Archive for the “Sembang” Category

December 26, 2009 Categorized under Berita & Pengumuman, Review, Sembang, TANYA HASNUDDIN, video

Harga Diskaun untuk Kursus Fotografi Perkahwinan

portfoliohasnuddinforkfpsmall
Kursus Fotografi Perkahwinan (KFP) yang dinanti-nantikan akan diadakan pada 20 Februari 2010.  Kursus ini akan disampaikan oleh Hasnuddin Abu Samah, pengasas Adan Cameraworks yang mempunyai pengalaman lebih dari 15 tahun di dalam fotografi perkahwinan. Beliau bukan sahaja akan berkongsi pengalaman mengenai teknik fotografi, malah beliau akan turut mendedahkan berbagai maklumat penting mengenai cara menjana keuntungan dari bidang ini. Disebabkan keunikannya, kursus ini hanya akan diadakan 2 kali setahun. Jika anda berminat, jangan lepaskan peluang keemasan ini!

TAWARAN HARGA DISKAUN!

Yuran penyertaan untuk kursus ini adalah RM600 seorang. Tetapi, jika anda membuat bayaran sebelum 7 Januari 2010, anda cuma perlu bayar RM480 sahaja! (Jimat RM120) Jangan tunggu hingga saat akhir, buat bayaran segera bagi merebut peluang ini. Tempat terhad untuk 20 orang peserta sahaja.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari http://fototeacher.com/kfp.htm
Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 atau e-mel kepada sales@fototeacher.com

p.s. – Kami juga menawarkan harga diskaun untuk pelajar, bekas peserta kursus FOTOTEACHER, peserta luar kawasan Kuala Lumpur, peserta berkumpulan, ibu tunggal, pesara dan OKU.

TEAM FOTOTEACHER.COM

December 17, 2009 Categorized under Artikel Teknikal, Review, Sembang, Tips

Lensa Yang Sesuai Untuk Anda

nikkorlens

Lensa Yang Sesuai Untuk Anda
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

“Apakah lensa yang terbaik patut saya beli?” – Ini adalah salah satu soalan yang paling banyak saya terima. Susah sebenarnya untuk menjawab soalan ini dengan tepat. Lensa yang terbaik untuk anda bergantung kepada bajet dan keperluan fotografi anda. Terdapat berpuluh jenis lensa di pasaran bagi setiap jenama. Setiap satunya mempunyai fungsi yang tersendiri.

Untuk mengetahui apakah lensa yang patut anda beli, pertama sekali anda perlu tahu, subjek apakah yang paling banyak anda rakam. Adakah anda banyak merakam foto pemandangan atau potret atau aksi sukan dan sebagainya.

Berikut ini saya senaraikan beberapa jenis lensa (mengikut focal length berdasarkan crop factor 1.5X) berdasarkan kesesuaian merakam subjek tertentu.

  1. Lensa sekitar 12mm–18mm sesuai untuk merakam gambar landscape atau architechture
  2. Lensa sekitar 50mm–80mm sesuai untuk merakam gambar potret
  3. Lensa macro sekitar 60mm-105mm sesuai untuk merakam gambar bunga atau serangga dari jarak dekat
  4. Lensa sekitar 200–400mm sesuai untuk merakam foto sukan atau hidupan liar

Selain dari itu, anda perlu tetapkan berapakah bajet anda untuk membeli lensa yang anda perlukan. Jika ditanya apakah lensa apakah yang terbaik untuk dibeli, jawapan mudahnya tentulah lensa yang paling mahal adalah lensa yang paling berkualiti bagi setiap kategori lensa tertentu. Biasanya, lensa yang mahal adalah lensa yang berkebolehan memberikan bukaan aperture maksima yang besar seperti f/2.8. Lensa yang berkualiti juga biasanya ada kelebihan istimewa lain seperti VR atau IS bagi mengurangkan risiko gegaran pada foto. Jika anda tidak mampu atau rasakan kelebihan yang ditawarkan tidak begitu bermanfaat untuk anda, anda boleh beli lensa tanpa ciri-ciri ini dengan harga yang jauh lebih murah.

Sekiranya anda seorang beginners yang suka merakam subjek biasa yang ada di sekeliling anda, penggunaan kit lens sudah memadai. Anda tidak perlu terburu-buru untuk membeli lensa tambahan. Berikan sedikit masa untuk anda lihat kecenderungan anda di dalam fotografi. Selepas beberapa bulan dan setelah mengenal pasti bidang pengkhususan anda di dalam fotografi, barulah anda perlu beli lensa tambahan.

Ada orang yang lebih cenderung merakam foto potret, ada yang cenderung merakam foto pemandangan dan ada yang cenderung merakam foto objek mikro sahaja. Setelah mengenal pasti kecenderungan anda, sesuailah jika anda beli lensa berkualti (mahal) yang khusus untuk melakukan kerja mengikut kecenderungan anda. Dengan ini, pelaburan anda akan mendatangkan hasil yang berbaloi kerana lensa yang dibeli digunakan sepenuhnya dan mampu membawa anda lebih jauh dalam penghasilan karya yang berkualiti.

Seseorang yang kerap merakam objek mikro misalnya perlu membeli lensa macro berkualiti tinggi yang berharga sekitar RM3,000. Manakala seseorang yang lebih minat merakam foto hidupan liar perlu membeli lensa bersesuaian yang berkualiti seperti lensa 300mm f/2.8 yang berharga sekitar RM18,000 jika dia mampu dan sanggup berbelanja.

Nasihat saya, sebelum membeli sebarang jenis lensa tambahan, buatlah pertimbangan yang wajar tanpa terpengaruh dengan kawan-kawan. Adalah tidak wajar dari segi kewangan untuk membeli lensa baru sekadar untuk menunjuk-nunjuk, sekadar untuk mengikut perkembangan teknologi atau sekadar ingin kelihatan setaraf dengan rakan-rakan lain. Sebelum membeli sesuatu lensa tambahan, pastikan gambar yang bagaimanakah yang ingin anda dapatkan dan pastikan samada lensa yang bakal anda beli itu betul-betul boleh memberikan apa yang anda harapkan. Pastikan juga anda akan menggunakan lensa yang dibeli itu ke tahap maksima. Anda tidak perlu beli lensa yang berkualiti tinggi jika anda jarang-jarang menggunakan lensa tersebut. Untuk lensa yang jarang digunakan, anda boleh beli lensa yang lebih murah, lensa terpakai atau pinjam sahaja dari rakan-rakan.

Untuk lebih memahami mengenai lensa dan kaitannya dengan focal length, angle of view, perspective dan depth-of-field, saya cadangkan supaya anda hadir ke Kursus Asas Fotografi Digital (AFD) anjuran FOTOTEACHER.COM

Untuk melihat harga dan membeli berbagai jenis lensa yang terbaru di pasaran, saya cadangkan anda layari laman web ShaShinKi.com – Malaysia’s Online Camera Shop!

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

August 22, 2009 Categorized under Fikiran, Sembang

Etika Jurugambar

Etika Jurugambar
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Fotografi digital merupakan hobi yang sangat mengasyikkan. Ia memberi peluang kepada seseorang untuk menzahirkan kreativiti dengan cara yang agak mudah kerana apa yang perlu dilakukan ialah mencari subjek yang dikehendaki dan merakam foto dengan teknik yang sesuai. Lengkuk pembelajaran teknik juga agak mudah berbanding dengan bidang seni yang lain seperti seni lukis yang memerlukan tempoh pembelajaran yang lama. Dengan teknologi digital, sesiapa sahaja boleh menikmati fotografi dan mahir dalam tempoh yang singkat. Ditambah lagi dengan adanya internet, jurufoto boleh berkongsi ilmu dan juga hasil karya masing-masing.

Dalam keghairahan untuk mencuba perkara baru dalam fotografi, sama ada teknik mahupun perubahan subjek, kita mungkin juga alpa dengan etika yang wajar. Apa yang dimaksudkan ialah bila mana fotografi itu menjadi gangguan kepada orang lain, terutamanya apabila kita merakam foto manusia. Tidak semua orang suka gambar mereka dirakam, terutamanya tanpa izin. Lebih lanjut, mereka mungkin tidak suka jika foto mereka dipaparkan di internet untuk dilihat oleh seluruh dunia. Ini lebih kritikal jika gambar tersebut tidak mencerminkan invididu terbabit sebagaimana yang dikehendakinya seperti gambar kandid ketika menyuap makanan. Saya rasa kebanyakan orang tidak mempunyai niat yang buruk untuk memalukan subjek di dalam foto sebegini, tetapi kita perlu juga sensitif terhadap keterbukaan individu berkenaan.  Jika kita mengambil gambar jalanan secara kandid, adalah lebih elok jika indentiti manusia di dalam foto berkenaan tidak ditonjolkan dengan jelas agar kita tidak mendatangkan masalah dengan tidak sengaja.

Apa yang lebih memeningkan ialah apabila ada segelintir jurufoto yang suka mengambil gambar candid berunsur seksual. Adakala saya melihat foto di forum yang hanya menunjukkan bahagian tubuh wanita yang mengghairahkan secara kandid. Pernah juga berlaku di majlis pertunjukan fesyen di mana seorang jurugambar dilihat cuba mengambil gambar dari bawah skirt seorang model. Perbuatan sebegini mencemarkan imej jurufoto secara keseluruhan dan membawa pandangan serong kepada penggiat foto.

Etika tidak membataskan kreativiti dalam fotografi tetapi ia adalah garis panduan untuk melahirkan kreativiti dengan terpimpin. Jurufoto yang berhemah tidak perlu bergantung kepada populari murahan dengan menayangkan foto separa lucah yang tidak membawa apa-apa erti.

Apa pendapat anda mengenai etika jurugambar? Harap anda dapat kongsikan pandangan anda. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

DAPATKAN ARTIKEL FOTOGRAFI PERCUMA, DIHANTAR TERUS KE E-MEL ANDA. SILA KLIK DI SINI

July 29, 2009 Categorized under Berita & Pengumuman, Sembang

JAWATAN KOSONG DI ADAN CAMERAWORKS

Adan Cameraworks merupakan sebuah syarikat dinamik yang memberikan perkhidmatan fotografi dan videografi, khususnya dalam industri perkahwinan. Ditubuhkan pada tahun 2001, Adan Cameraworks kini mempunyai 6 orang staff sepenuh masa dan 15 orang staff sambilan yang terdiri dari jurugambar dan jurukamera video profesional. Dalam usaha untuk menampung perkembangan positif syarikat ini, kami dengan ini ingin membuka tawaran kepada individu yang berminat untuk jawatan berikut:

Sales Executive – 2 Kekosongan
(Bermula dari RM1,400 tidak termasuk komisen)
Berurusan dan membuat jualan dengan pelanggan berpotensi untuk pakej fotografi dan videografi perkahwinan. Turut terlibat secara minor dalam aktiviti pemasaran produk yang akan menyumbang kepada pencapaian sasaran jualan. Komisen menarik akan diberikan untuk jualan yang dibuat. Anggaran minimum komisen sebulan termasuk gaji – RM2,500.00
Kelayakan:
1)    Mempunyai kenderaan sendiri
2)    Berumur lebih dari 24 tahun dengan personaliti menarik
3)    Sekurang-kurangnya 1 tahun pengalaman dalam bidang jualan
4)    Minat dalam industri fotografi perkahwinan
5)    Keutamaan akan diberikan kepada calon yang mempunyai kemahiran bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris

Video Editor – 2 Kekosongan
(Bermula dari RM1,500)
Membuat suntingan video perkahwinan serta lain-lain proses sampingan yang terlibat.
Kelayakan:
1)    Mempunyai bakat semulajadi dalam bidang kreatif
2)    Minat mendalam dalam videografi perkahwinan
3)    Berdisiplin dan boleh menerima arahan dengan baik
4)    Keutamaan akan diberikan kepada calon yang mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan suntingan video non-linear

Admin Executive – 1 Kekosongan
(Bermula dari RM1,400)
Melakukan kerja berkaitan pentadbiran, sumber manusia dan akaun
Kelayakan:
1)    Mempunyai kenderaan sendiri
2)    Memiliki sikap kerja semulajadi yang teliti dan kemahiran pengurusan secara sistematik
3)    Mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas dalam pengurusan akaun dan pengurusan sumber manusia.
4)    Mempunyai sekurang-kurangnya 1 tahun pengalaman dalam bidang berkaitan

Kelebihan:
1)    Bekerja dalam syarikat bersaiz kecil yang berwawasan besar, peluang untuk mempelajari banyak bidang kemahiran, bukan sekadar satu skop kerja yang spesifik. Sesuai untuk anda yang ingin menimba berbagai kemahiran atau kepada mereka yang bercadang untuk membuka perniagaan sendiri.
2)    Tiada politik pejabat, anda bekerja dalam pasukan kecil yang kuat dan bekerja rapat dengan pemilik syarikat. Sebarang pencapaian anda akan dihargai sewajarnya. Bimbingan secara peribadi akan diberikan secukupnya untuk kemajuan setiap individu. Sesuai untuk anda yang tidak pandai mengampu bos, tetapi kuat bekerja dan ingin dihargai di atas prestasi kerja anda.
3)    Peluang untuk bertukar bidang atau naik pangkat. Kami mengutamakan minat dan kesungguhan dalam bidang kerja yang dilakukan. Kami sering membantu pekerja agar beliau hanya membuat kerja yang diminati sahaja. Tugas akan disesuaikan dengan minat pekerja.
4)    Lain-lain faedah standard seperti tanggungan kos perubatan, cuti tahunan, bonus, company trip, kenaikan pangkat, latihan kerjaya dan kenaikan gaji tahunan.

Kepada calon yang layak, sila hantarkan resume serta gambar berukuran paspot kepada e-mel: info@adan.biz . Resume juga boleh dihantar secara pos ke alamat: Adan Impresif Sdn. Bhd., C-1-9, Megan Phoenix, Jalan Cheras, 56000 Kuala Lumpur. Jangan lupa nyatakan sekali jawatan yang ingin dimohon.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web kami di – http://www.adan.biz
Untuk pertanyaan, sila hubungi Puan Azida di – 03-91017144 atau 012-6020770.

July 28, 2009 Categorized under Fikiran, Sembang

Jurugambar Kahwin Jadi Tuan Director

Jurugambar Kahwin Jadi Tuan Director
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Beberapa minggu lepas saya menghadiri majlis perkahwinan sepupu saya di sebuah bandar terpencil. Bapa saudara saya ada mengambil seorang Official Photographer (OP) untuk majlis pernikahan dan persandingan anak perempuannya. Saya menulis kerana agak terganggu dengan cara OP mengendalikan majlis tersebut.

Ada beberapa perkara yang saya kurang berkenan. Pertamanya OP meletakkan beg peralatan beliau di atas pelamin ketika majis akad nikah berlangsung. Semua gambar akad nikah yang memperlihatkan pelamin akan melihatkan beg dia. Kemudiannya, bateri kameranya habis dan meminta agar aturcara majlis dihentikan sebentar sementara dia pergi ke beg menukar bateri. Seterusnya beliau mengalihkan perkakas perkahwinan seperti tepak mas kahwin untuk mengambil shot ketika pengantin baru selesai diijab-kabulkan. Apa yang berlaku seterusnya tidak kelihatan seperti majlis perkahwinan tetapi lebih kepada sesi photoshoot kerana OP mengarahkan setiap pergerakan pengantin.

Ini adalah kali pertama saya menyaksikan campur tangan jurugambar yang begitu mendalam. Sebagai ahli keluarga, saya berasa kurang senang kerana majlis perkahwinan telah bertukar sedemikian rupa. Walaupun OP mempunyai tanggungjawab untuk memastikan shot penting diambil tetapi adalah tidak wajar untuk beliau menghentikan aturacara majlis demi mendapatkan sudut sesuai atau menukar susunan prop yang sedia ada secara berlebihan. Mungkin tiada ahli keluarga pengantin yang bersuara tetapi sudah tentu mereka tidak mahu majlis perkahwinan berlangsung seperti itu. Saya harap jurufoto perkahwinan akan lebih prihatin dengan etika ketika menjalankan tugas. Sesuatu majlis bukannya dilangsungkan semata-mata untuk kita mengambil gambar. Kita hanyalah unit auxilliary yang mana kehadiran kita tidak sepatutnya dirasai oleh mereka yang hadir.

Adakah anda pernah mengalami insiden yang hampir sama? Apa pendapat anda mengenai jurugambar yang berperangai sebegini? Harap anda boleh kongsi pengalaman dan pendapat anda bersama pembaca lain. Sila tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Dapatkan artikel fotografi secara percuma, dihantar terus ke e-mel anda. SILA KLIK DI SINI

July 28, 2009 Categorized under Berita & Pengumuman, Sembang, video

Last Call – Kursus Fotografi Majlis Rasmi (FMR)

posterfmr

Kursus Fotografi Majlis Rasmi (FMR) akan diadakan lagi pada 15 Ogos 2009 (Sabtu). Masih belum terlambat jika anda belum mendaftar untuk kursus ini – masih ada tempat kosong untuk dipenuhi. Kursus ini sesuai dihadiri oleh jurugambar Jabatan Kerajaan atau Syarikat Swasta yang ditugaskan untuk merakam gambar majlis rasmi atau jurugambar individu yang berminat untuk menceburi bidang fotografi majlis rasmi (Event Photography). Berbagai teknik penting akan diajar dan akan dimantapkan lagi dengan beberapa sesi praktikal. Kursus ini cuma diadakan 3 kali setahun dan tempat terhad untuk 30 orang peserta sahaja. Jangan lepaskan peluang ini. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari – http://fototeacher.com/fmr.htm

Untuk pertanyaan, sila hubungi Encik Zaly di – 03-91017155 atau e-mel fototeacher@gmail.com

TEAM FOTOTEACHER.COM

July 17, 2009 Categorized under Artikel Kreativiti, Fikiran, Gambar, Inspirasi & Motivasi, Personal, Sembang

Rakaman Saya dengan ‘Compact Camera’ di London dan Paris

Rakaman Saya dengan ‘Compact Camera’ di London dan Paris
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Baru-baru ini, saya bersama isteri mengembara ke kota London dan Paris. Kami di sana selama 25 hari. Saya ingin kongsi sedikit gambar semasa saya berada di sana.

Bila mengembara, saya lebih selesa membawa peralatan kamera yang paling minima. Untuk itu, saya hanya membawa bersama sebuah kamera DSLR Nikon D200 dengan lensa 17-55mm f/2.8 dan sebuah kamera compact Canon G7. Jika ke tempat yang banyak subjek menarik, saya akan membawa bersama kamera DSLR yang agak berat itu. Namun, jika sekadar berjalan-jalan, saya cuma membawa kamera compact Canon G7.

Pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda gambar-gambar yang saya rakam di London dan Paris menggunakan kamera compact Canon G7. Bagi saya, kamera ini sudah memadai untuk merakam gambar yang baik ketika saya mengembara. Apa yang penting ialah kefahaman asas teknikal fotografi dan kemahiran komposisi serta artistik. Gambar-gambar yang saya rakam ini bolehlah dikategorikan sebagai gambar Fine Art Photography atau Fotografi Seni Halus. Fine Art Photography adalah antara bidang pengkususan yang saya minati. Tanpa sebarang tekanan komersial, saya lebih bebas berkreatif dan menzahirkan apa yang saya rasa melalui gaya Fine Art Photography. Ianya memang memberi kepuasan.

Mungkin ada diantara anda yang tidak meminati gambar sebegini dan tidak dapat menghargai gambar berunsur Fine Art Photography. Gambar-gambar yang saya rakam ini pun tidaklah sebagus mana. Sekadar ingin berkongsi apa yang saya lihat melalui lensa kamera saya melalui kebebasan mengekspresi rasa.

manwalkingintostation
Suasana malam di sebuah stesyen keretapi yang lengang di bandaraya Paris

lvbag
Beg jenama Louis Vuitton diperagakan secara kreatif di sebuah kedai di kota London

reflectionlondon
Teksi klasik London yang telah dimodenkan, dirakam dengan latarbelakang bangunan baru berkaca yang membalikkan imej bangunan lama di London.

paristrain
Keretapi METRO kota Paris dirakam sedang melepasi sebuah stesyen pada waktu malam. Siling mozek yang membalikkan cahaya lampu-lampu bulat ini telah menjadikan pemandangan stesyen ini lebih menarik.

violinshop
Sebuah kedai menjual biola yang telah ditutup pada waktu malam. Dalam suasana gelap, masih boleh dilihat bentuk silhoutte biola yang dipamerkan di depan kedai. Lampu yang dipasang di dalam kedai pula telah menampakkan beberapa lagi biola yang dipamerkan di dalam kedai. Balikan cahaya langit pada pintu kaca pula menampakkan cahaya kebiruan pada waktu itu.

streetexhibition
Seorang penduduk kota Paris sedang berjalan menuruni tangga ke stesyen keretapi METRO bawah tanah sambil melalui foto besar yang dipamerkan untuk pameran foto jalanan.

manwalkingthedog
Seorang lelaki Perancis membawa anjingnya berjalan pada waktu senja berhampiran Notre Dame, Paris. Penduduk Paris memang terkenal dengan minat mereka memelihara anjing dan membawa anjing mereka bersiar-siar di sekitar kota Paris.

Harap anda suka menatap gambar-gambar yang telah saya pamerkan. Insyaallah, saya akan kongsikan lagi gambar-gambar dan cerita-cerita lain semasa pengembaraan saya ke London dan Paris.

P.S.: Dalam banyak-banyak gambar di atas, gambar yang mana satukah merupakan gambar kegemaran anda? (Jika ada) Harap, boleh berikan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Lain-lain maklumat mengenai kamera Canon G7 – SILA KLIK DI SINI

FOTOTEACHER.COM

Promote Your Page Too

July 7, 2009 Categorized under Fikiran, Personal, Sembang

Kesukaran yang Indah di Zaman Sekolah

Kesukaran yang Indah di Zaman Sekolah
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Saya minat fotografi sejak dari saya masih bersekolah di dalam darjah 4. Saya membeli kamera pertama saya pada ketika itu dengan duit tabung sendiri. Saya masih ingat, saya membayar harga kamera RM40 itu dengan duit syiling kesemuanya!

Minat saya dalam fotografi semakin mendalam ketika di sekolah menengah. Fotografi adalah satu hobi yang amat mahal bagi seorang budak sekolah pada masa itu. Saya bukan berasal dari keluarga kaya. Jadi, untuk tampung hobi saya pada ketika itu, saya bekerja sambilan untuk membeli peralatan kamera dan untuk menampung belanja membeli filem. Saya kerap merakam gambar kawan-kawan semasa aktiviti di sekolah dan kemudiannya menjual gambar-gambar tersebut kepada mereka dengan harga 50 sen sekeping. Itu adalah sekitar tahun 1988

Ketika cuti sekolah selepas SRP (Sijil Rendah Pelajaran), saya bekerja di Restoran KFC dengan gaji RM400 sebulan. Duit itu saya gunakan untuk meneruskan hobi saya. Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya menanamkan niat untuk bekerja di kedai gambar untuk lebih mendalami bidang fotografi. Ketika itu, saya tinggal di Butterworth bersama arwah datuk dan nenek saya. Dengan menaiki basikal, saya menebalkan muka, pergi ke beberapa buah kedai gambar di Bagan Luar untuk mendapatkan kerja. Saya tidak berjaya mendapat kerja…

Beberapa ketika selepas itu, disebabkan faktor kasihan, seorang tauke Cina bersetuju untuk berikan saya kerja di kedai gambar miliknya di Kepala Batas. Gaji yang ditawarkan – RM400 sebulan. Saya setuju! Saya sangat gembira! Dengan gaji RM400 itu, setelah ditolak belanja tambang bas dan belanja makan semasa bekerja, saya dapat gaji bersih RM196 sebulan. Dari wang yang saya perolehi, saya kumpul sikit-sikit dan akhirnya berjaya membeli kamera terpakai jenama Yashica 108 dengan harga RM600. Itu adalah pada tahun 1992.

Saya diterima masuk ke UiTM untuk mengikuti kursus Diploma Fotografi pada tahun 1993. Sambil belajar, saya membuat kerja sambilan mengambil gambar dengan upah RM10-50 untuk setiap satu tugasan. Pelanggan saya pada ketika ini terdiri dari pelajar-pelajar dan pensyarah di UiTM. Saya perlu membuat kerja sambilan ini bagi menampung kos pengajian fotografi pada ketika itu. Ketika di tahun kedua di UiTM, saya membuat kerja sambilan dengan lebih serius dengan upah sekitar RM150 untuk setiap tugasan separuh hari. Pada tahap ini, saya sudah mula berurusan dengan pelanggan-pelanggan dari luar universiti yang terdiri dari pengantin, mak andam, ejen fotografi dan syarikat koprat.

Saya telah melalui banyak cabaran di sepanjang penglibatan saya di dalam fotografi. Tetapi, saya bersyukur dengan cabaran dan kesukaran yang telah saya tempuhi. Cabaran inilah yang telah menjadikan saya semakin matang dan kuat. Setelah saya kecapi apa yang saya ada pada hari ini, kenangan menghadapi kesukaran di masa lalu terasa begitu manis dan berharga.

Inilah pengalaman saya. Pengalaman sebenar. Pengalaman yang telah banyak mengajar saya. Pengalaman yang membuatkan saya bersyukur.

Mungkin anda juga ada pengalaman menarik di sepanjang penglibatan anda di dalam fotografi. Harap anda boleh kongsi kisah anda dengan pembaca lain. Sila tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

November 15, 2008 Categorized under Sembang

Jangan Pandang Pandang

Baru-baru ni, ketika saya sedang asyik membelek-belek kamera Leica di Mid Valley, ekor mata saya terlihat sorang mamat ni asyik dok perati kat saya. Saya buat tak tau aje. Mungkin dia tengok Leica jugak, bukan tengok saya. Tapi, makin lama, dia datang makin dekat. Saya tengok kat dia, saya tak kenal pun mamat ni. Lepas beberapa minit, dia dok tengok kat saya lagi. Lepas tu, saya pun angkat kaki nak blah.

Tiba-tiba mamat ni tanya kat saya, “Ni Eden ye?” Saya kata,”Errr..Adan?” Dia kata,”Haaa…ni Encik Adan ye?” Saya sambil senyum, jawab balik,”Haa…yalah, saya Hasnuddin…” So, rupanya mamat ni dulu pernah hadir kursus yang saya buat di sebuah Agensi Kerajaan. Memang saya tak ingat dah muka dia sebab dah lama kursus tu. So, kepada mamat ni, kalau anda sedang membaca artikel ni,”Nice talking to you…”

Sebenarnya, agak kerap jugak saya berhadapan dengan situasi macam ni. Ada orang dok pandang-pandang. Kadang-kadang tu, risau gak saya, “Aku pakai baju terbalik ke hari ni?” …Saya dah banyak bagi training kepada ratusan orang. Majoriti student, saya ingat dan kenal. Tapi kepada peserta training yang pendiam atau duduk kat ceruk-ceruk kelas tu, kadang-kadang saya tak perasan muka anda kalau terjumpa di luar. Tambahan pulak kalau yang dah buat plastic surgery atau botox.

Lagi satu pulak, disebabkan gambar muka saya selalu saya keluarkan dalam laman web/blog (cari makan je, bukan nak glamer), kalau ada pembaca blog fototeacher ni jumpa saya kat luar, tegurlah saya. Tak kisahlah saya tengah makan ke, tengah jalan dengan family ke, tengah duduk termenung ke… tegur aje. Kalau anda kenal saya, saya juga ingin kenal anda. Kalau ada masa, kita boleh pekena kopi duduk bersembang.

- Hasnuddin

ADD ME INTO YOUR FACEBOOK – Hasnuddin Abu Samah

June 26, 2008 Categorized under Sembang

Nama saya bukan Encik Adan…

Nama saya Hasnuddin dan saya adalah pengasas Adan Impresif yang membawa jenama Adan.

Selalu la jugak orang panggil saya Encik Adan. Kadang-kadang ada jugak yang panggil saya Encik Adnan atau Encik Adam. Kadang-kadang, tak sampai hati nak perbetulkan orang yang salah panggil nama saya tu. Jadi, adakalanya, saya iakan saja. Sedap jugak apa nama Encik Adan…

Sebelum ni, saya tak pernah terfikir bahawa ada orang bernama Adan. Nama Adan tu saya dapat dari Kamus Dewan. Semasa nak register company baru, saya tak ada idea nama apa nak bubuh. Jadi, saya bukak Kamus Dewan dan cari nama yang sedap dengan makna yang sedap. Memang selalulah orang tanya – “Adan tu nama siapa?” atau “Adan tu makna apa?”.

Adan tu maknanya syurga. Perkataan Adan ni berasal dari Bahasa Arab tetapi telah diterima sebagai Bahasa Melayu.

Orang memang selalu akan anggap nama syarikat itu adalah sama dengan nama pemilik syarikat. Adan dipunyai oleh Encik Adan. Saya juga pengasas fototeacher.com. Nasib baiklah belum ada orang panggil saya Encik fototeacher

Hasnuddin

May 9, 2008 Categorized under Sembang

MENJADI PENGGANAS DI TOKYO?

Lagi kisah saya di Tokyo. Terlalu banyak pengalaman menarik untuk saya kongsikan dengan anda. Tapi, kisah kali ini bukan mengenai fotografi.

Ketika tiba di Narita International Airport, Tokyo, saya dan isteri disambut oleh rakan lama saya, Acoi yang kini menetap di Tokyo. Sebaik saja kami bersalaman, tiba-tiba 2 orang lelaki Jepun yang segak dengan kot hitam menghampiri kami. Sambil bercakap dalam bahasa Jepun, salah seorang dari lelaki itu memperkenalkan dirinya sambil menunjukkan lencana Polis Jepun!

Dalam hati saya terdetik, “Apa benda yang Polis Jepun ni nak dari kami?” Mereka ni tak fasih berbahasa Inggeris, jadi mereka bercakap dalam bahasa Jepun dengan rakan saya, Acoi. Acoi ni pun bukannya faham sangat, dia main angguk-angguk saja. Polis Jepun ni mintak paspot saya dan isteri dan terus menyoal rakan saya berbagai-bagai soalan mengenai kami.

Rupa-rupanya, polis Jepun ni suspek saya dan isteri ada kaitan dengan kumpulan pengganas. Jadi, mereka perlu pastikan yang kami ni betul-betul pelancong yang tidak membahayakan! Saya pun tak tau kenapa polis ni nak suspek kami ni sebagai pengganas. Mungkin kerana nama saya HASNUDDIN BIN ABU SAMAH ada iras nama OSAMA BIN LADIN. Ada la jugak sikit persamaan pada DIN, BIN dan SAMA. Mungkin jugak sebab dia nampak kami ni orang islam sebab isteri saya bertudung. Nasib baik la, beg kami tak digeledah. Tapi apa pun, saya tak marah sangat sebab polis ni berdiplomasi dengan baik, mengucapkan terima kasih dan minta maaf sebelum meninggalkan kami dalam keadaan terpinga-pinga.

Kesimpulannya? Islam amatlah telah disalah ertikan di negara bukan islam. Mereka amat berwaspada dengan melabel semua orang islam sebagai berpotensi untuk melakukan keganasan. Jadi, dalam kebijaksanaan orang di negara maju, ada jugak kekurangan mereka. Mereka tidak boleh bezakan orang islam yang tak berbahaya dan orang islam pengganas. Bayangkanlah kalau 2 orang polis ni datang ke KLIA, saya rasa, separuh dari pengunjung KLIA kena soal siasat sebab ada BIN pada nama nama mereka. Perempuan bertudung akan kena soal. Boleh jadi, benggali yang berjambang dan berturban pun kena soal siasat jugak!

Hasnuddin

September 28, 2007 Categorized under Sembang

Jurugambar Nervous

Semalam saya sempat jumpa kawan-kawan lama yang merupakan jurugambar-jurugambar yang berpengalaman dan hebat dalam bidang masing masing. Sebab dah lama tak jumpa, kami bersembang dari pukul 10 malam sampai dekat nak sahur baru balik. Yang hadir malam tu – Shahrul Azhar, Affandi, Mazlan Yunos dan Kamali. Anda mungkin tak pernah dengar nama mereka, sebab mereka ni low profile dan cuma dikenali oleh orang tertentu dalam industri/kepakaran masing-masing.

Saya tertarik bila seorang kawan saya ni (jurugambar yang specialize dalam interior photography) kata, “Aku tak takut sangat kalau nak shoot gambar interior rumah yang tak cantik. Apa yang aku takut, kalau nak shoot gambar interior yang memang dah cantik! Sebab, bila kita shoot gambar tempat yang memang dah cantik, tanggungjawab kita lagi berat, sebab kita kena ambik gambar tempat tu supaya tempat tu kelihatan lebih cantik dalam gambar!” Saya terdiam kejap…betul jugak cakap dia ni.

Kesimpulannya, tanggungjawab jurugambar memang berat untuk hasilkan gambar yang cantik. Harapan client terletak pada kepakaran jurugambar. Jurugambar perlu hasilkan gambar melebihi apa yang diharapkan oleh client. Dan, memang tak kira berapa bagus pun seseorang jurugambar tu, setiap kali nak shoot gambar yang penting, rasa nervous tu memang ada! Sebabnya ialah nak mengerjakan tanggungjawab yang besar tu dan bimbang kalau2 ada perkara di luar kawalan akan berlaku dan menggagalkan usaha menghasilkan gambar yang cantik.

Jadi, kalau anda rasa nervous sebelum ambik gambar untuk client, jangan risau….itu perkara biasa. Itu tandanya anda faham tanggungjawab anda dan anda sedang berusaha untuk menghasilkan yang terbaik.

Hasnuddin
Belajar Fotografi – http://www.fototeacher.com

September 21, 2007 Categorized under Sembang

HARGA KAMERA DI HONG KONG

Apa khabar semua? Rasanya belum terlambat untuk ucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan kepada yang beragama Islam.

Baru-baru ni saya sempat berjalan-jalan ke Hong Kong selama 5 hari. Ada jugak cadangan nak beli barang fotografi di sana. Saya ada buat research dalam internet pasal barang-barang kamera di Hong Kong sebagai persediaan supaya tak tertipu. Ada orang kata, barang kamera di Hong Kong lebih murah. Betul ke?

Tapi, setelah saya tengok-tengok, secara keseluruhannya, harga barang-barang kamera kat sana tak banyak bezanya dengan di Malaysia. Dengan mengambil kira masalah warranty dan tambang ke sana, lebih baik beli saja di Malaysia. Rasa saya, mungkin jugak barang-barang kamera tu diaorang dapat dengan harga yang lebih murah, tapi memandangkan harga sewa kedai di sana yang teramat tinggi, maka harga barang tak dapat dijual dengan harga murah jugak…

Kedai kamera second hand di Tsim Sha Tsui - Hong Kong
Kedai used camera di Tsim Sha Tsui, Hong Kong. Ni baru satu bahagian dari kedai tu, ada satu bahagian lagi penuh jugak dengan kamera. Boleh gile dibuatnya….

Satu lagi pilihan yang ada ialah untuk beli barang kamera di Singapura. Kat sana, ada sesetengah barang fotografi yang harganya lebih murah dari di Malaysia. Kalau ada masalah warranty pun tak susah sangat, boleh hantar semula ke Singapura – taklah sejauh Hong Kong! Tapi, yang pasti, harga beg Lowepro memang murah kat sana…sekitar 30% lebih murah dari di Malaysia. Beg ni pun tak ada masalah warranty sangat… sebelum beli, periksa betul2, dah kira selamat. Jarang sangat beg Lowepro nak rosak…

image00001.jpg
Kalau pegi Singapore jangan lupa beli beg Lowepro :-)

p/s: Kepada yang menghantar soalan kepada saya tapi masih belum berjawab, harap dapat bersabar ye. Banyak sangat kerja nak kena buat sekarang ni.

Hasnuddin

April 25, 2007 Categorized under Sembang, Tips

Annie Leibovitz – Tak Pandai Bercakap


Annie Leibovitz

Saya amat mengagumi hasil karya Annie Leibovitz sejak awal penglibatan saya dalam fotografi.

Walaupun Annie Leibovitz merupakan seorang jurugambar selebriti yang terkenal, tapi dia mengaku bahawa dia seorang yang pemalu dan tidak pandai bercakap. Dia hanya pandai ‘melihat’. Sungguh menarik…

Ini menunjukkan bahawa, walaupun kita lemah dalam sesuatu perkara, kita tetap boleh berjaya sekiranya kita mempunyai kekuatan dalam perkara lain. Jadi, apa lagi yang menghalang kita semua untuk berjaya sebagai seorang jurugambar?

Sementara itu, saya nak promote sesuatu yang relevan dengan artikel ni:
Photo Talk – Fashion Photography by Bustamam Mokhtar, kini dibuka untuk pendaftaran! Dapatkan diskaun early bird. Maklumat lanjut di http://www.fototeacher.com/fashion.htm

Untuk membaca interview dengan Annie Leibovitz, sila klik di sini.

Hasnuddin


GAMBAR-GAMBAR OLEH ANNIE LEIBOVITZ

Apakah agaknya strategi atau kekuatan yang anda ada untuk jadi seorang jurugambar yang baik? Mari kita kongsi bersama…

April 22, 2007 Categorized under Sembang

fototeacher.com tidak diiktiraf???

Kalau anda datang ke program fototeacher.com, kami akan berikan anda sijil penyertaaan sebagai bukti penyertaan anda. Tapi, buat masa ini, sijil kami tidak diiktiraf oleh mana2 badan kerajaan.

Apa yang penting bagi saya adalah ILMU yang diperolehi. Bukan setakat ilmu sahaja, sebenarnya kehandalan jurugambar diukur dari hasil karyanya. Namun, saya faham, adakalanya seseorang itu perlukan SIJIL yang diiktiraf untuk menaikkan kerjayanya. Kami masih dalam proses untuk mendapat pengiktirafan yang sah yang mengambil sedikit masa… Nanti saya akan umumkan.

Buat masa ini, pengiktirafan datang dari peserta yang telah mengikuti program kami. Kebanyakan peserta amat berpuas hati dengan ilmu yang diperolehi. Untuk melihat testimoni para peserta, sila klik disini.

Saya ada diploma fotografi dari UiTM, tapi client2 saya tak pernah pulak mintak tengok diploma saya :-)

Sementara tu, jangan lupa klik fototeacher.com – ada program baru akan datang tak lama lagi. Daftar awal dan dapatkan diskaun istimewa! Sila klik di sini.