Tag Archives: Gambar

Idea Percuma Setiap Masa

Meet OKDOTHIS from OKDOTHIS on Vimeo.

Kini anda boleh merakam foto kreatif walaupun anda telah kehabisan idea. Sebuah aplikasi telah dicipta untuk membantu anda merakam foto yang menarik dan kreatif pada bila-bila masa dan di mana jua. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web ini – http://okdothis.com/


Jangan Tertipu dengan Gambar Ini!

Jika anda perhatikan gambar di atas, anda tentu akan menyangka bahawa ianya adalah 4 keping gambar berlainan yang dicantumkan untuk menjadi sekeping gambar. Cuba tengok betul-betul. Sebenarnya, gambar ini adalah sekeping gambar yang dirakam sekali sahaja! Cuba lihat situasi sebenar seperti gambar di bawah ini:

Gambar ini dirakam oleh jurugambar bernama Bela Borsodi. Laman web beliau di sini –  http://www.belaborsodi.com/
Sumber artikel dari Gizmodo.com

Anda juga boleh tonton video di bawah yang menunjukkan video ‘time-lapse’ langkah demi langkah bagaimana gambar ini dihasilkan. Memang rumit!

Report – Kursus Asas Fotografi Digital

Gambar peserta Kursus Asas Fotografi Digital yang telah diadakan pada 7-8 Disember 2013. Kepada peserta yang ingin mendapatkan foto ini di dalam saiz besar, sila ke: http://fototeacher.com/2GroupPhotoAFD7to8Disember2013Large.jpg

Kepada anda yang ingin menyertai kursus seperti ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di – http://www.fototeacher.com/

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 (waktu pejabat) E-mel: sales@fototeacher.com atau sila layari laman web kami – http://www.fototeacher.com/

Merakam Galaksi Bima Sakti

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Tidak lama dulu, muncul pula satu lagi ‘trend’ baru dalam fotografi, iaitu merakam gambar pemandangan waktu malam dengan menampakkan galaksi Bima Sakti di langit. Dengan perasaan ingin tahu, saya pun mencuba juga, dan hasilnya, dapatlah gambar yang tidak berapa menjadi seperti di bawah ini:

Gambar ini dirakam di Pulau Perhentian dengan bantuan dan tips dari rakan saya – Affandi Abd Hamid. Hasil dari rakaman ini, saya dapat belajar beberapa perkara baru hasil dari kesilapan yang telah saya lakukan serta pengalaman sebenar mencuba rakaman gambar sebegini. Berikut ini adalah beberapa tips penting yang perlu anda ketahui:

1)    Gambar galaksi Bima Sakti hanya boleh dirakam di kawasan yang betul-betul gelap. Kawasan yang ada cahaya (walau cahaya dari beberapa buah rumah) akan menyebabkan cahaya dipantulkan ke langit dan langit akan kelihatan cerah. Bila langit cerah, galaksi ini tidak akan kelihatan. Anda juga tidak boleh merakam gambar galaksi ini ketika bulan terang. Pendek kata, anda perlu mencari tempat yang terpencil yang tiada cahaya dan betul-betul gelap. Walaupun setelah berada di tempat yang amat gelap, adalah amat sukar melihat galaksi ini dengan mata kasar. Tetapi, dengan dedahan (setting) kamera yang betul, kamera boleh merakam gambar galaksi ini.

2)   Setelah berada di kawasan gelap, anda perlu mencari pula, di arah mana galaksi Bima Sakti ini berada – samada di sebelah utara, selatan, timur, barat atau di atas anda. Anda boleh cari secara rawak atau boleh gunakan application khas di sini – http://www.stellarium.org/

3)    Imej galaksi ini adalah amat malap. Jadi, anda perlu menggunakan ISO yang tinggi dan aperture yang besar. Tetapi, anda tidak boleh gunakan shutter speed yang terlalu perlahan, kerana galaksi ini dan bintang-bintang akan kelihatan tidak tajam (kabur) di dalam gambar, akibat dari pergerakan/putaran bumi. Inilah cabaran untuk merakam gambar galaksi ini. Biasanya, setting kamera yang digunakan adalah lebih kurang begini – ISO 3200, shutter 20 saat dan aperture f/2.8.

4)    Disebabkan anda terpaksa menggunakan ISO tinggi, jadi, sebaiknya anda perlu guna kamera DSLR full frame kerana kamera ini mempunyai noise yang kurang. Anda juga perlu rakam dalam format RAW dan perlu membuat proses noise reduction semasa post production.

5)    Anda juga perlukan lensa yang mempunyai bukaan aperture yang besar kerana kebolehannya merakam gambar pemandangan yang gelap. Aperture yang diperlukan adalah sekurang-kurangnya f/2.8 atau lebih baik lagi jika anda ada lensa dengan aperture f/1.4. Untuk mendapatkan lensa wide angle dengan aperture besar dengan harga yang murah, anda boleh cuba lensa 24mm f/1.4 jenama Rokinon.

6)    Anda juga perlukan tripod yang betul-betul teguh kerana anda perlu menggunakan shutter yang perlahan. Jika tripod anda tidak cukup teguh, gambar akan kelihatan kabur. Sebenarnya tripod dan kamera boleh ‘bergegar’ (walau tidak dapat dilihat dengan mata kasar) hanya dengan ditiup angin biasa di tepi pantai. Jika tripod anda tidak cukup teguh, anda boleh ‘tambahkan berat’ tripod anda dengan menggantung beg kamera atau apa-apa benda yang berat pada tripod anda.

7)    Untuk memfokus, anda boleh gunakan live view. Enlarge view dan lihat samada fokus anda telah betul-betul tajam. Adakalanya, meletakkan fokus pada infinity tidak juga memberikan hasil yang baik.

Jika anda berminat untuk tahu lebih lanjut dan mencuba rakaman gambar galaksi Bima Sakti, sila layari blog David Kingham. Beliau mempunyai koleksi karya foto yang sungguh menakjubkan dan beliau juga banyak berkongsi tips dan panduan untuk merakam gambar waktu malam di dalam blognya. SILA KLIK DI SINI.

Jika anda ingin berkongsi pendapat atau maklumat, sila tulis di ruangan komen. Sila klik di sini

Blog Arkib – Photo Enhancement

Photo Enhancement
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Photo Enhancement
”– 1 Disember 2011)

Foto enhancement adalah satu proses dimana sesuatu foto itu dicantikkan lagi dari foto asalnya. Proses ini biasanya dibuat menggunakan perisian Adobe Photoshop. Saya kerap ditanya, adakah foto yang saya rakam ‘dimasukkan’ terlebih dahulu di dalam Photoshop. Jawapan saya – Ya, semua foto yang saya rakam akan saya lakukan enhancement terlebih dahulu menggunakan Adobe Photoshop sebelum sesuatu foto itu ditunjukkan kepada orang lain.

Bagi saya, gambar foto yang tidak dilakukan enhancement adalah gambar foto yang belum siap. Ia boleh diibaratkan seperti sebuah rumah yang telah siap dibina, tetapi tidak dihias. Proses photo enhancement ini bukannya baru. Jurufoto sejak zaman penggunaan kamera analog (kamera menggunakan filem) melakukan enhancement kepada foto yang mereka rakam. Bezanya, pada ketika itu, proses enhancement ini dilakukan di dalam bilik gelap (darkroom) secara manual.

Biasanya, saya akan melakukan enhancement dari segi – cropping, level, color balance, burning dan dodging. Sememangnya menjadi satu keperluan untuk semua jurufoto untuk mempunyai sekurang-kurangnya ilmu asas mengenai penggunaan Adobe Photoshop.

Untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas, saya tunjukkan contoh foto yang saya rakam dan jenis enhancement yang telah saya lakukan. Foto di bawah ini adalah foto original tanpa dilakukan apa-apa enhancement. Ianya kelihatan biasa sahaja. Tetapi, ciri-ciri penting pada foto mestilah cukup baik seperti subjek yang menarik, komposisi yang baik dan dedahan cahaya (exposure) yang tidak terlalu teruk.

Seterusnya, saya melakukan cropping pada foto ini, iaitu menjadikannya ke dalam bentuk square format. Ini dilakukan agar subjek utama kelihatan lebih menyerlah di dalam gambar serta menjadikan keseluruhan foto lebih menarik. Saya juga menukarkan foto ini menjadi foto hitam putih agar mata kita lebih tertumpu kepada bentuk dan komposisi subjek, tanpa gangguan dari sebarang warna. Setelah itu, saya mengawal kecerahan foto (kawalan pada level) agar ianya tidak terlalu gelap dan tidak terlalu cerah. Secara tidak langsung, proses ini juga mempengaruhi kawalan kontras pada gambar. Saya melakukan beberapa lagi kawalan terperinci terhadap kecerahan gambar dengan melakukan dodging dan burning. Anda boleh melihat di bahagian mana saya melakukan dodging dan burning ini seperti di dalam gambar di bawah

TIPS DAN PANDUAN FOTOGRAFI PERCUMA – SILA KLIK DI SINI

Proses dodging dan burning ini perlu dilakukan dengan berhati-hati dan memakan sedikit masa. Apa pun yang anda lakukan, jangan lakukan enhancement yang keterlaluan. Kalau boleh, pastikan foto yang dihasilkan masih kelihatan asli tanpa kesan ubahsuai yang berlebihan. Apapun, penilaian terhadap kecantikan sesuatu foto itu tetap menjadi sesuatu yang subjektif. Di bawah ini adalah gambar foto yang telah siap dilakukan enhancement.

Sekiranya anda berminat untuk mempelajari cara yang betul menggunakan Adobe Photoshop, anda boleh hadiri bengkel yang dianjurkan oleh FOTOTEACHER.COM. Bengkel ini akan disampaikan oleh jurulatih yang pakar di dalam bidang ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran, SILA KLIK DI SINI


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Blog Arkib – Menara Berkembar Petronas

Menara Berkembar Petronas
Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Menara Berkembar Petronas”– 13 Oktober 2011)

Ramai yang memanggil bangunan ini sebagai menara KLCC (Kuala Lumpur City Centre), tetapi nama sebenarnya ialah Menara Berkembar Petronas atau di peringkat antarabangsa mengenalinya sebagai Petronas Twin Tower. Bagi kita yang tinggal di Kuala Lumpur, kita tentu sering melihat pemandangan Menara Berkembar Petronas ini sehingga kadangkala kita terlupa bahawa, sebenarnya menara ini sangat popular di seluruh dunia. Ianya masih memegang rekod sebagai menara berkembar tertinggi di dunia. Pelancong dari seluruh dunia datang dari jauh untuk melihat dan menghargainya; mungkin lebih dari kita sendiri menghargai menara ini. Kita tidak berapa kisah kerana menara ini ada di negara kita sendiri. Biasalah begitu.

Saya sebagai peminat fotografi sering mengembara ke seluruh Malaysia dan kadangkala ke luar negara untuk merakam foto yang menarik. Tetapi, pelik sekali, saya tidak pernah merakam foto Menara Berkembar Petronas sebelum ini. Ini mungkin disebabkan saya selalu berkunjung ke sini dan boleh ke sini pada bila-bila masa. Jadi, tiada sebarang desakan. Lagi satu sebab ialah kerana saya rasakan terlalu ramai orang yang telah merakam gambar menara ini dan sukar untuk mendapatkan gambar yang unik.

Jadi, apa yang mendorong saya untuk merakam gambar Menara Berkembar Petronas ini?

Saya ada terlihat beberapa gambar Menara Berkembar Petronas yang dirakam dengan begitu baik sekali oleh beberapa orang jurufoto antarabangsa. Saya kagumi karya mereka. Saya terfikir, jika mereka boleh datang dari jauh untuk merakam gambar menara ini, kenapa saya yang tinggal di Kuala Lumpur tidak turut cuba merakam gambar bangunan yang sungguh indah ini? Ini akan menguji diri saya sendiri. Bolehkah saya merakam gambar satu subjek yang popular ini dengan baik? Apa yang pasti, saya mempunyai satu kelebihan. Saya tinggal tidak jauh dari menara ini dan saya boleh merakam gambarnya setiap hari jika saya mahu, sehinggalah saya dapat gambar yang baik!

Lalu, saya membuat sedikit persediaan. Melayari laman web mencari foto-foto Menara Berkembar Petronas dan mengkaji gambar-gambar tersebut. Saya membuat rumusan mengapakah sesuatu foto itu menarik dan bagaimana saya boleh jadikan foto saya lebih menarik atau sekurang-kurangnya sama taraf.

Bagi saya, ada 2 perkara paling penting dan paling sukar untuk merakam foto menara ini. Pertama, saya perlu dapatkan sudut yang menarik dan kalau boleh, perlu rakamkan dari sudut rakaman atau komposisi yang belum pernah jurufoto lain rakamkan. Perkara kedua, saya perlu dapatkan atau tunggu keadaan cahaya matahari yang sesuai. Saya sedar, saya tidak boleh mengawal cahaya matahari. Semuanya bergantung kepada nasib. Saya juga sedar, saya mungkin perlu membuat beberapa kali cubaan atau kunjungan sehingga saya mendapat pencahayaan yang sesuai.

Saya bercadang untuk merakam gambar dengan cahaya matahari pagi kerana pada waktu ini, cahaya yang datang dari sisi adalah lembut dan biasanya kurang habuk atau jerebu pada waktu ini. Untuk merakam foto ini, saya telah berada di lokasi pada sekitar jam 6.30 pagi. Keadaan masih gelap pada waktu itu. Jadi, saya masih ada masa untuk mencari sudut penggambaran yang terbaik. Setelah mencuba beberapa sudut, akhirnya saya dapat satu lokasi yang saya kira boleh memberikan gambar terbaik. Saya membuat komposisi gambar dan menunggu sehingga cahaya yang sesuai menjelma. Syukur, memang rezeki saya pada hari itu, cuaca dan cahaya adalah sangat baik. Langit juga cerah dengan sedikit awan yang saya rasa boleh menjadikan gambar saya lebih menarik. Saya merakam foto di atas pada kira-kira jam 7.15 pagi.

Saya suka imej Menara Berkembar Petronas yang dipantulkan pada permukaan air seperti yang kita dapat lihat di dalam gambar yang dipaparkan ini. Pembalikan imej sebegini hanya boleh didapati ketika air tenang. Biasanya air di kolam ini tidak setenang ini kerana air ini sentiasa mengalir disebabkan oleh beberapa pancuran air. Pada asalnya, imej pada pantulan air adalah lebih gelap berbanding imej menara sebenar. Jadi, untuk mengimbangkan kecerahannya, saya terpaksa menggunakan Gradual Neutral Density filter yang bertujuan untuk menggelapkan bahagian atas gambar ini, lalu menjadikan kecerahan bahagian atas dan bawah gambar ini kurang ketara perbezaanya.

Lain-lain data teknikal rakaman foto ini adalah seperti berikut – kamera Nikon D300s bersama lensa Nikkor 10-24mm f/3.5 digunakan. Focal length dilaraskan pada 11mm, aperture pada f/22, shutter speed pada kelajuan 1 saat dan ISO 200. Oleh kerana shutter perlahan digunakan, saya turut menggunakan tripod dan electronic release bagi mengelakkan gegaran.

Diharap anda mendapat manfaat dari perkongsian ini.  Rajin-rajinlah menambahkan ilmu dan selalulah berlatih merakam foto agar karya anda menjadi semakin baik setiap hari. Pesan ini juga untuk diri saya kerana saya juga masih dalam proses belajar.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Pameran Fotografi di Galeri Pelita Hati

Pameran Fine Art Photography dengan tema Subject of Dreams II sedang berlangsung di Galeri Pelita Hati sehingga 18 Mei 2013. Masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI

Buat Duit dari Microstock (Bahagian 3/3)

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Sebelum membaca artikel ini, anda disarankan untuk membaca artikel Bahagian 1 dan Bahagian 2 terlebih dahulu.

Andaikan selepas 5 tahun, anda telah mempunyai 6,000 keping gambar di dalam microstock. Secara kasarnya, anda akan memperolehi pendapatan diantara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan. Jumlah ini nampak agak selesa terutamanya bagi anda yang melakukan kerja ini secara sambilan. Tetapi, setelah mengambil kira kos dan masa yang terlibat, adakah pendapatan ini berbaloi? Kita akan bincangkan selepas ini.

Satu lagi perkara penting yang perlu dinyatakan, pendapatan yang anda perolehi dari microstock seperti Shutterstock akan dikenakan cukai oleh kerajaan Amerika Syarikat sebanyak 30%. Sekiranya hasil jualan gambar anda ialah RM6,000 sebulan, anda perlu membayar cukai sebanyak RM1,800. Oleh itu, anda hanya akan menerima bayaran berjumlah RM4,200.00 sahaja setelah ditolak bayaran cukai.

Untuk memiliki 6,000 keping gambar di dalam microstock, anda perlu mendapatkan 25 keping gambar setiap minggu atau 100 keping gambar setiap bulan selama 5 tahun. Jumlah ini hanya sebagai cadangan sahaja. Anda boleh merakam lebih banyak gambar setiap minggu jika anda mahu. Jadi, untuk merakam 25 keping gambar yang berkualiti setiap minggu, agaknya berapa lamakah masa yang perlu anda luangkan? Berapakah agaknya ‘gaji’ anda sejam untuk kerja ini?

Berikut ini dinyatakan proses kerja yang terlibat dan anggaran masa yang diperlukan untuk mendapatkan 25 keping gambar seminggu:

Jumlah masa yang digunakan ialah – 15 jam untuk mendapatkan 25 keping gambar. Ini bermaksud, secara puratanya, anda memerlukan 36 minit untuk proses lengkap bagi penghasilan setiap keping gambar. Katakan setiap keping gambar akan memberikan anda pulangan RM1 setiap bulan selama 5 tahun (selepas 5 tahun, gambar ini mungkin sudah tidak laku lagi), jumlah pendapatan yang diperolehi dari setiap keping gambar ini adalah RM60.00 di sepanjang 5 tahun. Jadi, 36 minit untuk menghasilkan sekeping gambar yang memberikan pulangan RM60.00, bermaksud, gaji atau upah anda adalah sekitar RM100 sejam. Nampaknya, angka ini agak baik juga. Tetapi perlu diingat. Ini cuma anggaran kasar – pendapatan anda mungkin lebih tinggi atau mungkin juga kurang dari jumlah yang dinyatakan ini.

Untuk menjadi lebih produktif, bagi mendapatkan 25 keping gambar setiap minggu; rancang sesi fotografi anda supaya anda merakam gambar satu subjek sahaja, dengan satu tema. Buat berbagai variasi 'pose', komposisi, penggunaan 'props' yang berbeza, penggunaan pakaian yang berbeza dan sebagainya. Semuanya perlu berjalan lancar, dan setiap sesi perlu disiapkan dalam masa 5-6 jam penggambaran sahaja.

Ada bermacam jenis teori dan formula untuk meramal pendapatan dari microstock ini. Tetapi, tidak ada siapa yang akan tahu, berapa jumlah wang sebenarnya yang akan anda perolehi, melainkan anda perlu cuba sendiri!

Contoh di atas hanya menunjukkan jumlah masa kerja yang terlibat untuk penghasilan gambar. Ini belum termasuk kos wang ringgit yang perlu anda belanjakan untuk sesi rakaman gambar. Kos yang dimaksudkan ialah seperti kos membeli props, bayaran kepada model, sewa studio, pengangkutan dan sebagainya. Tetapi, biasanya, jurufoto microstock akan mengelak dari mengeluarkan sebarang kos atau mereka akan cuba untuk bekerja dengan kos yang paling minima. Jadi terpulanglah kepada kepandaian anda untuk mengawal kos yang mungkin terlibat.

Shutterstock merupakan salah satu agensi microstock yang terbesar ketika ini.

SILA KLIK DI SINI UNTUK MENDAFTAR DAN MENJUAL GAMBAR ANDA DI MICROSTOCK

15 tahun dahulu, tidak ramai jurufoto yang menceburi bidang microstock. Pada waktu itu, pendapatan dari microstock boleh dikatakan jauh lebih lumayan dari apa yang ditawarkan oleh bidang microstock sekarang ini. Persaingan kini semakin sengit, sudah ada terlalu ramai jurufoto dan sudah ada terlalu banyak gambar di dalam bidang microstock. Pada masa ini, agak sukar untuk memperolehi pendapatan yang baik dari bidang microstock. Memang inilah kenyataan yang selalu disebutkan oleh jurufoto-jurufoto yang telah lama berpengalaman di dalam bidang ini.

Walaupun begitu, bidang microstock masih tetap menjanjikan keuntungan walaupun tidak semewah dahulu. Jurufoto sekarang perlu lebih kreatif, lebih bijak dan perlu bekerja lebih keras untuk berjaya di dalam bidang ini. Untuk berjaya, jurufoto perlu membuat pengkhususan di dalam merakam gambar subjek-sebjek tertentu yang belum pernah atau jarang dirakam oleh jurufoto lain, asalkan ada permintaan terhadap gambar sebegitu. Mungkin, seseorang jurufoto itu perlu menggunakan teknik-teknik terbaru serta mencipta gaya fotografinya yang tersendiri bagi membolehkannya bersaing di dalam bidang ini.

Gambar ini mungkin nampak sudah cukup baik, tetapi, ianya telah ditolak (reject) oleh pihak microstock kerana tidak menepati tahap kualiti teknikal yang dikehendaki. Dari sini, kita akan belajar dan terus memperbaiki kualiti gambar yang kita rakam.

Tidak ada apa yang mudah. Tetapi peluangnya tetap ada. Belum cuba, belum tahu. Mungkin, sebagai permulaan, tidak perlulah fikirkan sangat mengenai keuntungan besar dan segera. Usaha ini memerlukan masa yang lama. Untuk langkah awal ini, elok juga jika seseorang itu menganggap microstock hanya sebagai platform untuk berlatih dan memantapkan kemahiran fotografi dan dalam masa yang sama, seseorang itu boleh mendapatkan sedikit wang hasil untuk menampung kegiatan fotografinya.

Microstock sesuai dilakukan secara sambilan disamping anda bekerja dalam bidang lain yang lebih menguntungkan buat masa ini. Anda boleh cuba microstock selama beberapa bulan atau beberapa tahun dan lihat dulu hasilnya. Jika dirasakan tidak berbaloi, anda boleh berhenti saja. Sekurang-kurangnya anda telah mencuba, bukan sekadar mendengar cakap-cakap orang lain.

Apa yang pasti, apabila anda menceburi bidang microstock, anda akan banyak belajar perkara baru mengenai fotografi terutamanya dari aspek komersial. Dari masa ke semasa, gambar anda akan ditolak (reject) oleh agensi microstock kerana tidak mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Dari sini anda akan belajar dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan. Setelah beberapa lama, kemahiran anda akan menjadi semakin mantap. Gambar yang anda hasilkan juga akan menjadi lebih berkualiti dan semakin laris dijual. Pada tahap ini, mungkin wang yang lumayan sudah mula masuk dengan lancar ke akaun anda pada setiap bulan.

Daftarkan diri anda dengan agensi microstock sekarang!

Beli buku berkenaan microstock dari Amazon.com

Blog Arkib – Ijazah Jurufoto

IJAZAH JURUFOTO
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Ijazah Jurufoto”– 2 April 2011)

“Perlukah masuk universiti untuk jadi jurufoto profesional?” Saya seringkali ditanya soalan ini. Selalunya yang bertanya itu ialah golongan remaja yang minat fotografi dan ingin menjadikan fotografi sebagai kerjaya mereka. Jawapan ringkasnya – tidak perlu. Anda tidak perlu ada sijil, diploma dan sebagainya untuk menjadi jurufoto profesional. Tetapi, jika anda ada kelulusan formal dalam bidang fotografi, ianya akan menjadi satu kelebihan buat anda. Tetapi dengan satu syarat.

Syaratnya ialah, anda mestilah mempunyai portfolio yang kuat (portfolio adalah contoh hasil karya anda yang dapat menunjukkan tahap kemahiran anda sebagai seorang jurufoto). Portfolio inilah yang akan dinilai sebelum anda ditawarkan sesuatu kerja. Semakin baik portfolio anda, semakin mudah anda mendapat kerja dan semakin tinggi gaji yang boleh anda dapatkan.

Tetapi, jika anda ingin bekerja dalam bidang fotografi dengan pihak kerajaan, eloklah anda ada kelulusan formal dalam bidang fotografi kerana gaji yang dibayar biasanya berdasarkan tahap kelulusan formal anda samada anda pemegang sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah dan sebagainya. Begitu juga jika anda ingin menjadi pensyarah fotografi di universiti, kelulusan akademik dalam bidang fotografi adalah amat penting.

Saya bergambar bersama pelajar diploma fotografi UTMSPACE. (Sekadar gambar hiasan)

Di Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menawarkan pengajian khusus dalam bidang fotografi pada peringkat Diploma hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. UNISEL pula ada menawarkan pengajian dalam bidang fotografi hingga ke peringkat Diploma. SPACE UTM juga ada menawarkan pengajian fotografi dengan kelulusan Diploma Eksekutif, sesuai dihadiri secara sambilan. Selain dari itu, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) juga menawarkan pengajian dalam bidang fotografi pada peringkat Sijil.

Jurufoto yang tiada kelulusan formal dalam bidang fotografi pun boleh berjaya. Peluangnya adalah sama. Segalanya bergantung kepada usaha dan bakat yang dimiliki oleh setiap individu. Cuma, biasanya jurufoto yang belajar sendiri tanpa masuk ke universiti perlu melalui jalan yang agak sukar dalam proses pembelajaran kerana tidak mendapat bimbingan yang sistematik, tidak seperti di universiti. Tetapi, sekali lagi ditegaskan, jurufoto yang belajar sendiri ini tetap boleh berjaya jika beliau rajin berusaha.

Pelajar yang belajar fotografi di universiti biasanya mempunyai masa hadapan yang lebih cerah asalkan mereka belajar bersungguh-sungguh dan rajin berusaha. Pelajar universiti tidak akan berjaya di dalam industri sebagai jurufoto profesional jika mereka hanya bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata, tetapi tidak berusaha menghasilkan portfolio yang bagus. Pelajar juga mestilah menggunakan peluang networking di universiti dengan sepenuhnya kerana, ini akan menjadi aset penting bila mereka berada di dalam alam pekerjaan sebenar. Rakan-rakan kenalan universiti ini akan memegang jawatan tertentu di dalam industri selepas beberapa tahun dan mereka akan menawarkan berbagai peluang dan pertolongan yang berguna satu hari nanti.

Perkara yang perlu dipertimbangkan apabila ingin belajar fotografi di universiti ialah faktor masa dan kos pengajian. Misalnya, pengajian pada peringkat diploma akan memakan masa selama 3 tahun dan kos yang terlibat juga adalah agak tinggi (bergantung di universiti mana anda belajar). Jika dibandingkan dengan individu yang belajar sendiri, mereka sudah boleh mula menjana pendapatan dalam tempoh kurang dari 3 tahun. Tetapi, untuk jangka masa panjang, individu yang memiliki kelulusan formal dalam fotografi boleh pergi lebih jauh dan mendapat peluang yang lebih besar asalkan berusaha gigih. Tetapi, saya perlu tegaskan lagi sekali bahawa, perkara ini adalah amat subjektif. Individu yang tiada kelulusan formal dalam fotografi pun boleh berjaya jika mereka bijak mengambil peluang dan bekerja keras. Memang ramai pun jurufoto di Malaysia yang berjaya walaupun tidak memiliki sebarang kelulusan akademik dalam bidang fotografi. Sebaliknya, ada juga graduan dari universiti berkelulusan diploma atau ijazah sarjana muda dalam bidang fotografi yang tidak mendapat kerja dengan bayaran setimpal. Semuanya terletak atas pilihan dan usaha individu itu sendiri.

Satu lagi isu yang selalu timbul ialah ibu bapa biasanya tidak berapa yakin bila anaknya ingin belajar di universiti dalam bidang fotografi kerana bimbang tiada masa depan. Apa yang boleh saya katakan ialah, tidak kira bidang apa pun, kita boleh mendapat pendapatan yang lumayan jika kita rajin berusaha. Tetapi, kita perlu sedar bahawa, untuk berjaya dan mendapat pendapatan lumayan dari fotografi bukanlah mudah. Sama juga dengan bidang lain. Jadi, untuk memastikan anda terus kekal dalam fotografi dan menghadapi segala rintangan sebelum anda berjaya, anda perlu pastikan bahawa anda betul-betul meminati fotografi. Bukan sekadar terikut dengan kawan atau trend semasa. Minat yang mendalam inilah yang akan menjadi azimat untuk anda terus berjuang dalam fotografi hingglah anda berjaya kecapi kejayaan tertinggi.

Pokok pangkalnya ialah usaha. Jika anda masuk universiti untuk belajar fotografi, janganlah hanya bergantung kepada sekeping siji yang bakal anda terima nanti. Banyakkan berusaha sendiri sebagai persediaan untuk bersaing di dalam dunia pekerjaan sebenar nanti. Hasilkan portfolio yang kuat, kerana portfolio inilah yang akan ‘bercakap’ untuk anda.

Nasihat yang boleh saya berikan ialah, jika anda mampu, ada masa dan ada peluang untuk masuk universiti, maka rebutlah peluang itu. Tetapi pastikan bahawa anda memang minat fotografi dan sanggup berkorban untuknya. Ingatlah bahawa bidang fotografi bukan bidang main-main. Fotografi sebagai hobi berbeza dengan fotografi sebagai kerjaya.

Kepada anda yang tidak berpeluang untuk masuk universiti, tidak mengapa. Anda perlu ingat, ada banyak jalan untuk berjaya. Ada banyak cara untuk belajar, tambahan sekarang ini dengan kemudahan internet, maklumat boleh didapati dengan begitu mudah. Anda juga boleh menghadiri kursus pendek yang dianjurkan oleh banyak pihak sekarang ini. Cuma, berhati-hatilah – pastikan anda belajar dari guru yang bertauliah dan berpengalaman. Kemudian, carilah mentor atau orang yang boleh membimbing anda dalam fotogafi. Cari pengalaman sebanyak mungkin dengan bekerja dengan jurufoto profesional dengan tujuan untuk belajar dan cari pengalaman, lupakan dulu tentang bayaran lumayan.

Kesimpulannya, tiada jawapan yang mutlak untuk isu ini. Tidak kira anda ada kelulusan formal di dalam fotografi atau tidak, anda tetap boleh berjaya sebagai seorang jurufoto. Cuma, jalannya yang berbeza. Setiap satu jalan ada kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Segalanya terpulang kepada anda sendiri untuk membuat keputusan.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

TIPS DAN PANDUAN FOTOGRAFI PERCUMA – SILA KLIK DI SINI

Sekiranya anda berminat untuk belajar fotografi melalui kursus jangka pendek, anda boleh hadiri berbagai kursus dan bengkel anjuran FOTOTEACHER.COM. Barisan tenaga pengajar dan jurulatih kami terdiri dari individu yang mempunyai kelulusan formal dalam bidang fotografi dan mempunyai pengalaman minima selama 15 tahun dalam industri sebagai jurufoto profesional. SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Buat Duit dari Microstock (Bahagian 1/3)

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Salah satu cara untuk buat duit dari fotografi ialah dengan menjual gambar anda melalui microstock agency. Jurufoto akan dibayar sejumlah komisen dari setiap keping gambar yang dijual. Gambar-gambar ini biasanya ialah gambar-gambar yang mempunyai nilai komersial bagi digunakan di laman web, buku, majalah, poster, billboard dan sebagainya.

Salah satu contoh foto yang dijual di microstock. Walaupun foto ini nampak ringkas, ianya mempunyai mesej yang jelas; sesuai digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan dengan jualan murah, membeli belah, pasaraya, ekonomi dan sebagainya.

Microstock agency adalah sebuah agensi yang bertindak memasarkan dan ‘menjual’ gambar-gambar jurufoto yang berdaftar dengan mereka. Pelanggan yang ‘membeli’ gambar dari microstock agency biasanya terdiri dari individu yang terlibat di dalam bidang pengiklanan, penerbitan dan sebagainya. Golongan ini ‘membeli’ foto dari microstock agency kerana harga foto yang dijual adalah jauh lebih rendah berbanding jika mereka mengupah jurufoto untuk merakam gambar yang tertentu.

Sebagai contoh dan perbandingan, untuk ‘membeli’ sekeping gambar dari microstock agency, pelanggan cuma perlu membayar RM3 sekeping (bergantung kepada beberapa faktor). Tetapi sekiranya seseorang pelanggan ingin mengupah jurufoto bagi tugasan tertentu, seseorang pelanggan mungkin perlu membayar sehingga RM300 hanya untuk mendapat sekeping gambar. Oleh sebab itulah, ramai pengguna lebih cenderung untuk membeli gambar dari microstock agency kerana harganya yang jauh lebih murah. Lagi satu sebab mengapa pelanggan membeli dari microstock agency ialah kerana, foto yang diingini boleh didapati (dimuat turun) serta merta jika foto tersebut telah sedia ada di dalam koleksi microstock agency. Sebaliknya, jika pelanggan ingin merakam sendiri gambar tersebut, proses ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau minggu dari proses mencari jurufoto, menyelaraskan keperluan rakaman, kerja post production dan sebagainya.

Tetapi, apabila membeli dari microstock agency, pelanggan terpaksa memilih dan berpuas hati dengan apa-apa sahaja gambar yang bersesuaian dengan apa yang dicari. Tidak semestinya mereka akan mendapat apa yang mereka kehendaki dengan tepat dan sempurna. Satu kelemahan lagi ialah, foto yang dibeli itu boleh dibeli juga oleh pihak lain (kecuali dengan status exclusive rights). Ini bermakna, foto yang digunakan itu tidak menjadi unik kerana foto yang sama mungkin digunakan oleh pihak lain untuk tujuan lain.

2 syarikat yang berbeza dan merupakan pesaing dalam industri, iaitu Dell dan Gateway dengan tidak sengaja telah menggunakan foto dari microstock yang memaparkan model yang sama di lokasi yang sama.

Foto dari asmp.org

Sesebuah microstock agency mempunyai koleksi foto yang amat banyak, mencakupi segala subjek untuk berbagai tujuan kegunaan. Ada microstock agency yang memiliki sehingga 20 juta foto, ilustrasi, vektor dan video! Bidang microstock adalah satu industri yang besar. Terdapat berpuluh syarikat microstock agency di seluruh dunia. Ada syarikat yang besar dan ada juga syarikat yang kecil yang mengkhusus kepada subjek atau negara tertentu sahaja. Antara syarikat microstock yang terkenal adalah Shutterstock, iStockphoto, Dreamstime, Fotolia dan 123RF.

Selain dari microstock, ada satu lagi bidang yang hampir sama iaitu macrostock atau turut dikenali dengan nama traditional photo stock. Beza utama diantara keduanya ialah, microstock menjual foto dengan harga yang amat rendah, tetapi, jumlah jualan gambar adalah banyak. Sekeping gambar boleh ‘dijual’ di seluruh dunia kepada ramai orang dan boleh ‘dijual’ berulang-ulang kali selama beberapa tahun, selagi ada permintaan terhadap gambar tersebut. Sementara itu, macrostock pula menjual gambar dengan harga yang lebih mahal dan lebih bersifat eksklusif. Koleksi foto yang ditawarkan oleh macrostock juga adalah lebih berkualiti tinggi. Antara syarikat macrostock yang terkenal adalah Getty Images, Corbis dan Alamy.

Gambar seperti di atas banyak terdapat di dalam microstock. Walaupun nampak tidak ada apa-apa yang menarik dari segi seninya, namum, foto ini amat berguna dan sangat dikehendaki oleh pelanggan tertentu untuk berbagai kegunaan.

Disebabkan menjual gambar dengan harga yang terlalu rendah, syarikat microstock pernah dikritik dan dilabel sebagai perosak kerjaya fotografi dimana karya seseorang jurufoto sudah menjadi seakan tidak bernilai. Namun, dalam masa yang sama, ada ramai juga jurufoto yang dapat menyara hidup hanya dengan merakam gambar untuk microstock secara sepenuh masa. Malah, ada jurufoto yang berjaya menjana pendapatan jutaan ringgit setiap tahun hasil dari jualan gambar melalui microstock.

Jadi, apakah sebenarnya kemahiran yang perlu dimiliki oleh seseorang itu untuk menjual gambar di microstock? Bagaimanakah cara mudah untuk memohon dan diterima sebagai jurufoto yang berdaftar dengan microstock? Berapakah sebenarnya pendapatan yang boleh diperolehi hasil dari menjual gambar di microstock? Adakah berbaloi meluangkan masa, bersusah payah dan ‘melabur’ wang di dalam bidang microstock ini? InsyaAllah, kesemua persoalan ini akan cuba saya jawab di dalam bahagian kedua artikel ini.

Saya akan maklumkan kepada anda sebaik sahaja sambungan artikel ini disiarkan di blog ini nanti, SILA KLIK DI SINI.

Daftarkan diri anda dengan agensi microstock sekarang!

Beli buku berkenaan microstock dari Amazon.com

Studio Foto Terhebat milik Yuri Arcurs

Tidak ramai jurufoto yang memiliki studio yang sebegini besar dan sebegini lengkap. Lihat sendiri di dalam video ini, studio milik Yuri Arcurs – seorang jurufoto yang mendapat pendapatan yang paling tinggi dalam bidang microstock photography. Karya foto beliau telah terjual sebanyak berjuta kali dan dikatakan beliau memperolehi pendapatan sekitar RM10 juta setahun! Untuk menjalankan empayar bisnesnya, Yuri Arcurs kini mempunyai 100 orang pekerja yang berkhidmat untuknya.

Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bagaimana cara menjual gambar melalui microstock, sila klik link di bawah ini:
JUAL GAMBAR ANDA DI SHUTTERSTOCK SEKARANG!

Untuk melihat satu lagi video mengenai studio Yuri Arcurs, SILA KLIK DI SINI.

Blog Arkib – Fotografi Bukan Macam Matematik

Fotografi Bukan Macam Matematik
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Fotografi Bukan Macam Matematik”– 2 Mac 2011)

Matematik ialah subjek yang saya paling lemah masa di sekolah dulu. Sebab itulah saya jadi jurufoto sekarang, bukan ahli matematik. Bila dapat masuk ITM dalam jurusan fotografi, saya rasa lega dapat belajar bidang yang saya minati. Tapi, macam tidak percaya, rupanya ada juga subjek matematik yang saya kena belajar untuk dapatkan diploma dalam fotografi. Subjek itu dinamakan Photo Science Mathematics!

Sebenarnya penting juga subjek sains dan matematik di dalam bidang fotografi ini. Sebabnya, fotografi dicipta melalui sains dan untuk kiraan yang tepat untuk beberapa perkara, ilmu matematik amatlah diperlukan. Contohnya, ada formula menggunakan matematik untuk mengira jarak fokus, jarak fokal, kuasa pembesaran imej, nilai f/number dan entah apa-apa lagi. Tapi, anda tidak perlulah risau, sebab kalau anda tidak pandai matematik pun, anda masih boleh jadi jurufoto yang bagus juga. Baiklah, cerita tadi cuma intro sahaja. Saya hendak bercakap pasal perkara lain sebenarnya.

Karya fotografi tidak sama macam matematik. Fotografi adalah satu bidang kreatif dimana penilaian terhadap mutu sesuatu karya adalah begitu subjektif. Maksud saya, apa pun yang anda baca atau belajar mengenai ‘peraturan’ artistik dalam fotografi, ianya hanyalah sekadar panduan sahaja sebenarnya. Tidak ada betul atau salah dalam fotografi apabila kita bercakap mengenai aspek seninya.

Selalunya, bila merakam gambar, seseorang itu akan mengelakkan kesan noise. Tetapi, di dalam gambar ini, kesan noise (lebih tepat lagi film grain) sengaja dimasukkan ketika proses di dalam Adobe Photoshop. - Foto oleh Hasnuddin Abu Samah

Jangan terima bulat-bulat apa yang diajar di dalam buku atau apa yang diajar oleh cikgu fotografi anda. Semuanya terpulang kepada anda untuk mengubahsuai ‘panduan’ yang telah diberikan tersebut. Contohnya, dalam pelajaran fotografi dikatakan, kalau rakam foto, subjek yang kita rakam mestilah tajam (sharp) difokus. Tetapi, itu tidak semestinya. Gambar yang kabur  (blur/out of focus) pun boleh menjadi gambar yang baik kalau kena pada tempatnya. Satu lagi contoh ialah mengenai noise. Secara teknikalnya, foto yang dirakam mestilah kurang noise, barulah gambar tu dikatakan cantik atau berkualiti. Maka sibuklah sekelian orang berlumba-lumba tukar kamera baru yang kurang noise. Dengan itu juga, ada pula segelintir ‘kaum’, bila tengok gambar orang saja, dia cari noise! Kalau nampak noise pada gambar orang, noise itu yang dikomen dulu – bukannya nilai artistik pada gambar tersebut. Hakikatnya, gambar yang ada noise pun boleh jadi gambar yang berjaya kalau kena pada tempatnya. Kalau gambar yang ada noise itu ada kekuatan lain seperti aksi yang sangat menarik contohnya, maka kelemahan noise itu bolehlah diabaikan saja.

Maka, akan ada pula yang akan bertanya, “Kalau noise tidak penting, kenapa diaorang buat kamera baru yang kurang noise?” Ada dua sebab. Nombor satu, sebab pengeluar kamera perlu bersaing untuk jual kamera mereka. Siapa yang dapat buat kamera yang paling canggih, dia akan dapat jual lebih banyak kamera. Baguslah begitu, kita memang ingin makin maju, bukan makin mundur. Tetapi, bagi yang kurang berkemampuan, janganlah susahkan diri asyik beli kamera baru. Sebab nombor dua ialah, ada sesetengah kerja fotografi memang memerlukan noise yang kurang, contohnya untuk fotografi pengiklanan dan fotografi landscape. Itupun, tidak semestinya – kadang-kadang, kita boleh nampak gambar di papan iklan yang blur dan banyak noise. Cantik juga bila kena dengan konsepnya.

Adakalanya, gambar objek tertentu di dalam gambar sengaja dijadikan kabur (blur) bagi mencapai kesan tertentu. Jadi, tidak ada peraturan yang boleh menetapkan setiap gambar mestilah tajam (sharp) - Foto oleh Hasnuddin Abu Samah

Satu lagi perkara subjektif di dalam fotografi ialah penilaian gambar. Contohnya bila kita masuk pertandingan, kita rasa gambar kita cantik, tiba-tiba gambar orang lain pula yang menang. Janganlah marah atau kecil hati. Kita kena ingat, penilaian gambar sangat subjektif. Bukan macam matematik yang cuma ada satu jawapan untuk setiap satu soalan. Pemilihan gambar yang menang dibuat oleh juri pertandingan yang biasanya terdiri dari jurufoto yang berpengalaman. Juri adalah manusia, bukan robot atau mesin kira. Juri ada perasaan, minat yang berlainan, citarasa berbeza, pengalaman berbeza dan pendapat mereka pun berbeza. Sebab itulah dalam pertandingan fotografi, biasanya juri ada ramai – sekitar 3-5 orang dan biasanya latar belakang mereka juga berbeza. Ini supaya keputusan keseluruhan adalah lebih adil hasil dari pengiraan purata markah yang diberikan oleh kesemua juri. Sebab itulah, salah satu tips untuk menang pertandingan fotografi ialah, kita kena kenal siapakah barisan juri dan bagaimanakah jenis gambar yang mereka minati. Kalau kita rakam gambar mengikut citarasa mereka, besarlah peluang kita untuk menang. Contohnya, jika kebanyakan juri pertandingan tu suka pada gambar hitam putih, maka kalau kita hantar gambar hitam putih, senanglah kita menambat hati mereka.

Itu tadi cerita juri profesional. Sekarang kita cerita pula pasal juri awam atau penonton di rumah (yang selalu komen gambar dalam Facebook itulah) Pendapat orang awam yang tidak mahir dalam fotografi pun adakalanya kita perlu ambil kira. Sebabnya ialah kerana penilaian mereka tidak akan terikat dengan kualiti teknikal fotografi semata-mata. Mereka akan terus menilai sesuatu foto itu secara keseluruhannya. Kalau gambar itu dapat menarik perhatian mereka, mereka akan kata cantik. Tapi, kita janganlah cepat perasan. Selalunya di Facebook ini, orang komen sebab hendak jaga hati kita dan ingin ‘memeriahkan’ suasana. Kalau setakat komen seperti ‘nice‘ atau ‘good job bro‘, anggaplah itu sebagai satu cara untuk mengeratkan silaturrahim sahaja.

Sama juga kalau kita rakam gambar kahwin untuk pengantin. Cantik atau tidak sesuatu gambar itu, akhirnya pelanggan yang akan tentukan. Eloklah jika kita pastikan dia suka gambar yang kita rakam, kalau tidak, susah dia nak bayar. Sebagai jurufoto, kita akan lebih terdorong untuk pilih gambar yang susah dirakam. Kita juga akan lebih cenderung untuk suka kepada gambar dengan teknik-teknik yang kononnya berseni seperti rakaman gambar secara silhouettemoment yang pelik dan close-up gambar kaki dan sebagainya. Tetapi, adakah pelanggan kita akan suka gambar macam ini? Biasanya, untuk mengelakkan saya syok sendiri, saya akan tanya pendapat isteri saya samada gambar pengantin yang saya rakam itu, cantik atau tidak di mata seorang perempuan. Bukankah berbeza matematik dengan fotografi? Kalau matematik, tidak perlu tanya pendapat orang lain, buat saja kiraan yang betul, dapatlah jawapannya.

Jadi, dalam fotografi tidak usahlah gaduh sangat pasal perkara yang subjektif  sebegini. Buka fikiran kita. Terima pendapat orang lain kerana ada sesuatu yang boleh kita belajar dari mereka. Kita tidak perlu ikut pendapat orang lain, tetapi sekadar menerima itu sebagai satu pendapat. Namanya pun pendapat, bukan peraturan. Dalam fotografi, tidak ada polis akan tangkap orang yang tidak ikut rule of third. Kecuali kalau orang itu tidak ikut rule of third sambil tidak ikut rule lampu isyarat, bolehlah kena saman dengan polis.

Tetapi, janganlah kebebasan berkarya dan faktor subjektif dalam fotografi ini dijadikan alasan untuk kita buat sesuka hati dalam fotografi. Kita boleh buat apa saja dalam fotografi asalkan kita tahu apa yang kita buat dan mesti boleh terangkan mengapa kita buat begitu. Orang boleh terima atau tidak, terpulang kepada mereka. Apa yang penting, bila kita terangkan mengapa kita buat sesuatu dengan cara tertentu, sekurang-kurangnya orang faham tujuan dan pendirian kita.

Pelukis lukisan abstrak yang kita tidak faham entah gambar apa yang dia lukis itu, boleh jual lukisan dia sebab dia boleh cerita pasal lukisannya dengan panjang lebar sampai orang yang mendengar cuma angguk-anggukkan kepala. Tetapi, bila pelukis tersebut sudah ada nama dan terkenal, dia tidak perlu bercerita panjang lebar lagi. Orang akan tunggu hasil karya dia yang terbaru dan berebut-rebut ingin membeli. Sama juga macam jurufoto. Seorang jurufoto yang sudah ada nama, kalau dia hasilkan gambar yang biasa saja pun, gambar itu tetap akan ada nilai yang tinggi. Sebenarnya, bukan gambar itu yang bernilai tinggi sangat, tetapi, siapa yang merakam gambar itu yang lebih penting adakalanya.

Fotografi ini satu bidang yang luas. Ada orang yang tidak berapa nampak keluasan bidang fotografi ini. Contohnya pasal penggunaan Photoshop. Ada segolongan orang yang tidak berapa pandai rakam gambar, lalu, banyak kerja mencantikkan gambar dibuat di dalam Photoshop. Kita kata, kalau hendak jadi jurufoto, mesti boleh rakam gambar dengan sesempurna mungkin di dalam kamera. Kita masukkan gambar dalam Photoshop untuk mencantikkan lagi gambar yang sudah sedia cantik. Tetapi, adakah salah kalau buat banyak kerja foto di dalam Photoshop? Tidak salah. Tetapi, orang yang buat banyak kerja di dalam Photoshop tidak sesuai dipanggil sebagai jurufoto. Dia adalah artis photo manipulation atau artis digital imaging. Salahkah artis yang mengubahsuai gambar di dalam Photoshop ini? Tidak salah, dia juga adalah insan seni dan karyanya diiktiraf sebagai karya seni. Adakah bidang ini juga diiktiraf sebagai fotografi? Ya, bidang ini juga diterima sebagai satu cabang dari fotografi, tetapi, ianya hanyalah pecahan dari bidang fotografi yang luas. Jadi apa yang salah? Saya rasa, yang salah atau yang tidak berapa tepat ialah, orang yang buat banyak kerja dalam Photoshop, dia tidak pandai rakam gambar, tetapi dia mengaku kata dia professional photographer.

Sama juga macam jenis orang yang suka beli kamera mahal-mahal dan asyik beli kamera untuk penuhkan dry box dia. Kemudian asyik beli dry box lagi untuk isi kamera baru lagi. Salahkah orang macam ini? Tidak salah. Sebab nombor satu ialah – dia beli kamera pakai duit dia sendiri, dia bukannya mencuri. Jadi apa yang salah? Hendak dikata salah, kasar sangat bunyinya. Cuma kita rasa tidak sesuailah kalau orang yang asyik beli kamera ini gelar dirinya sebagai seorang jurufoto; tetapi dia hanya sibuk bergaya dengan kamera, ikut orang pergi shooting, lepas itu sibuk komen gambar orang, tetapi gambar dia sendiri orang lain tidak pernah tengok. Orang macam ini boleh memberi tanggapan yang mengelirukan kepada bidang fotografi dan paling bahaya ialah dia boleh meracun orang lain untuk habiskan duit beli barang fotografi tanpa ada apa-apa kemajuan dalam penghasilan gambar itu sendiri.

Sebenarnya, saya kagum juga dengan golongan yang suka beli kamera ini. Cuma mereka tidak begitu sesuai dikategorikan sebagai jurufoto. Mereka lebih sesuai dikategorikan sebagai camera collector. Saya kenal beberapa orang camera collector yang hebat. Mereka tidak pernah mengaku mereka adalah jurufoto. Malah mereka berbangga menggelar diri mereka sebagai camera collector. Saya tabik mereka kerana minat mereka yang mendalam terhadap kamera dan kesanggupan mereka untuk melabur wang dalam membeli kamera yang bukan murah harganya. Apa yang lebih saya kagumi ialah, golongan camera collector tulen ini mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap spesifikasi dan segala hal mengenai kamera yang mereka kumpul. Ini juga satu hobi yang baik.

Saya harap, anda dapat faham apa yang cuba saya sampaikan. Saya harap penulisan saya ini tidak mengelirukan sesiapa. Ianya cuma sekadar pendapat peribadi saya yang tentunya berbeza dengan pendapat orang lain.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

TIPS DAN PANDUAN FOTOGRAFI PERCUMA – SILA KLIK DI SINI

Report – Kursus Asas Fotografi khas untuk MPOB Lahad Datu, Sabah

Gambar peserta Kursus Asas Fotografi Digital yang telah diadakan khas untuk MPOB Lahad Datu, Sabah pada 26-28 Februari 2013. Kepada peserta yang ingin mendapatkan foto ini di dalam saiz besar, SILA KLIK DI SINI

Kepada anda yang ingin menyertai atau ingin kami menganjurkan kursus seperti ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di – http://www.fototeacher.com

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 (waktu pejabat) E-mel: sales@fototeacher.com atau sila layari laman web kami – http://www.fototeacher.com

UNTUK MEMBACA BERBAGAI ARTIKEL MENARIK MENGENAI FOTOGRAFI, SILA KE – HELLO FOTOGRAFI (BLOGSPOT)

Foto yang Paling Banyak Dilihat di Seluruh Dunia

Foto oleh Microsoft/Charles O'Rear

Tentu anda pernah lihat gambar di atas ini. Gambar ini mungkin merupakan gambar yang paling banyak dilihat di seluruh dunia di sepanjang sejarah! Gambar yang diberi nama ‘Bliss’ ini telah menjadi begitu popular sejak ianya dijadikan default wallpaper untuk Windows XP. Jadi, sesiapa saja yang menggunakan Windows XP suatu masa dulu, pasti akan melihat gambar ini di skirn komputernya setiap kali komputer dihidupkan.

Siapalah agaknya jurufoto yang merakam gambar ini? Apakah cerita di sebalik gambar ini? Berapakah pula agaknya bayaran yang diterima oleh jurufoto ini? Tentu menarik untuk diketahui bukan?

Jurufoto yang merakam gambar ini adalah Charles O’Rear yang turut merupakan jurufoto untuk National Geographic. Beliau telah merakam gambar ini menggunakan kamera jenis medium format secara hand-held di satu lokasi di Sonoma County, California, Amerika Syarikat. Menurut O’Rear, gambar yang dipaparkan adalah gambar asli seperti yang dirakam oleh kamera, tanpa ada sebarang manipulasi yang dilakukan di dalam Adobe Photoshop dan seumpamanya.

Gambar ini dirakam pada tahun 1996, kira-kira 5 tahun sebelum Windows XP dilancarkan. Rakaman gambar ini tidak dirancang. Ketika sedang memandu ke suatu destinasi, O’Rear terlihat pemandangan yang menarik ini, lalu berhenti di tepi jalan dan terus merakam gambar. O’Rear tidak menjangkakan gambar ini akan menjadi begitu istimewa.

Setelah beberapa lama, pada suatu hari, Corbis (ejen stok foto) telah menelefon O’Rear dan mengatakan, Microsoft ingin membeli gambar beliau. Dari situlah bermulanya kisah bagaimana akhirnya gambar ini telah digunakan secara begitu meluas di seluruh dunia. Bila ditanya, berapakah harga yang dibayar oleh Microsoft untuk menggunakan gambar ini, O’Rear enggan menjawab secara tepat, namum katanya,”Jumlahnya adalah luar biasa!” Ini tentu berpadanan dengan penggunaan gambar ini secara begitu meluas oleh sebuah syarikat gergasi.

Foto oleh Simon Goldin

Kini, lokasi ini telah berubah wajah. Tiada lagi rumput hijau yang segar. Gambar di atas dirakam pada tahun 2006 di lokasi yang sama di mana Charles O’Rear pernah merakam gambarnya yang popular itu. Gambar ‘Bliss’ rakaman O’Rear telah semakin meningkat nilainya, kerana lokasi dimana dia merakam gambarnya dulu sudah tidak lagi ‘wujud’

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

TIPS DAN PANDUAN FOTOGRAFI PERCUMA – SILA KLIK DI SINI

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!