Tag Archives: free

Talk dan Workshop Fotografi Percuma di Muzium Kesenian Islam Malaysia

Talk dan workshop fotografi percuma akan disampaikan oleh jurufoto terkenal antarabangsa – Peter Sanders dan beberapa individu lain. Untuk maklumat lanjut, sila layari – http://www.iamm.org.my/

Tips Membeli Kamera dan Lensa Terpakai

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Samada anda belum cukup bajet atau sekadar ingin berjimat – membeli kamera dan lensa terpakai adalah satu langkah bijak jika anda tahu caranya. Peralatan terpakai adalah lebih murah; mungkin rupanya tidak berkilat dan secantik peralatan baru, tetapi ianya tetap mampu berfungsi sama seperti peralatan baru yang lebih mahal. Lebih menarik lagi, jika kena caranya, peralatan terpakai yang telah dibeli boleh dijual semula dengan harga yang sama nilai tanpa anda rugi sedikit pun!

Berapa murahkah dan berapa banyakkah anda boleh berjimat? Sebagai contoh, lensa Canon EF 70-200mm f/4L IS USM baru dijual dengan harga RM4,000. Lensa yang sama, tetapi terpakai, dijual dengan harga RM3,000 sahaja (pengurangan harga sebanyak 25%). Jika item yang sama berada dalam keadaan yang lebih lusuh (tetapi masih boleh berfungsi dengan baik), harganya boleh jadi serendah RM2,500 sahaja.

Lensa Canon EF 70-200mm f/4L IS USM. Foto dari - www.thedigitalpicture.com

Ini juga bermaksud, dengan bajet RM10,000 anda mungkin cuma boleh membeli satu kamera dan satu lensa baru. Tetapi, dengan bajet yang sama, anda boleh membeli satu kamera dan dua lensa terpakai.

Apabila ingin membeli peralatan terpakai, anda perlu tahu beberapa perkara agar anda tidak mengalami masalah atau kerugian. Anda perlu tahu cara untuk memeriksa dan menilai peralatan terpakai yang akan anda beli. Berikut ini adalah panduan ringkas untuk anda:

1) Ketahui berapakah harga terendah untuk peralatan tersebut jika dibeli baru. Dengan ini, anda boleh anggarkan nilai peralatan terpakai yang ingin anda beli. Biasanya, saya akan menyemak harga peralatan kamera di sini

2) Nilai sesuatu peralatan terpakai adalah berdasarkan keadaannya samada kelihatan masih baru atau sebaliknya. Biasanya penjual meletakkan ‘score’ per sepuluh untuk menggambarkan kondisi peralatan yang dijual. Contohnya, kondisi 9/10 menggambarkan peralatan tersebut masih kelihatan seperti baru. Manakala sekiranya kondisi 5/10 menandakan peralatan tersebut telah kelihatan agak buruk, tetapi masih boleh berfungsi.

3) Peralatan model lama atau model yang telah diganti dengan model yang lebih baru (dan lebih baik) biasanya akan bernilai lebih rendah, walaupun ianya masih dalam keadaan baik. Manakala peralatan yang popular atau yang menjadi rebutan, biasanya akan dijual dengan harga yang lebih tinggi.

4) Jika dilihat dari segi usia sesuatu kamera dan lensa, kamera yang berusia lama biasanya lebih rendah nilainya berbanding lensa yang berusia lama. Ini kerana, perkembangan dan perubahan teknologi kamera adalah lebih cepat berbanding perkembangan teknologi lensa. Jadi, harga kamera akan jatuh lebih cepat berbanding dengan harga lensa.

5) Apabila membeli kamera terpakai, faktor penting yang perlu diberi perhatian adalah jumlah shutter count kamera tersebut. Kamera dengan jumlah shutter count yang tinggi, sepatutnya dijual dengan harga yang lebih rendah. Secara umumnya, mekanisma shutter sesuatu kamera perlu ditukar apabila ianya mencecah sekitar 200,000 cycle (shutter count). Jadi, apabila membeli kamera terpakai dengan shutter count 180,000 misalnya, anda perlu menukar mekanisma shutter baru tidak lama kemudian. Ini akan meningkatkan kos sebenar kamera tersebut. Untuk menukar mekanisma shutter baru, anda perlu belanjakan sekitar RM700 (bergantung kepada jenis kamera)

6) Apabila membeli lensa terpakai, antara faktor penting yang perlu diberi perhatian adalah keadaan dalaman lensa tersebut. Pastikan tiada calar, yang biasa terdapat pada bahagian luar lensa dan pastikan juga tiada habuk di dalam lensa. Anda juga perlu pastikan tiada fungus yang biasanya akan terbentuk di dalam bahagian lensa. Salah satu cara untuk membuat pemeriksaan adalah dengan menyuluh lampu ke dalam lensa tersebut.

Cara mengesan dan melihat fungus, habuk atau kesan calar pada lensa

7) Untuk lensa terpakai, anda juga perlu memeriksa samada AF (auto focus) berfungsi dengan baik. Anda juga perlu memeriksa perkara lain seperti ketajaman gambar dan sebagainya. Caranya ialah, rakam sekeping foto menggunakan lensa tersebut dan lihat hasilnya pada LCD screen. Enlarge view pada LCD screen dan perhatikan dengan teliti jika terdapat sebarang kecacatan pada imej yang dirakam yang berpunca dari masalah lensa.

Petunjuk umum dan mudah samada sesuatu peralatan itu masih elok atau sebaliknya ialah dengan melihat dan meneliti keadaan fizikal luaran sesuatu peralatan itu. Jika terdapat kesan calar, kemek dan sebagainya, itu menggambarkan peralatan itu telah diguna dengan lasak secara kerap dan besar kemungkinan bahagian dalaman sesuatu peralatan itu juga turut terjejas. Perhatikan juga skru-skru, untuk membuat andaian samada sesuatu peralatan itu pernah dibuka dan diperbaiki bahagian dalamannya.

Jika anda berminat untuk membeli peralatan kamera dan lensa terpakai, saya ingin cadangkan 3 cara/tempat untuk anda:

1) Beli dari KL Used Camera and Lenses. Anda boleh lihat senarai stok peralatan terpakai  di Facebook page mereka. Mereka tidak mempunyai kedai, jadi, tanpa kos overhead ini, mereka boleh menawarkan harga yang lebih rendah berbanding peniaga yang mempunyai premis tetap. Untuk membeli dan mengambil peralatan yang dibeli, anda perlu membuat temujanji untuk berjumpa mereka di lokasi yang telah ditetapkan iaitu di Tropicana Mall dan Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Mereka boleh juga membuat penghantaran barang melalui Poslaju. Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook page KL Used Camera and Lenses di sini.

2) Beli dari kedai YL Camera. Selain dari menjual peralatan baru, mereka juga mempunyai banyak peralatan kamera dan lensa terpakai untuk dijual. Walaupun pada pendapat saya, harganya mahal sedikit, tetapi, anda boleh mendapat banyak pilihan dan mendapat jaminan tertentu terhadap barangan yang dibeli. Mereka juga boleh menerima trade-in atau membeli peralatan kamera yang ingin anda jual. Tetapi, tentu sekali mereka akan membeli dengan harga yang lebih rendah dari harga pasaran kerana mereka juga perlu membuat untung untuk menjual semula peralatan yang dibeli. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web YL Camera di sini.

3) Layari laman web Free Trade Zone. Di sini terdapat banyak iklan kamera dan lensa terpakai untuk dijual. Anda boleh cuba tawar menawar dengan penjual di sini. Tetapi, berhati-hati dengan penipuan. Untuk keselamatan, jangan beli atau buat bayaran secara online.  Jumpa penjual secara bersemuka, periksa betul-betul barangan yang ingin dibeli. Anda boleh layari laman web Free Trade Zone di sini

Saya sendiri pernah beberapa kali menggunakan ketiga-tiga cara/tempat di atas untuk menjual atau membeli peralatan kamera dan lensa. Oleh sebab itulah saya ingin mencadangkannya kepada anda semua. Namun, sila berhati-hati dan buat keputusan dengan bijak ketika berurus niaga. Saya tidak akan bertanggung jawab di atas sebarang masalah yang mungkin timbul. Semua maklumat di atas adalah betul pada masa artikel ini ditulis dan ianya mungkin berubah mengikut masa. Sila semak dan pastikan maklumat terbaru.

Kelemahan membeli peralatan terpakai adalah ianya tidak mempunyai jaminan setahun dari pengilang. Tetapi, penjual peralatan terpakai boleh memberi jaminan juga, tetapi tempohnya adalah pendek. Mungkin sekitar 7 hari atau sebulan, bergantung kepada penjual.

Selain dari peralatan terpakai, anda juga boleh beli peralatan baru dengan harga yang kompetitif di sini

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT SENARAI KURSUS YANG DITAWARKAN

E-book Percuma mengenai ‘Landscape Photography’

Salah satu mukasurat dalam e-book oleh Lee Filters

Lee Filters adalah jenama pembuat filter yang terkemuka dan berkualiti tinggi. Lee Filters ada menerbitkan e-book mengenai landscape photography yang memaparkan tips-tips bagaimana cara untuk merakam foto pemandangan yang menarik beserta contoh-contoh gambar yang dihasilkan oleh beberapa orang jurufoto pemandangan yang hebat.

E-book ini boleh dimuat turun secara percuma DI SINI

BLOG ARKIB – Kit Lens Sahaja

Kit Lens Sahaja
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal dari blog FOTOTEACHER bertajuk Kit Lens Sahaja – 8 Ogos 2008)

Lensa yang biasanya dijual bersama dengan DSLR kelas rendah digelar kit lens. Secara umum, kit lens adalah lensa yang bernilai rendah, mempunyai aperture maksima yang agak kecil dan kualiti optiknya di bawah par. Ada sesetengah jenama kamera memberikan kit lens yang agak canggih seperti Zuiko 12-60mm SWD dan Nikkor AF-S 18-85mm VR namun kebanyakan kit lens tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan kurang nilai terpakainya.

Ini tidak bermakna anda harus mengeluh dengan kit lens kerana ia tetap mempunyai beberapa kelebihan lain. Kit lens adalah lensa yang ringan dan mempunyai julat zoom yang sesuai untuk kebanyakan aplikasi. Jika digunakan dengan berkesan, kit lens berupaya menghasilkan gambar yang menakjubkan. Mungkin dari segi kualiti imej ia kurang memberangsangkan namun disebabkan ia ringan dan mudah digunakan, anda mungkin lebih senang merakam gambar aksi tanpa memerlukan bantuan tripod. Ingat, lensa yang laju (fast lens/high performance lens) bukan sahaja lebih mahal tetapi juga lebih berat.

Jika anda hanya mempunyai kit lens sahaja, tidak perlu untuk tergesa-gesa membeli lensa baru hanya kerana segan dengan jurugambar lain. Melainkan anda perlu lensa kegunaan khas seperti lensa makro atau super telephoto, penggunaan kit lens adalah memadai untuk kebanyakan situasi.

Oleh Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

Untuk mendapatkan berbagai maklumat mengenai kursus dan bengkel fotografi yang akan adakan oleh FOTOTEACHER.COM, sila layari laman web rasmi kami di – http://www.fototeacher.com