Tag Archives: art

Blog Arkib – Fotografi Bukan Seni?

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Sejarah Perkembangan Fotografi Sebagai Seni”– 21 April 2012)

Fotografi dan kamera dicipta menerusi sains. Pada zaman awalnya, perkembangan fotografi lebih tertumpu kepada proses penciptaan dan penambahbaikan terhadap sistem kamera itu sendiri. Pada era itu juga, fungsi gambar foto lebih kepada untuk merekod sesuatu. Ianya tidak dianggap sebagai satu karya seni visual sepertimana seni lukisan atau seni arca pada waktu itu. Artis visual pada ketika itu berpendapat, karya foto dihasilkan oleh kamera, bukan dengan kemahiran tangan jurufoto. Oleh itu, mereka tidak menerima karya fotografi sebagai satu karya seni.

Pada sekitar abad ke 20, satu aliran yang dinamakan Pictorialism dipraktikkan bagi membolehkan fotografi diterima sebagai satu karya seni pada zaman itu. Jurufoto Pictorialism memanipulasikan foto yang dirakam bagi menghasilkan foto dengan gaya seakan-akan lukisan. Alfred Stieglitz adalah seorang tokoh penting dalam memperjuangkan fotografi untuk diterima sebagai karya seni ketika era ini.

Gambar foto dengan aliran Pictorialism menggunakan beberapa teknik, antaranya - sengaja mengkaburkan fokus, menggunakan filter untuk kesan tertentu, membuat cetakan tona sepia dan membuat manipulasi foto di dalam bilik gelap agar foto yang dihasilkan menyamai karya lukisan. Foto ini bertajuk ‘Beppy’ karya Helen W. Drew. Sumber foto dari Wikimedia Commons

Ada pihak menganggap aliran fotografi dengan gaya Pictorialism tidak menampakkan identiti sebenar fotografi dan tidak menggunakan sepenuhnya kekuatan yang ada pada media fotografi. Oleh itu, sekumpulan jurufoto yang tidak bersetuju dengan gaya Pictorialism telah menubuhkan satu kumpulan yang diberi nama Group f/64 dimana Ansel Adams adalah salah seorang dari ahlinya.

Kumpulan ini telah mengadakan pameran fotografi pertama mereka pada tahun 1932. Mereka memperjuangkan idea ‘straight photography’ dimana karya foto yang dihasilkan tidak lagi cuba meniru gaya sebuah karya lukisan. Aliran ‘straight photography’ ini menjadi asas kepada seni fotografi yang dipraktikkan secara meluas sehingga ke hari ini, walau kita tidak menamakannya lagi sebagai ‘straight photography’.

Foto dengan gaya ‘straight photography’ yang berlawanan dengan gaya Pictorialism. Foto ini bertajuk ‘The Tetons and the Snake River’ (1942) hasil karya Ansel Adams. Sumber foto dari Wikimedia Commons


Buku Fotografi yang Saya Cadangkan

Oleh Hasnuddin Abu Samah

Bagi anda yang agak baru dalam bidang fotografi, tentu anda tertanya-tanya bagaimanakah cara untuk menghasilkan gambar yang menarik dan buku apakah yang baik untuk dijadikan rujukan. Di sini saya senaraikan buku-buku fotografi yang telah saya senarai pendekkan, yang pada pendapat saya merupakan buku yang berkualiti yang boleh membantu anda dalam memahami seni dalam fotografi ke arah merakam gambar yang bernilai tinggi.

Buku-buku yang saya senaraikan ini bukan buku teknikal mengenai kawalan kamera, tetapi ianya adalah buku yang membincangkan mengenai aspek kreativiti dan seni dalam fotografi yang ramai peminat fotografi kurang memahami dan mahir mengenainya. Sila klik pada gambar di bawah dan seterusnya anda boleh melihat preview buku tersebut. Lihat isi kandungannya dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk membelinya.

Kebanyakan buku-buku yang saya senaraikan ini jarang dijual di kedai buku biasa (kecuali di Kinokuniya) kerana skopnya yang agak advance dimana tidak ramai orang yang mahu membelinya. Jadi, salah satu cara untuk mendapatkannya adalah dari Amazon.com. Saya sendiri kerap membeli buku dari Amazon kerana ianya memudahkan. Anda hanya perlu pilih, buat bayaran dan seterusnya anda akan menerima buku anda dalam masa sekitar 10 hari kemudian.

Untuk membeli secara online dari Amazon.com, anda perlu mempunyai kad kredit. Namun, jika anda tiada kad kredit, anda boleh minta rakan anda yang mempunyai kad kredit untuk belikan buku ini untuk anda. Tentu rakan anda tidak keberatan asalkan anda membayar mereka terlebih dahulu wang tersebut kepada rakan anda.


Selain dari buku subjek fotografi seperti di atas, saya juga ingin mencadangkan kepada anda sebuah lagi buku yang amat menarik yang bertajuk ‘Mecca the Blessed, Madina the Radiant: The Holiest Cities of Islam’ Buku ini memaparkan foto-foto oleh seorang jurufoto Jepun beragama Islam – Ali Kazuyoshi Nomachi. Foto-foto yang dirakam adalah luar biasa dan menyentuh hati, memaparkan imej-imej di kota suci Mekah dan Madinah yang jarang dapat kita disaksikan sebelum ini. Walaupun buku ini sudah agak lama (diterbitkan pada tahun 1997), namun, ianya tetap dapat memberikan satu perspektif baru dalam kita melihat imej-imej keislaman di dua kota suci ini.

Selamat membaca!

Pameran Fotografi di Galeri Pelita Hati

Pameran Fine Art Photography dengan tema Subject of Dreams II sedang berlangsung di Galeri Pelita Hati sehingga 18 Mei 2013. Masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI

Blog Arkib – Ijazah Jurufoto

IJAZAH JURUFOTO
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Ijazah Jurufoto”– 2 April 2011)

“Perlukah masuk universiti untuk jadi jurufoto profesional?” Saya seringkali ditanya soalan ini. Selalunya yang bertanya itu ialah golongan remaja yang minat fotografi dan ingin menjadikan fotografi sebagai kerjaya mereka. Jawapan ringkasnya – tidak perlu. Anda tidak perlu ada sijil, diploma dan sebagainya untuk menjadi jurufoto profesional. Tetapi, jika anda ada kelulusan formal dalam bidang fotografi, ianya akan menjadi satu kelebihan buat anda. Tetapi dengan satu syarat.

Syaratnya ialah, anda mestilah mempunyai portfolio yang kuat (portfolio adalah contoh hasil karya anda yang dapat menunjukkan tahap kemahiran anda sebagai seorang jurufoto). Portfolio inilah yang akan dinilai sebelum anda ditawarkan sesuatu kerja. Semakin baik portfolio anda, semakin mudah anda mendapat kerja dan semakin tinggi gaji yang boleh anda dapatkan.

Tetapi, jika anda ingin bekerja dalam bidang fotografi dengan pihak kerajaan, eloklah anda ada kelulusan formal dalam bidang fotografi kerana gaji yang dibayar biasanya berdasarkan tahap kelulusan formal anda samada anda pemegang sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah dan sebagainya. Begitu juga jika anda ingin menjadi pensyarah fotografi di universiti, kelulusan akademik dalam bidang fotografi adalah amat penting.

Saya bergambar bersama pelajar diploma fotografi UTMSPACE. (Sekadar gambar hiasan)

Di Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menawarkan pengajian khusus dalam bidang fotografi pada peringkat Diploma hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. UNISEL pula ada menawarkan pengajian dalam bidang fotografi hingga ke peringkat Diploma. SPACE UTM juga ada menawarkan pengajian fotografi dengan kelulusan Diploma Eksekutif, sesuai dihadiri secara sambilan. Selain dari itu, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) juga menawarkan pengajian dalam bidang fotografi pada peringkat Sijil.

Jurufoto yang tiada kelulusan formal dalam bidang fotografi pun boleh berjaya. Peluangnya adalah sama. Segalanya bergantung kepada usaha dan bakat yang dimiliki oleh setiap individu. Cuma, biasanya jurufoto yang belajar sendiri tanpa masuk ke universiti perlu melalui jalan yang agak sukar dalam proses pembelajaran kerana tidak mendapat bimbingan yang sistematik, tidak seperti di universiti. Tetapi, sekali lagi ditegaskan, jurufoto yang belajar sendiri ini tetap boleh berjaya jika beliau rajin berusaha.

Pelajar yang belajar fotografi di universiti biasanya mempunyai masa hadapan yang lebih cerah asalkan mereka belajar bersungguh-sungguh dan rajin berusaha. Pelajar universiti tidak akan berjaya di dalam industri sebagai jurufoto profesional jika mereka hanya bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata, tetapi tidak berusaha menghasilkan portfolio yang bagus. Pelajar juga mestilah menggunakan peluang networking di universiti dengan sepenuhnya kerana, ini akan menjadi aset penting bila mereka berada di dalam alam pekerjaan sebenar. Rakan-rakan kenalan universiti ini akan memegang jawatan tertentu di dalam industri selepas beberapa tahun dan mereka akan menawarkan berbagai peluang dan pertolongan yang berguna satu hari nanti.

Perkara yang perlu dipertimbangkan apabila ingin belajar fotografi di universiti ialah faktor masa dan kos pengajian. Misalnya, pengajian pada peringkat diploma akan memakan masa selama 3 tahun dan kos yang terlibat juga adalah agak tinggi (bergantung di universiti mana anda belajar). Jika dibandingkan dengan individu yang belajar sendiri, mereka sudah boleh mula menjana pendapatan dalam tempoh kurang dari 3 tahun. Tetapi, untuk jangka masa panjang, individu yang memiliki kelulusan formal dalam fotografi boleh pergi lebih jauh dan mendapat peluang yang lebih besar asalkan berusaha gigih. Tetapi, saya perlu tegaskan lagi sekali bahawa, perkara ini adalah amat subjektif. Individu yang tiada kelulusan formal dalam fotografi pun boleh berjaya jika mereka bijak mengambil peluang dan bekerja keras. Memang ramai pun jurufoto di Malaysia yang berjaya walaupun tidak memiliki sebarang kelulusan akademik dalam bidang fotografi. Sebaliknya, ada juga graduan dari universiti berkelulusan diploma atau ijazah sarjana muda dalam bidang fotografi yang tidak mendapat kerja dengan bayaran setimpal. Semuanya terletak atas pilihan dan usaha individu itu sendiri.

Satu lagi isu yang selalu timbul ialah ibu bapa biasanya tidak berapa yakin bila anaknya ingin belajar di universiti dalam bidang fotografi kerana bimbang tiada masa depan. Apa yang boleh saya katakan ialah, tidak kira bidang apa pun, kita boleh mendapat pendapatan yang lumayan jika kita rajin berusaha. Tetapi, kita perlu sedar bahawa, untuk berjaya dan mendapat pendapatan lumayan dari fotografi bukanlah mudah. Sama juga dengan bidang lain. Jadi, untuk memastikan anda terus kekal dalam fotografi dan menghadapi segala rintangan sebelum anda berjaya, anda perlu pastikan bahawa anda betul-betul meminati fotografi. Bukan sekadar terikut dengan kawan atau trend semasa. Minat yang mendalam inilah yang akan menjadi azimat untuk anda terus berjuang dalam fotografi hingglah anda berjaya kecapi kejayaan tertinggi.

Pokok pangkalnya ialah usaha. Jika anda masuk universiti untuk belajar fotografi, janganlah hanya bergantung kepada sekeping siji yang bakal anda terima nanti. Banyakkan berusaha sendiri sebagai persediaan untuk bersaing di dalam dunia pekerjaan sebenar nanti. Hasilkan portfolio yang kuat, kerana portfolio inilah yang akan ‘bercakap’ untuk anda.

Nasihat yang boleh saya berikan ialah, jika anda mampu, ada masa dan ada peluang untuk masuk universiti, maka rebutlah peluang itu. Tetapi pastikan bahawa anda memang minat fotografi dan sanggup berkorban untuknya. Ingatlah bahawa bidang fotografi bukan bidang main-main. Fotografi sebagai hobi berbeza dengan fotografi sebagai kerjaya.

Kepada anda yang tidak berpeluang untuk masuk universiti, tidak mengapa. Anda perlu ingat, ada banyak jalan untuk berjaya. Ada banyak cara untuk belajar, tambahan sekarang ini dengan kemudahan internet, maklumat boleh didapati dengan begitu mudah. Anda juga boleh menghadiri kursus pendek yang dianjurkan oleh banyak pihak sekarang ini. Cuma, berhati-hatilah – pastikan anda belajar dari guru yang bertauliah dan berpengalaman. Kemudian, carilah mentor atau orang yang boleh membimbing anda dalam fotogafi. Cari pengalaman sebanyak mungkin dengan bekerja dengan jurufoto profesional dengan tujuan untuk belajar dan cari pengalaman, lupakan dulu tentang bayaran lumayan.

Kesimpulannya, tiada jawapan yang mutlak untuk isu ini. Tidak kira anda ada kelulusan formal di dalam fotografi atau tidak, anda tetap boleh berjaya sebagai seorang jurufoto. Cuma, jalannya yang berbeza. Setiap satu jalan ada kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Segalanya terpulang kepada anda sendiri untuk membuat keputusan.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

TIPS DAN PANDUAN FOTOGRAFI PERCUMA – SILA KLIK DI SINI

Sekiranya anda berminat untuk belajar fotografi melalui kursus jangka pendek, anda boleh hadiri berbagai kursus dan bengkel anjuran FOTOTEACHER.COM. Barisan tenaga pengajar dan jurulatih kami terdiri dari individu yang mempunyai kelulusan formal dalam bidang fotografi dan mempunyai pengalaman minima selama 15 tahun dalam industri sebagai jurufoto profesional. SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Kehebatan Kamera Kompak

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(To read this article in English version, please CLICK HERE)

Pengenalan

Pada suatu ketika dahulu, kamera kompak hanya digunakan oleh orang kebanyakan untuk merakam gambar keluarga atau gambar aktiviti sekitar kehidupan mereka sahaja. Jurufoto profesional atau peminat fotografi tidak menggemari kamera kompak kerana kualitinya yang rendah dan keterbatasan fungsinya. Namun, kamera kompak kini telah banyak berubah dan dimajukan, lebih-lebih lagi dalam era perkembangan teknologi digital yang begitu canggih sekarang ini. Oleh sebab itu, kamera kompak kini mula diminati dan digunakan oleh peminat fotografi dan jurufoto profesional tertentu bagi merakam gambar yang tertentu.

Walaupun bersaiz kecil, kamera kompak mampu menghasilkan gambar yang cukup jelas walaupun tahap kualitinya tidaklah dapat menandingi kualiti gambar yang dihasilkan oleh kamera DSLR. Tetapi, harus diingat, adakalanya kualiti kejelasan gambar bukanlah satu keutamaan. Disebalik beberapa kekurangan yang dimiliki oleh kamera kompak, kamera jenis ini turut mempunyai berbagai kelebihan berbanding kamera DSLR.

Ciri-Ciri Kamera Kompak

Kamera kompak juga dikenali dengan nama point and shoot camera atau pocket camera. Kamera kompak dicipta agar orang ramai dapat merakam gambar dengan lebih mudah dan selesa. Oleh sebab itu, ianya dibuat dengan saiz yang kecil bersama fungsi yang ringkas lalu memudahkan pengguna.

Kamera kompak tidak beroperasi menggunakan reflex mirror dan pentaprism seperti yang digunakan oleh sistem kamera DSLR. Oleh itu, kamera kompak dapat dibuat dengan saiz yang lebih kecil dengan harga yang lebih rendah.

Tidak seperti kamera DSLR, lensa pada kamera kompak tidak boleh ditukar ganti. Namun, biasanya kamera kompak dilengkapi dengan lensa zoom yang sudah memadai untuk kegunaan biasa.

Kamera kompak kini sudah semakin canggih dan semakin berkualiti. Kamera jenis ini telah berjaya menarik minat jurufoto profesional apabila ia telah dibuat dengan ciri kawalan manual sepenuhnya dimana pengguna boleh mengawal aperture, shutter dan ISO secara manual. Dengan ini, dedahan cahaya (exposure) dapat dikawal dengan lebih tepat. Selain dari itu, kamera kompak yang berprestasi tinggi juga turut menawarkan ciri-ciri bertaraf kamera DSLR seperti kawalan fokus secara manual, aperture maksima yang bersaiz lebih besar, hotshoe untuk penggunaan flash tambahan, rakaman dalam format RAW, saiz sensor yang lebih besar dan sebagainya.

Kamera kompak berprestasi tinggi dibuat dengan berbagai ciri yang menyamai kamera DSLR. Pengguna kamera kompak ini boleh membuat kawalan manual untuk pelarasan aperture, shutter, ISO dan lain-lain lagi.

Kelemahan Kamera Kompak

Antara kelemahan utama kamera kompak ialah saiz sensornya. Buat ketika ini, sensor kamera kompak adalah masih jauh lebih kecil berbanding saiz sensor kamera DSLR. Oleh sebab itu, gambar yang dirakam oleh kamera kompak tidak sesuai dibesarkan ke saiz yang terlalu besar kerana kejelasan foto akan hilang. Saiz sensor yang kecil ini juga menyebabkan gambar yang dihasilkan mempunyai noise yang lebih ketara berbanding kamera DSLR, terutamanya apabila ISO tinggi digunakan dan apabila foto dilihat dalam saiz besar.

Foto ini dirakam menggunakan kamera DSLR bagi mendapatkan kejelasan foto yang maksima. Untuk rakaman foto pemandangan atau foto senibina seperti ini, kamera DSLR lebih sesuai digunakan kerana biasanya foto ingin dipaparkan di dalam saiz besar. Penggunaan kamera yang besar dan berat bukanlah menjadi masalah untuk merakam foto sebegini kerana jurufoto tidak perlu banyak bergerak memikul beban kamera. (Foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Tetapi, harus diingat, kelemahan ini bukanlah satu isu besar jika kita tidak bercadang untuk mempamerkan gambar dalam saiz yang terlalu besar. Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan ialah – adakah foto dengan kejelasan maksima menjadi satu keutamaan bagi kita. Ini bergantung kepada jenis gambar yang dirakam dan tujuan foto tersebut dirakam. Contohnya, jika kita ingin merakam gambar untuk tujuan fotografi seni halus (fine art photography), adakalanya, faktor kejelasan gambar bukanlah satu keutamaan. Begitu juga jika kita ingin merakam gambar bagi dipamerkan di laman web dalam saiz yang kecil, kita tidak memerlukan resolusi yang terlalu tinggi untuk gambar yang dirakam – foto yang dihasilkan oleh kamera kompak sudah memadai.

Satu lagi kelemahan kamera kompak berbanding kamera DSLR ialah faktor kecekapan dan kecepatan kawalan kamera. Kamera kompak agak perlahan untuk dikendalikan, terutamanya untuk kawalan manual sepenuhnya. Ini kerana, saiz dan kedudukan butang kawalan pada kamera kompak tidaklah sebaik kamera DSLR. Jadi, untuk merakam gambar dan bekerja dengan pantas, kamera kompak tidak sesuai digunakan. Jika tidak, perkara ini tidaklah menjadi satu isu.

Kamera kompak juga ada sedikit kekurangan dari segi shutter lag dimana terdapat sedikit ‘kelewatan’ (dalam milisecond) diantara detik punat merakam kamera ditekan dan detik foto sebenar dirakam oleh kamera. Keadaan ini merupakan satu masalah serius untuk merakam gambar aksi atau gambar-gambar lain yang mementingkan ketepatan detik rakaman. Tetapi, kelemahan ini juga tidak menjadi masalah sekiranya kita ingin merakam gambar subjek tanpa begitu mementingkan ketepatan detik rakaman.

Kelemahan lain kamera kompak ialah, lensanya tidak boleh ditukar ganti seperti kamera DSLR. Jadi, pengguna kamera kompak terpaksa berpuas hati dengan pilihan sudut pandangan atau focal length yang terbatas. Namun, kamera kompak sekarang dilengkapi dengan zoom dalam jarak yang cukup panjang bermula dari sudut pandangan luas hinggalah ke sudut pandangan short telephoto (sudut pandangan yang agak sempit). Bagi kebanyakan penggunaan, focal length atau jarak zoom yang terdapat pada kamera kompak sudah mencukupi. Jadi, sekiranya bidang kerja anda tidak memerlukan lensa dengan focal length yang ‘luar biasa’, lensa zoom yang dipasang kekal pada kamera kompak adalah sudah cukup baik.

Kelebihan Kamera Kompak

Kelebihan utama kamera kompak ialah saiznya yang kecil lalu ianya juga adalah ringan untuk dibawa. Ciri ini mungkin tidak digemari untuk tugasan tertentu, tetapi ciri ini adalah amat bermanfaat apabila anda ingin merakam gambar dalam tempoh yang panjang atau apabila anda perlu banyak berjalan kaki. Apabila merakam gambar semasa pengembaraan, kamera kompak adalah amat bermanfaat kerana saiznya yang kecil dan beratnya yang tidak membebankan.

Foto petugas keretapi laju (Shinkansen) dirakam di Hiroshima, Jepun menggunakan kamera kompak. Kamera jenis ini amat sesuai digunakan ketika melancong atau mengembara di luar negara. (Foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Kamera kompak yang bersaiz kecil ini juga tidak begitu menonjol dan menarik perhatian orang disekeliling kita. Ciri ini amat bermanfaat untuk jurufoto yang merakam gambar di jalanan untuk street photography misalnya. Dengan menggunakan kamera kompak yang bersaiz kecil, kehadiran seseorang jurufoto itu kurang disedari atau tidak begitu dihiraukan, lalu membolehkan seseorang jurufoto itu merakam gambar subjeknya dengan lebih bersahaja. Dengan ciri ini, jurufoto juga akan lebih mudah untuk mendekati subjeknya. Saiz kamera kompak yang kecil ini merupakan satu kelebihan bagi tujuan tertentu.

Kelebihan lain bagi kamera kompak ialah, kamera ini berharga lebih murah berbanding kamera DSLR. Jika kita tidak memerlukan ciri-ciri tertentu pada kamera DSLR, mengapa perlu membelanjakan wang yang lebih untuk membeli kamera DSLR? Lebih baik membeli kamera kompak sahaja dengan harga yang lebih rendah, asalkan ianya dapat memenuhi keperluan kita. Sekiranya kita telah mempunyai kamera DSLR, kamera kompak elok dimiliki juga sebagai kamera sokongan (backup camera) atau sekadar kamera sampingan yang akan digunakan dalam keadaan tertentu.

Kamera kompak kini dibuat dengan ciri-ciri yang lebih baik dari masa ke semasa. Kamera kompak berprestasi tinggi atau high end compact camera terus dicipta dan diperbaharui dengan mempunyai berbagai ciri-ciri tambahan bagi merapatkan jurang diantara kamera kompak dengan kamera DSLR.

Aplikasi Kamera Kompak

Kita telah faham tentang ciri-ciri, kelemahan dan kelebihan kamera kompak. Perlu diberi perhatian di sini bahawa – kelemahan yang ada pada kamera kompak bukanlah satu kelemahan sebenarnya jika ciri tersebut tidak penting bagi tugasan atau keperluan tertentu. Contohnya, kelemahan kamera kompak yang mempunyai sensor bersaiz kecil bukanlah satu kelemahan langsung bagi jurufoto yang tidak bercadang untuk mempamerkan gambar dalam saiz besar. Jadi, kelemahan-kelemahan yang ada pada kamera kompak tidak perlu diambil kira jika ianya tidak menjadi masalah atau penghalang untuk kita. Fokuskan dan gunakan sepenuhnya kelebihan-kelebihan yang ada pada kamera kompak yang tidak terdapat pada kamera DSLR.

Artikel ini tidak bermaksud untuk menyatakan kamera kompak adalah lebih baik dari kamera DSLR. Cuma, apa yang ingin disampaikan ialah, kamera kompak mungkin lebih baik dan lebih sesuai digunakan berbanding kamera DSLR dalam situasi atau keperluan tertentu. Bagi kebanyakan peminat fotografi atau jurufoto profesional, kamera kompak hanya digunakan untuk tujuan tertentu dan dalam masa yang sama, kamera DSLR juga turut dimiliki bagi digunakan untuk merakam gambar dengan tujuan lain. Untuk berikutnya, mari kita perhatikan bagaimana kita boleh memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang ada pada kamera kompak.

Oleh kerana kamera kompak adalah ringan, ianya sesuai digunakan untuk merakam gambar dalam tempoh yang lama, terutamanya apabila kita perlu banyak bergerak atau berjalan kaki untuk merakam gambar. Contohnya apabila kita mengembara di luar negara sambil berjalan kaki di bandaraya yang besar.

Kamera ini juga sesuai digunakan apabila kita membuat aktiviti trekking di dalam hutan atau ketika mendaki gunung. Untuk aktiviti trekking sebegini, kita telah memang sedia menggunakan banyak tenaga untuk bergerak dan membawa beg galas dengan beban yang berat. Kita tidak ingin menambah lagi beban ini dengan membawa kamera yang berat seperti kamera DSLR. Jadi, kamera kompak sesuai digunakan untuk aktiviti sebegini. Namun, semuanya bergantung kepada keperluan anda. Jika anda amat perlukan kualiti foto dengan kejelasan yang terbaik, maka tidak dinafikan anda terpaksa membawa kamera DSLR.

Gambar dirakam di puncah Gunung Kinabalu menggunakan kamera kompak. Untuk mendaki gunung seperti ini memerlukan banyak tenaga dan sungguh memenatkan. Untuk itu, kamera kompak yang kecil dan ringan adalah amat sesuai digunakan dalam situasi ini. (Foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Kamera kompak adalah ringan disebabkan saiznya yang kecil. Kamera yang bersaiz kecil mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Kamera kompak yang bersaiz kecil tidak terlalu menonjol dan menarik perhatian orang lain. Ada sesetengah kerja fotografi yang memerlukan kita merakam gambar subjek manusia yang tidak kita kenali di tempat yang asing. Apabila kita merakam gambar dengan kamera kompak, orang lain tidak mengambil serius tentang kehadiran kita kerana kita tidak kelihatan seperti seorang jurufoto profesional, sebaliknya kita lebih kelihatan sebagai seorang pelancong atau sekadar sebagai seorang awam yang suka mengambil gambar.

Pernah terjadi seorang jurufoto akhbar profesional telah menyamar sebagai orang awam dengan membawa kamera kompak lalu dia dibenarkan masuk ke satu tempat larangan sedangkan jurufoto lain tidak dibenarkan masuk ke situ. Jurufoto yang menyamar tersebut telah berjaya merakam gambar yang baik hanya menggunakan kamera kompak sedangkan jurufoto lain yang menggunakan kamera DSLR tidak dibenarkan masuk dan langsung tidak dapat merakam apa-apa gambar.

Kamera kompak berharga lebih murah berbanding kamera DSLR. Jika anda meminati fotografi tetapi masih belum mampu memiliki kemera DSLR, anda boleh membeli kamera kompak dengan harga yang lebih rendah. Kamera kompak juga menawarkan berbagai ciri menarik yang sudah cukup untuk anda gunakan bagi memulakan penerokaan anda di dalam bidang fotografi. Untuk belajar asas fotografi seperti aperture, shutter, ISO, white balance, komposisi dan sebagainya, anda tetap boleh melakukannya dengan hanya menggunakan kamera kompak.

Oleh kerana harganya yang murah, kamera kompak juga sesuai dijadikan kamera kedua anda selain kamera DSLR yang telah dimiliki. Kamera kompak ini boleh dijadikan sebagai kamera sokongan (backup camera) sekiranya kamera DSLR anda rosak. Selain dari itu, walaupun anda telah memiliki kamera DSLR, kamera kompak yang dimiliki adalah lebih sesuai digunakan apabila anda ingin merakam gambar aktiviti keluarga atau ketika anda pergi mengembara misalnya.

Kamera kompak yang lebih murah ini juga selalu menjadi pilihan untuk jurufoto yang baru berjinak-jinak dalam fotografi bawah air (underwater photography) Ini kerana, underwater housing (bekas kedap air untuk melindungi kamera) untuk kamera kompak adalah jauh lebih murah dari underwater housing untuk kamera DSLR. Dengan menggunakan kamera kompak juga, risiko adalah lebih rendah jika berlaku kemalangan apabila underwater housing bocor lalu dimasuki air dan seterusnya merosakkan kamera yang digunakan.

Kamera kompak adalah lebih ringkas berbanding kamera DSLR. Ciri-ciri pada kamera kompak adalah lebih terbatas dan tidak secanggih kamera DSLR. Tetapi, bukan semua orang atau semua tugasan memerlukan ciri-ciri yang terlalu canggih. Adakalanya, kita hanya memerlukan kamera yang ringkas untuk merakam gambar.

Kamera kompak sesuai digunakan untuk anda berlatih merakam gambar dengan cara yang kreatif dan lebih bebas. Gambar yang kreatif adakalanya tidak mementingkan kawalan teknikal pada kamera yang terlalu canggih. Lagipun, apabila menggunakan kamera yang mempunyai terlalu banyak kawalan, kita akan terlalu risaukan tentang kawalan kamera lalu mengganggu fokus kita untuk menghasilkan foto yang kreatif atau berseni. Kamera kompak juga lebih ringan dan mudah dibawa. Jadi, ianya lebih selesa dibawa selalu dan dibawa kemana-mana sekadar untuk menjadikan anda kerap berlatih merakam gambar dan cuba bereksperimen dengan berbagai-bagai teknik kreatif sambil memantapkan kemahiran seni melihat (art of seeing)

Gambar dalam kategori fine art photography (fotografi seni halus) adakalanya tidak terlalu mementingkan kejelasan gambar, tetapi lebih mementingkan mesej, mood, komposisi dan sebagainya. Foto ini dirakam menggunakan kamera kompak tanpa memerlukan kejelasan yang terbaik. (Foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Kamera kompak yang ringkas ini juga sesuai digunakan sebagai kamera untuk tinjauan lokasi (recci) sebelum penggambaran sebenar dilakukan. Anda tidak memerlukan foto yang terlalu berkualiti ketika membuat tinjauan – foto yang dirakam oleh kamera kompak sudah memadai. Ketika membuat tinjauan juga, anda mungkin perlu banyak berjalan kaki, jadi, kamera DSLR akan cepat meletihkan dan mengurangkan fokus anda dalam tugasan membuat tinjaun tersebut.

Pendek kata, kamera kompak dengan teknologi terkini tidak harus dipandang rendah. Walaupun masih mempunyai beberapa kelemahan, kamera ini turut mempunyai kelebihan yang lebih baik berbanding kamera DSLR. Cuma, ia bergantung kepada tujuan penggunaan. Tidak dinafikan, untuk sesetengah tujuan, kamera kompak adalah jauh lebih baik atau lebih praktikal digunakan berbanding kamera DSLR. Kamera kompak kini masih dan terus diperbaiki dari masa ke semasa sesuai dengan perkembangan teknologi. Kita tidak tahu sejauh mana kamera kompak akan menyaingi kamera DSLR. Tetapi, apa yang pasti, ianya akan sentiasa menjadi bertambah baik dari masa ke semasa.

Hakcipta Terpelihara Hasnuddin Abu Samah / FOTOTEACHER.COM 2012

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Formula untuk Merakam Foto yang Hebat

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(To read this article in English version, please CLICK HERE)

Ramai orang yang boleh merakam gambar. Tetapi tidak ramai yang mampu merakam gambar yang menarik atau gambar yang hebat. Kadangkala, ada yang terfikir, cara untuk menghasilkan foto yang hebat adalah satu misteri atau satu rahsia yang hanya orang tertentu sahaja yang mengetahuinya. Malah, ada yang seolah-olah menyangka, jurufoto yang hebat seakan-akan mempunyai kuasa ajaib dimana setiap sentuhan rakamannya akan menghasilkan karya agung. Tanggapan ini tidaklah benar. Jurufoto hebat juga pernah gagal dan pernah buat silap.

Ketahuilah, sebenarnya dalam apa jua bidang, setiap perkara boleh dipelajari. Setiap kejayaan boleh dicapai jika kita melalui jalan yang betul dan salah satu kuncinya ialah – kerja keras. Dalam artikel ini, saya ingin bincangkan 7 perkara penting yang perlu anda berikan perhatian untuk menghasilkan foto yang hebat.

ILMU

Suka atau tidak, untuk mendapatkan foto yang hebat, kita perlu mempunyai ilmu yang cukup. Semakin tinggi ilmu yang dimiliki, semakin besar peluang untuk menghasilkan foto yang hebat. Ilmu boleh diperolehi dengan berbagai cara. Kita boleh membaca buku, membaca majalah dan membaca dari laman web. Kita juga boleh menghadiri bengkel fotografi atau belajar terus dari jurufoto lain yang lebih berpengalaman.

Tiada alasan untuk tidak belajar. Ada banyak cara untuk belajar. Pilihlah cara yang sesuai dengan bajet, kelapangan masa dan keselesaan anda. Apa yang penting, kita perlu fahami teori asas fotografi terlebih dahulu. Jangan hanya merakam gambar secara ikut-ikutan dan bergantung kepada nasib semata-mata. Setiap perkara yang berlaku ada sebabnya dan boleh dijelaskan secara teori. Gambar yang hebat sebenarnya boleh dirancang penghasilannya. Ia bukan terjadi sendiri. Untuk itu, kita perlu ada ilmu untuk menghasilkan foto yang hebat.

Setelah ilmu diperolehi, jangan lupa untuk mempraktikkannya. Dengan melakukan praktikal, barulah kita tahu ketepatan dan keberkesanan ilmu yang telah dipelajari; lalu kita boleh pula menyesuaikannya. Dengan melakukan praktikal juga, kita mungkin akan terjumpa dengan masalah lain, lalu kita akan belajar lagi untuk melengkapkan ilmu yang telah kita pelajari. Ingatlah, ilmu yang belum diamalkan adalah ilmu yang belum sempurna.

SUBJEK

Pada peringkat awal dalam fotografi, kita biasanya akan merakam gambar berbagai jenis subjek dengan berbagai jenis teknik. Ini adalah normal dalam proses pembelajaran di peringkat awal kerana kita perlu faham berbagai perkara asas dalam fotografi secara umum. Pada peringkat ini juga, kita masih tercari-cari subjek apakah yang paling menarik untuk dirakam. Tetapi, setelah melepasi peringkat asas dalam fotografi, kita perlu memilih subjek kita, bukan lagi merakam semua subjek secara rambang.

Untuk mendapatkan foto yang hebat, kita perlulah merakam subjek yang sesuai dengan minat kita. Contohnya, jika anda meminati aktiviti luar seperti jungle trekking, maka, rakaman foto mengenai alam semulajadi tentu lebih sesuai untuk anda. Secara khususnya, mungkin anda minat untuk merakam gambar makro berbagai jenis serangga, gambar burung atau gambar pemandangan alam semulajadi.

Kita perlu mempunyai minat yang mendalam terhadap subjek rakaman kita. Apabila kita minat mengenai sesuatu subjek, kita akan suka untuk ambil tahu banyak perkara mengenai subjek tersebut. Dengan pengetahuan yang luas mengenai sesuatu subjek, kita boleh merakam gambarnya dengan lebih baik. Ini kerana kita ada banyak cerita yang ingin disampaikan mengenai subjek tersebut. Dengan arifnya kita mengenai subjek tersebut, kita juga dapat menyampaikan ‘ceritanya’ dengan lebih baik.

Contohnya, jika kita mempunyai minat mengenai kehidupan burung tertentu, kita akan suka untuk tahu tentang habitatnya, tabiatnya, makanannya dan lain-lain perkara mengenai burung tersebut. Kita juga akan tahu – pada waktu bila, dimana, dari sudut mana dan dengan teknik apakah subjek tersebut harus dirakam agar gambar yang menarik dapat dihasilkan.

Jurufoto yang merakam gambar ini mengkhusus dalam merakam gambar labah-labah sahaja. Dengan minat yang mendalam mengenai subjeknya dan dengan pengkhususan yang dibuat, beliau bukan sahaja pakar dengan teknik yang tertentu, tetapi turut pakar mengenai subjek rakamannya. Beliau dapat mengenali berbagai spesis labah-labah, tabiatnya, habitatnya dan lain-lain ilmu berkaitan labah-labah. Dengan pengetahuan mendalam mengenai subjeknya ini, beliau dapat merakam gambar-gambar menarik mengenai labah-labah yang tidak dapat dirakam oleh jurufoto lain. (foto oleh Amir Ridhwan)

Elakkan merakam gambar sesuatu subjek sekadar terikut-ikut dengan orang lain sedangkan kita sebenarnya tidak meminati subjek tersebut. Tanpa minat kepada sesuatu subjek, kita tidak akan mempunyai keghairahan (passion) terhadapnya. Tanpa keghairahan, kita tidak akan berusaha kuat untuk mendapatkan gambar yang terbaik. Tanpa keghairahan juga, proses untuk mendapatkan gambar yang hebat akan dirasakan sebagai satu beban yang tidak seronok dilakukan.

KELEBIHAN (ADVANTAGE)

Selain dari merakam gambar subjek yang kita minati, kita juga sebaiknya mencari subjek yang kita mempunyai kelebihan atau kemudahan untuk merakam gambarnya. Contohnya, jika anda minat merakam gambar senibina, anda juga sebaiknya mempunyai kelebihan lain seperti bekelulusan sebagai seorang arkitek misalnya atau anda tinggal di kawasan yang mempunyai banyak bangunan dengan senibina yang menarik seperti di Putrajaya. Adalah sukar untuk anda mendapatkan gambar senibina yang baik jika anda tinggal di kawasan yang jauh dari subjek anda. Ini kerana, untuk mendapatkan gambar yang baik, anda perlu selalu merakam gambar subjek anda sehinggalah anda benar-benar mahir.

Sebagai contoh lain, sekiranya anda tinggal di negeri Sabah yang terkenal dengan keindahan dan kekayaan alam semulajadinya, anda mempunyai kelebihan untuk merakam gambar-gambar pemandangan alam semulajadi yang cantik atau merakam gambar hidupan liar di sana. Sekiranya anda tinggal di Sabah, tetapi anda hanya berminat merakam gambar kereta lumba F1, bermakna anda tidak menggunakan sepenuhnya kelebihan dan peluang yang telah ada di depan mata anda.

Jadi, cuba fikirkan, dengan situasi anda sekarang, apakah kelebihan yang telah anda miliki dan bagaimana anda boleh menggunakan sepenuhnya kelebihan tersebut untuk menghasilkan gambar yang menarik?

PERSEDIAAN

Gambar yang baik jarang terhasil dari rakaman rawak dan nasib baik semata-mata. Gambar yang baik terhasil dari rakaman yang didahului dengan persediaan yang rapi. Persediaan di sini bermaksud ilmu, kemahiran dan kajian mendalam mengenai subjek rakaman anda. Selain dari itu, persediaan lain juga adalah penting; seperti mencari idea, mencari lokasi menarik, mencuba teknik tertentu untuk rakaman gambar tertentu dan sebagainya.

Perancangan juga adalah penting. Orang yang gagal merancang sebenarnya merancang untuk gagal. Kita tidak boleh dengan mudahnya membawa kamera, keluar ke bandar tanpa tujuan, lalu berharap untuk dapat rakam gambar yang baik. Kita mesti merancang terlebih dahulu secara spesifik, apakah yang ingin dirakam, dimanakah lokasi rakaman, apakah teknik yang akan digunakan, apakah cabaran yang bakal dihadapi dan bermacam perkara lain yang perlu difikirkan dan perlu dilakukan persediaan.

Untuk merakam gambar pemandangan, selain dari ilmu umum yang perlu diketahui, kita juga mungkin perlu belajar menggunakan teknik-teknik atau peralatan-peralatan tertentu bagi menghasilkan foto yang menarik. Gambar ini dirakam menggunakan kamera infrared untuk mencapai kesan yang unik agar gambar pemandangan yang dirakam dapat memberikan kelainan kepada subjek yang dirakam. (foto oleh Affandi Abd Hamid)

Selalu juga berlaku, proses merancang atau pre-production itu memakan masa yang lebih lama berbanding masa yang digunakan untuk merakam gambarnya. Tetapi, biarlah kita benar-benar bersedia walaupun mengambil banyak masa, asalkan usaha kita itu menjanjikan rakaman gambar yang hebat.

Memang tidak dinafikan, adakalanya sesuatu gambar yang hebat telah dapat kita rakam kerana kita bernasib baik atau memang sudah rezeki kita pada hari itu. Adakalanya, kita pun amat bergantung kepada tuah untuk merakam gambar yang menarik. Tetapi, ingatlah bahawa, tuah hanya bermanfaat untuk orang yang bersedia. Bayangkan pada suatu hari, ketika anda sedang memandu, tiba-tiba anda melalui satu kawasan yang kelihatan sangat cantik dan kebetulan pula pada waktu itu, langit senja penuh dengan awan yang sungguh indah. Anda mungkin bertuah pada waktu itu untuk melihat pemandangan yang indah, tetapi anda mungkin tidak bertuah sebagai seorang jurufoto kerana anda tidak membawa kamera bersama pada ketika itu. Tetapi, katakan pula jika anda mempunyai kamera pada waktu itu, adakah anda telah bersedia dengan mempunyai ilmu dan kemahiran yang cukup untuk merakam gambar yang hebat? Jadi, bersedialah secukupnya agar apabila tuah menjelma, ia akan menjadi milik anda.

FOKUS

Sebelum keluar untuk merakam gambar, tetapkan matlamat anda. Fokuskan fikiran dan perhatian untuk mendapat apa yang telah anda rancangkan. Jangan cepat rambang mata atau terlalu tamak untuk merakam berbagai-bagai subjek yang tidak dirancang, kecualilah jika subjek tersebut betul-betul menarik.

Usahakan betul-betul untuk mendapatkan apa yang telah dirancang. Tidak rugi jika anda mengabaikan subjek-subjek lain dan berikan tumpuan kepada satu subjek sahaja. Adalah lebih baik mendapat sekeping gambar yang hebat berbanding mendapat 10 gambar yang ‘biasa-biasa’ sahaja kualitinya.

Selain dari tumpuan terhadap subjek, anda juga perlu berikan tumpuan kepada peralatan yang digunakan. Maksud di sini ialah, bawa peralatan yang diperlukan sahaja untuk merakam gambar sebagaimana yang dirancang. Tidak perlu bawa kesemua peralatan yang anda ada hanya kerana bimbang kalau-kalau ada subjek lain yang akan muncul. Semakin banyak peralatan yang dibawa atau semakin banyak pilihan lensa yang ada, tumpuan kita juga akan lebih mudah terganggu. Oleh kerana terlalu sibuk berfikir tentang lensa dan aksesori apa yang hendak diguna, kita akan hilang tumpuan terhadap subjek kita. Faktor berat beban memberi kesan kepada tenaga kita terutamanya ketika kita perlu banyak berjalan kaki untuk merakam gambar.

MELIHAT

Sebelum merakam gambar yang bagus, kita perlu ada mata yang mampu ‘melihat’; bukan sekadar penglihatan biasa, tetapi penglihatan unik sebagai seorang jurufoto yang mampu menterjemahkan apa yang dilihat menjadi sebuah foto yang menarik. Ini juga disebut sebagai The Art of Seeing atau seni melihat. Untuk mempunyai mata istimewa yang mampu melihat apa yang orang biasa tidak dapat lihat memerlukan ilmu dan latihan.

Sebelum gambar dirakam, lihatlah, fikirlah dan tanyalah diri anda – adakah subjek yang bakal dirakam berbaloi untuk dirakam? Adakah subjek tersebut cukup menarik? Apakah sebenarnya yang ingin anda tunjukkan atau ingin anda sampaikan kepada orang yang melihat gambar ini nanti? Jika sesuatu subjek tersebut benar-benar menarik, anda akan rasa teruja dengannya. Jika tidak, jangan membuang masa untuk merakamnya kerana ianya tidak akan menjadi.

Setelah subjek anda telah dipastikan, dapatkan komposisi yang menarik untuk merakam gambar. Subjek yang menarik dengan komposisi yang salah tidak akan menjadikan gambar anda menarik. Sebelum shutter dilepaskan, buat dulu keputusan samada gambar tersebut lebih baik dirakam secara melintang (horizontal) atau menegak (vertical). Adakah ia memberikan impak yang lebih baik jika dirakam dengan format 2:3, 1:1 atau 1:2? Begitu juga dengan banyak lagi perkara lain yang perlu dipertimbangkan seperti latar depan, latar belakang, jenis lensa yang sesuai digunakan, depth-of-field, kesan kelajuan shutter dan sebagainya.

Contoh gambar dengan aspect ratio 2:3 iaitu format gambar seperti yang dirakam oleh sensor kamera DSLR biasa. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum gambar dirakam ialah, pastikan bahawa terdapat 3 elemen yang menarik di dalam gambar anda. Biasanya, gambar yang hanya mempunyai satu elemen menarik tidak cukup kuat untuk menjadi gambar yang hebat. Contoh 3 elemen yang dimaksudkan di sini ialah: pertama, subjek di dalam gambar itu sendiri adalah menarik. Kedua, pencahayaan pada ketika itu juga menarik. Ketiga, latarbelakang di dalam gambar juga adalah menarik. Contoh lain, mungkin faktor pertama ialah subjek mempunyai ekspresi menarik. Kedua, teknik yang digunakan menarik (seperti teknik slow shutter) Ketiga, warna yang terdapat di dalam keseluruhan gambar adalah menarik. Tidak kisah apa pun teknik atau objeknya, pastika ada 3 elemen menarik di dalam gambar anda.

MASA

Untuk mendapatkan foto yang hebat, kita tahu kita perlu ada peralatan yang sesuai, ilmu yang mencukupi dan kemahiran yang tinggi. Selain dari itu, ada satu lagi faktor yang jarang diperkatan, iaitu kita juga perlu sanggup luangkan banyak masa untuk berlatih dan berusaha untuk merakam gambar yang hebat. Biasanya, orang yang mempunyai banyak wang mempunyai masa yang kurang, sebaliknya, orang yang mempunyai banyak masa, mempunyai kurang wang. Jadi, orang yang banyak wang, mampu membeli peralatan yang mahal, tetapi mereka kurang masa untuk berlatih merakam gambar, begitu juga sebaliknya. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Tetapi, suka atau tidak, kita perlu mencari masa untuk merakam gambar. Apa pun kekurangan yang kita ada, kita perlu mencari jalan penyelesaiannya.

Contoh gambar dengan aspect ratio 1:2 atau dikenali juga dengan format panoramic. Format ini berasal dari kamera medium format 120 dengan saiz imej 6X12 cm. Gambar ini dirakam dengan kamera DSLR dan kemudiannya dilakukan pemangkasan (cropping) di dalam perisian Adobe Photoshop untuk menjadikannya sebagai gambar berformat panoramic. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)

Jika difikirkan, tidak ada rahsia untuk menjadi seorang jurufoto yang hebat. Apa yang perlu dilakukan hanyalah berlatih dan berusaha untuk memburu gambar yang anda idamkan. Semakin banyak masa yang kita luangkan untuk merakam gambar, semakin besarlah peluang untuk kita mendapatkan hasil yang hebat. Tidak kira apa pun yang kita lakukan, sesuatu pekerjaan yang dilakukan secara kerap dalam satu tempoh masa yang lama pasti akan membuatkan kita mahir dalam melakukan kerja tersebut. Lebih-lebih lagi jika kita hanya menumpu kepada satu kemahiran yang khusus.

Cuba bayangkan jika sekarang ini anda tidak pandai memasak nasi goreng. Jika anda belajar asasnya, dan berlatih memasak nasi goreng 5 kali sehari pada setiap hari; agaknya, berapa lamakah masa yang perlu anda ambil untuk berjaya menghasilkan nasi goreng yang sedap? Mungkin cuma dalam masa 2-3 hari sahaja! Mudah saja caranya. Tetapi, bukan semua orang yang sanggup melakukannya. Jadi, berhentilah mencari alasan dan berusahalah mendapatkan gambar yang hebat jika itu yang benar-benar anda mahukan.

Kita teruja melihat gambar-gambar oleh jurufoto profesional. Gambar-gambar mereka sungguh hebat hingga adakalanya terdetik di dalam hati kita bahawa kita tidak akan berupaya mencapai tahap seperti mereka. Malah kadangkala, ada bisikan negatif memberi alasan, jurufoto profesional itu kononnya memang berbakat, mereka menggunakan peralatan mahal, mereka berpendidikan tinggi dan sebagainya. Tetapi, hakikatnya, mereka juga adalah manusia biasa seperti kita semua. Mereka tidak ada kuasa ajaib dan mereka tidak menggunakan jalan pintas. Pernahkan kita tanya, berapa lamakah atau berapa kuatkah mereka telah berusaha untuk mencapai tahap tersebut? Pernahkah kita tanya, dalam 10 keping gambar hebat yang telah mereka rakam, berapa ratus atau berapa ribu keping pula gambar yang tidak menjadi? Pernahkah kita tanya, untuk menghasilkan sekeping gambar yang hebat itu, berapa lamakah masa yang beliau ambil dan berapa kalikah beliau telah berulang alik ke lokasi yang sama untuk mendapatkah subjek, pencahayaan dan detik yang sesuai?

Hakcipta Terpelihara 2012 – Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

BLOG ARKIB – Komposisi Gambar

Komposisi Gambar
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Komposisi Gambar”– 20 Jun 2009)

Jurugambar perkahwinan bertanggungjawab untuk hasilkan gambar perkahwinan yang cantik, walaupun mungkin pada hakikatnya, majlis perkahwinan yang kita rakam itu tidak berapa cantik. Dengan kemahiran komposisi, kita boleh jadikan sesuatu subjek itu lebih menarik di dalam gambar.

Lihat pada gambar A

Gambar A menunjukkan keadaan sebenar pelamin yang dipasang di hadapan rumah pengantin. Tembok dan meja kosong di sebelah kiri gambar tersebut tidak perlu berada di dalam gambar kita. Begitu juga dengan kipas angin yang terletak di sebelah kanan gambar. Jadi, ‘keluarkan’ objek-objek yang tidak dikehendaki tersebut dari komposisi gambar kita.

Lihat pada gambar B

Beri perhatian kepada subjek yang lebih cantik dan menarik. Dengan komposisi yang padat ini, subjek penting akan lebih menyerlah di dalam gambar. Tanpa gangguan dari objek lain yang tidak penting, gambar ini telah jadi lebih cantik, kemas dan menarik.

Walaupun gambar B lebih menarik, anda perlu juga merakam gambar seperti gambar A yang menunjukkan keseluruhan pemandangan pelamin. Ini kerana, kadangkala, pelanggan ingin lihat gambar keseluruhan pelamin. Anda perlu cadangkan supaya pelanggan pilih gambar B. Namun begitu, pelanggan berhak memilih gambar mana yang beliau suka.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Sekiranya anda berminat untuk mempelajari teknik fotografi perkahwinan, sila ikuti Kursus Fotografi Perkahwinan anjuran FOTOTEACHER.COM. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, SILA KLIK DI SINI


Fotografi Tradisional

Di dalam era digital sekarang ini, masih ada segolongan jurufoto yang masih meminati fotografi yang menggunakan filem. Golongan ini biasanya gemar menggunakan kamera mekanikal yang banyak berfungsi secara manual dimana gambar dirakam menggunakan filem. Filem yang telah didedahkan boleh diproses sendiri dan seterusnya boleh dicetak sendiri di dalam bilik gelap menggunakan bahan kimia dan peralatan-peralatan khas yang lain. Penggiat Lomografi merupakan salah satu golongan yang banyak menggunakan filem.

Peminat fotografi filem memilih media ini kerana ianya dapat memberikan kepuasan yang tersendiri yang tidak boleh didapati dari fotografi digital. Apabila merakam foto dengan filem, kemahiran dan disiplin seseorang jurufoto itu akan lebih teruji. Pengetahuan asas dalam proses ini juga boleh menjadikan seseorang itu lebih memahami dan menghargai fotografi. Bukan bermaksud untuk menolak kemajuan teknologi digital, media filem ini biasanya hanya digunakan untuk tujuan hobi atau sebagai media alternatif di samping fotografi digital.

Menyedari betapa pentingnya untuk memelihara proses ini agar tidak lenyap selamanya, FOTOTEACHER.COM menawarkan penjualan berbagai peralatan dan aksesori yang diperlukan untuk mempraktikkan proses fotografi filem. Produk-produk ini amat sukar didapati sekarang ini, terutamanya di Malaysia.


Kami menawarkan rangkaian produk yang lengkap dari jenama Ilford, meliputi berbagai jenis filem, chemical dan photographic paper. Antara filem yang ditawarkan ialah filem dari format 35mm, 120 dan 4X5 inci. Filem-filem ini juga disediakan dengan berbagai tahap ISO seperti 50, 100, 200, 400 dan 3200. Filem dengan kesan infrared juga ada dijual. Selain dari itu, berbagai jenis chemical juga boleh didapatkan dari kami seperti film developer, paper developer, stop bath, fixer, wetting agent dan hypo.


Kami juga merupakan pengedar tunggal (sole distributor) untuk produk jenama Paterson di Malaysia. Paterson adalah jenama terkemuka dari United Kingdom yang mengeluarkan produk-produk berkualiti seperti enlarger, enlarger timer, darkroom timer, thermometer, beaker, developing tray, negative hanger, paper dryer, changing bag, developing tank, tongs, paper squeegee, easel dan banyak lagi. Selain dari jenama dari Paterson, kami juga menjual produk untuk memproses filem dan produk darkroom dari jenama AP, LPL, Saunders, Raydawn dan Konica.


Sebagai melengkapkan lagi rangkaian produk yang ditawarkan, kami turut menjual kamera filem jenis rangefinder dari jenama Voigtlander bersama berbagai jenis lensanya. Selain dari itu, kami juga ada menjual kamera jenis TLR jenama Seagull dan lain-lain aksesori kamera filem seperti cable release dan filter.


Kami bukan setakat menjual produk, tetapi kami sendiri menggunakan produk yang dijual dan mempraktikkan proses fotografi menggunakan filem. Dari masa ke semasa, kami turut mengadakan bengkel mengenai cara-cara memproses filem dan mencetak foto di dalam bilik gelap.

Untuk membeli produk-produk berkaitan fotografi filem, SILA KLIK DI SINI
Untuk menghadiri bengkel cara memproses filem dan cetakan foto di dalam bilik gelap, SILA KLIK DI SINI

Untuk pertanyaan atau bantuan, sila hubungi kami di 03-91017155/012-6020770 atau e-mel kepada sales@fototeacher.com

Pembelian produk boleh dibuat secara online atau anda boleh datang sendiri ke pejabat kami di:
FOTOTEACHER.COM, C-1-9, Megan Phoenix, Jalan Cheras, 56000 Kuala Lumpur, Malaysia (sila buat temujanji sebelum hadir)
SILA KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT PETA KE PEJABAT KAMI.

BLOG ARKIB – Kreatif Tak Tentu Hala @ Syok Sendiri


KREATIF TAK TENTU HALA @ SYOK SENDIRI
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk Kreatif Tak Tentu Hala @ Syok Sendiri – 10 November 2008)

Tadi saya sempat dengar feedback dari seorang client yang tak berapa puas hati dengan hasil gambar yang dia dapat. Client ini baru kahwin. Jadi, semasa majlis perkahwinan dia baru-baru ini, dia telah upah seorang photographer. Photographer ini banyak shoot gambar-gambar ala-ala kreatif dengan ‘trend terkini’.

Masalahnya, client ini sudah melepasi usia ‘remaja’ dan jenis yang ada ‘citarasa. Client macam ini biasanya tidak berapa suka gambar yang terlalu kreatif dan style gila-gila. Gambar sebegini biasanya hanya digemari oleh pengantin remaja. Pengantin yang bukan remaja dan dari golongan pertengahan ke atas, lebih suka gambar standard yang cantik dengan sedikit sentuhan kreatif. Jadi, jurugambar seharusnya tahu, gambar jenis macamana yang boleh tackle hati pengantin.

Kalau shoot gambar kreatif yang berpada-pada, saya rasa, ramai orang boleh terima. Kreatif itu memang bagus -yang menjadi masalah sekarang ini, gambar kreatif yang sudah jadi karya syok sendiri; gambar yang dirakam tanpa memikirkan ‘hati dan perasaan’ orang lain.

Ramai jurugambar sekarang terikut-ikut dengan trend dan pelbagai gaya fotografi. Yang mengikut itu pula, tidak tahu kenapa dia mengikut. Yang dia tahu, dia mengikut sahaja. Orang shoot pakai fisheye lens, dia ikut. Orang shoot low angle, dia ikut. Orang shoot candid, dia ikut.

Nak shoot pakai  fisheye lens, kenalah tengok subjek yang sesuai. Bukan semua subjek sesuai dirakam guna fisheye lens. Kalau boleh, janganlah letak muka subjek di bucu framing sampai kembang muka subjek kita tu dek distortion. Kita sebagai jurugambar memanglah suka efek distortion dan perspective yang unik ini. Tapi, kita kena tanya diri kita, siapa yang bayar kita ambil gambar ni? Dia sukakah apa yang kita suka? Client ni, selalunya dia tak complaint depan-depan kita – maklumlah, orang Melayu penuh dengan sopan santun. Tapi, saya banyak kali dengar client complaint pasal kes gambar herot dan kembang ni. OK, sebelum saya diserang, saya nak buat disclaimer. Kalau ada jurugambar yang memang confirm kata client dia sangat suka gambar muka herot dan kembang – then, go ahead. Janji client suka. Lagi satu, pasal isu distortion ni, saya bercakap untuk wedding photography saja. Bidang fotografi lain seperti fine art, photojournalism dan sebagainya, saya taknak komen pasal distortion. Itu dah tajuk lain.

Lagi satu pasal shooting dari low angle. Shoot dari low angle ni memang dah ada dalam teknik fotografi sejak zaman Tok Kadok lagi. Cuma sekarang ni dah terover popular. Kalau nak shoot low angle tu memanglah boleh. Tapi, kena tengoklah jugak kalau-kalau angle tu mencacatkan gambar, terutamanya muka subjek kita. Satu orang client ni complaint kat saya, ada sorang jurugambar ni banyak shoot gambar kahwin dia dari low angle. Kata client ni, lubang hidung dia nampak besar dari low angle. Lubang hidung dia ni dahlah memang besar, shoot pulak dari low angle, memang nampak lubang hidung je la.

Lagi satu complaint yang selalu saya dengar dari client ialah pasal photographer shoot gambar kandid budak-budak. Budak-budak kecil ni memang comel. Tapi, kalau boleh, kena tengok jugak, apa hubungan budak kecil tu dengan pengantin dan samada pengantin suka atau tidak gambar-gambar kandid macam ni. Janganlah main tembak saja – shoot gambar kandid budak-budak ni sampai 50 frame, macam-macam gaya, sampai lupa nak shoot gambar pengantin.  Alih-alih, budak kecil tu rupanya anak kepada kawan kepada pakcik kepada jiran kepada mamat yang supply P.A. System kat majlis kahwin tu. Tak ke haru. Gambar budak tu pulak dah dimasukkan dalam custom album, dengan centre spread layout. Double haru…

Minta maaf kalau saya ada menyinggung mana-mana pihak dalam artikel ni. Sekadar berkongsi dan menyampaikan apa yang saya dengar dari pelanggan – untuk kebaikan kita bersama. Apa yang saya tulis, hanya betul bagi pendapat saya dan saya percaya, ada pendapat lain yang betul juga. Harap anda boleh kongsi pengalaman dan pendapat anda di ruangan komen di bawah ni.

LANGGAN NEWSLETTER PERCUMA DARI fototeacher.com! Anda akan diberitahu secara automatik melalui e-mel sekiranya ada sebarang artikel baru, kursus percuma, promosi, program baru, berita terkini dan sebagainya. Untuk melanggan newsletter percuma ini, sila ke –http://www.fototeacher.com/subscribe.htm