Tag Archives: bahasa

Blog Arkib – Mengapa DSLR?

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Mengapa DSLR?”– 14 April 2012)

Ramai orang begitu ghairah ingin memiliki kamera DSLR ketika ini. Tetapi, adakah kamera DSLR ini sesuai untuk semua orang? Adakah kamera DSLR ini kamera yang terbaik?

Kamera DSLR secara mudahnya dikenali umum sebagai kamera yang mempunyai berbagai kawalan untuk menghasilkan gambar yang cantik. Lensanya yang boleh ditukar juga menjadi salah satu daya tarikan untuk orang ramai menggunakannya. Dengan semua kelebihan yang ada, kamera ini menjadi bertambah popular lagi ketika ini disebabkan harganya yang semakin rendah.

Kamera jenis DSLR merupakan kamera yang serba boleh dan kamera yang paling popular di kalangan peminat fotografi. Tetapi, adakah ianya merupakan kamera yang paling sempurna?

Majoriti peminat fotografi sekarang menggunakan kamera jenis DSLR. Malah, kamera DSLR ini juga telah digunakan secara meluas oleh orang awam walaupun bukan di kalangan peminat fotografi. Dengan perkembangan teknologi terkini, kamera DSLR telah dilengkapkan lagi dengan berbagai kawalan automatik yang bijak lantas semakin menarik minat orang ramai untuk memilikinya.

Semakin luas sesuatu teknologi itu digunakan, harganya juga akan terus menurun. Harga kamera DSLR ini juga telah menjadi semakin murah disebabkan pengeluaran secara besar-besaran berikutan permintaan yang tinggi terhadap kamera jenis ini.

DSLR Camera adalah ringkasan kepada digital single-lens reflex cameraSingle-lens reflex menerangkan bahawa kamera ini berfungsi menggunakan single-lens (lensa tunggal) dan menggunakan kaedah reflex(pantulan) imej pada reflex mirror (cermin pantulan) dan pentaprism (prisma dengan lima permukaan pembalikan) yang terdapat di dalam kamera DSLR. Cara operasi sebegini tidak terdapat pada kamera jenis lain.

Kamera TLR

Seperti yang telah dijelaskan, kamera DSLR menggunakan lensa tunggal atau satu lensa sahaja pada satu-satu masa untuk berfungsi. Ini berbeza dengan kamera jenis TLR (Twin-lens reflex) dimana sistem kamera TLR perlu menggunakan 2 lensa serentak untuk berfungsi. Satu lensa khas digunakan oleh jurufoto hanya untuk melihat dan satu lagi lensa khas digunakan hanya untuk merakam gambar.

Kamera jenis TLR. Kamera jenis ini mempunyai 2 lensa di bahagian depan kamera. Satu lensa digunakan oleh jurufoto untuk melihat dan satu lensa lagi digunakan untuk merakam gambar.

Penggunaan 2 lensa pada sistem kamera TLR ini memberikan masalah seperti parallax error dimana ketika rakaman jarak dekat, apa yang dirakam tidak sama seperti apa yang dilihat pada viewfinder(pemidang tilik – bahagian dimana jurufoto melihat imej yang dihasilkan oleh lensa kamera). Kamera jenis TLR juga mempunyai beberapa kelemahan lain berbanding kamera DSLR dimana jarang sekali kamera TLR ini dibuat dengan lensa yang boleh ditukar. Selain dari itu, imej yang dilihat padaviewfinder kamera TLR dipaparkan secara terbalik dari kiri ke kanan disebabkan tiada pentaprismdigunakan sebagaimana yang terdapat pada kamera DSLR. Disebabkan oleh ciri-ciri ini dan beberapa kelemahan lain, kamera TLR tidak lagi popular dan semakin jarang digunakan ketika ini.

Tiada kamera TLR versi digital dikeluarkan setakat ini – kamera jenis ini hanya terdapat dalam format analog menggunakan filem. Diantara jenama kamera jenis TLR ialah Rolleiflex, Mamiya dan Seagull. Ada diantara kamera TLR yang masih dikilangkan sehingga hari ini iaitu dari jenama Seagull buatan negara China dan kamera dari lain-lain jenama untuk tujuan Lomography. Untuk rekod, kamera jenis TLR ini telah mula diperkenalkan seawal tahun 1870an sebagai penambahbaikan kepada jenis kamera sebelumnya iaitu view camera.

View Camera

View Camera. Salah satu kelebihan kamera ini ialah, kedudukan lensa (lens plane) dan bahagian belakang kamera (film plane) boleh diubah-ubah untuk membolehkan kawalan terperinci terhadap perspektif dan depth-of-field.

View camera adalah satu jenis kamera yang paling awal diciptakan. Kamera ini telah mula digunakan sejak tahun 1830an dan ianya beroperasi dengan cara yang paling asas. Lensa akan menghasilkan imej pada ground glass (kaca pudar) yang terletak di bahagian belakang kamera. Jurufoto akan melihat imej yang dipaparkan pada ground glass dimana imej yang dilihat ini adalah dalam keadaan terbalik dan agak gelap tidak seperti kamera DSLR. Ini merupakan salah satu kelemahan besar untuk kamera jenis ini.

Kelebihan view camera ialah, jenis kamera ini boleh memberikan kualiti foto yang sangat baik dari segi resolusi gambar berikutan saiz filem yang digunakan adalah besar. Biasanya, filem yang digunakan adalah berukuran 4X5 inci atau 8X10 inci. Filem yang bersaiz sebegini dikategorikan sebagai filem large format (format besar).

Sebagai perbandingan, format 8X10 inci ini adalah 30 kali ganda lebih besar dari saiz sensor kamera DSLR 35mm full frame (saiz sensor 24X36mm) Jadi jika anda rasa kamera DSLR 35mm full framemenghasilkan foto yang sangat berkualiti, bayangkan betapa hebatnya kualiti foto yang mampu dihasilkan oleh format 4X5 inci atau 8X10 inci!

Selain dari itu, kelebihan unik kamera jenis ini ialah kebolehannya untuk mengawal perspektif dandepth-of-field (medan ketajaman) dengan lebih baik berbanding kamera DSLR. Kebolehan ini amat berguna untuk rakaman foto seperti produk, senibina dan pemandangan. Kelemahan kamera ini pula adalah disebabkan saiznya yang besar, berat dan sukar untuk dikendalikan.

Disebabkan ciri-ciri yang disebutkan tadi, kamera ini lebih sesuai digunakan di dalam studio untuk kerja rakaman fotografi pengiklanan dan lain-lain tugasan yang memerlukan hasil resolusi foto yang tinggi, tetapi tidak memerlukan kecepatan untuk merakam gambar. Selain dari itu, kamera ini juga adakalanya digunakan juga untuk merakam foto pemandangan dan senibina di lokasi luar untuk mendapatkan resolusi, kawalan perspektif dan kawalan depth-of-field yang terbaik.

Kamera jenis ini masih dikeluarkan dan digunakan sehingga kini, tetapi populariti penggunaannya meleset teruk beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan kamera jenis ini tidak berupaya menawarkan kemudahan digital yang sempurna. Antara jenama yang mengeluarkan view camera ialah Sinar, Horseman dan Linhof.

Nyata sekali, view camera bukanlah kamera yang paling popular. Tidak seperti kamera DSLR. Satu lagi fakta penting yang perlu diketahui – sebelum adanya teknologi digital, kamera jenis DSLR sebenarnya telah lama wujud tetapi dikenali dengan nama SLR sahaja suatu ketika dahulu tanpa huruf ‘D’ (digital) dihadapannya kerana kamera SLR pada masa itu beroperasi secara analog menggunakan filem. Kamera SLR mula popular sekitar tahun 60an sebagai pembaharuan kepada jenis kamera sebelumnya iaitu kamera jenis rangefinder.

Kamera Rangefinder

Kamera Rangefinder. Lensa pada kamera ini digunakan hanya untuk merakam gambar. Lensa ini tidak digunakan oleh jurufoto untuk melihat imej yang akan dirakam, sebaliknya jurufoto melihat melalui ‘tingkap’ empat segi di bahagian kanan kamera. ‘Tingkap’ empat segi yang lebih kecil di bahagian kiri kamera membantu untuk memberikan fokus yang tepat. ‘Tingkap’ di bahagian tengah pula berfungsi untuk memberikan cahaya kepada mekanisma rangefinder.

Kamera jenis rangefinder dicipta pada sekitar tahun 1900 dan terus digunakan dengan semakin meluas sehinggalah ke sekitar tahun 70an apabila populariti kamera ini diambil alih oleh kamera yang lebih serba boleh iaitu kamera jenis SLR.

Tidak seperti kamera SLR atau DSLR, apabila menggunakan kamera rangefinder, jurufoto tidak melihat melalui lensa yang merakam gambar, tetapi jurufoto melihat imej yang masuk melalui bahagian lain. Oleh sebab itu, masalah parallax error boleh berlaku kepada kamera rangefinder. Disebabkan sistemrangefinder itu sendiri, kamera jenis ini mempunyai pilihan lensa yang terbatas. Sistem kamera ini tidak memungkinkan penggunaan lensa zoom dan lensa makro secara sempurna. Kemampuan lensa telephoto(untuk pembesaran imej bagi subjek yang berada jauh dari kamera) juga adalah terbatas.

Namun, kamera rangefinder mempunyai kelebihannya yang tersendiri yang tidak dapat ditandingi oleh kamera DSLR. Kamera rangefinder bersaiz lebih kecil dan ringan. Disebabkan ciri ini, ianya amat digemari oleh sesetengah jurufoto untuk travel photography (fotografi pengembaraan) dan jurufoto dalam bidang street photography (fotografi yang mendokumentarikan kehidupan di tempat awam). Tidak seperti kamera DSLR, rekabentuk kamera rangefinder adalah lebih ringkas. Ini bermakna, kamera ini tidak begitu menonjol dimana ianya tidak akan menarik perhatian orang ramai kepada jurufoto yang sedang merakam gambar. Dalam travel photography dan street photography terutamanya, jurufoto memang tidak mahu kehadirannya disedari.

Selain dari itu, kamera rangefinder mampu memberikan reaksi yang lebih pantas diantara detik kita menekan punat merakam foto dan detik imej dirakam. Ini juga disebut sebagai shutter lag yang lebih minima; berbanding kamera DSLR.

Walaupun tidak sepopular ketika zaman kegemilangannya, kamera rangefinder nampaknya masih relevan untuk zaman ini bagi sesetengah jurufoto untuk tujuan tertentu. Model baru kamera jenis ini masih terus dikeluarkan oleh pengeluar dari jenama Leica dalam format digital manakala Voigtlander dan Zeiss Ikon masih mengeluarkan kamera jenis rangefinder analog yang menggunakan filem.

Compact Camera

Kamera Compact

Selain dari kamera rangefinder, kamera yang bersaiz kecil dan ringan juga boleh didapati melalui satu lagi jenis kamera, iaitu kamera yang dinamakan compact camera. Kamera jenis ini sering juga dinamakan sebagai pocket camera atau point-and-shoot camera. Namun, secara umumnya, kamera jenis ini tidak dapat menandingi kualiti yang dapat diberikan oleh kamera jenis rangefinder.

Compact camera juga tidak mempunyai beberapa ciri penting yang diperlukan oleh jurufoto profesional kerana ianya beroperasi dengan cara yang lebih ringkas. Lensanya tidak boleh ditukar. Hasil foto yang dihasilkan juga tidak begitu berkualiti disebabkan saiz sensornya yang kecil, shutter lag yang lebih ketara dan beberapa faktor lain. Kamera ini juga tidak membolehkan pengendalian yang pantas seperti yang boleh dilakukan oleh kamera DSLR atau kamera rangefinder. Disebabkan faktor kualiti dan kepantasan pengendalian ini, kamera jenis ini tidak sesuai digunakan untuk tugasan fotografi profesional.

High-End Compact Camera

High-End Compact Camera

Namun, ada juga kamera compact yang dihasilkan dengan ciri-ciri yang lebih profesional dan lebih bagus dari kamera compact biasa. Ianya dikategorikan sebagai high-end compact camera atauprofessional compact camera. Kamera jenis ini mempunyai berbagai kawalan tambahan yang membolehkan jurufoto membuat kawalan secara manual dan kawalan yang lebih terperinci.

Antara model kamera dalam kategori ini ialah kamera seperti Canon G12, Nikon P7000, Leica D-Lux 5 dan banyak lagi. Kamera sebegini digemari oleh peminat fotografi dan jurufoto profesional yang ingin merakam foto tertentu sekiranya kualiti ketajaman dan resolusi bukan menjadi keutamaan. Kameracompact menjadi pilihan berbanding kamera DSLR apabila saiz yang kecil dan berat yang minima diperlukan. Kamera compact juga menjadi pilihan berbanding kamera rangefinder apabila faktor harga rendah menjadi keutamaan.

Kelebihan utama kamera compact ialah kerana ianya ringan dan saiznya adalah kecil berbanding kamera DSLR. Tetapi, kamera compact mempunyai kelemahan dimana lensanya tidak boleh ditukar dan saiz sensornya adalah kecil. Pilihan terbaik yang ada ialah kamera DSLR – lensa boleh ditukar dan saiz sensor yang lebih besar. Tetapi kamera DSLR adalah terlalu berat dan terlalu besar untuk sesetengah orang atau untuk situasi tertentu.

Mirrorless Interchangeable-lens Camera (MILC)

Sebagai penyelesaian kepada masalah yang disebutkan tadi, maka lahirlah satu lagi jenis kamera yang terbaru iaitu kamera jenis mirrorless interchangeable-lens camera atau ringkasannya MILC. Kamera jenis ini mempunyai ciri kamera compact dan kamera DSLR yang digabungkan. Saiznya lebih kecil dan lebih ringan dari kamera DSLR, tetapi lensanya boleh ditukar dan sensornya lebih besar dari sensor kamera compact.

Kamera jenis MILC

Kamera MILC mempunyai lensa yang boleh ditukar seperti kamera DSLR, tetapi tidak mempunyai reflex mirror dan pentaprism. Oleh itu, kamera ini boleh dibina dengan lebih nipis, lebih kecil, lebih ringan dan lebih murah berbanding kamera DSLR. Disebabkan tiada reflex mirror dan pentaprism, kamera ini tidak mempunyai optical viewfinder tetapi hanya mempunyai electronic viewfinder (EVF) sahaja dimana imej dipaparkan melalui skrin LCD. Diantara jenama dan model kamera jenis MILC adalah Olympus PEN E-PL2, Panasonic Lumix DMC-GF2 dan lain-lain lagi.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kamera DSLR memanglah kamera yang serba boleh dan canggih secara keseluruhannya jika dibandingkan dengan kamera jenis lain. Oleh sebab itulah ia telah menjadi kamera yang paling popular dikalangan peminat fotografi dan jurufoto profesional. Tetapi, kita juga telah fahami bahawa kamera DSLR bukanlah kamera yang paling baik atau kamera yang paling sempurna. Setiap kamera mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Diharap, dengan memahami perkara ini, anda dapat membuat pilihan terbaik tentang jenis kamera yang paling sesuai untuk keperluan anda selepas ini. Untuk melihat berbagai jenis kamera terbaru dan harganya dalam Ringgit Malaysia, SILA KLIK DI SINI

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Fotografi dan Wang

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Buat duit dari fotografi bukan kerja senang. Tiada siapa akan berikan kita duit dengan mudah, kecuali jika kita memang benar-benar layak dan terbukti bagus. Ramai peminat fotografi berhasrat untuk menjana wang dari bidang fotografi kerana dikatakan – menjana wang dengan melakukan perkara yang kita minati adalah sungguh menyeronokkan. Kenyataan ini nampak sungguh menarik; semua orang pasti sukakannya. Tetapi malang sekali, kenyataan ini telah mengelirukan dan memperdayakan ramai orang, lalu ramailah yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Jadi, apakah realitinya?

Studio fotografi milik Ikram Ismail ini boleh disewa oleh peminat fotografi. Untuk memiliki studio seperti ini bukan sahaja memerlukan belanja awal (setup) yang tinggi untuk pembelian peralatan, tetapi ia juga menuntut kos bayaran sewa dan penyelenggaraan secara bulanan. Jika anda mengimpikan untuk memiliki studio sendiri, eloklah pastikan dahulu bahawa anda berupaya memperolehi pendapatan yang stabil (foto oleh Ikram Ismail)

Tidak dinafikan, ada segelintir jurufoto yang memperolehi pendapatan lumayan disamping mengecap kepuasan dengan melakukan kerja yang diminatinya. Sekadar sebagai contoh, mungkin ada jurufoto yang amat meminati fotografi hidupan liar dan telah berjaya menampung hidupnya melalui bidang yang dicintainya ini. Mari kita namakan jurufoto ini dengan nama Sulaiman. Hidup Sulaiman kelihatan indah dan menjadi idaman ramai orang. Sulaiman tidak perlu menempuh kesesakan lalu lintas untuk pergi ke pejabat setiap hari; sebaliknya, Sulaiman selalu melakukan tugasan di tempat-tempat eksotik yang hanya mampu dimimpikan oleh kebanyakan orang lain. Tugasan sebagai jurufoto hidupan liar juga memberi peluang kepada Sulaiman untuk menyaksikan sendiri berbagai keajaiban hidupan liar di habitat mereka, dimana perkara ini hanya dapat disaksikan oleh orang lain melalui kaca televisyen atau menerusi gambar semata-mata. Sulaiman juga mempunyai kamera, lensa dan peralatan fotografi yang hebat-hebat belaka; sesuai dengan dirinya sebagai seorang jurufoto bertaraf profesional. Karya foto Sulaiman juga seringkali terpampang di dalam majalah, di dalam buku dan kerap juga dipamerkan di pameran-pameran fotografi yang berprestij. Dengan semua ini, Sulaiman juga memperolehi pendapatan yang lumayan dari kerjayanya (sekurang-kurangnya inilah apa yang disangkakan) Apa yang lebih menarik ialah, Sulaiman menjalani hidupnya dengan melakukan kerja yang amat diminatinya dan dibayar untuk melakukannya!

Gaya hidup dan kerjaya seperti Sulaiman memang menjadi idaman ramai orang, terutamanya bagi jurufoto yang meminati fotografi hidupan liar. Tetapi, disebalik semua keindahan kerjaya yang kelihatan ideal ini, tidak ramai yang tahu realitinya. Memang telah menjadi lumrah; kita sering diceritakan mengenai perkara yang baik dan positif sahaja. Tujuannya adalah baik – agar kita mendapat inspirasi dan motivasi untuk turut berjaya seperti Sulaiman. Tetapi, tanpa mengetahui realiti di sebalik kehidupan Sulaiman, peminat fotografi yang baru berjinak-jinak di dalam bidang ini akan tenggelam dalam mimpi.

Apa yang digambarkan mengenai gaya hidup Sulaiman mungkin benar atau mungkin hanya separuh benar. Apakah agaknya kenyataan yang mungkin tidak benar itu? Benarkah Sulaiman memperolehi pendapatan lumayan hasil dari menjadi jurufoto hidupan liar? Mungkin ianya benar. Tetapi, siapa tahu, mungkin juga sebenarnya Sulaiman mempunyai sumber pendapatan lain seperti pendapatan dari belian saham atau seumpamanya. Atau mungkin juga Sulaiman sebenarnya adalah anak kepada seorang tauke balak yang kaya raya! Sulaiman tentu tidak akan mendedahkan kepada kita bahawa beliau sebenarnya dibiayai oleh bapanya. Bagaimana pula dengan kamera mahal dan lensa-lensa besar yang dimiliki oleh Sulaiman? Mungkin beliau sememangnya memiliki peralatan tersebut hasil dari kerja fotografinya. Tetapi, mungkin juga sebenarnya peralatan tersebut adalah peralatan terpakai yang dibeli dengan harga murah. Atau mungkin juga peralatan tersebut dipinjam dari seorang rakan baiknya. Tidak kiralah apa pun, samada Sulaiman anak tauke balak atau Sulaiman meminjam kamera orang lain, Sulaiman tidak bersalah. Apa yang salah ialah orang lain yang berangan ingin menjadi seperti Sulaiman, tetapi tidak tahu realiti sebenarnya.

Gambar seperti ini mungkin mempunyai nilai seni, tetapi tidak nilai komersial. Apa pun, gambar seperti ini dirakam bukan untuk wang, tetapi untuk kepuasan peribadi. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Seterusnya, mari kita buat andaian lain yang lebih positif pula. Katakanlah Sulaiman memang memperolehi pendapatan lumayan dari bidang fotografi hidupan liar. Beliau adalah seorang yang berjaya dalam bidang fotografi dan beliau juga adalah seorang yang berjaya dari aspek kewangan. Beliau berasal dari keluarga miskin dan beliau banyak berdikari sehingga berjaya. Senario ini nampak lebih hebat dan Sulaiman memang patut dijadikan idola. Lalu, ramailah yang bercita-cita untuk menjadi seperti Sulaiman – seorang jurufoto hidupan liar yang hidupnya penuh dengan pengembaraan sambil memperolehi pendapatan lumayan. Tetapi, nanti dulu!

Kehidupan Sulaiman sekarang memang nampak hebat. Tetapi, tahukah kita betapa sukarnya jalan yang telah ditempuh oleh Sulaiman untuk sampai ke tahap ini? Adakah kita cukup tabah dan benar-benar mempunyai keghairahan seperti Sulaiman untuk terus kuat menghadapi berbagai dugaan dalam bidang ini? Tanpa minat yang mendalam, cabaran yang datang akan menjadi beban yang tidak akan terpikul. Hanya minat dan kesungguhan yang akan meringankan cabaran yang mendatang.

Ketika ini Sulaiman hidup senang. Sambil goyang kaki pun, wangnya terus masuk melalui royalti dari jualan buku-buku hidupan liar yang pernah diterbitkannya. Tetapi, pernahkah kita terfikir atau tertanya, berapa lamakah Sulaiman pernah hidup susah di awal pembabitannya di dalam bidang ini? Suatu waktu dahulu, mungkin Sulaiman pernah ditipu oleh penerbit buku, pernah berhutang keliling pinggang, pernah tinggal di rumah yang sempit dan sebagainya. Sanggupkah kita melalui kesusahan yang sama?

Sulaiman yang hebat ini telah menjejakkan kaki ke hampir seluruh pelusuk dunia bagi merakam gambar haiwan-haiwan di habitat mereka. Sulaiman telah menjelajah ke segenap hutan rimba, gunung-ganang, gurun dan lautan. Ini bukan percutian, tetapi tugasan. Beliau telah banyak berkorban dan mengambil risiko. Berkorban masa berjauhan dengan orang yang tersayang dalam tempoh masa yang lama dan mengambil risiko tinggi berhadapan dengan bahaya dan penyakit di tempat yang asing lagi terpencil. Apa pula yang sanggup kita korbankan dan pertaruhkan?

Sulaiman yang terkenal ini dilihat sebagai seorang yang sentiasa menempuh pengalaman menarik dalam kerjayanya. Ramai orang yang ingin merasai pengalaman seperti beliau. Tentu sekali Sulaiman juga gembira kerana berpeluang merasai pengalaman unik yang tidak diperolehi oleh orang lain. Tetapi, sebagai seorang jurufoto profesional, Sulaiman memikul tanggungjawab yang besar dan bekerja dengan berbagai tekanan. Tidak seperti peminat fotografi yang merakam gambar burung di hujung minggu untuk kegiatan hobi mereka.

Demikianlah realiti hidup Sulaiman – seorang jurufoto hidupan liar. Jika anda ingin menjadi seperti Sulaiman, bersedialah dan berusahalah. Jika anda tidak sanggup menghadapi cabaran dan tidak sanggup berkorban, inilah masanya untuk memikirkan semula impian anda. Sesungguhnya, kerjaya ini bukan untuk semua orang. Tentu ada bidang fotografi lain yang lebih sesuai untuk anda. Logiknya, tidak ada satu pun perkara atau kerjaya yang baik belaka. Setiap keindahan dan kesenangan, perlu dibayar dengan kesukaran dan pengorbanan. Ingin ditegaskan sekali lagi, kenyataan yang mengatakan ‘dibayar untuk melakukan kerja yang kita minati’ tidaklah seindah khabar dari rupa. Seperti ungkapan Inggeris – it’s too good to be true. Jika ia sebagus itu, tentu ada sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya yang kita tidak tahu. Jika ianya begitu bagus, mengapa tidak semua orang memilikinya? Jika semua orang ingin mendapatkannya, tentulah akan wujud persaingan yang amat hebat, lalu seseorang itu perlu berusaha gigih untuk berjaya.

Kisah Sulaiman sebagai seorang jurufoto hidupan liar adalah simbolik kepada apa jua bidang fotografi yang kita minati yang ingin kita jadikan kerjaya atau sumber pendapatan. Mungkin ianya bukan fotografi hidupan liar, tetapi bidang lain dalam fotografi yang kita minati seperti fotografi pemandangan, fotografi fesyen, fotografi kewartawanan, fotografi seni halus dan sebagainya. Untuk menjadikan bidang-bidang ini sebagai hobi tidak ada masalah. Tetapi jika anda ingin menjadikannya sebagai punca pendapatan utama, ianya perlu difikirkan masak-masak. Walau bagaimana pun, tidak ada perkara yang mustahil yang tidak dapat kita capai asalkan kita sanggup bekerja keras. Buatlah keputusan mengikut kebolehan dan kesanggupan diri kita sendiri.

Kesimpulan dari kisah Sulaiman ialah, hobi anda dalam fotografi hidupan liar misalnya mungkin hanya patut kekal sebagai hobi kerana tidak semestinya sesuatu hobi itu sesuai dijadikan sumber pendapatan utama. Hobi dan kerjaya adalah sesuatu yang amat berbeza dan hakikatnya ia tidak boleh jalan selari. Hobi dibuat untuk kepuasan diri sendiri semata-mata tanpa ada sebarang tekanan dari sesiapa. Sementara itu, kerjaya adalah sesuatu kerja yang dibuat untuk memenuhi permintaan pasaran atau pelanggan sehingga membolehkan kita menerima bayaran. Di dalam kerjaya atau perniagaan, wujud tekanan masa, tekanan kos dan tekanan dari pihak atasan. Kerjaya perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab, bukan sekadar suka-suka untuk memenuhi masa lapang seperti kita melakukan hobi.

Walaupun begitu, anda masih boleh menjana pendapatan dari bidang fotografi. Mungkin anda minat merakam gambar pemandangan (atau apa-apa subjek sekalipun) Tetapi, tidak semestinya anda perlu merakam gambar pemandangan untuk menjana pendapatan sekiranya subjek ini tidak menjanjikan pendapatan yang berbaloi untuk anda (mungkin ada jurufoto lain yang berjaya menjana pendapatan dari melakukan fotografi pemandangan, tetapi, mungkin ia tidak sesuai untuk anda) Kekalkan minat anda merakam gambar pemandangan sebagai hobi sahaja. Sebaliknya, untuk menjana pendapatan, cari bidang fotografi lain yang lebih menguntungkan dan lebih sesuai dengan diri anda.

Kita mungkin akan rasa teruja apabila mengetahui ada seorang jurufoto telah berjaya menjual sekeping gambar pemandangan yang dirakamnya dengan harga RM5,000! Lalu, kita pun lekas-lekas ingin menjadi seperti beliau. Tetapi, satu perkara yang kita terlepas pandang ialah, beliau telah bergiat dalam bidang ini selama lebih dari 5 tahun secara serius dan ini adalah kali pertama gambarnya berjaya dijual semahal itu. Jadi, sebenarnya, nilai RM5,000 itu adalah sangat-sangat kecil jika dibandingkan dengan pelaburan masa dan pelaburan wang yang telah beliau lakukan. Ya, sekurang-kurangnya dia tetap mendapat wang sebagai pendapatan sampingan. Tetapi, angka itu tidak cukup baik, lebih-lebih lagi jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan utama.

Dari aspek perniagaan, untuk menjana pendapatan, kita tidak semestinya buat apa yang kita minat semata-mata, tetapi kita harus minat buat apa saja yang boleh memberikan keuntungan asalkan ianya tidak menyalahi undang-undang. Jika kebetulan bidang perniagaan itu adalah satu bidang yang kita minati, maka ianya adalah satu bonus besar untuk kita. Namun, kita bebas melakukan apa saja yang kita suka untuk mendapat kepuasan, tetapi belum tentu kita akan berjaya menjana pendapatan yang lumayan.

Saya seringkali ditanya oleh peminat fotografi baru – bagaimanakah cara mudah untuk menjana pendapatan dari fotografi? Jawapan saya – buat duit dari fotografi bukan suatu perkara mudah. Ianya adalah satu perkara yang berbeza dari fotografi itu sendiri. Buat duit dari fotografi adalah bukan mengenai fotografi lagi. Ianya adalah mengenai keusahawanan. Disamping mesti mempunyai ilmu dan kemahiran dalam fotografi, kita juga perlu ada ilmu dan kemahiran dalam bidang perniagaan jika kita ingin benar-benar berjaya menjana wang dari fotografi.

Ilmu dalam perniagaan itu sendiri adalah amat luas sekali. Ianya mencakupi penjenamaan, pemasaran, jualan, strategi harga, kualiti produk, kawalan kos material, kecekapan kerja, pengurusan kewangan, akaun, pentadbiran, pengurusan tenaga kerja dan sebagainya. Tetapi, semua ini boleh dipelajari. Pengalaman akan mendewasakan kita. Usahanya mungkin perlu lebih, tetapi hasilnya amat berbaloi.

Jadi, anda perlu pastikan dan pilih keutamaan anda. Adakah anda ingin melakukan sesuatu untuk kepuasan atau adakah anda ingin menjana pendapatan? Anda mungkin boleh dapat kedua-duanya sekali, tetapi ianya adalah amat sukar. Apabila keutamaan anda adalah untuk menjana pendapatan, lupakan dulu mengenai kepuasan berkarya. Apabila anda telah buat keputusan untuk menjana pendapatan, perkara pertama yang perlu disoal ialah – bidang fotografi apakah yang paling besar potensinya untuk mendapat keuntungan? Dalam beberapa bidang yang telah dikenal pasti, pilihlah bidang yang paling sesuai dengan diri anda. Lakukannya dengan bersungguh-sungguh atas sebab keusahawanan, bukan atas sebab kepuasan berkarya semata-mata.

Bidang fotografi yang paling popular dan dianggap ‘mudah’ untuk menjana pendapatan ialah fotografi perkahwinan. Ianya amat popular terutama sekali di kalangan peminat fotografi yang baru menceburkan diri dalam bidang ini. Sememangnya permintaan untuk khidmat fotografi perkahwinan adalah tinggi. Namun begitu, persaingan juga adalah sengit sekali. Fotografi perkahwinan diminati oleh jurufoto yang ingin mencari duit lebih kerana bidang ini hanya memerlukan peralatan minima, kemahiran minima dan modal yang minima. Persaingan adalah sengit dalam sektor bajet rendah untuk fotografi perkahwinan disebabkan kelayakan minima yang diperlukan untuk berniaga dalam bidang ini. Namun, untuk pakej fotografi bagi pelanggan yang berbajet besar, persaingannya tidaklah begitu sengit kerana pada sektor ini, seseorang jurufoto itu perlu betul-betul cemerlang dalam penghasilan karyanya, cemerlang dalam pemasaran dan sebagainya. Apa pun, memang telah terbukti, telah ada ramai jurufoto yang telah berjaya menjana pendapatan lumayan dari bidang fotografi perkahwinan. Mereka ini tidak menganggap fotografi perkahwinan sebagai hobi mereka. Ia adalah kerjaya yang dilakukan dengan komitmen yang tinggi. Bidang ini bukanlah bidang glamour atau berstatus tinggi (selalunya) jika dibandingkan dengan bidang fotografi lain; tetapi, ianya memberikan pulangan yang baik dari segi kewangan.

Walaupun fotografi perkahwinan nampak mudah, ia sebenarnya memerlukan kerja keras beserta pengetahuan dan kemahiran yang tinggi baik dalam bidang fotografi mahupun dalam bidang strategi perniagaan jika seseorang itu ingin menjana pendapatan yang lumayan dari bidang ini. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Selain dari fotografi perkahwinan, bidang fotografi lain yang popular sebagai penjana pendapatan ialah perkhidmatan fotografi majlis rasmi, fotografi komersial, fotografi potret, fotografi produk, fotografi fesyen, fotografi dokumentari, fotografi microstock dan sebagainya. Ada diantara bidang yang dinyatakan ini nampak lebih hebat dan lebih glamour berbanding bidang lain. Lalu wujudlah jurufoto yang cuba untuk menguasai bidang tersebut. Disebabkan bidang itu adalah bidang yang diminatinya dan ia memberi kepuasan kepada jurufoto tersebut, maka adakalanya dia sanggup menerima tugasan dengan bayaran rendah; malah ada yang sanggup melakukannya secara percuma! Dia tidak kisah walau tidak dapat duit asalkan dia mendapat kepuasan. Lalu, ini akan memberi kesan buruk terhadap nilai pasaran bagi perkhidmatan tersebut. Ada dua perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Pertama, kita perlu bersaing secara sihat dari segi kualiti perkhidmatan atau produk, bukannya bersaing dengan melancarkan perang harga. Penyelesaian kedua ialah, cuba elakkan bidang fotografi yang ramai jurufoto minat melakukannya kerana kepuasan peribadi semata-mata. Bidang seperti ini selalu mempunyai masalah perang harga. Kecuali jika anda berjaya membezakan diri anda dari pesaing-pesaing lain dari segi kualiti atau jika anda ‘bermain’ di sektor tertentu yang tidak sensitif kepada faktor harga.

Perang harga dan pembunuh pasaran memang menjadi salah satu masalah dalam bidang perniagaan fotografi kerana fotografi adalah merupakan hobi kebanyakan orang. Lalu, penghobi ini rela merakam gambar secara percuma, sedangkan ada jurufoto lain yang cuba mencari rezeki dari bidang ini secara sepenuh masa.

Tidak seperti kerjaya profesional yang lain seperti peguam, arkitek atau doktor perubatan; untuk bergelar peguam, arkitek atau doktor perubatan, seseorang itu perlu melepasi syarat-syarat kelayakan yang ketat. Dalam bidang-bidang ini juga tidak ada masalah besar dari segi perang harga kerana tidak ada orang yang melakukan kerjaya peguam, arkitek atau doktor sebagai hobi dan kepuasan semata-mata.

Tidak ada gunanya kita menyalahkan penggiat hobi. Mereka mempunyai objektif yang berbeza dari jurufoto profesional atau usahawan fotografi. Apa yang lebih penting ialah, usahawan fotografi sendiri perlulah bijak menangani masalah ini dan perlu bijak mencari peluang-peluang baru untuk berjaya.

Kita dapat lihat sekarang ini, begitu ramai orang yang meminati bidang fotografi berikutan perkembangan pesat dalam teknologi kamera digital. Oleh kerana semakin ramainya peminat fotografi, maka makin ramai juga jurufoto yang cuba menjana pendapatan dari bidang ini. Oleh itu, persaingan adalah begitu sengit sekali. Lebih parah lagi apabila ada jurufoto yang bersaing secara tidak sihat dengan menawarkan harga yang sangat rendah. Lebih memburukkan keadaan apabila keadaan ekonomi dunia tidak begitu memberangsangkan buat ketika ini.

Kewujudan ramai peminat fotografi sekarang ini adalah petanda positif bahawa industri fotografi adalah satu industri yang mempunyai potensi besar dari sudut ekonomi. Walaupun wujud persaingan, ia adalah perkara normal apabila sesuatu industri itu sedang berkembang maju. Persaingan sihat diperlukan, individu yang terbaik pasti akan berjaya. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Kemunculan ramai jurufoto sambilan yang cari makan dalam industri fotografi ini memang agak memeningkan kepala bagi sesetengah jurufoto yang menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan utama mereka. Tetapi, jika dilihat dalam sudut yang positif, fenomena ini mempunyai kebaikan dan kesan yang baik dari sudut lain. Kebaikan pertama ialah; dengan persaingan sihat yang wujud, setiap jurufoto akan berusaha dengan lebih gigih bagi menghasilkan karya dan perkhidmatan yang terbaik. Dengan itu, bidang fotografi akan maju ke tahap yang lebih tinggi dalam tempoh masa yang lebih cepat. Kebaikan kedua ialah, pelanggan akan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan harga yang lebih kompetitif (asalkan bukan harga rendah yang tidak munasabah). Harga kompetitif bukan bermakna kerugian bagi pihak jurufoto, tetapi ianya merupakan satu kebaikan dimana jurufoto akan menjadi lebih bijak menangani isu kos dan kecekapan kerja agar harga berpatutan dapat ditawarkan disamping memperolehi keuntungan yang optima.

Dalam konteks yang lebih luas, lambakan jurufoto sekarang ini adalah petunjuk positif bahawa industri fotografi adalah satu industri yang besar, mempunyai permintaan yang tinggi dan sentiasa berkembang maju. Ini bermakna, ada banyak peluang perniagaan yang belum diterokai sepenuhnya dalam industri ini. Cuma, kita jangan sempitkan peluang perniagaan itu hanya dengan cara merakam gambar semata-mata. Bila kita melihat fotografi sebagai satu industri besar, kita harus faham bahawa, fotografi bukan sekadar mengenai jurufoto sahaja.

Apabila ramai orang meminati fotografi, ianya memberi kesan kepada keseluruhan industri. Untuk mengembangkan bidang fotografi, semua bidang lain yang berkaitan dengan fotografi perlu turut berkembang maju. Dengan erti kata lain, semua bidang yang berkaitan dengan fotografi juga akan turut menawarkan peluang perniagaan yang luas. Maksudnya, apabila wujudnya ramai jurufoto, maka akan wujud juga permintaan yang tinggi terhadap jualan kamera, jualan aksesori fotografi, pembelajaran fotografi, majalah fotografi, buku fotografi, kedai mencetak foto, perkhidmatan photo retouching, kedai membuat album, kedai bingkai gambar, khidmat sewaan studio dan sebagainya. Kita boleh merebut peluang ini dengan menawarkan perkhidmatan atau menjalankan perniagaan dalam mana-mana sektor yang berkaitan fotografi.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat permintaan yang tinggi terhadap jualan kamera dan peralatan fotografi. Kita dapat lihat ada banyak kedai-kedai menjual kamera muncul di mana-mana sahaja. Malah, kedai kamera secara online juga turut muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Walaupun terdapat berpuluh kedai kamera di Malaysia, adakalanya masih ada juga barang yang dicari tidak ada dijual di kedai mereka. Ini menunjukkan bahawa masih ada ruang dan peluang terutamanya dalam bidang pengkhususan (niche) untuk sektor ini. Bidang ini adalah dalam kategori peruncitan (retailing) Mungkin anda tidak meminati bidang peruncitan, tetapi, sekurang-kurangnya ia masih berkisar mengenai fotografi. Dengan minat dan pengetahuan anda dalam fotografi, ia akan menjadi satu nilai tambah bagi perniagaan menjual kamera dan peralatan fotografi.

Program seminar atau bengkel fotografi seperti ini mendapat permintaan yang baik di kalangan peminat fotografi yang dahagakan ilmu dalam bidang ini. Tetapi, apa yang penting, setiap program yang dianjurkan mestilah berkualiti dan dijalankan dengan penuh tanggungjawab, bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata. (foto oleh Hatta/Avicenna Studio)

Sementara itu, sektor pembelajaran fotografi juga turut sama berkembang pesat selari dengan bertambahnya peminat fotografi di negara ini. Kita boleh lihat sekarang, berbagai institusi pengajian tinggi telah menawarkan pengajian berkaitan bidang fotografi untuk peringkat sijil, diploma mahupun ijazah sarjana muda, samada secara separuh masa atau sepenuh masa. Antara institusi pengajian tinggi yang dimaksudkan ialah UiTM, UNISEL, UNIMAS, UTMSPACE, UIA , Open University Malaysia, Limkokwing, KDU, SEGi dan beberapa lagi. Selain dari insititusi pengajian tinggi, ada lebih banyak lagi syarikat atau individu yang menganjurkan kursus dan lain-lain bentuk pembelajaran fotografi di seluruh Malaysia. Sektor ini amat memerlukan pensyarah dan jurulatih yang berkemahiran. Siapa lagi yang lebih layak jika bukan dari kalangan peminat fotografi yang berilmu dan berkemahiran?

Oleh kerana wujudnya permintaan yang tinggi terhadap informasi dan ilmu fotografi, sektor penerbitan bahan fotografi juga telah berkembang maju. Kita boleh lihat kini, dalam masa yang singkat telah muncul beberapa majalah fotografi baru bagi menyokong perkongisan maklumat dalam bidang ini. Begitu juga dengan buku fotografi – semakin banyak buku dengan berbagai tajuk pengkhususan fotografi telah diterbitkan untuk peminat-peminat fotografi. Apa yang lebih menarik lagi, kini buku-buku fotografi dan majalah fotografi telah mula ditulis dalam Bahasa Malaysia dan diterbitkan oleh syarikat di Malaysia! Ini menunjukkan wujudnya permintaan yang baik dalam sektor ini berikutan perkembangan dalam industri fotografi itu sendiri. Sektor ini amat memerlukan penulis yang bukan sahaja berkemahiran menulis, tetapi perlu juga mempunyai pengetahuan dalam bidang fotografi. Jadi, selain menjadi jurufoto, peminat fotografi kini juga boleh mempertimbangkan untuk menulis artikel atau menulis buku untuk berkongsi ilmu pengetahuan disamping menjana pendapatan.

Kini ada berbagai buku bertemakan fotografi telah mula ditulis dalam Bahasa Malaysia bagi menampung permintaan peminat fotografi di negara ini. Semakin banyak buku baru dijangka akan diterbitkan dalam masa yang terdekat ini. Sektor ini juga turut menawarkan peluang bagi peminat fotografi bagi memperolehi pendapatan hasil dari menulis buku. (foto oleh PTS NetMedia)

Sebenarnya ada banyak lagi bidang berkaitan fotografi yang menawarkan peluang kerja atau peluang perniagaan bagi sesiapa sahaja yang bijak mencari, mengesan dan merebut peluang tersebut. Syaratnya – jangan hanya melihat fotografi dalam skop yang kecil. Fikir secara kreatif, fikir mengenai pengkhususan dan jadi pakar dalam bidang tersebut agar kita dapat bersaing atau lebih baik lagi jika kita dapat menjadikan persaingan adalah tidak relevan.

Artikel ini saya tulis berdasarkan pengalaman saya selama lebih dari 10 tahun sebagai usahawan dalam bidang fotografi. Sumber pendapatan utama saya sekarang adalah melalui 2 perniagaan ini – iaitu Adan Cameraworks (khidmat fotografi dan videografi) dan FOTOTEACHER.COM (pusat latihan fotografi) Sebuah lagi perniagaan yang baru diwujudkan oleh kami ialah perniagaan menjual aksesori fotografi dengan pengkhususan dalam kelengkapan fotografi analog.

Apa yang saya tulis di dalam artikel ini adalah pendapat dan pandangan saya berdasarkan pengalaman saya sendiri. Terimalah apa yang anda rasakan baik untuk anda.

Hakcipta Terpelihara – Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM 2012

Beli 3 Buku dan Dapatkan 1 Buku Percuma!

PROMOSI BUKU OLEH FOTOTEACHER.COM
BELI 3 BUKU DENGAN HARGA RM43.00 DAN DAPATKAN 1 BUKU PERCUMA!
Tawaran sah sehingga 7 Ogos 2012 atau sementara stok masih ada.
Untuk membuat pembelian, SILA KLIK DI SINI

Maklumat lanjut mengenai buku-buku yang dimaksudkan ialah:

TAJUK BUKU: DSLR ITU MUDAH – KUASAI FUNGSI DAN KAWALAN
JUMLAH MUKASURAT: 100 MUKASURAT
HARGA: RM12.90

HURAIAN DAN KANDUNGAN BUKU:

“Sekeping gambar mampu memberikan sejuta makna…”

Itulah ungkapan tepat yang dapat dikaitkan dengan foto. Kini, bidang fotografi semakin diminati tanpa mengira tahap usia.  Lantas, kemahiran mengendalikan kamera adalah elemen penting dalam menghasilkan mutu gambar yang bermakna dan hebat.

Justeru, buku ini menampilkan panduan dan tip-tip yang mudah difahami dan diikuti pembaca. Langkah demi langkah diberikan dan disertakan halaman tutorial supaya pembaca dapat mempelajarinya dengan berkesan. Saiz yang kecil direka khas untuk dibawa bersama dalam beg kamera ataupun poket seluar.

“Kebanyakan orang mempunyai kenangan indah, tetapi tidak semua orang merakamnya…”

Buku ini disusun berkonsepkan “knowledge sharing” dan “read less, learn more”. Ia sesuai untuk pelbagai peringkat kemahiran. Pasti anda tidak rugi memilikinya!

Kandungan Buku :-

Penghargaan
Fotografi
Pendahuluan
BAHAGIAN 1
BAB 1: Perbezaan Antara Digital dan Filem
BAB 2: Memahami Fotografi Digital
BAB 3: Mengapa Kamera DSLR?
BAB 4: Perkara yang Diperlukan bagi Memulakan Sesi Fotografi
BAHAGIAN 2
BAB 5: Memfokus Subjek
BAB 6: Apakah Itu ISO?
BAB 7: Apertur, Depth of Field dan Focal Length
BAB 8: Kepantasan Shutter (Shutter Speed)
BAB 9: Mode Manual 65BAB 10: Mode Aperture-Priority
BAB 11: Mode Shutter-Priority
BAB 12: Dedahan atau Exposure
BAB 13: Segitiga Exposure

* PERCUMA!! – Kad Metering
*Buku bercetak  dengan halaman berwarna (bukan e-book)

TAJUK BUKU: FOKUS DAN KLIK
JUMLAH MUKASURAT: 84 MUKASURAT
HARGA: RM15.00

HURAIAN BUKU

Fotografi adalah kaedah bagi mengabadikan detik-detik penting. Cepat ataupun lambat detik rakaman, menjadi persoalan utama dalam bidang ini. Di sinilah pentingnya menggunakan kamera DSLR, dengan pelbagai fungsi hebat berbanding kamera kompak.

Walaupun kamera DSLR suatu masa dahulu hanya dimiliki oleh jurugambar profesional, namun kini DSLR mula menjadi aksesori pilihan. Gambar yang dihasilkan pula setanding foto jurugambar professional. Oleh itu, pastikan anda memaksimumkan kemampuan kamera DSLR anda. Pelajari bagaimana kamera DSLR berfungsi, serta hasilkan gambar yang hebat dengannya. Jangan takut mencuba dan terus berlatih supaya gambar yang dihasilkan impresif dan menarik. Buku Fokus & Klik! ini dapat membantu anda. Milikinya segera!

*Buku bercetak dengan halaman berwarna (bukan e-book)

TAJUK BUKU: FOTO HEBAT DENGAN KAMERA KOMPAK
JUMLAH MUKASURAT: 83 MUKASURAT
HARGA: RM15.00

HURAIAN DAN KANDUNGAN BUKU

Merakam foto bukannya mudah seperti yang disangka. Kadang kala, hasil foto yang dirakam tidak sempurna dan kurang menarik. Oleh itu, sebagai pengguna kamera kompak yang setia, kita perlu menguasai teknik-teknik penggunaan kamera kompak supaya hasil foto yang dirakam tampil jelas, menarik dan hebat.

Teknik asas mempelajari penggunaan kamera kompak adalah mudah. Begitu jua dengan merakam foto menggunakan kamera handfon. Sesudah menguasai teknik penting ini, kita dapat mengaplikasikannya bagi merakam pelbagai suasana menarik sama ada ketika beriadah, menghadiri majli-majlis dan sebagainya.

Bagi yang mempunyai kamera kompak, pastikan bateri adalah penuh, memori kad dikosongkan serta peralatan tambahan lain tersedia sebelum memulakan proses merakam. Seterusnya, praktikkan tip-tip dan trik yang dipelajari dari buku ini semasa merakam foto. Bagi meningkatkan lagi kualiti, foto itu boleh disunting menggunakan perisian pengeditan foto digital melalui komputer peribadi. Akhirnya, hasil foto menjadi menarik sebagaimana hasil fotografi profesional!

Kandungan buku :-

Prakata vii
Bab 1: Pengenalan 1
Meneroka Kamera Kompak 2
Memilih Kamera yang Sesuai 7
Fungsi Kamera Kompak 12
Aksesori Kamera Kompak 16

Bab 2: Memahami Teknik Fotografi 19
Mengendali Kamera Kompak 20
Merakam Foto Melalui LCD 22
Fokus, Kemudian Rakam 25
Zoom Optikal vs Zoom Digital 28
Memilih Mode Rakaman 29
Mode Semi-Automatik 34
Mode Manual 35
Memahami Apertur 36
Menguasai Shutter Speed 39
Mengetahui Sensitiviti ISO 42
Menguruskan Exposure 44
Memanfaatkan Lampu Flash 48
Fungsi White Balance 51

Bab 3 : Foto Hebat dengan Kamera Kompak 55
Foto Berkualiti dengan Langkah Mudah 56
Memeriksa Histogram 59
Trik Pantas Foto Menarik 60
Merakam Objek Bergerak 65
Kreatif dengan Kamera Handfon 68

Bab 4 : Mengedit Foto 71
Meningkatkan Kualiti Foto 72
Mengedit Exposure dan Warna 73
Meminimumkan Noise 78
Mendapatkan Foto yang Jelas 80
Memilih White Balance 82

*Buku bercetak dengan halaman berwarna (bukan e-book)

TAJUK BUKU: FOTO HEBAT DENGAN HDR
JUMLAH MUKASURAT: 81 MUKASURAT
HARGA: RM15.00

HURAIAN DAN KANDUNGAN BUKU

Kini, sesiapa saja dapat menghasilkan foto yang hebat dengan teknik HDR. Melalui teknik pengubahsuaian mengambil gambar dan menggunakan aplikasi mengedit secara digital, foto biasa berubah menjadi luar biasa.

Dengan teknik ini, kelemahan kamera digital yang sukar merakam imej berkontras tinggi dapat diatasi. Setiap perincian pada objek dapat dirakam dengan baik. Tidak wujud foto HDR yang menampakkan bahagian yang terlalu gelap ataupun bahagian cerah yang keterlaluan. HDR sangat sesuai diaplikasikan pada foto landskap, terutamanya apabila terdapat perbezaan terang-gelap yang begitu ketara. Teknik ini juga sesuai digunakan dalam segmen fotografi lain seperti senibina dan potret. Apa yang penting, adalah imaginasi anda. Selamat berimaginasi!

*Buku bercetak dengan halaman berwarna (bukan e-book)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA KLIK DI SINI

Blog Arkib – Jurufoto Bukan Jurugambar

BLOG ARKIB – Jurufoto Bukan Jurugambar
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Jurufoto BUKAN Jurugambar”– 12 September 2009)

Teringat, ketika saya menulis surat rasmi kepada Y.M. Profesor Dato’ Raja Zahabuddin, Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Industri UNISEL, beliau telah menegur saya kerana saya telah menggunakan perkataan jurugambar untuk menterjemahkan perkataan photographer. Kata Dato’ Raja, perkataan Bahasa Melayu yang tepat untuk photographer ialah jurufoto, bukannya jurugambar.

Kata beliau, perkataan jurugambar tidak menerangkan dengan tepat bahawa seseorang itu adalah mahir dalam fotografi dan berkarya dengan menghasilkan gambar foto. Sebaliknya, jurugambar bermaksud seseorang yang mahir menghasilkan gambar. Ia tidak menerangkan dengan spesifik media yang digunakan untuk menghasilkan gambar, samada gambar foto, gambar video, gambar lukisan dan sebagainya.

Setelah mendengar nasihat dari Dato’ Raja itu, saya terfikir, betapa perkataan jurugambar yang selalu kita guna dan dianggap remeh ini rupanya memberikan perbezaan yang ketara dalam maknanya. Saya juga berasa kagum dengan ketelitian ‘orang lama’ lagi berilmu seperti Dato’ Raja dalam hal ini. (Untuk pengetahuan anda, Dato’ Raja adalah diantara orang terpenting dalam penubuhan Kursus Diploma Fotografi ITM )

Saya sendiri memang sudah terbiasa dan selesa menggunakan perkataan jurugambar. Namun, kini kita telah tahu, perkataan paling tepat untuk makna photographer ialah jurufoto. Jadi, gunakanlah perkataan jurufoto dalam penulisan rasmi untuk maksud yang paling tepat.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

APERTURE

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, aperture di dalam Bahasa Melayu dieja sebagai apertur. Namun, adakalanya, aperture disebut juga sebagai ‘bukaan’ di dalam Bahasa Melayu.

Aperture adalah satu bahagian yang terletak di dalam lensa yang berfungsi untuk mengawal jumlah cahaya yang masuk ke dalam kamera. Aperture ialah satu mekanisma yang boleh dilaras saiz bukaannya dari saiz bukaan yang paling kecil hinggalah ke saiz bukaan yang paling besar.

Rupa sebenar aperture yang terdapat di dalam lensa. Gambar di atas menunjukkan saiz bukaan aperture yang kecil
Perbezaan aperture besar dan aperture kecil

Aperture dengan saiz bukaan yang besar akan membolehkan banyak cahaya masuk ke dalam kamera. Ini bermaksud, gambar boleh menjadi lebih cerah. Jadi, ketika merakam gambar di tempat yang gelap, kita perlu menggunakan aperture yang lebih besar supaya gambar kita menjadi lebih cerah.

Sebaliknya, apabila merakam gambar di tempat yang cerah, kita sepatutnya menggunakan aperture yang lebih kecil agar kurang cahaya dapat masuk ke dalam kamera. Lalu, gambar yang akan dihasilkan tidak menjadi terlalu terang.

Selain dari saiz bukaan aperture yang ditunjukkan di atas, ada banyak lagi saiz bukaan aperture dari yang paling kecil hinggalah ke saiz bukaan yang paling besar. Setiap saiz bukaan aperture ini mempunyai nilai yang telah ditetapkan dan nilai ini digunapakai oleh semua jenis kamera tidak kira dari jenama apa sekalipun.

Nilai aperture  sepatutnya ditulis seperti ini – f/5.6 (salah satu contoh) Huruf F sepatutnya ditulis dalam huruf kecil dan dicondongkan (italic). Ini kerana, huruf F tersebut sebenarnya merupakan simbol untuk formula bagi mendapatkan nilai aperture. Tetapi, pada kamera, nilai aperture ini adakalanya ditulis sebagai 5.6 sahaja tanpa tulisan ‘f/’ di depannya. Atau, ada juga kamera yang menunjukkan nilai f/5.6 dengan menggunakan huruf F dalam abjad besar seperti F5.6 dan sebagainya. Walaupun ada perbezaan dari segi cara penulisannya, ianya tetap merujuk kepada perkara yang sama.

Untuk membolehkan anda melaraskan aperture secara manual, anda perlu laraskan Exposure Mode kepada Manual atau Aperture Priority. Aperture Priority pada kamera Nikon ditandakan dengan huruf A. Pada kamera Canon, Aperture Priority dinamakan sebagai Aperture Value dan ditandakan dengan huruf AV. Jika anda menggunakan tetapan automatik yang lain, anda tidak akan dapat mengawal aperture anda. Sila rujuk buku manual kamera anda bagi mengetahui dengan tepat cara untuk melaraskan aperture pada kamera anda.

Pada peringkat ini, anda mungkin akan berhadapan dengan masalah apabila cuba mempraktikkan kawalan aperture seperti yang diterangkan di dalam bab ini kerana, untuk mengawal aperture dengan betul, anda juga perlu faham mengenai perkara lain yang belum kita pelajari seperti shutter, ISO dan exposure meter. Anda disarankan untuk memahami secara teori sahaja dahulu mengenai aperture di dalam bab ini. Di dalam bahagian akhir nanti, setelah anda memahami keseluruhan kawalan pada kamera, barulah anda dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari dengan lebih mudah. Ini kerana, ada beberapa perkara penting pada kawalan kamera yang saling berkaitan diantara satu sama lain.

Gambar di atas menunjukkan nilai-nilai aperture yang berbeza – dari saiz bukaan aperture yang paling kecil hinggalah ke saiz bukaan aperture yang paling besar. Di dalam gambar di atas, kita dapat lihat bahawa, aperture dengan nilai f/2 memberikan saiz bukaan aperture yang paling besar manakala aperture dengan nilai f/22 memberikan saiz bukaan aperture yang paling kecil

Selain dari nilai-nilai aperture yang ditunjukkan di atas, terdapat banyak lagi nilai aperture yang lain. Di dalam rajah di atas, saiz aperture yang paling besar yang dinyatakan adalah f/2. Tetapi, sebenarnya ada lagi saiz aperture yang lebih besar, iaitu f/1.0 dan sebagainya. Begitu juga dengan aperture paling kecil yang ditunjukkan di dalam rajah di atas, iaitu f/22. Sebenarnya, ada lagi aperture lain yang lebih kecil dari f/22, iaitu seperti f/32 dan seterusnya. Nilai-nilai aperture yang tidak dinyatakan di dalam rajah di atas adalah nilai-nilai aperture yang jarang digunakan kerana ianya hanya terdapat pada lensa-lensa yang tertentu sahaja.

Gambar di atas menunjukkan perbezaan kecerahan (exposure) yang didapati dengan menggunakan aperture yang berlainan. Di dalam contoh diatas, didapati aperture f/5.6 memberikan hasil gambar dengan normal exposure. Tetapi, perlu diingat, aperture f/5.6 tidak semestinya menghasilkan normal exposure – ia bergantung kepada kekuatan cahaya sewaktu sesuatu gambar dirakam.

Untuk membaca lain-lain artikel mengenai asas teknikal fotografi, SILA KLIK DI SINI

FORMAT FAIL DIGITAL

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Setelah sensor menangkap imej, imej tersebut akan disimpan di dalam memory card. Tetapi sebelum itu, pengguna harus menetapkan dulu, dalam format apakah imej itu hendak disimpan. Imej boleh disimpan di dalam berbagai jenis format dan setiap format tersebut mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Ada 3 jenis pilihan format iaitu RAW, TIFF dan JPEG.

JPEG

JPEG adalah ringkasan kepada Joint Photographic Experts Group. Format JPEG adalah format yang paling universal kerana fail di dalam format ini boleh dibaca dan dipaparkan oleh hampir semua jenis image viewer. Ia juga merupakan format yang paling popular kerana saiz failnya tidak terlalu besar disamping kualiti gambar yang dihasilkan adalah cukup baik.

Sebelum sesuatu gambar itu disimpan dalam format JPEG, ianya akan dimampatkan menerusi satu proses yang dinamakan compression. Beberapa data pada gambar akan dibuang untuk menjadikan fail tersebut bersaiz lebih kecil. Pemampatan fail yang ‘mengorbankan’ data seperti yang dilakukan oleh format JPEG ini dinamakan lossy compression.

Data yang akan dibuang terlebih dahulu ialah data yang kurang penting dimana mata kita tidak akan dapat mengesan kehilangan data atau perincian pada gambar ini dengan ketara. Tetapi, semakin banyak compression dilakukan, data yang hilang akan menjadi lebih banyak dan kelihatan lebih ketara.

Kita boleh memilih, berapa banyakkah data pada gambar yang ingin dibuang menerusi proses pemampatan. Semakin tinggi pemampatan (high compression) dilakukan, kualiti gambar akan menjadi semakin rendah – tetapi saiz fail akan menjadi semakin kecil.

Perbezaan kualiti gambar dalam format JPEG dengan tahap pemampatan berbeza. Gambar dengan highest quality menggunakan lowest compression manakala gambar dengan lowest quality menggunakan highest compression

Disebabkan lossy compression ini, apabila merakam gambar dengan format JPEG, kita sebenarnya tidak menggunakan sepenuhnya kemampuan sensor kamera kita. Imej yang dihasilkan dari sensor pada asalnya adalah lebih baik, tetapi disebabkan ianya disimpan dalam format JPEG, kualitinya tidak lagi berada pada tahap maksima. Tetapi, format JPEG tetap menjadi pilihan popular kerana sebab-sebab yang telah disebutkan sebelum ini.

Selain dari membuang data melalui proses compression, rakaman dengan format JPEG juga sebenarnya melibatkan proses pengubahsuaian gambar yang dilakukan di dalam kamera sebelum gambar dirakam. Setiap gambar yang dirakam dalam format JPEG akan terlebih dahulu melalui proses seperti pembetulan white balance, contrast, saturation, sharpening dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menjadikan setiap gambar itu lebih cantik dan lebih ‘bersedia’ untuk diperlihatkan (tidak seperti format RAW yang memerlukan anda memproses setiap gambar sebelum ianya boleh diperlihatkan) Dengan kata lain, gambar yang dihasilkan oleh format JPEG adalah bukan gambar yang betul-betul asli – ianya adalah gambar yang telah pun dipercantikkan di dalam kamera.

Pada kamera kita, apabila kita ingin gambar dirakam sebagai format JPEG, kita turut perlu memilih tahap compression yang dikehendaki. Biasanya, pilihan yang diberi adalah JPEG basic (high compression, kualiti rendah, fail bersaiz kecil), JPEG Normal (medium compression, kualiti sederhana, fail bersaiz sederhana) dan JPEG Fine (low compression, kualiti baik, fail bersaiz besar) Jenama kamera yang berlainan mungkin akan menggunakan istilah yang sedikit berbeza.

Apabila merakam gambar dalam format JPEG; selain dari memilih tahapcompression, kita juga perlu memilih – sebesar manakah sesuatu gambar itu akan dirakam. Biasanya, pilihan yang diberi adalah Small, Medium dan Large. Saiz rakaman gambar ini diukur dalam unit pixel. Contohnya, rakaman dengan saiz Large adalah bersaiz 4288X2848 pixel (jumlah pixel ini bergantung kepada jenis kamera)

Rakaman dalam saiz Large akan menghasilkan fail yang bersaiz besar, tetapi gambarnya adalah berkualiti tinggi. Sekiranya anda ingin mencetak gambar anda dalam saiz besar atau memaparkan gambar anda di dalam komputer dalam saiz besar, anda perlu merakam gambar dalam saiz besar juga (Large Image Size). Jika anda merakam gambar dalam saiz kecil, gambar akan kelihatan ‘pecah’ apabila ianya dibesarkan.

Kesimpulannya, apabila merakam gambar dalam format JPEG, anda perlu pilih dan tetapkan 2 perkara – tahap JPEG compression dan saiz gambar. Untuk kualiti rakaman terbaik dalam format JPEG, anda perlu buat tetapan – JPEG Fine bersama Large Size.

TIFF

TIFF adalah ringkasan kepada Tagged Image File Format. Format TIFF mempunyai kualiti yang lebih baik berbanding JPEG, tetapi saiz failnya adalah lebih besar. Malah saiz failnya selalunya lebih besar dari saiz fail RAW.  Oleh kerana saiznya yang besar, ia menggunakan ruang simpanan data yang besar di dalam memory card anda dan boleh melambatkan sedikit proses penyimpanan data. Bukan semua jenis kamera menawarkan pilihan untuk rakaman dalam format TIFF kerana ianya jarang digunakan.

RAW

Format RAW memberikan kualiti terbaik diantara ketiga-tiga format ini. Namun, setiap imej RAW mestilah diproses terlebih dahulu menggunakan software khas sebelum ianya boleh menjadi gambar yang sempurna. Oleh itu, penggunaan format RAW akan memakan lebih banyak masa. Oleh kerana saiz failnya yang besar, format RAW memerlukan saiz simpanan data yang besar juga.

Jika anda tidak pasti samada ingin merakam gambar dengan format JPEG atau RAW, anda juga boleh memilih untuk merakam gambar ke dalam 2 format serentak (kamera akan merakam dalam format JPEG dan RAW serentak) Anda boleh buat keputusan kemudiannya, samada ingin menggunakan gambar yang dirakam dalam format JPEG atau format RAW. Tetapi, cara ini akan menggunakan lebih banyak ruang simpanan di dalammemory card.

Perbezaan aliran proses untuk rakaman fail JPEG, TIFF dan RAW yang berlaku di dalam kamera sebaik saja gambar dirakam. Kita dapat lihat, gambar akan mengalami banyak pengubahsuaian sebelum dirakam dalam format JPEG. Sebaliknya, gambar yang dirakam dalam format RAW tidak diubahsuai langsung di dalam kamera. Sebab itulah gambar dalam format RAW perlu diproses dan diubahsuai di dalam komputer kemudiannya. Format TIFF pula melalui proses yang sama seperti format JPEG, cuma ianya tidak dimampatkan (compressed) seperti format JPEG. Oleh itu, tidak ada data yang dibuang – kualiti gambar adalah lebih baik, tetapi saiz fail adalah lebih besar dari format JPEG

Untuk membaca lain-lain artikel mengenai asas teknikal fotografi, SILA KLIK DI SINI

APAKAH JENAMA KAMERA YANG TERBAIK?

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Please click here for English Translation)

Ini mungkin satu soalan yang paling kerap ditanya oleh peminat fotografi yang baru menceburi bidang ini – “Apakah jenama kamera yang terbaik?” Sebenarnya, tidak ada satu jawapan yang tepat untuk soalan ini –  semuanya bergantung kepada keperluan dan citarasa setiap individu. Namun, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu bagi membantu anda mendapatkan jawapan kepada persoalan ini.

Ada banyak jenama kamera di pasaran. Ada sesetengah jenama yang jarang didengari kerana mereka mengeluarkan kamera khas untuk golongan tertentu sahaja. Contohnya, jenama kamera Horseman dan Sinar mengkhusus dalam pembuatan View Camera dan kamera berkualiti tinggi yang hanya digunakan oleh segelintir jurufoto yang mengkhusus dalam bidang tertentu.

Ada pula sesetengah jenama yang lebih dikenali sebagai pengeluar jenis kamera yang tertentu. Contohnya, jenama Leica lebih popular sebagai pengeluar kamera jenis Rangefinder (walaupun Leica turut mengeluarkan kamera compact dan DSLR) Jenama Hasselblad pula lebih dikenali sebagai pengeluar kamera Medium Format yang ulung. Kedua-dua jenama ini menghasilkan kamera berkualiti tinggi dan harga kamera mereka jauh lebih mahal dari kamera DSLR yang biasa kita gunakan.

Jadi, dari segi kualiti gambar, kamera berjenama Hasselblad bolehlah dikatakan sebagai di antara beberapa kamera yang terbaik di dunia. Tetapi, ianya bukan kamera yang sesuai untuk semua orang kerana harganya yang sangat mahal dan kameranya lebih besar dan lebih berat dari kamera DSLR biasa. Walaupun kualitinya baik, tetapi kamera ini tidak semestinya menjadi pilihan terbaik untuk kebanyakan orang.

Kamera medium format jenama Hasselblad (Foto dari Hasselblad)

Untuk kamera jenis DSLR, antara jenama yang popular adalah – Nikon, Canon, Sony, Olympus dan Pentax. Sebenarnya, selain dari kualiti kamera itu sendiri, populariti jenama-jenama ini turut dipengaruhi oleh strategi pemasaran dan penjenamaan yang dibuat oleh mereka di sesuatu negara tertentu. Contohnya, ada sesetengah jenama kamera yang lebih popular di Jepun, tetapi kurang popular di Malaysia. Jenama yang popular tidak semestinya menghasilkan kamera yang terbaik. Namun, secara umumnya, adalah lebih ‘selamat’ untuk memilih kamera dari jenama yang popular dan ramai penggunanya.

Setiap jenama meletakkan harga yang berbeza kepada peralatan mereka berbanding jenama lain. Peralatan yang berkualiti biasanya berharga lebih mahal. Selain dari itu, prestij sesuatu jenama biasanya akan turut mempengaruhi harga produk yang mereka jual.

Selain memberi perhatian kepada kualiti sesuatu kamera, anda juga harus pertimbangkan mengenai kualiti perkhidmatan selepas jualan yang ditawarkan oleh jenama-jenama kamera ini. Adakah mudah untuk memperbaiki kamera yang rosak misalnya? Adakah perkhidmatan yang diberikan cepat dan berharga patut?

Setiap syarikat atau jenama pengeluar kamera mempunyai misi dan visi mereka yang tersendiri. Ada jenama yang lebih maju dari segi teknologi, ada jenama yang lebih mengutamakan kualiti, ada jenama yang lebih cenderung membuat kamera bersaiz kecil dan sebagainya.

Satu lagi perkara penting yang perlu anda ketahui ialah, setiap jenama kamera mempunyai sistemnya yang tersendiri yang tidak sama dengan sistem kamera dari jenama lain. Peralatan seperti kamera, lensa dan flash dari jenama tertentu majoritinya hanya boleh digunakan di kalangan jenama yang sama sahaja. Contohnya, kamera jenama Canon tidak boleh menggunakan lensa dari jenama Nikon (kecuali dengan pengubahsuaian khas) Malah, ada juga peralatan dari jenama yang sama tetapi tidak boleh digunakan untuk model yang berbeza. Jadi, adalah penting untuk anda pastikan setiap peralatan yang akan dibeli boleh digunakan dengan peralatan yang telah sedia ada. Isu keserasian peralatan ini lebih dikenali sebagai compatibility.

Selain dari serasi dengan jenama yang sama, setiap kamera juga boleh berfungsi dengan peralatan dari jenama lain asalkan peralatan tersebut dibuat agar serasi dengannya. Jenama seperti Tokina, Tamron dan Sigma membuat berbagai lensa yang sesuai digunakan oleh kamera dari jenama lain. Syarikat ini dikenali sebagai third party lens maker. Biasanya harga lensa yang dibuat oleh syarikat third party berharga lebih murah dari lensa yang dibuat oleh jenama pembuat kamera yang asal. Cuma pastikan lensa third party yang ingin anda beli boleh digunakan untuk kamera anda.

Selain dari lensa yang dibuat oleh syarikat third party, ada juga syarikat third party yang mengeluarkan flash seperti dari jenama Metz dan Nissin yang serasi digunakan dengan kamera dari jenama Nikon, Canon dan sebagainya.
Sebelum anda membuat keputusan untuk membeli kamera dari jenama tertentu, anda perlu fikirkan betul-betul secara keseluruhan dan mengambil kira penggunaan kamera tersebut dalam jangka masa panjang. Ini kerana, sebaik saja anda telah membeli kamera dari jenama tertentu, anda akan ‘terikat’ di dalam sistem kamera itu sahaja. Setiap lensa, flash dan aksesori yang akan dibeli selepas itu mestilah sesuai untuk jenama yang anda gunakan sahaja.

Dalam jangka masa beberapa tahun, anda akan membeli berbagai lensa dan aksesori dari sistem yang sama. Jika pada satu ketika anda ingin menggunakan kamera dari jenama atau sistem lain, anda perlu menjual kesemua peralatan yang telah anda miliki. Ini akan menyebabkan kerugian dan anda juga terpaksa bermula sekali lagi – membeli lensa-lensa dan aksesori baru untuk jenama kamera yang baru anda beli. Penggunaan lebih dari satu sistem kamera dalam masa yang sama biasanya tidak digalakkan kerana ia melibatkan kos yang lebih tinggi.

Satu lagi perkara penting yang perlu diambil kira sebelum membeli kamera ialah – seeloknya anda membeli kamera yang sama jenama dengan kamera yang rakan anda gunakan. Ini akan memberi banyak kemudahan kepada anda dari segi perkongsian maklumat tentang sistem kamera tersebut. Malah, anda boleh bertukar-tukar lensa dan aksesori dengan rakan anda sekiranya keadaan memerlukan.

Setelah anda membandingkan berbagai jenis kamera, anda mungkin akan berhadapan dengan situasi dimana anda perlu memilih satu diantara dua kamera dari berlainan jenama. Setelah membandingkan spesifikasi kedua-dua kamera tersebut, anda mungkin mendapati keduanya adalah hampir sama. Salah satu penyelesaian untuk masalah ini ialah, pilih saja kamera berdasarkan jenama yang anda minati atau pilih saja kamera yang anda suka berdasarkan rekabentuknya semata-mata. Keputusan di sini adalah lebih kepada citarasa anda terhadap imej luaran yang ditampilkan oleh rekabentuk kamera tersebut. Akhir sekali, faktor ini jugalah yang akan membuatkan anda rasa suka dan bangga dengan kamera anda.

Persoalan mengenai jenama kamera terbaik memang sentiasa diutarakan terutamanya oleh peminat fotografi yang baru menceburkan diri dalam bidang ini. Hakikatnya, setiap jenama mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Pilihan adalah di tangan anda – buatlah keputusan berdasarkan keperluan, bajet dan citarasa anda sendiri. Apa pun jenama yang anda gunakan, kemahiran anda dalam fotografi jugalah yang akhirnya akan menentukan tahap kehebatan anda sebagai seorang jurufoto.

Untuk membaca lain-lain artikel mengenai asas teknikal fotografi, SILA KLIK DI SINI

MENGENALI KAMERA DSLR SECARA LEBIH MENDALAM

Definisi DSLR

DSLR adalah ringkasan kepada ‘Digital Single-Lens Reflex’ atau dalam Bahasa Melayunya boleh diterjemahkan sebagai ‘Pantulan Lensa Tunggal Digital’. Sistem kamera ini sebenarnya telah wujud sejak zaman kamera analog lagi. Pada ketika itu, ianya dikenali dengan nama kamera SLR.

Cara kamera DSLR berfungsi

Seperti namanya, kamera DSLR adalah kamera yang berfungsi dengan menggunakan lensa tunggal. Lensa tunggal ini digunakan untuk melihat dan merakam gambar. Sistem ini berbeza dengan sistem kamera TLR contohnya, dimana sistem kamera TLR menggunakan 2 lensa. Satu lensa hanya untuk merakam gambar manakala satu lagi lensa lain digunakan hanya untuk melihat.

Gambar keratan rentas sebuah kamera DSLR (Foto oleh Hanabi123, Wikimedia Commons)

Pada kamera DSLR, reflex mirror (cermin pantulan) dan pentaprism (prisma dengan 5 permukaan) digunakan di dalam kamera untuk membalikkan imej yang dihasilkan melalui lensa agar dapat dilihat pada viewfinder. Apabila gambar dirakam, reflex mirror dinaikkan ke atas lalu membenarkan cahaya bergerak terus menuju ke sensor.

Bahagian-bahagian penting pada kamera DSLR
Cara bagaimana sistem DSLR berfungsi

Cara dan langkah-langkah kamera DSLR berfungsi:

1) Ketika kita melihat melalui viewfinder, aperture pada lensa dibuka dengan keluasan maksima walaupun pada ketika itu kita melaraskan aperture pada bukaan kecil. Aperture besar digunakan ketika kita sedang melihat melalui viewfinder bagi membolehkan imej yang dilihat adalah lebih cerah. Imej yang masuk melalui lensa seterusnya dipantulkan oleh reflex mirror menuju ke pentaprism. Pentaprism seterusnya membalikkan lagi imej beberapa kali sehinggalah akhirnya imej dapat dilihat pada viewfinder. Pada ketika ini, sensor kamera tidak menerima cahaya atau imej kerana shutter masih ditutup

2) Apabila punat ditekan untuk merakam gambar, aperture akan dilaraskan kepada saiz bukaan yang telah kita tetapkan sebelum ini. Dalam masa yang sama, reflex mirror akan dinaikkan ke atas bagi membolehkan cahaya masuk terus menuju ke bahagian belakang kamera sebelum cahaya didedahkan kepada sensor. Setelah reflex mirror ini dinaikkan, kita tidak lagi dapat melihat apa-apa imej melalui viewfinder

3) Shutter dibuka lalu cahaya akan didedahkan kepada sensor bagi merakam gambar

4) Setelah shutter dibuka dalam tempoh masa tertentu yang telah ditetapkan, ia akan ditutup kembali. Setelah itu, reflex mirror akan diturunkan semula, aperture akan dibuka semula ke saiz bukaan maksima dan kita akan dapat melihat semula imej melalui viewfinder.

Sistem kamera DSLR boleh dikatakan sistem yang rumit dan canggih jika dibandingkan dengan sistem kamera yang lain. Oleh sebab itulah sistem kamera DSLR dianggap sebagai kamera yang hampir sempurna, serba boleh dan mudah digunakan. Diantara kelebihan kamera DSLR berbanding kamera compact adalah:

1) Lensa boleh ditukar ganti. Sistem kamera DSLR selalunya menyediakan puluhan jenis lensa berbeza untuk digunakan bagi berbagai tujuan.

2) Sensor bersaiz lebih besar. Sensor lebih besar bermakna kualiti imej yang dihasilkan adalah lebih baik dari segi resolusi gambar.

3) Kendalian lebih cepat. Kamera DSLR membolehkan kawalan yang lebih cepat dilakukan untuk auto focus, manual aperture, manual shutter dan sebagainya

Diantara kelemahan kamera DSLR berbanding kamera compact adalah:

1) Harga kamera dan lensa untuk kamera DSLR adalah lebih mahal

2) Kamera DSLR adalah lebih berat berbanding kamera compact. Penggunaan dalam tempoh masa yang lama menggunakan banyak tenaga.

3) Kamera DSLR dan lensanya bersaiz besar. Faktor ini menyukarkan rakaman foto secara kandid di kalangan subjek yang tidak dikenali.

Untuk membaca lain-lain artikel mengenai asas teknikal fotografi, SILA KLIK DI SINI

KAMERA LUBANG JARUM (PINHOLE CAMERA)

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Kamera lubang jarum adalah satu bentuk kamera yang sangat ringkas. Walaupun ianya ringkas dan boleh dibuat sendiri dengan kos yang rendah, ianya tetap mampu merakam gambar foto.

Kamera lubang jarum boleh dibuat menggunakan kotak kasut, tin minuman dan sebagainya. Apa yang penting, kamera ini mestilah mempunyai bahagian dalam yang berwarna hitam dan kedap cahaya. Kamera lubang jarum tidak memerlukan lensa, sebaliknya, imej akan masuk melalui satu bukaan kecil (aperture) yang ditebuk pada satu permukaan pada kamera tersebut.

Pada satu bahagian yang bertentangan dengan aperture ini, bahan yang sensitif kepada cahaya seperti filem atau photographic paper diletakkan. Aperture perlu ditutup dengan satu material yang legap yang bertindak sebagai shutter agar cahaya tidak dapat masuk ke dalam kamera. Shutter ini hanya akan dibuka apabila gambar ingin dirakam. Setelah gambar dirakam, shutter akan ditutup kembali.

Rajah di atas menunjukkan cara kamera lubang jarum berfungsi. Perhatikan, imej yang dihasilkan di dalam kamera adalah dalam keadaan terbalik. Ini merupakan satu hukum fizik - imej yang dihasilkan di dalam kamera DSLR juga sebenarnya adalah terbalik, cuma ianya telah dibetulkan oleh ciri tambahan yang ada pada kamera kita.

Demikianlah bentuk dan fungsi ringkas sebuah kamera lubang jarum. Ini bermaksud, pada asalnya, kamera berfungsi dengan cara yang sangat mudah. Kamera digital yang kita miliki sekarang ini menggunakan teknologi tinggi dan adakalanya ia boleh merumitkan, terutamanya bagi mereka yang tidak memahami asas fotografi. Tetapi hakikatnya, kamera digital sekarang tetap menggunakan asas yag sama seperti kamera lubang jarum.

Kawalan-kawalan tambahan yang ada pada kamera kita sekarang dicipta untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada kamera lubang jarum. Walaupun kamera digital sekarang mempunyai berbagai fungsi, bukan semua fungsi ini adalah penting dan perlu digunakan oleh semua orang. Ianya bergantung kepada keperluan tertentu.

Kesimpulannya, untuk benar-benar faham mengenai asas teknikal fotografi, kita terlebih dahulu perlu faham beberapa perkara asas mengenai cara kamera berfungsi. Lupakan dulu kawalan-kawalan kamera yang kurang penting yang lebih merupakan ciri-ciri tambahan sahaja. Berikan tumpuan kepada perkara yang lebih penting yang merupakan asas kepada kawalan kamera seperti aperture, shutter, ISO dan sebagainya.

Untuk membaca lain-lain artikel mengenai asas teknikal fotografi, SILA KLIK DI SINI

Sejarah Perkembangan Fotografi Sebagai Seni

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Fotografi dan kamera dicipta menerusi sains. Pada zaman awalnya, perkembangan fotografi lebih tertumpu kepada proses penciptaan dan penambahbaikan terhadap sistem kamera itu sendiri. Pada era itu juga, fungsi gambar foto lebih kepada untuk merekod sesuatu. Ianya tidak dianggap sebagai satu karya seni visual sepertimana seni lukisan atau seni arca pada waktu itu. Artis visual pada ketika itu berpendapat, karya foto dihasilkan oleh kamera, bukan dengan kemahiran tangan jurufoto. Oleh itu, mereka tidak menerima karya fotografi sebagai satu karya seni.

Pada sekitar abad ke 20, satu aliran yang dinamakan Pictorialism dipraktikkan bagi membolehkan fotografi diterima sebagai satu karya seni pada zaman itu. Jurufoto Pictorialism memanipulasikan foto yang dirakam bagi menghasilkan foto dengan gaya seakan-akan lukisan. Alfred Stieglitz adalah seorang tokoh penting dalam memperjuangkan fotografi untuk diterima sebagai karya seni ketika era ini.

Gambar foto dengan aliran Pictorialism menggunakan beberapa teknik, antaranya - sengaja mengkaburkan fokus, menggunakan filter untuk kesan tertentu, membuat cetakan tona sepia dan membuat manipulasi foto di dalam bilik gelap agar foto yang dihasilkan menyamai karya lukisan. Foto ini bertajuk ‘Beppy’ karya Helen W. Drew. Sumber foto dari Wikimedia Commons

Ada pihak menganggap aliran fotografi dengan gaya Pictorialism tidak menampakkan identiti sebenar fotografi dan tidak menggunakan sepenuhnya kekuatan yang ada pada media fotografi. Oleh itu, sekumpulan jurufoto yang tidak bersetuju dengan gaya Pictorialism telah menubuhkan satu kumpulan yang diberi nama Group f/64 dimana Ansel Adams adalah salah seorang dari ahlinya.

Kumpulan ini telah mengadakan pameran fotografi pertama mereka pada tahun 1932. Mereka memperjuangkan idea ‘straight photography’ dimana karya foto yang dihasilkan tidak lagi cuba meniru gaya sebuah karya lukisan. Aliran ‘straight photography’ ini menjadi asas kepada seni fotografi yang dipraktikkan secara meluas sehingga ke hari ini, walau kita tidak menamakannya lagi sebagai ‘straight photography’.

Foto dengan gaya ‘straight photography’ yang berlawanan dengan gaya Pictorialism. Foto ini bertajuk ‘The Tetons and the Snake River’ (1942) hasil karya Ansel Adams. Sumber foto dari Wikimedia Commons

Untuk membaca lain-lain artikel mengenai asas fotografi, SILA KLIK DI SINI

Penulisan Saya dalam Majalah Dunia Kamera

Gambar kulit majalah Dunia Kamera isu ke-2 dan paparan bahagian dalam majalah - artikel penulisan saya bertajuk Sejarah Ringkas Fotografi


Mungkin masih ada yang belum sedar akan kewujudan majalah baru ini. Majalah yang diberi nama Dunia Kamera ini telah berada di pasaran untuk isu ke-2. Majalah yang dikeluarkan setiap bulan ini adalah sebuah majalah fotografi dalam Bahasa Malaysia yang diterbitkan oleh Velocity Media yang turut merupakan penerbit majalah popular Digital Camera Magazine.

Saya merupakan salah seorang penulis yang dijemput untuk menulis artikel di dalam majalah ini pada setiap bulan di samping beberapa orang lagi penulis lain. Pada isu lepas, saya telah menulis artikel bertajuk “Mengapa DSLR?” Untuk isu terbaru ini, saya menulis sebuah lagi artikel lain yang bertajuk “Sejarah Ringkas Fotografi” Anda boleh baca banyak lagi artikel dan tips-tips berguna yang dipaparkan di dalam majalah ini. Anda boleh dapatkan majalah ini dengan harga cuma RM7.00 senaskhah di kedai-kedai buku utama di seluruh Malaysia.

Anda juga boleh melanggan terus majalah ini dari pihak penerbit. Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan mengenai majalah ini, anda boleh layari laman Facebook mereka di – http://www.facebook.com/DuniaKamera

Akan Terbit – Buku Fotografi Bahasa Melayu oleh Hasnuddin Abu Samah

Saya bersama PTS NetMedia sedang mengusahakan projek menerbitkan buku (bukan E-book) mengenai panduan fotografi lengkap dalam Bahasa Melayu. Buku ini didedikasikan khas untuk peminat fotografi di Malaysia – ianya ditulis oleh penulis Malaysia, dalam Bahasa Malaysia dan dihiasi dengan gambar-gambar yang dirakam di seluruh Malaysia. Diharap buku ini dapat menepati keperluan peminat fotografi di negara ini.


Buku panduan fotografi ini akan memuatkan banyak gambar-gambar contoh hasil rakaman penulis dan beberapa jurufoto tanahair yang lain. Selain dari memberi tunjuk ajar, buku ini juga diharap dapat memberikan motivasi kepada peminat fotografi untuk terus mendalami bidang ini.

Buat masa ini, buku ini sedang giat dalam peringkat penulisan dan dijangka akan berada di pasaran pada bulan April 2012.

Sempena pelancarannya nanti, saya akan memberikan tawaran istimewa kepada 100 pembeli pertama yang membeli buku ini secara online. Saya juga akan memberikan beberapa bab percuma dari buku ini (secara online) kepada anda sebelum buku ini diterbitkan.

Untuk maklumat lanjut, sila ke – http://www.fototeacher.com/bukufotografi.html

Yang benar,
Hasnuddin Abu Samah,
Pengarah Urusan/Jurulatih Utama
FOTOTEACHER.COM

Menara Berkembar Petronas

Ramai yang memanggil bangunan ini sebagai menara KLCC (Kuala Lumpur City Centre), tetapi nama sebenarnya ialah Menara Berkembar Petronas atau di peringkat antarabangsa mengenalinya sebagai Petronas Twin Tower. Bagi kita yang tinggal di Kuala Lumpur, kita tentu sering melihat pemandangan Menara Berkembar Petronas ini sehingga kadangkala kita terlupa bahawa, sebenarnya menara ini sangat popular di seluruh dunia. Ianya masih memegang rekod sebagai menara berkembar tertinggi di dunia. Pelancong dari seluruh dunia datang dari jauh untuk melihat dan menghargainya; mungkin lebih dari kita sendiri menghargai menara ini. Kita tidak berapa kisah kerana menara ini ada di negara kita sendiri. Biasalah begitu.

Saya sebagai peminat fotografi sering mengembara ke seluruh Malaysia dan kadangkala ke luar negara untuk merakam foto yang menarik. Tetapi, pelik sekali, saya tidak pernah merakam foto Menara Berkembar Petronas sebelum ini. Ini mungkin disebabkan saya selalu berkunjung ke sini dan boleh ke sini pada bila-bila masa. Jadi, tiada sebarang desakan. Lagi satu sebab ialah kerana saya rasakan terlalu ramai orang yang telah merakam gambar menara ini dan sukar untuk mendapatkan gambar yang unik.

Jadi, apa yang mendorong saya untuk merakam gambar Menara Berkembar Petronas ini?

Saya ada terlihat beberapa gambar Menara Berkembar Petronas yang dirakam dengan begitu baik sekali oleh beberapa orang jurufoto antarabangsa. Saya kagumi karya mereka. Saya terfikir, jika mereka boleh datang dari jauh untuk merakam gambar menara ini, kenapa saya yang tinggal di Kuala Lumpur tidak turut cuba merakam gambar bangunan yang sungguh indah ini? Ini akan menguji diri saya sendiri. Bolehkah saya merakam gambar satu subjek yang popular ini dengan baik? Apa yang pasti, saya mempunyai satu kelebihan. Saya tinggal tidak jauh dari menara ini dan saya boleh merakam gambarnya setiap hari jika saya mahu, sehinggalah saya dapat gambar yang baik!

Lalu, saya membuat sedikit persediaan. Melayari laman web mencari foto-foto Menara Berkembar Petronas dan mengkaji gambar-gambar tersebut. Saya membuat rumusan mengapakah sesuatu foto itu menarik dan bagaimana saya boleh jadikan foto saya lebih menarik atau sekurang-kurangnya sama taraf.

Bagi saya, ada 2 perkara paling penting dan paling sukar untuk merakam foto menara ini. Pertama, saya perlu dapatkan sudut yang menarik dan kalau boleh, perlu rakamkan dari sudut rakaman atau komposisi yang belum pernah jurufoto lain rakamkan. Perkara kedua, saya perlu dapatkan atau tunggu keadaan cahaya matahari yang sesuai. Saya sedar, saya tidak boleh mengawal cahaya matahari. Semuanya bergantung kepada nasib. Saya juga sedar, saya mungkin perlu membuat beberapa kali cubaan atau kunjungan sehingga saya mendapat pencahayaan yang sesuai.

Saya bercadang untuk merakam gambar dengan cahaya matahari pagi kerana pada waktu ini, cahaya yang datang dari sisi adalah lembut dan biasanya kurang habuk atau jerebu pada waktu ini. Untuk merakam foto ini, saya telah berada di lokasi pada sekitar jam 6.30 pagi. Keadaan masih gelap pada waktu itu. Jadi, saya masih ada masa untuk mencari sudut penggambaran yang terbaik. Setelah mencuba beberapa sudut, akhirnya saya dapat satu lokasi yang saya kira boleh memberikan gambar terbaik. Saya membuat komposisi gambar dan menunggu sehingga cahaya yang sesuai menjelma. Syukur, memang rezeki saya pada hari itu, cuaca dan cahaya adalah sangat baik. Langit juga cerah dengan sedikit awan yang saya rasa boleh menjadikan gambar saya lebih menarik. Saya merakam foto di atas pada kira-kira jam 7.15 pagi.

Saya suka imej Menara Berkembar Petronas yang dipantulkan pada permukaan air seperti yang kita dapat lihat di dalam gambar yang dipaparkan ini. Pembalikan imej sebegini hanya boleh didapati ketika air tenang. Biasanya air di kolam ini tidak setenang ini kerana air ini sentiasa mengalir disebabkan oleh beberapa pancuran air. Pada asalnya, imej pada pantulan air adalah lebih gelap berbanding imej menara sebenar. Jadi, untuk mengimbangkan kecerahannya, saya terpaksa menggunakan Gradual Neutral Density filter yang bertujuan untuk menggelapkan bahagian atas gambar ini, lalu menjadikan kecerahan bahagian atas dan bawah gambar ini kurang ketara perbezaanya.

Lain-lain data teknikal rakaman foto ini adalah seperti berikut – kamera Nikon D300s bersama lensa Nikkor 10-24mm f/3.5 digunakan. Focal length dilaraskan pada 11mm, aperture pada f/22, shutter speed pada kelajuan 1 saat dan ISO 200. Oleh kerana shutter perlahan digunakan, saya turut menggunakan tripod dan electronic release bagi mengelakkan gegaran.

Diharap anda mendapat manfaat dari perkongsian ini. Ingatlah, amalan tanpa ilmu boleh menjadi sesat. Ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Jadi, rajin-rajinlah menambahkan ilmu dan selalulah berlatih merakam foto agar karya anda menjadi semakin baik setiap hari. Pesan ini juga untuk diri saya kerana saya juga masih dalam proses belajar.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Dapatkan berbagai info dan tips fotografi di laman Facebook FOTOTEACHER.COM. Sila ke http://www.fb.com/fototeacher

Dapatkan berbagai aksesori fotografi seperti tripod, filter dan sebagainya di kedai online FOTOTEACHER. SILA KLIK DI SINI