Tag Archives: compact

Blog Arkib – Mengapa DSLR?

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Mengapa DSLR?”– 14 April 2012)

Ramai orang begitu ghairah ingin memiliki kamera DSLR ketika ini. Tetapi, adakah kamera DSLR ini sesuai untuk semua orang? Adakah kamera DSLR ini kamera yang terbaik?

Kamera DSLR secara mudahnya dikenali umum sebagai kamera yang mempunyai berbagai kawalan untuk menghasilkan gambar yang cantik. Lensanya yang boleh ditukar juga menjadi salah satu daya tarikan untuk orang ramai menggunakannya. Dengan semua kelebihan yang ada, kamera ini menjadi bertambah popular lagi ketika ini disebabkan harganya yang semakin rendah.

Kamera jenis DSLR merupakan kamera yang serba boleh dan kamera yang paling popular di kalangan peminat fotografi. Tetapi, adakah ianya merupakan kamera yang paling sempurna?

Majoriti peminat fotografi sekarang menggunakan kamera jenis DSLR. Malah, kamera DSLR ini juga telah digunakan secara meluas oleh orang awam walaupun bukan di kalangan peminat fotografi. Dengan perkembangan teknologi terkini, kamera DSLR telah dilengkapkan lagi dengan berbagai kawalan automatik yang bijak lantas semakin menarik minat orang ramai untuk memilikinya.

Semakin luas sesuatu teknologi itu digunakan, harganya juga akan terus menurun. Harga kamera DSLR ini juga telah menjadi semakin murah disebabkan pengeluaran secara besar-besaran berikutan permintaan yang tinggi terhadap kamera jenis ini.

DSLR Camera adalah ringkasan kepada digital single-lens reflex cameraSingle-lens reflex menerangkan bahawa kamera ini berfungsi menggunakan single-lens (lensa tunggal) dan menggunakan kaedah reflex(pantulan) imej pada reflex mirror (cermin pantulan) dan pentaprism (prisma dengan lima permukaan pembalikan) yang terdapat di dalam kamera DSLR. Cara operasi sebegini tidak terdapat pada kamera jenis lain.

Kamera TLR

Seperti yang telah dijelaskan, kamera DSLR menggunakan lensa tunggal atau satu lensa sahaja pada satu-satu masa untuk berfungsi. Ini berbeza dengan kamera jenis TLR (Twin-lens reflex) dimana sistem kamera TLR perlu menggunakan 2 lensa serentak untuk berfungsi. Satu lensa khas digunakan oleh jurufoto hanya untuk melihat dan satu lagi lensa khas digunakan hanya untuk merakam gambar.

Kamera jenis TLR. Kamera jenis ini mempunyai 2 lensa di bahagian depan kamera. Satu lensa digunakan oleh jurufoto untuk melihat dan satu lensa lagi digunakan untuk merakam gambar.

Penggunaan 2 lensa pada sistem kamera TLR ini memberikan masalah seperti parallax error dimana ketika rakaman jarak dekat, apa yang dirakam tidak sama seperti apa yang dilihat pada viewfinder(pemidang tilik – bahagian dimana jurufoto melihat imej yang dihasilkan oleh lensa kamera). Kamera jenis TLR juga mempunyai beberapa kelemahan lain berbanding kamera DSLR dimana jarang sekali kamera TLR ini dibuat dengan lensa yang boleh ditukar. Selain dari itu, imej yang dilihat padaviewfinder kamera TLR dipaparkan secara terbalik dari kiri ke kanan disebabkan tiada pentaprismdigunakan sebagaimana yang terdapat pada kamera DSLR. Disebabkan oleh ciri-ciri ini dan beberapa kelemahan lain, kamera TLR tidak lagi popular dan semakin jarang digunakan ketika ini.

Tiada kamera TLR versi digital dikeluarkan setakat ini – kamera jenis ini hanya terdapat dalam format analog menggunakan filem. Diantara jenama kamera jenis TLR ialah Rolleiflex, Mamiya dan Seagull. Ada diantara kamera TLR yang masih dikilangkan sehingga hari ini iaitu dari jenama Seagull buatan negara China dan kamera dari lain-lain jenama untuk tujuan Lomography. Untuk rekod, kamera jenis TLR ini telah mula diperkenalkan seawal tahun 1870an sebagai penambahbaikan kepada jenis kamera sebelumnya iaitu view camera.

View Camera

View Camera. Salah satu kelebihan kamera ini ialah, kedudukan lensa (lens plane) dan bahagian belakang kamera (film plane) boleh diubah-ubah untuk membolehkan kawalan terperinci terhadap perspektif dan depth-of-field.

View camera adalah satu jenis kamera yang paling awal diciptakan. Kamera ini telah mula digunakan sejak tahun 1830an dan ianya beroperasi dengan cara yang paling asas. Lensa akan menghasilkan imej pada ground glass (kaca pudar) yang terletak di bahagian belakang kamera. Jurufoto akan melihat imej yang dipaparkan pada ground glass dimana imej yang dilihat ini adalah dalam keadaan terbalik dan agak gelap tidak seperti kamera DSLR. Ini merupakan salah satu kelemahan besar untuk kamera jenis ini.

Kelebihan view camera ialah, jenis kamera ini boleh memberikan kualiti foto yang sangat baik dari segi resolusi gambar berikutan saiz filem yang digunakan adalah besar. Biasanya, filem yang digunakan adalah berukuran 4X5 inci atau 8X10 inci. Filem yang bersaiz sebegini dikategorikan sebagai filem large format (format besar).

Sebagai perbandingan, format 8X10 inci ini adalah 30 kali ganda lebih besar dari saiz sensor kamera DSLR 35mm full frame (saiz sensor 24X36mm) Jadi jika anda rasa kamera DSLR 35mm full framemenghasilkan foto yang sangat berkualiti, bayangkan betapa hebatnya kualiti foto yang mampu dihasilkan oleh format 4X5 inci atau 8X10 inci!

Selain dari itu, kelebihan unik kamera jenis ini ialah kebolehannya untuk mengawal perspektif dandepth-of-field (medan ketajaman) dengan lebih baik berbanding kamera DSLR. Kebolehan ini amat berguna untuk rakaman foto seperti produk, senibina dan pemandangan. Kelemahan kamera ini pula adalah disebabkan saiznya yang besar, berat dan sukar untuk dikendalikan.

Disebabkan ciri-ciri yang disebutkan tadi, kamera ini lebih sesuai digunakan di dalam studio untuk kerja rakaman fotografi pengiklanan dan lain-lain tugasan yang memerlukan hasil resolusi foto yang tinggi, tetapi tidak memerlukan kecepatan untuk merakam gambar. Selain dari itu, kamera ini juga adakalanya digunakan juga untuk merakam foto pemandangan dan senibina di lokasi luar untuk mendapatkan resolusi, kawalan perspektif dan kawalan depth-of-field yang terbaik.

Kamera jenis ini masih dikeluarkan dan digunakan sehingga kini, tetapi populariti penggunaannya meleset teruk beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan kamera jenis ini tidak berupaya menawarkan kemudahan digital yang sempurna. Antara jenama yang mengeluarkan view camera ialah Sinar, Horseman dan Linhof.

Nyata sekali, view camera bukanlah kamera yang paling popular. Tidak seperti kamera DSLR. Satu lagi fakta penting yang perlu diketahui – sebelum adanya teknologi digital, kamera jenis DSLR sebenarnya telah lama wujud tetapi dikenali dengan nama SLR sahaja suatu ketika dahulu tanpa huruf ‘D’ (digital) dihadapannya kerana kamera SLR pada masa itu beroperasi secara analog menggunakan filem. Kamera SLR mula popular sekitar tahun 60an sebagai pembaharuan kepada jenis kamera sebelumnya iaitu kamera jenis rangefinder.

Kamera Rangefinder

Kamera Rangefinder. Lensa pada kamera ini digunakan hanya untuk merakam gambar. Lensa ini tidak digunakan oleh jurufoto untuk melihat imej yang akan dirakam, sebaliknya jurufoto melihat melalui ‘tingkap’ empat segi di bahagian kanan kamera. ‘Tingkap’ empat segi yang lebih kecil di bahagian kiri kamera membantu untuk memberikan fokus yang tepat. ‘Tingkap’ di bahagian tengah pula berfungsi untuk memberikan cahaya kepada mekanisma rangefinder.

Kamera jenis rangefinder dicipta pada sekitar tahun 1900 dan terus digunakan dengan semakin meluas sehinggalah ke sekitar tahun 70an apabila populariti kamera ini diambil alih oleh kamera yang lebih serba boleh iaitu kamera jenis SLR.

Tidak seperti kamera SLR atau DSLR, apabila menggunakan kamera rangefinder, jurufoto tidak melihat melalui lensa yang merakam gambar, tetapi jurufoto melihat imej yang masuk melalui bahagian lain. Oleh sebab itu, masalah parallax error boleh berlaku kepada kamera rangefinder. Disebabkan sistemrangefinder itu sendiri, kamera jenis ini mempunyai pilihan lensa yang terbatas. Sistem kamera ini tidak memungkinkan penggunaan lensa zoom dan lensa makro secara sempurna. Kemampuan lensa telephoto(untuk pembesaran imej bagi subjek yang berada jauh dari kamera) juga adalah terbatas.

Namun, kamera rangefinder mempunyai kelebihannya yang tersendiri yang tidak dapat ditandingi oleh kamera DSLR. Kamera rangefinder bersaiz lebih kecil dan ringan. Disebabkan ciri ini, ianya amat digemari oleh sesetengah jurufoto untuk travel photography (fotografi pengembaraan) dan jurufoto dalam bidang street photography (fotografi yang mendokumentarikan kehidupan di tempat awam). Tidak seperti kamera DSLR, rekabentuk kamera rangefinder adalah lebih ringkas. Ini bermakna, kamera ini tidak begitu menonjol dimana ianya tidak akan menarik perhatian orang ramai kepada jurufoto yang sedang merakam gambar. Dalam travel photography dan street photography terutamanya, jurufoto memang tidak mahu kehadirannya disedari.

Selain dari itu, kamera rangefinder mampu memberikan reaksi yang lebih pantas diantara detik kita menekan punat merakam foto dan detik imej dirakam. Ini juga disebut sebagai shutter lag yang lebih minima; berbanding kamera DSLR.

Walaupun tidak sepopular ketika zaman kegemilangannya, kamera rangefinder nampaknya masih relevan untuk zaman ini bagi sesetengah jurufoto untuk tujuan tertentu. Model baru kamera jenis ini masih terus dikeluarkan oleh pengeluar dari jenama Leica dalam format digital manakala Voigtlander dan Zeiss Ikon masih mengeluarkan kamera jenis rangefinder analog yang menggunakan filem.

Compact Camera

Kamera Compact

Selain dari kamera rangefinder, kamera yang bersaiz kecil dan ringan juga boleh didapati melalui satu lagi jenis kamera, iaitu kamera yang dinamakan compact camera. Kamera jenis ini sering juga dinamakan sebagai pocket camera atau point-and-shoot camera. Namun, secara umumnya, kamera jenis ini tidak dapat menandingi kualiti yang dapat diberikan oleh kamera jenis rangefinder.

Compact camera juga tidak mempunyai beberapa ciri penting yang diperlukan oleh jurufoto profesional kerana ianya beroperasi dengan cara yang lebih ringkas. Lensanya tidak boleh ditukar. Hasil foto yang dihasilkan juga tidak begitu berkualiti disebabkan saiz sensornya yang kecil, shutter lag yang lebih ketara dan beberapa faktor lain. Kamera ini juga tidak membolehkan pengendalian yang pantas seperti yang boleh dilakukan oleh kamera DSLR atau kamera rangefinder. Disebabkan faktor kualiti dan kepantasan pengendalian ini, kamera jenis ini tidak sesuai digunakan untuk tugasan fotografi profesional.

High-End Compact Camera

High-End Compact Camera

Namun, ada juga kamera compact yang dihasilkan dengan ciri-ciri yang lebih profesional dan lebih bagus dari kamera compact biasa. Ianya dikategorikan sebagai high-end compact camera atauprofessional compact camera. Kamera jenis ini mempunyai berbagai kawalan tambahan yang membolehkan jurufoto membuat kawalan secara manual dan kawalan yang lebih terperinci.

Antara model kamera dalam kategori ini ialah kamera seperti Canon G12, Nikon P7000, Leica D-Lux 5 dan banyak lagi. Kamera sebegini digemari oleh peminat fotografi dan jurufoto profesional yang ingin merakam foto tertentu sekiranya kualiti ketajaman dan resolusi bukan menjadi keutamaan. Kameracompact menjadi pilihan berbanding kamera DSLR apabila saiz yang kecil dan berat yang minima diperlukan. Kamera compact juga menjadi pilihan berbanding kamera rangefinder apabila faktor harga rendah menjadi keutamaan.

Kelebihan utama kamera compact ialah kerana ianya ringan dan saiznya adalah kecil berbanding kamera DSLR. Tetapi, kamera compact mempunyai kelemahan dimana lensanya tidak boleh ditukar dan saiz sensornya adalah kecil. Pilihan terbaik yang ada ialah kamera DSLR – lensa boleh ditukar dan saiz sensor yang lebih besar. Tetapi kamera DSLR adalah terlalu berat dan terlalu besar untuk sesetengah orang atau untuk situasi tertentu.

Mirrorless Interchangeable-lens Camera (MILC)

Sebagai penyelesaian kepada masalah yang disebutkan tadi, maka lahirlah satu lagi jenis kamera yang terbaru iaitu kamera jenis mirrorless interchangeable-lens camera atau ringkasannya MILC. Kamera jenis ini mempunyai ciri kamera compact dan kamera DSLR yang digabungkan. Saiznya lebih kecil dan lebih ringan dari kamera DSLR, tetapi lensanya boleh ditukar dan sensornya lebih besar dari sensor kamera compact.

Kamera jenis MILC

Kamera MILC mempunyai lensa yang boleh ditukar seperti kamera DSLR, tetapi tidak mempunyai reflex mirror dan pentaprism. Oleh itu, kamera ini boleh dibina dengan lebih nipis, lebih kecil, lebih ringan dan lebih murah berbanding kamera DSLR. Disebabkan tiada reflex mirror dan pentaprism, kamera ini tidak mempunyai optical viewfinder tetapi hanya mempunyai electronic viewfinder (EVF) sahaja dimana imej dipaparkan melalui skrin LCD. Diantara jenama dan model kamera jenis MILC adalah Olympus PEN E-PL2, Panasonic Lumix DMC-GF2 dan lain-lain lagi.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kamera DSLR memanglah kamera yang serba boleh dan canggih secara keseluruhannya jika dibandingkan dengan kamera jenis lain. Oleh sebab itulah ia telah menjadi kamera yang paling popular dikalangan peminat fotografi dan jurufoto profesional. Tetapi, kita juga telah fahami bahawa kamera DSLR bukanlah kamera yang paling baik atau kamera yang paling sempurna. Setiap kamera mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Diharap, dengan memahami perkara ini, anda dapat membuat pilihan terbaik tentang jenis kamera yang paling sesuai untuk keperluan anda selepas ini. Untuk melihat berbagai jenis kamera terbaru dan harganya dalam Ringgit Malaysia, SILA KLIK DI SINI

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Kehebatan Kamera Kompak

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(To read this article in English version, please CLICK HERE)

Pengenalan

Pada suatu ketika dahulu, kamera kompak hanya digunakan oleh orang kebanyakan untuk merakam gambar keluarga atau gambar aktiviti sekitar kehidupan mereka sahaja. Jurufoto profesional atau peminat fotografi tidak menggemari kamera kompak kerana kualitinya yang rendah dan keterbatasan fungsinya. Namun, kamera kompak kini telah banyak berubah dan dimajukan, lebih-lebih lagi dalam era perkembangan teknologi digital yang begitu canggih sekarang ini. Oleh sebab itu, kamera kompak kini mula diminati dan digunakan oleh peminat fotografi dan jurufoto profesional tertentu bagi merakam gambar yang tertentu.

Walaupun bersaiz kecil, kamera kompak mampu menghasilkan gambar yang cukup jelas walaupun tahap kualitinya tidaklah dapat menandingi kualiti gambar yang dihasilkan oleh kamera DSLR. Tetapi, harus diingat, adakalanya kualiti kejelasan gambar bukanlah satu keutamaan. Disebalik beberapa kekurangan yang dimiliki oleh kamera kompak, kamera jenis ini turut mempunyai berbagai kelebihan berbanding kamera DSLR.

Ciri-Ciri Kamera Kompak

Kamera kompak juga dikenali dengan nama point and shoot camera atau pocket camera. Kamera kompak dicipta agar orang ramai dapat merakam gambar dengan lebih mudah dan selesa. Oleh sebab itu, ianya dibuat dengan saiz yang kecil bersama fungsi yang ringkas lalu memudahkan pengguna.

Kamera kompak tidak beroperasi menggunakan reflex mirror dan pentaprism seperti yang digunakan oleh sistem kamera DSLR. Oleh itu, kamera kompak dapat dibuat dengan saiz yang lebih kecil dengan harga yang lebih rendah.

Tidak seperti kamera DSLR, lensa pada kamera kompak tidak boleh ditukar ganti. Namun, biasanya kamera kompak dilengkapi dengan lensa zoom yang sudah memadai untuk kegunaan biasa.

Kamera kompak kini sudah semakin canggih dan semakin berkualiti. Kamera jenis ini telah berjaya menarik minat jurufoto profesional apabila ia telah dibuat dengan ciri kawalan manual sepenuhnya dimana pengguna boleh mengawal aperture, shutter dan ISO secara manual. Dengan ini, dedahan cahaya (exposure) dapat dikawal dengan lebih tepat. Selain dari itu, kamera kompak yang berprestasi tinggi juga turut menawarkan ciri-ciri bertaraf kamera DSLR seperti kawalan fokus secara manual, aperture maksima yang bersaiz lebih besar, hotshoe untuk penggunaan flash tambahan, rakaman dalam format RAW, saiz sensor yang lebih besar dan sebagainya.

Kamera kompak berprestasi tinggi dibuat dengan berbagai ciri yang menyamai kamera DSLR. Pengguna kamera kompak ini boleh membuat kawalan manual untuk pelarasan aperture, shutter, ISO dan lain-lain lagi.

Kelemahan Kamera Kompak

Antara kelemahan utama kamera kompak ialah saiz sensornya. Buat ketika ini, sensor kamera kompak adalah masih jauh lebih kecil berbanding saiz sensor kamera DSLR. Oleh sebab itu, gambar yang dirakam oleh kamera kompak tidak sesuai dibesarkan ke saiz yang terlalu besar kerana kejelasan foto akan hilang. Saiz sensor yang kecil ini juga menyebabkan gambar yang dihasilkan mempunyai noise yang lebih ketara berbanding kamera DSLR, terutamanya apabila ISO tinggi digunakan dan apabila foto dilihat dalam saiz besar.

Foto ini dirakam menggunakan kamera DSLR bagi mendapatkan kejelasan foto yang maksima. Untuk rakaman foto pemandangan atau foto senibina seperti ini, kamera DSLR lebih sesuai digunakan kerana biasanya foto ingin dipaparkan di dalam saiz besar. Penggunaan kamera yang besar dan berat bukanlah menjadi masalah untuk merakam foto sebegini kerana jurufoto tidak perlu banyak bergerak memikul beban kamera. (Foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Tetapi, harus diingat, kelemahan ini bukanlah satu isu besar jika kita tidak bercadang untuk mempamerkan gambar dalam saiz yang terlalu besar. Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan ialah – adakah foto dengan kejelasan maksima menjadi satu keutamaan bagi kita. Ini bergantung kepada jenis gambar yang dirakam dan tujuan foto tersebut dirakam. Contohnya, jika kita ingin merakam gambar untuk tujuan fotografi seni halus (fine art photography), adakalanya, faktor kejelasan gambar bukanlah satu keutamaan. Begitu juga jika kita ingin merakam gambar bagi dipamerkan di laman web dalam saiz yang kecil, kita tidak memerlukan resolusi yang terlalu tinggi untuk gambar yang dirakam – foto yang dihasilkan oleh kamera kompak sudah memadai.

Satu lagi kelemahan kamera kompak berbanding kamera DSLR ialah faktor kecekapan dan kecepatan kawalan kamera. Kamera kompak agak perlahan untuk dikendalikan, terutamanya untuk kawalan manual sepenuhnya. Ini kerana, saiz dan kedudukan butang kawalan pada kamera kompak tidaklah sebaik kamera DSLR. Jadi, untuk merakam gambar dan bekerja dengan pantas, kamera kompak tidak sesuai digunakan. Jika tidak, perkara ini tidaklah menjadi satu isu.

Kamera kompak juga ada sedikit kekurangan dari segi shutter lag dimana terdapat sedikit ‘kelewatan’ (dalam milisecond) diantara detik punat merakam kamera ditekan dan detik foto sebenar dirakam oleh kamera. Keadaan ini merupakan satu masalah serius untuk merakam gambar aksi atau gambar-gambar lain yang mementingkan ketepatan detik rakaman. Tetapi, kelemahan ini juga tidak menjadi masalah sekiranya kita ingin merakam gambar subjek tanpa begitu mementingkan ketepatan detik rakaman.

Kelemahan lain kamera kompak ialah, lensanya tidak boleh ditukar ganti seperti kamera DSLR. Jadi, pengguna kamera kompak terpaksa berpuas hati dengan pilihan sudut pandangan atau focal length yang terbatas. Namun, kamera kompak sekarang dilengkapi dengan zoom dalam jarak yang cukup panjang bermula dari sudut pandangan luas hinggalah ke sudut pandangan short telephoto (sudut pandangan yang agak sempit). Bagi kebanyakan penggunaan, focal length atau jarak zoom yang terdapat pada kamera kompak sudah mencukupi. Jadi, sekiranya bidang kerja anda tidak memerlukan lensa dengan focal length yang ‘luar biasa’, lensa zoom yang dipasang kekal pada kamera kompak adalah sudah cukup baik.

Kelebihan Kamera Kompak

Kelebihan utama kamera kompak ialah saiznya yang kecil lalu ianya juga adalah ringan untuk dibawa. Ciri ini mungkin tidak digemari untuk tugasan tertentu, tetapi ciri ini adalah amat bermanfaat apabila anda ingin merakam gambar dalam tempoh yang panjang atau apabila anda perlu banyak berjalan kaki. Apabila merakam gambar semasa pengembaraan, kamera kompak adalah amat bermanfaat kerana saiznya yang kecil dan beratnya yang tidak membebankan.

Foto petugas keretapi laju (Shinkansen) dirakam di Hiroshima, Jepun menggunakan kamera kompak. Kamera jenis ini amat sesuai digunakan ketika melancong atau mengembara di luar negara. (Foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Kamera kompak yang bersaiz kecil ini juga tidak begitu menonjol dan menarik perhatian orang disekeliling kita. Ciri ini amat bermanfaat untuk jurufoto yang merakam gambar di jalanan untuk street photography misalnya. Dengan menggunakan kamera kompak yang bersaiz kecil, kehadiran seseorang jurufoto itu kurang disedari atau tidak begitu dihiraukan, lalu membolehkan seseorang jurufoto itu merakam gambar subjeknya dengan lebih bersahaja. Dengan ciri ini, jurufoto juga akan lebih mudah untuk mendekati subjeknya. Saiz kamera kompak yang kecil ini merupakan satu kelebihan bagi tujuan tertentu.

Kelebihan lain bagi kamera kompak ialah, kamera ini berharga lebih murah berbanding kamera DSLR. Jika kita tidak memerlukan ciri-ciri tertentu pada kamera DSLR, mengapa perlu membelanjakan wang yang lebih untuk membeli kamera DSLR? Lebih baik membeli kamera kompak sahaja dengan harga yang lebih rendah, asalkan ianya dapat memenuhi keperluan kita. Sekiranya kita telah mempunyai kamera DSLR, kamera kompak elok dimiliki juga sebagai kamera sokongan (backup camera) atau sekadar kamera sampingan yang akan digunakan dalam keadaan tertentu.

Kamera kompak kini dibuat dengan ciri-ciri yang lebih baik dari masa ke semasa. Kamera kompak berprestasi tinggi atau high end compact camera terus dicipta dan diperbaharui dengan mempunyai berbagai ciri-ciri tambahan bagi merapatkan jurang diantara kamera kompak dengan kamera DSLR.

Aplikasi Kamera Kompak

Kita telah faham tentang ciri-ciri, kelemahan dan kelebihan kamera kompak. Perlu diberi perhatian di sini bahawa – kelemahan yang ada pada kamera kompak bukanlah satu kelemahan sebenarnya jika ciri tersebut tidak penting bagi tugasan atau keperluan tertentu. Contohnya, kelemahan kamera kompak yang mempunyai sensor bersaiz kecil bukanlah satu kelemahan langsung bagi jurufoto yang tidak bercadang untuk mempamerkan gambar dalam saiz besar. Jadi, kelemahan-kelemahan yang ada pada kamera kompak tidak perlu diambil kira jika ianya tidak menjadi masalah atau penghalang untuk kita. Fokuskan dan gunakan sepenuhnya kelebihan-kelebihan yang ada pada kamera kompak yang tidak terdapat pada kamera DSLR.

Artikel ini tidak bermaksud untuk menyatakan kamera kompak adalah lebih baik dari kamera DSLR. Cuma, apa yang ingin disampaikan ialah, kamera kompak mungkin lebih baik dan lebih sesuai digunakan berbanding kamera DSLR dalam situasi atau keperluan tertentu. Bagi kebanyakan peminat fotografi atau jurufoto profesional, kamera kompak hanya digunakan untuk tujuan tertentu dan dalam masa yang sama, kamera DSLR juga turut dimiliki bagi digunakan untuk merakam gambar dengan tujuan lain. Untuk berikutnya, mari kita perhatikan bagaimana kita boleh memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang ada pada kamera kompak.

Oleh kerana kamera kompak adalah ringan, ianya sesuai digunakan untuk merakam gambar dalam tempoh yang lama, terutamanya apabila kita perlu banyak bergerak atau berjalan kaki untuk merakam gambar. Contohnya apabila kita mengembara di luar negara sambil berjalan kaki di bandaraya yang besar.

Kamera ini juga sesuai digunakan apabila kita membuat aktiviti trekking di dalam hutan atau ketika mendaki gunung. Untuk aktiviti trekking sebegini, kita telah memang sedia menggunakan banyak tenaga untuk bergerak dan membawa beg galas dengan beban yang berat. Kita tidak ingin menambah lagi beban ini dengan membawa kamera yang berat seperti kamera DSLR. Jadi, kamera kompak sesuai digunakan untuk aktiviti sebegini. Namun, semuanya bergantung kepada keperluan anda. Jika anda amat perlukan kualiti foto dengan kejelasan yang terbaik, maka tidak dinafikan anda terpaksa membawa kamera DSLR.

Gambar dirakam di puncah Gunung Kinabalu menggunakan kamera kompak. Untuk mendaki gunung seperti ini memerlukan banyak tenaga dan sungguh memenatkan. Untuk itu, kamera kompak yang kecil dan ringan adalah amat sesuai digunakan dalam situasi ini. (Foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Kamera kompak adalah ringan disebabkan saiznya yang kecil. Kamera yang bersaiz kecil mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Kamera kompak yang bersaiz kecil tidak terlalu menonjol dan menarik perhatian orang lain. Ada sesetengah kerja fotografi yang memerlukan kita merakam gambar subjek manusia yang tidak kita kenali di tempat yang asing. Apabila kita merakam gambar dengan kamera kompak, orang lain tidak mengambil serius tentang kehadiran kita kerana kita tidak kelihatan seperti seorang jurufoto profesional, sebaliknya kita lebih kelihatan sebagai seorang pelancong atau sekadar sebagai seorang awam yang suka mengambil gambar.

Pernah terjadi seorang jurufoto akhbar profesional telah menyamar sebagai orang awam dengan membawa kamera kompak lalu dia dibenarkan masuk ke satu tempat larangan sedangkan jurufoto lain tidak dibenarkan masuk ke situ. Jurufoto yang menyamar tersebut telah berjaya merakam gambar yang baik hanya menggunakan kamera kompak sedangkan jurufoto lain yang menggunakan kamera DSLR tidak dibenarkan masuk dan langsung tidak dapat merakam apa-apa gambar.

Kamera kompak berharga lebih murah berbanding kamera DSLR. Jika anda meminati fotografi tetapi masih belum mampu memiliki kemera DSLR, anda boleh membeli kamera kompak dengan harga yang lebih rendah. Kamera kompak juga menawarkan berbagai ciri menarik yang sudah cukup untuk anda gunakan bagi memulakan penerokaan anda di dalam bidang fotografi. Untuk belajar asas fotografi seperti aperture, shutter, ISO, white balance, komposisi dan sebagainya, anda tetap boleh melakukannya dengan hanya menggunakan kamera kompak.

Oleh kerana harganya yang murah, kamera kompak juga sesuai dijadikan kamera kedua anda selain kamera DSLR yang telah dimiliki. Kamera kompak ini boleh dijadikan sebagai kamera sokongan (backup camera) sekiranya kamera DSLR anda rosak. Selain dari itu, walaupun anda telah memiliki kamera DSLR, kamera kompak yang dimiliki adalah lebih sesuai digunakan apabila anda ingin merakam gambar aktiviti keluarga atau ketika anda pergi mengembara misalnya.

Kamera kompak yang lebih murah ini juga selalu menjadi pilihan untuk jurufoto yang baru berjinak-jinak dalam fotografi bawah air (underwater photography) Ini kerana, underwater housing (bekas kedap air untuk melindungi kamera) untuk kamera kompak adalah jauh lebih murah dari underwater housing untuk kamera DSLR. Dengan menggunakan kamera kompak juga, risiko adalah lebih rendah jika berlaku kemalangan apabila underwater housing bocor lalu dimasuki air dan seterusnya merosakkan kamera yang digunakan.

Kamera kompak adalah lebih ringkas berbanding kamera DSLR. Ciri-ciri pada kamera kompak adalah lebih terbatas dan tidak secanggih kamera DSLR. Tetapi, bukan semua orang atau semua tugasan memerlukan ciri-ciri yang terlalu canggih. Adakalanya, kita hanya memerlukan kamera yang ringkas untuk merakam gambar.

Kamera kompak sesuai digunakan untuk anda berlatih merakam gambar dengan cara yang kreatif dan lebih bebas. Gambar yang kreatif adakalanya tidak mementingkan kawalan teknikal pada kamera yang terlalu canggih. Lagipun, apabila menggunakan kamera yang mempunyai terlalu banyak kawalan, kita akan terlalu risaukan tentang kawalan kamera lalu mengganggu fokus kita untuk menghasilkan foto yang kreatif atau berseni. Kamera kompak juga lebih ringan dan mudah dibawa. Jadi, ianya lebih selesa dibawa selalu dan dibawa kemana-mana sekadar untuk menjadikan anda kerap berlatih merakam gambar dan cuba bereksperimen dengan berbagai-bagai teknik kreatif sambil memantapkan kemahiran seni melihat (art of seeing)

Gambar dalam kategori fine art photography (fotografi seni halus) adakalanya tidak terlalu mementingkan kejelasan gambar, tetapi lebih mementingkan mesej, mood, komposisi dan sebagainya. Foto ini dirakam menggunakan kamera kompak tanpa memerlukan kejelasan yang terbaik. (Foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Kamera kompak yang ringkas ini juga sesuai digunakan sebagai kamera untuk tinjauan lokasi (recci) sebelum penggambaran sebenar dilakukan. Anda tidak memerlukan foto yang terlalu berkualiti ketika membuat tinjauan – foto yang dirakam oleh kamera kompak sudah memadai. Ketika membuat tinjauan juga, anda mungkin perlu banyak berjalan kaki, jadi, kamera DSLR akan cepat meletihkan dan mengurangkan fokus anda dalam tugasan membuat tinjaun tersebut.

Pendek kata, kamera kompak dengan teknologi terkini tidak harus dipandang rendah. Walaupun masih mempunyai beberapa kelemahan, kamera ini turut mempunyai kelebihan yang lebih baik berbanding kamera DSLR. Cuma, ia bergantung kepada tujuan penggunaan. Tidak dinafikan, untuk sesetengah tujuan, kamera kompak adalah jauh lebih baik atau lebih praktikal digunakan berbanding kamera DSLR. Kamera kompak kini masih dan terus diperbaiki dari masa ke semasa sesuai dengan perkembangan teknologi. Kita tidak tahu sejauh mana kamera kompak akan menyaingi kamera DSLR. Tetapi, apa yang pasti, ianya akan sentiasa menjadi bertambah baik dari masa ke semasa.

Hakcipta Terpelihara Hasnuddin Abu Samah / FOTOTEACHER.COM 2012

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Beli 3 Buku dan Dapatkan 1 Buku Percuma!

PROMOSI BUKU OLEH FOTOTEACHER.COM
BELI 3 BUKU DENGAN HARGA RM43.00 DAN DAPATKAN 1 BUKU PERCUMA!
Tawaran sah sehingga 7 Ogos 2012 atau sementara stok masih ada.
Untuk membuat pembelian, SILA KLIK DI SINI

Maklumat lanjut mengenai buku-buku yang dimaksudkan ialah:

TAJUK BUKU: DSLR ITU MUDAH – KUASAI FUNGSI DAN KAWALAN
JUMLAH MUKASURAT: 100 MUKASURAT
HARGA: RM12.90

HURAIAN DAN KANDUNGAN BUKU:

“Sekeping gambar mampu memberikan sejuta makna…”

Itulah ungkapan tepat yang dapat dikaitkan dengan foto. Kini, bidang fotografi semakin diminati tanpa mengira tahap usia.  Lantas, kemahiran mengendalikan kamera adalah elemen penting dalam menghasilkan mutu gambar yang bermakna dan hebat.

Justeru, buku ini menampilkan panduan dan tip-tip yang mudah difahami dan diikuti pembaca. Langkah demi langkah diberikan dan disertakan halaman tutorial supaya pembaca dapat mempelajarinya dengan berkesan. Saiz yang kecil direka khas untuk dibawa bersama dalam beg kamera ataupun poket seluar.

“Kebanyakan orang mempunyai kenangan indah, tetapi tidak semua orang merakamnya…”

Buku ini disusun berkonsepkan “knowledge sharing” dan “read less, learn more”. Ia sesuai untuk pelbagai peringkat kemahiran. Pasti anda tidak rugi memilikinya!

Kandungan Buku :-

Penghargaan
Fotografi
Pendahuluan
BAHAGIAN 1
BAB 1: Perbezaan Antara Digital dan Filem
BAB 2: Memahami Fotografi Digital
BAB 3: Mengapa Kamera DSLR?
BAB 4: Perkara yang Diperlukan bagi Memulakan Sesi Fotografi
BAHAGIAN 2
BAB 5: Memfokus Subjek
BAB 6: Apakah Itu ISO?
BAB 7: Apertur, Depth of Field dan Focal Length
BAB 8: Kepantasan Shutter (Shutter Speed)
BAB 9: Mode Manual 65BAB 10: Mode Aperture-Priority
BAB 11: Mode Shutter-Priority
BAB 12: Dedahan atau Exposure
BAB 13: Segitiga Exposure

* PERCUMA!! – Kad Metering
*Buku bercetak  dengan halaman berwarna (bukan e-book)

TAJUK BUKU: FOKUS DAN KLIK
JUMLAH MUKASURAT: 84 MUKASURAT
HARGA: RM15.00

HURAIAN BUKU

Fotografi adalah kaedah bagi mengabadikan detik-detik penting. Cepat ataupun lambat detik rakaman, menjadi persoalan utama dalam bidang ini. Di sinilah pentingnya menggunakan kamera DSLR, dengan pelbagai fungsi hebat berbanding kamera kompak.

Walaupun kamera DSLR suatu masa dahulu hanya dimiliki oleh jurugambar profesional, namun kini DSLR mula menjadi aksesori pilihan. Gambar yang dihasilkan pula setanding foto jurugambar professional. Oleh itu, pastikan anda memaksimumkan kemampuan kamera DSLR anda. Pelajari bagaimana kamera DSLR berfungsi, serta hasilkan gambar yang hebat dengannya. Jangan takut mencuba dan terus berlatih supaya gambar yang dihasilkan impresif dan menarik. Buku Fokus & Klik! ini dapat membantu anda. Milikinya segera!

*Buku bercetak dengan halaman berwarna (bukan e-book)

TAJUK BUKU: FOTO HEBAT DENGAN KAMERA KOMPAK
JUMLAH MUKASURAT: 83 MUKASURAT
HARGA: RM15.00

HURAIAN DAN KANDUNGAN BUKU

Merakam foto bukannya mudah seperti yang disangka. Kadang kala, hasil foto yang dirakam tidak sempurna dan kurang menarik. Oleh itu, sebagai pengguna kamera kompak yang setia, kita perlu menguasai teknik-teknik penggunaan kamera kompak supaya hasil foto yang dirakam tampil jelas, menarik dan hebat.

Teknik asas mempelajari penggunaan kamera kompak adalah mudah. Begitu jua dengan merakam foto menggunakan kamera handfon. Sesudah menguasai teknik penting ini, kita dapat mengaplikasikannya bagi merakam pelbagai suasana menarik sama ada ketika beriadah, menghadiri majli-majlis dan sebagainya.

Bagi yang mempunyai kamera kompak, pastikan bateri adalah penuh, memori kad dikosongkan serta peralatan tambahan lain tersedia sebelum memulakan proses merakam. Seterusnya, praktikkan tip-tip dan trik yang dipelajari dari buku ini semasa merakam foto. Bagi meningkatkan lagi kualiti, foto itu boleh disunting menggunakan perisian pengeditan foto digital melalui komputer peribadi. Akhirnya, hasil foto menjadi menarik sebagaimana hasil fotografi profesional!

Kandungan buku :-

Prakata vii
Bab 1: Pengenalan 1
Meneroka Kamera Kompak 2
Memilih Kamera yang Sesuai 7
Fungsi Kamera Kompak 12
Aksesori Kamera Kompak 16

Bab 2: Memahami Teknik Fotografi 19
Mengendali Kamera Kompak 20
Merakam Foto Melalui LCD 22
Fokus, Kemudian Rakam 25
Zoom Optikal vs Zoom Digital 28
Memilih Mode Rakaman 29
Mode Semi-Automatik 34
Mode Manual 35
Memahami Apertur 36
Menguasai Shutter Speed 39
Mengetahui Sensitiviti ISO 42
Menguruskan Exposure 44
Memanfaatkan Lampu Flash 48
Fungsi White Balance 51

Bab 3 : Foto Hebat dengan Kamera Kompak 55
Foto Berkualiti dengan Langkah Mudah 56
Memeriksa Histogram 59
Trik Pantas Foto Menarik 60
Merakam Objek Bergerak 65
Kreatif dengan Kamera Handfon 68

Bab 4 : Mengedit Foto 71
Meningkatkan Kualiti Foto 72
Mengedit Exposure dan Warna 73
Meminimumkan Noise 78
Mendapatkan Foto yang Jelas 80
Memilih White Balance 82

*Buku bercetak dengan halaman berwarna (bukan e-book)

TAJUK BUKU: FOTO HEBAT DENGAN HDR
JUMLAH MUKASURAT: 81 MUKASURAT
HARGA: RM15.00

HURAIAN DAN KANDUNGAN BUKU

Kini, sesiapa saja dapat menghasilkan foto yang hebat dengan teknik HDR. Melalui teknik pengubahsuaian mengambil gambar dan menggunakan aplikasi mengedit secara digital, foto biasa berubah menjadi luar biasa.

Dengan teknik ini, kelemahan kamera digital yang sukar merakam imej berkontras tinggi dapat diatasi. Setiap perincian pada objek dapat dirakam dengan baik. Tidak wujud foto HDR yang menampakkan bahagian yang terlalu gelap ataupun bahagian cerah yang keterlaluan. HDR sangat sesuai diaplikasikan pada foto landskap, terutamanya apabila terdapat perbezaan terang-gelap yang begitu ketara. Teknik ini juga sesuai digunakan dalam segmen fotografi lain seperti senibina dan potret. Apa yang penting, adalah imaginasi anda. Selamat berimaginasi!

*Buku bercetak dengan halaman berwarna (bukan e-book)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA KLIK DI SINI

Mengapa DSLR?

Ramai orang begitu ghairah ingin memiliki kamera DSLR ketika ini. Tetapi, adakah kamera DSLR ini sesuai untuk semua orang? Adakah kamera DSLR ini kamera yang terbaik?

MENGAPA DSLR?
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Kamera DSLR secara mudahnya dikenali umum sebagai kamera yang mempunyai berbagai kawalan untuk menghasilkan gambar yang cantik. Lensanya yang boleh ditukar juga menjadi salah satu daya tarikan untuk orang ramai menggunakannya. Dengan semua kelebihan yang ada, kamera ini menjadi bertambah popular lagi ketika ini disebabkan harganya yang semakin rendah.

Kamera jenis DSLR merupakan kamera yang serba boleh dan kamera yang paling popular di kalangan peminat fotografi. Tetapi, adakah ianya merupakan kamera yang paling sempurna?

Majoriti peminat fotografi sekarang menggunakan kamera jenis DSLR. Malah, kamera DSLR ini juga telah digunakan secara meluas oleh orang awam walaupun bukan di kalangan peminat fotografi. Dengan perkembangan teknologi terkini, kamera DSLR telah dilengkapkan lagi dengan berbagai kawalan automatik yang bijak lantas semakin menarik minat orang ramai untuk memilikinya.

Semakin luas sesuatu teknologi itu digunakan, harganya juga akan terus menurun. Harga kamera DSLR ini juga telah menjadi semakin murah disebabkan pengeluaran secara besar-besaran berikutan permintaan yang tinggi terhadap kamera jenis ini.

DSLR Camera adalah ringkasan kepada digital single-lens reflex camera. Single-lens reflex menerangkan bahawa kamera ini berfungsi menggunakan single-lens (lensa tunggal) dan menggunakan kaedah reflex (pantulan) imej pada reflex mirror (cermin pantulan) dan pentaprism (prisma dengan lima permukaan pembalikan) yang terdapat di dalam kamera DSLR. Cara operasi sebegini tidak terdapat pada kamera jenis lain.

Kamera TLR

Seperti yang telah dijelaskan, kamera DSLR menggunakan lensa tunggal atau satu lensa sahaja pada satu-satu masa untuk berfungsi. Ini berbeza dengan kamera jenis TLR (Twin-lens reflex) dimana sistem kamera TLR perlu menggunakan 2 lensa serentak untuk berfungsi. Satu lensa khas digunakan oleh jurufoto hanya untuk melihat dan satu lagi lensa khas digunakan hanya untuk merakam gambar.

Kamera jenis TLR. Kamera jenis ini mempunyai 2 lensa di bahagian depan kamera. Satu lensa digunakan oleh jurufoto untuk melihat dan satu lensa lagi digunakan untuk merakam gambar.

Penggunaan 2 lensa pada sistem kamera TLR ini memberikan masalah seperti parallax error dimana ketika rakaman jarak dekat, apa yang dirakam tidak sama seperti apa yang dilihat pada viewfinder (pemidang tilik – bahagian dimana jurufoto melihat imej yang dihasilkan oleh lensa kamera). Kamera jenis TLR juga mempunyai beberapa kelemahan lain berbanding kamera DSLR dimana jarang sekali kamera TLR ini dibuat dengan lensa yang boleh ditukar. Selain dari itu, imej yang dilihat pada viewfinder kamera TLR dipaparkan secara terbalik dari kiri ke kanan disebabkan tiada pentaprism digunakan sebagaimana yang terdapat pada kamera DSLR. Disebabkan oleh ciri-ciri ini dan beberapa kelemahan lain, kamera TLR tidak lagi popular dan semakin jarang digunakan ketika ini.

Tiada kamera TLR versi digital dikeluarkan setakat ini – kamera jenis ini hanya terdapat dalam format analog menggunakan filem. Diantara jenama kamera jenis TLR ialah Rolleiflex, Mamiya dan Seagull. Ada diantara kamera TLR yang masih dikilangkan sehingga hari ini iaitu dari jenama Seagull buatan negara China dan kamera dari lain-lain jenama untuk tujuan Lomography. Untuk rekod, kamera jenis TLR ini telah mula diperkenalkan seawal tahun 1870an sebagai penambahbaikan kepada jenis kamera sebelumnya iaitu view camera.

View Camera

View Camera. Salah satu kelebihan kamera ini ialah, kedudukan lensa (lens plane) dan bahagian belakang kamera (film plane) boleh diubah-ubah untuk membolehkan kawalan terperinci terhadap perspektif dan depth-of-field.

View camera adalah satu jenis kamera yang paling awal diciptakan. Kamera ini telah mula digunakan sejak tahun 1830an dan ianya beroperasi dengan cara yang paling asas. Lensa akan menghasilkan imej pada ground glass (kaca pudar) yang terletak di bahagian belakang kamera. Jurufoto akan melihat imej yang dipaparkan pada ground glass dimana imej yang dilihat ini adalah dalam keadaan terbalik dan agak gelap tidak seperti kamera DSLR. Ini merupakan salah satu kelemahan besar untuk kamera jenis ini.

Kelebihan view camera ialah, jenis kamera ini boleh memberikan kualiti foto yang sangat baik dari segi resolusi gambar berikutan saiz filem yang digunakan adalah besar. Biasanya, filem yang digunakan adalah berukuran 4X5 inci atau 8X10 inci. Filem yang bersaiz sebegini dikategorikan sebagai filem large format (format besar).

Sebagai perbandingan, format 8X10 inci ini adalah 30 kali ganda lebih besar dari saiz sensor kamera DSLR 35mm full frame (saiz sensor 24X36mm) Jadi jika anda rasa kamera DSLR 35mm full frame menghasilkan foto yang sangat berkualiti, bayangkan betapa hebatnya kualiti foto yang mampu dihasilkan oleh format 4X5 inci atau 8X10 inci!

Selain dari itu, kelebihan unik kamera jenis ini ialah kebolehannya untuk mengawal perspektif dan depth-of-field (medan ketajaman) dengan lebih baik berbanding kamera DSLR. Kebolehan ini amat berguna untuk rakaman foto seperti produk, senibina dan pemandangan. Kelemahan kamera ini pula adalah disebabkan saiznya yang besar, berat dan sukar untuk dikendalikan.

Disebabkan ciri-ciri yang disebutkan tadi, kamera ini lebih sesuai digunakan di dalam studio untuk kerja rakaman fotografi pengiklanan dan lain-lain tugasan yang memerlukan hasil resolusi foto yang tinggi, tetapi tidak memerlukan kecepatan untuk merakam gambar. Selain dari itu, kamera ini juga adakalanya digunakan juga untuk merakam foto pemandangan dan senibina di lokasi luar untuk mendapatkan resolusi, kawalan perspektif dan kawalan depth-of-field yang terbaik.

Kamera jenis ini masih dikeluarkan dan digunakan sehingga kini, tetapi populariti penggunaannya meleset teruk beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan kamera jenis ini tidak berupaya menawarkan kemudahan digital yang sempurna. Antara jenama yang mengeluarkan view camera ialah Sinar, Horseman dan Linhof.

Nyata sekali, view camera bukanlah kamera yang paling popular. Tidak seperti kamera DSLR. Satu lagi fakta penting yang perlu diketahui – sebelum adanya teknologi digital, kamera jenis DSLR sebenarnya telah lama wujud tetapi dikenali dengan nama SLR sahaja suatu ketika dahulu tanpa huruf ‘D’ (digital) dihadapannya kerana kamera SLR pada masa itu beroperasi secara analog menggunakan filem. Kamera SLR mula popular sekitar tahun 60an sebagai pembaharuan kepada jenis kamera sebelumnya iaitu kamera jenis rangefinder.

Kamera Rangefinder

Kamera Rangefinder. Lensa pada kamera ini digunakan hanya untuk merakam gambar. Lensa ini tidak digunakan oleh jurufoto untuk melihat imej yang akan dirakam, sebaliknya jurufoto melihat melalui ‘tingkap’ empat segi di bahagian kanan kamera. ‘Tingkap’ empat segi yang lebih kecil di bahagian kiri kamera membantu untuk memberikan fokus yang tepat. ‘Tingkap’ di bahagian tengah pula berfungsi untuk memberikan cahaya kepada mekanisma rangefinder.

Kamera jenis rangefinder dicipta pada sekitar tahun 1900 dan terus digunakan dengan semakin meluas sehinggalah ke sekitar tahun 70an apabila populariti kamera ini diambil alih oleh kamera yang lebih serba boleh iaitu kamera jenis SLR.

Tidak seperti kamera SLR atau DSLR, apabila menggunakan kamera rangefinder, jurufoto tidak melihat melalui lensa yang merakam gambar, tetapi jurufoto melihat imej yang masuk melalui bahagian lain. Oleh sebab itu, masalah parallax error boleh berlaku kepada kamera rangefinder. Disebabkan sistem rangefinder itu sendiri, kamera jenis ini mempunyai pilihan lensa yang terbatas. Sistem kamera ini tidak memungkinkan penggunaan lensa zoom dan lensa makro secara sempurna. Kemampuan lensa telephoto (untuk pembesaran imej bagi subjek yang berada jauh dari kamera) juga adalah terbatas.

Namun, kamera rangefinder mempunyai kelebihannya yang tersendiri yang tidak dapat ditandingi oleh kamera DSLR. Kamera rangefinder bersaiz lebih kecil dan ringan. Disebabkan ciri ini, ianya amat digemari oleh sesetengah jurufoto untuk travel photography (fotografi pengembaraan) dan jurufoto dalam bidang street photography (fotografi yang mendokumentarikan kehidupan di tempat awam). Tidak seperti kamera DSLR, rekabentuk kamera rangefinder adalah lebih ringkas. Ini bermakna, kamera ini tidak begitu menonjol dimana ianya tidak akan menarik perhatian orang ramai kepada jurufoto yang sedang merakam gambar. Dalam travel photography dan street photography terutamanya, jurufoto memang tidak mahu kehadirannya disedari.

Selain dari itu, kamera rangefinder mampu memberikan reaksi yang lebih pantas diantara detik kita menekan punat merakam foto dan detik imej dirakam. Ini juga disebut sebagai shutter lag yang lebih minima; berbanding kamera DSLR.

Walaupun tidak sepopular ketika zaman kegemilangannya, kamera rangefinder nampaknya masih relevan untuk zaman ini bagi sesetengah jurufoto untuk tujuan tertentu. Model baru kamera jenis ini masih terus dikeluarkan oleh pengeluar dari jenama Leica dalam format digital manakala Voigtlander dan Zeiss Ikon masih mengeluarkan kamera jenis rangefinder analog yang menggunakan filem.

Compact Camera

Kamera Compact

Selain dari kamera rangefinder, kamera yang bersaiz kecil dan ringan juga boleh didapati melalui satu lagi jenis kamera, iaitu kamera yang dinamakan compact camera. Kamera jenis ini sering juga dinamakan sebagai pocket camera atau point-and-shoot camera. Namun, secara umumnya, kamera jenis ini tidak dapat menandingi kualiti yang dapat diberikan oleh kamera jenis rangefinder.

Compact camera juga tidak mempunyai beberapa ciri penting yang diperlukan oleh jurufoto profesional kerana ianya beroperasi dengan cara yang lebih ringkas. Lensanya tidak boleh ditukar. Hasil foto yang dihasilkan juga tidak begitu berkualiti disebabkan saiz sensornya yang kecil, shutter lag yang lebih ketara dan beberapa faktor lain. Kamera ini juga tidak membolehkan pengendalian yang pantas seperti yang boleh dilakukan oleh kamera DSLR atau kamera rangefinder. Disebabkan faktor kualiti dan kepantasan pengendalian ini, kamera jenis ini tidak sesuai digunakan untuk tugasan fotografi profesional.

High-End Compact Camera

High-End Compact Camera

Namun, ada juga kamera compact yang dihasilkan dengan ciri-ciri yang lebih profesional dan lebih bagus dari kamera compact biasa. Ianya dikategorikan sebagai high-end compact camera atau professional compact camera. Kamera jenis ini mempunyai berbagai kawalan tambahan yang membolehkan jurufoto membuat kawalan secara manual dan kawalan yang lebih terperinci.

Antara model kamera dalam kategori ini ialah kamera seperti Canon G12, Nikon P7000, Leica D-Lux 5 dan banyak lagi. Kamera sebegini digemari oleh peminat fotografi dan jurufoto profesional yang ingin merakam foto tertentu sekiranya kualiti ketajaman dan resolusi bukan menjadi keutamaan. Kamera compact menjadi pilihan berbanding kamera DSLR apabila saiz yang kecil dan berat yang minima diperlukan. Kamera compact juga menjadi pilihan berbanding kamera rangefinder apabila faktor harga rendah menjadi keutamaan.

Kelebihan utama kamera compact ialah kerana ianya ringan dan saiznya adalah kecil berbanding kamera DSLR. Tetapi, kamera compact mempunyai kelemahan dimana lensanya tidak boleh ditukar dan saiz sensornya adalah kecil. Pilihan terbaik yang ada ialah kamera DSLR – lensa boleh ditukar dan saiz sensor yang lebih besar. Tetapi kamera DSLR adalah terlalu berat dan terlalu besar untuk sesetengah orang atau untuk situasi tertentu.

Mirrorless Interchangeable-lens Camera (MILC)

Sebagai penyelesaian kepada masalah yang disebutkan tadi, maka lahirlah satu lagi jenis kamera yang terbaru iaitu kamera jenis mirrorless interchangeable-lens camera atau ringkasannya MILC. Kamera jenis ini mempunyai ciri kamera compact dan kamera DSLR yang digabungkan. Saiznya lebih kecil dan lebih ringan dari kamera DSLR, tetapi lensanya boleh ditukar dan sensornya lebih besar dari sensor kamera compact.

Kamera jenis MILC

Kamera MILC mempunyai lensa yang boleh ditukar seperti kamera DSLR, tetapi tidak mempunyai reflex mirror dan pentaprism. Oleh itu, kamera ini boleh dibina dengan lebih nipis, lebih kecil, lebih ringan dan lebih murah berbanding kamera DSLR. Disebabkan tiada reflex mirror dan pentaprism, kamera ini tidak mempunyai optical viewfinder tetapi hanya mempunyai electronic viewfinder (EVF) sahaja dimana imej dipaparkan melalui skrin LCD. Diantara jenama dan model kamera jenis MILC adalah Olympus PEN E-PL2, Panasonic Lumix DMC-GF2 dan lain-lain lagi.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kamera DSLR memanglah kamera yang serba boleh dan canggih secara keseluruhannya jika dibandingkan dengan kamera jenis lain. Oleh sebab itulah ia telah menjadi kamera yang paling popular dikalangan peminat fotografi dan jurufoto profesional. Tetapi, kita juga telah fahami bahawa kamera DSLR bukanlah kamera yang paling baik atau kamera yang paling sempurna. Setiap kamera mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Diharap, dengan memahami perkara ini, anda dapat membuat pilihan terbaik tentang jenis kamera yang paling sesuai untuk keperluan anda selepas ini.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT KURSUS ASAS FOTOGRAFI DIGITAL YANG AKAN DIADAKAN

Rakaman Foto di Jepun

Baru-baru ini saya telah mengembara ke negara Jepun dan sempat merakamkan beberapa foto yang saya rasakan menarik. Kesemua foto dirakam menggunakan kamera compact Fujifilm X10.


Bayang dan Garisan
Bayang seseorang yang sedang menaiki tangga keluar dari stesyen keretapi bawah tanah di Tokyo. Saya menunggu agak lama di sini untuk merakam kira-kira 30 keping gambar orang-orang yang lalu di sini bagi mendapatkan sekeping gambar yang terbaik. Saya suka kesan pencahayaan dan bayang-bayang yang dihasilkan.


Basikal dan Teksi
Penunggang basikal dan 2 buah teksi, dirakam di Ueno, Tokyo. Saya rasa, basikal, teksi dan tulisan di atas jalanraya yang kelihatan di dalam gambar ini menggambarkan sedikit sebanyak mengenai Tokyo atau negara Jepun. Saya bermain sedikit dengan komposisi, garisan dan warna untuk merakam gambar ini.


Gelagat Manusia di Stesyen Keretapi
Warga kota Osaka di stesyen keretapi, masing-masing dengan gaya dan karakter tersendiri. Saya memilih gambar ini kerana kita dapat lihat dengan jelas apa yang sedang dilakukan oleh setiap individu di dalam gambar ini. Bagi menumpukan perhatian kepada ragam dan ekspresi subjek-subjek di dalam gambar, saya menjadikan gambar ini dalam bentuk hitam-putih.


Pekerja Keretapi Shinkansen
Seorang petugas keretapi sedang berjalan disamping keretapi Shinkansen (Bullet Train) di stesyen keretapi Hiroshima. Saya rasa, aksi berjalan subjek utama menjadikan gambar ini menarik. Saya menggunakan elemen grafik dalam merakam gambar ini seperti warna, bentuk dan garisan.


Berlari dalam Hujan
Seorang lelaki sedang berlari dalam kesejukan hujan renyai-renyai di waktu senja. Gambar dirakam di sebuah pekan di Niigata. Saya suka pada pantulan cahaya pada jalan basah dan moment di dalam gambar ini.


Kanak-Kanak dan Shinkansen
Seorang kanak-kanak perempuan sedang asyik melihat lokomotif Shinkansen dari jarak dekat yang dipamerkan di Railway Museum, Saitama, Tokyo. Saya suka kesan perbandingan saiz di antara kanak-kanak ini dengan saiz lokomotif.


Basikal di Kyoto
Basikal yang diletakkan di luar kedai di Kyoto. Saya menganggap basikal sebagai salah satu elemen penting dalam menggambarkan bandar di Jepun kerana basikal digunakan secara meluas di sini. Di dalam gambar ini, saya suka kesan cahaya malap dari kedai yang memberikan mood waktu menjelang malam di bandar ini.

Saya ingin mendengar pendapat anda pula! Gambar manakah yang paling anda minat? Sila buat pilihan anda dalam kotak di bawah:

Anda boleh pilih lebih dari satu gambar:
Bayang dan Garisan
Basikal dan Teksi
Gelagat Manusia di Stesyen Keretapi
Pekerja Keretapi Shinkansen
Berlari dalam Hujan
Kanak-Kanak dan Shinkansen
Basikal di Kyoto
pollcode.com free polls

NIKMAT FOTOGRAFI DARI KAMERA COMPACT

NIKMAT FOTOGRAFI DARI KAMERA COMPACT
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Saya ialah seorang jurufoto yang menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan. Ini bermakna, saya merakam foto untuk kepuasan pelanggan. Apabila bekerja, saya menggunakan kamera DSLR dengan berbagai jenis lensa dan aksesori lain. Adakalanya kesemua peralatan ini penuh di dalam 3 buah beg kamera. Bagi saya, kamera DSLR bermaksud kerja. Setiap kali memegang kamera DSLR, fikiran saya seolah-olah telah diprogramkan untuk bertindak seperti seorang jurufoto profesional yang bertanggung jawab untuk merakam foto untuk menepati keperluan tertentu seperti yang dikehendaki oleh pelanggan.

Jadi, untuk merakam foto yang berunsur seni bagi tujuan peribadi, saya lebih suka menggunakan compact camera kerana saya akan berasa lebih relaks dengan kamera ini. Dengan ciri-ciri yang ringkas dan mudah, saya lebih terarah untuk memberi tumpuan kepada aspek artistik, bukannya teknikal. Untuk membolehkan kawalan exposure secara manual, saya menggunakan “High End Compact Camera”

Sekali sekala saya akan meluangkan masa untuk merakam foto untuk kepuasan peribadi. Boleh dikatakan ianya ibarat terapi jiwa bila kita dapat menghasilkan sesuatu karya fotografi yang bermakna kepada diri kita sendiri.  Foto yang dirakam untuk tujuan peribadi ini kita namakan personal works atau adakalanya ia boleh menjadi karya yang termasuk dalam kategori fine art photography. Karya ini tidak terikat dengan apa-apa syarat, baik dari segi teknikal mahupun dari segi artistik. Kita bebas merakam apa saja dengan apa jua cara mengikut kehendak sendiri. Ini satu kebebasan dalam berkarya yang sungguh besar nikmatnya.

Seperti nikmatnya memakan masakan yang sedap, nikmat kepuasan menghasilkan karya fotografi ini tidak dapat dijelaskan tanpa anda sendiri merasainya. Jika anda belum merasainya, bermakna anda belum mendapat salah satu manfaat yang besar dari fotografi! Bagaimana caranya untuk anda mencapai apa yang saya sebutkan ini? Pertama sekali, anda mestilah menghayati suasana ketika anda merakam sesuatu foto. Anda juga perlu melihat subjek anda dengan mata hati dan perasaan anda.  Dengan cara ini, anda akan dapat hasilkan foto yang mempunyai jiwa dan penuh dengan nilai artistik.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


Embun di atas bumbung kereta di waktu pagi dirakam dengan kamera compact Leica D-Lux 4


Dirakam di Alamanda Putrajaya menggunakan kamera compact Leica D-Lux 4


Tertarik dengan unsur garisan di dalam foto ini, dirakam di kota Paris dengan kamera compact Canon G7


Dirakam ketika turun dari puncak Gunung Kinabalu menggunakan kamera Leica D-Lux 4


Hasil dari Leica D-Lux 4


Slow shutter dengan kamera Canon G7


Dirakam di kota London dengan kamera Canon G7

Nota: “High End Compact Camera” yang dimaksudkan ialah kamera compact yang mempunyai kawalan exposure secara manual dan berharga sekitar RM1,500 ke atas seperti model Canon G12 atau Leica D-Lux 5


Saya dengan kamera compact Leica D-Lux 4

SERTAI KAMI DI FACEBOOK UNTUK MENDAPATKAN BERBAGAI TIPS DAN INFO MENGENAI FOTOGRAFI. SILA KE – www.facebook.com/fototeacher