Archive for the “Tips” Category

December 12, 2011 Categorized under Tips, video

Tips Potret Perkahwinan


Tips yang sungguh menarik mengenai rakaman potret untuk fotografi perkahwinan dikongsikan oleh jurufoto terkenal Bambi Cantrell. Saksikan video ini!

December 1, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Artikel Teknikal, Gambar, Tips

Photo Enhancement

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Foto enhancement adalah satu proses dimana sesuatu foto itu dicantikkan lagi dari foto asalnya. Proses ini biasanya dibuat menggunakan perisian Adobe Photoshop. Saya kerap ditanya, adakah foto yang saya rakam ‘dimasukkan’ terlebih dahulu di dalam Photoshop. Jawapan saya – Ya, semua foto yang saya rakam akan saya lakukan enhancement terlebih dahulu menggunakan Adobe Photoshop sebelum sesuatu foto itu ditunjukkan kepada orang lain.

Bagi saya, gambar foto yang tidak dilakukan enhancement adalah gambar foto yang belum siap. Ia boleh diibaratkan seperti sebuah rumah yang telah siap dibina, tetapi tidak dihias. Proses photo enhancement ini bukannya baru. Jurufoto sejak zaman penggunaan kamera analog (kamera menggunakan filem) melakukan enhancement kepada foto yang mereka rakam. Bezanya, pada ketika itu, proses enhancement ini dilakukan di dalam bilik gelap (darkroom) secara manual.

Biasanya, saya akan melakukan enhancement dari segi - cropping, level, color balance, burning dan dodging. Saya bukan pakar dalam penggunaan Photoshop. Tetapi, saya rasa, pengetahuan saya cukup sekadar untuk melakukan enhancement yang asas dan penting. Sememangnya menjadi satu keperluan untuk semua jurufoto untuk mempunyai sekurang-kurangnya ilmu asas mengenai penggunaan Adobe Photoshop.

Untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas, saya tunjukkan contoh foto yang saya rakam dan jenis enhancement yang telah saya lakukan. Foto di bawah ini adalah foto original tanpa dilakukan apa-apa enhancement. Ianya kelihatan biasa sahaja. Tetapi, ciri-ciri penting pada foto mestilah cukup baik seperti subjek yang menarik, komposisi yang baik dan dedahan cahaya yang tidak terlalu teruk.

Seterusnya, saya melakukan cropping pada foto ini, iaitu menjadikannya ke dalam bentuk square format. Ini dilakukan agar subjek utama kelihatan lebih menyerlah di dalam gambar serta menjadikan keseluruhan foto lebih menarik. Saya juga menukarkan foto ini menjadi foto hitam putih agar mata kita lebih tertumpu kepada bentuk dan komposisi subjek, tanpa gangguan dari sebarang warna. Setelah itu, saya mengawal kecerahan foto (level) agar ianya tidak terlalu gelap dan tidak terlalu cerah. Secara tidak langsung, proses ini juga mempengaruhi kawalan kontras pada gambar. Saya melakukan beberapa lagi kawalan terperinci terhadap kecerahan gambar dengan melakukan dodging dan burning. Anda boleh melihat di bahagian mana saya melakukan dodging dan burning ini seperti di dalam gambar di bawah

Proses dodging dan burning ini perlu dilakukan dengan berhati-hati dan memakan sedikit masa. Apa pun yang anda lakukan, jangan lakukan enhancement yang keterlaluan. Kalau boleh, pastikan foto yang dihasilkan masih kelihatan asli tanpa kesan ubahsuai yang berlebihan. Apapun, penilaian terhadap kecantikan sesuatu foto itu tetap menjadi sesuatu yang subjektif. Di bawah ini adalah gambar foto yang telah siap dilakukan enhancement.

PENGUMUMAN:

Sekiranya anda berminat untuk mempelajari cara yang betul menggunakan Adobe Photoshop, anda boleh hadiri bengkel yang dianjurkan oleh FOTOTEACHER.COM. Bengkel ini akan disampaikan oleh jurulatih yang pakar di dalam bidang ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran, SILA KLIK DI SINI

October 21, 2011 Categorized under Fikiran, Tips, Umum

Jurufoto Sambilan

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Bagi peminat fotografi baru (beginners), salah satu cara yang paling mudah untuk menjana pendapatan adalah melalui fotografi perkahwinan. Bagi golongan yang mempunyai pendapatan tetap, bisnes fotografi perkahwinan dilakukan secara sambilan. Apabila dilakukan secara sambilan, ada segelintir jurufoto sambilan yang kurang bersungguh-sungguh dalam kerja fotografi perkahwinan. Tanpa minat dan kesungguhan, seseorang itu tidak boleh maju dalam bidang ini.

Tanpa ilmu dan bimbingan yang betul, ada masanya seseorang itu akan terperangkap dalam beberapa masalah. Adakalanya ini akan membuatkan seseorang itu berputus asa lalu meninggalkan terus bidang ini. Selain dari itu, ada juga golongan yang terlibat dalam fotografi perkahwinan dalam satu tempoh masa yang lama, tetapi malangnya mereka tidak memperolehi hasil yang setimpal walaupun telah mengorbankan banyak wang dan masa mereka.

Sebenarnya, jika pekerjaan ini dilakukan dengan cara yang betul, ianya boleh memberikan pendapatan yang lumayan. Sudah terbukti, ramai jurufoto perkahwinan di luar sana yang telah berjaya.

Bidang fotografi perkahwinan nampak mudah pada awalnya. Tetapi, sebenarnya, ia tidak semudah yang disangka. Memang betul, sesiapa sahaja boleh merakam foto perkahwinan, tetapi untuk merakam foto perkahwinan yang berkualiti tinggi, memerlukan ilmu, kemahiran, pengalaman dan usaha yang bersungguh-sungguh. Adalah lebih sukar lagi untuk menjana keuntungan dari fotografi perkahwinan. Seseorang itu perlu ada ilmu perniagaan selain dari ilmu fotografi. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, ilmu perniagaan adalah lebih penting dari ilmu fotografi sekiranya seseorang itu ingin berjaya dalam fotografi perkahwinan.

Ramai jurufoto sambilan menyangka mereka mendapat untung setiap kali mendapat pelanggan. Tetapi, hakikatnya mereka selalu rugi, terutamanya dalam jangka masa panjang. Memanglah setiap kali kerja dilakukan, mereka akan mendapat sedikit wang untung bersih, tetapi, mereka tidak sedar bahawa mereka telah rugi satu perkara yang lebih bernilai, iaitu – masa. Untung bersih yang diperolehi tidak setimpal dengan masa yang telah dikorbankan jika bisnes ini dilakukan dengan cara yang salah.

Antara kesilapan lain yang selalu dilakukan oleh jurufoto perkahwinan yang melakukan kerja secara sambilan ialah:

1)    Menganggap fotografi perkahwinan adalah sebahagian dari hobinya dalam fotografi. Disebabkan itu, mereka tidak begitu kisah dengan jumlah bayaran yang diterima. Mereka tidak faham maksud hobi. Hobi ialah melakukan sesuatu untuk kepuasan diri sendiri, tetapi fotografi perkahwinan bukan satu hobi kerana kita perlu merakam gambar untuk kepuasan pelanggan.

2)    Membelanjakan wang dengan cara yang salah untuk membeli kamera, lensa dan lain-lain peralatan fotografi yang sebenarnya tidak diperlukan. Mereka menyangka, peralatan yang mahal boleh memajukan perniagaan mereka, tetapi sebenarnya itu tidak benar. Kesilapan pengurusan kewangan ini boleh mengundang masalah lain yang lebih besar. Mereka sepatutnya turut memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan pemasaran, modal pusingan dan lain-lain.

3)    Tidak mengetahui dan tidak mahir teknik yang betul dalam merakam foto perkahwinan. Bidang fotografi adalah bidang yang luas dan setiap bidang pengkhususan dalam fotografi itu mempunyai teknik-tekniknya yang tersendiri. Teknik yang digunakan untuk merakam foto sebagai hobi misalnya, adalah berlainan dengan teknik merakam foto perkahwinan. Biasanya, teknik dalam fotografi perkahwinan mementingkan teknik yang ringkas, cepat tetapi berkesan. Di dalam fotografi perkahwinan juga, imej yang dihasilkan mestilah mempunyai tahap kesenian yang tertentu disamping ianya juga perlu menambat hati pelanggan.

4)    Mudah terikut dan meniru gaya foto yang dihasilkan oleh jurufoto lain. Disebabkan meniru, hasil karya mereka tidak mempunyai keaslian atau identiti sendiri. Dengan cara mengikut tanpa faham konsep dan tanpa ada kemahiran mengenainya, hasilnya juga tidak begitu menjadi. Untuk bersaing, seseorang jurufoto itu perlu mempunyai karya yang unik agar dia boleh ‘dilihat’ dan dihargai oleh bakal pelanggan.

5)    Tidak mahir dalam bidang pemasaran. Walau sebagus mana pun karya seseorang itu, tanpa pemasaran yang betul, karya itu tidak dapat menjana pendapatan untuknya. Jurufoto sambilan biasanya tidak sanggup untuk membelanjakan wang untuk pemasaran (tetapi sanggup membeli kamera mahal) Mereka tidak faham bahawa, wang yang dikeluarkan untuk menjalankan pemasaran yang berkesan adalah satu pelaburan, bukannya satu pembaziran. Bukankah bijak jika terpaksa membelanjakan RM10,000 untuk pemasaran jika kita akan mendapat untung RM50,000 darinya?

Tetapi, semua ini adalah normal – dalam proses belajar, kita memang akan sentiasa membuat kesilapan. Apa yang penting ialah kita belajar dari kesilapan. Makin besar kesilapan yang dibuat, makin besar pengajaran yang akan didapati. Tetapi, orang yang lebih bijak ialah orang yang belajar dari kesilapan orang lain. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya jurufoto sambilan yang masih baru di dalam bidang ini menambahkan usaha untuk mencari ilmu dan belajar dari jurufoto lain yang lebih berpengalaman.

Akan sampai masanya nanti apabila seseorang itu telah lama dalam bidang ini, dia akan tiba di satu titik untuk membuat keputusan – berhenti kerja tetap dan lakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa! Untuk pergi lebih jauh, semua orang akan melalui peringkat ini. Peringkat yang lebih sukar, lebih mencabar dan lebih berisiko. Tetapi, pulangannya berbaloi jika kita berjaya.

Jika dilakukan dengan cara yang betul, setelah beberapa tahun melakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa, seseorang itu akan pergi ke langkah seterusnya, iaitu mempunyai pejabat yang khusus untuk perniagaannya. Bukan lagi beroperasi dari rumah. Disebabkan tugasan yang banyak, pada peringkat ini juga, jurufoto akan mula mempunyai pekerja yang akan membantu dalam beberapa urusan. Pada peringkat ini juga, jurufoto tadi bukan sahaja sibuk merakam foto, tetapi dia juga akan sibuk dalam menguruskan bermacam-macam hal berkaitan perniagaannya. Mungkin selepas beberapa ketika, dia akan membuka satu lagi perniagaan baru, menambah bilangan pekerja atau berpindah ke pejabat yang lebih besar. Ini menandakan bahawa seseorang jurufoto itu telah berjaya di dalam bidangnya, walau pada awalnya dia hanya bermula dari seorang jurufoto sambilan.

SERTAI KURSUS FOTOGRAFI PERKAHWINAN OLEH HASNUDDIN ABU SAMAH. SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT

August 24, 2010 Categorized under Artikel Teknikal, Tips

Light Trail

Light Trail
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Apabila merakam foto menggunakan slow shutter sekitar 1 second atau lebih perlahan, kita boleh mendapatkan kesan jalur cahaya (light trail) di dalam foto yang dirakam apabila terdapat kenderaan dengan lampu dinyalakan bergerak di hadapan kamera kita. Foto sebegini sesuai dirakam pada waktu malam atau lebih baik lagi jika dirakam pada waktu senja kerana pada waktu senja, kita masih boleh mendapatkan warna biru pada langit.

Oleh kerana foto ini dirakam menggunakan slow shutter, kita perlu meletakkan kamera pada permukaan yang stabil untuk mengelakkan gegaran pada kamera. Lebih mudah lagi jika kita mempunyai tripod untuk tujuan ini.

Apabila merakam foto dengan slow shutter, elakkan dari menekan shutter release button dengan jari anda bagi mengelakkan gegaran pada kamera. Gegaran pada kamera ini boleh mengakibatkan foto anda menjadi kabur. Untuk ini, anda boleh gunakan self timer bagi merakam foto atau lebih baik lagi jika anda menggunakan wireless remote untuk merakam foto tanpa menyentuh kamera anda.

Saya merakam foto di atas di sebuah selekoh jalan di Cameron Highlands pada waktu senja. Saya merakam lebih kurang 20 keping gambar bagi mendapatkan foto terbaik. Untuk mendapatkan kesan light trail yang baik, kita perlu menunggu kenderaan yang sesusai melintas di hadapan kamera. Adakalanya light trail yang dihasilkan tidak begitu menarik kerana terlalu banyak kenderaan atau terlalu kurang kenderaan lalu di hadapan kamera kita. Jadi, kita perlu menunggu masa yang sesuai dan merakam banyak foto.

Untuk foto di atas, setting yang digunakan adalah seperti berikut:

  • ISO 100
  • Aperture f/13
  • Shutter speed 15 seconds

Setting yang dinyatakan hanyalah sebagai info dan panduan. Anda perlu ubahsuai setting anda berdasarkan keadaan pencahayaan dan setting lain yang digunakan semasa anda merakam foto anda nanti.

Diharap tips ini dapat membantu atau memberi inspirasi kepada anda untuk merakam foto dengan light trail. Fikirkan lokasi menarik untuk anda rakam foto sebegini dan cuba rakam foto light trail atau night scene anda sendiri. Selamat mencuba!

NOTA:

  • 2 aksesori penting yang perlu anda guna bagi merakam foto sebegini ialah tripod dan wireless remote. Anda boleh dapatkan aksesori ini dari FOTOTEACHER secara online di – http://www.fototeacher.com/shop.html Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami di 03-91017155 atau e-mel kepada sales@fototeacher.com
  • Untuk mengetahui cara memilih dan menggunakan berbagai aksesori fotografi yang penting, anda boleh hadiri Foto Tools Class oleh FOTOTEACHER. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila ke – http://www.fototeacher.com/ftc.html

Wireless remote yang saya cadangkan – Phottix Cleon II Wireless Remote N8 for Nikon D200 D300 D700 D3 Digital SLR Cameras (PX-CLEON-N8)


Video cara menggunakan dan fungsi wireless remote jenama Phottix


Saya cadangkan anda membeli tripod jenama Manfrotto kerana ianya merupakan tripod yang berkualiti tinggi buatan Italy. Boleh didapati di FOTOTEACHER:

May 21, 2010 Categorized under Tips, Umum

Macamana Saya Beli Buku Fotografi

Macamana Saya Beli Buku Fotografi
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Apabila saya ingin tahu atau belajar mengenai sesuatu tajuk dalam fotografi, mula-mula saya akan search tajuk-tajuk buku yang berkenaan di dalam amazon.com. Setelah terjumpa tajuk buku yang saya cari dan minati, saya akan membaca kandungan ringkas buku tersebut dari laman web http://www.amazon.com

Jika saya dapati buku tersebut berkualiti dan menepati kehendak saya, saya cari pula tajuk buku tersebut di dalam laman web Kinokuniya Malaysia di – http://bookweb.kinokuniya.co.jp/guest/cgi-bin/bookscohb.cgi?AREA=05

Saya akan tahu samada buku tersebut ada dalam stok di Kinokuniya Malaysia di Suria KLCC. Kalau ada stok, saya akan terus ke sana dan membeli buku tersebut. Jika tiada stok atau saya tiada masa untuk ke Suria KLCC, maka saya akan terus beli secara online dari amazon.com. Kalau beli secara online dari amazon.com perlu guna kad kredit dan penghantaran buku tersebut akan diterima dalam masa lebih kurang 10 hari. Saya pernah beberapa kali membeli buku dari amazon.com dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Kinokuniya di Suria KLCC mempunyai koleksi buku fotografi yang banyak dan yang lebih penting, buku fotografi di sini lebih berkualiti berbanding kedai buku lain. Kebanyakan buku di Kinokuniya berbalut dengan plastik. Tetapi, jika anda ingin melihat bahagian dalam buku tersebut, anda boleh minta staf di service desk bukakan plastik tersebut untuk anda. Jangan buka sendiri plastik yang membalut buku tersebut kerana ianya adalah etika yang tidak betul dan tidak disukai oleh kedai buku.

Seorang pembaca artikel ini di Facebook (Diyana Ab Rahman) pula telah memberi maklum balas bahawa beliau suka membeli buku di – www.bookdepository.com kerana di sini harga bukunya lebih murah dan mereka menghantar buku yang dipesan ke seluruh dunia secara percuma!

Harap tips ini dapat membantu. Sila kongsikan pengalaman dan tips anda pula.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Antara buku fotografi yang menjadi rujukan saya
Antara buku fotografi yang menjadi rujukan saya

March 29, 2010 Categorized under Artikel Teknikal, Tips

Flash – Biar Nampak Natural

Flash – Biar Nampak Natural
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Sejak zaman penggunaan filem, portable flash adalah satu peralatan yang penting dalam fotografi. Kita menggunakannya dalam pelbagai situasi sama ada dalam ruang tertutup mahupun di bawah matahari sebagai fill-in. Sebagaimana pentingnya flash, ia selalu disalah gunakan hingga boleh merosakkan gambar yang bagus.

Flash memberikan ruang kawalan cahaya yang sangat tinggi terutamanya di ruangan tertutup. Teknik ceiling bounce iaitu dengan memantulkan cahaya flash ke siling akan mencerahkan keseluruhan ruang lantas menjadikan latar belakang lebih menarik. Anda juga boleh mengawal arah datangnya cahaya dan keamatannya untuk menghasilkan kesan yang dihajati. Kelebihan utama portable flash berbanding dangan yang dibina pada badan kamera ialah sudut cahaya boleh dikawal sama ada dengan menggerakkan kepala flash, penggunaan kabel atau pun wireless.

Kebebasan untuk mengawal cahaya menggunakan portable flash adakalanya digunakan dengan cara yang kurang wajar. Ada beberapa hasil karya yang saya lihat menonjolkan penggunaan portable flash yang kurang efektif sehingga mencacatkan gambar. Flash seharusnya membantu pencahayaan agar foto dapat dirakam dengan dedahan yang betul, tetapi bukti penggunaan flash harus diminimakan agar foto kelihatan lebih natural. Beberapa perkara boleh membantu agar kesan penggunaan flash kurang kelihatan. Disini ada sedikit tips untuk tatapan.

  1. Gunakan diffuser atau teknik bounce. Flash yang dihalakan terus ke arah subjek tanpa diffuser akan melihatkan kesan silau. Hati-hati dengan warna permukaan yang digunakan untuk bounce.
  2. Jarakkan subjek dengan sebarang objek rata seperti dinding di belakangnya. Penggunaan flash mudah menghasilkan bayang-bayang. Ini boleh dielakkan dengan mudah hanya dengan mengubah kedudukan anda agar latar belakang tidak menghasilkan bayang-bayang.
  3. Walaupun penggunaan diffuser dan pantulan boleh melembutkan cahaya, kesan silau masih boleh dihasilkan jika subjek mempunyai elemen yang memantulkan cahaya. Baju putih, rim kacamata dan kepala tali pinggang besi boleh menghasilkan kesan silau. Mungkin anda ingin membuat tight crop agar objek bersinar tidak mengganggu foto tersebut.
  4. Peluh menghasilkan kesan berkilauan dan selalunya kita hanya perasan apabila imej dipaparkan di skrin komputer. Elok juga jika kita periksa jika subjek berpeluh dan hulurkan tisu.
  5. Ada juga punya silau yang disebabkan oleh latar belakang. Perhatikan jika terdapat kaca, cermin atau permukaan yang boleh menyebabkan pantulan.
  6. Jika subjek terlalu jauh dari latar belakang, kita akan mendapat foto yang mana latar belakang adalah gelap. Gunaka ceiling bounce untuk menerangkan kawasan di belakang dan shutter yang perlahan beserta ISO tinggi.
  7. Ada sesetengah manusia yang wajahnya bersegi dan mudah menampakkan kesan flash. Gunakan teknik bounce ke tepi agar mendapat side lighting.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

figure-2a
Kilau pada sanggul agak mengganggu tumpuan pada gambar.

figure-2b
Kilau pada dinding boleh dielakkan dengan mengambil sudut yang berbeza.

SERTAI BENGKEL PORTABLE FLASH ANJURAN FOTOTEACHER. UNTUK MAKLUMAT LANJUT DAN PENDAFTARAN, SILA KLIK DI SINI
Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 atau e-mel sales@fototeacher.com

March 23, 2010 Categorized under Tips

Kulat

Kulat
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

figure-3a

Antara musuh utama pemilik kamera ialah kulat (fungus). Kulat tumbuh diantara elemen lensa dan coating. Jika lensa anda sudah dijangkiti kulat, adalah satu perkara yang leceh untuk memulihkannya. Pembuangan kulat hanya dijalankan oleh profesional dan proses tersebut boleh mengakibat kesan sampingan yang tidak diingini seperti kerosakan pada coating dan focusing calibration.

Kulat membiak subur di tempat yang gelap, lembap dan pengudaraan yang tidak bergerak. Humidity (kelembapan) yang tinggi menggalakkan percambahan kulat daripada spora dan penumbuhannya yang pesat. Kesan kulat pada lensa boleh dilihat seperti kesan tompok atau jalur berbentuk akar. Oleh itu antara tabiat yang elok untuk mengurangkan risiko jangkitan kulat pada peralatan anda ialah dengan selalu membawanya keluar ke bawah matahari, dalam erti kata lain ialah menggunakannya dengan kerap. Peralatan yang disimpan terlalu lama dalam keadaan yang tidak sesuai tentunya mempunyai risiko kulat yang lebih tinggi.

Kebiasaannya humidity yang sesuai ialah di antara 35% hingga 45%. Jika terlalu rendah, ini akan menyebabkan pelincir di dalam komponen kamera atau lensa lebih cepat kering. Coating pada elemen lensa juga akan lebih senang merekah dan komponen getah (seperti grip) akan mengeras.

Cara mudah untuk menyimpan peralatan anda ialah dengan menggunakan tong kedap udara yang mengandungi gel silica atau penyahlembap (seperti Thirsty Hippo). Untuk mengetahui kadar kelembapan di dalam tong simpanan tersebut, anda boleh menggunakan hygrometer/hydrometer yang memaparkan suhu dan humidity. Cara yang lebih baik ialah dengan menyimpan peralatan anda di dalam dry cabinet yang mempunyai sistem kendalian suhu dan humidity secara otomatik. Sistem sebegini lebih berupa satu pelaburan untuk memastikan peralatan anda sentiasa berada dalam keadaan elok pada bila-bila masa ketika di dalam simpanan. Dry cabinet boleh didapati di kebanyakan kedai kamera terkemuka. Kami cadangkan anda beli dry cabinet ini secara online di – ShaShinKi.com – Malaysia’s Online Camera Shop!

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

figure-3b

Jadilah ‘fan’ di PAGE FOTOTEACHER dalam FACEBOOK dan dapatkan berbagai keistimewaan! Sila ke – http://www.facebook.com/fototeacher

March 8, 2010 Categorized under Tips

HABUK DAN FOTOGRAFI

HABUK DAN FOTOGRAFI
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

figure-4a

Kesan habuk yang melekat pada sensor kamera DSLR adalah perkara yang sangat melecehkan. Dalam imej yang dirakam, habuk akan kelihatan seperti tompokan kelabu pada lokasi yang sama untuk semua imej yang dirakam. Walaupun dalam sesetengah kes kita boleh membuang tompokan tersebut daripada imej dengan menggunakan perisian seperti Photoshop, ia adalah satu kerja yang leceh. Lebih sakit hati jika kita hanya sedar sensor berhabuk selepas melengkapkan tugasan dengan ratusan imej telah dirakam.

Hampir semua model kamera DSLR yang dikeluarkan selepas tahun 2008 mempunyai sistem anti-dust yang mengurangkan risiko habuk. Terdapat beberapa pendekatan yang digunakan, contohnya Olympus mengguna sistem SSWF yang merupakan penyaring habuk yang bergetar pada kelajuan supersonik setiap kali kamera dihidupkan. Sebagai pelopor dalam teknologi anti-dust, SSWF diakui sebagai sistem yang paling berkesan. Sony pula menggunakan teknik lain iaitu dengan menggegarkan sensor pada frekuensi yang rendah untuk menanggalkan habuk yang terlekat. Nikon pula menggetarkan low pass filter yang terletak di hadapan sensor sebagai teknik membuang habuk.

Walaupun kamera anda mempunyai sistem anti-dust, ini bukan bermakna ia 100% kebal dari habuk. Tabiat penggunaan peralatan yang baik boleh mengurangkan risiko habuk daripada terlekat pada sensor. Sudah tentu habuk hanya masuk apabila kita menukar lensa. Berikut adalah tips yang saya cadangkan untuk mengurangkan risiko habuk.

  1. Jangan tukar lensa di dalam keadaan yang berhabuk.
  2. Gantung tali kamera di leher dan tukar lensa dalam keadaan sensor menghadap ke bawah. Dengan ini tiada habuk yang jatuh dari atas dan masuk ke dalam kamera.
  3. Tukar lensa sepantas mungkin. Pastikan penutup belakang lensa telah dilonggarkan sebelum mencabut lensa yang terpasang di kamera.
  4. Tahan nafas ketika menukar lensa dan jangan sama sekali menghisap rokok semasa menukar lensa.

Jika sensor anda sudah dicemari habuk, anda boleh mencucinya dengan kit yang boleh didapati di kedai kamera atau hantar sahaja ke pusat servis yang bertauliah.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Jadilah ‘fan’ di PAGE FOTOTEACHER dalam FACEBOOK dan dapatkan berbagai keistimewaan! Sila ke – http://www.facebook.com/fototeacher

February 28, 2010 Categorized under Fikiran, Tips, Umum

Cara Mendapatkan Manfaat Terbaik dari Kursus yang Dihadiri

gambarhiasanpersediaanhadirkursus

Cara Mendapatkan Manfaat Terbaik dari Kursus yang Dihadiri
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Apabila anda menghadiri kursus atau bengkel fotografi, anda telah membelanjakan sejumlah wang dan masa anda yang amat berharga. Jangan sia-siakan pelaburan anda ini. Berikut adalah beberapa langkah yang perlu anda lakukan untuk memastikan anda mendapat manfaat sepenuhnya dari kursus atau bengkel yang anda hadiri:

    • Pastikan anda membaca kandungan kursus dengan teliti dan tahu apakah yang bakal anda pelajari di dalam kursus tersebut. Tanya diri anda, adakah subjek yang akan diajar itu memang ingin anda ketahui.
    • Pastikan anda telah memenuhi syarat kelayakan untuk menghadiri kursus tersebut. Contohnya, ada sesetengah kursus yang memerlukan anda mempunyai pengetahuan asas tertentu. Pastikan anda telah memenuhi syarat kelayakan ini. Jika tidak, anda mungkin tidak akan faham subjek yang diajar di dalam kursus itu nanti kerana anda belum memiliki kefahaman asas yang diperlukan.
    • Lihat subjek-subjek yang akan diajar di dalam kursus yang akan anda hadiri. Cuba belajar sendiri subjek-subjek tersebut supaya anda dapat gambaran tentang apa yang bakal pelajari di dalam kursus itu nanti. Dengan persediaan yang rapi, anda akan mendapat manfaat yang terbaik dari kursus yang akan anda hadiri.
    • Banyakkan membuat praktikal dengan merakam foto yang bersesuaian dengan tajuk kursus yang akan dihadiri. Dengan cara ini, anda akan menemui lebih banyak masalah sebenar. Dengan membuat latihan praktikal sendiri sebelum menghadiri kursus juga akan membuatkan anda lebih faham dan lebih bersedia tentang subjek yang akan diajar di dalam kursus tersebut.
    • Jika anda ada soalan, masalah atau perkara penting yang ingin anda ketahui, tuliskan perkara tersebut agar anda dapat tanya semasa kursus nanti.
    • Baca maklumat terperinci kursus dan pastikan anda tidak tersilap tarikh, tempat atau tertinggal peralatan yang perlu dibawa semasa kursus. Sekiranya maklumat kursus berada di laman web, cetak maklumat tersebut untuk rujukan anda.
    • Dapatkan tidur dan rehat yang cukup sehari sebelum menghadiri kursus. Ini kerana, pada hari kursus, anda harus memberi tumpuan sepenuhnya kepada subjek yang diajar.
    • Hadir awal semasa kursus dan dapatkan tempat duduk di barisan hadapan agar anda dapat memberikan tumpuan yang lebih. Dengan hadir awal juga, anda boleh pilih tempat yang terbaik; misalnya kedudukan tempat tersebut tidak terdedah secara terus kepada pendingin udara yang akan membuatkan anda terlalu sejuk.
    • Catit nota penting disepanjang kursus. Walaupun nota bercetak telah diberikan kepada anda, banyak fakta penting akan disampaikan oleh jurulatih dimana fakta ini tidak terdapat di dalam nota yang diberi.
    • Jangan malu bertanya soalan sekiranya anda tidak faham. Jika anda malu bertanya, anda sendiri yang akan kerugian. Biasanya, di dalam sesuatu kursus, jika anda tidak faham subjek pada peringkat awal, adalah lebih sukar untuk anda faham subjek yang seterusnya.
    • Berkenalan dengan peserta kursus yang lain. Dapatkan nama dan cara untuk menghubungi mereka. Dengan menghadiri kursus, anda bukan sahaja datang untuk belajar, tetapi anda juga harus guna peluang ini untuk membina jaringan kenalan dengan rakan lain yang mempunyai minat yang sama dengan anda. Anda boleh menghubungi rakan baru anda ini kemudian untuk sesi pembelajaran tidak rasmi.
    • Selepas kursus, terus ulangkaji perkara yang telah anda pelajari. Pastikan anda faham semua subjek yang telah diajar. Jika perlu, buat latihan praktikal sendiri bagi memantapkan lagi kefahaman anda. Jika anda masih tidak memahami subjek tertentu, terus hubungi jurulatih untuk bertanya soalan tentang perkara yang anda masih belum faham.

      Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
      Jadilah ‘fan’ di PAGE FOTOTEACHER dalam FACEBOOK dan dapatkan berbagai keistimewaan! Sila ke – http://www.facebook.com/fototeacher

      February 9, 2010 Categorized under Artikel Teknikal, Berita & Pengumuman, Tips

      Mencantikkan Foto Menggunakan Perisian Photoshop

      retouch3
      Mencantikkan wajah dalam foto potret menggunakan perisian Adobe Photoshop

      retouch4
      Membuat kawalan kecerahan dan kontras di dalam foto

      retouch5
      Menampal atau membuang objek yang tidak dikehendaki di dalam sesuatu foto

      retouch6
      Menyambung beberapa imej menjadi satu imej panoramic

      retouch7
      Menambahkan imej lain ke dalam foto dan dalam masa yang sama menjadikan sesuatu foto kelihatan original

      MENCANTIKKAN FOTO MENGGUNAKAN PERISIAN PHOTOSHOP
      Artikel oleh: Hasnuddin Abu Samah
      Foto dan proses Photoshop oleh: Affandi Abd. Hamid

      Apabila kita merakam sesuatu foto, tidak kira walau secantik mana foto tersebut, ianya boleh dan perlu dicantikkan lagi dengan menggunakan perisian Adobe Photoshop. Tidak salah jika anda mencantikkan foto di dalam Photoshop asalkan ianya tidak dilakukan secara berlebihan atau dilakukan untuk tujuan yang salah.

      Jurufoto sebelum era digital juga mencantikkan foto selepas sesuatu foto rakaman. Tetapi, pada zaman itu, perisian canggih seperti Adobe Photoshop belum lagi wujud. Jadi, pada zaman itu, foto dicantikkan ketika proses cetakan di dalam bilik gelap. Antara proses mencantikkan foto yang biasa dilakukan pada masa itu adalah color correction, density control, burning, dodging, cropping, toning, super impose dan sebagainya.

      Kini, proses mencantikkan foto menjadi lebih mudah dan sudah menjadi perkara wajib yang perlu diketahui oleh semua orang jurufoto. Anda boleh baca dari buku atau belajar dari internet tentang cara untuk menggunakan perisian Photoshop. Tetapi, untuk memudahkan kefahaman, mencepatkan proses belajar dan diberi panduan secara peribadi oleh guru bertauliah, saya sarankan anda untuk hadir ke Bengkel Asas Photoshop anjuran FOTOTEACHER yang akan diadakan pada 6 Mac 2010 ini.

      Bengkel ini akan dikendalikan oleh seorang jurufoto yang mempunyai pengalaman lebih dari 15 tahun dalam bidang fotografi – Affandi Abd Hamid. Beliau yang mendapat pendidikan formal dalam bidang fotografi dari UiTM ini pernah berkhidmat dengan NST, Karangkraf dan Berita Publishing sebagai jurufoto profesional media cetak.

      Sekiranya anda berminat untuk sertai Bengkel Asas Photoshop ini, masih ada 5 tempat kosong setakat hari ini. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, SILA KLIK DI SINI.

      Untuk pertanyaan, sila hubungi FOTOTEACHER di 03-91017155 atau 012-6020770. Anda juga boleh e-mel pertanyaan anda kepada sales@fototeacher.com

      February 4, 2010 Categorized under Fikiran, Tips

      Model

      Model
      Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

      Antara aktiviti yang saya suka lakukan di pagi hari minggu ialah mencari subjek makro di kawasan hutan dan belukar. Jika saya malas berjalan jauh, saya akan ke taman rekreasi yang terletak cuma 5 minit dari rumah saya. Ada kalanya isteri saya akan mengambil kesempatan untuk berjogging semasa saya meredah semak belukar mencari hidupan seni.

      Apabila matahari agak cerah sekitar pukul 8 pagi, saya selalu melihat kumpulan jurufoto tiba dengan pelbagai perkakas. Ada yang membuat sesi outdoor bersama pengantin tetapi kebanyakannya bersama model wanita yang berpakaian cantik. Biasanya terdapat 4-6 orang jurufoto berkongsi seorang model yang akan beraga di beberapa lokasi yang mempunyai pemandangan dan props yang menarik. Kadang kala ada kumpulan yang membawa reflector dan ada yang menggunakan teknik multiple flash.

      Saya lihat ini adalah aktiviti yang popular di kalangan peminat seni foto. Kadang kala ada yang menganjurkan sesi model berbayar yang mana boleh dilihat di forum internet berkenaan fotografi. Saya pernah juga menyertai sesi sebegini yang sering dianjurkan oleh rakan-rakan yang mahir dengan teknik fotografi portret. Dengan panduan daripada mereka, saya dapat meningkatkan kemahiran dalam cabang ini terutamanya dari segi mendapatkan cahaya yang optima tanpa menggunakan flash. Dengan adanya model kita boleh membuat pelbagai eksperimen untuk memahami kesan cahaya yang ada kalanya kelihatan berbeza pada imej foto berbanding bila dilihat dengan mata kasar. Hasilnya sedikit sebanyak bergantung kepada kreativiti kita dan juga model yang digunakan.

      Model profesional atau semi-pro tidak memerlukan banyak arahan berbanding model amatur. Mereka lebih mudah untuk menyesuaikan diri, boleh melahirkan ekspresi dengan lebih tenang dan tahu bagaimana untuk melakukan posisi badan yang sesuai untuk dirakam. Model yang terlatih tidak segan untuk melakukan pose yang agak radikal atau aksi yang mencabar seperti terjun ke dalam kolam renang. Perkara yang saya paling suka dengan model sebegini ialah mereka boleh terus bersama jurufoto untuk tempoh yang lama tanpa melihatkan rasa bosan atau kepenatan.

      Bagi jurufoto yang baru mencuba, model amatur adalah pilihan yang tidak melibatkan kos yang tinggi. Kita boleh meminta rakan atau saudara mara untuk menjadi model dengan upah yang minima seperti belanja makan tengahari dan satu salinan foto yang dirakam pada sesi tersebut. Jurufoto harus bijak dalam berkomunikasi dengan model ketika memberikan arahan untuk melakukan pose tertentu, terutamanya jika ada yang belum pernah berkenalan sebelum ini. Model amatur mudah gugup lebih-lebih lagi jika ini kali pertama beliau berdepan dengan begitu ramai jurufoto. Apabila meminta beliau melakukan sesuatu pose, elok jika kita minta dengan lembut agar dia berasa ceria dan bukannya seperti disuruh. Ada kala jurufoto terlalu fokus untuk mendapatkan sesuatu shot hingga dia lupa yang model tersebut adalah manusia yang juga mempunyai perasaan dan rasa letih. Amat penting untuk mengekalkan mood ceria model kerana itu sangat mempengaruhi ekspresi yang akan dirakam.

      Kita haruslah peka kepada mood model tersebut. Ini termasuk mencerap bila mana beliau letih, dahaga, kepanasan, berpeluh atau bosan. Apabila tanda-tanda seperti ini timbul, segera hentikan merakam foto dan ambil masa rehat. Model amatur biasanya segan untuk meminta masa rehat sebaliknya memendam dan ini membuatkan ekspresi dan posture beliau kurang menarik. Masa rehat adalah masa yang sesuai untuk kita berkenalan lebih lanjut dengan model agar dia lebih selesa untuk sesi seterusnya. Dia juga boleh mengambil kesempatan ini untuk membetulkan mekap dan rambut sementara jurufoto boleh melihat hasil shot yang diambil. Sebelum sesi seterusnya bermula, tunjukkan kepada model foto yang diambil tadi supaya dia gembira dan lebih bersemangat.

      Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

      Jadilah ‘fan’ di PAGE FOTOTEACHER dalam FACEBOOK dan dapatkan berbagai keistimewaan! SILA KLIK DI SINI!

      December 29, 2009 Categorized under Tips

      Membawa Kamera di dalam Penerbangan

      airasiaflight
      Sumber foto dari – http://www.flickr.com/photos/airasia

      Membawa Kamera di dalam Penerbangan
      Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

      Apabila anda ingin membawa peralatan kamera bersama-sama anda di dalam penerbangan. Sebolehnya, bawalah kamera anda secara hand-carry iaitu dibawa bersama dengan anda ke dalam kapal terbang, bukan secara checked-in luggage iaitu disimpan di tempat penyimpanan barang di dalam perut kapal terbang. Ini kerana, kamera yang dibawa melalui checked-in luggage lebih berisiko untuk rosak atau hilang.

      Apabila anda memasukkan beg kamera anda melalui checked-in luggage, tiada jaminan beg kamera anda akan dikendalikan dengan cermat walaupun anda menampal sticker ‘fragile’ disekeliling beg anda. Kamera adalah barang yang mudah rosak jika tidak dikendalikan dengan cermat. Jadi anda tidak harus mengambil risiko ini. Bagaimana pula jika anda letakkan kamera anda di dalam beg keras yang tahan lasak dan dimasukkan melalui checked-in luggage? Dengan cara ini, peralatan kamera anda mungkin akan selamat dari kerosakan, tetapi, ianya tetap berisiko untuk dicuri oleh pekerja yang mengendalikan bagasi anda! Memang terdapat banyak kes kecurian terhadap barang berharga milik penumpang yang dimasukkan ke checked-in luggage. Jika anda benar-benar terpaksa memasukkan beg berisi kamera melalui checked-in luggage, pastikan beg anda berkunci dan tidak mudah dipecahkan atau ditebuk.

      Untuk ke sesuatu destinasi, biasanya anda akan membawa 2-3 beg bersama anda. Anda boleh masukkan beg pakaian dan lain-lain barang kurang berharga melalui checked-in luggage. Kumpulkan semua barang berharga dengan kamera anda dan bawa bersama secara hand-carry ke dalam pesawat. Tetapi, pastikan beg yang anda bawa bersama secara hand-carry tidak melebihi saiz dengan dimensi 56cm X 36cm X 23cm. Beg ini juga mestilah boleh muat dimasukkan dalam ruang penyimpanan barang di atas tempat duduk di dalam pesawat. Beg ini juga mestilah muat diletakkan di bawah tempat duduk di bahagian depan kaki anda.

      Ketika artikel ini ditulis, Air Asia membenarkan satu bagasi hand-carry tidak melebihi 7kg dibawa bersama anda manakala Malaysia Airlines membenarkan satu bagasi hand-carry tidak melebihi 5kg bagi penumpang Kelas Ekonomi disamping anda dibenarkan untuk membawa aksesori lain bersama anda seperti beg tangan dan kamera yang disandang. Untuk penumpang First Class dan Business Class untuk Malaysia Airlines, penumpang dibenarkan untuk membawa 2 bagasi yang beratnya tidak lebih 5kg setiap satu. Namun, peraturan ini biasanya tidak begitu ketat bergantung kepada budi bicara petugas pada waktu itu. Adakalanya penumpang Kelas Ekonomi dibiarkan membawa 2 bagasi secara hand-carry dan tanpa menimbang berat setiap bagasi yang dibawa. Tetapi, sebaiknya, patuhilah peraturan yang telah ditetapkan.

      Untuk maklumat terbaru dan paling tepat, anda perlulah mendapatkan maklumat mengenai saiz dan berat bagasi hand-carry dari syarikat penerbangan yang akan anda gunakan. Tetapi, apa yang penting ialah – pastikan anda membawa peralatan kamera anda secara hand-carry ke dalam pesawat.

      Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

      Jadilah ‘fan’ di PAGE FOTOTEACHER dalam FACEBOOK dan dapatkan berbagai keistimewaan!
      FOTOTEACHER.COM

      Promote Your Page Too

      December 17, 2009 Categorized under Artikel Teknikal, Review, Sembang, Tips

      Lensa Yang Sesuai Untuk Anda

      nikkorlens

      Lensa Yang Sesuai Untuk Anda
      Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

      “Apakah lensa yang terbaik patut saya beli?” – Ini adalah salah satu soalan yang paling banyak saya terima. Susah sebenarnya untuk menjawab soalan ini dengan tepat. Lensa yang terbaik untuk anda bergantung kepada bajet dan keperluan fotografi anda. Terdapat berpuluh jenis lensa di pasaran bagi setiap jenama. Setiap satunya mempunyai fungsi yang tersendiri.

      Untuk mengetahui apakah lensa yang patut anda beli, pertama sekali anda perlu tahu, subjek apakah yang paling banyak anda rakam. Adakah anda banyak merakam foto pemandangan atau potret atau aksi sukan dan sebagainya.

      Berikut ini saya senaraikan beberapa jenis lensa (mengikut focal length berdasarkan crop factor 1.5X) berdasarkan kesesuaian merakam subjek tertentu.

      1. Lensa sekitar 12mm–18mm sesuai untuk merakam gambar landscape atau architechture
      2. Lensa sekitar 50mm–80mm sesuai untuk merakam gambar potret
      3. Lensa macro sekitar 60mm-105mm sesuai untuk merakam gambar bunga atau serangga dari jarak dekat
      4. Lensa sekitar 200–400mm sesuai untuk merakam foto sukan atau hidupan liar

      Selain dari itu, anda perlu tetapkan berapakah bajet anda untuk membeli lensa yang anda perlukan. Jika ditanya apakah lensa apakah yang terbaik untuk dibeli, jawapan mudahnya tentulah lensa yang paling mahal adalah lensa yang paling berkualiti bagi setiap kategori lensa tertentu. Biasanya, lensa yang mahal adalah lensa yang berkebolehan memberikan bukaan aperture maksima yang besar seperti f/2.8. Lensa yang berkualiti juga biasanya ada kelebihan istimewa lain seperti VR atau IS bagi mengurangkan risiko gegaran pada foto. Jika anda tidak mampu atau rasakan kelebihan yang ditawarkan tidak begitu bermanfaat untuk anda, anda boleh beli lensa tanpa ciri-ciri ini dengan harga yang jauh lebih murah.

      Sekiranya anda seorang beginners yang suka merakam subjek biasa yang ada di sekeliling anda, penggunaan kit lens sudah memadai. Anda tidak perlu terburu-buru untuk membeli lensa tambahan. Berikan sedikit masa untuk anda lihat kecenderungan anda di dalam fotografi. Selepas beberapa bulan dan setelah mengenal pasti bidang pengkhususan anda di dalam fotografi, barulah anda perlu beli lensa tambahan.

      Ada orang yang lebih cenderung merakam foto potret, ada yang cenderung merakam foto pemandangan dan ada yang cenderung merakam foto objek mikro sahaja. Setelah mengenal pasti kecenderungan anda, sesuailah jika anda beli lensa berkualti (mahal) yang khusus untuk melakukan kerja mengikut kecenderungan anda. Dengan ini, pelaburan anda akan mendatangkan hasil yang berbaloi kerana lensa yang dibeli digunakan sepenuhnya dan mampu membawa anda lebih jauh dalam penghasilan karya yang berkualiti.

      Seseorang yang kerap merakam objek mikro misalnya perlu membeli lensa macro berkualiti tinggi yang berharga sekitar RM3,000. Manakala seseorang yang lebih minat merakam foto hidupan liar perlu membeli lensa bersesuaian yang berkualiti seperti lensa 300mm f/2.8 yang berharga sekitar RM18,000 jika dia mampu dan sanggup berbelanja.

      Nasihat saya, sebelum membeli sebarang jenis lensa tambahan, buatlah pertimbangan yang wajar tanpa terpengaruh dengan kawan-kawan. Adalah tidak wajar dari segi kewangan untuk membeli lensa baru sekadar untuk menunjuk-nunjuk, sekadar untuk mengikut perkembangan teknologi atau sekadar ingin kelihatan setaraf dengan rakan-rakan lain. Sebelum membeli sesuatu lensa tambahan, pastikan gambar yang bagaimanakah yang ingin anda dapatkan dan pastikan samada lensa yang bakal anda beli itu betul-betul boleh memberikan apa yang anda harapkan. Pastikan juga anda akan menggunakan lensa yang dibeli itu ke tahap maksima. Anda tidak perlu beli lensa yang berkualiti tinggi jika anda jarang-jarang menggunakan lensa tersebut. Untuk lensa yang jarang digunakan, anda boleh beli lensa yang lebih murah, lensa terpakai atau pinjam sahaja dari rakan-rakan.

      Untuk lebih memahami mengenai lensa dan kaitannya dengan focal length, angle of view, perspective dan depth-of-field, saya cadangkan supaya anda hadir ke Kursus Asas Fotografi Digital (AFD) anjuran FOTOTEACHER.COM

      Untuk melihat harga dan membeli berbagai jenis lensa yang terbaru di pasaran, saya cadangkan anda layari laman web ShaShinKi.com – Malaysia’s Online Camera Shop!

      Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

      December 13, 2009 Categorized under Tips, video

      Peralatan Penting untuk Jurufoto Profesional

      Di dalam video ini, Greg Hren – seorang jurufoto komersial menerangkan mengenai peralatan dan aksesori kamera yang sering beliau bawa ketika bertugas. Jelas sekali, beliau adalah seorang yang teliti dan bekerja secara sistematik bagi menjamin setiap tugasan dapat dijalankan dengan baik. Sila tonton video ini (bahagian 1 dan 2), pasti anda dapat belajar sesuatu darinya. Untuk melihat laman web Greg Hren, sila layari – http://www.greghren.com