Tag Archives: artist

Blog Arkib – Fotografi Bukan Seni?

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Sejarah Perkembangan Fotografi Sebagai Seni”– 21 April 2012)

Fotografi dan kamera dicipta menerusi sains. Pada zaman awalnya, perkembangan fotografi lebih tertumpu kepada proses penciptaan dan penambahbaikan terhadap sistem kamera itu sendiri. Pada era itu juga, fungsi gambar foto lebih kepada untuk merekod sesuatu. Ianya tidak dianggap sebagai satu karya seni visual sepertimana seni lukisan atau seni arca pada waktu itu. Artis visual pada ketika itu berpendapat, karya foto dihasilkan oleh kamera, bukan dengan kemahiran tangan jurufoto. Oleh itu, mereka tidak menerima karya fotografi sebagai satu karya seni.

Pada sekitar abad ke 20, satu aliran yang dinamakan Pictorialism dipraktikkan bagi membolehkan fotografi diterima sebagai satu karya seni pada zaman itu. Jurufoto Pictorialism memanipulasikan foto yang dirakam bagi menghasilkan foto dengan gaya seakan-akan lukisan. Alfred Stieglitz adalah seorang tokoh penting dalam memperjuangkan fotografi untuk diterima sebagai karya seni ketika era ini.

Gambar foto dengan aliran Pictorialism menggunakan beberapa teknik, antaranya - sengaja mengkaburkan fokus, menggunakan filter untuk kesan tertentu, membuat cetakan tona sepia dan membuat manipulasi foto di dalam bilik gelap agar foto yang dihasilkan menyamai karya lukisan. Foto ini bertajuk ‘Beppy’ karya Helen W. Drew. Sumber foto dari Wikimedia Commons

Ada pihak menganggap aliran fotografi dengan gaya Pictorialism tidak menampakkan identiti sebenar fotografi dan tidak menggunakan sepenuhnya kekuatan yang ada pada media fotografi. Oleh itu, sekumpulan jurufoto yang tidak bersetuju dengan gaya Pictorialism telah menubuhkan satu kumpulan yang diberi nama Group f/64 dimana Ansel Adams adalah salah seorang dari ahlinya.

Kumpulan ini telah mengadakan pameran fotografi pertama mereka pada tahun 1932. Mereka memperjuangkan idea ‘straight photography’ dimana karya foto yang dihasilkan tidak lagi cuba meniru gaya sebuah karya lukisan. Aliran ‘straight photography’ ini menjadi asas kepada seni fotografi yang dipraktikkan secara meluas sehingga ke hari ini, walau kita tidak menamakannya lagi sebagai ‘straight photography’.

Foto dengan gaya ‘straight photography’ yang berlawanan dengan gaya Pictorialism. Foto ini bertajuk ‘The Tetons and the Snake River’ (1942) hasil karya Ansel Adams. Sumber foto dari Wikimedia Commons


Buku Fotografi yang Saya Cadangkan

Oleh Hasnuddin Abu Samah

Bagi anda yang agak baru dalam bidang fotografi, tentu anda tertanya-tanya bagaimanakah cara untuk menghasilkan gambar yang menarik dan buku apakah yang baik untuk dijadikan rujukan. Di sini saya senaraikan buku-buku fotografi yang telah saya senarai pendekkan, yang pada pendapat saya merupakan buku yang berkualiti yang boleh membantu anda dalam memahami seni dalam fotografi ke arah merakam gambar yang bernilai tinggi.

Buku-buku yang saya senaraikan ini bukan buku teknikal mengenai kawalan kamera, tetapi ianya adalah buku yang membincangkan mengenai aspek kreativiti dan seni dalam fotografi yang ramai peminat fotografi kurang memahami dan mahir mengenainya. Sila klik pada gambar di bawah dan seterusnya anda boleh melihat preview buku tersebut. Lihat isi kandungannya dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk membelinya.

Kebanyakan buku-buku yang saya senaraikan ini jarang dijual di kedai buku biasa (kecuali di Kinokuniya) kerana skopnya yang agak advance dimana tidak ramai orang yang mahu membelinya. Jadi, salah satu cara untuk mendapatkannya adalah dari Amazon.com. Saya sendiri kerap membeli buku dari Amazon kerana ianya memudahkan. Anda hanya perlu pilih, buat bayaran dan seterusnya anda akan menerima buku anda dalam masa sekitar 10 hari kemudian.

Untuk membeli secara online dari Amazon.com, anda perlu mempunyai kad kredit. Namun, jika anda tiada kad kredit, anda boleh minta rakan anda yang mempunyai kad kredit untuk belikan buku ini untuk anda. Tentu rakan anda tidak keberatan asalkan anda membayar mereka terlebih dahulu wang tersebut kepada rakan anda.


Selain dari buku subjek fotografi seperti di atas, saya juga ingin mencadangkan kepada anda sebuah lagi buku yang amat menarik yang bertajuk ‘Mecca the Blessed, Madina the Radiant: The Holiest Cities of Islam’ Buku ini memaparkan foto-foto oleh seorang jurufoto Jepun beragama Islam – Ali Kazuyoshi Nomachi. Foto-foto yang dirakam adalah luar biasa dan menyentuh hati, memaparkan imej-imej di kota suci Mekah dan Madinah yang jarang dapat kita disaksikan sebelum ini. Walaupun buku ini sudah agak lama (diterbitkan pada tahun 1997), namun, ianya tetap dapat memberikan satu perspektif baru dalam kita melihat imej-imej keislaman di dua kota suci ini.

Selamat membaca!

Blog Arkib – Photo Enhancement

Photo Enhancement
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Photo Enhancement
”– 1 Disember 2011)

Foto enhancement adalah satu proses dimana sesuatu foto itu dicantikkan lagi dari foto asalnya. Proses ini biasanya dibuat menggunakan perisian Adobe Photoshop. Saya kerap ditanya, adakah foto yang saya rakam ‘dimasukkan’ terlebih dahulu di dalam Photoshop. Jawapan saya – Ya, semua foto yang saya rakam akan saya lakukan enhancement terlebih dahulu menggunakan Adobe Photoshop sebelum sesuatu foto itu ditunjukkan kepada orang lain.

Bagi saya, gambar foto yang tidak dilakukan enhancement adalah gambar foto yang belum siap. Ia boleh diibaratkan seperti sebuah rumah yang telah siap dibina, tetapi tidak dihias. Proses photo enhancement ini bukannya baru. Jurufoto sejak zaman penggunaan kamera analog (kamera menggunakan filem) melakukan enhancement kepada foto yang mereka rakam. Bezanya, pada ketika itu, proses enhancement ini dilakukan di dalam bilik gelap (darkroom) secara manual.

Biasanya, saya akan melakukan enhancement dari segi – cropping, level, color balance, burning dan dodging. Sememangnya menjadi satu keperluan untuk semua jurufoto untuk mempunyai sekurang-kurangnya ilmu asas mengenai penggunaan Adobe Photoshop.

Untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas, saya tunjukkan contoh foto yang saya rakam dan jenis enhancement yang telah saya lakukan. Foto di bawah ini adalah foto original tanpa dilakukan apa-apa enhancement. Ianya kelihatan biasa sahaja. Tetapi, ciri-ciri penting pada foto mestilah cukup baik seperti subjek yang menarik, komposisi yang baik dan dedahan cahaya (exposure) yang tidak terlalu teruk.

Seterusnya, saya melakukan cropping pada foto ini, iaitu menjadikannya ke dalam bentuk square format. Ini dilakukan agar subjek utama kelihatan lebih menyerlah di dalam gambar serta menjadikan keseluruhan foto lebih menarik. Saya juga menukarkan foto ini menjadi foto hitam putih agar mata kita lebih tertumpu kepada bentuk dan komposisi subjek, tanpa gangguan dari sebarang warna. Setelah itu, saya mengawal kecerahan foto (kawalan pada level) agar ianya tidak terlalu gelap dan tidak terlalu cerah. Secara tidak langsung, proses ini juga mempengaruhi kawalan kontras pada gambar. Saya melakukan beberapa lagi kawalan terperinci terhadap kecerahan gambar dengan melakukan dodging dan burning. Anda boleh melihat di bahagian mana saya melakukan dodging dan burning ini seperti di dalam gambar di bawah

TIPS DAN PANDUAN FOTOGRAFI PERCUMA – SILA KLIK DI SINI

Proses dodging dan burning ini perlu dilakukan dengan berhati-hati dan memakan sedikit masa. Apa pun yang anda lakukan, jangan lakukan enhancement yang keterlaluan. Kalau boleh, pastikan foto yang dihasilkan masih kelihatan asli tanpa kesan ubahsuai yang berlebihan. Apapun, penilaian terhadap kecantikan sesuatu foto itu tetap menjadi sesuatu yang subjektif. Di bawah ini adalah gambar foto yang telah siap dilakukan enhancement.

Sekiranya anda berminat untuk mempelajari cara yang betul menggunakan Adobe Photoshop, anda boleh hadiri bengkel yang dianjurkan oleh FOTOTEACHER.COM. Bengkel ini akan disampaikan oleh jurulatih yang pakar di dalam bidang ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran, SILA KLIK DI SINI


ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Rahsia Perniagaan dan Tips Penting dalam Kursus Fotografi Perkahwinan

Kursus Fotografi Perkahwinan akan diadakan pada 18 Mei 2013 di Pusat Latihan FOTOTEACHER.COM di Cheras.

 

Kepada anda yang berminat untuk mendalami pengetahuan mengenai bidang ini, silalah hadir ke program yang sungguh padat dan penuh dengan informasi ini. Banyak rahsia perniagaan dan tips penting yang akan didedahkan kepada anda bagi mempersiapkan anda untuk menjadi seorang jurufoto perkahwinan yang profesional.

 

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI

Pameran Fotografi di Galeri Pelita Hati

Pameran Fine Art Photography dengan tema Subject of Dreams II sedang berlangsung di Galeri Pelita Hati sehingga 18 Mei 2013. Masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI

Buat Duit dari Microstock (Bahagian 1/3)

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Salah satu cara untuk buat duit dari fotografi ialah dengan menjual gambar anda melalui microstock agency. Jurufoto akan dibayar sejumlah komisen dari setiap keping gambar yang dijual. Gambar-gambar ini biasanya ialah gambar-gambar yang mempunyai nilai komersial bagi digunakan di laman web, buku, majalah, poster, billboard dan sebagainya.

Salah satu contoh foto yang dijual di microstock. Walaupun foto ini nampak ringkas, ianya mempunyai mesej yang jelas; sesuai digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan dengan jualan murah, membeli belah, pasaraya, ekonomi dan sebagainya.

Microstock agency adalah sebuah agensi yang bertindak memasarkan dan ‘menjual’ gambar-gambar jurufoto yang berdaftar dengan mereka. Pelanggan yang ‘membeli’ gambar dari microstock agency biasanya terdiri dari individu yang terlibat di dalam bidang pengiklanan, penerbitan dan sebagainya. Golongan ini ‘membeli’ foto dari microstock agency kerana harga foto yang dijual adalah jauh lebih rendah berbanding jika mereka mengupah jurufoto untuk merakam gambar yang tertentu.

Sebagai contoh dan perbandingan, untuk ‘membeli’ sekeping gambar dari microstock agency, pelanggan cuma perlu membayar RM3 sekeping (bergantung kepada beberapa faktor). Tetapi sekiranya seseorang pelanggan ingin mengupah jurufoto bagi tugasan tertentu, seseorang pelanggan mungkin perlu membayar sehingga RM300 hanya untuk mendapat sekeping gambar. Oleh sebab itulah, ramai pengguna lebih cenderung untuk membeli gambar dari microstock agency kerana harganya yang jauh lebih murah. Lagi satu sebab mengapa pelanggan membeli dari microstock agency ialah kerana, foto yang diingini boleh didapati (dimuat turun) serta merta jika foto tersebut telah sedia ada di dalam koleksi microstock agency. Sebaliknya, jika pelanggan ingin merakam sendiri gambar tersebut, proses ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau minggu dari proses mencari jurufoto, menyelaraskan keperluan rakaman, kerja post production dan sebagainya.

Tetapi, apabila membeli dari microstock agency, pelanggan terpaksa memilih dan berpuas hati dengan apa-apa sahaja gambar yang bersesuaian dengan apa yang dicari. Tidak semestinya mereka akan mendapat apa yang mereka kehendaki dengan tepat dan sempurna. Satu kelemahan lagi ialah, foto yang dibeli itu boleh dibeli juga oleh pihak lain (kecuali dengan status exclusive rights). Ini bermakna, foto yang digunakan itu tidak menjadi unik kerana foto yang sama mungkin digunakan oleh pihak lain untuk tujuan lain.

2 syarikat yang berbeza dan merupakan pesaing dalam industri, iaitu Dell dan Gateway dengan tidak sengaja telah menggunakan foto dari microstock yang memaparkan model yang sama di lokasi yang sama.

Foto dari asmp.org

Sesebuah microstock agency mempunyai koleksi foto yang amat banyak, mencakupi segala subjek untuk berbagai tujuan kegunaan. Ada microstock agency yang memiliki sehingga 20 juta foto, ilustrasi, vektor dan video! Bidang microstock adalah satu industri yang besar. Terdapat berpuluh syarikat microstock agency di seluruh dunia. Ada syarikat yang besar dan ada juga syarikat yang kecil yang mengkhusus kepada subjek atau negara tertentu sahaja. Antara syarikat microstock yang terkenal adalah Shutterstock, iStockphoto, Dreamstime, Fotolia dan 123RF.

Selain dari microstock, ada satu lagi bidang yang hampir sama iaitu macrostock atau turut dikenali dengan nama traditional photo stock. Beza utama diantara keduanya ialah, microstock menjual foto dengan harga yang amat rendah, tetapi, jumlah jualan gambar adalah banyak. Sekeping gambar boleh ‘dijual’ di seluruh dunia kepada ramai orang dan boleh ‘dijual’ berulang-ulang kali selama beberapa tahun, selagi ada permintaan terhadap gambar tersebut. Sementara itu, macrostock pula menjual gambar dengan harga yang lebih mahal dan lebih bersifat eksklusif. Koleksi foto yang ditawarkan oleh macrostock juga adalah lebih berkualiti tinggi. Antara syarikat macrostock yang terkenal adalah Getty Images, Corbis dan Alamy.

Gambar seperti di atas banyak terdapat di dalam microstock. Walaupun nampak tidak ada apa-apa yang menarik dari segi seninya, namum, foto ini amat berguna dan sangat dikehendaki oleh pelanggan tertentu untuk berbagai kegunaan.

Disebabkan menjual gambar dengan harga yang terlalu rendah, syarikat microstock pernah dikritik dan dilabel sebagai perosak kerjaya fotografi dimana karya seseorang jurufoto sudah menjadi seakan tidak bernilai. Namun, dalam masa yang sama, ada ramai juga jurufoto yang dapat menyara hidup hanya dengan merakam gambar untuk microstock secara sepenuh masa. Malah, ada jurufoto yang berjaya menjana pendapatan jutaan ringgit setiap tahun hasil dari jualan gambar melalui microstock.

Jadi, apakah sebenarnya kemahiran yang perlu dimiliki oleh seseorang itu untuk menjual gambar di microstock? Bagaimanakah cara mudah untuk memohon dan diterima sebagai jurufoto yang berdaftar dengan microstock? Berapakah sebenarnya pendapatan yang boleh diperolehi hasil dari menjual gambar di microstock? Adakah berbaloi meluangkan masa, bersusah payah dan ‘melabur’ wang di dalam bidang microstock ini? InsyaAllah, kesemua persoalan ini akan cuba saya jawab di dalam bahagian kedua artikel ini.

Saya akan maklumkan kepada anda sebaik sahaja sambungan artikel ini disiarkan di blog ini nanti, SILA KLIK DI SINI.

Daftarkan diri anda dengan agensi microstock sekarang!

Beli buku berkenaan microstock dari Amazon.com