah mempunyai tahap kesenian yang tertentu disamping ianya juga perlu menambat hati pelanggan.

4)    Mudah terikut dan meniru gaya foto yang dihasilkan oleh jurufoto lain. Disebabkan meniru, hasil karya mereka tidak mempunyai keaslian atau identiti sendiri. Dengan cara mengikut tanpa faham konsep dan tanpa ada kemahiran mengenainya, hasilnya juga tidak begitu menjadi. Untuk bersaing, seseorang jurufoto itu perlu mempunyai karya yang unik agar dia boleh ‘dilihat’ dan dihargai oleh bakal pelanggan.

5)    Tidak mahir dalam bidang pemasaran. Walau sebagus mana pun karya seseorang itu, tanpa pemasaran yang betul, karya itu tidak dapat menjana pendapatan untuknya. Jurufoto sambilan biasanya tidak sanggup untuk membelanjakan wang untuk pemasaran (tetapi sanggup membeli kamera mahal) Mereka tidak faham bahawa, wang yang dikeluarkan untuk menjalankan pemasaran yang berkesan adalah satu pelaburan, bukannya satu pembaziran. Bukankah bijak jika terpaksa membelanjakan RM10,000 untuk pemasaran jika kita akan mendapat untung RM50,000 darinya?

Tetapi, semua ini adalah normal – dalam proses belajar, kita memang akan sentiasa membuat kesilapan. Apa yang penting ialah kita belajar dari kesilapan. Makin besar kesilapan yang dibuat, makin besar pengajaran yang akan didapati. Tetapi, orang yang lebih bijak ialah orang yang belajar dari kesilapan orang lain. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya jurufoto sambilan yang masih baru di dalam bidang ini menambahkan usaha untuk mencari ilmu dan belajar dari jurufoto lain yang lebih berpengalaman.

Selain dari penguasaan berbagai teknik fotografi, apa yang lebih penting lagi, seseorang jurufoto itu mestilah sanggup bekerja keras untuk mencapai kejayaan

Akan sampai masanya nanti apabila seseorang itu telah lama dalam bidang ini, dia akan tiba di satu titik untuk membuat keputusan – berhenti kerja tetap dan lakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa! Untuk pergi lebih jauh, semua orang akan melalui peringkat ini. Peringkat yang lebih sukar, lebih mencabar dan lebih berisiko. Tetapi, pulangannya berbaloi jika kita berjaya.

Jika dilakukan dengan cara yang betul, setelah beberapa tahun melakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa, seseorang itu akan pergi ke langkah seterusnya, iaitu mempunyai pejabat yang khusus untuk perniagaannya. Bukan lagi beroperasi dari rumah. Disebabkan tugasan yang banyak, pada peringkat ini juga, jurufoto akan mula mempunyai pekerja yang akan membantu dalam beberapa urusan. Pada peringkat ini juga, jurufoto tadi bukan sahaja sibuk merakam foto, tetapi dia juga akan sibuk dalam menguruskan bermacam-macam hal berkaitan perniagaannya. Mungkin selepas beberapa ketika, dia akan membuka satu lagi perniagaan baru, menambah bilangan pekerja atau berpindah ke pejabat yang lebih besar. Ini menandakan bahawa seseorang jurufoto itu telah berjaya di dalam bidangnya, walau pada awalnya dia hanya bermula dari seorang jurufoto sambilan.

SERTAI KURSUS FOTOGRAFI PERKAHWINAN OLEH HASNUDDIN ABU SAMAH. SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT

Report – Kursus Fotografi Perkahwinan

Gambar peserta Kursus Fotografi Perkahwinan yang telah diadakan pada 18 Mei 2013. Kepada peserta yang ingin mendapatkan foto ini di dalam saiz besar, sila ke: http://www.fototeacher.com/GroupPhotoKFP18Mei2013Large.jpg

Kepada anda yang ingin menyertai kursus seperti ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di – http://www.fototeacher.com

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 (waktu pejabat) E-mel: sales@fototeacher.com atau sila layari laman web kami – http://www.fototeacher.com

Buat Duit dari Microstock (Bahagian 3/3)

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Sebelum membaca artikel ini, anda disarankan untuk membaca artikel Bahagian 1 dan Bahagian 2 terlebih dahulu.

Andaikan selepas 5 tahun, anda telah mempunyai 6,000 keping gambar di dalam microstock. Secara kasarnya, anda akan memperolehi pendapatan diantara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan. Jumlah ini nampak agak selesa terutamanya bagi anda yang melakukan kerja ini secara sambilan. Tetapi, setelah mengambil kira kos dan masa yang terlibat, adakah pendapatan ini berbaloi? Kita akan bincangkan selepas ini.

Satu lagi perkara penting yang perlu dinyatakan, pendapatan yang anda perolehi dari microstock seperti Shutterstock akan dikenakan cukai oleh kerajaan Amerika Syarikat sebanyak 30%. Sekiranya hasil jualan gambar anda ialah RM6,000 sebulan, anda perlu membayar cukai sebanyak RM1,800. Oleh itu, anda hanya akan menerima bayaran berjumlah RM4,200.00 sahaja setelah ditolak bayaran cukai.

Untuk memiliki 6,000 keping gambar di dalam microstock, anda perlu mendapatkan 25 keping gambar setiap minggu atau 100 keping gambar setiap bulan selama 5 tahun. Jumlah ini hanya sebagai cadangan sahaja. Anda boleh merakam lebih banyak gambar setiap minggu jika anda mahu. Jadi, untuk merakam 25 keping gambar yang berkualiti setiap minggu, agaknya berapa lamakah masa yang perlu anda luangkan? Berapakah agaknya ‘gaji’ anda sejam untuk kerja ini?

Berikut ini dinyatakan proses kerja yang terlibat dan anggaran masa yang diperlukan untuk mendapatkan 25 keping gambar seminggu:

Jumlah masa yang digunakan ialah – 15 jam untuk mendapatkan 25 keping gambar. Ini bermaksud, secara puratanya, anda memerlukan 36 minit untuk proses lengkap bagi penghasilan setiap keping gambar. Katakan setiap keping gambar akan memberikan anda pulangan RM1 setiap bulan selama 5 tahun (selepas 5 tahun, gambar ini mungkin sudah tidak laku lagi), jumlah pendapatan yang diperolehi dari setiap keping gambar ini adalah RM60.00 di sepanjang 5 tahun. Jadi, 36 minit untuk menghasilkan sekeping gambar yang memberikan pulangan RM60.00, bermaksud, gaji atau upah anda adalah sekitar RM100 sejam. Nampaknya, angka ini agak baik juga. Tetapi perlu diingat. Ini cuma anggaran kasar – pendapatan anda mungkin lebih tinggi atau mungkin juga kurang dari jumlah yang dinyatakan ini.

Untuk menjadi lebih produktif, bagi mendapatkan 25 keping gambar setiap minggu; rancang sesi fotografi anda supaya anda merakam gambar satu subjek sahaja, dengan satu tema. Buat berbagai variasi 'pose', komposisi, penggunaan 'props' yang berbeza, penggunaan pakaian yang berbeza dan sebagainya. Semuanya perlu berjalan lancar, dan setiap sesi perlu disiapkan dalam masa 5-6 jam penggambaran sahaja.

Ada bermacam jenis teori dan formula untuk meramal pendapatan dari microstock ini. Tetapi, tidak ada siapa yang akan tahu, berapa jumlah wang sebenarnya yang akan anda perolehi, melainkan anda perlu cuba sendiri!

Contoh di atas hanya menunjukkan jumlah masa kerja yang terlibat untuk penghasilan gambar. Ini belum termasuk kos wang ringgit yang perlu anda belanjakan untuk sesi rakaman gambar. Kos yang dimaksudkan ialah seperti kos membeli props, bayaran kepada model, sewa studio, pengangkutan dan sebagainya. Tetapi, biasanya, jurufoto microstock akan mengelak dari mengeluarkan sebarang kos atau mereka akan cuba untuk bekerja dengan kos yang paling minima. Jadi terpulanglah kepada kepandaian anda untuk mengawal kos yang mungkin terlibat.

Shutterstock merupakan salah satu agensi microstock yang terbesar ketika ini.

SILA KLIK DI SINI UNTUK MENDAFTAR DAN MENJUAL GAMBAR ANDA DI MICROSTOCK

15 tahun dahulu, tidak ramai jurufoto yang menceburi bidang microstock. Pada waktu itu, pendapatan dari microstock boleh dikatakan jauh lebih lumayan dari apa yang ditawarkan oleh bidang microstock sekarang ini. Persaingan kini semakin sengit, sudah ada terlalu ramai jurufoto dan sudah ada terlalu banyak gambar di dalam bidang microstock. Pada masa ini, agak sukar untuk memperolehi pendapatan yang baik dari bidang microstock. Memang inilah kenyataan yang selalu disebutkan oleh jurufoto-jurufoto yang telah lama berpengalaman di dalam bidang ini.

Walaupun begitu, bidang microstock masih tetap menjanjikan keuntungan walaupun tidak semewah dahulu. Jurufoto sekarang perlu lebih kreatif, lebih bijak dan perlu bekerja lebih keras untuk berjaya di dalam bidang ini. Untuk berjaya, jurufoto perlu membuat pengkhususan di dalam merakam gambar subjek-sebjek tertentu yang belum pernah atau jarang dirakam oleh jurufoto lain, asalkan ada permintaan terhadap gambar sebegitu. Mungkin, seseorang jurufoto itu perlu menggunakan teknik-teknik terbaru serta mencipta gaya fotografinya yang tersendiri bagi membolehkannya bersaing di dalam bidang ini.

Gambar ini mungkin nampak sudah cukup baik, tetapi, ianya telah ditolak (reject) oleh pihak microstock kerana tidak menepati tahap kualiti teknikal yang dikehendaki. Dari sini, kita akan belajar dan terus memperbaiki kualiti gambar yang kita rakam.

Tidak ada apa yang mudah. Tetapi peluangnya tetap ada. Belum cuba, belum tahu. Mungkin, sebagai permulaan, tidak perlulah fikirkan sangat mengenai keuntungan besar dan segera. Usaha ini memerlukan masa yang lama. Untuk langkah awal ini, elok juga jika seseorang itu menganggap microstock hanya sebagai platform untuk berlatih dan memantapkan kemahiran fotografi dan dalam masa yang sama, seseorang itu boleh mendapatkan sedikit wang hasil untuk menampung kegiatan fotografinya.

Microstock sesuai dilakukan secara sambilan disamping anda bekerja dalam bidang lain yang lebih menguntungkan buat masa ini. Anda boleh cuba microstock selama beberapa bulan atau beberapa tahun dan lihat dulu hasilnya. Jika dirasakan tidak berbaloi, anda boleh berhenti saja. Sekurang-kurangnya anda telah mencuba, bukan sekadar mendengar cakap-cakap orang lain.

Apa yang pasti, apabila anda menceburi bidang microstock, anda akan banyak belajar perkara baru mengenai fotografi terutamanya dari aspek komersial. Dari masa ke semasa, gambar anda akan ditolak (reject) oleh agensi microstock kerana tidak mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Dari sini anda akan belajar dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan. Setelah beberapa lama, kemahiran anda akan menjadi semakin mantap. Gambar yang anda hasilkan juga akan menjadi lebih berkualiti dan semakin laris dijual. Pada tahap ini, mungkin wang yang lumayan sudah mula masuk dengan lancar ke akaun anda pada setiap bulan.

Daftarkan diri anda dengan agensi microstock sekarang!

Beli buku berkenaan microstock dari Amazon.com

Blog Arkib – Ijazah Jurufoto

IJAZAH JURUFOTO
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Ijazah Jurufoto”– 2 April 2011)

“Perlukah masuk universiti untuk jadi jurufoto profesional?” Saya seringkali ditanya soalan ini. Selalunya yang bertanya itu ialah golongan remaja yang minat fotografi dan ingin menjadikan fotografi sebagai kerjaya mereka. Jawapan ringkasnya – tidak perlu. Anda tidak perlu ada sijil, diploma dan sebagainya untuk menjadi jurufoto profesional. Tetapi, jika anda ada kelulusan formal dalam bidang fotografi, ianya akan menjadi satu kelebihan buat anda. Tetapi dengan satu syarat.

Syaratnya ialah, anda mestilah mempunyai portfolio yang kuat (portfolio adalah contoh hasil karya anda yang dapat menunjukkan tahap kemahiran anda sebagai seorang jurufoto). Portfolio inilah yang akan dinilai sebelum anda ditawarkan sesuatu kerja. Semakin baik portfolio anda, semakin mudah anda mendapat kerja dan semakin tinggi gaji yang boleh anda dapatkan.

Tetapi, jika anda ingin bekerja dalam bidang fotografi dengan pihak kerajaan, eloklah anda ada kelulusan formal dalam bidang fotografi kerana gaji yang dibayar biasanya berdasarkan tahap kelulusan formal anda samada anda pemegang sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah dan sebagainya. Begitu juga jika anda ingin menjadi pensyarah fotografi di universiti, kelulusan akademik dalam bidang fotografi adalah amat penting.

Saya bergambar bersama pelajar diploma fotografi UTMSPACE. (Sekadar gambar hiasan)

Di Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menawarkan pengajian khusus dalam bidang fotografi pada peringkat Diploma hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. UNISEL pula ada menawarkan pengajian dalam bidang fotografi hingga ke peringkat Diploma. SPACE UTM juga ada menawarkan pengajian fotografi dengan kelulusan Diploma Eksekutif, sesuai dihadiri secara sambilan. Selain dari itu, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) juga menawarkan pengajian dalam bidang fotografi pada peringkat Sijil.

Jurufoto yang tiada kelulusan formal dalam bidang fotografi pun boleh berjaya. Peluangnya adalah sama. Segalanya bergantung kepada usaha dan bakat yang dimiliki oleh setiap individu. Cuma, biasanya jurufoto yang belajar sendiri tanpa masuk ke universiti perlu melalui jalan yang agak sukar dalam proses pembelajaran kerana tidak mendapat bimbingan yang sistematik, tidak seperti di universiti. Tetapi, sekali lagi ditegaskan, jurufoto yang belajar sendiri ini tetap boleh berjaya jika beliau rajin berusaha.

Pelajar yang belajar fotografi di universiti biasanya mempunyai masa hadapan yang lebih cerah asalkan mereka belajar bersungguh-sungguh dan rajin berusaha. Pelajar universiti tidak akan berjaya di dalam industri sebagai jurufoto profesional jika mereka hanya bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata, tetapi tidak berusaha menghasilkan portfolio yang bagus. Pelajar juga mestilah menggunakan peluang networking di universiti dengan sepenuhnya kerana, ini akan menjadi aset penting bila mereka berada di dalam alam pekerjaan sebenar. Rakan-rakan kenalan universiti ini akan memegang jawatan tertentu di dalam industri selepas beberapa tahun dan mereka akan menawarkan berbagai peluang dan pertolongan yang berguna satu hari nanti.

Perkara yang perlu dipertimbangkan apabila ingin belajar fotografi di universiti ialah faktor masa dan kos pengajian. Misalnya, pengajian pada peringkat diploma akan memakan masa selama 3 tahun dan kos yang terlibat juga adalah agak tinggi (bergantung di universiti mana anda belajar). Jika dibandingkan dengan individu yang belajar sendiri, mereka sudah boleh mula menjana pendapatan dalam tempoh kurang dari 3 tahun. Tetapi, untuk jangka masa panjang, individu yang memiliki kelulusan formal dalam fotografi boleh pergi lebih jauh dan mendapat peluang yang lebih besar asalkan berusaha gigih. Tetapi, saya perlu tegaskan lagi sekali bahawa, perkara ini adalah amat subjektif. Individu yang tiada kelulusan formal dalam fotografi pun boleh berjaya jika mereka bijak mengambil peluang dan bekerja keras. Memang ramai pun jurufoto di Malaysia yang berjaya walaupun tidak memiliki sebarang kelulusan akademik dalam bidang fotografi. Sebaliknya, ada juga graduan dari universiti berkelulusan diploma atau ijazah sarjana muda dalam bidang fotografi yang tidak mendapat kerja dengan bayaran setimpal. Semuanya terletak atas pilihan dan usaha individu itu sendiri.

Satu lagi isu yang selalu timbul ialah ibu bapa biasanya tidak berapa yakin bila anaknya ingin belajar di universiti dalam bidang fotografi kerana bimbang tiada masa depan. Apa yang boleh saya katakan ialah, tidak kira bidang apa pun, kita boleh mendapat pendapatan yang lumayan jika kita rajin berusaha. Tetapi, kita perlu sedar bahawa, untuk berjaya dan mendapat pendapatan lumayan dari fotografi bukanlah mudah. Sama juga dengan bidang lain. Jadi, untuk memastikan anda terus kekal dalam fotografi dan menghadapi segala rintangan sebelum anda berjaya, anda perlu pastikan bahawa anda betul-betul meminati fotografi. Bukan sekadar terikut dengan kawan atau trend semasa. Minat yang mendalam inilah yang akan menjadi azimat untuk anda terus berjuang dalam fotografi hingglah anda berjaya kecapi kejayaan tertinggi.

Pokok pangkalnya ialah usaha. Jika anda masuk universiti untuk belajar fotografi, janganlah hanya bergantung kepada sekeping siji yang bakal anda terima nanti. Banyakkan berusaha sendiri sebagai persediaan untuk bersaing di dalam dunia pekerjaan sebenar nanti. Hasilkan portfolio yang kuat, kerana portfolio inilah yang akan ‘bercakap’ untuk anda.

Nasihat yang boleh saya berikan ialah, jika anda mampu, ada masa dan ada peluang untuk masuk universiti, maka rebutlah peluang itu. Tetapi pastikan bahawa anda memang minat fotografi dan sanggup berkorban untuknya. Ingatlah bahawa bidang fotografi bukan bidang main-main. Fotografi sebagai hobi berbeza dengan fotografi sebagai kerjaya.

Kepada anda yang tidak berpeluang untuk masuk universiti, tidak mengapa. Anda perlu ingat, ada banyak jalan untuk berjaya. Ada banyak cara untuk belajar, tambahan sekarang ini dengan kemudahan internet, maklumat boleh didapati dengan begitu mudah. Anda juga boleh menghadiri kursus pendek yang dianjurkan oleh banyak pihak sekarang ini. Cuma, berhati-hatilah – pastikan anda belajar dari guru yang bertauliah dan berpengalaman. Kemudian, carilah mentor atau orang yang boleh membimbing anda dalam fotogafi. Cari pengalaman sebanyak mungkin dengan bekerja dengan jurufoto profesional dengan tujuan untuk belajar dan cari pengalaman, lupakan dulu tentang bayaran lumayan.

Kesimpulannya, tiada jawapan yang mutlak untuk isu ini. Tidak kira anda ada kelulusan formal di dalam fotografi atau tidak, anda tetap boleh berjaya sebagai seorang jurufoto. Cuma, jalannya yang berbeza. Setiap satu jalan ada kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Segalanya terpulang kepada anda sendiri untuk membuat keputusan.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

TIPS DAN PANDUAN FOTOGRAFI PERCUMA – SILA KLIK DI SINI

Sekiranya anda berminat untuk belajar fotografi melalui kursus jangka pendek, anda boleh hadiri berbagai kursus dan bengkel anjuran FOTOTEACHER.COM. Barisan tenaga pengajar dan jurulatih kami terdiri dari individu yang mempunyai kelulusan formal dalam bidang fotografi dan mempunyai pengalaman minima selama 15 tahun dalam industri sebagai jurufoto profesional. SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Buat Duit dari Microstock (Bahagian 1/3)

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Salah satu cara untuk buat duit dari fotografi ialah dengan menjual gambar anda melalui microstock agency. Jurufoto akan dibayar sejumlah komisen dari setiap keping gambar yang dijual. Gambar-gambar ini biasanya ialah gambar-gambar yang mempunyai nilai komersial bagi digunakan di laman web, buku, majalah, poster, billboard dan sebagainya.

Salah satu contoh foto yang dijual di microstock. Walaupun foto ini nampak ringkas, ianya mempunyai mesej yang jelas; sesuai digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan dengan jualan murah, membeli belah, pasaraya, ekonomi dan sebagainya.

Microstock agency adalah sebuah agensi yang bertindak memasarkan dan ‘menjual’ gambar-gambar jurufoto yang berdaftar dengan mereka. Pelanggan yang ‘membeli’ gambar dari microstock agency biasanya terdiri dari individu yang terlibat di dalam bidang pengiklanan, penerbitan dan sebagainya. Golongan ini ‘membeli’ foto dari microstock agency kerana harga foto yang dijual adalah jauh lebih rendah berbanding jika mereka mengupah jurufoto untuk merakam gambar yang tertentu.

Sebagai contoh dan perbandingan, untuk ‘membeli’ sekeping gambar dari microstock agency, pelanggan cuma perlu membayar RM3 sekeping (bergantung kepada beberapa faktor). Tetapi sekiranya seseorang pelanggan ingin mengupah jurufoto bagi tugasan tertentu, seseorang pelanggan mungkin perlu membayar sehingga RM300 hanya untuk mendapat sekeping gambar. Oleh sebab itulah, ramai pengguna lebih cenderung untuk membeli gambar dari microstock agency kerana harganya yang jauh lebih murah. Lagi satu sebab mengapa pelanggan membeli dari microstock agency ialah kerana, foto yang diingini boleh didapati (dimuat turun) serta merta jika foto tersebut telah sedia ada di dalam koleksi microstock agency. Sebaliknya, jika pelanggan ingin merakam sendiri gambar tersebut, proses ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau minggu dari proses mencari jurufoto, menyelaraskan keperluan rakaman, kerja post production dan sebagainya.

Tetapi, apabila membeli dari microstock agency, pelanggan terpaksa memilih dan berpuas hati dengan apa-apa sahaja gambar yang bersesuaian dengan apa yang dicari. Tidak semestinya mereka akan mendapat apa yang mereka kehendaki dengan tepat dan sempurna. Satu kelemahan lagi ialah, foto yang dibeli itu boleh dibeli juga oleh pihak lain (kecuali dengan status exclusive rights). Ini bermakna, foto yang digunakan itu tidak menjadi unik kerana foto yang sama mungkin digunakan oleh pihak lain untuk tujuan lain.

2 syarikat yang berbeza dan merupakan pesaing dalam industri, iaitu Dell dan Gateway dengan tidak sengaja telah menggunakan foto dari microstock yang memaparkan model yang sama di lokasi yang sama.

Foto dari asmp.org

Sesebuah microstock agency mempunyai koleksi foto yang amat banyak, mencakupi segala subjek untuk berbagai tujuan kegunaan. Ada microstock agency yang memiliki sehingga 20 juta foto, ilustrasi, vektor dan video! Bidang microstock adalah satu industri yang besar. Terdapat berpuluh syarikat microstock agency di seluruh dunia. Ada syarikat yang besar dan ada juga syarikat yang kecil yang mengkhusus kepada subjek atau negara tertentu sahaja. Antara syarikat microstock yang terkenal adalah Shutterstock, iStockphoto, Dreamstime, Fotolia dan 123RF.

Selain dari microstock, ada satu lagi bidang yang hampir sama iaitu macrostock atau turut dikenali dengan nama traditional photo stock. Beza utama diantara keduanya ialah, microstock menjual foto dengan harga yang amat rendah, tetapi, jumlah jualan gambar adalah banyak. Sekeping gambar boleh ‘dijual’ di seluruh dunia kepada ramai orang dan boleh ‘dijual’ berulang-ulang kali selama beberapa tahun, selagi ada permintaan terhadap gambar tersebut. Sementara itu, macrostock pula menjual gambar dengan harga yang lebih mahal dan lebih bersifat eksklusif. Koleksi foto yang ditawarkan oleh macrostock juga adalah lebih berkualiti tinggi. Antara syarikat macrostock yang terkenal adalah Getty Images, Corbis dan Alamy.

Gambar seperti di atas banyak terdapat di dalam microstock. Walaupun nampak tidak ada apa-apa yang menarik dari segi seninya, namum, foto ini amat berguna dan sangat dikehendaki oleh pelanggan tertentu untuk berbagai kegunaan.

Disebabkan menjual gambar dengan harga yang terlalu rendah, syarikat microstock pernah dikritik dan dilabel sebagai perosak kerjaya fotografi dimana karya seseorang jurufoto sudah menjadi seakan tidak bernilai. Namun, dalam masa yang sama, ada ramai juga jurufoto yang dapat menyara hidup hanya dengan merakam gambar untuk microstock secara sepenuh masa. Malah, ada jurufoto yang berjaya menjana pendapatan jutaan ringgit setiap tahun hasil dari jualan gambar melalui microstock.

Jadi, apakah sebenarnya kemahiran yang perlu dimiliki oleh seseorang itu untuk menjual gambar di microstock? Bagaimanakah cara mudah untuk memohon dan diterima sebagai jurufoto yang berdaftar dengan microstock? Berapakah sebenarnya pendapatan yang boleh diperolehi hasil dari menjual gambar di microstock? Adakah berbaloi meluangkan masa, bersusah payah dan ‘melabur’ wang di dalam bidang microstock ini? InsyaAllah, kesemua persoalan ini akan cuba saya jawab di dalam bahagian kedua artikel ini.

Saya akan maklumkan kepada anda sebaik sahaja sambungan artikel ini disiarkan di blog ini nanti, SILA KLIK DI SINI.

Daftarkan diri anda dengan agensi microstock sekarang!

Beli buku berkenaan microstock dari Amazon.com

Studio Foto Terhebat milik Yuri Arcurs

Tidak ramai jurufoto yang memiliki studio yang sebegini besar dan sebegini lengkap. Lihat sendiri di dalam video ini, studio milik Yuri Arcurs – seorang jurufoto yang mendapat pendapatan yang paling tinggi dalam bidang microstock photography. Karya foto beliau telah terjual sebanyak berjuta kali dan dikatakan beliau memperolehi pendapatan sekitar RM10 juta setahun! Untuk menjalankan empayar bisnesnya, Yuri Arcurs kini mempunyai 100 orang pekerja yang berkhidmat untuknya.

Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bagaimana cara menjual gambar melalui microstock, sila klik link di bawah ini:
JUAL GAMBAR ANDA DI SHUTTERSTOCK SEKARANG!

Untuk melihat satu lagi video mengenai studio Yuri Arcurs, SILA KLIK DI SINI.

Fotografi dan Wang

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Buat duit dari fotografi bukan kerja senang. Tiada siapa akan berikan kita duit dengan mudah, kecuali jika kita memang benar-benar layak dan terbukti bagus. Ramai peminat fotografi berhasrat untuk menjana wang dari bidang fotografi kerana dikatakan – menjana wang dengan melakukan perkara yang kita minati adalah sungguh menyeronokkan. Kenyataan ini nampak sungguh menarik; semua orang pasti sukakannya. Tetapi malang sekali, kenyataan ini telah mengelirukan dan memperdayakan ramai orang, lalu ramailah yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Jadi, apakah realitinya?

Studio fotografi milik Ikram Ismail ini boleh disewa oleh peminat fotografi. Untuk memiliki studio seperti ini bukan sahaja memerlukan belanja awal (setup) yang tinggi untuk pembelian peralatan, tetapi ia juga menuntut kos bayaran sewa dan penyelenggaraan secara bulanan. Jika anda mengimpikan untuk memiliki studio sendiri, eloklah pastikan dahulu bahawa anda berupaya memperolehi pendapatan yang stabil (foto oleh Ikram Ismail)

Tidak dinafikan, ada segelintir jurufoto yang memperolehi pendapatan lumayan disamping mengecap kepuasan dengan melakukan kerja yang diminatinya. Sekadar sebagai contoh, mungkin ada jurufoto yang amat meminati fotografi hidupan liar dan telah berjaya menampung hidupnya melalui bidang yang dicintainya ini. Mari kita namakan jurufoto ini dengan nama Sulaiman. Hidup Sulaiman kelihatan indah dan menjadi idaman ramai orang. Sulaiman tidak perlu menempuh kesesakan lalu lintas untuk pergi ke pejabat setiap hari; sebaliknya, Sulaiman selalu melakukan tugasan di tempat-tempat eksotik yang hanya mampu dimimpikan oleh kebanyakan orang lain. Tugasan sebagai jurufoto hidupan liar juga memberi peluang kepada Sulaiman untuk menyaksikan sendiri berbagai keajaiban hidupan liar di habitat mereka, dimana perkara ini hanya dapat disaksikan oleh orang lain melalui kaca televisyen atau menerusi gambar semata-mata. Sulaiman juga mempunyai kamera, lensa dan peralatan fotografi yang hebat-hebat belaka; sesuai dengan dirinya sebagai seorang jurufoto bertaraf profesional. Karya foto Sulaiman juga seringkali terpampang di dalam majalah, di dalam buku dan kerap juga dipamerkan di pameran-pameran fotografi yang berprestij. Dengan semua ini, Sulaiman juga memperolehi pendapatan yang lumayan dari kerjayanya (sekurang-kurangnya inilah apa yang disangkakan) Apa yang lebih menarik ialah, Sulaiman menjalani hidupnya dengan melakukan kerja yang amat diminatinya dan dibayar untuk melakukannya!

Gaya hidup dan kerjaya seperti Sulaiman memang menjadi idaman ramai orang, terutamanya bagi jurufoto yang meminati fotografi hidupan liar. Tetapi, disebalik semua keindahan kerjaya yang kelihatan ideal ini, tidak ramai yang tahu realitinya. Memang telah menjadi lumrah; kita sering diceritakan mengenai perkara yang baik dan positif sahaja. Tujuannya adalah baik – agar kita mendapat inspirasi dan motivasi untuk turut berjaya seperti Sulaiman. Tetapi, tanpa mengetahui realiti di sebalik kehidupan Sulaiman, peminat fotografi yang baru berjinak-jinak di dalam bidang ini akan tenggelam dalam mimpi.

Apa yang digambarkan mengenai gaya hidup Sulaiman mungkin benar atau mungkin hanya separuh benar. Apakah agaknya kenyataan yang mungkin tidak benar itu? Benarkah Sulaiman memperolehi pendapatan lumayan hasil dari menjadi jurufoto hidupan liar? Mungkin ianya benar. Tetapi, siapa tahu, mungkin juga sebenarnya Sulaiman mempunyai sumber pendapatan lain seperti pendapatan dari belian saham atau seumpamanya. Atau mungkin juga Sulaiman sebenarnya adalah anak kepada seorang tauke balak yang kaya raya! Sulaiman tentu tidak akan mendedahkan kepada kita bahawa beliau sebenarnya dibiayai oleh bapanya. Bagaimana pula dengan kamera mahal dan lensa-lensa besar yang dimiliki oleh Sulaiman? Mungkin beliau sememangnya memiliki peralatan tersebut hasil dari kerja fotografinya. Tetapi, mungkin juga sebenarnya peralatan tersebut adalah peralatan terpakai yang dibeli dengan harga murah. Atau mungkin juga peralatan tersebut dipinjam dari seorang rakan baiknya. Tidak kiralah apa pun, samada Sulaiman anak tauke balak atau Sulaiman meminjam kamera orang lain, Sulaiman tidak bersalah. Apa yang salah ialah orang lain yang berangan ingin menjadi seperti Sulaiman, tetapi tidak tahu realiti sebenarnya.

Gambar seperti ini mungkin mempunyai nilai seni, tetapi tidak nilai komersial. Apa pun, gambar seperti ini dirakam bukan untuk wang, tetapi untuk kepuasan peribadi. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Seterusnya, mari kita buat andaian lain yang lebih positif pula. Katakanlah Sulaiman memang memperolehi pendapatan lumayan dari bidang fotografi hidupan liar. Beliau adalah seorang yang berjaya dalam bidang fotografi dan beliau juga adalah seorang yang berjaya dari aspek kewangan. Beliau berasal dari keluarga miskin dan beliau banyak berdikari sehingga berjaya. Senario ini nampak lebih hebat dan Sulaiman memang patut dijadikan idola. Lalu, ramailah yang bercita-cita untuk menjadi seperti Sulaiman – seorang jurufoto hidupan liar yang hidupnya penuh dengan pengembaraan sambil memperolehi pendapatan lumayan. Tetapi, nanti dulu!

Kehidupan Sulaiman sekarang memang nampak hebat. Tetapi, tahukah kita betapa sukarnya jalan yang telah ditempuh oleh Sulaiman untuk sampai ke tahap ini? Adakah kita cukup tabah dan benar-benar mempunyai keghairahan seperti Sulaiman untuk terus kuat menghadapi berbagai dugaan dalam bidang ini? Tanpa minat yang mendalam, cabaran yang datang akan menjadi beban yang tidak akan terpikul. Hanya minat dan kesungguhan yang akan meringankan cabaran yang mendatang.

Ketika ini Sulaiman hidup senang. Sambil goyang kaki pun, wangnya terus masuk melalui royalti dari jualan buku-buku hidupan liar yang pernah diterbitkannya. Tetapi, pernahkah kita terfikir atau tertanya, berapa lamakah Sulaiman pernah hidup susah di awal pembabitannya di dalam bidang ini? Suatu waktu dahulu, mungkin Sulaiman pernah ditipu oleh penerbit buku, pernah berhutang keliling pinggang, pernah tinggal di rumah yang sempit dan sebagainya. Sanggupkah kita melalui kesusahan yang sama?

Sulaiman yang hebat ini telah menjejakkan kaki ke hampir seluruh pelusuk dunia bagi merakam gambar haiwan-haiwan di habitat mereka. Sulaiman telah menjelajah ke segenap hutan rimba, gunung-ganang, gurun dan lautan. Ini bukan percutian, tetapi tugasan. Beliau telah banyak berkorban dan mengambil risiko. Berkorban masa berjauhan dengan orang yang tersayang dalam tempoh masa yang lama dan mengambil risiko tinggi berhadapan dengan bahaya dan penyakit di tempat yang asing lagi terpencil. Apa pula yang sanggup kita korbankan dan pertaruhkan?

Sulaiman yang terkenal ini dilihat sebagai seorang yang sentiasa menempuh pengalaman menarik dalam kerjayanya. Ramai orang yang ingin merasai pengalaman seperti beliau. Tentu sekali Sulaiman juga gembira kerana berpeluang merasai pengalaman unik yang tidak diperolehi oleh orang lain. Tetapi, sebagai seorang jurufoto profesional, Sulaiman memikul tanggungjawab yang besar dan bekerja dengan berbagai tekanan. Tidak seperti peminat fotografi yang merakam gambar burung di hujung minggu untuk kegiatan hobi mereka.

Demikianlah realiti hidup Sulaiman – seorang jurufoto hidupan liar. Jika anda ingin menjadi seperti Sulaiman, bersedialah dan berusahalah. Jika anda tidak sanggup menghadapi cabaran dan tidak sanggup berkorban, inilah masanya untuk memikirkan semula impian anda. Sesungguhnya, kerjaya ini bukan untuk semua orang. Tentu ada bidang fotografi lain yang lebih sesuai untuk anda. Logiknya, tidak ada satu pun perkara atau kerjaya yang baik belaka. Setiap keindahan dan kesenangan, perlu dibayar dengan kesukaran dan pengorbanan. Ingin ditegaskan sekali lagi, kenyataan yang mengatakan ‘dibayar untuk melakukan kerja yang kita minati’ tidaklah seindah khabar dari rupa. Seperti ungkapan Inggeris – it’s too good to be true. Jika ia sebagus itu, tentu ada sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya yang kita tidak tahu. Jika ianya begitu bagus, mengapa tidak semua orang memilikinya? Jika semua orang ingin mendapatkannya, tentulah akan wujud persaingan yang amat hebat, lalu seseorang itu perlu berusaha gigih untuk berjaya.

Kisah Sulaiman sebagai seorang jurufoto hidupan liar adalah simbolik kepada apa jua bidang fotografi yang kita minati yang ingin kita jadikan kerjaya atau sumber pendapatan. Mungkin ianya bukan fotografi hidupan liar, tetapi bidang lain dalam fotografi yang kita minati seperti fotografi pemandangan, fotografi fesyen, fotografi kewartawanan, fotografi seni halus dan sebagainya. Untuk menjadikan bidang-bidang ini sebagai hobi tidak ada masalah. Tetapi jika anda ingin menjadikannya sebagai punca pendapatan utama, ianya perlu difikirkan masak-masak. Walau bagaimana pun, tidak ada perkara yang mustahil yang tidak dapat kita capai asalkan kita sanggup bekerja keras. Buatlah keputusan mengikut kebolehan dan kesanggupan diri kita sendiri.

Kesimpulan dari kisah Sulaiman ialah, hobi anda dalam fotografi hidupan liar misalnya mungkin hanya patut kekal sebagai hobi kerana tidak semestinya sesuatu hobi itu sesuai dijadikan sumber pendapatan utama. Hobi dan kerjaya adalah sesuatu yang amat berbeza dan hakikatnya ia tidak boleh jalan selari. Hobi dibuat untuk kepuasan diri sendiri semata-mata tanpa ada sebarang tekanan dari sesiapa. Sementara itu, kerjaya adalah sesuatu kerja yang dibuat untuk memenuhi permintaan pasaran atau pelanggan sehingga membolehkan kita menerima bayaran. Di dalam kerjaya atau perniagaan, wujud tekanan masa, tekanan kos dan tekanan dari pihak atasan. Kerjaya perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab, bukan sekadar suka-suka untuk memenuhi masa lapang seperti kita melakukan hobi.

Walaupun begitu, anda masih boleh menjana pendapatan dari bidang fotografi. Mungkin anda minat merakam gambar pemandangan (atau apa-apa subjek sekalipun) Tetapi, tidak semestinya anda perlu merakam gambar pemandangan untuk menjana pendapatan sekiranya subjek ini tidak menjanjikan pendapatan yang berbaloi untuk anda (mungkin ada jurufoto lain yang berjaya menjana pendapatan dari melakukan fotografi pemandangan, tetapi, mungkin ia tidak sesuai untuk anda) Kekalkan minat anda merakam gambar pemandangan sebagai hobi sahaja. Sebaliknya, untuk menjana pendapatan, cari bidang fotografi lain yang lebih menguntungkan dan lebih sesuai dengan diri anda.

Kita mungkin akan rasa teruja apabila mengetahui ada seorang jurufoto telah berjaya menjual sekeping gambar pemandangan yang dirakamnya dengan harga RM5,000! Lalu, kita pun lekas-lekas ingin menjadi seperti beliau. Tetapi, satu perkara yang kita terlepas pandang ialah, beliau telah bergiat dalam bidang ini selama lebih dari 5 tahun secara serius dan ini adalah kali pertama gambarnya berjaya dijual semahal itu. Jadi, sebenarnya, nilai RM5,000 itu adalah sangat-sangat kecil jika dibandingkan dengan pelaburan masa dan pelaburan wang yang telah beliau lakukan. Ya, sekurang-kurangnya dia tetap mendapat wang sebagai pendapatan sampingan. Tetapi, angka itu tidak cukup baik, lebih-lebih lagi jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan utama.

Dari aspek perniagaan, untuk menjana pendapatan, kita tidak semestinya buat apa yang kita minat semata-mata, tetapi kita harus minat buat apa saja yang boleh memberikan keuntungan asalkan ianya tidak menyalahi undang-undang. Jika kebetulan bidang perniagaan itu adalah satu bidang yang kita minati, maka ianya adalah satu bonus besar untuk kita. Namun, kita bebas melakukan apa saja yang kita suka untuk mendapat kepuasan, tetapi belum tentu kita akan berjaya menjana pendapatan yang lumayan.

Saya seringkali ditanya oleh peminat fotografi baru – bagaimanakah cara mudah untuk menjana pendapatan dari fotografi? Jawapan saya – buat duit dari fotografi bukan suatu perkara mudah. Ianya adalah satu perkara yang berbeza dari fotografi itu sendiri. Buat duit dari fotografi adalah bukan mengenai fotografi lagi. Ianya adalah mengenai keusahawanan. Disamping mesti mempunyai ilmu dan kemahiran dalam fotografi, kita juga perlu ada ilmu dan kemahiran dalam bidang perniagaan jika kita ingin benar-benar berjaya menjana wang dari fotografi.

Ilmu dalam perniagaan itu sendiri adalah amat luas sekali. Ianya mencakupi penjenamaan, pemasaran, jualan, strategi harga, kualiti produk, kawalan kos material, kecekapan kerja, pengurusan kewangan, akaun, pentadbiran, pengurusan tenaga kerja dan sebagainya. Tetapi, semua ini boleh dipelajari. Pengalaman akan mendewasakan kita. Usahanya mungkin perlu lebih, tetapi hasilnya amat berbaloi.

Jadi, anda perlu pastikan dan pilih keutamaan anda. Adakah anda ingin melakukan sesuatu untuk kepuasan atau adakah anda ingin menjana pendapatan? Anda mungkin boleh dapat kedua-duanya sekali, tetapi ianya adalah amat sukar. Apabila keutamaan anda adalah untuk menjana pendapatan, lupakan dulu mengenai kepuasan berkarya. Apabila anda telah buat keputusan untuk menjana pendapatan, perkara pertama yang perlu disoal ialah – bidang fotografi apakah yang paling besar potensinya untuk mendapat keuntungan? Dalam beberapa bidang yang telah dikenal pasti, pilihlah bidang yang paling sesuai dengan diri anda. Lakukannya dengan bersungguh-sungguh atas sebab keusahawanan, bukan atas sebab kepuasan berkarya semata-mata.

Bidang fotografi yang paling popular dan dianggap ‘mudah’ untuk menjana pendapatan ialah fotografi perkahwinan. Ianya amat popular terutama sekali di kalangan peminat fotografi yang baru menceburkan diri dalam bidang ini. Sememangnya permintaan untuk khidmat fotografi perkahwinan adalah tinggi. Namun begitu, persaingan juga adalah sengit sekali. Fotografi perkahwinan diminati oleh jurufoto yang ingin mencari duit lebih kerana bidang ini hanya memerlukan peralatan minima, kemahiran minima dan modal yang minima. Persaingan adalah sengit dalam sektor bajet rendah untuk fotografi perkahwinan disebabkan kelayakan minima yang diperlukan untuk berniaga dalam bidang ini. Namun, untuk pakej fotografi bagi pelanggan yang berbajet besar, persaingannya tidaklah begitu sengit kerana pada sektor ini, seseorang jurufoto itu perlu betul-betul cemerlang dalam penghasilan karyanya, cemerlang dalam pemasaran dan sebagainya. Apa pun, memang telah terbukti, telah ada ramai jurufoto yang telah berjaya menjana pendapatan lumayan dari bidang fotografi perkahwinan. Mereka ini tidak menganggap fotografi perkahwinan sebagai hobi mereka. Ia adalah kerjaya yang dilakukan dengan komitmen yang tinggi. Bidang ini bukanlah bidang glamour atau berstatus tinggi (selalunya) jika dibandingkan dengan bidang fotografi lain; tetapi, ianya memberikan pulangan yang baik dari segi kewangan.

Walaupun fotografi perkahwinan nampak mudah, ia sebenarnya memerlukan kerja keras beserta pengetahuan dan kemahiran yang tinggi baik dalam bidang fotografi mahupun dalam bidang strategi perniagaan jika seseorang itu ingin menjana pendapatan yang lumayan dari bidang ini. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Selain dari fotografi perkahwinan, bidang fotografi lain yang popular sebagai penjana pendapatan ialah perkhidmatan fotografi majlis rasmi, fotografi komersial, fotografi potret, fotografi produk, fotografi fesyen, fotografi dokumentari, fotografi microstock dan sebagainya. Ada diantara bidang yang dinyatakan ini nampak lebih hebat dan lebih glamour berbanding bidang lain. Lalu wujudlah jurufoto yang cuba untuk menguasai bidang tersebut. Disebabkan bidang itu adalah bidang yang diminatinya dan ia memberi kepuasan kepada jurufoto tersebut, maka adakalanya dia sanggup menerima tugasan dengan bayaran rendah; malah ada yang sanggup melakukannya secara percuma! Dia tidak kisah walau tidak dapat duit asalkan dia mendapat kepuasan. Lalu, ini akan memberi kesan buruk terhadap nilai pasaran bagi perkhidmatan tersebut. Ada dua perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Pertama, kita perlu bersaing secara sihat dari segi kualiti perkhidmatan atau produk, bukannya bersaing dengan melancarkan perang harga. Penyelesaian kedua ialah, cuba elakkan bidang fotografi yang ramai jurufoto minat melakukannya kerana kepuasan peribadi semata-mata. Bidang seperti ini selalu mempunyai masalah perang harga. Kecuali jika anda berjaya membezakan diri anda dari pesaing-pesaing lain dari segi kualiti atau jika anda ‘bermain’ di sektor tertentu yang tidak sensitif kepada faktor harga.

Perang harga dan pembunuh pasaran memang menjadi salah satu masalah dalam bidang perniagaan fotografi kerana fotografi adalah merupakan hobi kebanyakan orang. Lalu, penghobi ini rela merakam gambar secara percuma, sedangkan ada jurufoto lain yang cuba mencari rezeki dari bidang ini secara sepenuh masa.

Tidak seperti kerjaya profesional yang lain seperti peguam, arkitek atau doktor perubatan; untuk bergelar peguam, arkitek atau doktor perubatan, seseorang itu perlu melepasi syarat-syarat kelayakan yang ketat. Dalam bidang-bidang ini juga tidak ada masalah besar dari segi perang harga kerana tidak ada orang yang melakukan kerjaya peguam, arkitek atau doktor sebagai hobi dan kepuasan semata-mata.

Tidak ada gunanya kita menyalahkan penggiat hobi. Mereka mempunyai objektif yang berbeza dari jurufoto profesional atau usahawan fotografi. Apa yang lebih penting ialah, usahawan fotografi sendiri perlulah bijak menangani masalah ini dan perlu bijak mencari peluang-peluang baru untuk berjaya.

Kita dapat lihat sekarang ini, begitu ramai orang yang meminati bidang fotografi berikutan perkembangan pesat dalam teknologi kamera digital. Oleh kerana semakin ramainya peminat fotografi, maka makin ramai juga jurufoto yang cuba menjana pendapatan dari bidang ini. Oleh itu, persaingan adalah begitu sengit sekali. Lebih parah lagi apabila ada jurufoto yang bersaing secara tidak sihat dengan menawarkan harga yang sangat rendah. Lebih memburukkan keadaan apabila keadaan ekonomi dunia tidak begitu memberangsangkan buat ketika ini.

Kewujudan ramai peminat fotografi sekarang ini adalah petanda positif bahawa industri fotografi adalah satu industri yang mempunyai potensi besar dari sudut ekonomi. Walaupun wujud persaingan, ia adalah perkara normal apabila sesuatu industri itu sedang berkembang maju. Persaingan sihat diperlukan, individu yang terbaik pasti akan berjaya. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Kemunculan ramai jurufoto sambilan yang cari makan dalam industri fotografi ini memang agak memeningkan kepala bagi sesetengah jurufoto yang menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan utama mereka. Tetapi, jika dilihat dalam sudut yang positif, fenomena ini mempunyai kebaikan dan kesan yang baik dari sudut lain. Kebaikan pertama ialah; dengan persaingan sihat yang wujud, setiap jurufoto akan berusaha dengan lebih gigih bagi menghasilkan karya dan perkhidmatan yang terbaik. Dengan itu, bidang fotografi akan maju ke tahap yang lebih tinggi dalam tempoh masa yang lebih cepat. Kebaikan kedua ialah, pelanggan akan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan harga yang lebih kompetitif (asalkan bukan harga rendah yang tidak munasabah). Harga kompetitif bukan bermakna kerugian bagi pihak jurufoto, tetapi ianya merupakan satu kebaikan dimana jurufoto akan menjadi lebih bijak menangani isu kos dan kecekapan kerja agar harga berpatutan dapat ditawarkan disamping memperolehi keuntungan yang optima.

Dalam konteks yang lebih luas, lambakan jurufoto sekarang ini adalah petunjuk positif bahawa industri fotografi adalah satu industri yang besar, mempunyai permintaan yang tinggi dan sentiasa berkembang maju. Ini bermakna, ada banyak peluang perniagaan yang belum diterokai sepenuhnya dalam industri ini. Cuma, kita jangan sempitkan peluang perniagaan itu hanya dengan cara merakam gambar semata-mata. Bila kita melihat fotografi sebagai satu industri besar, kita harus faham bahawa, fotografi bukan sekadar mengenai jurufoto sahaja.

Apabila ramai orang meminati fotografi, ianya memberi kesan kepada keseluruhan industri. Untuk mengembangkan bidang fotografi, semua bidang lain yang berkaitan dengan fotografi perlu turut berkembang maju. Dengan erti kata lain, semua bidang yang berkaitan dengan fotografi juga akan turut menawarkan peluang perniagaan yang luas. Maksudnya, apabila wujudnya ramai jurufoto, maka akan wujud juga permintaan yang tinggi terhadap jualan kamera, jualan aksesori fotografi, pembelajaran fotografi, majalah fotografi, buku fotografi, kedai mencetak foto, perkhidmatan photo retouching, kedai membuat album, kedai bingkai gambar, khidmat sewaan studio dan sebagainya. Kita boleh merebut peluang ini dengan menawarkan perkhidmatan atau menjalankan perniagaan dalam mana-mana sektor yang berkaitan fotografi.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat permintaan yang tinggi terhadap jualan kamera dan peralatan fotografi. Kita dapat lihat ada banyak kedai-kedai menjual kamera muncul di mana-mana sahaja. Malah, kedai kamera secara online juga turut muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Walaupun terdapat berpuluh kedai kamera di Malaysia, adakalanya masih ada juga barang yang dicari tidak ada dijual di kedai mereka. Ini menunjukkan bahawa masih ada ruang dan peluang terutamanya dalam bidang pengkhususan (niche) untuk sektor ini. Bidang ini adalah dalam kategori peruncitan (retailing) Mungkin anda tidak meminati bidang peruncitan, tetapi, sekurang-kurangnya ia masih berkisar mengenai fotografi. Dengan minat dan pengetahuan anda dalam fotografi, ia akan menjadi satu nilai tambah bagi perniagaan menjual kamera dan peralatan fotografi.

Program seminar atau bengkel fotografi seperti ini mendapat permintaan yang baik di kalangan peminat fotografi yang dahagakan ilmu dalam bidang ini. Tetapi, apa yang penting, setiap program yang dianjurkan mestilah berkualiti dan dijalankan dengan penuh tanggungjawab, bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata. (foto oleh Hatta/Avicenna Studio)

Sementara itu, sektor pembelajaran fotografi juga turut sama berkembang pesat selari dengan bertambahnya peminat fotografi di negara ini. Kita boleh lihat sekarang, berbagai institusi pengajian tinggi telah menawarkan pengajian berkaitan bidang fotografi untuk peringkat sijil, diploma mahupun ijazah sarjana muda, samada secara separuh masa atau sepenuh masa. Antara institusi pengajian tinggi yang dimaksudkan ialah UiTM, UNISEL, UNIMAS, UTMSPACE, UIA , Open University Malaysia, Limkokwing, KDU, SEGi dan beberapa lagi. Selain dari insititusi pengajian tinggi, ada lebih banyak lagi syarikat atau individu yang menganjurkan kursus dan lain-lain bentuk pembelajaran fotografi di seluruh Malaysia. Sektor ini amat memerlukan pensyarah dan jurulatih yang berkemahiran. Siapa lagi yang lebih layak jika bukan dari kalangan peminat fotografi yang berilmu dan berkemahiran?

Oleh kerana wujudnya permintaan yang tinggi terhadap informasi dan ilmu fotografi, sektor penerbitan bahan fotografi juga telah berkembang maju. Kita boleh lihat kini, dalam masa yang singkat telah muncul beberapa majalah fotografi baru bagi menyokong perkongisan maklumat dalam bidang ini. Begitu juga dengan buku fotografi – semakin banyak buku dengan berbagai tajuk pengkhususan fotografi telah diterbitkan untuk peminat-peminat fotografi. Apa yang lebih menarik lagi, kini buku-buku fotografi dan majalah fotografi telah mula ditulis dalam Bahasa Malaysia dan diterbitkan oleh syarikat di Malaysia! Ini menunjukkan wujudnya permintaan yang baik dalam sektor ini berikutan perkembangan dalam industri fotografi itu sendiri. Sektor ini amat memerlukan penulis yang bukan sahaja berkemahiran menulis, tetapi perlu juga mempunyai pengetahuan dalam bidang fotografi. Jadi, selain menjadi jurufoto, peminat fotografi kini juga boleh mempertimbangkan untuk menulis artikel atau menulis buku untuk berkongsi ilmu pengetahuan disamping menjana pendapatan.

Kini ada berbagai buku bertemakan fotografi telah mula ditulis dalam Bahasa Malaysia bagi menampung permintaan peminat fotografi di negara ini. Semakin banyak buku baru dijangka akan diterbitkan dalam masa yang terdekat ini. Sektor ini juga turut menawarkan peluang bagi peminat fotografi bagi memperolehi pendapatan hasil dari menulis buku. (foto oleh PTS NetMedia)

Sebenarnya ada banyak lagi bidang berkaitan fotografi yang menawarkan peluang kerja atau peluang perniagaan bagi sesiapa sahaja yang bijak mencari, mengesan dan merebut peluang tersebut. Syaratnya – jangan hanya melihat fotografi dalam skop yang kecil. Fikir secara kreatif, fikir mengenai pengkhususan dan jadi pakar dalam bidang tersebut agar kita dapat bersaing atau lebih baik lagi jika kita dapat menjadikan persaingan adalah tidak relevan.

Artikel ini saya tulis berdasarkan pengalaman saya selama lebih dari 10 tahun sebagai usahawan dalam bidang fotografi. Sumber pendapatan utama saya sekarang adalah melalui 2 perniagaan ini – iaitu Adan Cameraworks (khidmat fotografi dan videografi) dan FOTOTEACHER.COM (pusat latihan fotografi) Sebuah lagi perniagaan yang baru diwujudkan oleh kami ialah perniagaan menjual aksesori fotografi dengan pengkhususan dalam kelengkapan fotografi analog.

Apa yang saya tulis di dalam artikel ini adalah pendapat dan pandangan saya berdasarkan pengalaman saya sendiri. Terimalah apa yang anda rasakan baik untuk anda.

Hakcipta Terpelihara – Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM 2012

Mana Lebih Baik? Menjadi Jurufoto Amatur atau Profesional?

Mana Lebih Baik? Menjadi Jurufoto Amatur atau Profesional?
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Studio fotografi profesional milik Bustamam Mokhtar, seorang jurufoto fesyen terkenal tanahair. Studio fotografi seperti ini melibatkan kos yang tinggi dan hanya mampu dimiliki oleh jurufoto profesional yang turut merupakan seorang usahawan yang bijak dalam perniagaan. Foto ihsan dari Bustamam Mokhtar, White Studio.

Ramai jurufoto amatur menyimpan hasrat untuk menjadi seorang jurufoto profesional. Jurufoto profesional dikatakan mendapat bayaran lumayan, dapat merakam gambar di tempat-tempat menarik dengan kos dibiayai sepenuhnya oleh pihak lain, mendapat tajaan peralatan kamera yang tercanggih, kerjaya yang penuh dengan glamour dan bermacam tanggapan lagi. Tetapi, bukan semua tanggapan ini adalah benar mengenai kerjaya sebagai seorang jurufoto profesional.

Definisi Jurufoto Profesional

Sebelum kita membincangkan dengan lebih lanjut mengenai perkara ini, terlebih dahulu kita perlu tahu, apakah sebenarnya definisi jurufoto profesional? Siapakah dan apakah kriteria yang menentukan samada seseorang itu boleh dianggap sebagai jurufoto profesional atau sebaliknya? Isu ini sering diperdebatkan. Tiada satu pun jawapan yang paling tepat yang dipersetujui oleh semua orang. Setiap orang mempunyai kefahaman dan definisi berbeza mengenai definisi jurufoto profesional.

Tetapi, secara ringkasnya, definisi jurufoto profesional adalah seseorang yang menjadikan kerja merakam foto sebagai sumber pendapatan utamanya. Sebaliknya, jurufoto amatur pula adalah jurufoto yang merakam gambar sebagai hobi dan bidang ini bukanlah sumber pendapatan utamanya.

Kebanyakan jurufoto profesional memulakan kerjayanya dari seorang jurufoto amatur; iaitu seseorang yang pada awalnya meminati fotografi, mempraktikkannya sebagai hobi, lalu lama kelamaan menjadi semakin serius dan seterusnya melangkah ke dunia fotografi profesional. Maksudnya, majoriti jurufoto profesional pernah menjadi jurufoto amatur suatu masa dulu.

Jurufoto profesional terbahagi kepada 3 kategori berbeza – iaitu jurufoto yang bekerja sepenuh masa dengan sesebuah organisasi, jurufoto bebas (freelance photographer) dan jurufoto yang menjalankan perniagaan sendiri. Ketiga-tiga jenis jurufoto ini berada di dalam situasi yang berbeza dan mempunyai cabaran kerja yang berbeza.

Jurufoto Berpendapatan Tetap

Jurufoto yang bekerja secara sepenuh masa dengan sesebuah organisasi samada syarikat swasta atau pihak kerajaan adalah jurufoto yang menerima gaji bulanan dari majikannya. Jurufoto ini biasanya merakam gambar atau membuat tugasan fotografi secara harian. Biasanya, bidang tugas mereka lebih khusus kepada kerja-kerja berkaitan merakam gambar. Oleh kerana tugas spesifik yang dilakukan secara kerap setiap hari, jurufoto ini amat mahir dalam bidang fotografi yang diceburinya itu. Dengan bekerja dengan organisasi besar, jurufoto ini juga mempunyai akses yang lebih luas dan berpeluang untuk merakam gambar personaliti terkenal, merakam gambar di tempat yang menarik dan berpeluang menggunakan peralatan kamera yang mahal. Organisasi besar yang dimaksudkan adalah seperti syarikat penerbitan majalah, syarikat akhbar, agensi berita dan sebagainya. Tugasan yang perlu dilakukan juga selalunya adalah tugasan yang menarik, tetapi, ianya perlu digalas dengan tanggungjawab yang besar. Ini bermaksud, wujud tekanan kerja ketika beliau merakam gambar. Ini berbeza dengan jurufoto amatur yang merakam gambar tanpa wujud sebarang tekanan kerja. Seperti bekerja dengan mana-mana syarikat, seseorang jurufoto profesional tidak boleh merakam gambar sewenang-wenangnya asalkan memuaskan hatinya sendiri. Sebagai pekerja, seseorang jurufoto itu perlu patuh kepada peraturan dan arahan dari pihak atasannya. Beliau perlu menyesuaikan diri dengan keperluan citarasa pihak atasan, bekerja dalam bajet yang ditetapkan, menyiapkan kerja dalam masa yang ditetapkan dan sebagainya. Selain dari itu, jurufoto ini juga perlu berusaha keras untuk bersaing dengan rakan-rakan sejawatan mereka agar mereka dapat diiktiraf sebagai jurufoto yang baik. Kelebihan bekerja dengan organisasi seperti ini adalah, seseorang jurufoto itu dapat menimba banyak pengalaman disamping mengumpul portfolio yang sukar diperolehi oleh jurufoto lain.

Jurufoto Bebas

Sementara itu, jurufoto bebas atau lebih dikenali dengan nama freelance photographer pula tidak bekerja secara tetap dengan mana-mana organisasi. Ini bermaksud, beliau tidak mempunyai gaji bulanan. Walaupun tanpa pendapatan tetap, jurufoto bebas berpeluang untuk memperolehi pendapatan yang lebih tinggi jika beliau berjaya mendapatkan banyak tugasan pada setiap bulan. Cabaran utama jurufoto bebas ialah, beliau perlu mencari sendiri pelanggan yang ingin menggunakan perkhidmatannya. Ini bermaksud, selain dari pandai merakam gambar, jurufoto bebas juga perlu berkebolehan untuk menarik hati pelanggan dan meyakinkan mereka untuk mengupah beliau. Jurufoto bebas biasanya mendapat pelanggan melalui kredibiliti; dimana pelanggan yang berpuas hati dengan perkhidmatannya akan ‘mempromosikan’ jurufoto ini kepada pelanggan lain di dalam industri mereka. Bukan mudah untuk hidup sebagai jurufoto bebas – beliau ibarat bekerja dengan sebuah syarikat kecil miliknya sendiri dimana beliau sendiri terpaksa melakukan semua kerja yang terlibat. Kata orang, dialah kuli, dialah tauke. Selain dari merakam gambar, beliau perlu berusaha mempromosikan dirinya, berjumpa pelanggan, menyunting gambar, menghantar produk kepada pelanggan, menuntut bayaran dari pelanggan, membuat kerja-kerja pejabat (seperti membuat sebutharga, membuat inbois, menguruskan akaun) dan sebagainya. Namun, bagi sesetengah orang, cabaran inilah yang menjadikan kerjaya ini lebih menarik kerana ia akan menguji kebolehan seseorang itu untuk berdikari disamping beberapa kebebasan yang diperolehi dari kerjaya ini.

Jurufoto dengan Perniagaan Sendiri

Kategori jurufoto seterusnya ialah jurufoto yang menjalankan perniagaan sendiri. Jurufoto ini mempunyai pejabat atau studio sebagai tapak perniagaannya. Beliau juga mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja sepenuh masa yang dibayar gaji bulanan. Jurufoto ini mempunyai tanggungan bulanan (overhead) yang lebih tinggi berbanding seorang jurufoto bebas. Ini secara tidak langsung bermaksud, jumlah pendapatan bulanan beliau juga adalah lebih tinggi. Faktor keuntungan menjadi lebih utama pada peringkat ini. Jurufoto ini perlu memastikan kerja fotografinya memberi keuntungan agar beliau boleh terus mampu menjalankan dan mengembangkan perniagaannya. Apabila perniagaan ini semakin membesar, beliau turut mempunyai aset yang lebih besar dan pekerja yang lebih ramai. Apabila ini berlaku, jurufoto ini akan mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dan lebih berat lagi. Beliau perlu memastikan syarikatnya mendapat sejumlah wang tertentu setiap bulan bagi membayar kos seperti sewa premis perniagaan, bayaran balik pinjaman, modal pusingan, pembelian stok, pembelian atau penyelenggaraan peralatan, gaji pekerja dan lain-lain lagi. Pengetahuan dan kemahiran yang perlu dikuasai juga semakin bertambah – beliau perlu bijak dalam menangani masalah pekerja, menguruskan aliran wang tunai, kecekapan pentadbiran, kecekapan kos produksi, kemahiran strategi pemasaran dan segala-galanya mengenai perniagaan. Jurufoto yang menjalankan perniagaan sendiri perlu menghadapi cabaran yang lebih besar, perlu mempunyai kemahiran yang lebih luas dan perlu menanggung risiko yang lebih tinggi. Namun, jika berjaya, pendapatannya juga adalah lumayan.

Persamaan

Persamaan diantara ketiga-tiga jenis jurufoto profesional di atas adalah – fotografi bukan lagi menjadi bahan karya untuk kepuasan diri sendiri semata-mata. Setiap kerja yang dilakukan mestilah menepati kehendak pihak atasan atau kehendak pelanggan. Bukan itu sahaja, jurufoto profesional juga perlu hadir bekerja pada masa yang telah ditetapkan dan siapkan kerja pada masa yang ditetapkan juga. Selain dari itu, faktor kos juga perlu diambil kira. Jurufoto profesional perlu sentiasa menyiapkan kerja dalam kos yang telah ditetapkan. Ada masanya, bajet yang diperuntukkan adalah terlalu kecil lalu ‘memaksa’ jurufoto bekerja lebih keras dan terpaksa menjadi lebih kreatif untuk menghasilkan foto yang berkualiti. Namun, ada juga tugasan yang mempunyai bajet besar, lalu jurufoto mempunyai peluang yang lebih baik untuk menghasilkan karya yang hebat disamping bekerja dengan keadaan yang lebih selesa.

Amatur

Dari huraian di atas, kita telah faham serba sedikit mengenai kerjaya sebagai seorang jurufoto profesional. Sekarang, mari kita bincangkan pula mengenai status jurufoto amatur dengan lebih mendalam. Kebanyakan jurufoto rasa malu atau rendah diri untuk menggelarkan diri mereka sebagai seorang jurufoto amatur. Mereka melihat jurufoto profesional lebih hebat dari mereka. Pendapat ini tidak semestinya benar.

Oleh kerana jurufoto amatur merakam gambar bukan sebagai sumber pendapatan utama, maka mereka sering dikaitkan dengan tahap kemahiran yang rendah dan kualiti kerja yang kurang memuaskan. Pendapat ini juga tidak semestinya benar.

Walaupun jurufoto amatur merakam gambar bukan untuk menjana pendapatan utama, golongan ini merakam gambar dengan satu kekuatan – iaitu minat yang mendalam. Golongan ini berupaya menghasilkan karya yang lebih ikhlas, 100% dari jiwanya untuk kepuasan dirinya sendiri. Jurufoto amatur boleh berkarya tanpa perlu memikirkan soal keuntungan, tanpa ada desakan masa, tanpa perlu mengikut arahan sesiapa dan tanpa perlu risaukan tentang kos. Kelebihan ini tidak dimiliki oleh jurufoto profesional.

Mungkin disebabkan oleh suasana kerja yang tiada tekanan, sebab itulah selalunya jurufoto amatur agak perlahan dalam memperbaiki kemahiran mereka berbanding jurufoto profesional. Namun, ada juga jurufoto amatur yang begitu rajin dan komited dalam bidang yang diceburinya. Golongan ini berjaya menguasai kemahiran yang tinggi dan mampu menghasilkan karya yang hebat, malah adakalanya mampu mengatasi karya seorang jurufoto profesional. Nyata sekali, status profesional atau amatur langsung tidak menentukan secara mutlak akan tahap kemahiran seseorang jurufoto itu. Bezanya yang utama hanyalah samada seseorang itu merakam gambar untuk sumber pendapatan atau semata-mata kerana minat.

Seorang jurufoto profesional pun adakalanya akan lari sebentar dari dunia fotografi profesional yang diceburinya. Beliau akan bercuti beberapa hari dan secara santai akan merakam foto-foto untuk kepuasan dirinya sendiri. Mungkin beliau ingin merasai lagi nikmat merakam gambar seperti seorang jurufoto amatur yang pernah dirasainya suatu masa dulu.

BLOG ARKIB – Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?

Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?
Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?”– 30 Mac 2009)

Kadangkala kita takut melihat ribuan orang yang mendakwa diri mereka sebagai jurufoto. Begitu ramai sekali jurufoto sekarang ini. Mana mungkin kita boleh bersaing dalam keadaan begini? Masih adakah harapan untuk kita  berjaya dalam perniagaan fotografi?

Kita harus melihat fenomena ini dari sudut yang positif. Kebanjiran peminat fotografi di seluruh dunia ketika ini telah membuatkan harga peralatan kamera menjadi jauh lebih murah dari sebelumnya. Ini kerana, produk kamera boleh dikeluarkan secara besar-besaran dan ini telah dapat menurunkan harganya. Proses perkongisan ilmu fotografi juga telah menjadi lebih mudah kerana adanya komuniti yang besar di dalam bidang ini.

Cuma, apa yang tidak menyenangkan ialah, dari sudut perniagaan, nilai upah seseorang jurufoto dikatakan telah menurun. Akibat persaingan yang terlalu sengit, ada segelintir jurufoto memotong harga untuk membolehkan dirinya mendapat sesuatu kerja atau tugasan fotografi. Namun, pada pendapat saya, jurufoto yang memotong harga secara keterlaluan, akan memakan diri sendiri dalam jangka masa panjang.

Jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan anda, anda tidak perlu risau akan kebanjiran peminat fotografi sekarang. Majoriti peminat fotografi hanya menjadikan fotografi sebagai hobi. Peluang perniagaan dalam fotografi masih terbuka luas sebenarnya. Anda cuma perlu kreatif dalam mencari peluang. Masih ada banyak bidang pasaran fotografi yang masih belum diterokai.

Di kalangan jurufoto yang menjadikan fotografi sebagai punca pendapatan pula, bukan semuanya benar-benar serius. Ada yang sekadar cuba-cuba. Ada yang melakukannya secara sambilan untuk tempoh yang singkat sahaja. Untuk menjadi seorang jurufoto profesional bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang kita sangkakan. Merakam gambar untuk wang memerlukan disiplin, kerja kuat, kemahiran tinggi, kecekapan, sanggup menghadapi risiko, mempunyai kekuatan kewangan, sanggup menerima tekanan dari pelanggan dan sebagainya. Hanya yang kuat dan terbaik sahaja yang akan berjaya.

Ya, jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan anda, peluangnya masih ada.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Untuk mengikuti kursus dan bengkel fotografi anjuran fototeacher, sila ke –http://www.fototeacher.com

Untuk mendapat artikel dan informasi percuma dari fototeacher, sila ke –http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

Jurufoto Sambilan

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Bagi peminat fotografi baru (beginners), salah satu cara yang paling mudah untuk menjana pendapatan adalah melalui fotografi perkahwinan. Bagi golongan yang mempunyai pendapatan tetap, bisnes fotografi perkahwinan dilakukan secara sambilan. Apabila dilakukan secara sambilan, ada segelintir jurufoto sambilan yang kurang bersungguh-sungguh dalam kerja fotografi perkahwinan. Tanpa minat dan kesungguhan, seseorang itu tidak boleh maju dalam bidang ini.

Tanpa ilmu dan bimbingan yang betul, ada masanya seseorang itu akan terperangkap dalam beberapa masalah. Adakalanya ini akan membuatkan seseorang itu berputus asa lalu meninggalkan terus bidang ini. Selain dari itu, ada juga golongan yang terlibat dalam fotografi perkahwinan dalam satu tempoh masa yang lama, tetapi malangnya mereka tidak memperolehi hasil yang setimpal walaupun telah mengorbankan banyak wang dan masa mereka.

Sebenarnya, jika pekerjaan ini dilakukan dengan cara yang betul, ianya boleh memberikan pendapatan yang lumayan. Sudah terbukti, ramai jurufoto perkahwinan di luar sana yang telah berjaya.

Bidang fotografi perkahwinan nampak mudah pada awalnya. Tetapi, sebenarnya, ia tidak semudah yang disangka. Memang betul, sesiapa sahaja boleh merakam foto perkahwinan, tetapi untuk merakam foto perkahwinan yang berkualiti tinggi, memerlukan ilmu, kemahiran, pengalaman dan usaha yang bersungguh-sungguh. Adalah lebih sukar lagi untuk menjana keuntungan dari fotografi perkahwinan. Seseorang itu perlu ada ilmu perniagaan selain dari ilmu fotografi. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, ilmu perniagaan adalah lebih penting dari ilmu fotografi sekiranya seseorang itu ingin berjaya dalam fotografi perkahwinan.

Ramai jurufoto sambilan menyangka mereka mendapat untung setiap kali mendapat pelanggan. Tetapi, hakikatnya mereka selalu rugi, terutamanya dalam jangka masa panjang. Memanglah setiap kali kerja dilakukan, mereka akan mendapat sedikit wang untung bersih, tetapi, mereka tidak sedar bahawa mereka telah rugi satu perkara yang lebih bernilai, iaitu – masa. Untung bersih yang diperolehi tidak setimpal dengan masa yang telah dikorbankan jika bisnes ini dilakukan dengan cara yang salah.

Antara kesilapan lain yang selalu dilakukan oleh jurufoto perkahwinan yang melakukan kerja secara sambilan ialah:

1)    Menganggap fotografi perkahwinan adalah sebahagian dari hobinya dalam fotografi. Disebabkan itu, mereka tidak begitu kisah dengan jumlah bayaran yang diterima. Mereka tidak faham maksud hobi. Hobi ialah melakukan sesuatu untuk kepuasan diri sendiri, tetapi fotografi perkahwinan bukan satu hobi kerana kita perlu merakam gambar untuk kepuasan pelanggan.

2)    Membelanjakan wang dengan cara yang salah untuk membeli kamera, lensa dan lain-lain peralatan fotografi yang sebenarnya tidak diperlukan. Mereka menyangka, peralatan yang mahal boleh memajukan perniagaan mereka, tetapi sebenarnya itu tidak benar. Kesilapan pengurusan kewangan ini boleh mengundang masalah lain yang lebih besar. Mereka sepatutnya turut memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan pemasaran, modal pusingan dan lain-lain.

3)    Tidak mengetahui dan tidak mahir teknik yang betul dalam merakam foto perkahwinan. Bidang fotografi adalah bidang yang luas dan setiap bidang pengkhususan dalam fotografi itu mempunyai teknik-tekniknya yang tersendiri. Teknik yang digunakan untuk merakam foto sebagai hobi misalnya, adalah berlainan dengan teknik merakam foto perkahwinan. Biasanya, teknik dalam fotografi perkahwinan mementingkan teknik yang ringkas, cepat tetapi berkesan. Di dalam fotografi perkahwinan juga, imej yang dihasilkan mestilah mempunyai tahap kesenian yang tertentu disamping ianya juga perlu menambat hati pelanggan.

4)    Mudah terikut dan meniru gaya foto yang dihasilkan oleh jurufoto lain. Disebabkan meniru, hasil karya mereka tidak mempunyai keaslian atau identiti sendiri. Dengan cara mengikut tanpa faham konsep dan tanpa ada kemahiran mengenainya, hasilnya juga tidak begitu menjadi. Untuk bersaing, seseorang jurufoto itu perlu mempunyai karya yang unik agar dia boleh ‘dilihat’ dan dihargai oleh bakal pelanggan.

5)    Tidak mahir dalam bidang pemasaran. Walau sebagus mana pun karya seseorang itu, tanpa pemasaran yang betul, karya itu tidak dapat menjana pendapatan untuknya. Jurufoto sambilan biasanya tidak sanggup untuk membelanjakan wang untuk pemasaran (tetapi sanggup membeli kamera mahal) Mereka tidak faham bahawa, wang yang dikeluarkan untuk menjalankan pemasaran yang berkesan adalah satu pelaburan, bukannya satu pembaziran. Bukankah bijak jika terpaksa membelanjakan RM10,000 untuk pemasaran jika kita akan mendapat untung RM50,000 darinya?

Tetapi, semua ini adalah normal – dalam proses belajar, kita memang akan sentiasa membuat kesilapan. Apa yang penting ialah kita belajar dari kesilapan. Makin besar kesilapan yang dibuat, makin besar pengajaran yang akan didapati. Tetapi, orang yang lebih bijak ialah orang yang belajar dari kesilapan orang lain. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya jurufoto sambilan yang masih baru di dalam bidang ini menambahkan usaha untuk mencari ilmu dan belajar dari jurufoto lain yang lebih berpengalaman.

Akan sampai masanya nanti apabila seseorang itu telah lama dalam bidang ini, dia akan tiba di satu titik untuk membuat keputusan – berhenti kerja tetap dan lakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa! Untuk pergi lebih jauh, semua orang akan melalui peringkat ini. Peringkat yang lebih sukar, lebih mencabar dan lebih berisiko. Tetapi, pulangannya berbaloi jika kita berjaya.

Jika dilakukan dengan cara yang betul, setelah beberapa tahun melakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa, seseorang itu akan pergi ke langkah seterusnya, iaitu mempunyai pejabat yang khusus untuk perniagaannya. Bukan lagi beroperasi dari rumah. Disebabkan tugasan yang banyak, pada peringkat ini juga, jurufoto akan mula mempunyai pekerja yang akan membantu dalam beberapa urusan. Pada peringkat ini juga, jurufoto tadi bukan sahaja sibuk merakam foto, tetapi dia juga akan sibuk dalam menguruskan bermacam-macam hal berkaitan perniagaannya. Mungkin selepas beberapa ketika, dia akan membuka satu lagi perniagaan baru, menambah bilangan pekerja atau berpindah ke pejabat yang lebih besar. Ini menandakan bahawa seseorang jurufoto itu telah berjaya di dalam bidangnya, walau pada awalnya dia hanya bermula dari seorang jurufoto sambilan.

SERTAI KURSUS FOTOGRAFI PERKAHWINAN OLEH HASNUDDIN ABU SAMAH. SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT