Archive for the “Umum” Category

January 9, 2012 Categorized under Berita & Pengumuman, Berita / Pengumuman, Inspirasi & Motivasi, Umum

Fotografi Tradisional

Di dalam era digital sekarang ini, masih ada segolongan jurufoto yang masih meminati fotografi yang menggunakan filem. Golongan ini biasanya gemar menggunakan kamera mekanikal yang banyak berfungsi secara manual dimana gambar dirakam menggunakan filem. Filem yang telah didedahkan boleh diproses sendiri dan seterusnya boleh dicetak sendiri di dalam bilik gelap menggunakan bahan kimia dan peralatan-peralatan khas yang lain. Penggiat Lomografi merupakan salah satu golongan yang banyak menggunakan filem.

Peminat fotografi filem memilih media ini kerana ianya dapat memberikan kepuasan yang tersendiri yang tidak boleh didapati dari fotografi digital. Apabila merakam foto dengan filem, kemahiran dan disiplin seseorang jurufoto itu akan lebih teruji. Pengetahuan asas dalam proses ini juga boleh menjadikan seseorang itu lebih memahami dan menghargai fotografi. Bukan bermaksud untuk menolak kemajuan teknologi digital, media filem ini biasanya hanya digunakan untuk tujuan hobi atau sebagai media alternatif di samping fotografi digital.

Menyedari betapa pentingnya untuk memelihara proses ini agar tidak lenyap selamanya, FOTOTEACHER.COM menawarkan penjualan berbagai peralatan dan aksesori yang diperlukan untuk mempraktikkan proses fotografi filem. Produk-produk ini amat sukar didapati sekarang ini, terutamanya di Malaysia.


Kami menawarkan rangkaian produk yang lengkap dari jenama Ilford, meliputi berbagai jenis filem, chemical dan photographic paper. Antara filem yang ditawarkan ialah filem dari format 35mm, 120 dan 4X5 inci. Filem-filem ini juga disediakan dengan berbagai tahap ISO seperti 50, 100, 200, 400 dan 3200. Filem dengan kesan infrared juga ada dijual. Selain dari itu, berbagai jenis chemical juga boleh didapatkan dari kami seperti film developer, paper developer, stop bath, fixer, wetting agent dan hypo.


Kami juga merupakan pengedar tunggal (sole distributor) untuk produk jenama Paterson di Malaysia. Paterson adalah jenama terkemuka dari United Kingdom yang mengeluarkan produk-produk berkualiti seperti enlarger, enlarger timer, darkroom timer, thermometer, beaker, developing tray, negative hanger, paper dryer, changing bag, developing tank, tongs, paper squeegee, easel dan banyak lagi. Selain dari jenama dari Paterson, kami juga menjual produk untuk memproses filem dan produk darkroom dari jenama AP, LPL, Saunders, Raydawn dan Konica.


Sebagai melengkapkan lagi rangkaian produk yang ditawarkan, kami turut menjual kamera filem jenis rangefinder dari jenama Voigtlander bersama berbagai jenis lensanya. Selain dari itu, kami juga ada menjual kamera jenis TLR jenama Seagull dan lain-lain aksesori kamera filem seperti cable release dan filter.


Kami bukan setakat menjual produk, tetapi kami sendiri menggunakan produk yang dijual dan mempraktikkan proses fotografi menggunakan filem. Dari masa ke semasa, kami turut mengadakan bengkel mengenai cara-cara memproses filem dan mencetak foto di dalam bilik gelap.

Untuk membeli produk-produk berkaitan fotografi filem, SILA KLIK DI SINI
Untuk menghadiri bengkel cara memproses filem dan cetakan foto di dalam bilik gelap, SILA KLIK DI SINI

Untuk pertanyaan atau bantuan, sila hubungi kami di 03-91017155/012-6020770 atau e-mel kepada sales@fototeacher.com

Pembelian produk boleh dibuat secara online atau anda boleh datang sendiri ke pejabat kami di:
FOTOTEACHER.COM, C-1-9, Megan Phoenix, Jalan Cheras, 56000 Kuala Lumpur, Malaysia (sila buat temujanji sebelum hadir)
SILA KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT PETA KE PEJABAT KAMI.

December 1, 2011 Categorized under Berita & Pengumuman, Berita / Pengumuman, Personal, Umum

Akan Terbit – Buku Fotografi Bahasa Melayu oleh Hasnuddin Abu Samah

Saya bersama PTS NetMedia sedang mengusahakan projek menerbitkan buku (bukan E-book) mengenai panduan fotografi lengkap dalam Bahasa Melayu. Buku ini didedikasikan khas untuk peminat fotografi di Malaysia – ianya ditulis oleh penulis Malaysia, dalam Bahasa Malaysia dan dihiasi dengan gambar-gambar yang dirakam di seluruh Malaysia. Diharap buku ini dapat menepati keperluan peminat fotografi di negara ini.


Buku panduan fotografi ini akan memuatkan banyak gambar-gambar contoh hasil rakaman penulis dan beberapa jurufoto tanahair yang lain. Selain dari memberi tunjuk ajar, buku ini juga diharap dapat memberikan motivasi kepada peminat fotografi untuk terus mendalami bidang ini.

Buat masa ini, buku ini sedang giat dalam peringkat penulisan dan dijangka akan berada di pasaran pada bulan April 2012.

Sempena pelancarannya nanti, saya akan memberikan tawaran istimewa kepada 100 pembeli pertama yang membeli buku ini secara online. Saya juga akan memberikan beberapa bab percuma dari buku ini (secara online) kepada anda sebelum buku ini diterbitkan.

Untuk maklumat lanjut, sila ke – http://www.fototeacher.com/bukufotografi.html

Yang benar,
Hasnuddin Abu Samah,
Pengarah Urusan/Jurulatih Utama
FOTOTEACHER.COM

November 5, 2011 Categorized under Review, Umum

Penginapan Murah Ketika Mengembara di Luar Negara

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Saya pernah mengembara ke New Zealand (bahagian pulau selatan) selama 7 hari. Saya memandu dari Christchurch melalui Arthurs Pass, Hokitika, Franz Josef, Queenstown hingga ke Te Anau. Dari Te Anau, saya ke Milford Sound dan pulang ke Te Anau semula. Seterusnya, saya teruskan perjalanan ke Dunedin, Timaru dan akhir sekali tiba semula di Christchurch. Selama 7 hari ini saya menginap di beberapa tempat. Di sini saya ingin berkongsi maklumat tentang cara untuk menjimatkan kos penginapan apabila kita mengembara di luar negara.

Semasa di New Zealand, saya tinggal di hostel (asrama) di bawah rangkaian pertubuhan Hostelling International (HI). Mereka mempunyai rangkaian hostel di seluruh dunia dengan harga yang rendah. Ketika di New Zealand, harga penginapan di hostel ini cuma dalam lingkungan RM120 satu bilik untuk 2 orang bagi satu malam. Tetapi harga ini bergantung kepada lokasi hostel dan beberapa faktor lain. Apa yang pasti, harganya adalah jauh lebih rendah dari harga menginap di hotel biasa.

Mulanya memang agak curiga untuk menginap di hostel. Tetapi, jangkaan saya meleset sama sekali. Hostel di bawah pertubuhan Hostelling International ini amat berbeza dengan hostel atau asrama yang kita biasa bayangkan. Hostel mereka adalah selamat, bersih dan lengkap. Ia bukan seperti sesetengah asrama backpackers yang biasa kita lihat di Malaysia yang kelihatan kotor dan berada di lokasi yang kelihatan tidak menyenangkan.

Biasanya jenis bilik yang disediakan adalah dorm, 2 orang sebilik dan satu orang sebilik. Kemudahan yang disediakan di dalam bilik hanyalah yang asas tetapi cukup selesa untuk berehat dan tidur. Tiada meja, peti sejuk atau TV.

Bilik mandi dan tandas disediakan di luar bilik tidur dan dikongsi bersama penginap yang lain. Tetapi, jarak diantara bilik tidur dengan bilik mandi atau tandas adalah tidak terlalu jauh. Bilik mandi dan tandasnya juga adalah bersih.

Penginap-penginap di sini kebanyakannya adalah di kalangan pengembara (backpackers) yang kerap mengembara ke seluruh dunia dan biasa menggunakan khidmat Hostelling International ini. Rata-rata penginap di sini nampak mementingkan kebersihan, berdisiplin, bersopan santun dan peramah.

Berbeza dengan hotel, hostel ini tidak menyediakan keperluan mewah seperti kolam renang, room service, bell boy, coffe house dan sebagainya bagi mengurangkan kos operasi mereka. Tetapi, hostel ini menyediakan segala keperluan asas dengan tahap yang memuaskan, sesuai dengan harganya yang rendah.

Apa yang menarik mengenai hostel ini ialah, mereka menyediakan ruang dapur yang lengkap dengan peralatan memasak untuk kita memasak sendiri. Ini satu lagi cara yang menjimatkan apabila berada di luar negara. Apabila berada di luar negara seperti di New Zealand, adalah agak sukar untuk mendapat makanan halal (bagi yang beragama islam). Harga makanan di restoran juga adalah agak mahal. Jadi, anda boleh menjimatkan kos dengan cara memasak sendiri di dapur yang disediakan di hostel ini. Bagi anda yang beragama islam, apabila anda memasak sendiri, anda boleh pastikan makanan anda adalah halal.

Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh semua hostel tempat saya menginap. Saya dapat perkara penting yang saya harapkan – kos rendah, selesa, bersih, selamat dan layanan mesra.

Untuk menginap di mana-mana rangkaian hostel di bawah Pertubuhan Hostelling International, kita perlu menjadi ahli untuk mendapat diskaun dan beberapa kelebihan lain. Wakil Hostelling International di Malaysia ialah Hostelling International – Malaysia (HI Malaysia) Untuk menjadi ahli, perlu mendaftar dan membuat bayaran kepada HI Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web HI Malaysia di – http://www.hi-malaysia.org.my/V3/

Untuk melihat senarai hostel di seluruh dunia di bawah Pertubuhan Hostelling International, sila ke laman web – http://www.hihostels.com/web/about.en.htm

Gambar-gambar bangunan, pemandangan dan fasiliti di dalam hostel di Queenstown, New Zealand.

October 21, 2011 Categorized under Fikiran, Tips, Umum

Jurufoto Sambilan

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Bagi peminat fotografi baru (beginners), salah satu cara yang paling mudah untuk menjana pendapatan adalah melalui fotografi perkahwinan. Bagi golongan yang mempunyai pendapatan tetap, bisnes fotografi perkahwinan dilakukan secara sambilan. Apabila dilakukan secara sambilan, ada segelintir jurufoto sambilan yang kurang bersungguh-sungguh dalam kerja fotografi perkahwinan. Tanpa minat dan kesungguhan, seseorang itu tidak boleh maju dalam bidang ini.

Tanpa ilmu dan bimbingan yang betul, ada masanya seseorang itu akan terperangkap dalam beberapa masalah. Adakalanya ini akan membuatkan seseorang itu berputus asa lalu meninggalkan terus bidang ini. Selain dari itu, ada juga golongan yang terlibat dalam fotografi perkahwinan dalam satu tempoh masa yang lama, tetapi malangnya mereka tidak memperolehi hasil yang setimpal walaupun telah mengorbankan banyak wang dan masa mereka.

Sebenarnya, jika pekerjaan ini dilakukan dengan cara yang betul, ianya boleh memberikan pendapatan yang lumayan. Sudah terbukti, ramai jurufoto perkahwinan di luar sana yang telah berjaya.

Bidang fotografi perkahwinan nampak mudah pada awalnya. Tetapi, sebenarnya, ia tidak semudah yang disangka. Memang betul, sesiapa sahaja boleh merakam foto perkahwinan, tetapi untuk merakam foto perkahwinan yang berkualiti tinggi, memerlukan ilmu, kemahiran, pengalaman dan usaha yang bersungguh-sungguh. Adalah lebih sukar lagi untuk menjana keuntungan dari fotografi perkahwinan. Seseorang itu perlu ada ilmu perniagaan selain dari ilmu fotografi. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, ilmu perniagaan adalah lebih penting dari ilmu fotografi sekiranya seseorang itu ingin berjaya dalam fotografi perkahwinan.

Ramai jurufoto sambilan menyangka mereka mendapat untung setiap kali mendapat pelanggan. Tetapi, hakikatnya mereka selalu rugi, terutamanya dalam jangka masa panjang. Memanglah setiap kali kerja dilakukan, mereka akan mendapat sedikit wang untung bersih, tetapi, mereka tidak sedar bahawa mereka telah rugi satu perkara yang lebih bernilai, iaitu – masa. Untung bersih yang diperolehi tidak setimpal dengan masa yang telah dikorbankan jika bisnes ini dilakukan dengan cara yang salah.

Antara kesilapan lain yang selalu dilakukan oleh jurufoto perkahwinan yang melakukan kerja secara sambilan ialah:

1)    Menganggap fotografi perkahwinan adalah sebahagian dari hobinya dalam fotografi. Disebabkan itu, mereka tidak begitu kisah dengan jumlah bayaran yang diterima. Mereka tidak faham maksud hobi. Hobi ialah melakukan sesuatu untuk kepuasan diri sendiri, tetapi fotografi perkahwinan bukan satu hobi kerana kita perlu merakam gambar untuk kepuasan pelanggan.

2)    Membelanjakan wang dengan cara yang salah untuk membeli kamera, lensa dan lain-lain peralatan fotografi yang sebenarnya tidak diperlukan. Mereka menyangka, peralatan yang mahal boleh memajukan perniagaan mereka, tetapi sebenarnya itu tidak benar. Kesilapan pengurusan kewangan ini boleh mengundang masalah lain yang lebih besar. Mereka sepatutnya turut memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan pemasaran, modal pusingan dan lain-lain.

3)    Tidak mengetahui dan tidak mahir teknik yang betul dalam merakam foto perkahwinan. Bidang fotografi adalah bidang yang luas dan setiap bidang pengkhususan dalam fotografi itu mempunyai teknik-tekniknya yang tersendiri. Teknik yang digunakan untuk merakam foto sebagai hobi misalnya, adalah berlainan dengan teknik merakam foto perkahwinan. Biasanya, teknik dalam fotografi perkahwinan mementingkan teknik yang ringkas, cepat tetapi berkesan. Di dalam fotografi perkahwinan juga, imej yang dihasilkan mestilah mempunyai tahap kesenian yang tertentu disamping ianya juga perlu menambat hati pelanggan.

4)    Mudah terikut dan meniru gaya foto yang dihasilkan oleh jurufoto lain. Disebabkan meniru, hasil karya mereka tidak mempunyai keaslian atau identiti sendiri. Dengan cara mengikut tanpa faham konsep dan tanpa ada kemahiran mengenainya, hasilnya juga tidak begitu menjadi. Untuk bersaing, seseorang jurufoto itu perlu mempunyai karya yang unik agar dia boleh ‘dilihat’ dan dihargai oleh bakal pelanggan.

5)    Tidak mahir dalam bidang pemasaran. Walau sebagus mana pun karya seseorang itu, tanpa pemasaran yang betul, karya itu tidak dapat menjana pendapatan untuknya. Jurufoto sambilan biasanya tidak sanggup untuk membelanjakan wang untuk pemasaran (tetapi sanggup membeli kamera mahal) Mereka tidak faham bahawa, wang yang dikeluarkan untuk menjalankan pemasaran yang berkesan adalah satu pelaburan, bukannya satu pembaziran. Bukankah bijak jika terpaksa membelanjakan RM10,000 untuk pemasaran jika kita akan mendapat untung RM50,000 darinya?

Tetapi, semua ini adalah normal – dalam proses belajar, kita memang akan sentiasa membuat kesilapan. Apa yang penting ialah kita belajar dari kesilapan. Makin besar kesilapan yang dibuat, makin besar pengajaran yang akan didapati. Tetapi, orang yang lebih bijak ialah orang yang belajar dari kesilapan orang lain. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya jurufoto sambilan yang masih baru di dalam bidang ini menambahkan usaha untuk mencari ilmu dan belajar dari jurufoto lain yang lebih berpengalaman.

Akan sampai masanya nanti apabila seseorang itu telah lama dalam bidang ini, dia akan tiba di satu titik untuk membuat keputusan – berhenti kerja tetap dan lakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa! Untuk pergi lebih jauh, semua orang akan melalui peringkat ini. Peringkat yang lebih sukar, lebih mencabar dan lebih berisiko. Tetapi, pulangannya berbaloi jika kita berjaya.

Jika dilakukan dengan cara yang betul, setelah beberapa tahun melakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa, seseorang itu akan pergi ke langkah seterusnya, iaitu mempunyai pejabat yang khusus untuk perniagaannya. Bukan lagi beroperasi dari rumah. Disebabkan tugasan yang banyak, pada peringkat ini juga, jurufoto akan mula mempunyai pekerja yang akan membantu dalam beberapa urusan. Pada peringkat ini juga, jurufoto tadi bukan sahaja sibuk merakam foto, tetapi dia juga akan sibuk dalam menguruskan bermacam-macam hal berkaitan perniagaannya. Mungkin selepas beberapa ketika, dia akan membuka satu lagi perniagaan baru, menambah bilangan pekerja atau berpindah ke pejabat yang lebih besar. Ini menandakan bahawa seseorang jurufoto itu telah berjaya di dalam bidangnya, walau pada awalnya dia hanya bermula dari seorang jurufoto sambilan.

SERTAI KURSUS FOTOGRAFI PERKAHWINAN OLEH HASNUDDIN ABU SAMAH. SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT

May 25, 2011 Categorized under Relaks, Umum

Kamera Gergasi

Kamera Gergasi
Diterjemahkan oleh Adam Ariff untuk FOTOTEACHER.COM (sumber dari Neatorama)

Pada tahun 1900, George R. Lawrence telah membina kamera gergasi yang sangat besar sehingga menjangkau berat 400 kilogram. Kamera yang berharga $5,000.00 ini sama nilainya dengan sebuah rumah yang besar pada zaman itu. Seramai 15 orang diperlukan untuk membolehkan kamera gergasi tersebut berfungsi.

Kamera gergasi ini dibina bagi merakam foto untuk ‘Chicago & Alton Railway’ bagi merakamkan foto bersaiz 8×4.5 kaki (ini merupakan saiz foto terbesar pada zaman itu) Foto yang dirakam oleh kamera gergasi ini telah digunakan untuk risalah keretapi yang bertajuk ‘The Largest Photograph in the World of the Handsomest Train in the World.’

Dapatkan berbagai tips fotografi dan info terkini di laman Facebook FOTOTEACHER.COM. Sila layari – http://www.facebook.com/fototeacher

May 15, 2011 Categorized under Relaks, Umum

Kamera dan Larian Kuda

Kamera dan Larian Kuda
Diterjemahkan oleh Adam Ariff untuk FOTOTEACHER.COM (sumber dari Neatorama)

Pada tahun 1872, seorang warga British bernama Eadweard Muybridge, telah diupah oleh Leland Stanford bagi menjawab satu persoalan – adakah keempat-empat kaki kuda sentiasa mencecah tanah ketika berlari? Persoalan ini menjadi pertaruhan yang bernilai $25,000.00!

Untuk menjawab persoalan ini, Eadweard Muybridge telah mengaturkan 12 kamera di sepanjang trek larian kuda dan kemudiannya meletakkan tali-tali merentasi trek larian tersebut. Tali ini pula disambungkan terus ke suis kamera.  Apabila kuda berlari dan menyentuh tali yang telah dipasang, maka kamera akan terus merakam gambar. Dengan itu, terhasillah beberapa keping foto yang menunjukkan aksi kuda yang sedang berlari. Susunan foto yang telah dirakam menunjukkan bahawa apabila kuda berlari, keempat-empat kakinya akan berada di udara. Lalu terjawablah persoalan yang sebelum ini tiada siapa yang tahu jawapannya.

Hasil dari peristiwa ini, Muybridge kemudiannya mencipta satu sistem dan teknik untuk merakam pergerakan manusia dan haiwan.

Untuk mendapatkan berbagai maklumat mengenai kursus dan bengkel fotografi yang diadakan oleh FOTOTEACHER, sila layari laman web rasmi FOTOTEACHER di – http://www.fototeacher.com

May 5, 2011 Categorized under Relaks, Umum

Foto Hasil Formasi oleh 30,000 Orang Tentera

Foto Hasil Formasi oleh 30,000 Orang Tentera
Artikel diterjemahkan oleh Adam Ariff untuk FOTOTEACHER.COM (Sumber dari Neatorama)

Pada 1918, seorang jurufoto bernama Arthur S. Mole dan Jon D. Thomas telah merakam foto 30,000 orang tentera dari sudut atas di Kem Custer, Michigan. Sebuah menara setinggi 70 kaki dibuat khas bagi merakam foto tersebut dari tempat yang tinggi.

Mole dan Thomas adalah pakar dalam teknik merakam foto yang melibatkan ribuan tentera membentuk suatu bentuk/formasi gergasi seperti simbol USA, potret Woodrow Wilson, Liberty Bell, Statue of Liberty, The Marine Corps dan banyak lagi.

———————————————————————————————————————————————————

Adakah anda sudah benar-benar menguasai pengetahuan asas dalam fotografi? Uji tahap pengetahuan anda dengan menjawab soalan kuiz di sini – http://fototeacher.com/SoalanAsasFotografi.htm

May 4, 2011 Categorized under Relaks, Umum

Patung Burung dan Kamera

Patung Burung dan Kamera
Oleh Adam Ariff untuk FOTOTEACHER.COM

Pada sekitar tahun 1920an, jurufoto potret selalunya menggunakan satu alat berupa patung burung yang diperbuat dari loyang bagi menarik perhatian kanak-kanak yang ingin dirakam gambarnya.

Patung burung ini kebiasaannya dipegang oleh pembantu jurufoto ataupun ibubapa. Satu salur getah dan squeeze bulb (satu bahgian yang perlu dipicit untuk membolehkan alat ini berfungsi) disambungkan pada patung burung tersebut. Di bawah patung burung tersebut terdapat dua bahagian, dimana satu bahagian itu akan diisi dengan air. Dengan memicit ‘squeeze bulb’, patung burung tersebut akan bersiul lalu menarik perhatian kanak-kanak untuk memandang kearah kamera.

Dapatkan artikel dan tips fotografi dihantar terus ke e-mel anda dengan melanggan newsletter percuma dari FOTOTEACHER.COM. Untuk melanggan, sila ke – http://fototeacher.com/subscribe.htm

April 2, 2011 Categorized under Fikiran, Inspirasi & Motivasi, Umum

IJAZAH JURUFOTO

IJAZAH JURUFOTO
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

“Perlukah masuk universiti untuk jadi jurufoto profesional?” Saya seringkali ditanya soalan ini. Selalunya yang bertanya itu ialah golongan remaja yang minat fotografi dan ingin menjadikan fotografi sebagai kerjaya mereka. Jawapan ringkasnya – tidak perlu. Anda tidak perlu ada sijil, diploma dan sebagainya untuk menjadi jurufoto profesional. Tetapi, jika anda ada kelulusan formal dalam bidang fotografi, ianya akan menjadi satu kelebihan buat anda. Tetapi dengan satu syarat.

Syaratnya ialah, anda mestilah mempunyai portfolio yang kuat (portfolio adalah contoh hasil karya anda yang dapat menunjukkan tahap kemahiran anda sebagai seorang jurufoto). Portfolio inilah yang akan dinilai sebelum anda ditawarkan sesuatu kerja. Semakin baik portfolio anda, semakin mudah anda mendapat kerja dan semakin tinggi gaji yang boleh anda dapatkan.

Tetapi, jika anda ingin bekerja dalam bidang fotografi dengan pihak kerajaan, eloklah anda ada kelulusan formal dalam bidang fotografi kerana gaji yang dibayar biasanya berdasarkan tahap kelulusan formal anda samada anda pemegang sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah dan sebagainya. Begitu juga jika anda ingin menjadi pensyarah fotografi di universiti, kelulusan akademik dalam bidang fotografi adalah amat penting.

Di Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menawarkan pengajian khusus dalam bidang fotografi pada peringkat Diploma hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. UNISEL pula ada menawarkan pengajian dalam bidang fotografi hingga ke peringkat Diploma. SPACE UTM juga ada menawarkan pengajian fotografi dengan kelulusan Diploma Eksekutif, sesuai dihadiri secara sambilan. Universiti Islam Antarabangsa pula ada menawarkan program Sijil Eksekutif dalam fotografi yang boleh ditamatkan dalam tempoh hanya 6 bulan. Selain dari itu, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) juga menawarkan pengajian dalam bidang fotografi pada peringkat Sijil.

Jurufoto yang tiada kelulusan formal dalam bidang fotografi pun boleh berjaya. Peluangnya adalah sama. Segalanya bergantung kepada usaha dan bakat yang dimiliki oleh setiap individu. Cuma, biasanya jurufoto yang belajar sendiri tanpa masuk ke universiti perlu melalui jalan yang agak sukar dalam proses pembelajaran kerana tidak mendapat bimbingan yang sistematik, tidak seperti di universiti. Tetapi, sekali lagi ditegaskan, jurufoto yang belajar sendiri ini tetap boleh berjaya jika beliau rajin berusaha.

Pelajar yang belajar fotografi di universiti biasanya mempunyai masa hadapan yang lebih cerah asalkan mereka belajar bersungguh-sungguh dan rajin berusaha. Pelajar universiti tidak akan berjaya di dalam industri sebagai jurufoto profesional jika mereka hanya bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata, tetapi tidak berusaha menghasilkan portfolio yang bagus. Pelajar juga mestilah menggunakan peluang networking di universiti dengan sepenuhnya kerana, ini akan menjadi aset penting bila mereka berada di dalam alam pekerjaan sebenar. Rakan-rakan kenalan universiti ini akan memegang jawatan tertentu di dalam industri selepas beberapa tahun dan mereka akan menawarkan berbagai peluang dan pertolongan yang berguna satu hari nanti.

Perkara yang perlu dipertimbangkan apabila ingin belajar fotografi di universiti ialah faktor masa dan kos pengajian. Misalnya, pengajian pada peringkat diploma akan memakan masa selama 3 tahun dan kos yang terlibat juga adalah agak tinggi (bergantung di universiti mana anda belajar). Jika dibandingkan dengan individu yang belajar sendiri, mereka sudah boleh mula menjana pendapatan dalam tempoh kurang dari 3 tahun. Tetapi, untuk jangka masa panjang, individu yang memiliki kelulusan formal dalam fotografi boleh pergi lebih jauh dan mendapat peluang yang lebih besar asalkan berusaha gigih. Tetapi, saya perlu tegaskan lagi sekali bahawa, perkara ini adalah amat subjektif. Individu yang tiada kelulusan formal dalam fotografi pun boleh berjaya jika mereka bijak mengambil peluang dan bekerja keras. Memang ramai pun jurufoto di Malaysia yang berjaya walaupun tidak memiliki sebarang kelulusan akademik dalam bidang fotografi. Sebaliknya, ada juga graduan dari universiti berkelulusan diploma atau ijazah sarjana muda dalam bidang fotografi yang tidak mendapat kerja dengan bayaran setimpal. Semuanya terletak atas pilihan dan usaha individu itu sendiri.

Satu lagi isu yang selalu timbul ialah ibu bapa biasanya tidak berapa yakin bila anaknya ingin belajar di universiti dalam bidang fotografi kerana bimbang tiada masa depan. Apa yang boleh saya katakan ialah, tidak kira bidang apa pun, kita boleh mendapat pendapatan yang lumayan jika kita rajin berusaha. Tetapi, kita perlu sedar bahawa, untuk berjaya dan mendapat pendapatan lumayan dari fotografi bukanlah mudah. Sama juga dengan bidang lain. Jadi, untuk memastikan anda terus kekal dalam fotografi dan menghadapi segala rintangan sebelum anda berjaya, anda perlu pastikan bahawa anda betul-betul meminati fotografi. Bukan sekadar terikut dengan kawan atau trend semasa. Minat yang mendalam inilah yang akan menjadi azimat untuk anda terus berjuang dalam fotografi hingglah anda berjaya kecapi kejayaan tertinggi.

Pokok pangkalnya ialah usaha. Jika anda masuk universiti untuk belajar fotografi, janganlah hanya bergantung kepada sekeping siji yang bakal anda terima nanti. Banyakkan berusaha sendiri sebagai persediaan untuk bersaing di dalam dunia pekerjaan sebenar nanti. Hasilkan portfolio yang kuat, kerana portfolio inilah yang akan ‘bercakap’ untuk anda.

Nasihat yang boleh saya berikan ialah, jika anda mampu, ada masa dan ada peluang untuk masuk universiti, maka rebutlah peluang itu. Tetapi pastikan bahawa anda memang minat fotografi dan sanggup berkorban untuknya. Ingatlah bahawa bidang fotografi bukan bidang main-main. Fotografi sebagai hobi berbeza dengan fotografi sebagai kerjaya.

Kepada anda yang tidak berpeluang untuk masuk universiti, tidak mengapa. Anda perlu ingat, ada banyak jalan untuk berjaya. Ada banyak cara untuk belajar, tambahan sekarang ini dengan kemudahan internet, maklumat boleh didapati dengan begitu mudah. Anda juga boleh menghadiri kursus pendek yang dianjurkan oleh banyak pihak sekarang ini. Cuma, berhati-hatilah – pastikan anda belajar dari guru yang bertauliah dan berpengalaman. Kemudian, carilah mentor atau orang yang boleh membimbing anda dalam fotogafi. Cari pengalaman sebanyak mungkin dengan bekerja dengan jurufoto profesional dengan tujuan untuk belajar dan cari pengalaman, lupakan dulu tentang bayaran lumayan.

Kesimpulannya, tiada jawapan yang mutlak untuk isu ini. Tidak kira anda ada kelulusan formal di dalam fotografi atau tidak, anda tetap boleh berjaya sebagai seorang jurufoto. Cuma, jalannya yang berbeza. Setiap satu jalan ada kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Segalanya terpulang kepada anda sendiri untuk membuat keputusan.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Sekiranya anda berminat untuk belajar fotografi melalui kursus jangka pendek, anda boleh hadiri berbagai kursus dan bengkel anjuran FOTOTEACHER.COM. Barisan tenaga pengajar dan jurulatih kami terdiri dari individu yang mempunyai kelulusan formal dalam bidang fotografi dan mempunyai pengalaman minima selama 15 tahun dalam industri sebagai jurufoto profesional. SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT

May 21, 2010 Categorized under Tips, Umum

Macamana Saya Beli Buku Fotografi

Macamana Saya Beli Buku Fotografi
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Apabila saya ingin tahu atau belajar mengenai sesuatu tajuk dalam fotografi, mula-mula saya akan search tajuk-tajuk buku yang berkenaan di dalam amazon.com. Setelah terjumpa tajuk buku yang saya cari dan minati, saya akan membaca kandungan ringkas buku tersebut dari laman web http://www.amazon.com

Jika saya dapati buku tersebut berkualiti dan menepati kehendak saya, saya cari pula tajuk buku tersebut di dalam laman web Kinokuniya Malaysia di – http://bookweb.kinokuniya.co.jp/guest/cgi-bin/bookscohb.cgi?AREA=05

Saya akan tahu samada buku tersebut ada dalam stok di Kinokuniya Malaysia di Suria KLCC. Kalau ada stok, saya akan terus ke sana dan membeli buku tersebut. Jika tiada stok atau saya tiada masa untuk ke Suria KLCC, maka saya akan terus beli secara online dari amazon.com. Kalau beli secara online dari amazon.com perlu guna kad kredit dan penghantaran buku tersebut akan diterima dalam masa lebih kurang 10 hari. Saya pernah beberapa kali membeli buku dari amazon.com dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Kinokuniya di Suria KLCC mempunyai koleksi buku fotografi yang banyak dan yang lebih penting, buku fotografi di sini lebih berkualiti berbanding kedai buku lain. Kebanyakan buku di Kinokuniya berbalut dengan plastik. Tetapi, jika anda ingin melihat bahagian dalam buku tersebut, anda boleh minta staf di service desk bukakan plastik tersebut untuk anda. Jangan buka sendiri plastik yang membalut buku tersebut kerana ianya adalah etika yang tidak betul dan tidak disukai oleh kedai buku.

Seorang pembaca artikel ini di Facebook (Diyana Ab Rahman) pula telah memberi maklum balas bahawa beliau suka membeli buku di – www.bookdepository.com kerana di sini harga bukunya lebih murah dan mereka menghantar buku yang dipesan ke seluruh dunia secara percuma!

Harap tips ini dapat membantu. Sila kongsikan pengalaman dan tips anda pula.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Antara buku fotografi yang menjadi rujukan saya
Antara buku fotografi yang menjadi rujukan saya

February 28, 2010 Categorized under Fikiran, Tips, Umum

Cara Mendapatkan Manfaat Terbaik dari Kursus yang Dihadiri

gambarhiasanpersediaanhadirkursus

Cara Mendapatkan Manfaat Terbaik dari Kursus yang Dihadiri
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Apabila anda menghadiri kursus atau bengkel fotografi, anda telah membelanjakan sejumlah wang dan masa anda yang amat berharga. Jangan sia-siakan pelaburan anda ini. Berikut adalah beberapa langkah yang perlu anda lakukan untuk memastikan anda mendapat manfaat sepenuhnya dari kursus atau bengkel yang anda hadiri:

    • Pastikan anda membaca kandungan kursus dengan teliti dan tahu apakah yang bakal anda pelajari di dalam kursus tersebut. Tanya diri anda, adakah subjek yang akan diajar itu memang ingin anda ketahui.
    • Pastikan anda telah memenuhi syarat kelayakan untuk menghadiri kursus tersebut. Contohnya, ada sesetengah kursus yang memerlukan anda mempunyai pengetahuan asas tertentu. Pastikan anda telah memenuhi syarat kelayakan ini. Jika tidak, anda mungkin tidak akan faham subjek yang diajar di dalam kursus itu nanti kerana anda belum memiliki kefahaman asas yang diperlukan.
    • Lihat subjek-subjek yang akan diajar di dalam kursus yang akan anda hadiri. Cuba belajar sendiri subjek-subjek tersebut supaya anda dapat gambaran tentang apa yang bakal pelajari di dalam kursus itu nanti. Dengan persediaan yang rapi, anda akan mendapat manfaat yang terbaik dari kursus yang akan anda hadiri.
    • Banyakkan membuat praktikal dengan merakam foto yang bersesuaian dengan tajuk kursus yang akan dihadiri. Dengan cara ini, anda akan menemui lebih banyak masalah sebenar. Dengan membuat latihan praktikal sendiri sebelum menghadiri kursus juga akan membuatkan anda lebih faham dan lebih bersedia tentang subjek yang akan diajar di dalam kursus tersebut.
    • Jika anda ada soalan, masalah atau perkara penting yang ingin anda ketahui, tuliskan perkara tersebut agar anda dapat tanya semasa kursus nanti.
    • Baca maklumat terperinci kursus dan pastikan anda tidak tersilap tarikh, tempat atau tertinggal peralatan yang perlu dibawa semasa kursus. Sekiranya maklumat kursus berada di laman web, cetak maklumat tersebut untuk rujukan anda.
    • Dapatkan tidur dan rehat yang cukup sehari sebelum menghadiri kursus. Ini kerana, pada hari kursus, anda harus memberi tumpuan sepenuhnya kepada subjek yang diajar.
    • Hadir awal semasa kursus dan dapatkan tempat duduk di barisan hadapan agar anda dapat memberikan tumpuan yang lebih. Dengan hadir awal juga, anda boleh pilih tempat yang terbaik; misalnya kedudukan tempat tersebut tidak terdedah secara terus kepada pendingin udara yang akan membuatkan anda terlalu sejuk.
    • Catit nota penting disepanjang kursus. Walaupun nota bercetak telah diberikan kepada anda, banyak fakta penting akan disampaikan oleh jurulatih dimana fakta ini tidak terdapat di dalam nota yang diberi.
    • Jangan malu bertanya soalan sekiranya anda tidak faham. Jika anda malu bertanya, anda sendiri yang akan kerugian. Biasanya, di dalam sesuatu kursus, jika anda tidak faham subjek pada peringkat awal, adalah lebih sukar untuk anda faham subjek yang seterusnya.
    • Berkenalan dengan peserta kursus yang lain. Dapatkan nama dan cara untuk menghubungi mereka. Dengan menghadiri kursus, anda bukan sahaja datang untuk belajar, tetapi anda juga harus guna peluang ini untuk membina jaringan kenalan dengan rakan lain yang mempunyai minat yang sama dengan anda. Anda boleh menghubungi rakan baru anda ini kemudian untuk sesi pembelajaran tidak rasmi.
    • Selepas kursus, terus ulangkaji perkara yang telah anda pelajari. Pastikan anda faham semua subjek yang telah diajar. Jika perlu, buat latihan praktikal sendiri bagi memantapkan lagi kefahaman anda. Jika anda masih tidak memahami subjek tertentu, terus hubungi jurulatih untuk bertanya soalan tentang perkara yang anda masih belum faham.

      Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
      Jadilah ‘fan’ di PAGE FOTOTEACHER dalam FACEBOOK dan dapatkan berbagai keistimewaan! Sila ke – http://www.facebook.com/fototeacher

      May 15, 2008 Categorized under Umum

      MUTU PERKHIDMATAN DI MALAYSIA

      Kita keluar sikit dari topik fotografi, kali ni mengenai mutu perkhidmatan di Malaysia.

      Setelah membaca tulisan blog dari rakan saya, Fishie, saya tertarik untuk berikan komen berikut:

      “Baru-baru ini, saya menghubungi ambulans kerana ada kecemasan. Ambulans ni lambat sampai sebab tersesat. (Ambulans pun boleh sesat???) Pihak hospital call kata ambulans tak jumpa rumah dan suruh sesiapa ‘jemput’ ambulans kat balai polis. Tak bolehkah pemandu ambulans ni diberi latihan untuk tahu semua jalan dalam kawasannya, bawak peta atau secara mudahnya, pakai navigator? Memanglah sangat lemah perkhidmatan di Malaysia. Bukanlah nak dibanggakan negara luar, tapi kita patut belajar dari mereka dan berusaha untuk memperbaiki.”

      Fishie menulis mengenai pengalaman beliau di sebuah Hospital Kerajaan di Australia yang mengamalkan perkhidmatan cemerlang dimana bezanya dengan di Malaysia bagaikan langit dengan bumi. Sila baca penulisan yang sungguh menarik ini di – http://ilhamfishie.blogspot.com/2008/05/my-experience-hospital-in-melbourne.html

      Ketika di Tokyo, saya rasa senang sebagai pelanggan. Setiap kali masuk ke mana-mana kedai, semua pekerja-pekerja akan menyapa kita dengan ucapan “Selamat Datang!” (dalam bahasa Jepun). Setiap pertanyaan akan dijawab dengan panjang lebar walaupun selalunya mereka tak berapa faham Bahasa Inggeris. Kita sebagai pelanggan yang bakal membelanjakan wang pasti akan rasa senang dengan keramahan sebegini.

      Kalau di Malaysia, bila kita masuk ke kedai, biasanya pekerja akan buat tak kisah. Pekerja-pekerja sibuk bersembang sesama sendiri dan adakalanya akan gelak kuat-kuat sesama mereka. Bila bantuan diminta, mereka akan tarik muka masam dan cuba mengelak dari membantu. Langsung tak ada hormat kepada pelanggan. Bagi saya, pekerja kedai yang  bersembang sesama sendiri di depan pelanggan mencerminkan sikap yang amat biadap.

      Namun, tidak dinafikan ada juga segelintir kedai di Malaysia yang mempamerkan perkhidmatan pelanggan yang mesra. Apa pengajarannya? Kalau orang kita tak sedar akan kepentingan melayani pelanggan, kita takkan dapat maju dalam persaingan sengit perniagaan. Kepada anda yang memberikan khidmat kepada pelanggan (terutamanya dalam bidang fotografi), layanlah pelanggan anda bagai raja. Pelanggan yang dilayan dengan baik akan terdorong untuk membelanjakan wang yang lebih dari yang sepatutnya kepada anda.

      Apa pendapat anda? Ada kisah yang anda nak kongsi di sini? Sila tuliskan di ruang komen di bawah…

      Hasnuddin

      March 17, 2008 Categorized under Umum

      Kedai Kamera di Bangkok

      Baru baru ni saya sempat berjalan-jalan di kota Bangkok. Bangkok adalah sebuah bandaraya yang besar dan moden. Tapi, saya rasa, Kuala Lumpur lagi cantik dari segi landscape dan kebersihan. Saya sempat melawat beberapa kedai kamera di Bangkok. Ternyata, kedai kamera di sana lebih canggih dari di Malaysia.

      Kamera terbaru Nikon D3 dan D300 ada banyak ‘on display’ dan ‘ready stock’. Lensa dan aksesori yang jarang ada kat Malaysia pun mudah didapati di sana. Dari segi harga, lebih kurang macam harga di Malaysia. Pendek kata, saya simpulkan, Bangkok mempunyai pasaran barangan kamera yang lebih baik dari di Malaysia. Ini mungkin disebabkan jumlah pelancong asing dan peminat fotografi tempatan yang ramai terdapat di sana.

      Hasnuddin

      img_6332.JPG
      Nak lens apa? Pilih aje. Jangan bayar pakai RM, pakai Baht.

      img_6391.JPG
      Kamera besar tu ialah kamera Canon F-1 dengan bulk film magazine. Ada banyak lagi kamera ‘lama’ yang dipamerkan di kedai Canon ni. Kedai kamera Canon ni, disamping menjual kamera baru, ia juga ada satu bahagian galeri yang mempamerkan kamera-kamera Canon yang terdahulu. Kedai ni terletak di MBK Shopping Complex, Bangkok.

      img_6393.JPG
      Kat kedai ni, hampir semua lensa Canon yang ada dalam brochure, dipamerkan dan dijual, tak payah nak order. Kedai ni terletak di MBK Shopping Complex, Bangkok.

      September 28, 2007 Categorized under Umum

      Reply dari Minta Pendapat

      Seperti yang diharapkan, saya dapat maklum balas yang baik dari pengunjung blog ini mengenai cadangan untuk memperbaiki blog fototeacher.com. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada anda yang telah memberikan feedback. Antara cadangan yang paling popular ialah:

      1) Mengadakan live chat area
      2) Galakkan pengunjung hantar gambar dan beri hadiah kepada gambar terbaik
      3) Kurangkan harga kursus yang diadakan oleh fototeacher.com
      4) Update blog dengan lebih kerap
      5) Adakan kursus dan aktiviti untuk peminat fotografi di luar Kuala Lumpur

      Idea2 ini dan ada beberapa lagi idea yang saya rasa amat bernas. Kami akan berusaha untuk merealisasikannya secara berasur-ansur tidak lama lagi.

      Sekali lagi, ribuan terima kasih kepada yang memberikan maklum balas.
      Hasnuddin
      Belajar Fotografi – www.fototeacher.com