Archive for the “Fikiran” Category

March 22, 2009 Categorized under Fikiran

Ilmu Rahsia Fotografi

Ilmu Rahsia Fotografi
Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Ilmu fotografi seharusnya dikongsi bersama tanpa menyembunyikan apa-apa rahsia. Namun, bukan semua ilmu akan diajarkan sewenang-wenangnya kepada semua orang. Ada beberapa ilmu yang tidak mudah didapati.

Ilmu rahsia perniagaan atau ‘trade secret’ adalah ilmu fotografi yang paling susah untuk didapati. Ini kerana, ilmu ini, jika didedahkan kepada umum akan menjejaskan perniagaan seseorang itu. Bagi sesetengah orang, mendedahkan ilmu ini umpama membunuh diri sendiri. Biasanya, seseorang jurugambar tidak akan mendedahkan teknik tertentu beliau yang menjadikan karyanya unik. Jika beliau mendedahkan teknik ini secara umum, jurugambar tersebut tidak akan ada sebarang keistimewaan lagi.

Jurugambar juga jarang ingin berkongsi pembekal (supplier) bagi produk tertentu. Pembekal kepada produk ini menjadi seakan ibu duit kepada perniagaannya. Jika semua orang ada produk yang serupa, perniagaan beliau dikhuatiri tidak akan mampu bersaing lagi. Contohnya, jika seseorang jurugambar mempunyai pembekal album gambar yang yang cantik tetapi murah, beliau amat berat untuk mendedahkan dimana beliau membeli album gambar tersebut.

Walaupun jurugambar cuba merahsiakan beberapa perkara yang beliau ketahui, bukanlah bermakna rahsia itu tidak boleh didedahkan langsung. Sesuatu rahsia itu boleh didedahkan kepada orang yang tertentu. Jika seseorang itu menunjukkan minat yang mendalam, bersungguh-sungguh serta sedia membuat kebaikan kepada si penyimpan rahsia, rahsia itu tentu sekali boleh dibocorkan.

Saya faham dan setuju, rahsia perniagaan harus dikawal rapi. Namun, ilmu fotografi umum harus dikongsikan bersama, tanpa rahsia. Bagi saya, orang yang kedekut ilmu ialah orang yang tidak cukup ilmu. Sebab itulah dia fikir, jika dia mengajarkan ilmunya, ilmunya akan cepat habis!

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

March 15, 2009 Categorized under Fikiran

APA ITU BULB?

APA ITU BULB?
Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Pada kamera DSLR kita, kita akan jumpa pelarasan shutter speed yang dinamakan BULB. Apabila kita menggunakan setting BULB, shutter akan terbuka apabila shutter release button ditekan. Selagi kita tidak lepaskan shutter release button tersebut, selagi itulah shutter akan terus terbuka. Ini bermaksud, anda boleh tentukan sendiri berapa lama shutter ingin dibuka.

Kebanyakan kamera DSLR mempunyai kawalan shutter speed diantara kelajuan 1/4000 saat sehingga ke 30 saat. Jika anda ingin membuka shutter lebih lama dari 30 saat, anda boleh laraskan kawalan shutter kepada BULB.

Setting BULB biasanya digunakan dalam keadaan cahaya yang kurang seperti di waktu malam. Dengan membuka shutter dalam satu tempoh yang panjang, lebih banyak cahaya akan masuk. Dengan ini, suasana yang gelap akan dapat dicerahkan.

Tapi, bila menggunakan slow shutter, anda perlu pastikan kamera berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang gegaran. Anda boleh gunakan tripod untuk mengatasi masalah ini. Anda juga perlu pastikan subjek anda tidak bergerak apabila menggunakan slow shutter.

Mengapa BULB dinamakan BULB?

BULB mendapat namanya dari ‘flash bulb‘. Pada zaman awal fotografi, apabila jurugambar ingin merakam gambar dengan flash bulb, mereka perlu membuka shutter dalam tempoh yang agak panjang. Setelah shutter terbuka, flash bulb akan dipancarkan secara manual oleh jurugambar. Setelah itu, jurugambar perlu menutup semula shutter. Sebab itulah, shutter perlahan dimana kita kawal bila ianya dibuka dan ditutup dinamakan BULB.

Jurugambar zaman lalu perlu menggunakan BULB apabila ingin merakam gambar menggunakan flash. Ini berbeza dengan teknologi sekarang. Kini Flash boleh dipancarkan secara otomatik sebaik shutter terbuka. Ini juga disebut sebagai flash synchronization.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

March 6, 2009 Categorized under Fikiran

Rahsia Fotografi dan Pembancuh Kopi

Rahsia Fotografi dan Pembancuh Kopi
Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Rahsia perniagaan atau trade secret adalah satu cabang ilmu yang amat sukar diperolehi. Seseorang jurugambar akan menyimpan rahsia ilmu tertentu agar dirinya boleh terus bersaing dalam perniagaan fotografi yang diceburi. Walaupun ilmu ini dirahsiakan, anda tetap boleh mendapatkannya dengan cara belajar dari ramai orang jurugambar.

Saya teringat sebuah kisah yang diceritakan oleh arwah datuk saya. Kisahnya mengenai seorang pemuda bernama Ali yang ingin membuka sebuah kedai kopi. Beliau ingin belajar cara membuat kopi yang sedap. Tetapi, tidak ada sesiapa yang ingin mengajar dan mendedahkan rahsia bancuhan kopi yang sedap.

Demi untuk mendapatkan rahsia ini, Ali telah bekerja di Kedai Kopi Abu. Abu membancuh kopi dengan memasukkan mentega dan 2 bahan rahsia ke dalam kopinya. Kopi Abu memang sedap. Tapi, 2 bahan rahsia itu tetap menjadi misteri.

Setelah beberapa lama bekerja di Kedai Kopi Abu, Ali bekerja di Kedai Kopi Kasim pula. Kopi Kassim memang sedap. Ali perhatikan Kassim memasukkan kapur dan dua bahan rahsia lain dalam kopinya. Sekarang, Ali telah dapat tahu, 2 bahan penting dalam bancuhan kopi adalah mentega dan kapur!

Akhir sekali, Ali telah bekerja dengan Kedai Kopi Mamat. Mamat juga tidak mendedahkan rahsia cara membuat kopi yang sedap. Tetapi, Ali dapat melihat, Mamat memasukkan garam bersama 2 bahan rahsia di dalam kopinya. Kini, Ali telah mendapat tahu ketiga-tiga bahan rahsia dalam bancuhan kopi yang sedap!

Pengajaran dari cerita diatas? Belajarlah dari ramai guru. Setiap guru mungkin akan menyembunyikan rahsia tertentu. Namun, jika anda mempunyai ramai guru, anda akan tetap mengetahui kesemua rahsia yang ingin anda ketahui.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Untuk mengikuti kursus dan bengkel fotografi anjuran fototeacher, sila ke – http://www.fototeacher.com
Untuk mendapat artikel dan informasi percuma dari fototeacher, sila ke – http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

February 24, 2009 Categorized under Fikiran

Breaking The Rules Konon…

Breaking The Rules Konon…
Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Mat Saleh kata, “Rules are made to be broken”. Orang-orang fotografi kita pun sibuklah nak break the rules of photography sebab nak jadi lain dari yang lain. Ada yang memang tak pernah ikut rules dah. Setiap kali shoot, mesti nak break the rules. Tapi, masalahnya, apa rules yang dia break, dia pun tak tahu. Boleh ke?

OK, saya memang old school. Tapi, saya tak menolak pendapat bahawa kadang kala kita perlu break the rules sebab fotografi itu sesuatu yang kreatif. Penilaian karya fotografi juga adalah subjektif. Tapi, saya rasa, before kita break the rules, eloklah kalau kita tahu dulu apakah rules dalam fotografi. Biarlah kita break the rules secara berilmu dan bersebab.

Macam jugak undang-undang jalanraya. Lampu isyarat merah tanda berhenti. Saya ingat lagi cikgu sekolah memandu saya cakap, “Kalau nampak lampu isyarat warna merah, kena jalan terus kalau ada polis trafik bagi arahan untuk jalan, kalau ada kecemasan dan kalau lampu isyarat tu rosak. Selain dari itu, nampak lampu merah, wajib berhenti” Jadi, maksudnya, nak langgar peraturan tu boleh, tapi kenalah ada sebab yang kuat.

Memang ada jurugambar ternama yang melanggar peraturan fotografi dalam karyanya, tetapi hasilnya hebat. Dia break the rules dengan sebab yang kuat. Dia break the rules dan boleh jelaskan dengan panjang lebar mengapa dia break the rules.

Janganlah jadikan break the rules sebagai alasan untuk kita tidak mempelajari asas peraturan fotografi. Pastikan bila anda break the rules, gambar anda jadi lebih hebat. Kalau gambar tak jadi hebat, tak payahlah nak break the rules. Buat rosak gambar saja.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Untuk mengikuti kursus dan bengkel fotografi anjuran fototeacher, sila ke – http://www.fototeacher.com
Untuk mendapat artikel dan informasi percuma dari fototeacher, sila ke – http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

January 28, 2009 Categorized under Fikiran

Puji, Kritik dan Kutuk

Puji, Kritik dan Kutuk
Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk fototeacher.com

Untuk perbaiki karya fotografi kita, kita perlukan komen, malah kritikan dari individu lain. Dengan ini, barulah kita nampak kelemahan kita yang perlu diperbaiki. Dengan cara ini juga kita akan dapat input baru hasil dari pendapat, menerusi pengalaman orang yang memberikan komen kepada gambar kita.

Tapi, adakah anda ikhlas ingin belajar dengan menerima komen dari orang lain? Adakah anda akan berpuas hati dengan komen yang diberikan kepada gambar anda? Hakikatnya, kebenaran memang adakalanya pahit ditelan.

Bila dilihat dalam blog, foto blog dan sebagainya, rakan-rakan yang memberikan komen kepada gambar kita selalunya akan memberikan komen yang baik saja mengenai gambar yang kita rakam. Ini semata-mata untuk menjaga hati dan menjalinkan hubungan yang baik. Kita perlu menganggap komen ini sebagai komen sosial yang tidak membantu perkembangan fotografi kita. Kalau kita rasa bangga dan berpuas hati dengan komen sosial yang diberikan ini, alamatnya, kita takkan kemana dalam fotografi.

Masyarakat kita tidak mudah menerima kritikan. Masyarakat kita juga tidak pandai memberikan kritikan. Kritikan yang baik harus diberikan dengan cara yang berhemah. Kritikan yang baik perlu disertakan dengan fakta yang kukuh. Ianya juga sebaiknya desertakan dengan panduan atau cadangan bagi membantu orang yang dikritik itu memperbaiki hasil kerjanya.

Kita harus boleh bezakan antara mengkritik dan mengutuk. Kita harus boleh bezakan diantara kritikan membina dan cacian yang mengaibkan. Jadi, untuk kemajuan kita bersama, kita harus bijak mengkritik dan harus rasional dalam menerima kritikan. Barulah kita semua boleh maju dalam bidang fotografi.

Tidak ada sesiapa yang sempurna. Tidak ada gambar yang sempurna. Walau sehandal manapun kita dan walau secantik manapun gambar kita, sentiasa masih ada ruang untuk memperbaiki. Jadi, sentiasa akan ada ruang untuk dikritik. Untuk sentiasa maju, kita harus sentiasa boleh dikritik.

Dalam konteks untuk memperbaiki diri, bila ada orang puji gambar anda, anda kena pertimbangkan 2 perkara ini: iaitu yang pertamanya orang itu tidak cukup hebat dalam fotografi dan yang keduanya, anda adalah orang yang malang sebab anda sudah tidak ada ruang untuk belajar dan memperbaiki diri.

Namun, bila dikritik, adakalanya, anda perlu mempertahankan pendirian anda jika anda ada sebab yang kukuh. Anda tidak perlu menerima semua kritikan bulat-bulat. Sebab, kadangkala, orang yang mengkritik itu pun sebenarnya tidak layak untuk mengkritik.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk fototeacher.com

January 15, 2009 Categorized under Fikiran

Mengambil Risiko

Mengambil Risiko
Oleh: Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

Memang betul kamera ni bukannya peralatan yang murah. Kebanyakan amatur menghabiskan tidak kurang daripada 3 ribu ringgit untuk peralatan termasuk lensa dan flash. Bendanya kecil semuat tapak tangan tapi harganya tinggi. Yang lebih mengerikan ialah DSLR adalah peralatan yang mudah rosak, sama seperti peralatan elektronik yang lain. Tetapi jika kamera anda hanya disimpan dah tidak digunakan, apa ertinya anda melabur sebegitu banyak untuk hobi ini?

Jika kita terlalu risau kamera akan rosak, hobi fotografi tidak akan menjadi seseronok yang sepatutnya. Semua DSLR dibina agar berupaya menghadapi keadaan yang menyukarkan. Model expert dan professional seperti Canon 50D dan Nikon D3 mempunyai kerangka logam yang tahan hentakan. Olympus mengeluarkan E3 yang tahan air dan debu hingga boleh digunakan di dalam hujan. Bagi pemilik DSLR murah yang berbadan plastik, sekurang-kurangnya ia lebih lasak berbanding kebanyakan kamera compact. Oleh itu anda tidak perlu terlalu risau – takut kamera anda menjadi rosak dengan begitu mudah.

Kebanyakan foto terbaik dalam koleksi saya adalah yang dirakam dalam keadaan yang berisiko tinggi. Ada antaranya dirakam ketika demonstrai jalanan yang mana gas pemedih mata dilepaskan dan air disembur daripada trak FRU. Gambar nature saya banyak diambil dalam keadaan cuaca yang tidak menentu seperti hujan, kabus dan ada kalanya di tempat yang berdebu. Gambar seperti di bawah ini tidak mungkin dapat dirakam jika saya terlalu sayang untuk mengambil risiko.

9a.jpg

Persiapan yang sewajarnya perlu dilakukan sebelum anda pergi merakam gambar dalam suasana yang berisiko tinggi. Biasanya saya akan membawa kain untuk mengelap sebarang tompokan air atau lumpur. Saya sentiasa menggunakan filter untuk mengelakkan sebarang kotoran mencemari elemen lensa. Penggunaan lens hood dapat mengurangkan kesan calar jika lensa tersebut jatuh menjunam atau bergesel dengan objek keras. Jika tidak digantung di tengkuk, bawa kamera anda menggunakan beg yang tahan percikan air dan boleh menyerap hentakan. Dengan persiapan asas sebegini, anda sepatutnya sudah boleh untuk menikmati fotografi dalam pelbagai suasana dan di mana jua.

Oleh: Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

January 11, 2009 Categorized under Fikiran

Editing Melampau

Editing melampau.
Oleh: Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

Di era digital kini, kita tidak dapat lari daripada melakukuan post processing yang melibatkan manipulasi imej secara digital dalam komputer. Antara perisian yang popular di kalangan jurugambar Malaysia adalah Adobe Photoshop, Lightroom dan Picasa. Post processing atau editing adalah peringkat kedua dalam penghasilan foto dimana kecacatan dapat dikurangkan dan beberapa aspek lain dapat diolah agar menghasilkan imej yang menepati citarasa jurugambar.

Daripada teknik asas seperti curve, sharpening dan cropping hinggalah ke teknik yang lebih tinggi seperti level masking, apa yang penting ialah anda perlu tahu apakah hasil yang anda inginkan di akhir proses tersebut. Ada kalanya kita cuba edit sesebuah gambar ikut sesedap rasa sehingga gambar tersebut kelihatan cantik namun kaedah cuba jaya bukanlah cara yang efektif untuk melahirkan kreativiti. Seharusnya apabila anda melihat foto yang belum diedit, anda boleh membayangkan apa yang perlu dilakukan agar foto tersebut menjadi lebih sempurna. Cari apa yang kurang dan apa yang tidak boleh dikompromi. Dari situ anda memulakan kaedah editing sehingga foto tersebut mencapai apa yang dihasratkan.

Di kalangan jurugambar baru, mungkin kaedah editing ini sesuatu yang agak perlahan untuk dimahiri. Maklumlah untuk mahir dalam teknik fotografi pun banyak masa yang perlu dilaburkan. Ada kalanya saya melihat hasil editing yang agak keterlaluan seperti levelling yang terlalu agresif sehingga dynamic range jadi sempit dan sharpening yang terlalu tinggi sehingga kulit manusia kelihatan seperti plastik. Jika anda tidak pasti di manakan garis yang perlu diletakkan antara cukup dan keterlaluan, sila bayangkan hasil akhir sebelum anda memulakan proses editing.

Ada juga kes di mana editing melampau digunakan untuk menyelamatkan gambar yang agak teruk. Biasanya kes over/under expose, salah white balance dan noise akan menjadi mangsa editing yang berlebih-lebihan agar kecacatan tersebut dapat ditutup. Memang kesilapan teknikal sebegini boleh diselamatkan dengan editing tetapi adalah lebih baik jika jurugambar dapat menyesuaikan semua aspek ketika gambar dirakam. Bukan sahaja editing berlebihan akan memakan masa tetapi kesan sampingan seperti peningkatan noise dan kehilangan dynamic range akan menjejaskan kualiti gambar.

Oleh: Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

December 16, 2008 Categorized under Fikiran

Kamera Impresif

Kamera Impresif
Oleh Hasnuddin untuk fototeacher.com

Ada orang yang terpaksa berhutang sebab nak beli kamera mahal, kononnya nak impress orang lain. Saya rasa, orang yang akan impressed dengan kamera mahal tu ialah dia sendiri jugak…

Client selalunya takkan impressed sangat dengan kamera mahal. Diaorang lebih impressed kalau kita bekerja dengan gaya yang beretika, penampilan yang segak dan komunikasi yang beradab. Paling utama, pelanggan lebih pentingkan hasil gambar yang cantik. Kalau pelanggan dah dapat gambar cantik, dia takkan tanya dah apa kamera awak pakai, atau berapa harga kamera awak. Tapi, kalau pelanggan tanya sekalipun, “Berapa harga kamera awak?” Anda boleh menjawab dengan bangganya, “Saya beli kamera 2nd hand aje ni, model 3 tahun lepas, harga RM1,000 je…” Lalu, pelanggan akan ternganga sebab gambar anda power, walaupun pakai kamera murah. Amacam?

Photographer otai pun tak pandang kamera mahal. Photographer otai tak pernah kutuk kamera apa yang diguna oleh seseorang jurugambar lain. Tapi, kalau seseorang mamat yang pegang kamera dan buat aksi pelik gaya tak macam photographer, memang akan ada beberapa kritikan dilemparkan. Sebaliknya, photographer otai lagi tabik dengan photographer yang pakai kamera murah tapi boleh bereskan kerja dengan kualiti tip top.

Artikel ni ditujukan kepada orang yang tak berapa ada duit yang risau tak mampu beli kamera mahal. Jadi, lepas baca artikel ni, jangan risau lagi. Tapi, kepada anda yang ada banyak duit, belilah barang kamera banyak-banyak sebulan sekali, supaya berlaku proses kitaran wang dengan lebih pesat lantas menjadikan ekonomi dunia pulih dengan lebih cepat.

Ingin dapatkan artikel-artikel fotografi secara percuma dan dihantar terus kepada e-mel anda? Sila langgan newsletter percuma kami di – http://fototeacher.com/subscribe.htm

Add me into your facebook – Hasnuddin Abu Samah
facebookhasnuddin.jpg
Last Call!
Kursus Asas Videografi akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad  ini (20-21 Disember 2008). Sila hubungi Encik Zaly untuk harga diskaun khas. Tel: 03-91017155 atau e-mel: fototeacher@gmail.com
Untuk dapatkan maklumat lanjut, sila layari – http://fototeacher.com/videography.htm

November 27, 2008 Categorized under Fikiran

100 TAHUN BELAJAR FOTOGRAFI

Walaupun kita ada 100 tahun untuk belajar fotografi, kita takkan habis
belajar mengenai fotografi. Kalau kita tahu segalanya pun, kita takkan
mahir dalam segala bidang pengkhususan fotografi. Begitulah luasnya
ilmu fotografi.

Bercakap mengenai kamera saja sudah cukup luas bidangnya. Kebanyakan
kita yang heboh dengan dunia fotografi sekarang ni, cuma melihat
fotografi dalam skop DSLR 35mm sahaja. 35mm ni adalah format paling
kecil dalam dunia kamera profesional, ibarat adik bongsu. Masih luas
untuk kita menjelajah dalam dunia medium format apatah lagi large
format. Dikala kita masih terkapai-kapai bermain dengan CLS portable
flash, kita masih kabur dengan monoblock flash, apatah lagi power pack
flash, portable potty, jauh sekali bereksperimen dengan continuous
light seperti HMI Arri.

Semakin banyak kita menuntut ilmu, semakin sedarlah kita bahawa, lebih
banyak lagi ilmu yang kita tidak tahu. Jika kita hanya duduk di
pantai, kita tidak dapat bayangkan betapa luasnya laut.

Seorang jurugambar terhebat dalam bidang pengiklanan misalnya, sedar
bahawa, dia tidak sehebat mana dalam bidang fotografi lain yang bukan
dalam bidang pengkhususannya. Jadi jurugambar kahwin pun bukan semudah
yang disangka. Sesiapa pun boleh jadi jurugambar dalam apa-apa bidang
sekalipun, tetapi, untuk jadi yang terbaik diantara yang terbaik…
hanya satu dalam sejuta.

Kadangkala, sedih melihat, segolongan jurugambar yang baru beberapa
kali minum kopi bersama jurugambar ternama, sudah merasakan dirinya
sehebat mentornya. Baru beberapa kali gambarnya dipuji, sudah rasa
ilmu penuh di dada. Janganlah kita berpuas hati dengan pujian yang
diterima, lebih baiklah kita mencari kritikan yang membina supaya kita
sentiasa memperbaiki diri.

Saya turut kagum dengan segelintir jurugambar baru yang rajin menjelajah
segenap ilmu fotografi. Kelompok ini sanggup berhabis wang dan masa untuk
memperbaiki diri mereka. Sanggup menebalkan muka dan merendah diri untuk
mendapatkan secebis ilmu. Sanggup berkawan dengan sesiapa saja untuk
berkongsi pendapat. Ini sifat yang terpuji.

Pesan ini untuk diri saya sendiri, kerana saya banyak mengajar. Supaya
saya tidaklah merasa yang saya ini lebih pandai dari orang lain.

Belajarlah dan berlatihlah tanpa jemu, sebab kita tidak ada 100 tahun
untuk fotografi.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah
Hakcipta Terpelihara – fototeacher.com 2008.

Add me into your facebook – Hasnuddin Abu Samah
facebookhasnuddin.jpg

November 21, 2008 Categorized under Fikiran

Kamera Untuk Tutup Malu

Isu kamera murah dan kamera mahal memanglah satu isu yang sentiasa
dibincangkan. Orang baru dalam fotografi sentiasa terdorong untuk
membeli kamera yang tercanggih yang ada di pasaran, yang kadangkala
membebankan dari segi kewangan. Sindrom ini jadi makin kronik bila
kawan-kawan selalu ‘racun’ kita untuk beli kamera dan accessories yang
terbaru dan terbaik di pasaran.

Dari pemerhatian saya, ini terjadi kerana orang baru dalam fotografi
tiada keyakinan pada diri sendiri. Mereka kurang pengetahuan fotografi
dan kurang pengalaman. Jadi, untuk menutup kelemahan diri, ramai yang
ambil jalan mudah – beli kamera mahal lagi canggih, dengan harapan,
gambar yang dirakam akan jadi hebat secara otomatik. Malangnya,
pendapat ini tidak benar.

Orang baru harus banyak belajar, banyak bertanya, banyak mengkaji dan
banyak berlatih merakam gambar. Dengan cara ini, anda akan cepat
pandai. Anda akan dapat keyakinan diri. Anda perlu yakin, bahawa, yang
membuatkan gambar yang anda rakam itu cantik adalah kemahiran yang ada
pada diri anda, bukannya disebabkan oleh kamera yang canggih.

Bila anda masuk bidang fotografi dan ingin jadi jurugambar, pastikan
bahawa, minat utama anda ialah untuk hasilkan gambar yang baik, bukan
mengumpul berbagai jenis peralatan kamera dan membeli setiap kamera
keluaran terbaru. Maksudnya, jika ingin jadi jurugambar yang baik,
anda harus fokuskan masa dan wang anda lebih kepada pembelajaran dan
penguasaan kemahiran fotografi. Kamera hanyalah sekadar alat.

Jika anda ada kamera mahal, kamera tersebut akan jatuh harganya
selepas beberapa tahun.  Tapi jika anda ada ilmu dan kemahiran
fotografi dalam diri anda, ianya tidak akan jatuh nilai, malah nilai
diri anda sebagai seorang jurugambar akan sentiasa naik dengan setiap
kemahiran dan ilmu yang anda perolehi.

Tidak salah membeli peralatan kamera mahal jika anda mampu. Tapi,
sebagai jurugambar, pastikan bahawa, kemahiran anda sentiasa lebih
hebat dari kamera anda. Janganlah hanya sekadar bergaya dengan
peralatan hebat, tapi takut nak tunjuk hasil gambar.

Memang ada golongan yang digelar camera collector. Ianya juga satu
hobi yang baik dan menarik. Tapi, kalau anda ingin dikenali sebagai
jurugambar, anda lebih patut rakam dan collect gambar yang baik, bukan
collect peralatan kamera.

- Hasnuddin

Ingin dapatkan artikel-artikel fotografi secara percuma dan dihantar terus kepada e-mel anda? Sila langgan newsletter percuma kami di – http://fototeacher.com/subscribe.htm

Add me into your facebook – Hasnuddin Abu Samah
facebookhasnuddin.jpg

November 12, 2008 Categorized under Fikiran

Photographer Diam & Photographer Bising

Pertama sekali, saya rasa, saya ni tergolong dalam kategori photographer bising.

Photographer diam yang saya maksudkan, ialah photographer yang diam-diam ubi, makin tunduk makin berisi. Photographer macam ni sebenarnya ada ramai kat dalam Malaysia ni. Mereka ni semua berilmu tinggi, berpengalaman dan yang paling penting sekali, hasil gambar diaorang ni superbbb. Cuma, diaorang ni tak bising. Diaorang tak berapa ‘bercakap’ dalam forum, tak berapa aktif sesi teh tarik, malah, ada yang tak ada laman web langsung. Kenapa diaorang diam? Sebab diaorang tak ada sebab nak bising di media internet. Biasanya, diaorang ni cari makan guna ‘lubang’ tersendiri, cari makan bukan melalui dunia internet. So, di sini, salute dari saya untuk photographer-photographer diam di seluruh Malaysia! Insyaallah, saya akan reveal photographer diam ni satu persatu tidak lama lagi…(Jika diizinkan)

Photographer bising pulak – macam saya, terpaksa buat bising (saya cuba untuk tidak melebihi had bising yang dibenarkan). Buat bising kat tempat-tempat tertentu seperti blog dan laman web saya untuk cari makan. Untuk bagitau apa yang saya buat, tunjuk apa gambar yang saya shoot dan sebagainya. Ini tidak lebih dari sekadar bertujuan untuk mempromosi dan memasarkan produk niaga yang saya ada sekaligus berkongsi sedikit sebanyak pengetahuan yang ada. Jadi, harap anda fahamlah golongan jurugambar bising macam saya. Bukan nak tunjuk pandai, kalau salah harap dimaafkan.

- Hasnuddin

Dapatkan berita terbaru mengenai program fototeacher, promosi, artikel dan sebagainya. Langgan newsletter percuma dari kami. Sila klik di sini – http://fototeacher.com/subscribe.htm

November 10, 2008 Categorized under Fikiran

Kreatif Tak Tentu Hala @ Syok Sendiri

Tadi saya sempat dengar feedback dari sorang client yang tak berapa puas hati dengan hasil gambar yang dia dapat. Client ni baru kahwin. So, semasa majlis perkahwinan dia baru-baru ini, dia dah hire satu orang photographer. Photographer ni banyak shoot gambar-gambar ala-ala kreatif dengan ‘trend terkini’.

Masalahnya, client ni sudah melepasi usia ‘remaja’ dan jenis yang ada class (Seriously, dia memang ada class). Client macam ni biasanya tak berapa suka gambar yang terrrlalu kreatif dan style gila-gila. Gambar hip hop ni biasanya hanya digemari oleh pengantin remaja. Pengantin yang bukan remaja dan dari golongan pertengahan ke atas, lebih suka gambar standard yang cantik dengan sedikit sentuhan kreatif. Jadi, jurugambar seharusnya tahu, gambar jenis macamana yang boleh tackle hati pengantin.

Kalau shoot gambar kreatif yang berpada-pada, saya rasa, ramai orang boleh terima. Kreatif tu memang bagus. Yang menjadi masalah sekarang ni, gambar kreatif yang dah jadi karya syok sendiri; gambar yang dirakam tanpa memikirkan ‘hati dan perasaan’ orang lain.

Ramai jurugambar sekarang terikut-ikut dengan trend dan pelbagai gaya fotografi. Yang mengikut tu pulak tau tau kenapa dia mengikut. Yang dia tau, dia ikut saja. Orang shoot pakai fish eye lens, dia ikut. Orang shoot low angle, dia ikut. Orang shoot candid, dia ikut.

Nak shoot pakai lens fisheye, kenalah tengok subjek yang sesuai. Bukan semua subjek sesuai dirakam guna lens fisheye. Kalau boleh, janganlah letak muka subjek kat bucu framing sampai kembang muka subjek kita tu dek distortion. Kita sebagai jurugambar memanglah suka efek distortion dan perspective yang unik ni. Tapi, kita kena tanya diri kita, siapa yang bayar kita ambik gambar ni? Dia suka ke apa yang kita suka? Client ni, selalunya dia tak complaint depan-depan kita – maklumlah, orang Melayu penuh dengan sopan santun. Tapi, saya banyak kali dengar client complaint pasal kes gambar herot dan kembang ni. OK, sebelum saya diserang, saya nak buat disclaimer. Kalau ada jurugambar yang memang confirm kata client dia sangat suka gambar muka herot dan kembang – then, go ahead. Janji client suka. Lagi satu, pasal isu distortion ni, saya bercakap untuk wedding photography saja. Bidang fotografi lain seperti fine art, photojournalism dan sebagainya, saya taknak komen pasal distortion. Itu dah tajuk lain.

Lagi satu pasal shooting dari low angle. Shoot dari low angle ni memang dah ada dalam teknik fotografi sejak zaman Tok Kadok lagi. Cuma sekarang ni dah terover popular. Kalau nak shoot low angle tu memanglah boleh. Tapi, kena tengokla jugak kalau-kalau angle tu mencacatkan gambar, terutamanya muka subjek kita. Satu orang client ni complaint kat saya, ada sorang jurugambar ni banyak shoot gambar kahwin dia dari low angle. Kata client ni, lubang hidung dia nampak besar dari low angle. Lubang hidung dia ni dahlah memang besar, shoot pulak dari low angle, memang nampak lubang hidung je la.

Lagi satu complaint yang selalu saya dengar dari client ialah pasal photographer shoot gambar kandid budak-budak. Budak-budak kecik ni memang comel. Tapi, kalau boleh, kena tengok jugak, apa hubungan budak kecik tu dengan pengantin dan samada pengantin suka atau tidak gambar-gambar kandid macam ni. Janganlah main tembak aje – shoot gambar kandid budak-budak ni sampai 50 frame, macam-macam gaya, sampai lupa nak shoot gambar pengantin.  Alih-alih, budak tu rupanya anak kepada kawan kepada pakcik kepada jiran kepada mamat yang supply P.A. System kat majlis kahwin tu. Tak ke haru…Gambar budak tu pulak dah dimasukkan dalam custom album, dengan centre spread layout. Double haru…

Minta maaf kalau saya ada menyinggung mana-mana pihak dalam artikel ni. Sekadar berkongsi dan menyampaikan apa yang saya dengar dari pelanggan – untuk kebaikan kita bersama. Apa yang saya tulis, hanya betul bagi pendapat saya dan saya percaya, ada pendapat lain yang betul jugak. Harap anda boleh kongsi pengalaman dan pendapat anda di ruangan komen di bawah ni. Harap tulis secara berhemah.

- Hasnuddin

Sila layari laman web rasmi fototeacher di http://www.fototeacher.com

August 18, 2008 Categorized under Fikiran

DSLR Terunggul

hasselbladh3d.jpg

DSLR Terunggul
Oleh Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

Sejak 4 hari lalu seorang rakan lama acapkali menelefon saya untuk bertanya tentang kamera yang dia patut beli. Sehari sampai 3-4 kali beliau menelefon untuk bertanya DSLR apa yang bagus dan ciri-ciri yang dimiliki setiap satu model. Saya agak kebingungan untuk menjawab, kerana soalan tersebut terlalu umum. Setelah menerangkan perihal beberapa model popular di pasaran, saya bertanya kembali beberapa soalan kepadanya:

1) Beli kamera untuk apa? Adakah untuk ambil gambar keluarga dan percutian atau untuk dijadikan hobi?
2) Berapa budget sekarang dan adakah bersedia untuk menambah perbelajaan berkenaan kamera di kemudian hari?
3) Berapa kerapkan rasanya kamera tersebut akan digunakan?
4) Jika untuk hobi, gambar jenis macam mana yang minat untuk diambil?
5) Bersediakan untuk melabur masa dan wang untuk belajar teknik fotografi?

Beliau tidak pasti tentang jawapan untuk kebanyakan soalan di atas. Akhirnya saya menasihatkannya untuk membeli kamera compact sahaja.

DSLR bukan untuk kegunaan semua orang. DSLR juga tidak menjamin gambar anda 100% cantik.

Oleh Amir Ridhwan untuk fototeacher.com
Disunting oleh Hasnuddin

LANGGAN NEWSLETTER PERCUMA DARI fototeacher.com! Anda akan diberitahu secara otomatik melalui e-mel sekiranya ada sebarang artikel baru, promosi, program baru, berita terkini dan sebagainya. Untuk melanggan newsletter percuma ini, sila ke – http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

June 30, 2008 Categorized under Fikiran

Kerana fototeacher, saya banyak belajar.

Saya menubuhkan fototeacher kerana ingin memberikan khidmat latihan dan pembelajaran fotografi kepada umum. Tetapi, sejak ada fototeacher, saya sendiri banyak belajar perkara baru mengenai fotografi. Selalunya, saya akan ‘terpaksa belajar’ bila:

  1. Peserta bertanya soalan kepada saya dalam kursus yang diadakan. Ada soalan yang saya tak boleh jawab. Jadi, saya mencari jawapan dan belajar lagi untuk menjawab soalan tersebut.
  2. Sebelum mengajar, saya akan buat persediaan tambahan dengan membaca buku fotografi terutamanya mengenai perkembangan terbaru. Kalaulah saya tidak mengajar, tentu malas saya nak membaca
  3. Dalam usaha menulis blog, adakalanya saya kehabisan idea. Jadi, saya ‘terpaksa’ menambah pengetahuan saya dengan membuat pembacaan yang kemudiannya akan dikongsi dengan anda semua.

Saya rasa bertuah kerana boleh sama-sama belajar. Terima kasih kepada anda semua kerana membuatkan saya terus belajar.

Hasnuddin

June 20, 2008 Categorized under Fikiran

Gambar Seni – Pejabat Bankrap

Pejabat yang telah bankrap pun boleh jadi satu subjek fotografi yang sungguh menarik.

Apabila Mr. Toledano merakam suasana pejabat yang telah ditinggalkan ini, beliau berkata – “Everywhere I went I found signs of life, interrupted”. Terjemahannya lebih kurang – “Kemana pun saya pergi, saya jumpa tanda kehidupan yang telah terganggu”

Ini adalah salah satu gambar menarik yang dirakam di salah sebuah pejabat yang telah ditinggalkan, setelah perniagaannya diisytiharkan muflis.
bankcrupt-office1.jpg

Untuk melihat keseluruhan koleksi dalam siri ini, sila layari laman web Mr. Toledano di – http://mrtoledano.com/frame_bankrupt.php

Jadi, sekarang ni, mari kita fikir-fikirkan apa agaknya subjek biasa yang kita tak pernah terfikir sebelum ni yang ada potensi untuk dijadikan gambar yang menarik…

Hasnuddin

Untuk kursus fotografi, sila layari laman web kami – http://www.fototeacher.com