Posts Tagged “gambar labah-labah”

August 18, 2009 Categorized under Fikiran, Inspirasi & Motivasi, Tips

Muhasabah Fotografi…

Muhasabah Fotografi…
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Setelah sekian lama memiliki DSLR, saya kurang pasti berapa banyak kali saya melepaskan shutter. Pada zaman filem, kita berfikir banyak kali sebelum merakam sesuatu gambar kerana faktor kos yang terlibat tetapi di era digital, fotografi tidak semestinya berakhir dengan gambar tersebut dicetak. Gambar yang dirakam boleh diteliti pada LCD atau di paparam monitor untuk dikaji kelemahannya. Ini membolehkan seseorang meningkatkan kemahiran berterusan dalam tempoh yang lebih singkat.

Oleh itu kita boleh membuat andaian bahawa fotografi digital membantu kebolehan kita berkembang pesat. Ini seharusnya dilihat dengan membandingkan foto yang dirakam pada kala tertentu sejak kita mula berkecimpung di arena ini. Bagi memudahkan perbandingan, elok juga kita bandingkan foto menggunakan peralatan dan genre yang sama. Kita perhatikan kelemahan pada gambar di peringkat awal kita menggunakan DSLR dari segi teknik dedahan asas, kawalan cahaya, komposisi dan pilihan titik fokus.

Sebagai contoh, saya lebih tertumpu kepada fotografi makro dan subjek pilihan saya ialah labah-labah. Lensa utama saya ialah Zuiko Digital 35mm f3.5 macro yang dipasang pada Olympus E-500. Kesemua gambar ini menggunakan peralatan yang sama kecuali gambar pada tahun 2006 yang mana tidak menggunakan flash. Dengan merujuk kepada gambar terpilih, sedikit sebanyak saya boleh melihat perbezaan kemahiran dan kreativiti dalam tempoh tersebut. Ini juga boleh dijadikan ukuran bagi melihat aspek apakah yang saya masih lemah dalam usaha untuk menghasilkan karya yang lebih baik.

9a
Tahun 2006 – Komposisi kurang berkesan, detail juga kurang.

9b
Tahun 2007 – Pencahayaan bertambah elok namun masih ada sedikit highlight.

9c
Tahun 2008 – Depth of field masih boleh diperbaiki, kawalan cahaya semakin baik.

9d
Tahun 2009 – Kawalan cahaya yang hampir sempurna untuk makro.

Dengan membuat penilaian berkala, kita dapat memahami kadar perkembangan kemahiran fotografi kita dalam sesuatu jurusan tertentu. Dari sini juga kita boleh melakukan perbandingan dengan foto jurugambar professional dalam bidang tersebut dan dapat mengukur perbezaan antara kita dan dia. Mungkin satu hari nanti kita dapat menghasilkan karya yang sama taraf dengan hasil jurugambar tersohor dunia.

Adakah anda juga mengkaji dan memperbaiki kualiti gambar anda dari masa ke semasa? Adakah anda berpuas hati dengan perkembangan anda di dalam bidang fotografi setakat ini? Bagaimanakah cara anda belajar dan memperbaiki kemahiran anda dalam fotografi? Mari kongsi kisah anda dengan pembaca lain. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Pelajari asas teknikal fotografi dengan menyertai Kursus Asas Fotografi Digital anjuran FOTOTEACHER.COM. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI.