Archive for the “Fikiran” Category

January 30, 2012 Categorized under Artikel Teknikal, Fikiran

Apakah Jenama Kamera yang Terbaik?

Apakah Jenama Kamera yang Terbaik?
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Ini mungkin satu soalan yang paling kerap ditanya oleh peminat fotografi yang baru menceburi bidang ini – “Apakah jenama kamera yang terbaik?” Sebenarnya, tidak ada satu jawapan yang tepat untuk soalan ini – semuanya bergantung kepada keperluan dan citarasa setiap individu. Namun, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu bagi membantu anda mendapatkan jawapan kepada persoalan ini.

Ada banyak jenama kamera di pasaran. Ada sesetengah jenama yang jarang didengari kerana mereka mengeluarkan kamera khas untuk golongan tertentu sahaja. Contohnya, jenama kamera Horseman dan Sinar mengkhusus dalam pembuatan View Camera dan kamera berkualiti tinggi yang hanya digunakan oleh segelintir jurufoto yang mengkhusus dalam bidang tertentu.

Ada pula sesetengah jenama yang lebih dikenali sebagai pengeluar jenis kamera yang tertentu. Contohnya, jenama Leica lebih popular sebagai pengeluar kamera jenis Rangefinder (walaupun Leica turut mengeluarkan kamera compact dan DSLR) Jenama Hasselblad pula lebih dikenali sebagai pengeluar kamera Medium Format yang ulung. Kedua-dua jenama ini menghasilkan kamera berkualiti tinggi dan harga kamera mereka jauh lebih mahal dari kamera DSLR yang biasa kita gunakan.

Jadi, dari segi kualiti gambar, kamera berjenama Hasselblad bolehlah dikatakan sebagai di antara beberapa kamera yang terbaik di dunia. Tetapi, ianya bukan kamera yang sesuai untuk semua orang kerana harganya yang sangat mahal dan kameranya lebih besar dan lebih berat dari kamera DSLR biasa. Walaupun kualitinya baik, tetapi kamera ini tidak semestinya menjadi pilihan terbaik untuk kebanyakan orang.


Kamera medium format jenama Hasselblad (Foto dari Hasselblad)

Untuk kamera jenis DSLR, antara jenama yang popular adalah – Nikon, Canon, Sony, Olympus dan Pentax. Sebenarnya, selain dari kualiti kamera itu sendiri, populariti jenama-jenama ini turut dipengaruhi oleh strategi pemasaran dan penjenamaan yang dibuat oleh mereka di sesuatu negara tertentu. Contohnya, ada sesetengah jenama kamera yang lebih popular di Jepun, tetapi kurang popular di Malaysia. Jenama yang popular tidak semestinya menghasilkan kamera yang terbaik. Namun, secara umumnya, adalah lebih ‘selamat’ untuk memilih kamera dari jenama yang popular dan ramai penggunanya.

Setiap jenama meletakkan harga yang berbeza kepada peralatan mereka berbanding jenama lain. Peralatan yang berkualiti biasanya berharga lebih mahal. Selain dari itu, prestij sesuatu jenama biasanya akan turut mempengaruhi harga produk yang mereka jual.

Selain memberi perhatian kepada kualiti sesuatu kamera, anda juga harus pertimbangkan mengenai kualiti perkhidmatan selepas jualan yang ditawarkan oleh jenama-jenama kamera ini. Adakah mudah untuk memperbaiki kamera yang rosak misalnya? Adakah perkhidmatan yang diberikan cepat dan berharga patut?

Setiap syarikat atau jenama pengeluar kamera mempunyai misi dan visi mereka yang tersendiri. Ada jenama yang lebih maju dari segi teknologi, ada jenama yang lebih mengutamakan kualiti, ada jenama yang lebih cenderung membuat kamera bersaiz kecil dan sebagainya.

Satu lagi perkara penting yang perlu anda ketahui ialah, setiap jenama kamera mempunyai sistemnya yang tersendiri yang tidak sama dengan sistem kamera dari jenama lain. Peralatan seperti kamera, lensa dan flash dari jenama tertentu majoritinya hanya boleh digunakan di kalangan jenama yang sama sahaja. Contohnya, kamera jenama Canon tidak boleh menggunakan lensa dari jenama Nikon (kecuali dengan pengubahsuaian khas) Malah, ada juga peralatan dari jenama yang sama tetapi tidak boleh digunakan untuk model yang berbeza. Jadi, adalah penting untuk anda pastikan setiap peralatan yang akan dibeli boleh digunakan dengan peralatan yang telah sedia ada. Isu keserasian peralatan ini lebih dikenali sebagai compatibility.

Selain dari serasi dengan jenama yang sama, setiap kamera juga boleh berfungsi dengan peralatan dari jenama lain asalkan peralatan tersebut dibuat agar serasi dengannya. Jenama seperti Tokina, Tamron dan Sigma membuat berbagai lensa yang sesuai digunakan oleh kamera dari jenama lain. Syarikat ini dikenali sebagai third party lens maker. Biasanya harga lensa yang dibuat oleh syarikat third party berharga lebih murah dari lensa yang dibuat oleh jenama pembuat kamera yang asal. Cuma pastikan lensa third party yang ingin anda beli boleh digunakan untuk kamera anda.

Selain dari lensa yang dibuat oleh syarikat third party, ada juga syarikat third party yang mengeluarkan flash seperti dari jenama Metz dan Nissin yang serasi digunakan dengan kamera dari jenama Nikon, Canon dan sebagainya.

Sebelum anda membuat keputusan untuk membeli kamera dari jenama tertentu, anda perlu fikirkan betul-betul secara keseluruhan dan mengambil kira penggunaan kamera tersebut dalam jangka masa panjang. Ini kerana, sebaik saja anda telah membeli kamera dari jenama tertentu, anda akan ‘terikat’ di dalam sistem kamera itu sahaja. Setiap lensa, flash dan aksesori yang akan dibeli selepas itu mestilah sesuai untuk jenama yang anda gunakan sahaja.

Dalam jangka masa beberapa tahun, anda akan membeli berbagai lensa dan aksesori dari sistem yang sama. Jika pada satu ketika anda ingin menggunakan kamera dari jenama atau sistem lain, anda perlu menjual kesemua peralatan yang telah anda miliki. Ini akan menyebabkan kerugian dan anda juga terpaksa bermula sekali lagi – membeli lensa-lensa dan aksesori baru untuk jenama kamera yang baru anda beli. Penggunaan lebih dari satu sistem kamera dalam masa yang sama biasanya tidak digalakkan kerana ia melibatkan kos yang lebih tinggi.

Satu lagi perkara penting yang perlu diambil kira sebelum membeli kamera ialah – seeloknya anda membeli kamera yang sama jenama dengan kamera yang rakan anda gunakan. Ini akan memberi banyak kemudahan kepada anda dari segi perkongsian maklumat tentang sistem kamera tersebut. Malah, anda boleh bertukar-tukar lensa dan aksesori dengan rakan anda sekiranya keadaan memerlukan.

Setelah anda membandingkan berbagai jenis kamera, anda mungkin akan berhadapan dengan situasi dimana anda perlu memilih satu diantara dua kamera dari berlainan jenama. Setelah membandingkan spesifikasi kedua-dua kamera tersebut, anda mungkin mendapati keduanya adalah hampir sama. Salah satu penyelesaian untuk masalah ini ialah, pilih saja kamera berdasarkan jenama yang anda minati atau pilih saja kamera yang anda suka berdasarkan rekabentuknya semata-mata. Keputusan di sini adalah lebih kepada citarasa anda terhadap imej luaran yang ditampilkan oleh rekabentuk kamera tersebut. Akhir sekali, faktor ini jugalah yang akan membuatkan anda rasa suka dan bangga dengan kamera anda.

Persoalan mengenai jenama kamera terbaik memang sentiasa diutarakan terutamanya oleh peminat fotografi yang baru menceburkan diri dalam bidang ini. Hakikatnya, setiap jenama mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Pilihan adalah di tangan anda – buatlah keputusan berdasarkan keperluan, bajet dan citarasa anda sendiri. Apa pun jenama yang anda gunakan, kemahiran anda dalam fotografi jugalah yang akhirnya akan menentukan tahap kehebatan anda sebagai seorang jurufoto.

Artikel ini dipetik dari Buku Fotografi saya yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai buku ini, sila layari – http://www.fototeacher.com/bukufotografi.html

HAKCIPTA TERPELIHARA. DILARANG MENGGUNAKAN SEMULA ARTIKEL INI DENGAN APA JUA CARA TANPA KEBENARAN BERTULIS DARI FOTOTEACHER.COM


UNTUK MELIHAT PRODUK-PRODUK YANG DITAWARKAN, SILA KLIK DI SINI

October 21, 2011 Categorized under Fikiran, Tips, Umum

Jurufoto Sambilan

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Bagi peminat fotografi baru (beginners), salah satu cara yang paling mudah untuk menjana pendapatan adalah melalui fotografi perkahwinan. Bagi golongan yang mempunyai pendapatan tetap, bisnes fotografi perkahwinan dilakukan secara sambilan. Apabila dilakukan secara sambilan, ada segelintir jurufoto sambilan yang kurang bersungguh-sungguh dalam kerja fotografi perkahwinan. Tanpa minat dan kesungguhan, seseorang itu tidak boleh maju dalam bidang ini.

Tanpa ilmu dan bimbingan yang betul, ada masanya seseorang itu akan terperangkap dalam beberapa masalah. Adakalanya ini akan membuatkan seseorang itu berputus asa lalu meninggalkan terus bidang ini. Selain dari itu, ada juga golongan yang terlibat dalam fotografi perkahwinan dalam satu tempoh masa yang lama, tetapi malangnya mereka tidak memperolehi hasil yang setimpal walaupun telah mengorbankan banyak wang dan masa mereka.

Sebenarnya, jika pekerjaan ini dilakukan dengan cara yang betul, ianya boleh memberikan pendapatan yang lumayan. Sudah terbukti, ramai jurufoto perkahwinan di luar sana yang telah berjaya.

Bidang fotografi perkahwinan nampak mudah pada awalnya. Tetapi, sebenarnya, ia tidak semudah yang disangka. Memang betul, sesiapa sahaja boleh merakam foto perkahwinan, tetapi untuk merakam foto perkahwinan yang berkualiti tinggi, memerlukan ilmu, kemahiran, pengalaman dan usaha yang bersungguh-sungguh. Adalah lebih sukar lagi untuk menjana keuntungan dari fotografi perkahwinan. Seseorang itu perlu ada ilmu perniagaan selain dari ilmu fotografi. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, ilmu perniagaan adalah lebih penting dari ilmu fotografi sekiranya seseorang itu ingin berjaya dalam fotografi perkahwinan.

Ramai jurufoto sambilan menyangka mereka mendapat untung setiap kali mendapat pelanggan. Tetapi, hakikatnya mereka selalu rugi, terutamanya dalam jangka masa panjang. Memanglah setiap kali kerja dilakukan, mereka akan mendapat sedikit wang untung bersih, tetapi, mereka tidak sedar bahawa mereka telah rugi satu perkara yang lebih bernilai, iaitu – masa. Untung bersih yang diperolehi tidak setimpal dengan masa yang telah dikorbankan jika bisnes ini dilakukan dengan cara yang salah.

Antara kesilapan lain yang selalu dilakukan oleh jurufoto perkahwinan yang melakukan kerja secara sambilan ialah:

1)    Menganggap fotografi perkahwinan adalah sebahagian dari hobinya dalam fotografi. Disebabkan itu, mereka tidak begitu kisah dengan jumlah bayaran yang diterima. Mereka tidak faham maksud hobi. Hobi ialah melakukan sesuatu untuk kepuasan diri sendiri, tetapi fotografi perkahwinan bukan satu hobi kerana kita perlu merakam gambar untuk kepuasan pelanggan.

2)    Membelanjakan wang dengan cara yang salah untuk membeli kamera, lensa dan lain-lain peralatan fotografi yang sebenarnya tidak diperlukan. Mereka menyangka, peralatan yang mahal boleh memajukan perniagaan mereka, tetapi sebenarnya itu tidak benar. Kesilapan pengurusan kewangan ini boleh mengundang masalah lain yang lebih besar. Mereka sepatutnya turut memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan pemasaran, modal pusingan dan lain-lain.

3)    Tidak mengetahui dan tidak mahir teknik yang betul dalam merakam foto perkahwinan. Bidang fotografi adalah bidang yang luas dan setiap bidang pengkhususan dalam fotografi itu mempunyai teknik-tekniknya yang tersendiri. Teknik yang digunakan untuk merakam foto sebagai hobi misalnya, adalah berlainan dengan teknik merakam foto perkahwinan. Biasanya, teknik dalam fotografi perkahwinan mementingkan teknik yang ringkas, cepat tetapi berkesan. Di dalam fotografi perkahwinan juga, imej yang dihasilkan mestilah mempunyai tahap kesenian yang tertentu disamping ianya juga perlu menambat hati pelanggan.

4)    Mudah terikut dan meniru gaya foto yang dihasilkan oleh jurufoto lain. Disebabkan meniru, hasil karya mereka tidak mempunyai keaslian atau identiti sendiri. Dengan cara mengikut tanpa faham konsep dan tanpa ada kemahiran mengenainya, hasilnya juga tidak begitu menjadi. Untuk bersaing, seseorang jurufoto itu perlu mempunyai karya yang unik agar dia boleh ‘dilihat’ dan dihargai oleh bakal pelanggan.

5)    Tidak mahir dalam bidang pemasaran. Walau sebagus mana pun karya seseorang itu, tanpa pemasaran yang betul, karya itu tidak dapat menjana pendapatan untuknya. Jurufoto sambilan biasanya tidak sanggup untuk membelanjakan wang untuk pemasaran (tetapi sanggup membeli kamera mahal) Mereka tidak faham bahawa, wang yang dikeluarkan untuk menjalankan pemasaran yang berkesan adalah satu pelaburan, bukannya satu pembaziran. Bukankah bijak jika terpaksa membelanjakan RM10,000 untuk pemasaran jika kita akan mendapat untung RM50,000 darinya?

Tetapi, semua ini adalah normal – dalam proses belajar, kita memang akan sentiasa membuat kesilapan. Apa yang penting ialah kita belajar dari kesilapan. Makin besar kesilapan yang dibuat, makin besar pengajaran yang akan didapati. Tetapi, orang yang lebih bijak ialah orang yang belajar dari kesilapan orang lain. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya jurufoto sambilan yang masih baru di dalam bidang ini menambahkan usaha untuk mencari ilmu dan belajar dari jurufoto lain yang lebih berpengalaman.

Akan sampai masanya nanti apabila seseorang itu telah lama dalam bidang ini, dia akan tiba di satu titik untuk membuat keputusan – berhenti kerja tetap dan lakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa! Untuk pergi lebih jauh, semua orang akan melalui peringkat ini. Peringkat yang lebih sukar, lebih mencabar dan lebih berisiko. Tetapi, pulangannya berbaloi jika kita berjaya.

Jika dilakukan dengan cara yang betul, setelah beberapa tahun melakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa, seseorang itu akan pergi ke langkah seterusnya, iaitu mempunyai pejabat yang khusus untuk perniagaannya. Bukan lagi beroperasi dari rumah. Disebabkan tugasan yang banyak, pada peringkat ini juga, jurufoto akan mula mempunyai pekerja yang akan membantu dalam beberapa urusan. Pada peringkat ini juga, jurufoto tadi bukan sahaja sibuk merakam foto, tetapi dia juga akan sibuk dalam menguruskan bermacam-macam hal berkaitan perniagaannya. Mungkin selepas beberapa ketika, dia akan membuka satu lagi perniagaan baru, menambah bilangan pekerja atau berpindah ke pejabat yang lebih besar. Ini menandakan bahawa seseorang jurufoto itu telah berjaya di dalam bidangnya, walau pada awalnya dia hanya bermula dari seorang jurufoto sambilan.

SERTAI KURSUS FOTOGRAFI PERKAHWINAN OLEH HASNUDDIN ABU SAMAH. SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT

October 13, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Artikel Teknikal, Fikiran, Inspirasi & Motivasi

Menara Berkembar Petronas

Ramai yang memanggil bangunan ini sebagai menara KLCC (Kuala Lumpur City Centre), tetapi nama sebenarnya ialah Menara Berkembar Petronas atau di peringkat antarabangsa mengenalinya sebagai Petronas Twin Tower. Bagi kita yang tinggal di Kuala Lumpur, kita tentu sering melihat pemandangan Menara Berkembar Petronas ini sehingga kadangkala kita terlupa bahawa, sebenarnya menara ini sangat popular di seluruh dunia. Ianya masih memegang rekod sebagai menara berkembar tertinggi di dunia. Pelancong dari seluruh dunia datang dari jauh untuk melihat dan menghargainya; mungkin lebih dari kita sendiri menghargai menara ini. Kita tidak berapa kisah kerana menara ini ada di negara kita sendiri. Biasalah begitu.

Saya sebagai peminat fotografi sering mengembara ke seluruh Malaysia dan kadangkala ke luar negara untuk merakam foto yang menarik. Tetapi, pelik sekali, saya tidak pernah merakam foto Menara Berkembar Petronas sebelum ini. Ini mungkin disebabkan saya selalu berkunjung ke sini dan boleh ke sini pada bila-bila masa. Jadi, tiada sebarang desakan. Lagi satu sebab ialah kerana saya rasakan terlalu ramai orang yang telah merakam gambar menara ini dan sukar untuk mendapatkan gambar yang unik.

Jadi, apa yang mendorong saya untuk merakam gambar Menara Berkembar Petronas ini?

Saya ada terlihat beberapa gambar Menara Berkembar Petronas yang dirakam dengan begitu baik sekali oleh beberapa orang jurufoto antarabangsa. Saya kagumi karya mereka. Saya terfikir, jika mereka boleh datang dari jauh untuk merakam gambar menara ini, kenapa saya yang tinggal di Kuala Lumpur tidak turut cuba merakam gambar bangunan yang sungguh indah ini? Ini akan menguji diri saya sendiri. Bolehkah saya merakam gambar satu subjek yang popular ini dengan baik? Apa yang pasti, saya mempunyai satu kelebihan. Saya tinggal tidak jauh dari menara ini dan saya boleh merakam gambarnya setiap hari jika saya mahu, sehinggalah saya dapat gambar yang baik!

Lalu, saya membuat sedikit persediaan. Melayari laman web mencari foto-foto Menara Berkembar Petronas dan mengkaji gambar-gambar tersebut. Saya membuat rumusan mengapakah sesuatu foto itu menarik dan bagaimana saya boleh jadikan foto saya lebih menarik atau sekurang-kurangnya sama taraf.

Bagi saya, ada 2 perkara paling penting dan paling sukar untuk merakam foto menara ini. Pertama, saya perlu dapatkan sudut yang menarik dan kalau boleh, perlu rakamkan dari sudut rakaman atau komposisi yang belum pernah jurufoto lain rakamkan. Perkara kedua, saya perlu dapatkan atau tunggu keadaan cahaya matahari yang sesuai. Saya sedar, saya tidak boleh mengawal cahaya matahari. Semuanya bergantung kepada nasib. Saya juga sedar, saya mungkin perlu membuat beberapa kali cubaan atau kunjungan sehingga saya mendapat pencahayaan yang sesuai.

Saya bercadang untuk merakam gambar dengan cahaya matahari pagi kerana pada waktu ini, cahaya yang datang dari sisi adalah lembut dan biasanya kurang habuk atau jerebu pada waktu ini. Untuk merakam foto ini, saya telah berada di lokasi pada sekitar jam 6.30 pagi. Keadaan masih gelap pada waktu itu. Jadi, saya masih ada masa untuk mencari sudut penggambaran yang terbaik. Setelah mencuba beberapa sudut, akhirnya saya dapat satu lokasi yang saya kira boleh memberikan gambar terbaik. Saya membuat komposisi gambar dan menunggu sehingga cahaya yang sesuai menjelma. Syukur, memang rezeki saya pada hari itu, cuaca dan cahaya adalah sangat baik. Langit juga cerah dengan sedikit awan yang saya rasa boleh menjadikan gambar saya lebih menarik. Saya merakam foto di atas pada kira-kira jam 7.15 pagi.

Saya suka imej Menara Berkembar Petronas yang dipantulkan pada permukaan air seperti yang kita dapat lihat di dalam gambar yang dipaparkan ini. Pembalikan imej sebegini hanya boleh didapati ketika air tenang. Biasanya air di kolam ini tidak setenang ini kerana air ini sentiasa mengalir disebabkan oleh beberapa pancuran air. Pada asalnya, imej pada pantulan air adalah lebih gelap berbanding imej menara sebenar. Jadi, untuk mengimbangkan kecerahannya, saya terpaksa menggunakan Gradual Neutral Density filter yang bertujuan untuk menggelapkan bahagian atas gambar ini, lalu menjadikan kecerahan bahagian atas dan bawah gambar ini kurang ketara perbezaanya.

Lain-lain data teknikal rakaman foto ini adalah seperti berikut – kamera Nikon D300s bersama lensa Nikkor 10-24mm f/3.5 digunakan. Focal length dilaraskan pada 11mm, aperture pada f/22, shutter speed pada kelajuan 1 saat dan ISO 200. Oleh kerana shutter perlahan digunakan, saya turut menggunakan tripod dan electronic release bagi mengelakkan gegaran.

Diharap anda mendapat manfaat dari perkongsian ini. Ingatlah, amalan tanpa ilmu boleh menjadi sesat. Ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Jadi, rajin-rajinlah menambahkan ilmu dan selalulah berlatih merakam foto agar karya anda menjadi semakin baik setiap hari. Pesan ini juga untuk diri saya kerana saya juga masih dalam proses belajar.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Dapatkan berbagai info dan tips fotografi di laman Facebook FOTOTEACHER.COM. Sila ke http://www.fb.com/fototeacher

Dapatkan berbagai aksesori fotografi seperti tripod, filter dan sebagainya di kedai online FOTOTEACHER. SILA KLIK DI SINI

August 5, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Fikiran, Inspirasi & Motivasi

Pameran Fotografi vs Facebook Album

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Di dalam zaman internet kini, jurufoto dengan mudah dapat mempamerkan karya mereka melalui laman web, blog, Facebook, Flickr dan sebagainya. Karya foto dapat ‘dipamerkan’ dalam media elektronik ini dengan mudah dan dapat mencapai ribuan pelawat di alam siber dari seluruh dunia! Disebabkan faktor ini, ramai jurufoto tidak lagi berminat untuk mempamerkan karya mereka dalam pameran fotografi yang diadakan di galeri yang ternyata lebih sukar prosesnya dan lebih tinggi kosnya.

Tidak seperti berkongsi karya foto di internet, apabila mengadakan pameran fotografi di galeri, seseorang jurufoto perlu mengeluarkan kos tambahan seperti mencetak foto ke saiz besar, membingkaikan foto dan adakalanya terpaksa membayar kos sewaan galeri.

Jadi, mengapa perlu mempamerkan foto di galeri? Apakah kelebihannya? Adakah berbaloi kita mengorbankan masa dan wang untuk mempamerkan karya foto kita di galeri?

Sebelum era digital dan internet, cara terbaik untuk memperlihatkan karya senifoto adalah melalui pameran fotografi yang diadakan di galeri seni. Selain dari berkongsi karya, pameran fotografi mampu mengangkat tahap seseorang jurufoto dan secara tidak langsung, setiap pameran yang diadakan adalah seumpama pengiktirafan istimewa kepada seseorang jurufoto itu. Selain dari itu, ada juga jurufoto yang memperolehi pendapatan lumayan dengan menjual karya senifoto mereka kepada pengumpul karya seni.

Tidak seperti mempamerkan foto di internet, pameran fotografi di galeri memberikan impak yang amat berbeza. Foto yang dilihat di skrin komputer tidak dapat menandingi kesan yang diberikan oleh paparan foto yang dipamerkan di dinding-dinding galeri. Di galeri, foto dicetak ke saiz yang besar siap dengan kemasan bingkai. Selalunya, semakin besar saiz foto yang dipamerkan, semakin kuat impak yang dihasilkan. Segalanya juga harus kelihatan sempurna – kualiti cetakan foto, pemilihan mounting, pemilihan bingkai, susunan siri foto, tema, konsep pameran, kualiti pencahayaan bahan pameran dan sebagainya. Ianya merupakan sebuah persembahan seni yang cukup unggul.

Di era digital, jarang sekali kita mencetak foto yang dirakam. Selalunya, foto-foto ini sekadar dimuat-naik dan dikongsikan di alam internet. Dari satu sudut pandang, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa, foto yang tidak dicetak dan tidak dipamerkan di ‘alam nyata’ adalah satu karya yang tidak sempurna prosesnya! Jadi, secara ekstremnya mungkin kita boleh katakan bahawa, jika kita rasa karya kita layak dikongsi dan kita menghargai karya kita sendiri – maka pamerkan karya itu di galeri!

Mempamerkan karya di galeri juga memberikan peluang kepada jurufoto untuk bertemu secara bersemuka dengan peminat karyanya. Jurufoto boleh menjawab soalan, berbincang dan berbual secara langsung dengan pengunjung pameran. Jurufoto juga perlu bersedia menghadapi kritikan dan mempertahankan karyanya jika perlu. Bentuk komunikasi begini nampak lebih telus dan lebih hidup berbanding komunikasi di alam siber.

Dunia seni telah meletakkan standard bahawa, karya seni harus dipamerkan di galeri sebagai satu bentuk penghargaan kepada karya seni itu sendiri. Ini juga akan membuktikan kesungguhan seseorang artis dalam kerjayanya. Artis seni lukis dan seni arca misalnya telah lama ‘bermain’ dan sentiasa aktif dalam berbagai pameran seni. Kini sudah tiba masanya, pengkarya fotografi pula melibatkan diri secara aktif dalam mempamerkan karya mereka di galeri seni, sesuai dengan perkembangan fotografi dewasa ini.

Sebagai permulaan, kita boleh mengadakan pameran secara berkumpulan bersama beberapa orang rakan jurufoto atau lebih mudah lagi jika kita menyertai pameran yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Matlamat seterusnya adalah untuk mengadakan pameran solo pula. Pameran solo memerlukan seseorang jurufoto mempunyai koleksi karya foto yang lebih banyak dan ianya juga lebih rumit untuk diadakan.

Terdapat dua cara untuk mendapatkan ruang galeri. Cara pertama ialah dengan menunjukkan contoh karya kita kepada galeri yang telah dipilih. Pihak galeri akan membuat keputusan samada karya kita cukup kuat untuk dipamerkan. Jika pihak galeri setuju mempamerkan karya kita, mereka biasanya akan mengambil sejumlah komisen dari setiap karya kita yang terjual semasa pameran berlangsung.

Cara kedua untuk mendapatkan ruang galeri ialah dengan membayar keseluruhan kos sewaan galeri. Biasanya, dengan cara ini, pihak galeri tidak begitu kisah tentang karya yang ingin dipamerkan asalkan kita membayar kos sewa yang telah ditetapkan. Kos sewaan galeri ini biasanya dalam lingkungan RM2,000 hingga RM5,000 untuk sewaan seminggu bergantung kepada saiz ruang dan lokasi galeri. Selain dari kos ini, jurufoto perlu menanggung sendiri kos cetakan gambar, bingkai foto, promosi, katalog pameran dan majlis pelancaran. Kos ini boleh diringankan dengan mengadakan pameran secara berkumpulan atau mendapatkan penaja.

Tidak seperti di negara maju, jiwa masyarakat kita belum begitu ‘hampir’ dengan galeri atau karya seni itu sendiri. Mengunjungi galeri bukan menjadi kebiasaan bagi kebanyakan dari kita. Tetapi, situasi itu boleh diubah. Kita sendiri perlu mengubahnya. Mungkin ramai yang malas untuk mengunjungi galeri kerana terpaksa meluangkan masa dan menempuh kesesakan jalanraya misalnya. Tetapi, percayalah, memang berbaloi meluangkan masa untuk menghayati pameran foto yang bagus. Ianya boleh memberikan inspirasi kepada kita untuk terus berkarya di dalam fotografi.

Bagi jurufoto yang berjaya mempamerkan karyanya di galeri, ianya merupakan kemuncak kepuasan dalam berkarya. Ianya adalah umpama satu pencapaian dalam perjalanan kita sebagai seorang jurufoto.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2011. Dilarang mengeluarkan semula artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari FOTOTEACHER.COM

Saya bersama Bustamam Mokhtar semasa pameran solo beliau di Pavilion Kuala Lumpur

Saya ketika menyertai Pameran Fotografi yang dianjurkan oleh AKAR & KukuBesi Manipulasi

Ketika menghadiri pameran fotografi oleh pelajar fotografi UTM SPACE di Annexe Gallery

Bersama rakan-rakan dan Ikram Ismail ketika pameran fotografi solo beliau di Balai Berita, NSTP

Bersama karya foto saya yang dipamerkan dalam Pameran Terbuka 2011, Galeri Shah Alam

DAPATKAN AKSESORI FOTOGRAFI DARI KEDAI ONLINE FOTOTEACHER! SILA KLIK DI SINI

April 2, 2011 Categorized under Fikiran, Inspirasi & Motivasi, Umum

IJAZAH JURUFOTO

IJAZAH JURUFOTO
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

“Perlukah masuk universiti untuk jadi jurufoto profesional?” Saya seringkali ditanya soalan ini. Selalunya yang bertanya itu ialah golongan remaja yang minat fotografi dan ingin menjadikan fotografi sebagai kerjaya mereka. Jawapan ringkasnya – tidak perlu. Anda tidak perlu ada sijil, diploma dan sebagainya untuk menjadi jurufoto profesional. Tetapi, jika anda ada kelulusan formal dalam bidang fotografi, ianya akan menjadi satu kelebihan buat anda. Tetapi dengan satu syarat.

Syaratnya ialah, anda mestilah mempunyai portfolio yang kuat (portfolio adalah contoh hasil karya anda yang dapat menunjukkan tahap kemahiran anda sebagai seorang jurufoto). Portfolio inilah yang akan dinilai sebelum anda ditawarkan sesuatu kerja. Semakin baik portfolio anda, semakin mudah anda mendapat kerja dan semakin tinggi gaji yang boleh anda dapatkan.

Tetapi, jika anda ingin bekerja dalam bidang fotografi dengan pihak kerajaan, eloklah anda ada kelulusan formal dalam bidang fotografi kerana gaji yang dibayar biasanya berdasarkan tahap kelulusan formal anda samada anda pemegang sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah dan sebagainya. Begitu juga jika anda ingin menjadi pensyarah fotografi di universiti, kelulusan akademik dalam bidang fotografi adalah amat penting.

Di Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menawarkan pengajian khusus dalam bidang fotografi pada peringkat Diploma hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. UNISEL pula ada menawarkan pengajian dalam bidang fotografi hingga ke peringkat Diploma. SPACE UTM juga ada menawarkan pengajian fotografi dengan kelulusan Diploma Eksekutif, sesuai dihadiri secara sambilan. Universiti Islam Antarabangsa pula ada menawarkan program Sijil Eksekutif dalam fotografi yang boleh ditamatkan dalam tempoh hanya 6 bulan. Selain dari itu, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) juga menawarkan pengajian dalam bidang fotografi pada peringkat Sijil.

Jurufoto yang tiada kelulusan formal dalam bidang fotografi pun boleh berjaya. Peluangnya adalah sama. Segalanya bergantung kepada usaha dan bakat yang dimiliki oleh setiap individu. Cuma, biasanya jurufoto yang belajar sendiri tanpa masuk ke universiti perlu melalui jalan yang agak sukar dalam proses pembelajaran kerana tidak mendapat bimbingan yang sistematik, tidak seperti di universiti. Tetapi, sekali lagi ditegaskan, jurufoto yang belajar sendiri ini tetap boleh berjaya jika beliau rajin berusaha.

Pelajar yang belajar fotografi di universiti biasanya mempunyai masa hadapan yang lebih cerah asalkan mereka belajar bersungguh-sungguh dan rajin berusaha. Pelajar universiti tidak akan berjaya di dalam industri sebagai jurufoto profesional jika mereka hanya bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata, tetapi tidak berusaha menghasilkan portfolio yang bagus. Pelajar juga mestilah menggunakan peluang networking di universiti dengan sepenuhnya kerana, ini akan menjadi aset penting bila mereka berada di dalam alam pekerjaan sebenar. Rakan-rakan kenalan universiti ini akan memegang jawatan tertentu di dalam industri selepas beberapa tahun dan mereka akan menawarkan berbagai peluang dan pertolongan yang berguna satu hari nanti.

Perkara yang perlu dipertimbangkan apabila ingin belajar fotografi di universiti ialah faktor masa dan kos pengajian. Misalnya, pengajian pada peringkat diploma akan memakan masa selama 3 tahun dan kos yang terlibat juga adalah agak tinggi (bergantung di universiti mana anda belajar). Jika dibandingkan dengan individu yang belajar sendiri, mereka sudah boleh mula menjana pendapatan dalam tempoh kurang dari 3 tahun. Tetapi, untuk jangka masa panjang, individu yang memiliki kelulusan formal dalam fotografi boleh pergi lebih jauh dan mendapat peluang yang lebih besar asalkan berusaha gigih. Tetapi, saya perlu tegaskan lagi sekali bahawa, perkara ini adalah amat subjektif. Individu yang tiada kelulusan formal dalam fotografi pun boleh berjaya jika mereka bijak mengambil peluang dan bekerja keras. Memang ramai pun jurufoto di Malaysia yang berjaya walaupun tidak memiliki sebarang kelulusan akademik dalam bidang fotografi. Sebaliknya, ada juga graduan dari universiti berkelulusan diploma atau ijazah sarjana muda dalam bidang fotografi yang tidak mendapat kerja dengan bayaran setimpal. Semuanya terletak atas pilihan dan usaha individu itu sendiri.

Satu lagi isu yang selalu timbul ialah ibu bapa biasanya tidak berapa yakin bila anaknya ingin belajar di universiti dalam bidang fotografi kerana bimbang tiada masa depan. Apa yang boleh saya katakan ialah, tidak kira bidang apa pun, kita boleh mendapat pendapatan yang lumayan jika kita rajin berusaha. Tetapi, kita perlu sedar bahawa, untuk berjaya dan mendapat pendapatan lumayan dari fotografi bukanlah mudah. Sama juga dengan bidang lain. Jadi, untuk memastikan anda terus kekal dalam fotografi dan menghadapi segala rintangan sebelum anda berjaya, anda perlu pastikan bahawa anda betul-betul meminati fotografi. Bukan sekadar terikut dengan kawan atau trend semasa. Minat yang mendalam inilah yang akan menjadi azimat untuk anda terus berjuang dalam fotografi hingglah anda berjaya kecapi kejayaan tertinggi.

Pokok pangkalnya ialah usaha. Jika anda masuk universiti untuk belajar fotografi, janganlah hanya bergantung kepada sekeping siji yang bakal anda terima nanti. Banyakkan berusaha sendiri sebagai persediaan untuk bersaing di dalam dunia pekerjaan sebenar nanti. Hasilkan portfolio yang kuat, kerana portfolio inilah yang akan ‘bercakap’ untuk anda.

Nasihat yang boleh saya berikan ialah, jika anda mampu, ada masa dan ada peluang untuk masuk universiti, maka rebutlah peluang itu. Tetapi pastikan bahawa anda memang minat fotografi dan sanggup berkorban untuknya. Ingatlah bahawa bidang fotografi bukan bidang main-main. Fotografi sebagai hobi berbeza dengan fotografi sebagai kerjaya.

Kepada anda yang tidak berpeluang untuk masuk universiti, tidak mengapa. Anda perlu ingat, ada banyak jalan untuk berjaya. Ada banyak cara untuk belajar, tambahan sekarang ini dengan kemudahan internet, maklumat boleh didapati dengan begitu mudah. Anda juga boleh menghadiri kursus pendek yang dianjurkan oleh banyak pihak sekarang ini. Cuma, berhati-hatilah – pastikan anda belajar dari guru yang bertauliah dan berpengalaman. Kemudian, carilah mentor atau orang yang boleh membimbing anda dalam fotogafi. Cari pengalaman sebanyak mungkin dengan bekerja dengan jurufoto profesional dengan tujuan untuk belajar dan cari pengalaman, lupakan dulu tentang bayaran lumayan.

Kesimpulannya, tiada jawapan yang mutlak untuk isu ini. Tidak kira anda ada kelulusan formal di dalam fotografi atau tidak, anda tetap boleh berjaya sebagai seorang jurufoto. Cuma, jalannya yang berbeza. Setiap satu jalan ada kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Segalanya terpulang kepada anda sendiri untuk membuat keputusan.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Sekiranya anda berminat untuk belajar fotografi melalui kursus jangka pendek, anda boleh hadiri berbagai kursus dan bengkel anjuran FOTOTEACHER.COM. Barisan tenaga pengajar dan jurulatih kami terdiri dari individu yang mempunyai kelulusan formal dalam bidang fotografi dan mempunyai pengalaman minima selama 15 tahun dalam industri sebagai jurufoto profesional. SILA KLIK DI SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT

March 2, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Fikiran

Fotografi Bukan Macam Matematik

Matematik ialah subjek yang saya paling lemah masa di sekolah dulu. Sebab itulah saya jadi jurufoto sekarang, bukan ahli matematik. Bila dapat masuk ITM dalam jurusan fotografi, saya rasa lega dapat belajar bidang yang saya minati. Tapi, macam tak percaya, rupanya ada juga subjek matematik yang saya kena belajar untuk dapatkan diploma dalam fotografi. Subjek itu dinamakan Photo Science Mathematics! Apakah ini semua??? Ingatkan dah lepas bala nak mengira, rupanya ada lagi…

Sebenarnya penting juga subjek sains dan matematik di dalam bidang fotografi ni. Sebabnya, fotografi dicipta oleh sains dan untuk kiraan yang tepat untuk beberapa perkara, ilmu matematik amatlah diperlukan. Contohnya, ada formula menggunakan matematik untuk mengira jarak fokus, jarak fokal, kuasa pembesaran imej, nilai f/number dan entah apa-apa lagi. Tapi, anda tak perlulah risau, sebab kalau anda tak pandai matematik pun, masih boleh jadi jurugambar yang bagus jugak. OK lah, cerita tadi tu cuma intro saja (panjangnya intro?), saya nak cakap pasal benda lain sebenarnya.

Fotografi tak sama macam matematik. Fotografi adalah satu bidang kreatif yang penilaian terhadapnya ada subjektif. Maksud saya, apa pun yang anda baca atau belajar mengenai ‘peraturan’ artistik dalam fotografi, ianya hanyalah sekadar panduan saja sebenarnya. Tidak ada betul atau salah dalam fotografi apabila kita bercakap mengenai aspek seninya.

Jangan terima bulat-bulat apa yang diajar di dalam buku atau apa yang diajar oleh cikgu fotografi anda. Semuanya terpulang kepada anda untuk mengubahsuai ‘panduan’ yang diberikan tersebut. Contohnya, dalam pelajaran fotografi, dikatakan, kalau rakam foto, subjek yang kita rakam mestilah tajam (sharp) difokus. Tapi itu tak semestinya. Gambar yang ‘blur’ pun boleh jadi gambar yang baik kalau kena pada tempatnya. Satu lagi contoh ialah mengenai noise. Secara teknikalnya, foto yang dirakam mestilah kurang noise, barulah gambar tu dikatakan cantik atau berkualiti. Maka sibuklah sekelian orang berlumba-lumba tukar kamera baru yang kurang noise. Dengan itu juga, ada pulak segelintir kaum, bila tengok gambar orang saja, dia cari noise! Kalau nampak noise pada gambar orang, noise itu yang dikomen dulu – bukannya nilai artistik pada gambar tersebut. Hakikatnya, gambar yang ada noise pun boleh jadi gambar yang berjaya kalau kena pada tempatnya. Kalau gambar yang ada noise tu ada kekuatan lain seperti aksi yang sangat menarik contohnya, maka kelemahan noise tu bolehlah diabaikan saja.

Maka, akan ada pulak yang akan bertanya, “Kalau macam tu, jika noise tak penting, kenapa diaorang buat kamera baru yang kurang noise?” Ada dua sebab. Nombor satu, sebab diaorang nak bersaing jual kamera. Siapa yang dapat buat kamera yang paling canggih, dia akan dapat jual lebih banyak kamera. Baguslah tu, kita memang nak makin maju, bukan makin mundur. Tapi, bagi yang kurang berkemampuan, janganlah susahkan diri asyik beli kamera baru. Sebab nombor dua ialah, ada sesetengah kerja fotografi memang memerlukan noise yang kurang, contohnya untuk fotografi pengiklanan dan fotografi landscape. Itupun, tidak semestinya – kadang-kadang, kita boleh nampak gambar di papan iklan yang blur dan banyak noise. Cantik jugak bila kena dengan konsepnya.

Satu lagi perkara subjektif di dalam fotografi ialah penilaian gambar. Contohnya bila kita masuk pertandingan, kita rasa gambar kita cantik, tiba-tiba gambar orang lain pulak yang menang. Janganlah marah atau kecil hati. Kita kena ingat, penilaian gambar sangat subjektif. Bukan macam matematik yang cuma ada satu jawapan untuk setiap satu soalan. Pemilihan gambar yang menang dibuat oleh juri pertandingan yang biasanya terdiri dari jurugambar yang berpengalaman. Juri adalah manusia, bukan robot atau mesin kira. Juri ada perasaan, minat yang berlainan, citarasa berbeza, pengalaman berbeza dan pendapat mereka pun berbeza. Sebab itulah dalam pertandingan fotografi, biasanya juri ada ramai – sekitar 3-5 orang dan biasanya latar belakang mereka juga berbeza. Ini supaya keputusan keseluruhan adalah lebih adil hasil dari pengiraan purata markah yang diberikan oleh kesemua juri. Sebab itulah, salah satu tips untuk menang pertandingan fotografi ialah, kita kena kenal siapakah barisan juri dan bagaimanakah jenis gambar yang mereka minati. Kalau kita rakam gambar mengikut citarasa mereka, besarlah peluang kita untuk menang. Contohnya, jika kebanyakan juri pertandingan tu suka pada gambar hitam putih, maka kalau kita hantar gambar hitam putih, senanglah nak ambil hati diaorang.

Itu tadi cerita juri profesional. Sekarang kita cerita pulak pasal juri awam atau penonton di rumah (yang selalu komen gambar dalam Facebook tu lah) Pendapat orang awam yang tak mahir fotografi pun adakalanya kita perlu ambil kira. Sebabnya ialah kerana mereka tak pandai fotografilah! Jadi, penilaian mereka tidak akan terikat dengan kualiti teknikal fotografi semata-mata. Mereka akan terus menilai sesuatu foto itu secara keseluruhannya. Kalau gambar tu dapat menarik perhatian mereka, mereka akan kata cantik. Tapi, kita janganlah cepat perasan. Selalunya di Facebook ni, orang komen sebab nak jaga hati kita dan nak memeriahkan suasana. Kalau setakat komen seperti ‘nice’ atau ‘good job bro’, anggaplah itu sebagai satu cara untuk mengeratkan silaturrahim…

Sama juga kalau kita rakam gambar kahwin untuk pengantin. Cantik atau tidak gambar tu akhirnya pelanggan yang akan nilai. Baiklah anda pastikan dia suka gambar tu, kalau tidak, susah dia nak bayar. Sebagai jurugambar, kita akan lebih terarah untuk pilih gambar yang kita susah nak rakam. Kita juga akan lebih cenderung untuk ‘suka’ kepada gambar dengan teknik-teknik yang kononnya berseni seperti rakaman secara silhouette, moment yang pelik dan close-up gambar kaki dan sebagainya. Tapi, adakah pelanggan kita suka gambar macam ni? Biasanya, untuk mengelakkan saya syok sendiri, saya akan tanya pendapat isteri saya samada gambar pengantin yang saya rakam tu, cantik atau tidak di mata seorang perempuan. Bukankah berbeza matematik dengan fotografi? Kalau matematik, tak payah tanya pendapat orang, tekan saja calculator, dapatlah jawapannya.

Jadi, dalam fotografi tak usahlah nak gaduh sangat pasal perkara yang subjektif macam ni. Buka fikiran kita. Terima pendapat orang lain kerana ada sesuatu yang boleh kita belajar dari mereka. Kita tak perlu ikut pendapat orang lain, tapi sekadar menerima itu sebagai satu pendapat. Namanya pun pendapat, bukan peraturan. Dalam fotografi, tak ada polis akan tangkap orang yang tak ikut rule of third. Kecuali kalau orang tu tak ikut rule of third sambil tak ikut rule lampu isyarat, bolehlah kena saman dengan polis.

Tapi… ada tapi jugak. Janganlah kebebasan berkarya dan faktor subjektif dalam fotografi ini dijadikan alasan untuk kita buat sesuka hati dalam fotografi. Tak cemerlang macam tu. Tak fotografilah macam tu. Kita boleh buat apa saja dalam fotografi asalkan kita tahu apa yang kita buat dan mesti boleh terangkan mengapa kita buat begitu. Orang boleh terima atau tidak, terpulang kepada mereka. Apa yang penting, bila kita terangkan mengapa kita buat sesuatu dengan cara tertentu, sekurang-kurangnya orang faham tujuan dan pendirian kita.

Pelukis lukisan abstrak yang kita tak faham entah gambar apa yang dia lukis tu, boleh jual lukisan dia sebab dia boleh cerita pasal lukisan tu dengan panjang lebar sampai orang yang mendengar cuma angguk-anggukkan kepala. Tapi, bila pelukis tu dah ada nama dan terkenal, dia dah tak payah nak cerita panjang sangat dah. Orang akan tunggu hasil karya dia yang terbaru dan berebut-rebut nak beli. Sama juga macam jurugambar. Seorang jurugambar yang dah ada nama, kalau dia hasilkan gambar yang biasa saja pun, gambar tu tetap akan ada nilai. Sebenarnya, bukan gambar tu yang bernilai tinggi sangat, tapi, siapa yang merakam gambar tu yang lebih penting adakalanya.

Fotografi ni satu bidang yang luas. Ada orang yang tak berapa nampak keluasan fotografi ni. Contohnya pasal penggunaan Photoshop. Ada segolongan orang yang tak berapa pandai rakam gambar, (dah tak pandai, tak mau belajar pulak…) gambar yang dirakam selalunya tak berapa elok. Lalu, banyak kerja mencantikkan gambar dibuat di dalam Photoshop. Kita kata, kalau nak jadi jurugambar, mesti boleh rakam gambar dengan sesempurna mungkin di dalam kamera. Kita masukkan gambar dalam Photoshop untuk mencantikkan lagi gambar yang dah sedia cantik. Tapi, adakah salah kalau buat banyak kerja foto dalam Photoshop? Tak salah. Memang tak salah. Tapi, orang yang buat banyak kerja dalam Photoshop tidak sesuai dipanggil sebagai jurugambar. Dia adalah artis photo manipulation atau ada orang panggil artis foto-grafik. Salahkah artis foto-grafik? Tak salah, dia juga adalah insan seni dan karyanya diiktiraf sebagai karya seni. Adakah foto-grafik juga diiktiraf sebagai fotografi? Ya, foto-grafik juga diterima sebagai satu cabang dari fotografi, tetapi ianya hanyalah pecahan dari bidang fotografi yang luas. Jadi apa yang salah? (biasalah, kita kena cari juga orang yang perlu dipersalahkan) Saya rasa, yang salah atau yang tak berapa tepat ialah, orang yang buat banyak kerja dalam Photoshop, dia tak pandai ambik gambar, tapi dia mengaku kata dia professional photographer. Itu macam, boleh jejaskan nama baik jurugambar lainlah…

Sama juga macam jenis orang yang suka beli kamera mahal-mahal dan asyik beli kamera untuk penuhkan dry box dia. Kemudian asyik beli dry box lagi untuk isi kamera baru lagi. Salahkah orang macam ni? Tak salah. Sebab nombor satu ialah – dia beli kamera pakai duit dia sendiri, dia bukannya mencuri. Jadi apa yang salah? Nak kata salah tu, kasar sangat bunyinya. Cuma kita rasa tak sesuailah kalau orang yang asyik beli kamera ni gelar diri dia seorang jurugambar, tetapi dia hanya sibuk bergaya dengan kamera, ikut orang pergi shooting, lepas tu komen gambar orang, tapi gambar dia orang lain tak pernah tengok. Orang macam ni boleh memberi tanggapan yang mengelirukan kepada bidang fotografi dan paling bahaya ialah dia boleh meracun orang lain untuk habiskan duit beli barang fotografi tanpa ada apa-apa kemajuan dalam penghasilan gambar itu sendiri.

Sebenarnya, saya kagum juga dengan golongan yang suka beli kamera ini. Cuma mereka tidak begitu sesuai dikategorikan sebagai jurugambar. Mereka lebih sesuai dikategorikan sebagai camera collector. Saya kenal beberapa orang camera collector yang hebat. Mereka tidak pernah mengaku mereka adalah jurugambar. Malah mereka berbangga menggelar diri mereka sebagai camera collector. Saya tabik mereka kerana minat mereka yang mendalam terhadap kamera dan kesanggupan mereka untuk melabur wang dalam membeli kamera yang bukannya murah. Apa yang lebih saya kagumi ialah, golongan camera collector tulen ini mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap spesifikasi dan segala hal mengenai kamera yang mereka kumpul. Ini juga satu hobi yang baik.

Saya harap, anda dapat faham apa yang cuba saya sampaikan. Saya harap penulisan saya ini tidak mengelirukan sesiapa. Diharap juga janganlah ada yang marah dengan apa yang ingin saya sampaikan. Ianya cuma sekadar pendapat peribadi saya yang tentunya berbeza dengan pendapat orang lain. Fotografi bukan matematik, fotografi satu bidang yang subjektif…

p/s: Kalau anda nak beri pendapat anda pula, silalah tulis pada ruangan komen. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

January 1, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Fikiran, Inspirasi & Motivasi

NIKMAT FOTOGRAFI DARI KAMERA COMPACT

NIKMAT FOTOGRAFI DARI KAMERA COMPACT
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Saya ialah seorang jurufoto yang menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan. Ini bermakna, saya merakam foto untuk kepuasan pelanggan. Apabila bekerja, saya menggunakan kamera DSLR dengan berbagai jenis lensa dan aksesori lain. Adakalanya kesemua peralatan ini penuh di dalam 3 buah beg kamera. Bagi saya, kamera DSLR bermaksud kerja. Setiap kali memegang kamera DSLR, fikiran saya seolah-olah telah diprogramkan untuk bertindak seperti seorang jurufoto profesional yang bertanggung jawab untuk merakam foto untuk menepati keperluan tertentu seperti yang dikehendaki oleh pelanggan.

Jadi, untuk merakam foto yang berunsur seni bagi tujuan peribadi, saya lebih suka menggunakan compact camera kerana saya akan berasa lebih relaks dengan kamera ini. Dengan ciri-ciri yang ringkas dan mudah, saya lebih terarah untuk memberi tumpuan kepada aspek artistik, bukannya teknikal. Untuk membolehkan kawalan exposure secara manual, saya menggunakan “High End Compact Camera”

Sekali sekala saya akan meluangkan masa untuk merakam foto untuk kepuasan peribadi. Boleh dikatakan ianya ibarat terapi jiwa bila kita dapat menghasilkan sesuatu karya fotografi yang bermakna kepada diri kita sendiri.  Foto yang dirakam untuk tujuan peribadi ini kita namakan personal works atau adakalanya ia boleh menjadi karya yang termasuk dalam kategori fine art photography. Karya ini tidak terikat dengan apa-apa syarat, baik dari segi teknikal mahupun dari segi artistik. Kita bebas merakam apa saja dengan apa jua cara mengikut kehendak sendiri. Ini satu kebebasan dalam berkarya yang sungguh besar nikmatnya.

Seperti nikmatnya memakan masakan yang sedap, nikmat kepuasan menghasilkan karya fotografi ini tidak dapat dijelaskan tanpa anda sendiri merasainya. Jika anda belum merasainya, bermakna anda belum mendapat salah satu manfaat yang besar dari fotografi! Bagaimana caranya untuk anda mencapai apa yang saya sebutkan ini? Pertama sekali, anda mestilah menghayati suasana ketika anda merakam sesuatu foto. Anda juga perlu melihat subjek anda dengan mata hati dan perasaan anda.  Dengan cara ini, anda akan dapat hasilkan foto yang mempunyai jiwa dan penuh dengan nilai artistik.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


Embun di atas bumbung kereta di waktu pagi dirakam dengan kamera compact Leica D-Lux 4


Dirakam di Alamanda Putrajaya menggunakan kamera compact Leica D-Lux 4


Tertarik dengan unsur garisan di dalam foto ini, dirakam di kota Paris dengan kamera compact Canon G7


Dirakam ketika turun dari puncak Gunung Kinabalu menggunakan kamera Leica D-Lux 4


Hasil dari Leica D-Lux 4


Slow shutter dengan kamera Canon G7


Dirakam di kota London dengan kamera Canon G7

Nota: “High End Compact Camera” yang dimaksudkan ialah kamera compact yang mempunyai kawalan exposure secara manual dan berharga sekitar RM1,500 ke atas seperti model Canon G12 atau Leica D-Lux 5


Saya dengan kamera compact Leica D-Lux 4

SERTAI KAMI DI FACEBOOK UNTUK MENDAPATKAN BERBAGAI TIPS DAN INFO MENGENAI FOTOGRAFI. SILA KE – www.facebook.com/fototeacher

August 10, 2010 Categorized under Fikiran

Orang Lama

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Tanpa yang lama, tiada yang baru. Kita pernah dengar ungkapan ini. Dulu, saya tidak begitu faham dan tidak ambil pusing kenyataan ini.  Tetapi, setelah bersembang dengan beberapa orang lama, barulah saya mendapat sedikit pengertian maksudnya.

Kita lihat sekarang ini, dalam zaman fotografi digital, ramai jurufoto baru yang hebat muncul dalam senario fotografi di Malaysia. Dengan adanya media seperti blog dan Facebook, jurufoto baru ini lebih mudah menjadi popular, malahan mempunyai peminat setia mereka sendiri.  Ini adalah satu perkembangan yang baik. Ini menunjukkan fotografi adalah satu bidang yang semakin berkembang dan diterima di Malaysia.

Tetapi, dalam keghairahan itu, janganlah kita lupa kepada jasa-jasa dan kehebatan jurufoto yang terdahulu. Jurufoto lama inilah yang kita gelar ‘otai’ atau ada sesetengahnya telah layak digelar jurufoto veteran. Saya lebih suka menggelar mereka sebagai ‘master photographer’.

Jurufoto lama memang tidak begitu popular kerana pada zaman mereka tiada Facebook. Kita tidak begitu mengenali mereka. Tetapi, itu tidak bermakna karya foto mereka tidak hebat. Selain dari kehebatan ilmu fotografi, mereka juga mempunyai kisah perjuangan yang sangat menarik untuk kita hayati sebagai pedoman.

Fotografi profesional dan komersial telah bertapak di Malaysia sejak tahun 70an lagi. Malah ada jurufoto yang telah bergiat secara profesional sejak tahun 60an. Jurufoto dahulu tidak semewah  jurufoto sekarang. Peralatan yang digunakan amatlah asas. Pendapatan yang diperolehi pun tidaklah sebanyak mana. Sukar untuk mendapatkan info mengenai fotografi pada zaman itu. Sukar juga untuk membeli peralatan dan aksesori kamera pada masa itu.

Jadi, apa kaitan dan peranan jurufoto lama ini kepada kita?

Sesungguhnya, tanpa mereka bersusah payah dalam fotografi pada zaman mereka, maka tiadalah fotografi untuk kita seperti yang kita nikmati sekarang ini. Mereka telah meneroka dan merintis jalan fotografi di Malaysia. Mereka telah berkorban untuk menguasai ilmu fotografi dan telah mengajarkan ilmu fotografi kepada generasi selepas mereka. Mereka telah meletakkan ‘standard’ dan mendidik minda masyarakat Malaysia untuk menghargai fotografi. (tahukah anda, pada zaman awal fotografi, artis merakam foto untuk ‘cover album’ di kedai gambar biasa sahaja tanpa khidmat jurufoto profesional?) Jurufoto-jurufoto lama ini jugalah yang telah membuka peluang perniagaan lain sehingga wujudnya banyak kedai yang menjual kamera dan berbagai aksesori fotografi. Kepakaran mereka juga telah menyumbang kepada wujudnya institusi pengajian tinggi yang telah melatih graduan-graduan dalam bidang fotografi dan bidang lain yang berkaitan.

Kemana perginya jurufoto-jurufoto lama ini sekarang? Ada diantara mereka yang masih aktif. Ada yang separa aktif lebih kepada memberi sokongan dari belakang. Ada juga diantara mereka yang telah bersara dari fotografi sepenuhnya dan menyerahkan tanggungjawab membentuk dunia fotografi kepada generasi kita.

Mereka telah bersusah payah. Kita telah menikmati hasilnya. Merekalah yang telah menebas belukar membina laluan. Kita melaluinya kini dengan lebih selesa. Berterima kasihlah kepada jurufoto yang terdahulu. Teruskan perjuangan yang telah mereka mulakan. Dunia terus berputar. Hasil dari perjuangan kita sekarang ini akan dinikmati oleh generasi selepas kita pula.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


Foto pelajar jurusan fotografi semasa outing mereka di Cameron Highlands pada tahun 1980. Ada diantara mereka kini merupakan jurufoto pengiklanan, jurufoto komersial, pensyarah fotografi, pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang fotografi dari universiti luar negara, professor dalam bidang seni, dekan di fakulti seni IPTA dan ada juga yang telah bersara. Sanjugan saya untuk mereka semua kerana mereka adalah diantara hero saya! Sumber foto dari laman Facebook Encik Ahmad Saman.

Untuk mendapat tips dan berita terbaru mengenai fotografi, sila layari laman Facebook kami di – http://www.facebook.com/fototeacher

May 17, 2010 Categorized under Fikiran

Jack of All Trade, Master in None

Jack of All Trade, Master in None, sebuah ungkapan yang maksudnya lebih kurang – orang yang buat macam-macam bidang, tidak mahir apa-apa bidang. Dengan erti kata lain, untuk menjadi pakar, kita perlu fokus kepada satu bidang sahaja. Tetapi…

Adakah ungkapan ini sesuai untuk zaman sekarang? Adakah kita hanya perlu tumpu kepada satu bidang sahaja untuk jadi pakar? Saya teringat pesan seorang pensyarah fotografi saya Prof. Madya Zulkalnain Zainal Abidin (kini pensyarah di UNIMAS). Kata beliau, ungkapan itu harus ditukar sesuai dengan zaman sekarang.

Dalam zaman sekarang yang menuntut kita belajar banyak bidang, ungkapan tersebut lebih sesuai ditukar kepada:Jack of All Trade, Master in ONE. Maksudnya, kita perlu belajar dan mahir banyak bidang, tetapi kita perlu juga jadi batul-betul pakar dalam satu bidang.

Apa pendapat anda?

Oleh Hasnuddin Abu Samah
FOTOTEACHER.COM

February 28, 2010 Categorized under Fikiran, Tips, Umum

Cara Mendapatkan Manfaat Terbaik dari Kursus yang Dihadiri

gambarhiasanpersediaanhadirkursus

Cara Mendapatkan Manfaat Terbaik dari Kursus yang Dihadiri
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Apabila anda menghadiri kursus atau bengkel fotografi, anda telah membelanjakan sejumlah wang dan masa anda yang amat berharga. Jangan sia-siakan pelaburan anda ini. Berikut adalah beberapa langkah yang perlu anda lakukan untuk memastikan anda mendapat manfaat sepenuhnya dari kursus atau bengkel yang anda hadiri:

    • Pastikan anda membaca kandungan kursus dengan teliti dan tahu apakah yang bakal anda pelajari di dalam kursus tersebut. Tanya diri anda, adakah subjek yang akan diajar itu memang ingin anda ketahui.
    • Pastikan anda telah memenuhi syarat kelayakan untuk menghadiri kursus tersebut. Contohnya, ada sesetengah kursus yang memerlukan anda mempunyai pengetahuan asas tertentu. Pastikan anda telah memenuhi syarat kelayakan ini. Jika tidak, anda mungkin tidak akan faham subjek yang diajar di dalam kursus itu nanti kerana anda belum memiliki kefahaman asas yang diperlukan.
    • Lihat subjek-subjek yang akan diajar di dalam kursus yang akan anda hadiri. Cuba belajar sendiri subjek-subjek tersebut supaya anda dapat gambaran tentang apa yang bakal pelajari di dalam kursus itu nanti. Dengan persediaan yang rapi, anda akan mendapat manfaat yang terbaik dari kursus yang akan anda hadiri.
    • Banyakkan membuat praktikal dengan merakam foto yang bersesuaian dengan tajuk kursus yang akan dihadiri. Dengan cara ini, anda akan menemui lebih banyak masalah sebenar. Dengan membuat latihan praktikal sendiri sebelum menghadiri kursus juga akan membuatkan anda lebih faham dan lebih bersedia tentang subjek yang akan diajar di dalam kursus tersebut.
    • Jika anda ada soalan, masalah atau perkara penting yang ingin anda ketahui, tuliskan perkara tersebut agar anda dapat tanya semasa kursus nanti.
    • Baca maklumat terperinci kursus dan pastikan anda tidak tersilap tarikh, tempat atau tertinggal peralatan yang perlu dibawa semasa kursus. Sekiranya maklumat kursus berada di laman web, cetak maklumat tersebut untuk rujukan anda.
    • Dapatkan tidur dan rehat yang cukup sehari sebelum menghadiri kursus. Ini kerana, pada hari kursus, anda harus memberi tumpuan sepenuhnya kepada subjek yang diajar.
    • Hadir awal semasa kursus dan dapatkan tempat duduk di barisan hadapan agar anda dapat memberikan tumpuan yang lebih. Dengan hadir awal juga, anda boleh pilih tempat yang terbaik; misalnya kedudukan tempat tersebut tidak terdedah secara terus kepada pendingin udara yang akan membuatkan anda terlalu sejuk.
    • Catit nota penting disepanjang kursus. Walaupun nota bercetak telah diberikan kepada anda, banyak fakta penting akan disampaikan oleh jurulatih dimana fakta ini tidak terdapat di dalam nota yang diberi.
    • Jangan malu bertanya soalan sekiranya anda tidak faham. Jika anda malu bertanya, anda sendiri yang akan kerugian. Biasanya, di dalam sesuatu kursus, jika anda tidak faham subjek pada peringkat awal, adalah lebih sukar untuk anda faham subjek yang seterusnya.
    • Berkenalan dengan peserta kursus yang lain. Dapatkan nama dan cara untuk menghubungi mereka. Dengan menghadiri kursus, anda bukan sahaja datang untuk belajar, tetapi anda juga harus guna peluang ini untuk membina jaringan kenalan dengan rakan lain yang mempunyai minat yang sama dengan anda. Anda boleh menghubungi rakan baru anda ini kemudian untuk sesi pembelajaran tidak rasmi.
    • Selepas kursus, terus ulangkaji perkara yang telah anda pelajari. Pastikan anda faham semua subjek yang telah diajar. Jika perlu, buat latihan praktikal sendiri bagi memantapkan lagi kefahaman anda. Jika anda masih tidak memahami subjek tertentu, terus hubungi jurulatih untuk bertanya soalan tentang perkara yang anda masih belum faham.

      Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
      Jadilah ‘fan’ di PAGE FOTOTEACHER dalam FACEBOOK dan dapatkan berbagai keistimewaan! Sila ke – http://www.facebook.com/fototeacher

      February 4, 2010 Categorized under Fikiran, Tips

      Model

      Model
      Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

      Antara aktiviti yang saya suka lakukan di pagi hari minggu ialah mencari subjek makro di kawasan hutan dan belukar. Jika saya malas berjalan jauh, saya akan ke taman rekreasi yang terletak cuma 5 minit dari rumah saya. Ada kalanya isteri saya akan mengambil kesempatan untuk berjogging semasa saya meredah semak belukar mencari hidupan seni.

      Apabila matahari agak cerah sekitar pukul 8 pagi, saya selalu melihat kumpulan jurufoto tiba dengan pelbagai perkakas. Ada yang membuat sesi outdoor bersama pengantin tetapi kebanyakannya bersama model wanita yang berpakaian cantik. Biasanya terdapat 4-6 orang jurufoto berkongsi seorang model yang akan beraga di beberapa lokasi yang mempunyai pemandangan dan props yang menarik. Kadang kala ada kumpulan yang membawa reflector dan ada yang menggunakan teknik multiple flash.

      Saya lihat ini adalah aktiviti yang popular di kalangan peminat seni foto. Kadang kala ada yang menganjurkan sesi model berbayar yang mana boleh dilihat di forum internet berkenaan fotografi. Saya pernah juga menyertai sesi sebegini yang sering dianjurkan oleh rakan-rakan yang mahir dengan teknik fotografi portret. Dengan panduan daripada mereka, saya dapat meningkatkan kemahiran dalam cabang ini terutamanya dari segi mendapatkan cahaya yang optima tanpa menggunakan flash. Dengan adanya model kita boleh membuat pelbagai eksperimen untuk memahami kesan cahaya yang ada kalanya kelihatan berbeza pada imej foto berbanding bila dilihat dengan mata kasar. Hasilnya sedikit sebanyak bergantung kepada kreativiti kita dan juga model yang digunakan.

      Model profesional atau semi-pro tidak memerlukan banyak arahan berbanding model amatur. Mereka lebih mudah untuk menyesuaikan diri, boleh melahirkan ekspresi dengan lebih tenang dan tahu bagaimana untuk melakukan posisi badan yang sesuai untuk dirakam. Model yang terlatih tidak segan untuk melakukan pose yang agak radikal atau aksi yang mencabar seperti terjun ke dalam kolam renang. Perkara yang saya paling suka dengan model sebegini ialah mereka boleh terus bersama jurufoto untuk tempoh yang lama tanpa melihatkan rasa bosan atau kepenatan.

      Bagi jurufoto yang baru mencuba, model amatur adalah pilihan yang tidak melibatkan kos yang tinggi. Kita boleh meminta rakan atau saudara mara untuk menjadi model dengan upah yang minima seperti belanja makan tengahari dan satu salinan foto yang dirakam pada sesi tersebut. Jurufoto harus bijak dalam berkomunikasi dengan model ketika memberikan arahan untuk melakukan pose tertentu, terutamanya jika ada yang belum pernah berkenalan sebelum ini. Model amatur mudah gugup lebih-lebih lagi jika ini kali pertama beliau berdepan dengan begitu ramai jurufoto. Apabila meminta beliau melakukan sesuatu pose, elok jika kita minta dengan lembut agar dia berasa ceria dan bukannya seperti disuruh. Ada kala jurufoto terlalu fokus untuk mendapatkan sesuatu shot hingga dia lupa yang model tersebut adalah manusia yang juga mempunyai perasaan dan rasa letih. Amat penting untuk mengekalkan mood ceria model kerana itu sangat mempengaruhi ekspresi yang akan dirakam.

      Kita haruslah peka kepada mood model tersebut. Ini termasuk mencerap bila mana beliau letih, dahaga, kepanasan, berpeluh atau bosan. Apabila tanda-tanda seperti ini timbul, segera hentikan merakam foto dan ambil masa rehat. Model amatur biasanya segan untuk meminta masa rehat sebaliknya memendam dan ini membuatkan ekspresi dan posture beliau kurang menarik. Masa rehat adalah masa yang sesuai untuk kita berkenalan lebih lanjut dengan model agar dia lebih selesa untuk sesi seterusnya. Dia juga boleh mengambil kesempatan ini untuk membetulkan mekap dan rambut sementara jurufoto boleh melihat hasil shot yang diambil. Sebelum sesi seterusnya bermula, tunjukkan kepada model foto yang diambil tadi supaya dia gembira dan lebih bersemangat.

      Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

      Jadilah ‘fan’ di PAGE FOTOTEACHER dalam FACEBOOK dan dapatkan berbagai keistimewaan! SILA KLIK DI SINI!

      January 26, 2010 Categorized under Fikiran

      UPGRADE

      UPGRADE
      Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

      Saya ada terpandang iklan yang mana seorang pemilik kamera DSLR ingin menjual kamera yang baru dibeli sebulan yang lalu. Katanya dia ingin menukar ke model yang lebih canggih kerana kamera yang dibeli tidak memuaskan. Ada dua persoalan yang bermain dalam kepala saya ketika membaca iklan tersebut:

      1. Kenapa sebelum beli tak periksa betul-betul keperluan dan ciri-ciri kamera tersebut?
      2. Apa kurangnya kamera DSLR yang telah dimiliki?

      Tentunya pada fikiran kita, sebelum mengeluarkan wang beribu ringgit untuk menceburi hobi yang baru, kajian yang mencukupi harus dilakukan supaya perbelanjaan itu tidak sia-sia. Terdapat banyak ulasan di internet tentang setiap model kamera DSLR yang ada di pasaran dan ada juga ulasan yang menunjukkan perbandingan antara beberapa model dalam kelas yang sama. Tidak kurang juga forum dan blog tempatan yang memaparkan perbincangan oleh pengguna model-model kamera DSLR terbabit yang mana kita boleh melihat sebarang kepincangan dalam model tersebut. Mungkin ada faktor yang kita terlepas pandang tetapi jika baru sebulan sudah tak puas hati, ini bukannya faktor kecil.

      Perkara kedua lebih menarik minat saya kerana pada pandangan saya, semua kamera DSLR sesuai digunakan untuk kebanyakan jenis fotografi terutamanya untuk mereka yang baru berjinak dengan hobi ini. Model yang paling daif pun sekurang-kurangnya mampu untuk dipasang dengan lensa telefoto, ultra wide angle dan macro. Beberapa model bawahan Nikon seperti D3000 tidak mempunyai AF motor dan ini menghadkan lensa yang boleh dimanafaatkan sepenuhnya tetapi perkara ini sewajarnya telah diambil kira dalam soalan yang pertama.

      Teknologi kamera digital berkembang dengan sangat pesat. Apa yang kita guna hari ini mungkin akan ketinggalan zaman hanya dalam 3 atau 4 tahun akan datang. Jika kita membiarkan diri sendiri terpengaruh untuk mengejar setiap model baru yang dikeluarkan, kita akan terus berasa tidak puas hati dengan apa yang kita ada. Jika foto yang kita rakam tidak secantik apa yang dirakam oleh rakan kita, cuba lihat jika kita boleh memperbaiki karya kita tanpa melibatkan upgrade atau penukaran sistem kamera. Pelbagai cara boleh dilakukan seperti giat berlatih, mendampingi pakar, menghadiri kursus dan melakukan banyak eksperimen.

      Sudah tentu model yang baru lebih baik daripada yang lama. Tetapi persoalannya adakah kemahiran kita sudah sampai ke tahap yang mana menggunakan kamera yang lebih canggih boleh membawa perubahan?

      Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

      Untuk menghadiri kursus fotografi, sila layari – http://www.fototeacher.com

      December 1, 2009 Categorized under Fikiran, Personal, TANYA HASNUDDIN

      Kisah di Sabah

      Kisah di Sabah
      Oleh Hasnuddin Abu Samah

      Pada 14 dan 15 November 2009 yang lalu, saya telah ke Kota Kinabalu, Sabah bagi menyampaikan Kursus Asas Fotografi Digital anjuran FOTOTEACHER.COM. Kursus ini telah diadakan di Hotel Beverly yang terletak di pusat bandar Kota Kinabalu. Kursus fotografi di Sabah ini merupakan langkah permulaan FOTOTEACHER untuk pergi lebih rapat kepada peminat fotografi di seluruh Malaysia. Selepas ini, FOTOTEACHER akan turut menemui peminat fotografi di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu dan Kuching.

      l10005331
      Saya sedang menerangkan mengenai sistem kamera DSLR

      afdsgroupphotoforblog
      Para peserta bergambar selepas tamat Kursus Asas Fotografi Digital di Sabah

      Secara peribadi, saya memang sukakan Sabah. Orangnya peramah, tempatnya indah dan seafoodnya pun meriah! Begitu juga dengan para peserta yang hadir kursus fotografi di Sabah ini. Kelas ini merupakan antara kelas yang paling seronok saya mengajar. Pesertanya bersemangat dan happening! Gelagat Rupinah dan kesungguhan Mike Philip membuatkan suasana pembelajaran menjadi lebih seronok dan meriah. Saya harap para peserta mendapat manfaat yang sepenuhnya dari kursus ini. Terima kasih kepada semua yang telah sudi hadir terutamanya kepada peserta yang datang dari jauh seperti dari Tawau dan Brunei. Terima kasih juga kepada Puan Mimie Sanjees, jurufoto akhbar The Star yang turut merupakan rakan lama saya yang telah membantu saya mengendalikan kursus ini dan membantu dalam hal-hal lain sepanjang saya berada di Sabah.

      Terlanjur berada di Kota Kinabalu, FOTOTEACHER turut menganjurkan dan menaja satu sesi merakam gambar model khas untuk peminat fotografi di sana. Aktiviti ini telah diadakan di Pantai Tanjung Aru dengan kerjasama 2 orang model jelita. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara Alex Azlan dan Roy Ajin di atas bantuan mereka bagi menguruskan model berkenaan.

      l1000558
      Ketika sesi merakam gambar model di Pantai Tanjung Aru, Sabah

      fotomodelsabahforblog
      Foto yang sempat saya rakam ketika sesi merakam foto model di Pantai Tanjung Aru

      Seterusnya aktiviti saya dipenuhkan dengan perjumpaan santai dengan beberapa peminat fotografi di Sabah. Kami saling bertukar fikiran dan berkongsi pengalaman dalam sesi ringkas tersebut. Terima kasih kepada semua yang hadir, terutamanya kepada saudara Mike Philip yang telah mengaturkan pertemuan tersebut.
      l1000612
      Berjumpa dengan kawan-kawan baru di Kota Kinabalu

      Setelah beberapa siri tugasan ‘formal’ untuk FOTOTEACHER, saya mengambil peluang beberapa hari untuk berjalan-jalan sambil mencari subjek rakaman di sekitar Kundasang dan Tuaran. Kebanyakan foto yang saya rakam adalah foto landscape dan nature. Sudah agak lama sebenarnya saya tidak merakam foto sebegini. Merakam foto landscape dan nature sememangnya memberikan ketenangan dan kepuasan. Sungguh seronok berada di tempat yang indah sambil menunggu cahaya yang sesuai sebelum foto dirakam. Aktiviti begini lebih relaks berbanding merakam foto potret atau foto perkahwinan yang memerlukan kepantasan dan bekerja dalam tekanan. Kenangan manis merakam foto di Sabah membuatkan saya bertekad untuk meluangkan lebih banyak masa untuk merakam foto untuk tujuan peribadi.

      2mountkinabalu
      Gambar Gunung Kinabalu dirakam dari Tuaran

      1kundasangtree
      Gambar dirakam di Kundasang

      dairyfarm
      Dirakam berhampiran dengan ladang lembu tenusu di Kundasang

      Oleh Hasnuddin Abu Samah
      FOTOTEACHER.COM

      Jadilah ‘fan’ di PAGE FOTOTEACHER dalam FACEBOOK dan dapatkan berbagai keistimewaan!
      FOTOTEACHER.COM

      Promote Your Page Too

      October 26, 2009 Categorized under Fikiran, Inspirasi & Motivasi, Personal

      Menjadi Jurufoto Kaya Raya

      Salam hormat,

      Apa khabar rakan-rakan sekelian,
      Diharap anda semua sihat dan sentiasa segar dalam fotografi.

      Sudah agak lama sebenarnya saya tidak menulis panjang di dalam blog ini kalau anda perasan. Saya juga agak jarang membuat update di dalam facebook sejak kebelakangan ini. Semuanya disebabkan kesibukan yang datang tiba-tiba sejak selepas Hari Raya tempohari. Antara tugas yang banyak memakan masa saya ialah pelancaran program baru  Bengkel Lanjutan Fotografi, Persediaan program AFD, FMR dan AFD di Sabah, penulisan E-Book Fotografi Kreatif, hal-hal pengurusan Adan Cameraworks dan macam-macam lagilah.

      Walaupun saya sibuk, blog ini tetap diupdate dengan kerap untuk tatapan pengunjung setia blog FOTOTEACHER. Setelah sejak sekian lama, blog ini sentiasa dikemaskini dengan 1 hingga 3 artikel terbaru setiap minggu. Itulah komitmen kami terhadap penyokong setia blog FOTOTEACHER. Saya juga merasa bertuah kerana telah dibantu oleh penulis jemputan blog ini – saudara Amir Ridhwan. Beliaulah yang kerap menulis menggantikan saya jika saya tiada kelapangan.

      Baiklah, sebagai hadiah untuk anda sempena perjumpaan semula kita, saya telah tuliskan satu artikel khas untuk pembaca blog FOTOTEACHER. Artikel ini belum pernah disiarkan di lain-lain tempat sebelum ini. Ianya ditulis khas untuk anda yang terus setia menyokong FOTOTEACHER. Selamat membaca!

      Hasnuddin

      ————————————————————————————————————————–

      Menjadi Jurufoto Kaya Raya
      Oleh Hasnuddin Abu Samah

      Bolehkah kita jadi kaya dengan menjadi seorang jurufoto?
      Wujudkah jurufoto yang kaya raya di Malaysia?

      Sebelum saya boleh menghuraikan soalan di atas, kita perlu tanya dulu diri kita, apa itu sebenarnya yang dikatakan kaya? Berapakah jumlah wang yang perlu kita perolehi untuk menjadikan kita kaya? Tentu sekali terlalu subjektif jawapannya.

      Ketika saya mula menceburi bidang fotografi 15 tahun dahulu, gaji saya sebagai seorang jurufoto adalah RM1,200 sebulan. Pada ketika itu, sifu saya, seorang jurufoto profesional yang mempunyai perniagaan sendiri memperolehi pendapat RM1,200 sehari! Saya tidak boleh bayangkan bagaimana besarnya pendapatan beliau pada ketika itu. Saya terpaksa bekerja selama sebulan untuk dapatkan pendapatan yang sama dengan beliau yang hanya perlu bekerja satu hari sahaja untuk dapatkan wang sebanyak itu. Itu cerita tahun 1990an dulu.

      Ketika ini, pada tahun 2009, setelah saya menjadi jurufoto profesional, saya mengenakan harga RM4,500 untuk setiap separuh hari bekerja merakam foto untuk pakej fotografi perkahwinan. (Sifu saya pula, saya dengar, beliau pernah mengenakan harga setinggi RM12,000 sehari untuk khidmat fotografi beliau ketika ini) Saya tidak pasti samada sifu saya ini kaya atau tidak sebab saya tidak pernah tengok akaun bank beliau.

      Berbalik kepada cerita saya mengenakan harga RM4,500 untuk 4 jam bagi setiap pakej fotografi perkahwinan yang saya rakam. Jumlah itu tidaklah sebesar mana sebenarnya. Ini setelah mengambil kira fakta-fakta berikut:

      • Bukan setiap hari saya ada peluang rakam foto perkahwinan. Jika setiap hari saya dapat RM4,500 sehari, saya mungkin sudah jadi kaya.
      • Jumlah RM4,500 sehari itu bukanlah untung bersih. Saya perlu tolak kos album, cetakan foto, upah pembantu jurufoto dan sebagainya
      • Jumlah RM4,500 yang saya dapat itu sebenarnya bukan saya hanya bekerja untuk separuh sehari. Tetapi, proses lengkap yang diambil sebenarnya memakan masa 2-3 hari. Tugas tidak habis sekadar merakam foto, tetapi perlu diteruskan dengan proses pemilihan foto, photo enhancement, membuat layout album dan sebagainya.
      • Untuk mendapatkan tugasan dan mengenakan harga setinggi RM4,500, bukan boleh didapati dengan hanya goyang kaki dan orang berpusu-pusu datang ingin memberikan wang kepada kita. Tetapi, kita perlu keluarkan kos untuk usaha pemasaran seperti menyediakan laman web, membayar gaji dan komisen eksekutif jualan, membuat promosi, membeli iklan di media cetak dan sebagainya.

      Kesimpulannya, jangan hanya tengok pada angka. Kita perlu tahu kos dan faktor-faktor lain sebelum membuat andaian pendapatan atau kekayaan seseorang jurufoto.

      Kita berbalik pula kepada pengertian kaya. Setiap orang mempunya takrifan berbeza mengenai erti kaya. Bagi saya, saya akan anggap diri saya kaya bila saya ada wang simpanan yang banyak sehingga sekiranya saya tidak bekerja selama 12 bulan, saya masih boleh membayar segala overhead saya tanpa sebarang masalah. Pejabat yang besar tidak tentu bermaksud saya kaya. Staff yang ramai tidak menjamin saya kaya. Kereta yang mahal tidak semestinya saya kaya. Kekayaan sejati sebenarnya tersembunyi. Hanya diri kita sendiri yang tahu samada kita kaya atau tidak kaya.

      Anda mungkin ingin tahu – wujudkan jurufoto yang kaya raya di Malaysia? Saya tidak pasti. Apa yang saya pasti, saya kenal beberapa orang rakan jurufoto yang senang. Maksud saya bukan kerja senang, tetapi agak senang dari segi kewangan. Rata-rata mereka yang saya kenali ini, setiap seorang dari mereka memiliki 2-3 buah aset bangunan, 2 buah kereta import, boleh melancong ke luar negara setiap tahun, boleh membeli peralatan kamera terbaru walau berharga puluhan ribu ringgit dan boleh selalu belanja kawan-kawan makan. Cukuplah.

      Tetapi, yang pastinya, mereka yang saya kenali ini adalah orang yang sangat kuat bekerja. Kesemua mereka ini telah menjadi jurufoto selama lebih dari 15 tahun. Saya teringat, rakan yang saya kagumi, jurufoto fesyen terkenal tanahair, Bustamam Mokhtar pernah berkata kepada saya, seorang tauke cina pernah berkata kepadanya,”Lu kalau mau bikin bisnes, 13 tahun baru boleh jadi kaya!” Ada benarnya dalam kata-kata tauke cina tersebut. Dalam perniagaan, 1-5 tahun pertama adalah tahun rugi. 5-10 tahun seterusnya balik modal atau surviving – duit memang banyak masuk, tetapi banyak juga yang keluar. Setelah lebih kurang 13 tahun, barulah perniagaan tersebut matang dan menghasilkan untung besar. Pendapat saya, kepada orang yang baru 5 tahun berniaga tetapi masih sekadar balik modal, itu sudah dikira cukup bagus, sebab ramai yang gulung tikar tidak sampai 1 tahun berniaga.

      Tempoh masa 13 tahun yang saya sebutkan tadi itu adalah tempoh masa biasa dimana kebanyakan perniagaan menjadi matang dan menghasilkan keuntungan. Tidak dinafikan, ada perniagaan yang boleh maju dan menghasilkan untung besar dalam masa yang lebih singkat. Keajaiban boleh berlaku. Pasti ada insan istimewa satu dalam sejuta di luar sana.

      Sanggupkah anda bertungkus lumus di dalam perniagaan fotografi selama 10-15 tahun? Ianya bukan tugas mudah. Suka saya jelaskan di sini, menjadi jurufoto dan menjalankan perniagaan di dalam bidang fotografi bukanlah cara terbaik untuk jadi kaya raya. Ada banyak lagi cara lain yang lebih mudah dan lebih cepat buat duit. Saya pernah terbaca penulisan seorang jurufoto kewartawanan hebat yang amat saya hormati, Abang Zainal Halim (Reuters). Kata beliau – kalau ingin jadi kaya, tidak perlu jadi jurufoto. Menjadi jurufoto memerlukan kerja keras dan pengorbanan yang besar. Lebih baik jadikan fotografi sebagai hobi jika tidak sanggup menghadapi tekanan kerja sebagai seorang profesional. Menjadikan fotografi sebagai hobi lebih menyeronokkan.

      Tetapi, jika anda tetap ingin menjadi jurufoto profesional dan sanggup menghadapi cabaran demi minat yang mendalam di dalam fotografi, ‘please join the club’. Mungkin, siapa tahu, di masa depan, bidang fotografi boleh jadikan anda kaya raya.

      Satu lagi perkara penting yang perlu anda tahu jika ingin jadi kaya di dalam fotografi – merakam foto yang baik sahaja tidak mencukupi. Kebanyakan jurufoto yang berjaya dan kaya(?) di Malaysia bukanlah jurufoto semata-mata. Mereka adalah USAHAWAN. Disamping mempunyai kebolehan hebat di dalam fotografi, mereka juga amat hebat dari segi pemasaran, pengurusan, kewangan dan banyak lagi kemahiran lain yang berkaitan dengan perniagaan fotografi. Namun ada juga segelintir jurufoto yang memperolehi banyak wang selain dari bergiat dalam perniagaan fotografi.

      Sekarang ini, ramai orang yang ingin jadi kaya. Ramai juga yang ingin jadi kaya dengan kamera. Jadi, itulah tadi serba sedikit yang dapat saya kongsikan mengenai wang dan fotografi, setakat pengetahuan saya. Walaupun begitu, sebenarnya ada juga orang yang tidak hiraukan sangat pasal hendak jadi kaya, asalkan saja dia dapat rakam foto yang sempurna. Kaya atau tidak kaya, yang penting kita bahagia.

      “Al-kisah nak jadi kaya raya, punyai uwang berjuta-juta” (teringat saya, sebuah lirik lagu oleh Senario)

      Anda ada pendapat? Ada cerita yang ingin dikongsi bersama? Ada soalan? Sila tuliskan di dalam ruangan komen di bawah.

      Oleh Hasnuddin Abu Samah

      Hakcipta Terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Tidak dibenarkan disalin dan digunakan semula tanpa kebenaran bertulis dari pemegang hakcipta.

      Dapatkan artikel terbaru dari FOTOTEACHER.COM secara percuma, dihantar terus ke e-mel anda. Sila langgan newsletter FOTOTEACHER. SILA KLIK DI SINI.


      October 21, 2009 Categorized under Artikel Teknikal, Fikiran

      Noise Fanatic

      Noise Fanatic
      Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

      Saya masih lagi menggunakan kamera lama iaitu sebuah kamera DSLR keluaran 2005. Model tersebut menggunakan sensor CCD dan mempunyai tahap ISO maksima hingga 1600 seperti mana kebanyakan DSLR pada zaman tersebut. Kebiasannya saya tidak menggunakan ISO yang terlalu tinggi kerana noise akan kelihatan terlalu ketara. Kebanyakan DSLR masa kini menghasilkan imej yang lebih bersih dengan menggunakan sensor dan cip yang lebih maju.

      Ini bukanlah masalah yang besar bagi saya kerana kamera tersebut paling kerap digunakan untuk mengambil gambar makro menggunakan flash yang mana ISO 100 sudah memadai. Apabila saya menggunakannya dalam situasi cahaya malap, saya tidak keberatan untuk menaikkan ISO jika perlu asalkan foto tersebut dapat dirakam dengan baik. Kebiasaannya saya lebih gemar untuk menaikkan ISO berbanding menurunkan kelajuan shutter di bawah paras minima.

      Ada juga orang yang begitu taksub untuk mendapatkan foto yang bersih daripada noise. Beberapa kenalan saya sungguh teliti apabila melihat gambar dan akan meneropong hingga 100% untuk mencari noise. Apabila model kamera baru keluar, mereka akan meneliti foto contoh dan mula meneropong untuk mencari noise, kemudian membuat perbandingan dengan model kamera lain. Mereka berpegang kepada fahaman yang percaya bahawa foto digital yang bagus tidak boleh ada noise.

      Memang terdapat beberapa jenis penggunaan gambar yang mana kadar noise adalah perkara yang perlu dikawal dengan teliti. Contohnya penjualan melalui stock photo mensyaratkan semua gambar yang dihantar adalah bersih. Agensi berita juga amat cerewet dalam hal noise untuk memastikan kualiti yang tertinggi. Tetapi, bagi peminat fotografi peringkat amatur, noise tidak sepatutnya dijadikan kayu ukuran yang terlalu tinggi terutamanya jika kebanyakan foto yang dirakam bukan untuk dicetak. Lagipun, terdapat perisian yang boleh mengurangkan noise seperti Noise Ninja, Neat Image dan Noiseware.

      Gambar dibawah diambil pada ISO 1600 tanpa menggunakan flash. Oleh kerana cahaya kurang menyebelahi saya dan kanak-kanak tersebut sentiasa bergerak, saya menggunakan  ISO maksima untuk mendapatkan kelajuan shutter setinggi mungkin. Untuk kegunaan sendiri, ini sudah lebih dari memadai.

      5a

      Jika penggunaan kita lebih banyak tertumpu kepada perkongsian gambar di internet, noise bukan lah isu yang terlalu kritikal. Kita juga boleh menggunakan noise untuk menampakkan impak yang lebih seperti yang selalu kita lihat dalam foto hitam putih. Selagi noise tidak mengganggu details pada subjek utama (contohnya tekstur kulit), tidak perlu diambil pusing berlebihan. Adalah lebih baik jika kita memberi tumpuan untuk mendapatkan pencahayaan, moment and komposisi yang sesuai. Saya percaya ini akan lebih membantu peminat senifoto untuk menikmati hobi ini.

      Adakah anda seorang yang terlalu mementingkan tahap noise? Mengapa anda berfikir demikian? Adakah anda dalam kategori sebaliknya yang tidak begitu kisah tentang tahap noise pada gambar? Harap anda dapat kongsikan pendapat anda di sini. Sila tulis pendapat anda di ruangan komen di bawah.

      Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

      Sertai berbagai kursus dan bengkel fotografi anjuran FOTOTEACHER.COM. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI.