Tag Archives: bangunan

Report – Bengkel Asas Photoshop khas untuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia

Gambar peserta Bengkel Asas Photoshop khas untuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia yang telah diadakan pada 12-14 November 2013. Kepada peserta yang ingin mendapatkan foto ini di dalam saiz besar, sila ke: http://fototeacher.com/AGroupPhotoBAPMOTAC12to14November2013Large.jpg

Kepada anda yang ingin menyertai kursus seperti ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di – http://www.fototeacher.com/

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 (waktu pejabat) E-mel: sales@fototeacher.com atau sila layari laman web kami – http://www.fototeacher.com/

Blog Arkib – Menara Berkembar Petronas

Menara Berkembar Petronas
Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Menara Berkembar Petronas”– 13 Oktober 2011)

Ramai yang memanggil bangunan ini sebagai menara KLCC (Kuala Lumpur City Centre), tetapi nama sebenarnya ialah Menara Berkembar Petronas atau di peringkat antarabangsa mengenalinya sebagai Petronas Twin Tower. Bagi kita yang tinggal di Kuala Lumpur, kita tentu sering melihat pemandangan Menara Berkembar Petronas ini sehingga kadangkala kita terlupa bahawa, sebenarnya menara ini sangat popular di seluruh dunia. Ianya masih memegang rekod sebagai menara berkembar tertinggi di dunia. Pelancong dari seluruh dunia datang dari jauh untuk melihat dan menghargainya; mungkin lebih dari kita sendiri menghargai menara ini. Kita tidak berapa kisah kerana menara ini ada di negara kita sendiri. Biasalah begitu.

Saya sebagai peminat fotografi sering mengembara ke seluruh Malaysia dan kadangkala ke luar negara untuk merakam foto yang menarik. Tetapi, pelik sekali, saya tidak pernah merakam foto Menara Berkembar Petronas sebelum ini. Ini mungkin disebabkan saya selalu berkunjung ke sini dan boleh ke sini pada bila-bila masa. Jadi, tiada sebarang desakan. Lagi satu sebab ialah kerana saya rasakan terlalu ramai orang yang telah merakam gambar menara ini dan sukar untuk mendapatkan gambar yang unik.

Jadi, apa yang mendorong saya untuk merakam gambar Menara Berkembar Petronas ini?

Saya ada terlihat beberapa gambar Menara Berkembar Petronas yang dirakam dengan begitu baik sekali oleh beberapa orang jurufoto antarabangsa. Saya kagumi karya mereka. Saya terfikir, jika mereka boleh datang dari jauh untuk merakam gambar menara ini, kenapa saya yang tinggal di Kuala Lumpur tidak turut cuba merakam gambar bangunan yang sungguh indah ini? Ini akan menguji diri saya sendiri. Bolehkah saya merakam gambar satu subjek yang popular ini dengan baik? Apa yang pasti, saya mempunyai satu kelebihan. Saya tinggal tidak jauh dari menara ini dan saya boleh merakam gambarnya setiap hari jika saya mahu, sehinggalah saya dapat gambar yang baik!

Lalu, saya membuat sedikit persediaan. Melayari laman web mencari foto-foto Menara Berkembar Petronas dan mengkaji gambar-gambar tersebut. Saya membuat rumusan mengapakah sesuatu foto itu menarik dan bagaimana saya boleh jadikan foto saya lebih menarik atau sekurang-kurangnya sama taraf.

Bagi saya, ada 2 perkara paling penting dan paling sukar untuk merakam foto menara ini. Pertama, saya perlu dapatkan sudut yang menarik dan kalau boleh, perlu rakamkan dari sudut rakaman atau komposisi yang belum pernah jurufoto lain rakamkan. Perkara kedua, saya perlu dapatkan atau tunggu keadaan cahaya matahari yang sesuai. Saya sedar, saya tidak boleh mengawal cahaya matahari. Semuanya bergantung kepada nasib. Saya juga sedar, saya mungkin perlu membuat beberapa kali cubaan atau kunjungan sehingga saya mendapat pencahayaan yang sesuai.

Saya bercadang untuk merakam gambar dengan cahaya matahari pagi kerana pada waktu ini, cahaya yang datang dari sisi adalah lembut dan biasanya kurang habuk atau jerebu pada waktu ini. Untuk merakam foto ini, saya telah berada di lokasi pada sekitar jam 6.30 pagi. Keadaan masih gelap pada waktu itu. Jadi, saya masih ada masa untuk mencari sudut penggambaran yang terbaik. Setelah mencuba beberapa sudut, akhirnya saya dapat satu lokasi yang saya kira boleh memberikan gambar terbaik. Saya membuat komposisi gambar dan menunggu sehingga cahaya yang sesuai menjelma. Syukur, memang rezeki saya pada hari itu, cuaca dan cahaya adalah sangat baik. Langit juga cerah dengan sedikit awan yang saya rasa boleh menjadikan gambar saya lebih menarik. Saya merakam foto di atas pada kira-kira jam 7.15 pagi.

Saya suka imej Menara Berkembar Petronas yang dipantulkan pada permukaan air seperti yang kita dapat lihat di dalam gambar yang dipaparkan ini. Pembalikan imej sebegini hanya boleh didapati ketika air tenang. Biasanya air di kolam ini tidak setenang ini kerana air ini sentiasa mengalir disebabkan oleh beberapa pancuran air. Pada asalnya, imej pada pantulan air adalah lebih gelap berbanding imej menara sebenar. Jadi, untuk mengimbangkan kecerahannya, saya terpaksa menggunakan Gradual Neutral Density filter yang bertujuan untuk menggelapkan bahagian atas gambar ini, lalu menjadikan kecerahan bahagian atas dan bawah gambar ini kurang ketara perbezaanya.

Lain-lain data teknikal rakaman foto ini adalah seperti berikut – kamera Nikon D300s bersama lensa Nikkor 10-24mm f/3.5 digunakan. Focal length dilaraskan pada 11mm, aperture pada f/22, shutter speed pada kelajuan 1 saat dan ISO 200. Oleh kerana shutter perlahan digunakan, saya turut menggunakan tripod dan electronic release bagi mengelakkan gegaran.

Diharap anda mendapat manfaat dari perkongsian ini.  Rajin-rajinlah menambahkan ilmu dan selalulah berlatih merakam foto agar karya anda menjadi semakin baik setiap hari. Pesan ini juga untuk diri saya kerana saya juga masih dalam proses belajar.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Teknik Unik Merakam Foto Architecture

Tonton video ini untuk melihat tutorial cara merakam foto architecture secara multiple exposure dimana setiap dedahan dirakam menggunakan pencahayaan yang berlainan. Hasil kesemua foto ini digabungkan di dalam Adobe Photoshop untuk sentuhan akhir.