August 22, 2009 Categorized under: Fikiran, Sembang - No Comment

Etika Jurugambar

Etika Jurugambar
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Fotografi digital merupakan hobi yang sangat mengasyikkan. Ia memberi peluang kepada seseorang untuk menzahirkan kreativiti dengan cara yang agak mudah kerana apa yang perlu dilakukan ialah mencari subjek yang dikehendaki dan merakam foto dengan teknik yang sesuai. Lengkuk pembelajaran teknik juga agak mudah berbanding dengan bidang seni yang lain seperti seni lukis yang memerlukan tempoh pembelajaran yang lama. Dengan teknologi digital, sesiapa sahaja boleh menikmati fotografi dan mahir dalam tempoh yang singkat. Ditambah lagi dengan adanya internet, jurufoto boleh berkongsi ilmu dan juga hasil karya masing-masing.

Dalam keghairahan untuk mencuba perkara baru dalam fotografi, sama ada teknik mahupun perubahan subjek, kita mungkin juga alpa dengan etika yang wajar. Apa yang dimaksudkan ialah bila mana fotografi itu menjadi gangguan kepada orang lain, terutamanya apabila kita merakam foto manusia. Tidak semua orang suka gambar mereka dirakam, terutamanya tanpa izin. Lebih lanjut, mereka mungkin tidak suka jika foto mereka dipaparkan di internet untuk dilihat oleh seluruh dunia. Ini lebih kritikal jika gambar tersebut tidak mencerminkan invididu terbabit sebagaimana yang dikehendakinya seperti gambar kandid ketika menyuap makanan. Saya rasa kebanyakan orang tidak mempunyai niat yang buruk untuk memalukan subjek di dalam foto sebegini, tetapi kita perlu juga sensitif terhadap keterbukaan individu berkenaan.  Jika kita mengambil gambar jalanan secara kandid, adalah lebih elok jika indentiti manusia di dalam foto berkenaan tidak ditonjolkan dengan jelas agar kita tidak mendatangkan masalah dengan tidak sengaja.

Apa yang lebih memeningkan ialah apabila ada segelintir jurufoto yang suka mengambil gambar candid berunsur seksual. Adakala saya melihat foto di forum yang hanya menunjukkan bahagian tubuh wanita yang mengghairahkan secara kandid. Pernah juga berlaku di majlis pertunjukan fesyen di mana seorang jurugambar dilihat cuba mengambil gambar dari bawah skirt seorang model. Perbuatan sebegini mencemarkan imej jurufoto secara keseluruhan dan membawa pandangan serong kepada penggiat foto.

Etika tidak membataskan kreativiti dalam fotografi tetapi ia adalah garis panduan untuk melahirkan kreativiti dengan terpimpin. Jurufoto yang berhemah tidak perlu bergantung kepada populari murahan dengan menayangkan foto separa lucah yang tidak membawa apa-apa erti.

Apa pendapat anda mengenai etika jurugambar? Harap anda dapat kongsikan pandangan anda. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

DAPATKAN ARTIKEL FOTOGRAFI PERCUMA, DIHANTAR TERUS KE E-MEL ANDA. SILA KLIK DI SINI

No Responses to “Etika Jurugambar”

  1. nasir roli says:

    Terima Kasih kepada en. Amin yg mengutarakan isu etika seorang jurugambar. Sebenarnya etika seorang jurugambar bukan hanya dibincangkan kepada jurugambar hobi atau amatur. Etika jurugambar juga sebenarnya sering diperkatakan kepada jurugambar professional yang terlibat didalam industri percetakan. Isu etika ini sudah lama diperkatakan. Di Malaysia sendiri rata rata pelajar fotografi samada di institusi pengajian awam atau sawasta tidak didedahkan dengan subjek etika. Mereka lebih menumpukan subjek teknikal dan seni sahaja. Sebenarnya etika seorang jurugambar itu penting bukan sahaja semasa merakam subjek malah didalam menghormati warga kerja sesama media. Contohnya apabila merakamkan sesuatu majlis tandatangan atau MOU, rata rata kita boleh melihat jurugambar berebut antara satu sama lain . Pada hakikatnya tidak perlu berebut pun kerana masing masing dilengkapkan dengan lensa zoom dan bukannya lensa standart seperti 20 tahun dahulu. Sebenarnya jika ingin membincangkan isu etika sehari semalam tidak akan habis. Saya cadangkan fototeacher dapat memasukkan slot etika seorang jurugambar disetiap kursus yang dianjurkan.

    Nasir Roli
    Principal Photographer
    workforpro

  2. Mir says:

    Saya rasa ada juga jurufoto yang kian giat meletakkan foto-foto seperti ini di dalam laman Facebook mereka. Dan mendapat pujian pula daripada peminat-peminat..

  3. hasnuddin says:

    Terima kasih kepada Nasir Roli dan Mir di atas komen yang diberikan

Leave a Reply