January 15, 2009 Categorized under: Fikiran - No Comment

Mengambil Risiko

Mengambil Risiko
Oleh: Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

Memang betul kamera ni bukannya peralatan yang murah. Kebanyakan amatur menghabiskan tidak kurang daripada 3 ribu ringgit untuk peralatan termasuk lensa dan flash. Bendanya kecil semuat tapak tangan tapi harganya tinggi. Yang lebih mengerikan ialah DSLR adalah peralatan yang mudah rosak, sama seperti peralatan elektronik yang lain. Tetapi jika kamera anda hanya disimpan dah tidak digunakan, apa ertinya anda melabur sebegitu banyak untuk hobi ini?

Jika kita terlalu risau kamera akan rosak, hobi fotografi tidak akan menjadi seseronok yang sepatutnya. Semua DSLR dibina agar berupaya menghadapi keadaan yang menyukarkan. Model expert dan professional seperti Canon 50D dan Nikon D3 mempunyai kerangka logam yang tahan hentakan. Olympus mengeluarkan E3 yang tahan air dan debu hingga boleh digunakan di dalam hujan. Bagi pemilik DSLR murah yang berbadan plastik, sekurang-kurangnya ia lebih lasak berbanding kebanyakan kamera compact. Oleh itu anda tidak perlu terlalu risau – takut kamera anda menjadi rosak dengan begitu mudah.

Kebanyakan foto terbaik dalam koleksi saya adalah yang dirakam dalam keadaan yang berisiko tinggi. Ada antaranya dirakam ketika demonstrai jalanan yang mana gas pemedih mata dilepaskan dan air disembur daripada trak FRU. Gambar nature saya banyak diambil dalam keadaan cuaca yang tidak menentu seperti hujan, kabus dan ada kalanya di tempat yang berdebu. Gambar seperti di bawah ini tidak mungkin dapat dirakam jika saya terlalu sayang untuk mengambil risiko.

9a.jpg

Persiapan yang sewajarnya perlu dilakukan sebelum anda pergi merakam gambar dalam suasana yang berisiko tinggi. Biasanya saya akan membawa kain untuk mengelap sebarang tompokan air atau lumpur. Saya sentiasa menggunakan filter untuk mengelakkan sebarang kotoran mencemari elemen lensa. Penggunaan lens hood dapat mengurangkan kesan calar jika lensa tersebut jatuh menjunam atau bergesel dengan objek keras. Jika tidak digantung di tengkuk, bawa kamera anda menggunakan beg yang tahan percikan air dan boleh menyerap hentakan. Dengan persiapan asas sebegini, anda sepatutnya sudah boleh untuk menikmati fotografi dalam pelbagai suasana dan di mana jua.

Oleh: Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

No Responses to “Mengambil Risiko”

  1. aminbakish says:

    Saya pernah menyangkut kamera di bahu. Ketika itu di koridor jalan yang sesak. Ketika cuba mengelak ke tepi, lens terhayun ke dinding. Syukur hood terpasang. Jadi hood yang singgah dulu ke dinding… Jika tidak, adeih… ;)

Leave a Reply