August 15, 2011 Categorized under Artikel Teknikal - No Comment

FILE FORMAT

FILE FORMAT
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Artikel ini adalah sebahagian dari nota untuk Kursus Asas Fotografi Online (AFO)

File Format

Setelah sensor menangkap imej, imej tersebut akan disimpan di dalam memory card. Tetapi sebelum itu, pengguna harus menetapkan dulu, dalam format apakah imej itu hendak disimpan. Imej boleh disimpan di dalam berbagai jenis format dan setiap format tersebut mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Ada 3 jenis pilihan format iaitu RAW, TIFF dan JPEG.

JPEG
Format JPEG adalah format yang paling universal kerana fail di dalam format ini boleh dibaca oleh semua jenis image viewer. Ia juga merupakan format yang paling popular kerana saiz failnya tidak terlalu besar disamping kualiti gambar yang dihasilkan adalah cukup baik.

TIFF
Format TIFF mempunyai kualiti yang lebih baik berbanding JPEG, tetapi saiz failnya adalah lebih besar. Malah saiz failnya selalunya lebih besar dari saiz fail RAW.  Oleh kerana saiznya yang besar, ia menggunakan ruang simpanan data yang besar di dalam memory card anda dan melambatkan sedikit proses penyimpanan data. Bukan semua kamera DSLR menawarkan pilihan untuk rakaman dalam format TIFF kerana ianya jarang digunakan.

RAW
Format RAW memberikan kualiti terbaik diantara ketiga-tiga format ini. Namun, setiap imej RAW mestilah diproses terlebih dahulu menggunakan software tertentu sebelum ianya boleh menjadi gambar yang sempurna. Oleh kerana saiz failnya yang besar, format RAW memerlukan saiz simpanan data yang lebih besar juga.

Kesimpulannya, setiap jenis format mempunyai kelebihan dan kekurangan. Format yang paling kerap digunakan adalah format JPEG dan RAW. Format TIFF kurang menjadi pilihan kerana kelebihannya tidak begitu banyak bezanya berbanding RAW. Untuk peringkat awal, saya cadangkan anda menggunakan format JPEG kerana ianya sudah cukup berkualiti bagi kebanyakan keperluan.

Untuk mempelajari asas fotografi secara online, sila ke – http://fototeacher.com/KursusAsasFotografiOnline.htm

August 10, 2011 Categorized under BLOG ARKIB - No Comment

BLOG ARKIB – Puji, Kritik dan Kutuk

BLOG ARKIB – Puji, Kritik dan Kutuk
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Puji, Kritik dan Kutuk”– 28 Januari 2009)

Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk fototeacher.com

Untuk perbaiki karya fotografi kita, kita perlukan komen, malah kritikan dari individu lain. Dengan ini, barulah kita nampak kelemahan kita yang perlu diperbaiki. Dengan cara ini juga kita akan dapat input baru hasil dari pendapat, menerusi pengalaman orang yang memberikan komen kepada gambar kita.

Tapi, adakah kita ikhlas ingin belajar dengan menerima komen dari orang lain? Adakah kita akan berpuas hati dengan komen yang diberikan kepada gambar kita? Hakikatnya, kebenaran memang adakalanya pahit ditelan.

Bila dilihat dalam blog, foto blog dan sebagainya, rakan-rakan yang memberikan komen kepada gambar kita selalunya akan memberikan komen yang baik saja mengenai gambar yang kita rakam. Ini semata-mata untuk menjaga hati dan menjalinkan hubungan yang baik. Kita perlu menganggap komen ini sebagai ‘komen sosial’ yang tidak banyak membantu perkembangan fotografi kita. Kalau kita rasa bangga dan berpuas hati dengan ‘komen sosial’ yang diberikan ini, alamatnya, kita takkan kemana di dalam fotografi.

Masyarakat kita tidak mudah menerima kritikan. Masyarakat kita juga tidak pandai memberikan kritikan. Kritikan yang baik harus diberikan dengan cara yang berhemah. Kritikan yang baik perlu disertakan dengan fakta yang kukuh. Ianya juga sebaiknya desertakan dengan panduan atau cadangan bagi membantu orang yang dikritik itu memperbaiki hasil kerjanya.

Kita harus boleh bezakan antara mengkritik dan mengutuk. Kita harus boleh bezakan diantara kritikan membina dan cacian yang mengaibkan. Jadi, untuk kemajuan kita bersama, kita harus bijak mengkritik dan harus rasional dalam menerima kritikan. Barulah kita semua boleh maju dalam bidang fotografi.

Tidak ada sesiapa yang sempurna. Tidak ada gambar yang sempurna. Walau sehandal manapun kita dan walau secantik manapun gambar kita, sentiasa masih ada ruang untuk diperbaiki. Jadi, sentiasa akan ada ruang untuk dikritik. Untuk sentiasa maju, kita harus sentiasa boleh dikritik.

Dalam konteks untuk memperbaiki diri, bila ada orang puji gambar kita, kita kena pertimbangkan 2 perkara ini: iaitu yang pertamanya orang itu mungkin tidak cukup hebat dalam fotografi kerana dengan mudah memuji gambar yang kita rakam dan yang keduanya, kita adalah orang yang malang sebab kita sudah tidak ada ruang untuk belajar dan memperbaiki diri kerana gambar kita kononnya sudah sempurna.

Namun, bila dikritik, adakalanya, kita perlu mempertahankan pendirian kita jika kita ada sebab yang kukuh. Kita tidak perlu menerima semua kritikan bulat-bulat. Sebab, kadangkala, orang yang mengkritik itu pun sebenarnya tidak layak untuk mengkritik.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk fototeacher.com

Sila layari laman Facebook FOTOTEACHER di – http://www.facebook.com/fototeacher

August 5, 2011 Categorized under Artikel Teknikal - No Comment

Kenali Kawalan Kamera DSLR

Kepada anda yang masih baru dalam fotografi, berikut ini adalah rajah tentang bagaimana kamera DSLR berfungsi serta rajah tentang bahagian-bahagian penting pada kamera DSLR. Bahan ini adalah sebahagian dari kandungan kursus Asas Fotografi Online (AFO) yang dianjurkan oleh FOTOTEACHER.COM. Untuk mempelajari asas fotografi secara online, sila ke – http://fototeacher.com/KursusAsasFotografiOnline.htm

Dapatkan artikel dan tips fotografi dihantar terus ke e-mel anda dengan melanggan newsletter percuma dari FOTOTEACHER.COM. Untuk melanggan, sila ke – http://fototeacher.com/subscribe.htm

August 5, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Fikiran, Inspirasi & Motivasi - 1 Comment

Pameran Fotografi vs Facebook Album

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Di dalam zaman internet kini, jurufoto dengan mudah dapat mempamerkan karya mereka melalui laman web, blog, Facebook, Flickr dan sebagainya. Karya foto dapat ‘dipamerkan’ dalam media elektronik ini dengan mudah dan dapat mencapai ribuan pelawat di alam siber dari seluruh dunia! Disebabkan faktor ini, ramai jurufoto tidak lagi berminat untuk mempamerkan karya mereka dalam pameran fotografi yang diadakan di galeri yang ternyata lebih sukar prosesnya dan lebih tinggi kosnya.

Tidak seperti berkongsi karya foto di internet, apabila mengadakan pameran fotografi di galeri, seseorang jurufoto perlu mengeluarkan kos tambahan seperti mencetak foto ke saiz besar, membingkaikan foto dan adakalanya terpaksa membayar kos sewaan galeri.

Jadi, mengapa perlu mempamerkan foto di galeri? Apakah kelebihannya? Adakah berbaloi kita mengorbankan masa dan wang untuk mempamerkan karya foto kita di galeri?

Sebelum era digital dan internet, cara terbaik untuk memperlihatkan karya senifoto adalah melalui pameran fotografi yang diadakan di galeri seni. Selain dari berkongsi karya, pameran fotografi mampu mengangkat tahap seseorang jurufoto dan secara tidak langsung, setiap pameran yang diadakan adalah seumpama pengiktirafan istimewa kepada seseorang jurufoto itu. Selain dari itu, ada juga jurufoto yang memperolehi pendapatan lumayan dengan menjual karya senifoto mereka kepada pengumpul karya seni.

Tidak seperti mempamerkan foto di internet, pameran fotografi di galeri memberikan impak yang amat berbeza. Foto yang dilihat di skrin komputer tidak dapat menandingi kesan yang diberikan oleh paparan foto yang dipamerkan di dinding-dinding galeri. Di galeri, foto dicetak ke saiz yang besar siap dengan kemasan bingkai. Selalunya, semakin besar saiz foto yang dipamerkan, semakin kuat impak yang dihasilkan. Segalanya juga harus kelihatan sempurna – kualiti cetakan foto, pemilihan mounting, pemilihan bingkai, susunan siri foto, tema, konsep pameran, kualiti pencahayaan bahan pameran dan sebagainya. Ianya merupakan sebuah persembahan seni yang cukup unggul.

Di era digital, jarang sekali kita mencetak foto yang dirakam. Selalunya, foto-foto ini sekadar dimuat-naik dan dikongsikan di alam internet. Dari satu sudut pandang, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa, foto yang tidak dicetak dan tidak dipamerkan di ‘alam nyata’ adalah satu karya yang tidak sempurna prosesnya! Jadi, secara ekstremnya mungkin kita boleh katakan bahawa, jika kita rasa karya kita layak dikongsi dan kita menghargai karya kita sendiri – maka pamerkan karya itu di galeri!

Mempamerkan karya di galeri juga memberikan peluang kepada jurufoto untuk bertemu secara bersemuka dengan peminat karyanya. Jurufoto boleh menjawab soalan, berbincang dan berbual secara langsung dengan pengunjung pameran. Jurufoto juga perlu bersedia menghadapi kritikan dan mempertahankan karyanya jika perlu. Bentuk komunikasi begini nampak lebih telus dan lebih hidup berbanding komunikasi di alam siber.

Dunia seni telah meletakkan standard bahawa, karya seni harus dipamerkan di galeri sebagai satu bentuk penghargaan kepada karya seni itu sendiri. Ini juga akan membuktikan kesungguhan seseorang artis dalam kerjayanya. Artis seni lukis dan seni arca misalnya telah lama ‘bermain’ dan sentiasa aktif dalam berbagai pameran seni. Kini sudah tiba masanya, pengkarya fotografi pula melibatkan diri secara aktif dalam mempamerkan karya mereka di galeri seni, sesuai dengan perkembangan fotografi dewasa ini.

Sebagai permulaan, kita boleh mengadakan pameran secara berkumpulan bersama beberapa orang rakan jurufoto atau lebih mudah lagi jika kita menyertai pameran yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Matlamat seterusnya adalah untuk mengadakan pameran solo pula. Pameran solo memerlukan seseorang jurufoto mempunyai koleksi karya foto yang lebih banyak dan ianya juga lebih rumit untuk diadakan.

Terdapat dua cara untuk mendapatkan ruang galeri. Cara pertama ialah dengan menunjukkan contoh karya kita kepada galeri yang telah dipilih. Pihak galeri akan membuat keputusan samada karya kita cukup kuat untuk dipamerkan. Jika pihak galeri setuju mempamerkan karya kita, mereka biasanya akan mengambil sejumlah komisen dari setiap karya kita yang terjual semasa pameran berlangsung.

Cara kedua untuk mendapatkan ruang galeri ialah dengan membayar keseluruhan kos sewaan galeri. Biasanya, dengan cara ini, pihak galeri tidak begitu kisah tentang karya yang ingin dipamerkan asalkan kita membayar kos sewa yang telah ditetapkan. Kos sewaan galeri ini biasanya dalam lingkungan RM2,000 hingga RM5,000 untuk sewaan seminggu bergantung kepada saiz ruang dan lokasi galeri. Selain dari kos ini, jurufoto perlu menanggung sendiri kos cetakan gambar, bingkai foto, promosi, katalog pameran dan majlis pelancaran. Kos ini boleh diringankan dengan mengadakan pameran secara berkumpulan atau mendapatkan penaja.

Tidak seperti di negara maju, jiwa masyarakat kita belum begitu ‘hampir’ dengan galeri atau karya seni itu sendiri. Mengunjungi galeri bukan menjadi kebiasaan bagi kebanyakan dari kita. Tetapi, situasi itu boleh diubah. Kita sendiri perlu mengubahnya. Mungkin ramai yang malas untuk mengunjungi galeri kerana terpaksa meluangkan masa dan menempuh kesesakan jalanraya misalnya. Tetapi, percayalah, memang berbaloi meluangkan masa untuk menghayati pameran foto yang bagus. Ianya boleh memberikan inspirasi kepada kita untuk terus berkarya di dalam fotografi.

Bagi jurufoto yang berjaya mempamerkan karyanya di galeri, ianya merupakan kemuncak kepuasan dalam berkarya. Ianya adalah umpama satu pencapaian dalam perjalanan kita sebagai seorang jurufoto.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2011. Dilarang mengeluarkan semula artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari FOTOTEACHER.COM

Saya bersama Bustamam Mokhtar semasa pameran solo beliau di Pavilion Kuala Lumpur

Saya ketika menyertai Pameran Fotografi yang dianjurkan oleh AKAR & KukuBesi Manipulasi

Ketika menghadiri pameran fotografi oleh pelajar fotografi UTM SPACE di Annexe Gallery

Bersama rakan-rakan dan Ikram Ismail ketika pameran fotografi solo beliau di Balai Berita, NSTP

Bersama karya foto saya yang dipamerkan dalam Pameran Terbuka 2011, Galeri Shah Alam

DAPATKAN AKSESORI FOTOGRAFI DARI KEDAI ONLINE FOTOTEACHER! SILA KLIK DI SINI

July 30, 2011 Categorized under BLOG ARKIB - 1 Comment

BLOG ARKIB – Kamera Murah dan RM1 Juta

BLOG ARKIB – Kamera Murah dan RM1 Juta
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Kamera Murah dan RM1 Juta”– 7 Disember 2008)

Dari Kiri – Flash Nikon SB 26, Lensa Nikkor 28-105mm f/3.3-4.5 dan Kamera filem Nikon F80.

Peralatan di atas memberikan nostalgia yang penting dalam hidup saya.
Walaupun ianya adalah kamera lama dan ketinggalan zaman, saya masih
simpan peralatan ini dengan baik. Menambahkan ‘sayang’ saya pada setiap
satu peralatan ini ialah kerana saya membelinya pada satu ketika dulu dengan
wang yang begitu terasa besar nilainya buat saya.

Flash itu sudah berusia lebih dari 13 tahun. Saya beli ketika masih lagi belajar di
ITM. Saya beli flash ini hasil dari wang yang dikumpul beberapa bulan hasil
dari kerja-kerja fotografi sambilan yang dibuat. Harganya pada waktu
itu RM850, terasa cukup besar bagai menggigil nak membayar.

Lensa itu pula adalah lensa terpakai yang dibeli pada tahun 2001.
Waktu itu duit yang ada hanya cukup-cukup untuk bayar harga lensa.
Wang RM800 yang dikeluarkan tidak meninggalkan baki di dalam dompet.
Tapi hati tetap senang bila dapat bawa pulang lensa baru.

Kamera Nikon F80 ini saya beli dengan harga RM1,600 ketika mula-mula
menubuhkan Adan Impresif pada tahun 2001. Di waktu itu, jurugambar
perkahwinan yang lain sudah ramai menggunakan kamera yang lebih gah
seperti F90 dan F100. Saya terpaksa berpuas hati dengan kamera F80
yang bertaraf kamera amatur ini – janji boleh buat kerja untuk menampung
keperluan hidup pada waktu itu.

Dengan keseluruhan peralatan yang berharga RM3,250.00, saya mendirikan
Adan Impresif. Sedar tak sedar, berpunca dari kamera buruk inilah yang
telah membuahkan berbagai keuntungan dalam perniagaan saya sekarang.
Bak kata pepatah, perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah
pertama.

Ada apa dengan modal wang? Kita ada masa 24 jam sehari, kita
masing-masing dianugerahkan dengan bakat yang unik. Gunakan apa saja
yang ada. Jangan merungut dengan apa yang kita tidak ada. Saya masih
ingat, Tan Sri Halim Mohammad (Pemilik Halim Mazmin, salah seorang
multi jutawan Malaysia) pernah berkata kepada saya, “Orang ‘kita’
berniaga tak banyak modal wang. Tapi kita ada modal kemahiran dan
masa. Gunakan ini habis-habisan. Cuma ini yang kita ada”

Tidak keterlaluan jika saya katakan, kamera ini telah membantu saya
membuat lebih dari RM1 juta ringgit untuk Adan Impresif. Saya tidak kata
saya jutawan sebab saya tidak ada RM1 juta di dalam bank sekarang. Tetapi,
jutaan ringgit telah dibuat di dalam tempoh lebih dari 10 tahun walaupun
kebanyakannya telah ‘hangus’ membayar sewa, gaji, stok dan sebagainya.

Tanpa bapa, tidak ada anak. Tanpa kamera murah, tidak ada kamera mahal.
Walaupun kamera buruk saya ini sudah tidak digunakan sekarang, rasanya tidak
patutlah ianya dijual. Biarlah disimpan saja sebagai satu lambang kepada semangat
keusahawanan yang akan terus saya ingati.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


Dapatkan artikel fotografi percuma dari FOTOTEACHER.COM. Sila klik di sini.

July 29, 2011 Categorized under Report BAP - 1 Comment

Report – Bengkel Asas Photoshop (BAP)

Gambar peserta Bengkel Asas Photoshop untuk Institut Penilaian Negara (INSPEN) oleh FOTOTEACHER.COM yang telah diadakan pada
25-28 Julai 2011. Kepada peserta yang ingin mendapatkan gambar ini di dalam saiz besar, sila ke – http://fototeacher.com/BAPdiINSPENLarge.jpg

July 27, 2011 Categorized under Report AVD - No Comment

Report – Kursus Asas Videografi Digital (AVD)

Gambar peserta Kursus Asas Videografi Digital (AVD) untuk Universiti Malaysia Kelantan oleh FOTOTEACHER.COM telah diadakan pada 25-26 Julai 2011

Kepada peserta yang ingin mendapatkan gambar ini dalam saiz besar, sila ke – http://fototeacher.com/GroupPhotoAVDUMKLarge.jpg

Berikut ini adalah diantara beberapa testimoni dari peserta kursus ini:

“Berpuas hati mengikuti kursus ini. Perkongsian ilmu dan pengalaman cukup memberi kesan kepada peserta. Program ini perlu diteruskan di masa hadapan”
- TUAN ROSTAN TUAN HASAN

“Saya amat berpuas hati dengan kursus yang dijalankan kerana ianya disampaikan dengan mudah, praktikal dan efektif”
- AMIRUL FIRDAUS

“Kursus Asas Videografi ini amat memuaskan hati saya kerana penceramah telah memberi teknik-teknik yang berkesan untuk menggunakan video”
- WAN FAKRUZEE IKMAL BIN WAN ABDULLAH

“Saya sangat berpuas hati dengan cara pengajaran dan pembelajaran dalam kursus ini”
- TUKIMAN BAHARI BIN MOHAMED NOOR

“Banyak pengalamn dan ilmu yang dikongsikan di sepanjang kursus dan memberikan saya pemahaman yang sewajarnya berkenaan videografi”
- MOHD KHAIRUL ANUAR

Kepada anda yang berminat untuk menyertai berbagai kursus fotografi yang dianjurkan oleh FOTOTEACHER.COM, sila layari – http://fototeacher.com/

July 25, 2011 Categorized under video - No Comment

Video – Proses Filem Menggunakan Kopi dan Vitamin C!

Satu cara alternatif yang sungguh menarik! Kopi dan vitamin C digunakan sebagai developer untuk memproses filem. Hasilnya tidaklah sesempurna seperti menggunakan developer sebenar, tetapi, ianya memberikan kesan yang menarik dan menyeronokkan.

Untuk maklumat tambahan, sila ke laman web Photojojo dan Caffenol.

Dapatkan berbagai tips dan info mengenai fotografi di laman Facebook kami di - http://www.facebook.com/fototeacher

July 25, 2011 Categorized under Report AFD - No Comment

Report – Kursus Asas Fotografi Digital Edisi Sabah (AFDS)

Gambar peserta Kursus Asas Fotografi Digital Edisi Sabah (AFDS) yang telah diadakan pada 23-24 Julai 2011 di Beverly Hotel, Kota Kinabalu oleh FOTOTEACHER.COM.

Kepada peserta yang ingin mendapatkan gambar ini dalam saiz besar, sila ke – http://fototeacher.com/GroupPhotoAFDS23t?o24July2011Large.jpg

Kepada anda yang berminat untuk mengikuti berbagai kursus fotografi anjuran FOTOTEACHER.COM, sila ke – http://fototeacher.com/

July 20, 2011 Categorized under BLOG ARKIB - No Comment

BLOG ARKIB – 100 TAHUN BELAJAR FOTOGRAFI

BLOG ARKIB – 100 TAHUN BELAJAR FOTOGRAFI
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“100 TAHUN BELAJAR FOTOGRAFI”– 27 November 2008)

Walaupun kita ada 100 tahun untuk belajar fotografi, kita takkan habis
belajar mengenai fotografi. Kalau kita tahu segalanya pun, kita takkan
mahir dalam segala bidang pengkhususan fotografi. Begitulah luasnya
ilmu fotografi.

Bercakap mengenai kamera saja sudah cukup luas bidangnya. Kebanyakan
kita yang heboh dengan dunia fotografi sekarang ini, cuma ‘melihat’
fotografi dalam skop DSLR 35mm sahaja. 35mm ni adalah format paling
kecil dalam dunia kamera profesional, ibarat adik bongsu. Masih luas
untuk kita menjelajah dalam dunia medium format apatah lagi large
format
. Dikala kita masih terkapai-kapai bermain dengan CLS portable
flash
, kita masih kabur dengan monoblock flash, apatah lagi power pack
flash
jauh sekali bereksperimen dengan continuous light seperti HMI Arri
contohnya.

Semakin banyak kita menuntut ilmu, semakin sedarlah kita bahawa, lebih
banyak lagi ilmu yang kita tidak tahu. Jika kita hanya duduk di
pantai, kita tidak dapat bayangkan betapa luasnya laut…

Seorang jurufoto terhebat dalam bidang pengiklanan misalnya, sedar
bahawa, dia tidak sehebat mana dalam bidang fotografi lain yang bukan
dalam bidang pengkhususannya. Menjadi seorang  jurufoto perkahwinan
pun bukan semudah yang disangka. Sesiapa pun boleh jadi jurufoto dalam
apa-apa bidang sekalipun. Tetapi, untuk jadi yang terbaik diantara yang terbaik…
hanya satu dalam sejuta.

Kadangkala, sedih melihat, segolongan jurufoto yang baru beberapa
kali minum kopi bersama jurufoto ternama, sudah merasakan dirinya
sehebat mentornya. Baru beberapa kali gambarnya dipuji, sudah rasa
ilmu penuh di dada. Janganlah kita berpuas hati dengan pujian yang
diterima, lebih baiklah kita mencari kritikan yang membina supaya kita
sentiasa memperbaiki diri.

Saya turut kagum dengan segelintir jurufoto baru yang rajin menjelajah
segenap ilmu fotografi. Kelompok ini sanggup berhabis wang dan masa untuk
memperbaiki diri mereka. Sanggup menebalkan muka dan merendah diri untuk
mendapatkan secebis ilmu. Sanggup berkawan dengan sesiapa saja untuk
berkongsi pendapat. Ini sifat yang terpuji.

Pesan ini untuk diri saya sendiri, kerana saya banyak mengajar. Supaya
saya tidaklah merasa yang saya ini lebih pandai dari orang lain.

Belajarlah dan berlatihlah tanpa jemu, sebab kita tidak ada 100 tahun
untuk fotografi.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Sila layari laman web FOTOTEACHER di – http://www.fototeacher.com

July 15, 2011 Categorized under video - No Comment

Video – Cara membuat sendiri peralatan untuk Macro Photography

Cara membuat sendiri peralatan untuk Macro Photography. Tidak perlu membeli Macro Lens yang mahal, cuma perlukan sedikit kerajinan. Selamat mencuba!

July 10, 2011 Categorized under BLOG ARKIB - No Comment

BLOG ARKIB – Kamera Untuk Tutup Malu

BLOG ARKIB – Kamera Untuk Tutup Malu
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Kamera Untuk Tutup Malu”– 21 November 2008)

Isu kamera murah dan kamera mahal memanglah satu isu yang sentiasa
dibincangkan. Orang baru dalam fotografi sentiasa terdorong untuk
membeli kamera yang tercanggih yang ada di pasaran, yang kadangkala
membebankan dari segi kewangan. Sindrom ini jadi makin kronik bila
kawan-kawan selalu ‘meracun’ kita untuk beli kamera dan aksesori yang
terbaru dan terbaik di pasaran.

Dari pemerhatian saya, ini terjadi kerana orang baru dalam fotografi
tiada keyakinan pada diri sendiri dalam hal pengendalian kamera. Mereka
kurang pengetahuan fotografi dan kurang pengalaman. Jadi, untuk menutup
kelemahan diri, ramai yang ambil jalan mudah – beli kamera mahal lagi
canggih, dengan harapan, gambar yang dirakam akan jadi hebat secara
automatik. Malangnya, pendapat ini tidak benar.

Orang baru harus banyak belajar, banyak bertanya, banyak mengkaji dan
banyak berlatih merakam gambar. Dengan cara ini, mereka akan cepat
pandai dan akan mendapat keyakinan diri. Kita perlu yakin, bahawa, yang
membuatkan gambar yang dirakam itu cantik adalah kemahiran yang ada
pada diri kita, bukannya disebabkan oleh kamera yang canggih.

Bila kita masuk bidang fotografi dan ingin jadi jurufoto, pastikan
bahawa, minat utama kita ialah untuk hasilkan gambar yang baik, bukan
mengumpul berbagai jenis peralatan kamera dan membeli setiap kamera
keluaran terbaru. Maksudnya, jika ingin jadi jurufoto yang baik,
kita harus fokuskan masa dan wang kita lebih kepada pembelajaran dan
penguasaan kemahiran fotografi. Kamera hanyalah sekadar alat.

Jika kita ada kamera mahal, kamera tersebut akan jatuh harganya
selepas beberapa tahun.  Tapi jika kita ada ilmu dan kemahiran
fotografi dalam diri kita, ianya tidak akan jatuh nilai, malah nilai
diri kita sebagai seorang jurufoto akan sentiasa naik dengan setiap
kemahiran dan ilmu yang kita perolehi.

Tidak salah membeli peralatan kamera mahal jika kita mampu. Tapi,
sebagai jurufoto, pastikan bahawa, kemahiran kita sentiasa lebih
hebat dari kamera kita. Janganlah hanya sekadar bergaya dengan
peralatan hebat, tapi takut nak tunjuk hasil gambar.

Memang ada golongan yang digelar camera collector. Ianya juga satu
hobi yang baik dan menarik. Tapi, kalau kita ingin dikenali sebagai
jurufoto, kita lebih patut rakam dan collect gambar yang baik, bukan
collect peralatan kamera.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Ingin dapatkan artikel-artikel fotografi secara percuma dan dihantar
terus kepada e-mel anda? Sila langgan newsletter percuma kami di
http://fototeacher.com/subscribe.htm

June 27, 2011 Categorized under Report BPF - No Comment

Report – Bengkel Portable Flash (BPF)

Gambar peserta Bengkel Portable Flash oleh FOTOTEACHER.COM. Program ini telah dianjurkan oleh Kolej Komuniti Hulu Langat di bawah Program Latihan 1 Malaysia 2011.

Kepada peserta yang ingin mendapatkan gambar ini dalam saiz yang lebih besar, sila ke – http://fototeacher.com/GroupPhotoBPFKole?jKomunitiHuluLangat26Jun2011Large.jpg

Kepada anda yang ingin mengikuti kursus-kursus anjuran FOTOTEACHER.COM, sila ke – http://www.fototeacher.com/

June 26, 2011 Categorized under Report - DIP - No Comment

Report – Darkroom Introduction Program (DIP)

Bergambar dengan semua peserta program. Ini antara kata-kata mereka untuk program ini:

“Sangat berpuas hati atas segala ilmu yang telah diajar kerana sangat berguna”
- Mohd Farhin Ikmal

“Penerangan yang jelas dan ringkas. Jurulatih juga ramah dan sporting”
- Amar Nadzir Farhan

“Harga yang dibayar standing dengan apa yang kami dapat. Harap program ini dapat diteruskan lebih meluas di masa akan datang”
- Iskandar Ahmad Rodzaini

“ Chillax best giler!! ”
- Faisal Aziz

Terima kasih kepada semua peserta yang hadir. Harap anda dapat belajar beberapa perkara baru dan gembira disepanjang program ini. Jumpa lagi nanti!

Kepada sesiapa yang ingin mengikuti program ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di – http://fototeacher.com/dip.html

June 26, 2011 Categorized under Report BPF - No Comment

Report – Bengkel Portable Flash (BPF)

Gambar peserta Bengkel Portable Flash (BPF) yang telah diadakan oleh FOTOTEACHER.COM pada 25 JUn 2011. Kepada peserta yang ingin mendapatkan gambar ini dalam saiz besar, sila ke – http://fototeacher.com/GroupPhotoBPF25Ju?n2011Large.jpg

Berikut ini adalah sebahagian dari komen peserta yang telah mengikuti bengkel ini:

“Saya dapat menggunakan flash dengan betul dan sesuai dengan keadaan sekitar”
- Ab. Halim b. Mohamad Azlan

“Lebih memahami tentang penggunaan flash dan ada keyakinan untuk menjadi seorang jurugambar”
- Roslan b. Abu Hassan

“Kemas dan padat serta mudah difahami”
- Shafiin

“ Saya amat puas hati dengan isi kandungan kursus”
- Sawlihim Bakar@Man

“Amat berpuashati. Sebelum ini saya hanya menggunakan flash berdasarkan ‘try & error’, tapi mulai sekarang saya sudah faham asas penggunaannya dan dapat mula memanfaatkan sepenuhnya penggunaan flash light saya”
- Mohd Khalin Shuhaimer Saad

Terima kasih kepada semua peserta. Harap anda mendapat manfaat dari bengkel ini.

Kepada anda yang ingin menyertai bengkel ini pada masa yang akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di – http://fototeacher.com/FlashPhotography.?html

Sila hubungi FOTOTEACHER di 03-91017155 atau 012-6020770