Archive for the “BLOG ARKIB” Category

January 30, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – SISTEM FOUR THIRD

Sistem Four-Third
Oleh Amir Ridhwan untuk fotoeacher.com
(Telah disunting dari entry asal dari blog FOTOTEACHER – ‘SISTEM FOUR THIRD’ – 30 Julai 2008)

Baru-baru ini ada seorang rakan bertanya tentang sistem Four-Third. Mungkin kerana beliau melihat saya menggunakan DSLR Olympus. Saya agak tidak pasti bagaimana hendak mulakan namun setelah tahu beliau menggunakan Canon 40D dan Nikon D300, saya memberikan sedikit perbandingan dengan kamera yang dimilikinya. Sistem Four-Third dinamakan sedemikian kerana nisbah aspek imej ialah 4:3 iaitu sama dengan nisbah gambar yang dicetak di kedai gambar. Kebanyakan DSLR lain mempunyai nisbah 2:3 yang mana mengakibatkan sedikit hujung gambar tidak dapat dicetak.


Namum gagasan sistem Four-Third ialah untuk membina barisan sistem DSLR yang memanfaatkan teknologi digital sepenuhnya tanpa perlu mengikut evolusi SLR filem. Bermula dengan bayonet yang mempunya diameter dua kali ganda berbanding sensor, kaedah ini memastikan cahaya dari lensa akan sampai ke sensor pada sudut tegak. Kesannya ialah setiap lensa-mikro pada sensor akan menerima cahaya pada sudut yang sama, langsung memberikan imej yang lebih tepat dari segi warna dan kejituan. Imej yang dihasilkan lebih konsisten kualitinya pada sebarang bukaan aperture.

Antara perkara yang menjadi persoalan pada sistem Four-Third ialah saiz sensor yang lebih kecil berbanding dengan saiz pada sensor APS-C yang popular. Sebenarnya perbezaan saiz mereka tidaklah ketara dan boleh dilihat perbandingan seperti dalam rajah di atas. Adalah tidak tepat untuk mengatakan noise pada kamera Four-Third adalah lebih tinggi kerana saiz sensor yang kecil. Ini kerana faktor yang mempengaruhi noise adalah lebih bergantung kepada Sensor Fill Factor, Photosite Illumination dan algoritma membasmi noise.

Saiz sensor yang hanya separuh berbanding dengan saiz bukaan pada filem 35mm menyebabkan focal length digandakan dua. Depth of Field juga meningkat kira-kira sebanyak 2 stop.

Kelebihan pada sistem Four-Third ialah sistem ini membolehkan lensa direka lebih kecil dan ringan. Terdapat pelbagai lensa jenama Zuiko yang sangat kecil dan ringan namum mempunyai kualiti optik yang tinggi. Bagi mereka yang menghargai mobiliti, mungkin kamera sebegini akan memberikan lebih kebebasan untuk menggunakan DSLR di mana jua.

Pada ketika ini Olympus, Panasonic dan Leica mengeluarkan DSLR dan lensa berdasarkan sistem Four-Third sejak tahun 2005. Sigma turut menghasilkan beberapa lensa yang boleh digunakan pada kamera Four-Third.

Oleh Amir Ridhwan untuk fotoeacher.com

PELAJARI ASAS FOTOGRAFI DENGAN CEPAT DAN MUDAH.
Sertai kursus Asas Fotografi Digital (AFD) anjuran FOTOTEACHER. Untuk maklumat lanjut, sila ke – http://fototeacher.com/basicphotography.htm

LANGGAN NEWSLETTER PERCUMA DARI fototeacher.com!
Anda akan diberitahu secara otomatik melalui e-mel sekiranya ada sebarang artikel baru, promosi, program baru, berita terkini dan sebagainya. Untuk melanggan newsletter percuma ini, sila ke – http://www.fototeacher.com/subscribe.htm


January 20, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – TELECONVERTER

TELECONVERTER
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal dalam blog FOTOTEACHER bertajuk ‘TANYA HASNUDDIN – TELECONVERTER’ bertarikh 1 Mac 2008)

Teleconverter adalah satu alat yang digunakan untuk menggandakan focal length lensa yang anda gunakan. Contohnya, sekiranya anda menggunakan lensa 200mm bersama teleconverter 2X, lensa anda akan menjadi lensa 400mm! Ianya boleh digunakan untuk sebarang jenis lensa samada lensa zoom atau fixed lens.

Teleconverter boleh digunakan untuk kamera DLSR dan lain-lain jenis kamera juga. Untuk kamera DSLR, teleconverter ini biasanya dipasang diantara lensa dan kamera kita. Teleconverter berbentuk silinder dan di dalamnya terdapat kanta yang berfungsi untuk memberikan gandaan kepada focal length yang digunakan.

Teleconverter boleh didapati dalam berbagai kuasa gandaan. Biasanya, teleconverter dibuat dengan kuasa gandaan 1.4X, 1.7X dan 2X. Setiap teleconverter ini memberikan kuasa gandaan yang berbeza kepada lensa yang kita gunakan. Di sini saya berikan contoh:

  • Teleconverter 1.4X yang dipasang pada lensa 100mm akan mengubah lensa ini menjadi lensa lensa 140mm (100mm X 1.4 = 140mm)
  • Teleconverter 1.7X yang dipasang pada lensa 100mm akan mengubah lensa ini menjadi lensa 170mm (100mm X 1.7 = 170mm)
  • Teleconverter 2X yang dipasang pada lensa 100mm akan mengubah lensa ini menjadi lensa 200mm (100mm X 2 = 200mm)

Walaupun dapat menggandakan kuasa focal length, penggunaan teleconverter juga memberikan beberapa kelemahan. Diantara kelemahan yang ketara ialah, teleconverter akan menyusutkan nilai aperture. Secara mudahnya boleh dikatakan, teleconverter menjadikan cahaya yang masuk melalui lensa menjadi lebih gelap.

Semakin besar kuasa gandaan teleconverter, semakin besar juga nilai aperture akan disusutkan. Di sini diberikan beberapa contoh:

  • Teleconverter 1.4X akan mengurangkan nilai aperture sebanyak 1 stop.
    Sekiranya lensa anda mempunyai aperture f/2.8, ianya akan menjadi f/4 sahaja dengan penggunaan teleconverter 1.4X. Ini diperolehi dengan kiraan berikut: aperture f/2.8 X 1.4 (nilai gandaan teleconverter) = f/3.92. Setelah dibuat penghampiran, aperture f/3.92 boleh dianggap sebagai aperture f/4. Aperture f/4 adalah 1 stop ‘lebih gelap’ berbanding aperture f/2.8
  • Teleconverter 1.7X akan mengurangkan nilai aperture sebanyak 1.5 stop.
    Sekiranya lensa anda mempunyai aperture f/2.8, ianya akan menjadi f/4.8 sahaja dengan penggunaan teleconverter 1.7X. Ini diperolehi dengan kiraan berikut: aperture f/2.8 X 1.7 (nilai gandaan teleconverter) = f/4.76. Setelah dibuat penghampiran, aperture f/4.76 boleh dianggap sebagai aperture f/4.8. Aperture f/4.8 adalah 1.5 stop ‘lebih gelap’ dari aperture f/2.8
  • Teleconverter 2X akan mengurangkan nilai aperture sebanyak 2 stop.
    Sekiranya lensa anda mempunyai aperture f/2.8, ianya akan menjadi f/5.6 sahaja dengan penggunaan teleconverter 2X. Ini diperolehi dengan kiraan berikut: aperture f/2.8 X 2 (nilai gandaan teleconverter) = f/5.6. Aperture f/5.6 adalah 2 stop ‘lebih gelap’ dari aperture f/2.8

Selain dari nilai aperture yang susut, teleconverter juga mempunyai kelemahan dimana imej yang dihasilkan tidak begitu tajam jika dibandingkan dengan foto yang dirakam tanpa teleconverter. Namun, teknologi terkini telah banyak memperbaiki kelemahan dari segi optik ini, tambahan pula jika anda menggunakan teleconverter yang berkualiti tinggi.

Diharap, penerangan ini dapat membantu anda memahami perkara mengenai teleconverter ini. Untuk benar-benar memahami perkara ini, anda perlu terlebih dahulu memahami asas teknikal fotografi seperti focal length, nilai aperture dan perbezaan stop pada exposure. Sekiranya anda berminat untuk mempelajari asas teknikal fotografi, anda boleh menghadiri kursus Asas Fotografi Digital (AFD) yang diadakan oleh FOTOTEACHER.COM. Anda boleh dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di sini

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

January 10, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

TIPS MERAKAM FOTO INTERIOR

TIPS MERAKAM FOTO INTERIOR
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal dari blog FOTOTEACHER – ‘TIPS MERAKAM GAMBAR INTERIOR’ – 27 Februari 2008)

Di dalam gambar ini, 3 sumber cahaya berbeza digunakan dan diadun secara seimbang. 3 sumber cahaya yang digunakan ialah cahaya semulajadi lampu tungsten dalam rumah, cahaya semulajadi waktu senja dan cahaya flash sebagai fill-in light.

Subjek bahagian depan diterangi dengan menggunakan cahaya flash manakala subjek di latar belakang ‘dirakam’ dengan penggunaan cahaya sedia ada lampu tungsten di dalam rumah tersebut

Wajah subjek (Rizalman Ibrahim) diterangi menggunakan cahaya flash. Untuk melembutkan cahaya flash ini, diffuser besar berbentuk payung digunakan. Walau menggunakan flash, kecerahan subjek di latar belakang diimbangi dengan penggunaan shutter speed yang agak perlahan.

Dalam gambar ini, flash tidak dipancarkan dari depan, tetapi dari sisi kamera untuk menjadikan pencahayaan subjek lebih menarik.

Gambar dirakam dengan satu bounced flash. Subjek berdiri berhampiran dengan meja putih (yang bertindak sebagai reflector) yang membantu membalikkan cahaya ke wajah subjek. Ini dapat melembutkan bayang di bahagian bawah muka subjek.

Foto-foto di atas dirakam untuk keluaran dalam sebuah majalah di Malaysia. Subjek gambar ini adalah gambar rumah pereka fesyen terkenal – Rizalman Ibrahim. Saya ingin kongsi sikit cerita & tips untuk merakam gambar interior seperti ni:
  • Antara cabaran dalam merakam gambar interior ialah untuk mendapatkan sudut yang sesuai. Tugas ini lebih sukar bila kita dalam tempat yang sempit. Biasanya, kita mudah melihat rekaan interior yang cantik dengan mata kita. Tapi, untuk mendapat pemandangan interior yang cantik di dalam kamera, adalah satu cerita yang berbeza. Maksud saya, untuk dapat gambar yang cantik, anda perlu cuba lihat dari banyak sudut berbeza dan melihat melalui focal length lensa yang berlainan. Ada sesetengah sudut yang tidak cantik dilihat dengan mata, tetapi cantik di dalam kamera. Begitu juga sebaliknya…
  • Kadangkala, kita berhadapan dengan keadaan dimana, kita lihat interior itu cantik, tapi bila tengok melalui kamera, macam ada yang tidak kena. Jadi, anda mungkin perlu ubah kedudukan beberapa barang dalam rumah itu. Anda juga mungkin perlu masukkan sesuatu objek yang sesuai untuk menjadikan gambar lebih menarik. Jangan takut untuk mengalih barang dalam rumah tersebut. Ini biasa dilakukan oleh jurugambar interior untuk mencantikkan lagi sesuatu pemandangan interior. Cuma anda perlu berhati-hati mengendalikan barang-barang yang mudah pecah.
  • Walaupun keadaan agak gelap, cuba rakam gambar interior tersebut dengan menggunakan cahaya semulajadi yang ada untuk tunjukkan keadaan yang natural. Anda perlu gunakan tripod dalam keadaan cahaya yang malap (guna shutter speed perlahan). Kalau boleh, cuma guna cahaya flash untuk ‘fill-in’ tempat-tempat penting yang masih gelap.

    Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

    Untuk merakam gambar interior seperti ini, elok jika anda ada kemahiran dalam penggunaan flash. Anda boleh pelajari teknik penggunaan flash dengan menghadiri Bengkel Portable Flash anjuran FOTOTEACHER di – http://fototeacher.com/FlashPhotography.html



November 30, 2010 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – JANGAN LUPA

JANGAN LUPA

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry dalam blog FOTOTEACHER bertajuk ‘Jangan Lupa… ‘ 14 Julai 2007)

Satu ketika dahulu, saya pernah tertinggal bateri kamera dan charger di sebuah restoran tempat saya merakam gambar. Saya telah cas bateri saya di satu sudut di dalam restoran tersebut. Tetapi, apabila tamat tugasan, saya terus pulang dan tertinggal bateri tersebut. Setelah beberapa ketika, barulah saya teringat lalu bergegas semula ke restoran tersebut dan mengambil semula barang yang tertinggal. Mujurlah bateri tersebut masih berada di situ.

Mulai dari hari itu, saya telah menggunakan satu teknik yang memastikan saya tidak lagi tertinggal barang atau tidak terlupa apa-apa perkara penting. Untuk menjamin saya tidak terlupa, saya akan menulis nota pada masking tape dan tampal pada beg kamera saya. Setiap kali saya ingin mengangkat beg kamera saya, saya akan terpandang pada nota yang ditampal pada beg tersebut dan ianya akan mengingatkan saya kepada perkara penting yang ditulis.

Kadang-kadang, kita rasa kita boleh ingat sesuatu perkara. Tetapi, kita tidak boleh jangka apabila berlaku sesuatu yang membuatkan kita kelam kabut, kita akan terlupa perkara penting yang kita sangka kita boleh ingat. Jadi, tulis jangan tak tulis!

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Sertai kami di Facebook untuk dapatkan berbagai tips dan info menarik mengenai fotografi – http://www.facebook.com/fototeacher

November 20, 2010 Categorized under BLOG ARKIB

TIPS MERAKAM FOTO MAJLIS RASMI

TIPS MERAKAM FOTO MAJLIS RASMI
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

(Telah diubahsuai dari entry asal dari blog FOTOTEACHER – ‘Tanya Hasnuddin – Tips Merakam Gambar Event‘ – 27 November 2007)

Untuk mendapatkan rakaman gambar event yang baik, terlebih dahulu, anda mesti berfikir dan melihat event tersebut dari sudut pandangan penganjur acara. Bayangkan diri anda sebagai penganjur yang telah mengeluarkan sejumlah wang dan masa bagi menjayakan event tersebut. Gambar yang bagaimanakah yang ingin anda lihat? Apa yang penting untuk dirakam pada sesuatu event ialah:

  • Perkara material yang berharga seperti gambar dekorasi meja, gambar hiasan pentas, pintu gerbang, goodie bags, backdrop dan sebagainya. Ini kerana, penganjur telah mengeluarkan sejumlah wang untuk perkara-perkara ini dan mereka ingin melihat gambarnya sebagai rekod.
  • Rakam semua gambar tetamu penting, lebih-lebih lagi gambar VIP yang hadir. Bukan mudah untuk dapatkan kehadiran VIP. Kehadiran mereka amat bermakna kepada penganjur.
  • Rakam semua upacara penting seperti ucapan VIP, majlis perasmian, gimmick pembukaan, persembahan dan sebagainya.


Gambar dekorasi juga penting sebagai pelengkap rakaman gambar sesuatu acara. Dari segi teknik, untuk merakam gambar event, anda perlu beri perhatian kepada perkara berikut:

  • Untuk gambar event, biasanya, kreativiti bukanlah perkara paling utama. Apa yang penting, gambar mestilah tajam, cukup terang dan semuanya perlu straight forward. Ini kerana, gambar event biasanya dijadikan sebagai rekod sebagai rujukan pada masa depan.
  • Pastikan anda mendapatkan ekspresi wajah yang baik. Elakkan merakam gambar orang yang tertutup mata, mulut ternganga dan sebagainya. Rakam wajah orang lain sebagaimana anda ingin orang lain rakam wajah anda.
  • Tunjukkan suasana dengan background yang bersesuaian. Sebaiknya rakamlah gambar orang dengan background yang boleh menceritakan event tersebut. Contohnya, rakam gambar orang dengan latarbelakang pentas utama, ini lebih baik dari merakam gambar orang dengan background dinding kosong.
  • Gunakan komposisi dan sudut yang betul. ‘Buang’ perkara yang tidak membantu menceritakan event tersebut. Contohnya, dalam gambar anda, tidak perlu ada gambar kerusi kosong di belakang VIP. Juga ‘masukkan’ perkara yang boleh membantu menceritakan mengenai event. Contohnya, dapatkan gambar backdrop atau banner event tersebut sebagai latarbelakang.


Salah satu teknik untuk merakam gambar event yang baik ialah dengan meminta tetamu VIP bergambar sambil memandang kamera. Ini bagi mendapatkan gambar formal dengan ekspresi wajah yang baik.


Apabila merakam gambar secara kandid, pastikan semua wajah subjek utama anda dalam posisi dimana muka mereka boleh dilihat dengan jelas. Ekspresi wajah subjek utama dalam gambar juga mestilah dalam keadaan yang baik.

Untuk mendapatkan gambar event yang baik, anda juga perlu memahami dan menguasai kemahiran komposisi, teori rule of third, cropping, angle, looking room, head room, mood dan sebagainya. Dengan latihan dan usaha yang bersungguh-sungguh, saya yakin gambar anda akan lebih baik lagi dalam sedikit masa.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Sertai kami di Facebook untuk dapatkan berbagai tips dan info menarik mengenai fotografi – http://www.facebook.com/fototeacher

November 10, 2010 Categorized under BLOG ARKIB

CAJ LUAR KAWASAN UNTUK JURUFOTO PERKAHWINAN

CAJ LUAR KAWASAN UNTUK JURUFOTO PERKAHWINAN
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk ‘Tanya Hasnuddin – Outstation Charge‘ – 2 Oktober 2007)

Saya pernah ditanya oleh seorang jurufoto perkahwinan, bagaimana hendak meletak harga untuk perkhidmatan fotografi di luar kawasan. Apakah dan berapakah kos tambahan yang perlu dikenakan?

Katakan kita tinggal di Kuala Lumpur dan majlis perkahwinan diadakan di Kuala Terengganu. Berapa lamakah masa yang kita perlu ambil untuk sampai ke destinasi kita? Mungkin sekitar 6 jam. Pergi balik akan mengambil masa selama 12 jam. Jika 12 jam masa perjalanan itu digunakan untuk membuat suntingan foto misalnya, kita sudah boleh menyiapkan sebuah album! Jadi, kita perlu kenakan caj untuk masa yang digunakan dalam perjalanan pergi dan balik untuk tugasan luar kawasan.

Berapakah nilai masa anda untuk satu jam? Katakanlah jika nilai masa anda sejam adalah RM50, anda perlu caj RM50 X 12 jam (masa perjalanan pergi dan balik) Bermaksud, pelanggan perlu bayar RM600 untuk masa perjalanan anda. Ingat, itu belum termasuk kos petrol, tol dan penginapan.

Ada satu lagi perkara yang perlu diambil kira untuk harga tugasan luar kawasan. Apabila anda buat tugasan di luar kawasan, anda akan kerugian slot di Kuala Lumpur. Contohnya, jika anda membuat tugasan di Pulau Pinang pada hari Sabtu petang, anda sudah tidak boleh membuat tugasan di Kuala Lumpur di sebelah malamnya. Situasi ini perlu dipertimbangkan jika anda mendapat permintaan yang tinggi untuk merakam foto perkahwinan.

Apa yang saya tulis ini cuma sekadar panduan saja. Kita juga tidak boleh terlalu berkira dengan pelanggan kita. Apa yang penting, kita tidak rugi dan pelanggan juga berpuas hati.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Sertai KURSUS FOTOGRAFI PERKAHWINAN (KFP)
Sertai kursus ini untuk mempelajari berbagai perkara penting mengenai fotografi perkahwinan. Anda akan didedahkan dengan berbagai tips hasil dari pengalaman sebenar Hasnuddin selama lebih dari 15 tahun dalam bidang ini. Anda juga akan didedahkan dengan pengalaman beliau mengasaskan dan mengembangkan perniagaan Adan Cameraworks.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila ke – http://fototeacher.com/kfp.htm

Langgan newsletter percuma dari FOTOTEACHER untuk mendapat tips fotografi dan info terkini dari kami – http://fototeacher.com/subscribe.htm

August 30, 2010 Categorized under BLOG ARKIB

Kamera Murah

Kamera Murah
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

(telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Bang, kamera ni bagus tak???” – 6 Julai 2007)

“Encik Din, kamera yang saya baru beli ini bagus tak?”
- Pertanyaan dari seorang yang baru beli kamera yang ‘tidak berapa mahal’ (kamera murah)
Ini adalah soalan yang paling kerap ditanya kepada saya. Memang susah hendak menjawab soalan ini dalam satu ayat yang ringkas. Namun, saya biasanya akan menjawab soalan ini dengan jawapan ringkas, “It’s not the camera, it’s the man behind the camera”

Namun, biasanya jawapan ini tidak cukup memuaskan hati si polan yang bertanya. Kemudian, saya akan beri jawapan yang lebih panjang, “Kamera mahal untuk orang yang ada banyak duit. Kalau duit tidak begitu banyak, beli sahaja apa kamera yang kita mampu. Gambar cantik atau tidak lebih banyak bergantung kepada kemahiran seseorang jurufoto. Cuma, kamera mahal mempunyai beberapa kelebihan tertentu dan boleh lebih memudahkan kerja.

Kamera murah memang mempunyai beberapa kelemahan, sesuai dengan harganya yang murah. Tetapi, janganlah fikirkan atau fokuskan kepada kelemahan kamera murah tersebut. Kita gunakanlah apa saja yang kamera murah tersebut boleh lakukan untuk dapatkan gambar yang cantik. Contohnya, jika kamera kita tidak boleh rakam foto continuous drive sehingga 10 frames per second, tidak perlulah kita berangan untuk merakam foto aksi dan menembak macam pakai machine gun. Rakam saja foto sekeping demi sekeping dan cuba dapatkan foto yang baik juga. Inilah masanya untuk kita gunakan kemahiran diri kita, bukannya kecanggihan kamera. Jika kita rajin, sabar, berkemahiran dan mungkin adakalanya bernasib baik, kita tetap akan mendapat foto yang baik walau hanya menggunakan kamera murah. Atau jika kamera kita tidak boleh merakam foto sehingga 10 frames per second, lebih baik lagi, elakkan saja merakam foto aksi, kita fokus dulu kepada rakaman subjek lain seperti landscape photography misalnya.

Sama juga halnya jika kita tidak mampu membeli flash. Janganlah risau mengenai flash yang kita tidak mampu beli itu. Gunakan saja built-in flash yang ada pada kamera kita. Walaupun banyak kelemahan atau limitation seperti tidak boleh bounce dan kuasa flash yang tidak kuat, cuba kerja dengan limitation yang ada.  Bila berlatih dengan sumber dan peralatan yang terhad, kemahiran kita akan jadi lebih mantap. Kalau susah sangat pasal flash, lupakan saja mengenai rakaman foto indoor yang memerlukan kita guna flash. Cari subjek atau bidang lain yang tidak memerlukan kita memakai flash. Mahirkan dulu diri kita pada mana-mana bidang yang mampu dilakukan oleh peralatan kita yang terhad.

Saya memulakan perniagaan saya – Adan Cameraworks pada tahun 2001 hanya menggunakan kamera yang paling murah pada waktu itu iaitu kamera Nikon D70 bersama kit lens dan flash lama SB26 sahaja. Dari satu set kamera murah tersebut, saya berniaga, dapat keuntungan dan tambahkan kepada 3 set kamera. Dari 3 set kamera, saya kembangkan perniagaan untuk adakan pejabat yang lengkap. Dari satu perniagaan, saya tambahkan lagi perniagaan lain seperti mewujudkan FOTOTEACHER yang menyediakan khidmat latihan fotografi dan yang terbaru – kedai menjual peralatan fotografi. Pengajarannya – jangan jadikan kamera murah kita itu satu alasan untuk kita tidak boleh maju. Apa yang penting adalah semangat dan kemahiran kita.

Jurufoto zaman dahulu, ramai yang hebat. Tetapi mereka tidak pernah memiliki peralatan kamera secanggih kamera digital sekarang ini. Jurufoto lagenda seperti Ansel Adams dan Henri Cartier Bresson misalnya, cuma menggunakan kamera yang sangat asas, tetapi kehebatan karya foto mereka tidak dapat ditandingi hingga sekarang. Pada zaman itu, tiada Auto Focus, Continuous Drive, LCD preview, Auto Exposure Mode dan sebagainya. Bagi mereka, kamera adalah sekadar alat untuk merakam foto. Tidak lebih dari itu.

Jadi, bagi mereka yang memiliki kamera murah, sahut cabaran saya – anda adalah seorang jurufoto yang hebat bila anda boleh rakam foto yang baik hanya menggunakan kamera yang murah!

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

SERTAI KAMI:

May 10, 2010 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – CARA MERAKAM FOTO SILHOUETTE

blogarkiblogosmall

Cara Merakam Foto Silhouette
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Entry asal dari blog FOTOTEACHER – 30 Jun 2007

Untuk rakam gambar silhouette, kecerahan subjek dan latarbelakang mestilah mempunyai perbezaan kecerahan sekitar 4 stop atau lebih. Ini bermaksud, subjek dan latarbelakang mesti mempunyai perbezaan kecerahan yang ketara. Kalau subjek dan background berada dalam kecerahan cahaya yang hampir sama, gambar silhouette tak akan dapat dihasilkan.

Expose gambar anda supaya subjek menjadi under expose 4 stop atau lebih. Exposure untuk background boleh jadi normal atau over expose, bergantung kepada situasi.

Gambar silhouette boleh dirakam dalam keadaan dimana subjek berada dalam tempat gelap manakala latarbelakangnya terang. Untuk cuba teknik ini, anda boleh rakam satu subjek di dalam rumah (di tepi tingkap) dengan latarbelakangnya adalah pemandangan luar rumah diwaktu siang yang panas. Anda pasti akan dapat hasilkan silhouette.

silhoutte
Gambar silhouette – seorang kanak-kanak di tepi tingkap

Artikel dan foto adalah hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM. Tidak dibenarkan disiarkan semula tanpa kebenaran bertulis dari FOTOTEACHER.COM

SERTAI BERBAGAI KURSUS FOTOGRAFI ANJURAN FOTOTEACHER.COM. UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA KLIK DI SINI

May 1, 2010 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – HARGA MURAH UNTUK KAWAN-KAWAN?

blogarkiblogosmall

HARGA MURAH UNTUK KAWAN-KAWAN?
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Entry asal 23 April 2007

Bagi anda yang menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan…

Kita tentu selalu dengar ayat macam ni – “Takkan takde diskaun untuk kawan-kawan?” Ayat ni kita biasa dengar bila ‘kawan’ kita nak guna khidmat kita untuk rakam gambar untuk mereka… Masalahnya di sini:

1) Diskaun ‘harga kawan-kawan’ tu adakalanya tak munasabah. Dahlah mintak diskaun sampai kita hampir rugi, lepas tu nak free gift lagi, lepas tu nak kualiti ngalahkan anak raja… Dan yang paling peritnya, bila time nak bayar, bukan main liat lagi…

2) Kalau kawan yang mintak diskaun tu memang kawan lama dan kawan baik yang dah banyak berjasa, tak apa jugak. Memang dengan rela hati, saya boleh bagi FREE aje. Tapi masalahnya, jenis kawan yang hanya mengaku kawan bila nak guna khidmat kita. Kawan kepada kawan kepada kawan kita pun mengaku jadi kawan kita dan nak mintak diskaun. Teruk la macam ni…

Maaflah, wahai ‘kawan-kawan’, saya terpaksa bercakap yang benar untuk mengubah mentaliti orang kita. Sepatutnya, kalau ada kawan kita buat bisnes, kita bukan mintak harga murah, tapi, lebih baik kalau kita bayar dia harga yang sepatutnya untuk menyokong dan memajukan lagi bisnes kawan kita tu. Kalau asyik bayar murah, macamana orang kita nak maju berniaga?

Ada sorang kawan saya mintak saya shoot gambar kahwin dia. Disebabkan kawan saya ni banyak berjasa dengan saya, maka saya cakap kat dia, saya nak bagi FREE aje. Dia cakap, “Jangan bagi free. Kau charge berapa kau nak charge. Aku takut kalau kau bagi free nanti, aku dapat kualiti macam gambar free!” Saya respek dengan mentaliti dia ni. Dia faham pasal bisnes.

Saya ada sorang makcik yang jual nasi lemak. Dia ni baik hati dan selalu panggil kitaorang datang makan kat rumah dia. Satu hari tu, saya tak ada duit nak makan (ni cerita zaman dulu la ni…) So, saya pun pergi le ke gerai makcik saya ni dengan harapan nak makan nasi lemak free. Bila dah habis makan, makcik saya suruh saya bayar – dia tak bagi kurang satu sen pun! Saya kena bayar macam harga orang lain jugak. Prinsip dia, kalau berniaga kena tegas. Tak kira sedara ke, kawan ke, harga sama. Business is business. Saya belajar sesuatu dari dia…

Macam jugak satu cerita ni, saya pernah nak beli barang dari sorang tauke cina yang agak baik dengan saya. Saya mintak dia bagi diskaun RM 2 dari harga asal. Puas mintak, dia tak bagi jugak sebab tu dah best price katanya. Last sekali dia kata, “Kawan, ni harga sudah spesel, gua tak boleh kasi kurang, nanti gua rugi. Lu bayar ini harga, nanti gua belanja lu minum kopi, itu lain cerita”

So, saya faham, tauke ni ada prinsip. Dia berniaga mesti ada untung. Tapi, kalau di luar bisnes dia, dia boleh ‘rugi’ untuk belanja kawan minum kopi. Macam makcik saya yang jual nasi lemak tu jugak, rajin belanja sedara mara makan kat rumah dia dan selalu bagi hadiah kepada anak-anak buah. Tapi, kalau nak beli barang dengan dia, strictly no diskaun! Again, business is business.

Sekarang ni kalau ada kawan-kawan atau sedara-mara yang tak faham pasal bisnes datang nak mintak khidmat kami, saya dengan baiknya akan menolak dengan berkata, “Maaflah, tak boleh buat job tu, kami dah ada job lain….”

Apa pendapat anda? Mari kita kongsi bersama…

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Entry asal 23 April 2007

DAPATKAN ARTIKEL FOTOGRAFI PERCUMA, DIHANTAR TERUS KE E-MEL ANDA. SILA KLIK DI SINI

April 16, 2010 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – WAYAR BERSERABUT, OTAK BERSERABUT

blogarkiblogosmall

WAYAR BERSERABUT, OTAK BERSERABUT
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Entry asal 20 April 2007

Bila guna kamera digital ni, kita banyak menggunakan equipment yang berwayar – wayar charger bateri kamera, wayar charger bateri rechargeable AA, wayar USB, wayar video output dan sebagainya. Kalau wayar ni tidak diuruskan dengan betul, kadang2 tu berserabut kepala kita nak meleraikan wayar yang berserabut tu. Kerja pun boleh jadi lambat.

serabut1
Ni baru satu wayar. Bayangkan kalau ada 2-3 wayar lain yang bergumpal sekali…

Untuk memastikan equipment berwayar ni semua sentiasa kemas dalam beg kamera saya, saya gunakan velcro strap untuk ikat wayar-wayar ni. Velcro wire strap ni boleh dibeli di ACE HARDWARE. Saya beli ni di ACE HARDWARE Midvalley Megamall.

serabut2
Velcro wire strap

Bila dah ikat wayar ni elok2 dengan velcro wire strap ni, nampak kemas la sikit… Saya jenis tak boleh tengok barang bersepah dan berserabut. Saya suka semuanya dalam keadaan yang kemas. Disiplin macam ni rasanya penting untuk bekerja dengan lebih efisyen dan lebih profesional.

serabut3
Nampak lebih kemas? Apa pendapat anda?

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Jadilah ‘fan’ di PAGE FOTOTEACHER dalam FACEBOOK dan dapatkan berbagai keistimewaan! Sila ke – http://www.facebook.com/fototeacher