Hujan
Hujan
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM
Untuk fotografi di luar rumah, cuaca yang baik adalah amat penting. Keadaan cahaya yang sesuai adalah penting untuk foto pemandangan dan senibina. Bagi jurufoto nature, cuaca yang elok akan memudahkan operasi memburu subjek. Tetapi ada kalanya kita terpaksa berdepan dengan keadaan yang tidak dirancang seperti hujan.
Oleh kerana tumpuan saya iala nature macro, hujan biasanya membawa berita yang kurang elok untuk sebarang trip. Walaupun cuaca hari tersebut elok tetapi jika hujan pada hari sebelumnya, denai hutan akan menjadi becak dan pacat bermaharaja lela. Tetapi ini tidak bermakna saya tidak boleh menikmati fotografi sepenuhnya. Memang hujan adalah halangan untuk aktiviti yang biasa saya ceburi tetapi hujan juga membawa peluang untuk kita mencuba beberapa jenis foto yang jarang dapat dirakam.
Beberapa corak semula jadi dapat dilihat daripada sudut yang lebih menarik selepas hujan. Manik-manik di sawang labah-labah membawa seribu satu cerita bila dirakam dengan teliti. Titisan air di hujung daun juga adalah satu subjek yang sangat menarik bila menampakkan reflection kawasan sekitar.

Rangkaian titisan air di sawang labah-labah.

Awan hujan yang mendatang.
Di kawasan bandar pula, reflection pada lopak air selepas hujan adalah antara subjek yang boleh diolah dengan pelbagai cara. Gambar sebegini akan memberikan impak yang bagus jika depth of field dikawal dengan rapi agar elemen selain subjek utama kelihatan maya. Jika renyai, gelagat manusia mengharungi kehidupan di kala hujan pun boleh menjadi subjek yang menarik seperti gambar orang melintas jalanraya sambil berpayung.

Reflection di lopak air.
Hujan yang terlalu lebat dan tidak berhenti boleh mengakibatkan bencana alam. Kita boleh membawa kisah sebegini melalui foto. Tidak perlu kita merakamkan detik jambatan runtuh untuk mendapatkan foto yang bagus, cukup kalau kita dapat membawa gambaran keadaan tersebut dengan drama yang jelas. Elemen kemanusiaan akan banyak membantu untuk menguatkan lagi drama, contohnya seperti petani yang mengheret kerbaunya pulang ketika hujan lebat.

Foto sebegini boleh dirakam dari tingkap rumah sahaja.
Fotografi seharusnya dinikmati sepanjang masa tanpa batasan cuaca.
Pernahkah anda mendapat sebarang gambar yang baik ketika hujan? Adakah anda ada lain-lain tips atau kisah yang ingin anda kongsikan bersama? Harap anda boleh tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM
Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM
Untuk menyertai berbagai program latihan fotografi oleh FOTOTEACHER.COM, SILA KLIK DI SINI
Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155 atau e-mel fototeacher@gmail.com

