August 10, 2010 Categorized under: Fikiran - 12 Comments

Orang Lama

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Tanpa yang lama, tiada yang baru. Kita pernah dengar ungkapan ini. Dulu, saya tidak begitu faham dan tidak ambil pusing kenyataan ini.  Tetapi, setelah bersembang dengan beberapa orang lama, barulah saya mendapat sedikit pengertian maksudnya.

Kita lihat sekarang ini, dalam zaman fotografi digital, ramai jurufoto baru yang hebat muncul dalam senario fotografi di Malaysia. Dengan adanya media seperti blog dan Facebook, jurufoto baru ini lebih mudah menjadi popular, malahan mempunyai peminat setia mereka sendiri.  Ini adalah satu perkembangan yang baik. Ini menunjukkan fotografi adalah satu bidang yang semakin berkembang dan diterima di Malaysia.

Tetapi, dalam keghairahan itu, janganlah kita lupa kepada jasa-jasa dan kehebatan jurufoto yang terdahulu. Jurufoto lama inilah yang kita gelar ‘otai’ atau ada sesetengahnya telah layak digelar jurufoto veteran. Saya lebih suka menggelar mereka sebagai ‘master photographer’.

Jurufoto lama memang tidak begitu popular kerana pada zaman mereka tiada Facebook. Kita tidak begitu mengenali mereka. Tetapi, itu tidak bermakna karya foto mereka tidak hebat. Selain dari kehebatan ilmu fotografi, mereka juga mempunyai kisah perjuangan yang sangat menarik untuk kita hayati sebagai pedoman.

Fotografi profesional dan komersial telah bertapak di Malaysia sejak tahun 70an lagi. Malah ada jurufoto yang telah bergiat secara profesional sejak tahun 60an. Jurufoto dahulu tidak semewah  jurufoto sekarang. Peralatan yang digunakan amatlah asas. Pendapatan yang diperolehi pun tidaklah sebanyak mana. Sukar untuk mendapatkan info mengenai fotografi pada zaman itu. Sukar juga untuk membeli peralatan dan aksesori kamera pada masa itu.

Jadi, apa kaitan dan peranan jurufoto lama ini kepada kita?

Sesungguhnya, tanpa mereka bersusah payah dalam fotografi pada zaman mereka, maka tiadalah fotografi untuk kita seperti yang kita nikmati sekarang ini. Mereka telah meneroka dan merintis jalan fotografi di Malaysia. Mereka telah berkorban untuk menguasai ilmu fotografi dan telah mengajarkan ilmu fotografi kepada generasi selepas mereka. Mereka telah meletakkan ‘standard’ dan mendidik minda masyarakat Malaysia untuk menghargai fotografi. (tahukah anda, pada zaman awal fotografi, artis merakam foto untuk ‘cover album’ di kedai gambar biasa sahaja tanpa khidmat jurufoto profesional?) Jurufoto-jurufoto lama ini jugalah yang telah membuka peluang perniagaan lain sehingga wujudnya banyak kedai yang menjual kamera dan berbagai aksesori fotografi. Kepakaran mereka juga telah menyumbang kepada wujudnya institusi pengajian tinggi yang telah melatih graduan-graduan dalam bidang fotografi dan bidang lain yang berkaitan.

Kemana perginya jurufoto-jurufoto lama ini sekarang? Ada diantara mereka yang masih aktif. Ada yang separa aktif lebih kepada memberi sokongan dari belakang. Ada juga diantara mereka yang telah bersara dari fotografi sepenuhnya dan menyerahkan tanggungjawab membentuk dunia fotografi kepada generasi kita.

Mereka telah bersusah payah. Kita telah menikmati hasilnya. Merekalah yang telah menebas belukar membina laluan. Kita melaluinya kini dengan lebih selesa. Berterima kasihlah kepada jurufoto yang terdahulu. Teruskan perjuangan yang telah mereka mulakan. Dunia terus berputar. Hasil dari perjuangan kita sekarang ini akan dinikmati oleh generasi selepas kita pula.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


Foto pelajar jurusan fotografi semasa outing mereka di Cameron Highlands pada tahun 1980. Ada diantara mereka kini merupakan jurufoto pengiklanan, jurufoto komersial, pensyarah fotografi, pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang fotografi dari universiti luar negara, professor dalam bidang seni, dekan di fakulti seni IPTA dan ada juga yang telah bersara. Sanjugan saya untuk mereka semua kerana mereka adalah diantara hero saya! Sumber foto dari laman Facebook Encik Ahmad Saman.

Untuk mendapat tips dan berita terbaru mengenai fotografi, sila layari laman Facebook kami di – http://www.facebook.com/fototeacher

12 Responses to “Orang Lama”

  1. saadon says:

    Sekalung tahniah buat otai2 photographer,tanpa mereka siapakah kita seperti En Hasnuddin nyatakan,kalau dulu gambar cantik memang kita patut hormati kerana kepakaran dan kecantikan mereka akan dapat dilihat setelah gambar dicuci bukan macam sekarang camera DSLR boleh dilihat terus hasinya dan dipadam jika tidak memerlukan. Terima kasih buat mereka yang sudi berkongsi ilmu.

  2. kukubesi says:

    thanks bro atas peringatan dan knwledge sharing

  3. Dean Johari says:

    huhuhu.. gila ahhh!! mmg oldtimer ni!!!! Full Respect!!! Artical best dr Cikgu DIn!!!

  4. hasnuddin says:

    Terima di atas komen anda semua

  5. Zulfadli says:

    tabik spring!! n salam hormat pada mereka semua,……..

  6. azizi za'ali says:

    tabik kepada otai2!

  7. hnizam says:

    Memang setuju dengan pendapat Hasnuddin… Kalau boleh, ada pihak yang tertentu mengadakan satu majlis dimana mereka mereka ini dijemput sebagai tetamu kehormat dan diberi penghargaan atas jasa mereka dalam bidang fotografi….
    Contoh,
    Hamzah Hurmin…… penulis buku asas fotografi, Pak Wan… DLL

  8. Raai Osman says:

    Terima kasih artikel yg penuh bermakna buat orang seperti saya yg telah melibatkan diri dalam fotografi sejak tahun 1972 hingga kini.

    Masih ada “orang baru ” yg menghormati orang lama. Namun ada ketikanya orang lama terpaksa menyapa org baru dlm mencari rakan.

    Ketika telah kehilangan Pak Hamzah Hurmin, Salleh Osman, Ariff Azahari, Raja Harun Rezduan. Namun kita masih melihat beberapa otai yg aktif seperti Pak Wan, Pak Nahar. Mungkin Fototeacher boleh menganjurkan satu siri “Pengkisahan Jurufoto Malaysia” dan kemudian Phototeacher boleh bukukan siri tersebut. Sekadar cadangan……

  9. Hairul says:

    Berguru dengan orang lama memang sangat berguna dan memeritkan.Semua ilmu yang di turunkan perlu di pelajari dari laluan yang bukan mudah dengan orang2 seperti ini.Kekadang jika semangat dan mental tak kuat,apa yang dikecapi sekarang ni takan jadi kenyataan.” PHOTO MAESTRO” dalam foto diatas adalah orang paling penting dalam perkembangan fotografi masa kini dalam menyediakan laluan bagi org2 baru mengekspresikan bakat masing2.Tanpa mereka, fotografi masa kini mungkin akan jadi hilang arah tanpa panduan yang betul.Alhamdullilah segalanya berhasil berkat tunjuk ajar org2 seperti ini. Pepatah Inggeris pernah mengatakan …’ When the people is ready,the MASTER will appear…’ Jadi PHOTO MAESTRO telah lama wujud di kalangan kita pencinta seni foto.Without the master there will be no future master. All hail the great PHOTO MAESTRO…

  10. aziz salleh says:

    terimakasih cikgu2………. jasamu di kenang…..

  11. hasnuddin says:

    Hairul, thanks for the comments. Ingat lagi memori kita…
    Tuan Raai Osman, Tuan juga salah seorang ‘orang lama’ yang saya hormati, begitu juga dengan nama-nama lain yang tuan sebutkan.

  12. Raai Osman says:

    Perbincangan yang positif. Menariknya dalam gambar my teacher ada kat situ. Mr Haidar Bakar.

Leave a Reply