Tag Archives: halus

Blog Arkib – Fotografi Bukan Seni?

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Sejarah Perkembangan Fotografi Sebagai Seni”– 21 April 2012)

Fotografi dan kamera dicipta menerusi sains. Pada zaman awalnya, perkembangan fotografi lebih tertumpu kepada proses penciptaan dan penambahbaikan terhadap sistem kamera itu sendiri. Pada era itu juga, fungsi gambar foto lebih kepada untuk merekod sesuatu. Ianya tidak dianggap sebagai satu karya seni visual sepertimana seni lukisan atau seni arca pada waktu itu. Artis visual pada ketika itu berpendapat, karya foto dihasilkan oleh kamera, bukan dengan kemahiran tangan jurufoto. Oleh itu, mereka tidak menerima karya fotografi sebagai satu karya seni.

Pada sekitar abad ke 20, satu aliran yang dinamakan Pictorialism dipraktikkan bagi membolehkan fotografi diterima sebagai satu karya seni pada zaman itu. Jurufoto Pictorialism memanipulasikan foto yang dirakam bagi menghasilkan foto dengan gaya seakan-akan lukisan. Alfred Stieglitz adalah seorang tokoh penting dalam memperjuangkan fotografi untuk diterima sebagai karya seni ketika era ini.

Gambar foto dengan aliran Pictorialism menggunakan beberapa teknik, antaranya - sengaja mengkaburkan fokus, menggunakan filter untuk kesan tertentu, membuat cetakan tona sepia dan membuat manipulasi foto di dalam bilik gelap agar foto yang dihasilkan menyamai karya lukisan. Foto ini bertajuk ‘Beppy’ karya Helen W. Drew. Sumber foto dari Wikimedia Commons

Ada pihak menganggap aliran fotografi dengan gaya Pictorialism tidak menampakkan identiti sebenar fotografi dan tidak menggunakan sepenuhnya kekuatan yang ada pada media fotografi. Oleh itu, sekumpulan jurufoto yang tidak bersetuju dengan gaya Pictorialism telah menubuhkan satu kumpulan yang diberi nama Group f/64 dimana Ansel Adams adalah salah seorang dari ahlinya.

Kumpulan ini telah mengadakan pameran fotografi pertama mereka pada tahun 1932. Mereka memperjuangkan idea ‘straight photography’ dimana karya foto yang dihasilkan tidak lagi cuba meniru gaya sebuah karya lukisan. Aliran ‘straight photography’ ini menjadi asas kepada seni fotografi yang dipraktikkan secara meluas sehingga ke hari ini, walau kita tidak menamakannya lagi sebagai ‘straight photography’.

Foto dengan gaya ‘straight photography’ yang berlawanan dengan gaya Pictorialism. Foto ini bertajuk ‘The Tetons and the Snake River’ (1942) hasil karya Ansel Adams. Sumber foto dari Wikimedia Commons


Pameran Fotografi di Galeri Pelita Hati

Pameran Fine Art Photography dengan tema Subject of Dreams II sedang berlangsung di Galeri Pelita Hati sehingga 18 Mei 2013. Masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI

Blog Arkib – Fotografi Bukan Macam Matematik

Fotografi Bukan Macam Matematik
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Fotografi Bukan Macam Matematik”– 2 Mac 2011)

Matematik ialah subjek yang saya paling lemah masa di sekolah dulu. Sebab itulah saya jadi jurufoto sekarang, bukan ahli matematik. Bila dapat masuk ITM dalam jurusan fotografi, saya rasa lega dapat belajar bidang yang saya minati. Tapi, macam tidak percaya, rupanya ada juga subjek matematik yang saya kena belajar untuk dapatkan diploma dalam fotografi. Subjek itu dinamakan Photo Science Mathematics!

Sebenarnya penting juga subjek sains dan matematik di dalam bidang fotografi ini. Sebabnya, fotografi dicipta melalui sains dan untuk kiraan yang tepat untuk beberapa perkara, ilmu matematik amatlah diperlukan. Contohnya, ada formula menggunakan matematik untuk mengira jarak fokus, jarak fokal, kuasa pembesaran imej, nilai f/number dan entah apa-apa lagi. Tapi, anda tidak perlulah risau, sebab kalau anda tidak pandai matematik pun, anda masih boleh jadi jurufoto yang bagus juga. Baiklah, cerita tadi cuma intro sahaja. Saya hendak bercakap pasal perkara lain sebenarnya.

Karya fotografi tidak sama macam matematik. Fotografi adalah satu bidang kreatif dimana penilaian terhadap mutu sesuatu karya adalah begitu subjektif. Maksud saya, apa pun yang anda baca atau belajar mengenai ‘peraturan’ artistik dalam fotografi, ianya hanyalah sekadar panduan sahaja sebenarnya. Tidak ada betul atau salah dalam fotografi apabila kita bercakap mengenai aspek seninya.

Selalunya, bila merakam gambar, seseorang itu akan mengelakkan kesan noise. Tetapi, di dalam gambar ini, kesan noise (lebih tepat lagi film grain) sengaja dimasukkan ketika proses di dalam Adobe Photoshop. - Foto oleh Hasnuddin Abu Samah

Jangan terima bulat-bulat apa yang diajar di dalam buku atau apa yang diajar oleh cikgu fotografi anda. Semuanya terpulang kepada anda untuk mengubahsuai ‘panduan’ yang telah diberikan tersebut. Contohnya, dalam pelajaran fotografi dikatakan, kalau rakam foto, subjek yang kita rakam mestilah tajam (sharp) difokus. Tetapi, itu tidak semestinya. Gambar yang kabur  (blur/out of focus) pun boleh menjadi gambar yang baik kalau kena pada tempatnya. Satu lagi contoh ialah mengenai noise. Secara teknikalnya, foto yang dirakam mestilah kurang noise, barulah gambar tu dikatakan cantik atau berkualiti. Maka sibuklah sekelian orang berlumba-lumba tukar kamera baru yang kurang noise. Dengan itu juga, ada pula segelintir ‘kaum’, bila tengok gambar orang saja, dia cari noise! Kalau nampak noise pada gambar orang, noise itu yang dikomen dulu – bukannya nilai artistik pada gambar tersebut. Hakikatnya, gambar yang ada noise pun boleh jadi gambar yang berjaya kalau kena pada tempatnya. Kalau gambar yang ada noise itu ada kekuatan lain seperti aksi yang sangat menarik contohnya, maka kelemahan noise itu bolehlah diabaikan saja.

Maka, akan ada pula yang akan bertanya, “Kalau noise tidak penting, kenapa diaorang buat kamera baru yang kurang noise?” Ada dua sebab. Nombor satu, sebab pengeluar kamera perlu bersaing untuk jual kamera mereka. Siapa yang dapat buat kamera yang paling canggih, dia akan dapat jual lebih banyak kamera. Baguslah begitu, kita memang ingin makin maju, bukan makin mundur. Tetapi, bagi yang kurang berkemampuan, janganlah susahkan diri asyik beli kamera baru. Sebab nombor dua ialah, ada sesetengah kerja fotografi memang memerlukan noise yang kurang, contohnya untuk fotografi pengiklanan dan fotografi landscape. Itupun, tidak semestinya – kadang-kadang, kita boleh nampak gambar di papan iklan yang blur dan banyak noise. Cantik juga bila kena dengan konsepnya.

Adakalanya, gambar objek tertentu di dalam gambar sengaja dijadikan kabur (blur) bagi mencapai kesan tertentu. Jadi, tidak ada peraturan yang boleh menetapkan setiap gambar mestilah tajam (sharp) - Foto oleh Hasnuddin Abu Samah

Satu lagi perkara subjektif di dalam fotografi ialah penilaian gambar. Contohnya bila kita masuk pertandingan, kita rasa gambar kita cantik, tiba-tiba gambar orang lain pula yang menang. Janganlah marah atau kecil hati. Kita kena ingat, penilaian gambar sangat subjektif. Bukan macam matematik yang cuma ada satu jawapan untuk setiap satu soalan. Pemilihan gambar yang menang dibuat oleh juri pertandingan yang biasanya terdiri dari jurufoto yang berpengalaman. Juri adalah manusia, bukan robot atau mesin kira. Juri ada perasaan, minat yang berlainan, citarasa berbeza, pengalaman berbeza dan pendapat mereka pun berbeza. Sebab itulah dalam pertandingan fotografi, biasanya juri ada ramai – sekitar 3-5 orang dan biasanya latar belakang mereka juga berbeza. Ini supaya keputusan keseluruhan adalah lebih adil hasil dari pengiraan purata markah yang diberikan oleh kesemua juri. Sebab itulah, salah satu tips untuk menang pertandingan fotografi ialah, kita kena kenal siapakah barisan juri dan bagaimanakah jenis gambar yang mereka minati. Kalau kita rakam gambar mengikut citarasa mereka, besarlah peluang kita untuk menang. Contohnya, jika kebanyakan juri pertandingan tu suka pada gambar hitam putih, maka kalau kita hantar gambar hitam putih, senanglah kita menambat hati mereka.

Itu tadi cerita juri profesional. Sekarang kita cerita pula pasal juri awam atau penonton di rumah (yang selalu komen gambar dalam Facebook itulah) Pendapat orang awam yang tidak mahir dalam fotografi pun adakalanya kita perlu ambil kira. Sebabnya ialah kerana penilaian mereka tidak akan terikat dengan kualiti teknikal fotografi semata-mata. Mereka akan terus menilai sesuatu foto itu secara keseluruhannya. Kalau gambar itu dapat menarik perhatian mereka, mereka akan kata cantik. Tapi, kita janganlah cepat perasan. Selalunya di Facebook ini, orang komen sebab hendak jaga hati kita dan ingin ‘memeriahkan’ suasana. Kalau setakat komen seperti ‘nice‘ atau ‘good job bro‘, anggaplah itu sebagai satu cara untuk mengeratkan silaturrahim sahaja.

Sama juga kalau kita rakam gambar kahwin untuk pengantin. Cantik atau tidak sesuatu gambar itu, akhirnya pelanggan yang akan tentukan. Eloklah jika kita pastikan dia suka gambar yang kita rakam, kalau tidak, susah dia nak bayar. Sebagai jurufoto, kita akan lebih terdorong untuk pilih gambar yang susah dirakam. Kita juga akan lebih cenderung untuk suka kepada gambar dengan teknik-teknik yang kononnya berseni seperti rakaman gambar secara silhouettemoment yang pelik dan close-up gambar kaki dan sebagainya. Tetapi, adakah pelanggan kita akan suka gambar macam ini? Biasanya, untuk mengelakkan saya syok sendiri, saya akan tanya pendapat isteri saya samada gambar pengantin yang saya rakam itu, cantik atau tidak di mata seorang perempuan. Bukankah berbeza matematik dengan fotografi? Kalau matematik, tidak perlu tanya pendapat orang lain, buat saja kiraan yang betul, dapatlah jawapannya.

Jadi, dalam fotografi tidak usahlah gaduh sangat pasal perkara yang subjektif  sebegini. Buka fikiran kita. Terima pendapat orang lain kerana ada sesuatu yang boleh kita belajar dari mereka. Kita tidak perlu ikut pendapat orang lain, tetapi sekadar menerima itu sebagai satu pendapat. Namanya pun pendapat, bukan peraturan. Dalam fotografi, tidak ada polis akan tangkap orang yang tidak ikut rule of third. Kecuali kalau orang itu tidak ikut rule of third sambil tidak ikut rule lampu isyarat, bolehlah kena saman dengan polis.

Tetapi, janganlah kebebasan berkarya dan faktor subjektif dalam fotografi ini dijadikan alasan untuk kita buat sesuka hati dalam fotografi. Kita boleh buat apa saja dalam fotografi asalkan kita tahu apa yang kita buat dan mesti boleh terangkan mengapa kita buat begitu. Orang boleh terima atau tidak, terpulang kepada mereka. Apa yang penting, bila kita terangkan mengapa kita buat sesuatu dengan cara tertentu, sekurang-kurangnya orang faham tujuan dan pendirian kita.

Pelukis lukisan abstrak yang kita tidak faham entah gambar apa yang dia lukis itu, boleh jual lukisan dia sebab dia boleh cerita pasal lukisannya dengan panjang lebar sampai orang yang mendengar cuma angguk-anggukkan kepala. Tetapi, bila pelukis tersebut sudah ada nama dan terkenal, dia tidak perlu bercerita panjang lebar lagi. Orang akan tunggu hasil karya dia yang terbaru dan berebut-rebut ingin membeli. Sama juga macam jurufoto. Seorang jurufoto yang sudah ada nama, kalau dia hasilkan gambar yang biasa saja pun, gambar itu tetap akan ada nilai yang tinggi. Sebenarnya, bukan gambar itu yang bernilai tinggi sangat, tetapi, siapa yang merakam gambar itu yang lebih penting adakalanya.

Fotografi ini satu bidang yang luas. Ada orang yang tidak berapa nampak keluasan bidang fotografi ini. Contohnya pasal penggunaan Photoshop. Ada segolongan orang yang tidak berapa pandai rakam gambar, lalu, banyak kerja mencantikkan gambar dibuat di dalam Photoshop. Kita kata, kalau hendak jadi jurufoto, mesti boleh rakam gambar dengan sesempurna mungkin di dalam kamera. Kita masukkan gambar dalam Photoshop untuk mencantikkan lagi gambar yang sudah sedia cantik. Tetapi, adakah salah kalau buat banyak kerja foto di dalam Photoshop? Tidak salah. Tetapi, orang yang buat banyak kerja di dalam Photoshop tidak sesuai dipanggil sebagai jurufoto. Dia adalah artis photo manipulation atau artis digital imaging. Salahkah artis yang mengubahsuai gambar di dalam Photoshop ini? Tidak salah, dia juga adalah insan seni dan karyanya diiktiraf sebagai karya seni. Adakah bidang ini juga diiktiraf sebagai fotografi? Ya, bidang ini juga diterima sebagai satu cabang dari fotografi, tetapi, ianya hanyalah pecahan dari bidang fotografi yang luas. Jadi apa yang salah? Saya rasa, yang salah atau yang tidak berapa tepat ialah, orang yang buat banyak kerja dalam Photoshop, dia tidak pandai rakam gambar, tetapi dia mengaku kata dia professional photographer.

Sama juga macam jenis orang yang suka beli kamera mahal-mahal dan asyik beli kamera untuk penuhkan dry box dia. Kemudian asyik beli dry box lagi untuk isi kamera baru lagi. Salahkah orang macam ini? Tidak salah. Sebab nombor satu ialah – dia beli kamera pakai duit dia sendiri, dia bukannya mencuri. Jadi apa yang salah? Hendak dikata salah, kasar sangat bunyinya. Cuma kita rasa tidak sesuailah kalau orang yang asyik beli kamera ini gelar dirinya sebagai seorang jurufoto; tetapi dia hanya sibuk bergaya dengan kamera, ikut orang pergi shooting, lepas itu sibuk komen gambar orang, tetapi gambar dia sendiri orang lain tidak pernah tengok. Orang macam ini boleh memberi tanggapan yang mengelirukan kepada bidang fotografi dan paling bahaya ialah dia boleh meracun orang lain untuk habiskan duit beli barang fotografi tanpa ada apa-apa kemajuan dalam penghasilan gambar itu sendiri.

Sebenarnya, saya kagum juga dengan golongan yang suka beli kamera ini. Cuma mereka tidak begitu sesuai dikategorikan sebagai jurufoto. Mereka lebih sesuai dikategorikan sebagai camera collector. Saya kenal beberapa orang camera collector yang hebat. Mereka tidak pernah mengaku mereka adalah jurufoto. Malah mereka berbangga menggelar diri mereka sebagai camera collector. Saya tabik mereka kerana minat mereka yang mendalam terhadap kamera dan kesanggupan mereka untuk melabur wang dalam membeli kamera yang bukan murah harganya. Apa yang lebih saya kagumi ialah, golongan camera collector tulen ini mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap spesifikasi dan segala hal mengenai kamera yang mereka kumpul. Ini juga satu hobi yang baik.

Saya harap, anda dapat faham apa yang cuba saya sampaikan. Saya harap penulisan saya ini tidak mengelirukan sesiapa. Ianya cuma sekadar pendapat peribadi saya yang tentunya berbeza dengan pendapat orang lain.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

TIPS DAN PANDUAN FOTOGRAFI PERCUMA – SILA KLIK DI SINI

Tahap-Tahap Seorang Jurufoto

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Bagaimanakah anda melihat bidang fotografi? Seluas manakah atau setinggi manakah anda melihat bidang fotografi ini? Bagi peminat fotografi yang baru menceburkan diri dalam bidang ini, mereka akan hanya dapat melihat bidang fotografi pada permukaan luarnya sahaja. Bagi mereka, fotografi hanya berkisar sekitar kamera dan rakaman gambar secara rawak. Memang inilah yang selalunya berlaku di peringkat awal bila kita menceburi apa-apa bidang sekalipun. Ibaratnya, kita tidak akan sedar betapa luasnya laut jika kita hanya duduk di tepi pantai. Selalu juga dikatakan – semakin banyak kita belajar, semakin kita sedar betapa banyak lagi ilmu yang kita tidak tahu.

Fotografi sebenarnya adalah satu bidang yang amat luas ilmunya. Untuk menjadi seorang jurufoto yang terbilang, seseorang itu perlu mengambil masa yang lama untuk menguasainya. Ada sesetengah jurufoto mengambil masa sehingga puluhan tahun sebelum karya mereka dikenali dan disanjungi. Jadi, dimanakah kita jika kita sekadar mempunyai pengalaman sekitar 5 atau 6 tahun? Perjalanan masih jauh, malah hakikatnya, tiada penghujung dalam menuntut ilmu.

Begitu juga dari sudut akademik. Tidak ramai yang sedar bahawa, dalam bidang fotografi juga kita boleh belajar secara formal sehingga ke peringkat Ijazah (Master) yang mengambil masa sehingga 7 tahun bermula dari peringkat Diploma. Malah ada juga yang meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) bagi menyambung pelajaran mereka.

Ringkasannya di sini, tidak kiralah samada belajar secara formal atau tidak formal, seseorang itu harus bersedia untuk belajar secara konsisten dalam satu tempoh masa yang panjang bagi mencapai tahap yang tinggi dalam bidang fotografi. Tetapi, sekiranya kita benar-benar meminati fotografi, proses pembelajaran ini sentiasa akan menjadi satu proses yang menyeronokkan dan memberi kepuasan. Masa yang beredar juga tidak akan terasa bila kita menikmati setiap hari yang dilalui dengan berbagai pengalaman baru.

Tahap-tahap dalam Fotografi

Secara umumnya, seseorang jurufoto itu akan melalui 5 peringkat atau tahap yang berbeza semasa penglibatannya di dalam bidang fotografi. Ada yang akan melalui tahap-tahap ini dalam tempoh masa yang singkat dan ada juga yang akan melaluinya dalam tempoh masa yang lama. Ini semua bergantung kepada kesungguhan, kerajinan dan mungkin juga bakat semulajadi yang dimiliki oleh seseorang itu. Selain dari itu, seseorang yang mendapat bimbingan yang betul secara sistematik dan banyak meluangkan masa dalam bidang ini akan mencapai tahap yang lebih tinggi dalam masa yang lebih singkat.

Tahap Pertama

Tahap Pertama ini adalah tahap untuk golongan jurufoto baru (beginner atau newbie) Selalunya mereka belum tahu dengan jelas tujuan mereka menceburi bidang ini. Mungkin ada yang menceburi bidang ini disebabkan oleh minat kepada gadjet atau kecanggihan teknologi kamera digital atau mungkin juga disebabkan oleh terikut dengan kawan-kawan.

Pada tahap ini, seseorang itu biasanya akan hanya merakam gambar rakan-rakan dan kaum keluarga mereka sahaja, terutamanya ketika berlangsungnya sesuatu aktiviti atau majlis tertentu..

Ada golongan yang akan terus kekal pada tahap ini. Golongan ini ialah mereka yang hanya memerlukan fotografi sekadar untuk merakam gambar kenangan dalam hidup mereka – tidak lebih dari itu. Tetap, ada juga golongan yang akan ‘menjumpai sesuatu’ pada tahap ini, lalu akan melangkah ke tahap seterusnya.

Pada peringkat awal, jurufoto biasanya akan banyak merakam gambar subjek di sekeliling mereka sahaja seperti merakam gambar potret kanak-kanak. Dari subjek-subjek biasa inilah kemahiran akan ditajamkan dan minat yang lebih mendalam dalam fotografi akan dipupuk.

Tahap Kedua

Pada tahap ini, seseorang itu akan mula merakam gambar subjek-subjek yang menarik selain dari gambar rakan-rakan atau kaum keluarga mereka. Mereka akan menggunakan kreativiti bagi mendapatkan rakaman gambar yang menarik. Pada tahap ini juga, mereka akan mula menyukai bidang fotografi kerana melalui bidang ini, mereka dapat menghasilkan karya yang dapat memberikan kepuasan kepada diri sendiri.

Tetapi, selalunya pada tahap ini, rakaman gambar dilakukan secara trial and error. Kadang-kadang gambar yang dirakam menjadi, kadang-kadang gambar yang dirakam menghampakan. Kalau dapat gambar yang cantik pun, mereka biasanya tidak tahu bagaimana gambar yang cantik tersebut telah berjaya dihasilkan. Mereka juga tidak tahu, apa faktor yang membuatkan gambar tersebut menjadi cantik. Tapi, apa yang pasti, mereka suka merakam gambar.

Pada tahap ini, seseorang itu sudah mulai ‘tahu apa yang dia tidak tahu’. Beliau mulai sedar akan kelemahan yang dimiliki lalu berusaha untuk belajar dan berlatih dengan lebih gigih. Beliau juga sudah tahu arah tuju beliau dalam fotografi sekurang-kurangnya dalam jangka pendek dan sanggup meluangkan masa dan wang ringgit untuk lebih maju dalam bidang ini.

Tahap Ketiga

Pada tahap ini, perkara yang biasanya akan diberi perhatian adalah mengenai aspek teknikal dalam bidang fotografi, iaitu ilmu berkaitan cara mengawal kamera bagi mendapatkan foto yang elok dari segi teknikalnya. Golongan ini akan belajar cara untuk menghasilkan foto yang tajam, mendapat exposure (dedahan cahaya) yang betul, white balance yang betul dan sebagainya. Golongan ini juga akan mengambil berat tentang kualiti sesuatu kamera dan lensa yang digunakan dan mula memahami berbagai faktor yan menentukan kualiti peralatan yang digunakan.

Pendek kata, pada peringkat ini, kebanyakan perhatian akan diberikan tentang cara mengawal peralatan (kamera) yang digunakan untuk merakam gambar. Setelah beberapa lama, kawalan teknikal seperti aperture, shutter dan ISO hanya akan berada di hujung jari mereka dan kemahiran lain mengenai pengawalan kamera akan menjadi sebati dalam diri jurufoto ini.

Pada tahap ini, walaupun seseorang itu telah faham mengenai kawalan teknikal pada kamera, mereka masih tidak dapat menghasilkan gambar yang cantik. Apabila dibandingkan gambar mereka dengan jurufoto lain yang lebih berpengalaman, akan terlihat jauhnya perbezaan kualiti gambar yang dihasilkan dari aspek artistiknya. Apabila ini dirasakan, golongan ini perlu melangkah ke tahap yang seterusnya, iaitu belajar cara untuk menghasilkan gambar yang cantik dan ‘sedap’ dilihat.

Tetapi, ada juga golongan yang akan tersangkut di tahap ini dalam tempoh masa yang lama jika mereka hanya terlalu memberi fokus kepada peralatan dan perkara teknikal semata-mata. Namun, jika seseorang itu melihat fotografi dalam skop yang lebih luas, beliau akan melangkah ke tahap lain pula untuk menjadi seorang jurufoto yang sejati.

Bagi sesetengah orang, gambar motorsikal ini mungkin kurang nilainya dari segi artistik, tetapi ia mempunyai nilai yang besar dari segi komersial, terutamanya untuk syarikat yang mengeluarkan produk ini. Gambar yang berkualiti seperti ini akan memberi kesan yang kuat kepada kejayaan penjualan sesuatu produk. Untuk menghasilkan gambar seperti ini, jurufoto mestilah mempunyai kemahiran teknikal dan artistik yang tertentu, terutamanya dari aspek pencahayaan. Bagi jurufoto komersial, walaupun beliau telah mencapai tahap kesenian yang tinggi dalam bidang fotografi, adakalanya beliau terpaksa menyesuaikan kemahiran yang dimiliki agar ianya sesuai dengan kehendak pelanggan. (Foto oleh Ikram Ismail)

Tahap Keempat

Di dalam tahap keempat, seseorang jurufoto itu telah pun menguasai kemahiran pengawalan kamera. Perkara teknikal bukan lagi menjadi isu besar bagi mereka. Pada peringkat ini, fikiran mereka lebih banyak tertumpu untuk menghasilkan gambar yang cantik, bukannya berkira-kira mengenai aperture dan shutter lagi.

Ia ibarat ketika kita baru belajar memandu kereta. Pada peringkat awal ketika baru mendapat lesen kereta, fikiran kita sibuk tertumpu kepada pengendalian kereta itu sendiri, seperti kawalan gear, clutch, brek, stering dan sebagainya. Kita tidak benar-benar bekesempatan untuk menghayati keindahan pemandangan ketika sedang memandu. Tetapi, setelah cekap memandu, fikiran tidak lagi terlalu tertumpu kepada pengawalan kereta. Pengawalan kereta sudah menjadi second nature kepada kita dimana segala pergerakan kaki dan tangan seakan-akan bergerak secara otomatik dalam mengawal pemanduan tersebut. Ketika ini, fikiran lebih lapang ketika memandu dan kita sempat menikmati keindahan pemandangan di sepanjang perjalanan. Sama juga dalam fotografi, apabila kita telah dapat menguasai kemahiran kawalan kamera, barulah kita boleh memberi fokus sepenuhnya tentang aspek kreativiti dalam penghasilan gambar.

Tiada jalan pintas untuk menjadi mahir di dalam bidang fotografi. Namun, ianya tidaklah terlalu sukar. Dalam bidang apa pun, jika kita melakukan perkara yang sama secara kerap dalam tempoh masa yang lama, kita tentu akan jadi mahir. Asalkan kita mempunyai ilmunya terlebih dahulu.

Menyedari hakikat ini, jurufoto terbabit akan mula mencari-cari ilmu dan ‘rahsia’ untuk menghasilkan gambar yang cantik. Pada peringkat ini, beliau sudah boleh menghargai karya fotografi yang berkualiti tinggi, terutamanya hasil foto oleh jurufoto lain yang lebih berpengalaman. Meraka juga akan mula meminati hasil kerja jurufoto tertentu dan akan mengkaji karya-karya jurufoto ini.

Ilmu yang dititik beratkan di peringkat ini adalah ilmu berkaitan teknik-teknik fotografi dan asas seni dalam fotografi. Ini termasuklah pengetahuan mengenai komposisi, elemen grafik, komunikasi visual, pencahayaan dan sebagainya.

Pada tahap ini juga, biasanya seseorang jurufoto itu akan mencuba beberapa bidang dalam fotografi yang diminatinya seperti merakam gambar pemandangan, bangunan, hidupan liar, potret dan sebagainya.

Setelah beberapa lama berada di tahap ini, seseorang itu akan menguasai berbagai teknik fotografi dan dengan mudah dapat menghasilkan gambar yang cantik. Tetapi, beliau akan merasa masih ada kekurangan pada hasil karyanya. Gambar yang dihasilkan memang cantik, tetapi belum sampai ke tahap gambar yang hebat. Ini dapat dirasakan bila beliau melihat ada jurufoto lain yang dapat menghasilkan foto yang jauh lebih hebat.

Tahap Kelima

Pada tahap ini, seseorang jurufoto itu telah menguasai kemahiran teknikal dan artistik di dalam fotografi. Pada mereka, fotografi bukan setakat gambar yang cantik semata-mata. Fotografi mempunyai peranan yang lebih besar dan lebih penting. Sesuatu foto itu haruslah berperanan untuk menyampaikan mesej yang penting dan penuh dengan makna. Lebih baik lagi jika sesuatu foto itu dapat menyentuh perasaan orang yang melihatnya lantas mengubah atau memberikan persepsi baru tentang sesuatu isu atau sesuatu subjek.

Gambar ini dirakam oleh Che’ Ahmad Azhar, seorang jurufoto yang telah mencapai tahap yang tinggi dalam menguasai bidang Street Photography di Malaysia. Di tahap ini, seseorang jurufoto itu jarang sekali ingin berbicara mengenai peralatan, aspek teknikal atau teknik-teknik asas dalam seni fotografi. Bukan bererti perkara asas itu tidak penting, tetapi kesemua perkara asas tersebut telah menjadi sebahagian dari dirinya. Ada perkara lain yang lebih penting yang ingin dicapai; iaitu untuk menghasilkan gambar yang menyampaikan mesej yang bermakna, mengabadikan detik yang tidak pernah dihiraukan, mengubah perspektif manusia atau lebih hebat lagi jika sesuatu gambar itu dapat menyentuh hati orang yang melihatnya. Di dalam Street Photography misalnya, pada tahap ini, seseorang jurufoto itu bukan sahaja perlu pakar dalam bidang fotografi, tetapi beliau juga perlu pakar dalam bidang yang berkaitan dengan subjek rakamannya seperti psikologi, sosiologi dan antropologi. (Foto oleh Che’ Ahmad Azhar)

Pada peringkat ini juga, jurufoto terbabit akan mulai sedar bahawa, memiliki kamera mahal atau mempunyai deretan lensa high performance bukanlah jaminan mutlak untuk mendapat hasil foto yang berkualiti dari segi artistiknya.

Jurufoto yang telah berada pada tahap ini biasanya akan mengkhusus pada satu jenis bidang atau subjek sahaja. Apabila mengkhusus, mereka akan menjadi pakar dalam bidang yang spesifik ini. Contohnya, ada jurufoto yang mengkhusus dalam merakam gambar potret, mengkhusus dalam merakam gambar pemandangan atau mengkhusus dalam fotografi makro sahaja. Namun, selain dari pakar di dalam ilmu fotografi, mereka juga turut pakar mengenai subjek rakaman mereka.

Ini boleh diibaratkan apabila kita ingin memberi ceramah mengenai sesuatu subjek. Kita perlu benar-benar mahir mengenai subjek tersebut agar kita boleh menyampaikan ceramah yang berkesan. Bayangkan seorang ahli politik yang bijak berpidato; apakah beliau akan hebat bila disuruh bercakap mengenai cara-cara untuk membuat kek? Tentu sekali tidak.

Sama juga seperti fotografi, gambar yang dirakam harus berjaya menyampaikan mesej dengan berkesan. Oleh itu, seseorang jurufoto itu harus benar-benar mahir mengenai subjeknya agar ia dapat menyampaikan mesej yang bermakna secara visual.

Rumusan

Perjalanan masih jauh. Namun, usahlah risau. Nikmatilah perjalanan ini sambil berusaha dengan tekun secara konsisten. Tidak perlu tergopoh gapah mencari jalan pintas untuk cepat naik ke atas. Perbanyakkan ilmu, pertingkatkan latihan. Anda pasti akan sampai ke puncaknya.

Hakcipta Terpelihara 2012 – Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Video – Proses Filem Menggunakan Kopi dan Vitamin C!

Satu cara alternatif yang sungguh menarik! Kopi dan vitamin C digunakan sebagai developer untuk memproses filem. Hasilnya tidaklah sesempurna seperti menggunakan developer sebenar, tetapi, ianya memberikan kesan yang menarik dan menyeronokkan.

Untuk maklumat tambahan, sila ke laman web Photojojo dan Caffenol.

Dapatkan berbagai tips dan info mengenai fotografi di laman Facebook kami di – http://www.facebook.com/fototeacher