July 7, 2009 Categorized under: Fikiran, Personal, Sembang - No Comment

Kesukaran yang Indah di Zaman Sekolah

Kesukaran yang Indah di Zaman Sekolah
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Saya minat fotografi sejak dari saya masih bersekolah di dalam darjah 4. Saya membeli kamera pertama saya pada ketika itu dengan duit tabung sendiri. Saya masih ingat, saya membayar harga kamera RM40 itu dengan duit syiling kesemuanya!

Minat saya dalam fotografi semakin mendalam ketika di sekolah menengah. Fotografi adalah satu hobi yang amat mahal bagi seorang budak sekolah pada masa itu. Saya bukan berasal dari keluarga kaya. Jadi, untuk tampung hobi saya pada ketika itu, saya bekerja sambilan untuk membeli peralatan kamera dan untuk menampung belanja membeli filem. Saya kerap merakam gambar kawan-kawan semasa aktiviti di sekolah dan kemudiannya menjual gambar-gambar tersebut kepada mereka dengan harga 50 sen sekeping. Itu adalah sekitar tahun 1988

Ketika cuti sekolah selepas SRP (Sijil Rendah Pelajaran), saya bekerja di Restoran KFC dengan gaji RM400 sebulan. Duit itu saya gunakan untuk meneruskan hobi saya. Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya menanamkan niat untuk bekerja di kedai gambar untuk lebih mendalami bidang fotografi. Ketika itu, saya tinggal di Butterworth bersama arwah datuk dan nenek saya. Dengan menaiki basikal, saya menebalkan muka, pergi ke beberapa buah kedai gambar di Bagan Luar untuk mendapatkan kerja. Saya tidak berjaya mendapat kerja…

Beberapa ketika selepas itu, disebabkan faktor kasihan, seorang tauke Cina bersetuju untuk berikan saya kerja di kedai gambar miliknya di Kepala Batas. Gaji yang ditawarkan – RM400 sebulan. Saya setuju! Saya sangat gembira! Dengan gaji RM400 itu, setelah ditolak belanja tambang bas dan belanja makan semasa bekerja, saya dapat gaji bersih RM196 sebulan. Dari wang yang saya perolehi, saya kumpul sikit-sikit dan akhirnya berjaya membeli kamera terpakai jenama Yashica 108 dengan harga RM600. Itu adalah pada tahun 1992.

Saya diterima masuk ke UiTM untuk mengikuti kursus Diploma Fotografi pada tahun 1993. Sambil belajar, saya membuat kerja sambilan mengambil gambar dengan upah RM10-50 untuk setiap satu tugasan. Pelanggan saya pada ketika ini terdiri dari pelajar-pelajar dan pensyarah di UiTM. Saya perlu membuat kerja sambilan ini bagi menampung kos pengajian fotografi pada ketika itu. Ketika di tahun kedua di UiTM, saya membuat kerja sambilan dengan lebih serius dengan upah sekitar RM150 untuk setiap tugasan separuh hari. Pada tahap ini, saya sudah mula berurusan dengan pelanggan-pelanggan dari luar universiti yang terdiri dari pengantin, mak andam, ejen fotografi dan syarikat koprat.

Saya telah melalui banyak cabaran di sepanjang penglibatan saya di dalam fotografi. Tetapi, saya bersyukur dengan cabaran dan kesukaran yang telah saya tempuhi. Cabaran inilah yang telah menjadikan saya semakin matang dan kuat. Setelah saya kecapi apa yang saya ada pada hari ini, kenangan menghadapi kesukaran di masa lalu terasa begitu manis dan berharga.

Inilah pengalaman saya. Pengalaman sebenar. Pengalaman yang telah banyak mengajar saya. Pengalaman yang membuatkan saya bersyukur.

Mungkin anda juga ada pengalaman menarik di sepanjang penglibatan anda di dalam fotografi. Harap anda boleh kongsi kisah anda dengan pembaca lain. Sila tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

No Responses to “Kesukaran yang Indah di Zaman Sekolah”

  1. abdul aziz says:

    saudara seorang yang tabah dan kuat semangat . segala usaha dan pengorbanan anda selama ini tidak sia-sia. tahniah.

  2. adam esma says:

    sesunnguhnya kehidupan itu adalah kegigihan dan pengorbanan..

  3. hasnuddin says:

    Terima kasih atas komen dari Saudara Abdul Aziz dan Saudara Azam Esma. Saya rasa, segala kesukaran dapat ditempuhi bermula dari minat yang mendalam.

  4. mz_ilyas says:

    pengalaman ni kalu di bukukan mesti lebih memberi manafaat dan boleh dijadikan rujukan yg sangat baik…so brader din boleh kot timbang2 cadangan saya ni…mcm biografi ler kan…

  5. hasnuddin says:

    mz_ilyas, saya belum layak nak buat buku biografi. Kalau buat pun tak ada orang nak beli. Setakat kongsi pengalaman dalam blog bolehlah.

  6. Kimy says:

    pengalaman en.Hasnuddin boleh saya jadikan pengajaran. saya juga mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ni sejak di sekolah menengah. Sekarang dalam adalah pelajar di politeknik dalam bidang kejuruteraan elektronik. walaupun orang selalu bertanya “kenapa tak ambik course photography?” jawapan saya mudah, “course tu mahal saya tak mampu lah, politeknik LAH BEST, yuran pengajian rendah jadi duit pinjaman PTPTN boleh guna untuk beli peralatan kamera dan sara idup sepanjang semester”. dari permerhatian saya, ramai daripada professional di luar sana bukanlah dari course photography tapi dari pelbagai bidang, hanya minat mereka yang mendalam telah menjadikan mereka seorang jurugambar.

  7. hasnuddin says:

    Kimy, memang benar, dalam fotografi, minat adalah penting. Tidak kira kelulusan apa, asalkan ada portfolio yang hebat, boleh menjamin seseorang itu maju dalam kerjaya sebagai jurugambar

  8. nurul says:

    terharu sy membaca nya.. itu satu pengalaman yg indah…

  9. Meena says:

    hehe ini memang smua terjadi ke atas photog. biase la… cuma kalau photog yg kurang kreatif atau x de pemikiran kreatif tu mungkin la terjadi pkara2 yang menyusahkan atau mencabar. for me kalau kita rajin buat research nothing can stop us. Aku start photog bulan 3 taun 2009. seminggu pas tu aku dapat projek rm500 tanpa ada portfolio bagus pun. just guna sample gambar kawin aku. dan skrg aku mampu buat pakej rm1800. phew…

  10. hasnuddin says:

    Terima kasih atas komen anda semua

  11. Dhia Aryani says:

    minat..usaha..ikhlas..
    setiap keperitan yang kita lalui untuk mencapai impian akan menjadi manis bila dikenang

  12. Bulk23 says:

    heheheee…tahniah untuk En.Din…saya tak berpeluang untuk mendalami seni fotografi..tapi kerana minat saya usahakan …mase kecik dulu saya banyak main dengan kamera kakak saya…dia budak senibina, jadi mesti nak guna kamera untuk dapat idea…bile dia tak gunakan kamera dia tu, baki filem yang tinggal kat dalam kamera tu mesti saya yang tibai shoot sampai habis…tapi dia tak pernah marah sebab dia sayang saya…lepas spm, saya nak lanjutkan pengajian dalam bidang fotografi…tapi tak dapat sokongan…banyak yang kata, fotografi takde mase depan…saya lanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan…tapi jauh di sudut hati, minat tangkap gambar masih mekar…sekarang ni saya dah keje…n dah ada duit sendiri…saya dah mula serius dalam bidang fotografi…n fotografi ni saya tengah usahakan jadi side income saya…kalo takde aral melintang…dalam tahun ni saya dan beberapa orang kawan akan terbitkan satu majalah berkenaan motorsikal…gambar yang saya shoot untuk majalah tu bukanlah sekadar untuk dapat duit sahaja…fotografi adalah sesuatu yang saya cintai…setiap gambar yang saya ambil adalah datang dari hati saya…doakan kejayaan saya.

  13. aida says:

    saya juga meminati seni fotografi sejak di bangku sekolah lagi.saya selalu berangan dapat menghasilkan gambar yang mempunyai nilai sentimental yang tinggi. apabila saya dipanggil oleh uitm pada tahun 1998, saya telah memilih bidang fotografi sebagai pilihan pertama saya. namun harapan saya hanya tinggal harapan apabila lecturer yang menemuramah saya meletakkan saya di bidang tekstil.alasan yang diberikan adalah kerana ayah saya seorang pengawal keselamatan dan course fotografi memerlukan sumber kewangan yang besar.saya hampa namun berusaha menerima hakikat. cuma saya kesalkan sikap lecturer itu yang menolak permohonan saya hanya kerana ayah saya seorang pengawal keselamatan.bukankah pepatah lama berbunyi hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih…

    saya teruskan pengajian dan semasa di semester 3 saya akhirnya berpeluang juga mempelajari seni fotografi daripada seorang lecturer saya, En. Nuri Yaakob. beliau telah memberikan peluang kepada saya di dalam bidang ini walaupun ianya hanyalah untuk mencukupkan credit saya di masa itu. Saya berterima kasih kepada beliau yang kini menjadi pensyarah fotografi di UITM sri iskandar.kini saya menjadikan fotografi sebagai hobi dan pendapatan sampingan saya.

  14. hunyz says:

    Wow! Terharu membacanya..Sayapun spt anda berminat ngan fotografi..baru form 5..ingin minta pendapat, camera apa yang saudara cadangkan bawah rm500

Leave a Reply