Pencuri gambar
Pencuri gambar
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM
Ada beberapa kes yang hangat dibincangkan dalam komuniti fotografi tempatan berkenaan perbuatan mencuri gambar. Apa yang berlaku ialah seorang individu yang tidak bertanggung jawab telah memaparkan hasil karya jurugambar lain dalam laman webnya dan menggunakan foto tersebut seolah-olah foto tersebut adalah hasil karya beliau sendiri. Tiada credit yang diberikan kepada jurufoto asal foto-foto tersebut dan dalam kes yang lebih ekstrim, foto tersebut digunakan sebagai portfolio oleh individu terbabit untuk mendapatkan tugasan berbayar.
Kes sebegini berlaku apabila terdapat individu yang ingin mengambil kesempatan dalam dunia digital dan internet. Dengan mencuri gambar orang lain, beliau boleh terus melakukan kempen pemasaran khidmat fotografi walaupun tanpa pengalaman. Apa yang jelas ialah individu sebegini tidak mempunyai cukup pengalaman dalam bidang fotografi tersebut dan perlu bergantung kepada gambar curi. Client beliau juga adalah mangsa penipuan kerana mengukur kemahirannya berdasarkan gambar hasil kerja orang lain.
Ada juga rakan yang pernah ternampak foto anaknya yang dia sendiri rakam telah digunakan untuk cetakan umum. Foto tersebut telah dimuat turun daripada lawan web mangsa dan kemudiannya diolah sebelum dicetak untuk tujuan komersial. Ini semua berlaku tanpa izin daripada jurugambar yang juga pemegang copyright karya tersebut.
Perkara sebegini memang menyusahkan jurufoto lain terutamanya golongan profesional yang cari makan dengan karya fotografi. Ia juga boleh melibatkan reputasi apabila karya seseorang itu dikaitkan dengan individu yang tidak bertanggung jawab yang mana tindakan penipuan beliau mungkin tidak terbatas kepada portfolio sahaja tetapi juga merangkumi perjanjian dengan client beliau.
Terdapat beberapa kaedah untuk mengurangkan risiko gambar dicuri dari internet. Yang terbaik ialah hanya menggunakan laman web sendiri untuk memaparkan karya anda. Dengan laman web peribadi, anda boleh menggunakan flash untuk menayangkan slideshow karya yang mana foto tersebut tidak boleh dimuat turun. Anda juga boleh menggunakan Flickr yang mana terdapat pilihan untuk menggunakan sistem copyright dibawah penyeliaan Creative Commons. Di Flickr anda boleh memilih sejauh mana foto anda boleh digunakan pihak ketiga berdasarkan syarat dan terma lesen copyright tersebut. Penggunaan watermark dan hanya berkongsi foto pada resolusi rendah boleh juga mengurangkan risiko kecurian dan foto anda disalah gunakan.
Adakah foto anda juga pernah dicuri? Apakah pandangan anda terhadap penggunaan karya foto orang lain untuk tujuan komersial? Harap dapat kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah ini. Terima kasih.
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM
Dapatkan artikel terbaru dari FOTOTEACHER.COM secara percuma, dihantar terus ke e-mel anda. Sila langgan newsletter FOTOTEACHER. KLIK DI SINI.


bila terbaca artikel diatas saya merasakan seolah saya pun terkena perkara yang sama.saya ingin menanyakan soalan(moga terjawab oleh kawan-kawan) sekiranya kita pergi untuk tag along untuk sesuatu job dimana job tersebut dimiliki oleh “dia” adakah “dia” berhak menggunakan gambar kita ini untuk memenuhi kerja “dia”.maksudnya dia menggunakan gambar kita untuk kerja “dia” tetapi tiada bayaran diberikan, perjanjian tiada, pakai duit minyak sendiri, kamera sendiri, makan minum disediakan oleh pelanggan “dia” (sedia maklumlah kenduri kawin la katakan),dan lain lain lagi serba serbi pakai duit sendiri.tapi “dia” sewenang-wenangnya guna gambar kita, lepas itu dapat bayaran, dan lepas itu makan sorang sorang. macam mana tu. bukan sekali dua malah bukan job wedding sahaja, malah pernah ambil gambar Perdana Menteri pun tetapi habuk tarak.tolong kawan-kawan.aku sudah kesempitan.