rulururu

post Kisah di Sabah

December 1st, 2009

Filed under: Fikiran, Personal, TANYA HASNUDDIN — hasnuddin @ 7:57 pm

Kisah di Sabah
Oleh Hasnuddin Abu Samah

Pada 14 dan 15 November 2009 yang lalu, saya telah ke Kota Kinabalu, Sabah bagi menyampaikan Kursus Asas Fotografi Digital anjuran FOTOTEACHER.COM. Kursus ini telah diadakan di Hotel Beverly yang terletak di pusat bandar Kota Kinabalu. Kursus fotografi di Sabah ini merupakan langkah permulaan FOTOTEACHER untuk pergi lebih rapat kepada peminat fotografi di seluruh Malaysia. Selepas ini, FOTOTEACHER akan turut menemui peminat fotografi di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu dan Kuching.

l10005331
Saya sedang menerangkan mengenai sistem kamera DSLR

afdsgroupphotoforblog
Para peserta bergambar selepas tamat Kursus Asas Fotografi Digital di Sabah

Secara peribadi, saya memang sukakan Sabah. Orangnya peramah, tempatnya indah dan seafoodnya pun meriah! Begitu juga dengan para peserta yang hadir kursus fotografi di Sabah ini. Kelas ini merupakan antara kelas yang paling seronok saya mengajar. Pesertanya bersemangat dan happening! Gelagat Rupinah dan kesungguhan Mike Philip membuatkan suasana pembelajaran menjadi lebih seronok dan meriah. Saya harap para peserta mendapat manfaat yang sepenuhnya dari kursus ini. Terima kasih kepada semua yang telah sudi hadir terutamanya kepada peserta yang datang dari jauh seperti dari Tawau dan Brunei. Terima kasih juga kepada Puan Mimie Sanjees, jurufoto akhbar The Star yang turut merupakan rakan lama saya yang telah membantu saya mengendalikan kursus ini dan membantu dalam hal-hal lain sepanjang saya berada di Sabah.

Terlanjur berada di Kota Kinabalu, FOTOTEACHER turut menganjurkan dan menaja satu sesi merakam gambar model khas untuk peminat fotografi di sana. Aktiviti ini telah diadakan di Pantai Tanjung Aru dengan kerjasama 2 orang model jelita. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara Alex Azlan dan Roy Ajin di atas bantuan mereka bagi menguruskan model berkenaan.

l1000558
Ketika sesi merakam gambar model di Pantai Tanjung Aru, Sabah

fotomodelsabahforblog
Foto yang sempat saya rakam ketika sesi merakam foto model di Pantai Tanjung Aru

Seterusnya aktiviti saya dipenuhkan dengan perjumpaan santai dengan beberapa peminat fotografi di Sabah. Kami saling bertukar fikiran dan berkongsi pengalaman dalam sesi ringkas tersebut. Terima kasih kepada semua yang hadir, terutamanya kepada saudara Mike Philip yang telah mengaturkan pertemuan tersebut.
l1000612
Berjumpa dengan kawan-kawan baru di Kota Kinabalu

Setelah beberapa siri tugasan ‘formal’ untuk FOTOTEACHER, saya mengambil peluang beberapa hari untuk berjalan-jalan sambil mencari subjek rakaman di sekitar Kundasang dan Tuaran. Kebanyakan foto yang saya rakam adalah foto landscape dan nature. Sudah agak lama sebenarnya saya tidak merakam foto sebegini. Merakam foto landscape dan nature sememangnya memberikan ketenangan dan kepuasan. Sungguh seronok berada di tempat yang indah sambil menunggu cahaya yang sesuai sebelum foto dirakam. Aktiviti begini lebih relaks berbanding merakam foto potret atau foto perkahwinan yang memerlukan kepantasan dan bekerja dalam tekanan. Kenangan manis merakam foto di Sabah membuatkan saya bertekad untuk meluangkan lebih banyak masa untuk merakam foto untuk tujuan peribadi.

2mountkinabalu
Gambar Gunung Kinabalu dirakam dari Tuaran

1kundasangtree
Gambar dirakam di Kundasang

dairyfarm
Dirakam berhampiran dengan ladang lembu tenusu di Kundasang

Oleh Hasnuddin Abu Samah
FOTOTEACHER.COM

Jadilah ‘fan’ di PAGE FOTOTEACHER dalam FACEBOOK dan dapatkan berbagai keistimewaan!
FOTOTEACHER.COM

Promote Your Page Too

post Menjadi Jurufoto Kaya Raya

October 26th, 2009

Filed under: Fikiran, Inspirasi & Motivasi, Personal — hasnuddin @ 12:51 pm

Salam hormat,

Apa khabar rakan-rakan sekelian,
Diharap anda semua sihat dan sentiasa segar dalam fotografi.

Sudah agak lama sebenarnya saya tidak menulis panjang di dalam blog ini kalau anda perasan. Saya juga agak jarang membuat update di dalam facebook sejak kebelakangan ini. Semuanya disebabkan kesibukan yang datang tiba-tiba sejak selepas Hari Raya tempohari. Antara tugas yang banyak memakan masa saya ialah pelancaran program baru  Bengkel Lanjutan Fotografi, Persediaan program AFD, FMR dan AFD di Sabah, penulisan E-Book Fotografi Kreatif, hal-hal pengurusan Adan Cameraworks dan macam-macam lagilah.

Walaupun saya sibuk, blog ini tetap diupdate dengan kerap untuk tatapan pengunjung setia blog FOTOTEACHER. Setelah sejak sekian lama, blog ini sentiasa dikemaskini dengan 1 hingga 3 artikel terbaru setiap minggu. Itulah komitmen kami terhadap penyokong setia blog FOTOTEACHER. Saya juga merasa bertuah kerana telah dibantu oleh penulis jemputan blog ini - saudara Amir Ridhwan. Beliaulah yang kerap menulis menggantikan saya jika saya tiada kelapangan.

Baiklah, sebagai hadiah untuk anda sempena perjumpaan semula kita, saya telah tuliskan satu artikel khas untuk pembaca blog FOTOTEACHER. Artikel ini belum pernah disiarkan di lain-lain tempat sebelum ini. Ianya ditulis khas untuk anda yang terus setia menyokong FOTOTEACHER. Selamat membaca!

Hasnuddin

————————————————————————————————————————–

Menjadi Jurufoto Kaya Raya
Oleh Hasnuddin Abu Samah

Bolehkah kita jadi kaya dengan menjadi seorang jurufoto?
Wujudkah jurufoto yang kaya raya di Malaysia?

Sebelum saya boleh menghuraikan soalan di atas, kita perlu tanya dulu diri kita, apa itu sebenarnya yang dikatakan kaya? Berapakah jumlah wang yang perlu kita perolehi untuk menjadikan kita kaya? Tentu sekali terlalu subjektif jawapannya.

Ketika saya mula menceburi bidang fotografi 15 tahun dahulu, gaji saya sebagai seorang jurufoto adalah RM1,200 sebulan. Pada ketika itu, sifu saya, seorang jurufoto profesional yang mempunyai perniagaan sendiri memperolehi pendapat RM1,200 sehari! Saya tidak boleh bayangkan bagaimana besarnya pendapatan beliau pada ketika itu. Saya terpaksa bekerja selama sebulan untuk dapatkan pendapatan yang sama dengan beliau yang hanya perlu bekerja satu hari sahaja untuk dapatkan wang sebanyak itu. Itu cerita tahun 1990an dulu.

Ketika ini, pada tahun 2009, setelah saya menjadi jurufoto profesional, saya mengenakan harga RM4,500 untuk setiap separuh hari bekerja merakam foto untuk pakej fotografi perkahwinan. (Sifu saya pula, saya dengar, beliau pernah mengenakan harga setinggi RM12,000 sehari untuk khidmat fotografi beliau ketika ini) Saya tidak pasti samada sifu saya ini kaya atau tidak sebab saya tidak pernah tengok akaun bank beliau.

Berbalik kepada cerita saya mengenakan harga RM4,500 untuk 4 jam bagi setiap pakej fotografi perkahwinan yang saya rakam. Jumlah itu tidaklah sebesar mana sebenarnya. Ini setelah mengambil kira fakta-fakta berikut:

  • Bukan setiap hari saya ada peluang rakam foto perkahwinan. Jika setiap hari saya dapat RM4,500 sehari, saya mungkin sudah jadi kaya.
  • Jumlah RM4,500 sehari itu bukanlah untung bersih. Saya perlu tolak kos album, cetakan foto, upah pembantu jurufoto dan sebagainya
  • Jumlah RM4,500 yang saya dapat itu sebenarnya bukan saya hanya bekerja untuk separuh sehari. Tetapi, proses lengkap yang diambil sebenarnya memakan masa 2-3 hari. Tugas tidak habis sekadar merakam foto, tetapi perlu diteruskan dengan proses pemilihan foto, photo enhancement, membuat layout album dan sebagainya.
  • Untuk mendapatkan tugasan dan mengenakan harga setinggi RM4,500, bukan boleh didapati dengan hanya goyang kaki dan orang berpusu-pusu datang ingin memberikan wang kepada kita. Tetapi, kita perlu keluarkan kos untuk usaha pemasaran seperti menyediakan laman web, membayar gaji dan komisen eksekutif jualan, membuat promosi, membeli iklan di media cetak dan sebagainya.

Kesimpulannya, jangan hanya tengok pada angka. Kita perlu tahu kos dan faktor-faktor lain sebelum membuat andaian pendapatan atau kekayaan seseorang jurufoto.

Kita berbalik pula kepada pengertian kaya. Setiap orang mempunya takrifan berbeza mengenai erti kaya. Bagi saya, saya akan anggap diri saya kaya bila saya ada wang simpanan yang banyak sehingga sekiranya saya tidak bekerja selama 12 bulan, saya masih boleh membayar segala overhead saya tanpa sebarang masalah. Pejabat yang besar tidak tentu bermaksud saya kaya. Staff yang ramai tidak menjamin saya kaya. Kereta yang mahal tidak semestinya saya kaya. Kekayaan sejati sebenarnya tersembunyi. Hanya diri kita sendiri yang tahu samada kita kaya atau tidak kaya.

Anda mungkin ingin tahu – wujudkan jurufoto yang kaya raya di Malaysia? Saya tidak pasti. Apa yang saya pasti, saya kenal beberapa orang rakan jurufoto yang senang. Maksud saya bukan kerja senang, tetapi agak senang dari segi kewangan. Rata-rata mereka yang saya kenali ini, setiap seorang dari mereka memiliki 2-3 buah aset bangunan, 2 buah kereta import, boleh melancong ke luar negara setiap tahun, boleh membeli peralatan kamera terbaru walau berharga puluhan ribu ringgit dan boleh selalu belanja kawan-kawan makan. Cukuplah.

Tetapi, yang pastinya, mereka yang saya kenali ini adalah orang yang sangat kuat bekerja. Kesemua mereka ini telah menjadi jurufoto selama lebih dari 15 tahun. Saya teringat, rakan yang saya kagumi, jurufoto fesyen terkenal tanahair, Bustamam Mokhtar pernah berkata kepada saya, seorang tauke cina pernah berkata kepadanya,”Lu kalau mau bikin bisnes, 13 tahun baru boleh jadi kaya!” Ada benarnya dalam kata-kata tauke cina tersebut. Dalam perniagaan, 1-5 tahun pertama adalah tahun rugi. 5-10 tahun seterusnya balik modal atau surviving - duit memang banyak masuk, tetapi banyak juga yang keluar. Setelah lebih kurang 13 tahun, barulah perniagaan tersebut matang dan menghasilkan untung besar. Pendapat saya, kepada orang yang baru 5 tahun berniaga tetapi masih sekadar balik modal, itu sudah dikira cukup bagus, sebab ramai yang gulung tikar tidak sampai 1 tahun berniaga.

Tempoh masa 13 tahun yang saya sebutkan tadi itu adalah tempoh masa biasa dimana kebanyakan perniagaan menjadi matang dan menghasilkan keuntungan. Tidak dinafikan, ada perniagaan yang boleh maju dan menghasilkan untung besar dalam masa yang lebih singkat. Keajaiban boleh berlaku. Pasti ada insan istimewa satu dalam sejuta di luar sana.

Sanggupkah anda bertungkus lumus di dalam perniagaan fotografi selama 10-15 tahun? Ianya bukan tugas mudah. Suka saya jelaskan di sini, menjadi jurufoto dan menjalankan perniagaan di dalam bidang fotografi bukanlah cara terbaik untuk jadi kaya raya. Ada banyak lagi cara lain yang lebih mudah dan lebih cepat buat duit. Saya pernah terbaca penulisan seorang jurufoto kewartawanan hebat yang amat saya hormati, Abang Zainal Halim (Reuters). Kata beliau - kalau ingin jadi kaya, tidak perlu jadi jurufoto. Menjadi jurufoto memerlukan kerja keras dan pengorbanan yang besar. Lebih baik jadikan fotografi sebagai hobi jika tidak sanggup menghadapi tekanan kerja sebagai seorang profesional. Menjadikan fotografi sebagai hobi lebih menyeronokkan.

Tetapi, jika anda tetap ingin menjadi jurufoto profesional dan sanggup menghadapi cabaran demi minat yang mendalam di dalam fotografi, ‘please join the club’. Mungkin, siapa tahu, di masa depan, bidang fotografi boleh jadikan anda kaya raya.

Satu lagi perkara penting yang perlu anda tahu jika ingin jadi kaya di dalam fotografi - merakam foto yang baik sahaja tidak mencukupi. Kebanyakan jurufoto yang berjaya dan kaya(?) di Malaysia bukanlah jurufoto semata-mata. Mereka adalah USAHAWAN. Disamping mempunyai kebolehan hebat di dalam fotografi, mereka juga amat hebat dari segi pemasaran, pengurusan, kewangan dan banyak lagi kemahiran lain yang berkaitan dengan perniagaan fotografi. Namun ada juga segelintir jurufoto yang memperolehi banyak wang selain dari bergiat dalam perniagaan fotografi.

Sekarang ini, ramai orang yang ingin jadi kaya. Ramai juga yang ingin jadi kaya dengan kamera. Jadi, itulah tadi serba sedikit yang dapat saya kongsikan mengenai wang dan fotografi, setakat pengetahuan saya. Walaupun begitu, sebenarnya ada juga orang yang tidak hiraukan sangat pasal hendak jadi kaya, asalkan saja dia dapat rakam foto yang sempurna. Kaya atau tidak kaya, yang penting kita bahagia.

“Al-kisah nak jadi kaya raya, punyai uwang berjuta-juta” (teringat saya, sebuah lirik lagu oleh Senario)

Anda ada pendapat? Ada cerita yang ingin dikongsi bersama? Ada soalan? Sila tuliskan di dalam ruangan komen di bawah.

Oleh Hasnuddin Abu Samah

Hakcipta Terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Tidak dibenarkan disalin dan digunakan semula tanpa kebenaran bertulis dari pemegang hakcipta.

Dapatkan artikel terbaru dari FOTOTEACHER.COM secara percuma, dihantar terus ke e-mel anda. Sila langgan newsletter FOTOTEACHER. SILA KLIK DI SINI.


post Jurufoto BUKAN Jurugambar

September 12th, 2009

Filed under: Fikiran, Personal — hasnuddin @ 12:20 am

Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Teringat, ketika saya menulis surat rasmi kepada Y.M. Profesor Dato’ Raja Zahabuddin, Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Industri UNISEL, beliau telah menegur saya kerana saya telah menggunakan perkataan jurugambar untuk menterjemahkan perkataan photographer. Kata Dato’ Raja, perkataan Bahasa Melayu yang tepat untuk photographer ialah jurufoto, bukannya jurugambar.

Perkataan jurugambar tidak menerangkan dengan tepat bahawa seseorang itu adalah mahir dalam fotografi dan berkarya dengan menghasilkan gambar foto. Sebaliknya, jurugambar bermaksud seseorang yang mahir menghasilkan gambar. Ia tidak menerangkan dengan spesifik media yang digunakan untuk menghasilkan gambar, samada gambar foto, gambar video, gambar lukisan dan sebagainya.

Setelah mendengar nasihat dari Dato’ Raja itu, saya terfikir:

  1. Betapa perkataan jurugambar yang selalu kita guna dan dianggap remeh ini rupanya memberikan perbezaan yang ketara dalam maknanya.
  2. Betapa kagumnya saya dengan ketelitian orang lama lagi berilmu seperti Dato’ Raja dalam hal ini. (Untuk pengetahuan anda, Dato’ Raja adalah diantara orang terpenting dalam penubuhan Kursus Diploma Fotografi ITM )

Saya sendiri memang sudah terbiasa dan selesa menggunakan perkataan jurugambar. Namun, kini kita telah tahu, perkataan paling tepat untuk makna photographer ialah jurufoto. Gunakanlah perkataan jurufoto dalam penulisan rasmi untuk maksud yang paling tepat.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Harap berikan komen anda dalam ruangan di bawah.

SERTAI BERBAGAI KURSUS FOTOGRAFI ANJURAN FOTOTEACHER.COM. SILA KLIK DI SINI.

post Rakaman Saya dengan ‘Compact Camera’ di London dan Paris

July 17th, 2009

Filed under: Artikel Kreativiti, Fikiran, Gambar, Inspirasi & Motivasi, Personal, Sembang — hasnuddin @ 6:37 pm

Rakaman Saya dengan ‘Compact Camera’ di London dan Paris
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Baru-baru ini, saya bersama isteri mengembara ke kota London dan Paris. Kami di sana selama 25 hari. Saya ingin kongsi sedikit gambar semasa saya berada di sana.

Bila mengembara, saya lebih selesa membawa peralatan kamera yang paling minima. Untuk itu, saya hanya membawa bersama sebuah kamera DSLR Nikon D200 dengan lensa 17-55mm f/2.8 dan sebuah kamera compact Canon G7. Jika ke tempat yang banyak subjek menarik, saya akan membawa bersama kamera DSLR yang agak berat itu. Namun, jika sekadar berjalan-jalan, saya cuma membawa kamera compact Canon G7.

Pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda gambar-gambar yang saya rakam di London dan Paris menggunakan kamera compact Canon G7. Bagi saya, kamera ini sudah memadai untuk merakam gambar yang baik ketika saya mengembara. Apa yang penting ialah kefahaman asas teknikal fotografi dan kemahiran komposisi serta artistik. Gambar-gambar yang saya rakam ini bolehlah dikategorikan sebagai gambar Fine Art Photography atau Fotografi Seni Halus. Fine Art Photography adalah antara bidang pengkususan yang saya minati. Tanpa sebarang tekanan komersial, saya lebih bebas berkreatif dan menzahirkan apa yang saya rasa melalui gaya Fine Art Photography. Ianya memang memberi kepuasan.

Mungkin ada diantara anda yang tidak meminati gambar sebegini dan tidak dapat menghargai gambar berunsur Fine Art Photography. Gambar-gambar yang saya rakam ini pun tidaklah sebagus mana. Sekadar ingin berkongsi apa yang saya lihat melalui lensa kamera saya melalui kebebasan mengekspresi rasa.

manwalkingintostation
Suasana malam di sebuah stesyen keretapi yang lengang di bandaraya Paris

lvbag
Beg jenama Louis Vuitton diperagakan secara kreatif di sebuah kedai di kota London

reflectionlondon
Teksi klasik London yang telah dimodenkan, dirakam dengan latarbelakang bangunan baru berkaca yang membalikkan imej bangunan lama di London.

paristrain
Keretapi METRO kota Paris dirakam sedang melepasi sebuah stesyen pada waktu malam. Siling mozek yang membalikkan cahaya lampu-lampu bulat ini telah menjadikan pemandangan stesyen ini lebih menarik.

violinshop
Sebuah kedai menjual biola yang telah ditutup pada waktu malam. Dalam suasana gelap, masih boleh dilihat bentuk silhoutte biola yang dipamerkan di depan kedai. Lampu yang dipasang di dalam kedai pula telah menampakkan beberapa lagi biola yang dipamerkan di dalam kedai. Balikan cahaya langit pada pintu kaca pula menampakkan cahaya kebiruan pada waktu itu.

streetexhibition
Seorang penduduk kota Paris sedang berjalan menuruni tangga ke stesyen keretapi METRO bawah tanah sambil melalui foto besar yang dipamerkan untuk pameran foto jalanan.

manwalkingthedog
Seorang lelaki Perancis membawa anjingnya berjalan pada waktu senja berhampiran Notre Dame, Paris. Penduduk Paris memang terkenal dengan minat mereka memelihara anjing dan membawa anjing mereka bersiar-siar di sekitar kota Paris.

Harap anda suka menatap gambar-gambar yang telah saya pamerkan. Insyaallah, saya akan kongsikan lagi gambar-gambar dan cerita-cerita lain semasa pengembaraan saya ke London dan Paris.

P.S.: Dalam banyak-banyak gambar di atas, gambar yang mana satukah merupakan gambar kegemaran anda? (Jika ada) Harap, boleh berikan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Lain-lain maklumat mengenai kamera Canon G7 - SILA KLIK DI SINI

FOTOTEACHER.COM

Promote Your Page Too

post Kesukaran yang Indah di Zaman Sekolah

July 7th, 2009

Filed under: Fikiran, Personal, Sembang — hasnuddin @ 2:21 pm

Kesukaran yang Indah di Zaman Sekolah
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Saya minat fotografi sejak dari saya masih bersekolah di dalam darjah 4. Saya membeli kamera pertama saya pada ketika itu dengan duit tabung sendiri. Saya masih ingat, saya membayar harga kamera RM40 itu dengan duit syiling kesemuanya!

Minat saya dalam fotografi semakin mendalam ketika di sekolah menengah. Fotografi adalah satu hobi yang amat mahal bagi seorang budak sekolah pada masa itu. Saya bukan berasal dari keluarga kaya. Jadi, untuk tampung hobi saya pada ketika itu, saya bekerja sambilan untuk membeli peralatan kamera dan untuk menampung belanja membeli filem. Saya kerap merakam gambar kawan-kawan semasa aktiviti di sekolah dan kemudiannya menjual gambar-gambar tersebut kepada mereka dengan harga 50 sen sekeping. Itu adalah sekitar tahun 1988

Ketika cuti sekolah selepas SRP (Sijil Rendah Pelajaran), saya bekerja di Restoran KFC dengan gaji RM400 sebulan. Duit itu saya gunakan untuk meneruskan hobi saya. Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya menanamkan niat untuk bekerja di kedai gambar untuk lebih mendalami bidang fotografi. Ketika itu, saya tinggal di Butterworth bersama arwah datuk dan nenek saya. Dengan menaiki basikal, saya menebalkan muka, pergi ke beberapa buah kedai gambar di Bagan Luar untuk mendapatkan kerja. Saya tidak berjaya mendapat kerja…

Beberapa ketika selepas itu, disebabkan faktor kasihan, seorang tauke Cina bersetuju untuk berikan saya kerja di kedai gambar miliknya di Kepala Batas. Gaji yang ditawarkan - RM400 sebulan. Saya setuju! Saya sangat gembira! Dengan gaji RM400 itu, setelah ditolak belanja tambang bas dan belanja makan semasa bekerja, saya dapat gaji bersih RM196 sebulan. Dari wang yang saya perolehi, saya kumpul sikit-sikit dan akhirnya berjaya membeli kamera terpakai jenama Yashica 108 dengan harga RM600. Itu adalah pada tahun 1992.

Saya diterima masuk ke UiTM untuk mengikuti kursus Diploma Fotografi pada tahun 1993. Sambil belajar, saya membuat kerja sambilan mengambil gambar dengan upah RM10-50 untuk setiap satu tugasan. Pelanggan saya pada ketika ini terdiri dari pelajar-pelajar dan pensyarah di UiTM. Saya perlu membuat kerja sambilan ini bagi menampung kos pengajian fotografi pada ketika itu. Ketika di tahun kedua di UiTM, saya membuat kerja sambilan dengan lebih serius dengan upah sekitar RM150 untuk setiap tugasan separuh hari. Pada tahap ini, saya sudah mula berurusan dengan pelanggan-pelanggan dari luar universiti yang terdiri dari pengantin, mak andam, ejen fotografi dan syarikat koprat.

Saya telah melalui banyak cabaran di sepanjang penglibatan saya di dalam fotografi. Tetapi, saya bersyukur dengan cabaran dan kesukaran yang telah saya tempuhi. Cabaran inilah yang telah menjadikan saya semakin matang dan kuat. Setelah saya kecapi apa yang saya ada pada hari ini, kenangan menghadapi kesukaran di masa lalu terasa begitu manis dan berharga.

Inilah pengalaman saya. Pengalaman sebenar. Pengalaman yang telah banyak mengajar saya. Pengalaman yang membuatkan saya bersyukur.

Mungkin anda juga ada pengalaman menarik di sepanjang penglibatan anda di dalam fotografi. Harap anda boleh kongsi kisah anda dengan pembaca lain. Sila tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

post Sifu Hasnuddin, Otai Fotografi.

April 4th, 2009

Filed under: Fikiran, Personal — hasnuddin @ 6:01 pm

Sifu Hasnuddin, Otai Fotografi.
Oleh Hasnuddin Abu Samah

Ada beberapa orang baru dalam fotografi yang anggap saya otai (old timer) yang berpengalaman luas dalam fotografi. Ada di antara mereka yang panggil saya sifu (guru) yang mempunyai ilmu tinggi dalam fotografi.
Tapi, hakikatnya, saya bukanlah otai dan saya tidak layak dipanggil sifu.

Di luar sana, masih ada ramai otai dan sifu sebenar yang kebanyakan kita tidak mengenali mereka. Mereka tidak berada dalam ‘dunia’ yang sama dengan kita. Kalau kita mahu ‘melihat’ mereka, kita kena bersungguh-sungguh mencari mereka. Mereka jarang ada dalam dunia internet. Mereka juga tidak begitu popular dalam dunia internet.

Walaupun saya telah menceburi bidang fotografi secara profesional sejak tahun 1996, namun, saya masih belum cukup otai. Bagi saya, otai sebenar adalah orang yang telah menjadi jurugambar profesional sejak saya masih belajar tentang aperture dan shutter speed lagi. Malah ada otai yang sudah mula cari makan dengan fotografi sejak zaman filem hitam putih!

Walaupun saya kerap mengajar fotografi, tetapi saya rasa, saya masih belum layak dipanggil sifu. Mungkin, kalau pelajar saya hendak tunjuk tanda hormat, saya boleh terima panggilan cikgu. Tapi, bukan sifu. Bagi saya, sifu hanya layak dipanggil kepada individu yang pakar dalam bidangnya dan berada pada tahap tertinggi bidang itu pada sesuatu zaman. Kalau saya panjang umur, lagi 30 tahun, mungkin saya boleh dipanggil sifu.

Saya ingin kita semua letakkan benchmark yang tinggi dalam industri fotografi di Malaysia. Biarlah gelaran sifu diberikan kepada mereka yang betul-betul layak sahaja. Tidak perlulah bodek sesiapa dengan memanggil mereka sebagai sifu. Saya percaya, orang yang dibodek itu pun rasa segan bila dipanggil sifu. Kalau dia rasa bangga dipanggil sifu, maknanya, dia bukan sifu betul.

Bagi saya, sifu fotografi secara akademiknya adalah individu yang sekurang-kurangnya memegang ijazah (Master) dalam bidang fotografi. Dari segi bukan akademik pula, iaitu dalam bidang profesional, bagi saya, sifu adalah jurugambar yang terlibat secara profesional dalam bidang fotografi selama lebih dari 20 tahun dengan pencapaian yang cemerlang.

Oleh Hasnuddin Abu Samah

DAPATKAN ARTIKEL FOTOGRAFI PERCUMA!
Jika anda ingin kami menghantar artikel-artikel fotografi secara otomatik ke e-mel anda, sila langgan newsletter percuma dari fototeacher di sini - http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

post Kamera Murah dan RM1 Juta

December 7th, 2008

Filed under: Personal — Azida @ 5:57 am

 kameraf80inarow.jpg
Dari Kiri – Flash Nikon SB 26, Lensa Nikkor 28-105mm f/3.3-4.5 dan Kamera filem Nikon F80.

Peralatan di atas memberikan nostalgia yang penting dalam hidup saya.
Walaupun dah lama dan ketinggalan zaman, saya masih simpan peralatan
ini dengan baik. Menambahkan ’sayang’ saya pada setiap satu peralatan
ini ialah kerana saya membelinya pada satu ketika dulu dengan wang
yang begitu terasa besar nilainya buat saya.

Flash tu dah berusia 13 tahun. Saya beli ketika masih lagi belajar di
UiTM. Saya beli hasil dari wang yang dikumpul beberapa bulan hasil
dari kerja-kerja fotografi sambilan yang dibuat. Harganya pada waktu
itu RM850, terasa cukup besar bagai menggigil nak membayar.

Lens tu pulak dibeli 2nd hand pada tahun 2001. Waktu tu duit
cukup-cukup untuk bayar harga lens. Wang RM800 yang dikeluarkan tidak
meninggalkan baki dalam dompet. Tapi hati tetap senang bila dapat
bawak balik lens baru.

Kamera F80 ini saya beli dengan harga RM1,600 ketika mula-mula
menubuhkan Adan Impresif pada tahun 2001. Di waktu itu, jurugambar
perkahwinan yang lain dah ramai menggunakan kamera yang lebih gah
seperti F90 dan F100. Saya terpaksa berpuas hati dengan kamera F80
yang bertaraf kamera amateur ini - janji boleh buat kerja.

Dengan keseluruhan peralatan yang berharga RM3,250.00, saya mendirikan
Adan Impresif. Sedar tak sedar, berpunca dari kamera buruk inilah yang
telah membuahkan berbagai keuntungan dalam perniagaan saya sekarang.
Bak kata pepatah, perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah
pertama.

Ada apa dengan modal wang? Kita ada masa 24 jam sehari, kita
masing-masing dianugerahkan dengan bakat yang unik. Gunakan apa saja
yang ada. Jangan complaint dengan apa yang kita tidak ada. Saya masih
ingat, Tan Sri Halim Mohammad (Pemilik Halim Mazmin, salah seorang
multi jutawan Malaysia) pernah berkata kepada saya, “Orang kita
berniaga tak banyak modal wang. Tapi kita ada modal kemahiran dan
masa. Gunakan ini habis-habisan. Cuma ini yang kita ada”

Tidak keterlaluan jika saya katakan, kamera ini telah membantu saya
membuat lebih dari RM1 juta ringgit untuk Adan Impresif. Saya tak kata
saya jutawan sebab saya tidak ada RM1 juta dalam bank sekarang. Tapi,
jutaan ringgit telah dibuat dalam tempoh 7 tahun walaupun
kebanyakannya telah hangus membayar sewa, gaji, stok dan sebagainya.

Tanpa bapak, tak ada anak. Tanpa kamera murah, tak ada kamera mahal.
Walaupun kamera buruk saya ni dah tak digunakan sekarang, rasanya tak
patutlah ianya dijual. Biarlah disimpan saja sebagai lambang permulaan
yang kerdil.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah
Hakcipta Terpelihara fototeacher.com 2008

Add me into your facebook - Hasnuddin Abu Samah
facebookhasnuddin.jpg

post Photo Trip to Dabong Railway Station

November 5th, 2008

Filed under: Personal — hasnuddin @ 10:02 pm

 thetrainmaster.jpg
Bagi saya, ini adalah gambar terbaik saya semasa trip ini. Station Master ini seolah-olah merenung masa depan stesen lama dan usang ini yang mungkin akan ditutup terus tidak lama lagi disebabkan oleh arus kemodenan. Gambar ini dirakam dari atas keretapi di Stesen Keretapi Limau Kasturi, Kelantan.

trainandfoot.jpg
Gambar ini dirakam di Stesen Keretapi Gua Musang. Gambar ini adalah gambar kedua favourite saya. Saya suka silhouttte penumpang yang berdiri di platform dan lokomotif yang nampak ‘bergerak’ dengan penggunaan slow shutter.

damplayer.jpg
Gambar orang-orang kampung sedang main dam di kedai kopi ni dirakam berhampiran dengan Stesen Keretapi Krai. Waktu ni hujan lebat. Kami terperangkap di kedai kopi ni. Nasib baik ada subjek menarik. Jadi, memang puaslah kami rakam aksi diaorang ni dari berbagai angle.

Setelah sekian lama kepala menjadi berat dengan kerja-kerja pengurusan Adan Cameraworks dan fototeacher.com, saya rasa skill fotografi saya juga semakin tumpul. Jiwa dahagakan kerja-kerja fotografi kreatif yang dah agak lama ditinggalkan. Jadi, saya nekad untuk habiskan beberapa hari keluar dari KL untuk shooting dan shooting sahaja.

Saya bersama kawan lama saya, Nasir Roli (Jurugambar Kanan, Berita Publishing) dan Aminorazmi untuk pergi shooting di Stesen Keretapi Dabong dan kawasan sekitarnya. Sebenarnya, saya dah lama menyimpan hasrat untuk sesi shooting seperti ini, tapi selalu tak kesampaian disebabkan tidak ada masa yang sesuai. Kini, akhirnya, hajat saya kesampaian.

Kenapa Dabong? Dabong terletak di kawasan yang agak terpencil dalam negeri Kelantan. Fokus saya ialah untuk merakam kehidupan di sekitar Stesen Keretapi Dabong dan stesen-stesen lain yang berhampiran seperti Gua Musang, Krai, Manek Urai dan Limau Kasturi. Antara yang menarik di sini ialah, terdapatnya keretapi ‘local’ yang berfungsi untuk kegunaan penduduk setempat untuk berulang-alik. Keretapi ‘local’ ini buruk (klasik), para penumpangnya terdiri dari penduduk kampung dan orang-orang tua yang ‘berseni muka dan pakaiannya’. Suasana di sini sungguh menggambarkan Malaysia dan penuh dengan nostalgia.

Selain dari itu, satu lagi ciri unik di sini ialah, kita boleh melihat budak-budak sekolah berulang-alik naik keretapi ke sekolah setiap hari. Ini kerana, di sesetengah kawasan di sini, keretapi adalah satu bentuk pengangkutan utama yang paling penting bagi menghubungkan pekan-pekan kecil di kawasan ini.

Pengalaman menaiki keretapi sentiasa membawa nostalgia kepada saya. Boleh dikatakan, saya membesar dengan keretapi. Dulu, sekitar tahun 80an, tak ada PLUS highway. Orang ketika itu kalau dari Butterworth nak ke Kuala Lumpur takkan naik bas. Kalau ikut jalanraya, boleh ambil masa 8 jam untuk sampai. Jadi, ketika itu, keretapi adalah satu pengangkutan yang amat popular dan penting kerana, naik keretapi lebih cepat dan selesa. Saya percaya, sesiapa saja yang pernah naik keretapi waktu tu, mesti setuju dengan saya bahawa, pengalaman naik keretapi waktu dulu, memang seronok. Pengalaman yang hampir sama boleh didapati kini hanya di laluan keretapi Pantai Timur. Jadi, ke sanalah tujuan saya dan 2 orang rakan yang lain…

Kami bertolak pada 21 Oktober 2008 menaiki tren malam dari KL Sentral ke Dabong. Saya membawa peralatan kamera dan pakaian paling minima bagi memudahkan pergerakan di sana nanti. Cuma 2 beg galas - satu beg kamera dan satu beg pakaian. Sepanjang perjalanan, kami bertiga tak berhenti bercerita dan berbincang mengenai fotografi. Banyak perkara yang saya pelajari.

Secara umumnya, kami shooting dari pagi hingga ke malam, setiap hari. Kira macam marathonlah - memang penat. Dah lama tak buat kerja macam ni. Tapi, sekurang-kurangnya, skill taklah tumpul lagi.

Pada mulanya, saya bercadang untuk berada di sana selama 5 hari. Tapi, disebabkan keletihan dan cuaca yang sentiasa mendung dan tidak memberangsangkan, saya ambil keputusan untuk pulang pada hari yang ketiga. Lagipun, saya ada last minute job yang memerlukan saya shooting di Batu Pahat. So, kami semua pulang ke Kuala Lumpur pada 24 Oktober 2008 menaiki tren malam ke Kuala Lumpur. Kami masing-masing membawa pulang pengalaman dan pengetahuan baru yang sungguh istimewa.

- Hasnuddin

kl-dabong31.jpg
Saya bersama Nasir Roli berhampiran Stesen Keretapi Dabong. Gambar dirakam oleh Aminorazmi.

post Surat Yang Membakar Semangat

June 20th, 2008

Filed under: Personal — hasnuddin @ 3:36 am

Saya ingin siarkan satu e-mel yang dihantar kepada saya. Kira macam testimoni jugaklah ni. Bukanlah nak bangga diri, tapi saya perlu yakinkan bakal peserta kursus fototeacher bahawa, kami akan buat yang terbaik untuk anda. Berikut adalah kandungan e-mel tersebut:

Saya ingin mengucapkan tahniah di atas kejayaan yg telah dicapai oleh fototecher. Saya juga merasa bangga kerana banyak belajar dari kursus yang telah saya ikuti sungguhpun pada mulanya saya sebenarnya buta tentang fotografi, lebih lebih lagi tentang istilah yang sering digunakan.

Hari ini saya sudah boleh memahami dan belajar sedikit sebanyak melalui majalah dan boleh memahami apa yang tersirat di sebalik gambar yang cantik.

Saya merasa terharu dan bangga menjadi murid kepada En. Hasnuddin, kerana dari tunjuk ajar En.Din, menjadikan saya lebih yakin sebagai seorang yang baru berjinak2 dengan fotografi. Secara keseluruhannya, semasa kursus tempoh hari saya amat berpuas hati dengan layanan, makanan dan pengendalian kursus yang dijalankan.

Cuma satu yang saya harapkan agar selalulah update blog. Sekurang-kurangnya seminggu sekali. Boring jugak kalau tak ada cerita baru. ‘fototecher.com is my favorite blog’. Kalau boleh saya juga ingin menjadi seperti En. Din.

Terima kasih & salam hormat.

Puan Nurhayati Abd. Latif,
Tawau, Sabah.

Mesej penghargaan sebegini sememangnya menaikkan semangat kami untuk terus berusaha. Jika ada kritikan yang membina, kami juga terima dengan fikiran terbuka. Jika ada aduan tidak puas hati, kami akan betulkan kesilapan kami. Terima kasih kepada anda semua yang terus bersama kami.

P.S. - Puan Nurhayati adalah bekas peserta Bengkel Portable Flash yang lepas. Jika anda ingin sertai Bengkel Portable Flash yang akan datang, sila ke - http://fototeacher.com/FlashPhotography.html

Hasnuddin

 

post FOTOGRAFI DI TOKYO

May 2nd, 2008

Filed under: Personal — hasnuddin @ 2:07 pm

Baru-baru ni saya sempat berjalan-jalan di bandaraya tokyo. Cuaca agak sejuk sekitar 9-12 darjah celcius. Kalau hujan ditambah pulak dengan angin yang bertiup makan sejuk dibuatnya. Time macam ni, memanglah teringat kat cuaca panas kat Malaysia memang lagi bagus. Saya rasa biarlah panas berpeluh dari sejuk menggigil…

Tokyo sememangnya bandaraya yang amat besar, maju, bersih dan yang paling seronok, ianya adalah sebuah bandaraya yang selamat. Kadar jenayah di bandaraya ini amat rendah. Kepada sesiapa yang suka shopping, Tokyo sememangnya syurga membeli belah. OKlah, saya nak ringkaskan cerita saya kepada skop fotografi sahaja. Antara banyak tempat yang saya lawati, saya tidak ketinggalan untuk melawat kedai kamera terbesar di Tokyo iaitu Yodobashi Akiba yang terletak di Akihibara.

Yodobashi Akiba ni asalnya jual kamera aje, tapi sekarang ni dia turut menjual berbagai barang-barang elektronik yang lain. Yodobashi Akiba ni macam satu shopping complex, tapi cuma jual kamera dan barang elektronik sahaja. Ada lebih kurang 7 tingkat dan satu tingkat dikhaskan untuk jual barang kamera saja, dari kamera compact, DSLR, medium format hinggalah peralatan darkroom dan studio fotografi.

nikondemocamera.jpg
Di Yodobashi Akiba, hampir semua kamera yang dijual dipamerkan untuk demo. Kamera high end seperti Nikon D3 pun dengan selambanya diaorang letak kat tempat demo - sesiapa pun boleh main dengan kamera tu.

mediumformatcamera.jpg
Ni antara kamera medium format jenama MAMIYA, ROLLEI dan PENTAX yang dibiarkan atas meja demo untuk orang ramai mencubanya sebelum membeli.

filmfreezer.jpg
Ni antara 2 freezer besar macam kat Carrefour untuk display sayur. Diaorang guna freezer ni untuk display berbagai jenis filem. Cara ini memastikan filem berada dalam suhu yang sepatutnya agar sentiasa berada pada kualiti yang optimum dan tahan lama. Saya lihat, di Tokyo, penggunaan filem masih begitu popular kerana di kedai ini masih banyak dijual kamera analog, filem dan peralatan lengkap untuk conventional darkroom.

cameravendingmachine.jpg
Vending machine seperti ini ada di merata-rata tempat seperti stesyen keretapi dan tempat tumpuan pelancong. So, kat sana, diaorang jual kamera pakai buang macam ni guna vending machine saja.

pelicancase.jpg
Ini adalah antara deretan Pelican case yang dijual di Yodobashi Akiba. Case Pelican ni ada jugak dijual di Malaysia, tapi pilihannya tak banyak. Satu-satu tempat tu cuma jual 2-3 model saja. Tapi, kat Tokyo, diaorang ada 2 rak penuh dengan berbagai saiz dan rekabentuk yang berlainan.

Pendek kata, pengalaman saya di Tokyo amat menyeronokkan. Banyak perkara baru dapat dipelajari dari melihat budaya kerja rakyat Jepun. Kunjungan saya selama 7 hari rasanya amat pendek.

Hasnuddin

Next Page »
ruldrurd

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

© www.fototeacher.com , Desinged by Stealth Settings , WP Themes
Entries (RSS) and Comments (RSS)