Archive for the “Fikiran” Category

October 18, 2009 Categorized under Fikiran, video

Pencuri gambar

Pencuri gambar
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Ada beberapa kes yang hangat dibincangkan dalam komuniti fotografi tempatan berkenaan perbuatan mencuri gambar. Apa yang berlaku ialah seorang individu yang tidak bertanggung jawab telah memaparkan hasil karya jurugambar lain dalam laman webnya dan menggunakan foto tersebut seolah-olah foto tersebut adalah hasil karya beliau sendiri. Tiada credit yang diberikan kepada jurufoto asal foto-foto tersebut dan dalam kes yang lebih ekstrim, foto tersebut digunakan sebagai portfolio oleh individu terbabit untuk mendapatkan tugasan berbayar.

Kes sebegini berlaku apabila terdapat individu yang ingin mengambil kesempatan dalam dunia digital dan internet. Dengan mencuri gambar orang lain, beliau boleh terus melakukan kempen pemasaran khidmat fotografi  walaupun tanpa pengalaman. Apa yang jelas ialah individu sebegini tidak mempunyai cukup pengalaman dalam bidang fotografi tersebut dan perlu bergantung kepada gambar curi. Client beliau juga adalah mangsa penipuan kerana mengukur kemahirannya berdasarkan gambar hasil kerja orang lain.

Ada juga rakan yang pernah ternampak foto anaknya yang dia sendiri rakam telah digunakan untuk cetakan umum. Foto tersebut telah dimuat turun daripada lawan web mangsa dan kemudiannya diolah sebelum dicetak untuk tujuan komersial. Ini semua berlaku tanpa izin daripada jurugambar yang juga pemegang copyright karya tersebut.

Perkara sebegini memang menyusahkan jurufoto lain terutamanya golongan profesional yang cari makan dengan karya fotografi. Ia juga boleh melibatkan reputasi apabila karya seseorang itu dikaitkan dengan individu yang tidak bertanggung jawab yang mana tindakan penipuan beliau mungkin tidak terbatas kepada portfolio sahaja tetapi juga merangkumi perjanjian dengan client beliau.

Terdapat beberapa kaedah untuk mengurangkan risiko gambar dicuri dari internet. Yang terbaik ialah hanya menggunakan laman web sendiri untuk memaparkan karya anda. Dengan laman web peribadi, anda boleh menggunakan flash untuk menayangkan slideshow karya yang mana foto tersebut tidak boleh dimuat turun. Anda juga boleh menggunakan Flickr yang mana terdapat pilihan untuk menggunakan sistem copyright dibawah penyeliaan Creative Commons. Di Flickr anda boleh memilih sejauh mana foto anda boleh digunakan pihak ketiga berdasarkan syarat dan terma lesen copyright tersebut. Penggunaan watermark dan hanya berkongsi foto pada resolusi rendah boleh juga mengurangkan risiko kecurian dan foto anda disalah gunakan.

Adakah foto anda juga pernah dicuri? Apakah pandangan anda terhadap penggunaan karya foto orang lain untuk tujuan komersial? Harap dapat kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah ini. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Dapatkan artikel terbaru dari FOTOTEACHER.COM secara percuma, dihantar terus ke e-mel anda. Sila langgan newsletter FOTOTEACHER. KLIK DI SINI.

September 12, 2009 Categorized under Fikiran, Personal

Jurufoto BUKAN Jurugambar

Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Teringat, ketika saya menulis surat rasmi kepada Y.M. Profesor Dato’ Raja Zahabuddin, Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Industri UNISEL, beliau telah menegur saya kerana saya telah menggunakan perkataan jurugambar untuk menterjemahkan perkataan photographer. Kata Dato’ Raja, perkataan Bahasa Melayu yang tepat untuk photographer ialah jurufoto, bukannya jurugambar.

Perkataan jurugambar tidak menerangkan dengan tepat bahawa seseorang itu adalah mahir dalam fotografi dan berkarya dengan menghasilkan gambar foto. Sebaliknya, jurugambar bermaksud seseorang yang mahir menghasilkan gambar. Ia tidak menerangkan dengan spesifik media yang digunakan untuk menghasilkan gambar, samada gambar foto, gambar video, gambar lukisan dan sebagainya.

Setelah mendengar nasihat dari Dato’ Raja itu, saya terfikir:

  1. Betapa perkataan jurugambar yang selalu kita guna dan dianggap remeh ini rupanya memberikan perbezaan yang ketara dalam maknanya.
  2. Betapa kagumnya saya dengan ketelitian orang lama lagi berilmu seperti Dato’ Raja dalam hal ini. (Untuk pengetahuan anda, Dato’ Raja adalah diantara orang terpenting dalam penubuhan Kursus Diploma Fotografi ITM )

Saya sendiri memang sudah terbiasa dan selesa menggunakan perkataan jurugambar. Namun, kini kita telah tahu, perkataan paling tepat untuk makna photographer ialah jurufoto. Gunakanlah perkataan jurufoto dalam penulisan rasmi untuk maksud yang paling tepat.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Harap berikan komen anda dalam ruangan di bawah.

SERTAI BERBAGAI KURSUS FOTOGRAFI ANJURAN FOTOTEACHER.COM. SILA KLIK DI SINI.

August 22, 2009 Categorized under Fikiran, Sembang

Etika Jurugambar

Etika Jurugambar
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Fotografi digital merupakan hobi yang sangat mengasyikkan. Ia memberi peluang kepada seseorang untuk menzahirkan kreativiti dengan cara yang agak mudah kerana apa yang perlu dilakukan ialah mencari subjek yang dikehendaki dan merakam foto dengan teknik yang sesuai. Lengkuk pembelajaran teknik juga agak mudah berbanding dengan bidang seni yang lain seperti seni lukis yang memerlukan tempoh pembelajaran yang lama. Dengan teknologi digital, sesiapa sahaja boleh menikmati fotografi dan mahir dalam tempoh yang singkat. Ditambah lagi dengan adanya internet, jurufoto boleh berkongsi ilmu dan juga hasil karya masing-masing.

Dalam keghairahan untuk mencuba perkara baru dalam fotografi, sama ada teknik mahupun perubahan subjek, kita mungkin juga alpa dengan etika yang wajar. Apa yang dimaksudkan ialah bila mana fotografi itu menjadi gangguan kepada orang lain, terutamanya apabila kita merakam foto manusia. Tidak semua orang suka gambar mereka dirakam, terutamanya tanpa izin. Lebih lanjut, mereka mungkin tidak suka jika foto mereka dipaparkan di internet untuk dilihat oleh seluruh dunia. Ini lebih kritikal jika gambar tersebut tidak mencerminkan invididu terbabit sebagaimana yang dikehendakinya seperti gambar kandid ketika menyuap makanan. Saya rasa kebanyakan orang tidak mempunyai niat yang buruk untuk memalukan subjek di dalam foto sebegini, tetapi kita perlu juga sensitif terhadap keterbukaan individu berkenaan.  Jika kita mengambil gambar jalanan secara kandid, adalah lebih elok jika indentiti manusia di dalam foto berkenaan tidak ditonjolkan dengan jelas agar kita tidak mendatangkan masalah dengan tidak sengaja.

Apa yang lebih memeningkan ialah apabila ada segelintir jurufoto yang suka mengambil gambar candid berunsur seksual. Adakala saya melihat foto di forum yang hanya menunjukkan bahagian tubuh wanita yang mengghairahkan secara kandid. Pernah juga berlaku di majlis pertunjukan fesyen di mana seorang jurugambar dilihat cuba mengambil gambar dari bawah skirt seorang model. Perbuatan sebegini mencemarkan imej jurufoto secara keseluruhan dan membawa pandangan serong kepada penggiat foto.

Etika tidak membataskan kreativiti dalam fotografi tetapi ia adalah garis panduan untuk melahirkan kreativiti dengan terpimpin. Jurufoto yang berhemah tidak perlu bergantung kepada populari murahan dengan menayangkan foto separa lucah yang tidak membawa apa-apa erti.

Apa pendapat anda mengenai etika jurugambar? Harap anda dapat kongsikan pandangan anda. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

DAPATKAN ARTIKEL FOTOGRAFI PERCUMA, DIHANTAR TERUS KE E-MEL ANDA. SILA KLIK DI SINI

August 18, 2009 Categorized under Fikiran, Inspirasi & Motivasi, Tips

Muhasabah Fotografi…

Muhasabah Fotografi…
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Setelah sekian lama memiliki DSLR, saya kurang pasti berapa banyak kali saya melepaskan shutter. Pada zaman filem, kita berfikir banyak kali sebelum merakam sesuatu gambar kerana faktor kos yang terlibat tetapi di era digital, fotografi tidak semestinya berakhir dengan gambar tersebut dicetak. Gambar yang dirakam boleh diteliti pada LCD atau di paparam monitor untuk dikaji kelemahannya. Ini membolehkan seseorang meningkatkan kemahiran berterusan dalam tempoh yang lebih singkat.

Oleh itu kita boleh membuat andaian bahawa fotografi digital membantu kebolehan kita berkembang pesat. Ini seharusnya dilihat dengan membandingkan foto yang dirakam pada kala tertentu sejak kita mula berkecimpung di arena ini. Bagi memudahkan perbandingan, elok juga kita bandingkan foto menggunakan peralatan dan genre yang sama. Kita perhatikan kelemahan pada gambar di peringkat awal kita menggunakan DSLR dari segi teknik dedahan asas, kawalan cahaya, komposisi dan pilihan titik fokus.

Sebagai contoh, saya lebih tertumpu kepada fotografi makro dan subjek pilihan saya ialah labah-labah. Lensa utama saya ialah Zuiko Digital 35mm f3.5 macro yang dipasang pada Olympus E-500. Kesemua gambar ini menggunakan peralatan yang sama kecuali gambar pada tahun 2006 yang mana tidak menggunakan flash. Dengan merujuk kepada gambar terpilih, sedikit sebanyak saya boleh melihat perbezaan kemahiran dan kreativiti dalam tempoh tersebut. Ini juga boleh dijadikan ukuran bagi melihat aspek apakah yang saya masih lemah dalam usaha untuk menghasilkan karya yang lebih baik.

9a
Tahun 2006 – Komposisi kurang berkesan, detail juga kurang.

9b
Tahun 2007 – Pencahayaan bertambah elok namun masih ada sedikit highlight.

9c
Tahun 2008 – Depth of field masih boleh diperbaiki, kawalan cahaya semakin baik.

9d
Tahun 2009 – Kawalan cahaya yang hampir sempurna untuk makro.

Dengan membuat penilaian berkala, kita dapat memahami kadar perkembangan kemahiran fotografi kita dalam sesuatu jurusan tertentu. Dari sini juga kita boleh melakukan perbandingan dengan foto jurugambar professional dalam bidang tersebut dan dapat mengukur perbezaan antara kita dan dia. Mungkin satu hari nanti kita dapat menghasilkan karya yang sama taraf dengan hasil jurugambar tersohor dunia.

Adakah anda juga mengkaji dan memperbaiki kualiti gambar anda dari masa ke semasa? Adakah anda berpuas hati dengan perkembangan anda di dalam bidang fotografi setakat ini? Bagaimanakah cara anda belajar dan memperbaiki kemahiran anda dalam fotografi? Mari kongsi kisah anda dengan pembaca lain. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Pelajari asas teknikal fotografi dengan menyertai Kursus Asas Fotografi Digital anjuran FOTOTEACHER.COM. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI.

July 28, 2009 Categorized under Fikiran, Sembang

Jurugambar Kahwin Jadi Tuan Director

Jurugambar Kahwin Jadi Tuan Director
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Beberapa minggu lepas saya menghadiri majlis perkahwinan sepupu saya di sebuah bandar terpencil. Bapa saudara saya ada mengambil seorang Official Photographer (OP) untuk majlis pernikahan dan persandingan anak perempuannya. Saya menulis kerana agak terganggu dengan cara OP mengendalikan majlis tersebut.

Ada beberapa perkara yang saya kurang berkenan. Pertamanya OP meletakkan beg peralatan beliau di atas pelamin ketika majis akad nikah berlangsung. Semua gambar akad nikah yang memperlihatkan pelamin akan melihatkan beg dia. Kemudiannya, bateri kameranya habis dan meminta agar aturcara majlis dihentikan sebentar sementara dia pergi ke beg menukar bateri. Seterusnya beliau mengalihkan perkakas perkahwinan seperti tepak mas kahwin untuk mengambil shot ketika pengantin baru selesai diijab-kabulkan. Apa yang berlaku seterusnya tidak kelihatan seperti majlis perkahwinan tetapi lebih kepada sesi photoshoot kerana OP mengarahkan setiap pergerakan pengantin.

Ini adalah kali pertama saya menyaksikan campur tangan jurugambar yang begitu mendalam. Sebagai ahli keluarga, saya berasa kurang senang kerana majlis perkahwinan telah bertukar sedemikian rupa. Walaupun OP mempunyai tanggungjawab untuk memastikan shot penting diambil tetapi adalah tidak wajar untuk beliau menghentikan aturacara majlis demi mendapatkan sudut sesuai atau menukar susunan prop yang sedia ada secara berlebihan. Mungkin tiada ahli keluarga pengantin yang bersuara tetapi sudah tentu mereka tidak mahu majlis perkahwinan berlangsung seperti itu. Saya harap jurufoto perkahwinan akan lebih prihatin dengan etika ketika menjalankan tugas. Sesuatu majlis bukannya dilangsungkan semata-mata untuk kita mengambil gambar. Kita hanyalah unit auxilliary yang mana kehadiran kita tidak sepatutnya dirasai oleh mereka yang hadir.

Adakah anda pernah mengalami insiden yang hampir sama? Apa pendapat anda mengenai jurugambar yang berperangai sebegini? Harap anda boleh kongsi pengalaman dan pendapat anda bersama pembaca lain. Sila tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Dapatkan artikel fotografi secara percuma, dihantar terus ke e-mel anda. SILA KLIK DI SINI

July 17, 2009 Categorized under Artikel Kreativiti, Fikiran, Gambar, Inspirasi & Motivasi, Personal, Sembang

Rakaman Saya dengan ‘Compact Camera’ di London dan Paris

Rakaman Saya dengan ‘Compact Camera’ di London dan Paris
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Baru-baru ini, saya bersama isteri mengembara ke kota London dan Paris. Kami di sana selama 25 hari. Saya ingin kongsi sedikit gambar semasa saya berada di sana.

Bila mengembara, saya lebih selesa membawa peralatan kamera yang paling minima. Untuk itu, saya hanya membawa bersama sebuah kamera DSLR Nikon D200 dengan lensa 17-55mm f/2.8 dan sebuah kamera compact Canon G7. Jika ke tempat yang banyak subjek menarik, saya akan membawa bersama kamera DSLR yang agak berat itu. Namun, jika sekadar berjalan-jalan, saya cuma membawa kamera compact Canon G7.

Pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda gambar-gambar yang saya rakam di London dan Paris menggunakan kamera compact Canon G7. Bagi saya, kamera ini sudah memadai untuk merakam gambar yang baik ketika saya mengembara. Apa yang penting ialah kefahaman asas teknikal fotografi dan kemahiran komposisi serta artistik. Gambar-gambar yang saya rakam ini bolehlah dikategorikan sebagai gambar Fine Art Photography atau Fotografi Seni Halus. Fine Art Photography adalah antara bidang pengkususan yang saya minati. Tanpa sebarang tekanan komersial, saya lebih bebas berkreatif dan menzahirkan apa yang saya rasa melalui gaya Fine Art Photography. Ianya memang memberi kepuasan.

Mungkin ada diantara anda yang tidak meminati gambar sebegini dan tidak dapat menghargai gambar berunsur Fine Art Photography. Gambar-gambar yang saya rakam ini pun tidaklah sebagus mana. Sekadar ingin berkongsi apa yang saya lihat melalui lensa kamera saya melalui kebebasan mengekspresi rasa.

manwalkingintostation
Suasana malam di sebuah stesyen keretapi yang lengang di bandaraya Paris

lvbag
Beg jenama Louis Vuitton diperagakan secara kreatif di sebuah kedai di kota London

reflectionlondon
Teksi klasik London yang telah dimodenkan, dirakam dengan latarbelakang bangunan baru berkaca yang membalikkan imej bangunan lama di London.

paristrain
Keretapi METRO kota Paris dirakam sedang melepasi sebuah stesyen pada waktu malam. Siling mozek yang membalikkan cahaya lampu-lampu bulat ini telah menjadikan pemandangan stesyen ini lebih menarik.

violinshop
Sebuah kedai menjual biola yang telah ditutup pada waktu malam. Dalam suasana gelap, masih boleh dilihat bentuk silhoutte biola yang dipamerkan di depan kedai. Lampu yang dipasang di dalam kedai pula telah menampakkan beberapa lagi biola yang dipamerkan di dalam kedai. Balikan cahaya langit pada pintu kaca pula menampakkan cahaya kebiruan pada waktu itu.

streetexhibition
Seorang penduduk kota Paris sedang berjalan menuruni tangga ke stesyen keretapi METRO bawah tanah sambil melalui foto besar yang dipamerkan untuk pameran foto jalanan.

manwalkingthedog
Seorang lelaki Perancis membawa anjingnya berjalan pada waktu senja berhampiran Notre Dame, Paris. Penduduk Paris memang terkenal dengan minat mereka memelihara anjing dan membawa anjing mereka bersiar-siar di sekitar kota Paris.

Harap anda suka menatap gambar-gambar yang telah saya pamerkan. Insyaallah, saya akan kongsikan lagi gambar-gambar dan cerita-cerita lain semasa pengembaraan saya ke London dan Paris.

P.S.: Dalam banyak-banyak gambar di atas, gambar yang mana satukah merupakan gambar kegemaran anda? (Jika ada) Harap, boleh berikan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Lain-lain maklumat mengenai kamera Canon G7 – SILA KLIK DI SINI

FOTOTEACHER.COM

Promote Your Page Too

July 15, 2009 Categorized under Fikiran, Tips

Hujan

Hujan
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Untuk fotografi di luar rumah, cuaca yang baik adalah amat penting. Keadaan cahaya yang sesuai adalah penting untuk foto pemandangan dan senibina. Bagi jurufoto nature, cuaca yang elok akan memudahkan operasi memburu subjek. Tetapi ada kalanya kita terpaksa berdepan dengan keadaan yang tidak dirancang seperti hujan.

Oleh kerana tumpuan saya iala nature macro, hujan biasanya membawa berita yang kurang elok untuk sebarang trip. Walaupun cuaca hari tersebut elok tetapi jika hujan pada hari sebelumnya, denai hutan akan menjadi becak dan pacat bermaharaja lela. Tetapi ini tidak bermakna saya tidak boleh menikmati fotografi sepenuhnya. Memang hujan adalah halangan untuk aktiviti yang biasa saya ceburi tetapi hujan juga membawa peluang untuk kita mencuba beberapa jenis foto yang jarang dapat dirakam.

Beberapa corak semula jadi dapat dilihat daripada sudut yang lebih menarik selepas hujan. Manik-manik di sawang labah-labah membawa seribu satu cerita bila dirakam dengan teliti. Titisan air di hujung daun juga adalah satu subjek yang sangat menarik bila menampakkan reflection kawasan sekitar.

3a
Rangkaian titisan air di sawang labah-labah.

3b
Awan hujan yang mendatang.

Di kawasan bandar pula, reflection pada lopak air selepas hujan adalah antara subjek yang boleh diolah dengan pelbagai cara. Gambar sebegini akan memberikan impak yang bagus jika depth of field dikawal dengan rapi agar elemen selain subjek utama kelihatan maya. Jika renyai, gelagat manusia mengharungi kehidupan di kala hujan pun boleh menjadi subjek yang menarik seperti gambar orang melintas jalanraya sambil berpayung.

3c
Reflection di lopak air.

Hujan yang terlalu lebat dan tidak berhenti boleh mengakibatkan bencana alam. Kita boleh membawa kisah sebegini melalui foto. Tidak perlu kita merakamkan detik jambatan runtuh untuk mendapatkan foto yang bagus, cukup kalau kita dapat membawa gambaran keadaan tersebut dengan drama yang jelas. Elemen kemanusiaan akan banyak membantu untuk menguatkan lagi drama, contohnya seperti petani yang mengheret kerbaunya pulang ketika hujan lebat.

3d
Foto sebegini boleh dirakam dari tingkap rumah sahaja.

Fotografi seharusnya dinikmati sepanjang masa tanpa batasan cuaca.

Pernahkah anda mendapat sebarang gambar yang baik ketika hujan? Adakah anda ada lain-lain tips atau kisah yang ingin anda kongsikan bersama? Harap anda boleh tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Untuk menyertai berbagai program latihan fotografi oleh FOTOTEACHER.COM, SILA KLIK DI SINI
Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155 atau e-mel fototeacher@gmail.com

July 9, 2009 Categorized under Fikiran, Tips

Hakikat untuk Jadi Jurugambar Hebat

Hakikat untuk Jadi Jurugambar Hebat
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Tiada jalan pintas untuk jadi jurugambar yang hebat. Pertama sekali, kita perlu ada ilmu. Ilmu boleh didapati dengan belajar. Hadir kursus, baca buku, bertanya kepada yang tahu dan sebagainya. Tetapi, ilmu tanpa amal dan latihan tidak akan menjadikan kita mahir.

Ada sesetengah orang yang menganggap, dengan menghadiri kursus fotografi, mereka akan terus jadi mahir. Tetapi, hakikatnya, kemahiran tidak boleh diperolehi dalam masa yang singkat. Hadir kursus boleh memberikan kita ilmu dan kefahaman. Tetapi, kemahiran hanya akan datang dari latihan dan pengalaman.

Dengan minat yang mendalam, sepatutnya kita akan sentiasa berlatih merakam gambar tanpa rasa jemu dan tidak menganggapnya sebagai beban. Kurang masa dan kurang wang bukan alasan untuk kita tidak berlatih merakam gambar. Kita boleh berlatih merakam gambar dengan mencuba berbagai-bagai teknik dan kemahiran hanya dengan berada di dalam rumah. Tidak perlu pergi jauh. Tidak semestinya mencari subjek yang menarik di luar rumah untuk berlatih merakam gambar.

Tentu sekali, memiliki peralatan kamera yang mahal juga bukanlah satu cara yang boleh menjamin kita untuk menjadi seorang jurugambar yang hebat.

Fotografi bukanlah suatu hobi mudah yang penuh dengan keselesaan. Fotografi adalah untuk orang yang sukakan cabaran. Jika anda ingin berjaya dalam fotografi, anda mestilah sanggup untuk berusaha bersungguh-sungguh dan melupakan jalan pintas.

Bagaimana pula cara anda memperbaiki kemahiran fotografi anda? Mungkin anda ada tips lain yang anda ingin kongsikan bersama. Harap anda boleh tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

July 7, 2009 Categorized under Fikiran, Personal, Sembang

Kesukaran yang Indah di Zaman Sekolah

Kesukaran yang Indah di Zaman Sekolah
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Saya minat fotografi sejak dari saya masih bersekolah di dalam darjah 4. Saya membeli kamera pertama saya pada ketika itu dengan duit tabung sendiri. Saya masih ingat, saya membayar harga kamera RM40 itu dengan duit syiling kesemuanya!

Minat saya dalam fotografi semakin mendalam ketika di sekolah menengah. Fotografi adalah satu hobi yang amat mahal bagi seorang budak sekolah pada masa itu. Saya bukan berasal dari keluarga kaya. Jadi, untuk tampung hobi saya pada ketika itu, saya bekerja sambilan untuk membeli peralatan kamera dan untuk menampung belanja membeli filem. Saya kerap merakam gambar kawan-kawan semasa aktiviti di sekolah dan kemudiannya menjual gambar-gambar tersebut kepada mereka dengan harga 50 sen sekeping. Itu adalah sekitar tahun 1988

Ketika cuti sekolah selepas SRP (Sijil Rendah Pelajaran), saya bekerja di Restoran KFC dengan gaji RM400 sebulan. Duit itu saya gunakan untuk meneruskan hobi saya. Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya menanamkan niat untuk bekerja di kedai gambar untuk lebih mendalami bidang fotografi. Ketika itu, saya tinggal di Butterworth bersama arwah datuk dan nenek saya. Dengan menaiki basikal, saya menebalkan muka, pergi ke beberapa buah kedai gambar di Bagan Luar untuk mendapatkan kerja. Saya tidak berjaya mendapat kerja…

Beberapa ketika selepas itu, disebabkan faktor kasihan, seorang tauke Cina bersetuju untuk berikan saya kerja di kedai gambar miliknya di Kepala Batas. Gaji yang ditawarkan – RM400 sebulan. Saya setuju! Saya sangat gembira! Dengan gaji RM400 itu, setelah ditolak belanja tambang bas dan belanja makan semasa bekerja, saya dapat gaji bersih RM196 sebulan. Dari wang yang saya perolehi, saya kumpul sikit-sikit dan akhirnya berjaya membeli kamera terpakai jenama Yashica 108 dengan harga RM600. Itu adalah pada tahun 1992.

Saya diterima masuk ke UiTM untuk mengikuti kursus Diploma Fotografi pada tahun 1993. Sambil belajar, saya membuat kerja sambilan mengambil gambar dengan upah RM10-50 untuk setiap satu tugasan. Pelanggan saya pada ketika ini terdiri dari pelajar-pelajar dan pensyarah di UiTM. Saya perlu membuat kerja sambilan ini bagi menampung kos pengajian fotografi pada ketika itu. Ketika di tahun kedua di UiTM, saya membuat kerja sambilan dengan lebih serius dengan upah sekitar RM150 untuk setiap tugasan separuh hari. Pada tahap ini, saya sudah mula berurusan dengan pelanggan-pelanggan dari luar universiti yang terdiri dari pengantin, mak andam, ejen fotografi dan syarikat koprat.

Saya telah melalui banyak cabaran di sepanjang penglibatan saya di dalam fotografi. Tetapi, saya bersyukur dengan cabaran dan kesukaran yang telah saya tempuhi. Cabaran inilah yang telah menjadikan saya semakin matang dan kuat. Setelah saya kecapi apa yang saya ada pada hari ini, kenangan menghadapi kesukaran di masa lalu terasa begitu manis dan berharga.

Inilah pengalaman saya. Pengalaman sebenar. Pengalaman yang telah banyak mengajar saya. Pengalaman yang membuatkan saya bersyukur.

Mungkin anda juga ada pengalaman menarik di sepanjang penglibatan anda di dalam fotografi. Harap anda boleh kongsi kisah anda dengan pembaca lain. Sila tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

June 12, 2009 Categorized under Fikiran

MULA BOSAN DENGAN FOTOGRAFI?

MULA BOSAN DENGAN FOTOGRAFI?
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Adakah keseronokan anda dalam fotografi sudah mulai berkurangan? Kalau dulu tiap-tiap hari pegang kamera, sekarang cuma pegang kamera sebulan sekali? Jangan risau, gejala ini memang biasa berlaku kepada peminat fotografi. Berikut ini saya berikan beberapa panduan agar anda sentiasa bersemangat untuk mengambil gambar:

Cari minat anda yang sebenar dalam fotografi. Adakah anda beli kamera kerana sukakan teknologi atau kerana berpeluang untuk mengembara? Adakah anda beli kamera kerana suka merakam gambar anak-anak anda atau kerana ingin kelihatan glamour? Atau, adakah kerana anda suka bila gambar anda dipuji? Adakah anda membeli kamera untuk menjana pendapatan darinya? Fikirkan semula, kenapa anda menceburkan diri dalam fotografi? Tidak kira apa pun jawapannya, kekalkan halatuju anda seperti niat asal yang boleh memberikan kepuasan kepada diri anda. Tanpa minat, fotografi anda tidak akan kemana. Tanpa kepuasan, hobi anda tidak akan bermakna.

Dapatkan subjek yang anda minati untuk dirakam gambarnya. Pilih bidang kepakaran anda dalam fotografi. Adakah anda minat merakam gambar sukan, gambar potret, gambar pemandangan atau gambar hidupan liar? Anda akan lebih seronok dalam fotografi bila anda merakam gambar subjek yang anda minati. Lebih-lebih lagi subjek yang mana anda adalah pakar mengenainya. Mungkin sebagai seorang arkitek, anda boleh merakam gambar senibina jauh lebih baik dari orang yang bukan seorang arkitek. Anda perlu ingat, fotografi adalah amat luas bidangnya. Ada bermacam-macam pecahan dan pengkhususan dalam fotografi. Pasti ada satu pengkhususan yang amat sesuai dengan jiwa anda. Persoalannya, mungkin anda belum berjumpa dengan subjek kegemaran anda.

Teruskan belajar fotografi secara konsisten. Perbaiki kemahiran anda dari masa ke semasa dengan cara selalu merakam gambar. Ada banyak cara untuk belajar. Anda boleh membaca buku, majalah, artikel di internet, menghadiri kursus, belajar dengan rakan dan sebagainya. Apa yang penting, anda perlu sentiasa menambahkan pengetahuan anda di dalam fotografi agar anda akan sentiasa ada teknik baru untuk dipraktikkan. Dengan berbagai teknik baru yang digunakan, fotografi anda akan lebih menyeronokkan.

Letakkan matlamat yang perlu anda capai di dalam fotografi. Letakkan matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang. Mungkin anda boleh letakkan matlamat supaya gambar yang anda rakam akan disiarkan di dalam majalah dalam tempoh 3 bulan dari sekarang. Atau, anda boleh letakkan matlamat untuk menguasai kemahiran penggunaan flash 1 bulan dari sekarang. Cabar diri anda untuk mencapai matlamat yang telah anda tetapkan. Setiap kali anda berjaya mencapai matlamat ini, anda pasti akan mendapat kepuasan!

Jika anda menjadikan fotografi sebagai hobi, cuba jana sedikit pendapatan dari fotografi. Pendapatan yang diperolehi tidak perlu banyak, cukup sekadar untuk menampung kos anda menjalankan hobi di dalam fotografi. Alangkah seronok jika kemahiran anda di dalam hobi ini boleh menampung sendiri kos anda untuk mengembara merakam gambar atau membeli kamera baru.

Cari rakan fotografi yang mempunyai minat, citarasa dan kemampuan yang sama dengan anda. Cari rakan yang serasi dengan anda. Tanpa kawan di dalam fotografi, memanglah sesuatu yang membosankan. Dengan adanya kawan yang baik, anda boleh saling berkongsi pengetahuan, pengalaman, malah anda boleh saling berkongsi peralatan kamera anda. Kawan yang sama minat juga akan saling memberikan motivasi untuk terus memperbaiki kemahiran kita di dalam bidang fotogafi. Jika anda seorang jurugambar yang minat memperbaiki kemahiran fotografi, anda mungkin tidak sesuai berkawan dengan jurugambar yang hanya berminat untuk membeli peralatan terbaru. Pilih kawan yang sesuai supaya anda tidak rasa rendah diri atau rasa terlalu ketinggalan.

Kini, tibalah masanya anda pertimbangkan semula hala tuju anda dalam fotografi. Ambil masa untuk berfikir dan merancang untuk menyegarkan semula minat anda. Jangan rakam gambar hanya kerana ikut-ikutan. Kenali diri anda sendiri. Jadi diri anda sendiri. Buat apa yang ingin anda buat.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

HAKCIPTA TERPELIHARA FOTOTEACHER.COM! DILARANG MENGGUNAKAN SEMULA ARTIKEL INI TANPA KEBENARAN BERTULIS DARI FOTOTEACHER.COM

SERTAI GROUP FOTOTEACHER DI FACEBOOK UNTUK BERBAGAI AKTIVITI MENARIK. SILA KLIK DISINI!

April 22, 2009 Categorized under Fikiran

Belajar Fotografi Dari Ramai Guru

Belajar Fotografi Dari Ramai Guru
Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Kita tidak boleh terlalu taksub dengan seorang guru tertentu. Bila saya mengajar fotografi, saya akan ingatkan pelajar saya supaya jangan terima bulat-bulat pendapat dan cara saya. Saya juga selalu ingatkan supaya, selepas belajar dengan saya, belajarlah lagi dengan guru lain. Saya tidak tahu semua perkara dalam dunia fotografi. Tidak ada orang yang pakar dalam semua bidang. Jadi, belajarlah dari ramai guru kerana setiap orang guru mempunyai kepakaran yang tersendiri.

Jika guru lain menyampaikan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang saya ajarkan, janganlah terus membuat tuduhan guru mana yang salah. Sebaliknya, gunakanlah akal fikiran sendiri untuk membuat keputusan, pendapat mana yang lebih sesuai dengan diri kita.

Saya pernah terjumpa seorang jurugambar baru yang terlalu mendewakan gurunya yang seorang itu. Baginya, hanya seorang guru sahaja yang betul. Apa saja pendapat dari guru lain akan ditolak mentah-mentah. Alangkah ruginya jika kita bersikap seperti ini kerana ilmu kita takkan berkembang dan bertambah.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Untuk mengikuti kursus dan bengkel fotografi anjuran fototeacher, sila ke – http://www.fototeacher.com
Untuk mendapat artikel dan informasi percuma dari fototeacher, sila ke – http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

April 4, 2009 Categorized under Fikiran, Personal

Sifu Hasnuddin, Otai Fotografi.

Sifu Hasnuddin, Otai Fotografi.
Oleh Hasnuddin Abu Samah

Ada beberapa orang baru dalam fotografi yang anggap saya otai (old timer) yang berpengalaman luas dalam fotografi. Ada di antara mereka yang panggil saya sifu (guru) yang mempunyai ilmu tinggi dalam fotografi.
Tapi, hakikatnya, saya bukanlah otai dan saya tidak layak dipanggil sifu.

Di luar sana, masih ada ramai otai dan sifu sebenar yang kebanyakan kita tidak mengenali mereka. Mereka tidak berada dalam ‘dunia’ yang sama dengan kita. Kalau kita mahu ‘melihat’ mereka, kita kena bersungguh-sungguh mencari mereka. Mereka jarang ada dalam dunia internet. Mereka juga tidak begitu popular dalam dunia internet.

Walaupun saya telah menceburi bidang fotografi secara profesional sejak tahun 1996, namun, saya masih belum cukup otai. Bagi saya, otai sebenar adalah orang yang telah menjadi jurugambar profesional sejak saya masih belajar tentang aperture dan shutter speed lagi. Malah ada otai yang sudah mula cari makan dengan fotografi sejak zaman filem hitam putih!

Walaupun saya kerap mengajar fotografi, tetapi saya rasa, saya masih belum layak dipanggil sifu. Mungkin, kalau pelajar saya hendak tunjuk tanda hormat, saya boleh terima panggilan cikgu. Tapi, bukan sifu. Bagi saya, sifu hanya layak dipanggil kepada individu yang pakar dalam bidangnya dan berada pada tahap tertinggi bidang itu pada sesuatu zaman. Kalau saya panjang umur, lagi 30 tahun, mungkin saya boleh dipanggil sifu.

Saya ingin kita semua letakkan benchmark yang tinggi dalam industri fotografi di Malaysia. Biarlah gelaran sifu diberikan kepada mereka yang betul-betul layak sahaja. Tidak perlulah bodek sesiapa dengan memanggil mereka sebagai sifu. Saya percaya, orang yang dibodek itu pun rasa segan bila dipanggil sifu. Kalau dia rasa bangga dipanggil sifu, maknanya, dia bukan sifu betul.

Bagi saya, sifu fotografi secara akademiknya adalah individu yang sekurang-kurangnya memegang ijazah (Master) dalam bidang fotografi. Dari segi bukan akademik pula, iaitu dalam bidang profesional, bagi saya, sifu adalah jurugambar yang terlibat secara profesional dalam bidang fotografi selama lebih dari 20 tahun dengan pencapaian yang cemerlang.

Oleh Hasnuddin Abu Samah

DAPATKAN ARTIKEL FOTOGRAFI PERCUMA!
Jika anda ingin kami menghantar artikel-artikel fotografi secara otomatik ke e-mel anda, sila langgan newsletter percuma dari fototeacher di sini – http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

March 30, 2009 Categorized under Fikiran

Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?

Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?
Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Kadangkala kita takut melihat ribuan orang yang mendakwa diri mereka sebagai jurugambar. Begitu ramai sekali jurugambar sekarang ini. Mana mungkin kita boleh bersaing dalam keadaan begini. Masih adakah harapan untuk kita  berjaya dalam perniagaan fotografi?

Kita harus melihat fenomena ini dari sudut yang positif. Kebanjiran peminat fotografi di seluruh dunia ketika ini telah membuatkan harga peralatan kamera menjadi jauh lebih murah dari sebelumnya. Ini kerana, produk kamera boleh dikeluarkan secara besar-besaran dan ini telah dapat menurunkan harganya. Proses perkongisan ilmu fotografi juga telah menjadi lebih mudah kerana adanya komuniti yang besar dalam bidang ini.

Cuma, apa yang tidak menyenangkan ialah, dari sudut perniagaan, nilai perkhidmatan fotografi dikatakan telah menurun. Akibat persaingan yang terlalu sengit, ada segelintir jurugambar memotong harga untuk membolehkan dirinya mendapat sesuatu kerja atau tugasan fotografi. Namun, pada pendapat saya, jurugambar yang memotong harga secara keterlaluan, akan memakan diri sendiri dalam jangka masa panjang.

Jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan anda, anda tidak perlu risau akan kebanjiran peminat fotografi sekarang. Majoriti peminat fotografi hanya menjadikan fotografi sebagai hobi. Peluang perniagaan dalam fotografi masih terbuka luas. Anda cuma perlu kreatif dalam mencari peluang. Masih ada banyak bidang pasaran fotografi yang masih belum diterokai.

Di kalangan jurugambar yang menjadikan fotografi sebagai punca pendapatan pula, bukan semuanya benar-benar serius. Ada yang sekadar cuba-cuba. Ada yang melakukannya secara sambilan untuk tempoh yang singkat sahaja. Untuk menjadi seorang jurugambar profesional bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang kita sangkakan. Merakam gambar untuk wang memerlukan disiplin, kerja kuat, kemahiran tinggi, kecepatan, sanggup menghadapi risiko kewangan, sanggup menerima tekanan dari pelanggan dan sebagainya. Hanya yang kuat akan berjaya.

Ya, jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan anda, peluangnya masih ada.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Untuk mengikuti kursus dan bengkel fotografi anjuran fototeacher, sila ke – http://www.fototeacher.com
Untuk mendapat artikel dan informasi percuma dari fototeacher, sila ke – http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

March 22, 2009 Categorized under Fikiran

Ilmu Rahsia Fotografi

Ilmu Rahsia Fotografi
Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Ilmu fotografi seharusnya dikongsi bersama tanpa menyembunyikan apa-apa rahsia. Namun, bukan semua ilmu akan diajarkan sewenang-wenangnya kepada semua orang. Ada beberapa ilmu yang tidak mudah didapati.

Ilmu rahsia perniagaan atau ‘trade secret’ adalah ilmu fotografi yang paling susah untuk didapati. Ini kerana, ilmu ini, jika didedahkan kepada umum akan menjejaskan perniagaan seseorang itu. Bagi sesetengah orang, mendedahkan ilmu ini umpama membunuh diri sendiri. Biasanya, seseorang jurugambar tidak akan mendedahkan teknik tertentu beliau yang menjadikan karyanya unik. Jika beliau mendedahkan teknik ini secara umum, jurugambar tersebut tidak akan ada sebarang keistimewaan lagi.

Jurugambar juga jarang ingin berkongsi pembekal (supplier) bagi produk tertentu. Pembekal kepada produk ini menjadi seakan ibu duit kepada perniagaannya. Jika semua orang ada produk yang serupa, perniagaan beliau dikhuatiri tidak akan mampu bersaing lagi. Contohnya, jika seseorang jurugambar mempunyai pembekal album gambar yang yang cantik tetapi murah, beliau amat berat untuk mendedahkan dimana beliau membeli album gambar tersebut.

Walaupun jurugambar cuba merahsiakan beberapa perkara yang beliau ketahui, bukanlah bermakna rahsia itu tidak boleh didedahkan langsung. Sesuatu rahsia itu boleh didedahkan kepada orang yang tertentu. Jika seseorang itu menunjukkan minat yang mendalam, bersungguh-sungguh serta sedia membuat kebaikan kepada si penyimpan rahsia, rahsia itu tentu sekali boleh dibocorkan.

Saya faham dan setuju, rahsia perniagaan harus dikawal rapi. Namun, ilmu fotografi umum harus dikongsikan bersama, tanpa rahsia. Bagi saya, orang yang kedekut ilmu ialah orang yang tidak cukup ilmu. Sebab itulah dia fikir, jika dia mengajarkan ilmunya, ilmunya akan cepat habis!

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

March 15, 2009 Categorized under Fikiran

APA ITU BULB?

APA ITU BULB?
Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Pada kamera DSLR kita, kita akan jumpa pelarasan shutter speed yang dinamakan BULB. Apabila kita menggunakan setting BULB, shutter akan terbuka apabila shutter release button ditekan. Selagi kita tidak lepaskan shutter release button tersebut, selagi itulah shutter akan terus terbuka. Ini bermaksud, anda boleh tentukan sendiri berapa lama shutter ingin dibuka.

Kebanyakan kamera DSLR mempunyai kawalan shutter speed diantara kelajuan 1/4000 saat sehingga ke 30 saat. Jika anda ingin membuka shutter lebih lama dari 30 saat, anda boleh laraskan kawalan shutter kepada BULB.

Setting BULB biasanya digunakan dalam keadaan cahaya yang kurang seperti di waktu malam. Dengan membuka shutter dalam satu tempoh yang panjang, lebih banyak cahaya akan masuk. Dengan ini, suasana yang gelap akan dapat dicerahkan.

Tapi, bila menggunakan slow shutter, anda perlu pastikan kamera berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang gegaran. Anda boleh gunakan tripod untuk mengatasi masalah ini. Anda juga perlu pastikan subjek anda tidak bergerak apabila menggunakan slow shutter.

Mengapa BULB dinamakan BULB?

BULB mendapat namanya dari ‘flash bulb‘. Pada zaman awal fotografi, apabila jurugambar ingin merakam gambar dengan flash bulb, mereka perlu membuka shutter dalam tempoh yang agak panjang. Setelah shutter terbuka, flash bulb akan dipancarkan secara manual oleh jurugambar. Setelah itu, jurugambar perlu menutup semula shutter. Sebab itulah, shutter perlahan dimana kita kawal bila ianya dibuka dan ditutup dinamakan BULB.

Jurugambar zaman lalu perlu menggunakan BULB apabila ingin merakam gambar menggunakan flash. Ini berbeza dengan teknologi sekarang. Kini Flash boleh dipancarkan secara otomatik sebaik shutter terbuka. Ini juga disebut sebagai flash synchronization.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah