Archive for the “BLOG ARKIB” Category

December 28, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – Belajar Fotografi dari Ramai Guru

Belajar Fotografi Dari Ramai Guru
Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Belajar Fotografi Dari Ramai Guru”– 22 April 2009)

Kita tidak boleh terlalu taksub dengan seorang guru tertentu dalam mempelajari ilmu fotografi atau ilmu apa sekalipun. Bila saya mengajar fotografi, saya akan ingatkan pelajar saya supaya jangan terima bulat-bulat pendapat dan cara saya. Saya juga selalu ingatkan supaya, selepas belajar dengan saya, belajarlah lagi dengan guru lain. Saya tidak tahu semua perkara dalam dunia fotografi. Tidak ada orang yang pakar dalam semua bidang. Jadi, belajarlah dari ramai guru kerana setiap orang guru mempunyai kepakaran yang tersendiri.

Jika guru lain menyampaikan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang saya ajarkan, janganlah terus membuat tuduhan guru mana yang salah. Sebaliknya, gunakanlah akal fikiran sendiri untuk membuat keputusan, pendapat mana yang lebih sesuai dengan diri kita.

Saya pernah terjumpa seorang jurugambar baru yang terlalu mendewakan gurunya yang seorang itu. Baginya, hanya seorang guru sahaja yang betul. Apa saja pendapat dari guru lain atau orang lain akan ditolak mentah-mentah. Alangkah ruginya jika kita bersikap seperti ini kerana ilmu kita takkan berkembang dan bertambah.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Untuk mengikuti kursus dan bengkel fotografi anjuran fototeacher, sila ke –http://www.fototeacher.com
Untuk mendapat artikel dan informasi percuma dari fototeacher, sila ke –http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

December 17, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – Potret di Lokasi Luar

BLOG ARKIB – Potret di Lokasi Luar
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Potret di Lokasi Luar”– 7 April 2009)

Gambar ini saya rakam di sebuah sungai di Kuala Selangor. Gambar ini tidaklah sehebat mana. Namun, di sini, saya ingin kongsikan sedikit cerita di sebalik pembikinan gambar ini.

Sebenarnya, saya tidak dapat 100% apa yang saya inginkan dari sesi fotografi ini. Namun, inilah gambar terbaik yang saya terpaksa pilih. Sebenarnya, gambar ini dirakam jauh di tengah sungai. Namun, saya kesal kerana hasil gambar ini tidak menunjukkan sedemikian.

Masalah utama saya di sini ialah arus sungai yang agak deras yang menyebabkan sampan yang dinaiki pasangan ini sering dibawa arus ke tempat yang tidak sepatutnya. Sebenarnya, krew yang terlibat untuk sesi fotografi ini terdiri dari 7 orang. Krew yang terlibat ialah: Saya sebagai jurugambar, seorang koordinator (menyelaras lokasi, makanan, props, tatarias dan sebagainya), seorang pembantu jurugambar, seorang Lighting Man, seorang Assistant Lighting Man, seorang pendayung sampan dan seorang pemandu bot enjin. Kami menggunakan 2 buah sampan dan sebuah bot enjin. Saya memerlukan Lighting Man kerana pada asalnya, saya bercadang untuk merakam gambar menggunakan flash di waktu gelap senja, tapi, arus sungai terlalu deras pada waktu itu, lalu rancangan tersebut dibatalkan.

Sehari sebelum penggambaran, kami terlebih dahulu membuat tinjauan atau recce di sekitar Kuala Selangor. Kami mencari lokasi sungai yang sesuai, jeti, bot untuk disewa dan yang paling penting sekali – sampan tradisional! Setelah puas mencari, kami berjaya juga menjumpai tuan punya sampan yang sudi menyewakan sampannya.  Kemudian, kami mencari beberapa props yang sesuai seperti lampu minyak tanah dan mangkuk tingkat di pekan berhampiran.

Beberapa minggu sebelum itu, saya telah memcari idea konsep penggambaran dan membuat lakaran idea mengenai sesi fotografi ini. Setelah berbincang dengan subjek saya, mereka bersetuju dengan idea tersebut. Kemudian, kami berbincang pula tentang pakaian yang sesuai untuk penggambaran ini.

Kesimpulannya, untuk mendapatkan gambar yang kita inginkan, kadangkala memerlukan perancangan dan persediaan yang  rapi. Untuk tugasan ini, 80% masa terlibat adalah untuk persediaan, cuma 20% masa digunakan untuk penggambaran dan suntingan gambar.

Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Dapatkan berbagai artikel dan tips fotografi – dihantar terus ke e-mel anda. Langgan newsletter percuma dari FOTOTEACHER di – http://fototeacher.com/subscribe.htm

November 20, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?

Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?
Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?”– 30 Mac 2009)

Kadangkala kita takut melihat ribuan orang yang mendakwa diri mereka sebagai jurufoto. Begitu ramai sekali jurufoto sekarang ini. Mana mungkin kita boleh bersaing dalam keadaan begini? Masih adakah harapan untuk kita  berjaya dalam perniagaan fotografi?

Kita harus melihat fenomena ini dari sudut yang positif. Kebanjiran peminat fotografi di seluruh dunia ketika ini telah membuatkan harga peralatan kamera menjadi jauh lebih murah dari sebelumnya. Ini kerana, produk kamera boleh dikeluarkan secara besar-besaran dan ini telah dapat menurunkan harganya. Proses perkongisan ilmu fotografi juga telah menjadi lebih mudah kerana adanya komuniti yang besar di dalam bidang ini.

Cuma, apa yang tidak menyenangkan ialah, dari sudut perniagaan, nilai upah seseorang jurufoto dikatakan telah menurun. Akibat persaingan yang terlalu sengit, ada segelintir jurufoto memotong harga untuk membolehkan dirinya mendapat sesuatu kerja atau tugasan fotografi. Namun, pada pendapat saya, jurufoto yang memotong harga secara keterlaluan, akan memakan diri sendiri dalam jangka masa panjang.

Jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan anda, anda tidak perlu risau akan kebanjiran peminat fotografi sekarang. Majoriti peminat fotografi hanya menjadikan fotografi sebagai hobi. Peluang perniagaan dalam fotografi masih terbuka luas sebenarnya. Anda cuma perlu kreatif dalam mencari peluang. Masih ada banyak bidang pasaran fotografi yang masih belum diterokai.

Di kalangan jurufoto yang menjadikan fotografi sebagai punca pendapatan pula, bukan semuanya benar-benar serius. Ada yang sekadar cuba-cuba. Ada yang melakukannya secara sambilan untuk tempoh yang singkat sahaja. Untuk menjadi seorang jurufoto profesional bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang kita sangkakan. Merakam gambar untuk wang memerlukan disiplin, kerja kuat, kemahiran tinggi, kecekapan, sanggup menghadapi risiko, mempunyai kekuatan kewangan, sanggup menerima tekanan dari pelanggan dan sebagainya. Hanya yang kuat dan terbaik sahaja yang akan berjaya.

Ya, jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan anda, peluangnya masih ada.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Untuk mengikuti kursus dan bengkel fotografi anjuran fototeacher, sila ke –http://www.fototeacher.com

Untuk mendapat artikel dan informasi percuma dari fototeacher, sila ke –http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

October 23, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – APA ITU BULB?

APA ITU BULB?
Oleh: Hasnuddin Abu Samah

(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Apa Itu Bulb?”– 15 Mac 2009)

Pada kamera DSLR kita, kita akan jumpa pelarasan shutter speed yang dinamakan BULB. Apabila kita menggunakan setting BULB, shutter akan terbuka apabila shutter release button ditekan. Selagi kita tidak lepaskan shutter release button tersebut, selagi itulah shutter akan terus terbuka. Ini bermaksud, anda boleh tentukan sendiri berapa lama shutter ingin dibuka.

Kebanyakan kamera DSLR mempunyai kawalan shutter speed diantara kelajuan 1/4000 saat sehingga ke 30 saat. Jika anda ingin membuka shutter lebih lama dari 30 saat, anda boleh laraskan kawalan shutter kepada BULB.

Setting BULB biasanya digunakan dalam keadaan cahaya yang kurang seperti pada waktu malam. Dengan membuka shutter dalam satu tempoh yang panjang, lebih banyak cahaya akan masuk. Dengan ini, suasana yang gelap akan dapat dicerahkan.

Tapi, bila menggunakan slow shutter, anda perlu pastikan kamera berada dalam keadaan stabil tanpa ada sebarang gegaran ketika foto sedang dirakam. Anda boleh gunakan tripod untuk mengatasi masalah ini. Anda juga perlu pastikan subjek anda tidak bergerak apabila menggunakan slow shutter.

Mengapa BULB dinamakan BULB?

BULB mendapat namanya dari ‘flash bulb‘. Pada zaman awal fotografi, apabila jurufoto ingin merakam gambar dengan flash bulb, mereka perlu membuka shutter dalam tempoh yang agak panjang. Setelah shutter terbuka, flash bulb akan dipancarkan secara manual oleh jurugambar. Setelah itu, jurugambar perlu menutup semula shutter. Sebab itulah, shutter perlahan dimana kita kawal bila ianya dibuka dan ditutup dinamakan BULB.

Jurugambar zaman lalu perlu menggunakan BULB apabila ingin merakam gambar menggunakan flash. Ini berbeza dengan teknologi sekarang. Kini Flash boleh dipancarkan secara otomatik sebaik shutter terbuka. Ini juga disebut sebagai flash synchronization.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Dapatkan berbagai artikel dan tips fotografi – dihantar terus ke e-mel anda. Langgan newsletter percuma dari FOTOTEACHER di – http://fototeacher.com/subscribe.htm

September 30, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – PENJAGAAN PERALATAN

Penjagaan Peralatan
Oleh: Amir Ridhwan untuk fototeacher.com
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Penjagaan Peralatan”– 12 Januari 2009)

Ketika saya mengambil gambar di satu majlis kecil di pejabat, tiba-tiba flash saya tidak menyala. Memang panik sekejap kerana ini tidak pernah lagi berlaku kepada saya sebelum ini. Setelah beberapa frame yang saya lepaskan akhirnya flash tersebut menyala juga tetapi tidak konsisten. Saya telah periksa semua setting seperti shutter release priority namun masalah sama masih berulang. Memandangkan saya akan pergi bercuti, saya agak keberatan untuk menghantarnya ke pusat servis takut tidak sempat siap.

Setelah berfikir sejenak, saya rasa mungkin puncanya ialah lekapan (contact) antara flash dan hotshoe yang mungkin tidak bersih. Maklumlah selama ini sudah bertahun-tahun saya menggunakannya tanpa peduli untuk mencuci bahagian yang melibatkan contact tersebut. Lagipun saya lebih banyak mengambil gambar di kawasan hutan yang mana sistem kamera saya banyak terdedah kepada debu dan kotoran.

Apa yang saya lakukan ialah menyental logam contact pada hotshoe kamera (tempat melekapkan flash) menggunakan getah pemadam. Ini adalah kaedah paling mudah untuk mencuci contact point untuk kebanyakan alat elektronik malah digunakan juga untuk menyelenggara mesin elektronik yang kompleks. Setelah daki pada hotshoe dibuang, saya gunakan pengepam angin (air blower) untuk membuang sisa getah pemadam atau anda boleh lap dengan kain yang biasa digunakan untuk mengelap lensa. Apa yang bagus tentang kain sebegini ialah ia tidak meninggalkan sisa benang pada permukaan yang dilap.

Kaedah penjagaan umum yang lain termasuklah menyimpan sistem kamera anda di dalam drybox. Walaupun drybox agak mahal, namun kelebihannya ialah ia boleh mengawal kadar kelembapan di dalam drybox tersebut. Ini penting kerana kelembapan yang tinggi menggalakkan pertumbuhan fungus manakala coating pada lensa boleh merekah jika kelembapan terlalu rendah. Jika anda tidak mampu, gunakan tong plastik kedap udara yang diisi dengan silikon penyerap air (silica gel). Buka tudung tong tersebut setiap 2-3 minggu untuk memastikan udara di dalamnya tidak terlalu kering.


Drybox jenama AIPO yang boleh didapati di Malaysia.

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa penjagaan peralatan adalah perkara yang leceh. Tetapi, anda perlu melabur sedikit masa dan wang untuk memastikan peralatan fotografi anda yang bernilai ribuan ringgit selamat daripada dirosakkan oleh fungus. Apa yang lebih penting ialah, kamera anda perlu sentiasa dalam keadaan elok dan bukannya meragam tiba-tiba pada waktu kritikal.

Oleh: Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

Dapatkan berbagai artikel dan tips fotografi – dihantar terus ke e-mel anda. Langgan newsletter percuma dari FOTOTEACHER di – http://fototeacher.com/subscribe.htm


September 20, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – Editing Melampau

EDITING MELAMPAU
Oleh: Amir Ridhwan untuk fototeacher.com
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Editing Melampau”– 11 Januari 2009)

Di era digital kini, kita tidak dapat lari daripada melakukuan post processing yang melibatkan manipulasi imej secara digital dalam komputer. Antara perisian yang popular di kalangan jurugambar adalah Adobe Photoshop, Lightroom dan Picasa. Post processing atau editing adalah peringkat kedua dalam penghasilan foto dimana kecacatan dapat dikurangkan dan beberapa aspek lain dapat diolah agar menghasilkan imej yang menepati citarasa jurufoto.

Daripada teknik asas seperti curve, sharpening dan cropping hinggalah ke teknik yang lebih tinggi seperti level masking. Apa yang penting ialah anda perlu tahu apakah hasil yang anda inginkan di akhir proses tersebut. Ada kalanya kita cuba edit sesebuah gambar ikut sesedap rasa sehingga gambar tersebut kelihatan cantik namun kaedah cuba jaya bukanlah cara yang efektif untuk melahirkan kreativiti. Seharusnya apabila anda melihat foto yang belum diedit, anda boleh membayangkan apa yang perlu dilakukan agar foto tersebut menjadi lebih sempurna. Cari apa yang kurang dan apa yang tidak boleh dikompromi. Dari situ anda memulakan kaedah editing sehingga foto tersebut mencapai apa yang dihasratkan.

Di kalangan jurugambar baru, mungkin kaedah editing ini sesuatu yang agak perlahan untuk dimahiri. Maklumlah untuk mahir dalam teknik fotografi pun banyak masa yang perlu dilaburkan. Adakalanya saya melihat hasil editing yang agak keterlaluan seperti levelling yang terlalu agresif sehingga dynamic range jadi sempit dan sharpening yang terlalu tinggi sehingga kulit manusia kelihatan seperti plastik. Jika anda tidak pasti di manakan garis yang perlu diletakkan antara cukup dan keterlaluan, sila bayangkan hasil akhir sebelum anda memulakan proses editing.

Ada juga kes di mana editing melampau digunakan untuk menyelamatkan gambar yang agak teruk. Biasanya kes over/under expose, salah white balance dan noise akan menjadi mangsa editing yang berlebih-lebihan agar kecacatan tersebut dapat ditutup. Memang kesilapan teknikal sebegini boleh diselamatkan dengan editing tetapi adalah lebih baik jika jurufoto dapat menyesuaikan semua aspek ketika gambar dirakam. Bukan sahaja editing berlebihan akan memakan masa tetapi kesan sampingan seperti peningkatan noise dan kehilangan dynamic range akan menjejaskan kualiti gambar.

Oleh: Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

Pelajari teknik yang betul untuk mencantikkan foto semasa post processing
Sertai Bengkel Asas Photoshop oleh FOTOTEACHER.COM!
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila ke – http://fototeacher.com/photoshop.htm

Dapatkan berbagai artikel dan tips fotografi – dihantar terus ke e-mel anda. Langgan newsletter percuma dari FOTOTEACHER di – http://fototeacher.com/subscribe.htm


August 30, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – Rahsia Fotografi dan Pembancuh Kopi

BLOG ARKIB – Rahsia Fotografi dan Pembancuh Kopi
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Rahsia Fotografi dan Pembancuh Kopi”– 6 Mac 2009)

Rahsia perniagaan atau trade secret adalah satu cabang ilmu yang amat sukar diperolehi. Seseorang jurufoto akan menyimpan rahsia ilmu tertentu agar dirinya boleh terus bersaing dalam perniagaan fotografi yang diceburi. Walaupun ilmu ini dirahsiakan, anda tetap boleh mendapatkannya dengan cara belajar dari ramai orang jurufoto.

Saya teringat sebuah kisah yang diceritakan oleh arwah datuk saya. Kisahnya mengenai seorang pemuda bernama Ali yang ingin membuka sebuah kedai kopi. Beliau ingin belajar cara membuat kopi yang sedap. Tetapi, tidak ada sesiapa yang ingin mengajar dan mendedahkan rahsia bancuhan kopi yang sedap itu.

Demi untuk mendapatkan rahsia ini, Ali telah bekerja di Kedai Kopi Abu. Abu membancuh kopi dengan memasukkan mentega dan 2 bahan rahsia ke dalam kopinya. Kopi Abu memang sedap. Tapi, 2 bahan rahsia itu tetap menjadi misteri.

Setelah beberapa lama bekerja di Kedai Kopi Abu, Ali bekerja di Kedai Kopi Kasim pula. Kopi Kassim pun memang sedap. Ali perhatikan Kassim memasukkan kapur dan dua bahan rahsia lain dalam kopinya. Sekarang, Ali telah dapat tahu, 2 bahan penting dalam bancuhan kopi adalah mentega dan kapur!

Akhir sekali, Ali telah bekerja dengan Kedai Kopi Mamat. Mamat juga tidak mendedahkan rahsia cara membuat kopi yang sedap. Tetapi, Ali dapat melihat, Mamat memasukkan garam bersama 2 bahan rahsia di dalam kopinya. Kini, Ali telah mendapat tahu ketiga-tiga bahan rahsia dalam bancuhan kopi yang sedap!

Pengajaran dari cerita diatas? Bekerjalah dengan beberapa orang jurufoto. Setiap jurufoto mungkin akan menyembunyikan rahsia tertentu. Kalau pun dia tidak berniat untuk merahsiakan ilmu tertentu, setiap orang jurufoto mempunyai kelemahan dan kelebihan yang tersendiri dalam ilmu yang mereka miliki. Jika anda bekerja dan belajar dari ramai jurufoto, anda akan dapat berbagai jenis ilmu dan kepakaran dari ‘guru-guru’ anda ini!

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Untuk mengikuti kursus dan bengkel fotografi anjuran fototeacher, sila ke –http://www.fototeacher.com

Untuk mendapat artikel dan informasi percuma dari fototeacher, sila ke –http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

August 20, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – Ibnu Haytam & Fotografi

BLOG ARKIB – Ibnu Haytam & Fotografi
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Ibnu Haytam & Fotografi”– 2 Januari 2009)

Ibnu Haytam & Fotografi
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Beliau adalah seorang berketurunan Iraq yang lahir di Basra pada tahun 965 masihi. Beliau dikenali di zamannya sebagai cendikiawan Islam tersohor dan oleh saintis sedunia sebagai bapa optik moden.

Apa yang menarik tentang beliau ialah sumbangannya terhadap kajian optik yang mana ratusan tahun selepas itu menjadi asas kepada fotografi. Dalam kitabnya berkenaan kajian optik, Ibnu Haytam telah menggariskan beberapa teori dan eksperimen tentang sifat cahaya seperti kesan biasan dan pantulan. Ratusan tahun sebelum kelahiran saintis terkemuka Sir Isaac Newton, Ibnu Haytam telah menulis tentang sifat cahaya yang hanya bergerak dalam garis lurus dan mempunyai ciri-ciri zarah. Bahkan Kitab Optik (Al-Manazir) tulisan beliau telah diletakkan sama taraf dengan karya agung Sir Isaac Newton, Philosophiae Naturalis Principia Mathematica, kerana sumbangannya yang sangat besar kepada asas fizik sedunia.

Fotografi terbit daripada ciptaan kamera lubang jarum. Sesiapa yang pernah mempelajari teori berkenaan kamera lubang jarum tentu jelas tentang sifat imej yang terbentuk- lebih kecil dan terbalik secara vertikal. Ciri-ciri ini telah dijelaskan dengan kaedah saintifik  oleh Ibnu Haytam yang mana membolehkan pengiraan jitu dilakukan untuk membuat lensa yang sesuai. Walaupun kemungkinan besar beliau tidak pernah terfikir bahawa imej tersebut satu hari nanti dapat diabadikan sebagai foto, kerja asas untuk mencipta kamera telah dihuraikan dalam tulisan beliau.

Sepanjang hayat beliau dipercayai telah menulis lebih 200 buku namun kebanyakannya telah musnah. Sebahagian besar buku yang selamat hanyalah salinan yang telah dialih bahasa ke Latin dan Hebrew (Yahudi) ketika Perang Salib.

Oleh Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

Dapatkan berbagai aksesori fotografi di kedai online FOTOTEACHER di – http://www.fototeacher.com/shop.html

August 10, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – Puji, Kritik dan Kutuk

BLOG ARKIB – Puji, Kritik dan Kutuk
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Puji, Kritik dan Kutuk”– 28 Januari 2009)

Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk fototeacher.com

Untuk perbaiki karya fotografi kita, kita perlukan komen, malah kritikan dari individu lain. Dengan ini, barulah kita nampak kelemahan kita yang perlu diperbaiki. Dengan cara ini juga kita akan dapat input baru hasil dari pendapat, menerusi pengalaman orang yang memberikan komen kepada gambar kita.

Tapi, adakah kita ikhlas ingin belajar dengan menerima komen dari orang lain? Adakah kita akan berpuas hati dengan komen yang diberikan kepada gambar kita? Hakikatnya, kebenaran memang adakalanya pahit ditelan.

Bila dilihat dalam blog, foto blog dan sebagainya, rakan-rakan yang memberikan komen kepada gambar kita selalunya akan memberikan komen yang baik saja mengenai gambar yang kita rakam. Ini semata-mata untuk menjaga hati dan menjalinkan hubungan yang baik. Kita perlu menganggap komen ini sebagai ‘komen sosial’ yang tidak banyak membantu perkembangan fotografi kita. Kalau kita rasa bangga dan berpuas hati dengan ‘komen sosial’ yang diberikan ini, alamatnya, kita takkan kemana di dalam fotografi.

Masyarakat kita tidak mudah menerima kritikan. Masyarakat kita juga tidak pandai memberikan kritikan. Kritikan yang baik harus diberikan dengan cara yang berhemah. Kritikan yang baik perlu disertakan dengan fakta yang kukuh. Ianya juga sebaiknya desertakan dengan panduan atau cadangan bagi membantu orang yang dikritik itu memperbaiki hasil kerjanya.

Kita harus boleh bezakan antara mengkritik dan mengutuk. Kita harus boleh bezakan diantara kritikan membina dan cacian yang mengaibkan. Jadi, untuk kemajuan kita bersama, kita harus bijak mengkritik dan harus rasional dalam menerima kritikan. Barulah kita semua boleh maju dalam bidang fotografi.

Tidak ada sesiapa yang sempurna. Tidak ada gambar yang sempurna. Walau sehandal manapun kita dan walau secantik manapun gambar kita, sentiasa masih ada ruang untuk diperbaiki. Jadi, sentiasa akan ada ruang untuk dikritik. Untuk sentiasa maju, kita harus sentiasa boleh dikritik.

Dalam konteks untuk memperbaiki diri, bila ada orang puji gambar kita, kita kena pertimbangkan 2 perkara ini: iaitu yang pertamanya orang itu mungkin tidak cukup hebat dalam fotografi kerana dengan mudah memuji gambar yang kita rakam dan yang keduanya, kita adalah orang yang malang sebab kita sudah tidak ada ruang untuk belajar dan memperbaiki diri kerana gambar kita kononnya sudah sempurna.

Namun, bila dikritik, adakalanya, kita perlu mempertahankan pendirian kita jika kita ada sebab yang kukuh. Kita tidak perlu menerima semua kritikan bulat-bulat. Sebab, kadangkala, orang yang mengkritik itu pun sebenarnya tidak layak untuk mengkritik.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk fototeacher.com

Sila layari laman Facebook FOTOTEACHER di – http://www.facebook.com/fototeacher

July 30, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – Kamera Murah dan RM1 Juta

BLOG ARKIB – Kamera Murah dan RM1 Juta
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Kamera Murah dan RM1 Juta”– 7 Disember 2008)

Dari Kiri – Flash Nikon SB 26, Lensa Nikkor 28-105mm f/3.3-4.5 dan Kamera filem Nikon F80.

Peralatan di atas memberikan nostalgia yang penting dalam hidup saya.
Walaupun ianya adalah kamera lama dan ketinggalan zaman, saya masih
simpan peralatan ini dengan baik. Menambahkan ‘sayang’ saya pada setiap
satu peralatan ini ialah kerana saya membelinya pada satu ketika dulu dengan
wang yang begitu terasa besar nilainya buat saya.

Flash itu sudah berusia lebih dari 13 tahun. Saya beli ketika masih lagi belajar di
ITM. Saya beli flash ini hasil dari wang yang dikumpul beberapa bulan hasil
dari kerja-kerja fotografi sambilan yang dibuat. Harganya pada waktu
itu RM850, terasa cukup besar bagai menggigil nak membayar.

Lensa itu pula adalah lensa terpakai yang dibeli pada tahun 2001.
Waktu itu duit yang ada hanya cukup-cukup untuk bayar harga lensa.
Wang RM800 yang dikeluarkan tidak meninggalkan baki di dalam dompet.
Tapi hati tetap senang bila dapat bawa pulang lensa baru.

Kamera Nikon F80 ini saya beli dengan harga RM1,600 ketika mula-mula
menubuhkan Adan Impresif pada tahun 2001. Di waktu itu, jurugambar
perkahwinan yang lain sudah ramai menggunakan kamera yang lebih gah
seperti F90 dan F100. Saya terpaksa berpuas hati dengan kamera F80
yang bertaraf kamera amatur ini – janji boleh buat kerja untuk menampung
keperluan hidup pada waktu itu.

Dengan keseluruhan peralatan yang berharga RM3,250.00, saya mendirikan
Adan Impresif. Sedar tak sedar, berpunca dari kamera buruk inilah yang
telah membuahkan berbagai keuntungan dalam perniagaan saya sekarang.
Bak kata pepatah, perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah
pertama.

Ada apa dengan modal wang? Kita ada masa 24 jam sehari, kita
masing-masing dianugerahkan dengan bakat yang unik. Gunakan apa saja
yang ada. Jangan merungut dengan apa yang kita tidak ada. Saya masih
ingat, Tan Sri Halim Mohammad (Pemilik Halim Mazmin, salah seorang
multi jutawan Malaysia) pernah berkata kepada saya, “Orang ‘kita’
berniaga tak banyak modal wang. Tapi kita ada modal kemahiran dan
masa. Gunakan ini habis-habisan. Cuma ini yang kita ada”

Tidak keterlaluan jika saya katakan, kamera ini telah membantu saya
membuat lebih dari RM1 juta ringgit untuk Adan Impresif. Saya tidak kata
saya jutawan sebab saya tidak ada RM1 juta di dalam bank sekarang. Tetapi,
jutaan ringgit telah dibuat di dalam tempoh lebih dari 10 tahun walaupun
kebanyakannya telah ‘hangus’ membayar sewa, gaji, stok dan sebagainya.

Tanpa bapa, tidak ada anak. Tanpa kamera murah, tidak ada kamera mahal.
Walaupun kamera buruk saya ini sudah tidak digunakan sekarang, rasanya tidak
patutlah ianya dijual. Biarlah disimpan saja sebagai satu lambang kepada semangat
keusahawanan yang akan terus saya ingati.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


Dapatkan artikel fotografi percuma dari FOTOTEACHER.COM. Sila klik di sini.

July 20, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – 100 TAHUN BELAJAR FOTOGRAFI

BLOG ARKIB – 100 TAHUN BELAJAR FOTOGRAFI
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“100 TAHUN BELAJAR FOTOGRAFI”– 27 November 2008)

Walaupun kita ada 100 tahun untuk belajar fotografi, kita takkan habis
belajar mengenai fotografi. Kalau kita tahu segalanya pun, kita takkan
mahir dalam segala bidang pengkhususan fotografi. Begitulah luasnya
ilmu fotografi.

Bercakap mengenai kamera saja sudah cukup luas bidangnya. Kebanyakan
kita yang heboh dengan dunia fotografi sekarang ini, cuma ‘melihat’
fotografi dalam skop DSLR 35mm sahaja. 35mm ni adalah format paling
kecil dalam dunia kamera profesional, ibarat adik bongsu. Masih luas
untuk kita menjelajah dalam dunia medium format apatah lagi large
format
. Dikala kita masih terkapai-kapai bermain dengan CLS portable
flash
, kita masih kabur dengan monoblock flash, apatah lagi power pack
flash
jauh sekali bereksperimen dengan continuous light seperti HMI Arri
contohnya.

Semakin banyak kita menuntut ilmu, semakin sedarlah kita bahawa, lebih
banyak lagi ilmu yang kita tidak tahu. Jika kita hanya duduk di
pantai, kita tidak dapat bayangkan betapa luasnya laut…

Seorang jurufoto terhebat dalam bidang pengiklanan misalnya, sedar
bahawa, dia tidak sehebat mana dalam bidang fotografi lain yang bukan
dalam bidang pengkhususannya. Menjadi seorang  jurufoto perkahwinan
pun bukan semudah yang disangka. Sesiapa pun boleh jadi jurufoto dalam
apa-apa bidang sekalipun. Tetapi, untuk jadi yang terbaik diantara yang terbaik…
hanya satu dalam sejuta.

Kadangkala, sedih melihat, segolongan jurufoto yang baru beberapa
kali minum kopi bersama jurufoto ternama, sudah merasakan dirinya
sehebat mentornya. Baru beberapa kali gambarnya dipuji, sudah rasa
ilmu penuh di dada. Janganlah kita berpuas hati dengan pujian yang
diterima, lebih baiklah kita mencari kritikan yang membina supaya kita
sentiasa memperbaiki diri.

Saya turut kagum dengan segelintir jurufoto baru yang rajin menjelajah
segenap ilmu fotografi. Kelompok ini sanggup berhabis wang dan masa untuk
memperbaiki diri mereka. Sanggup menebalkan muka dan merendah diri untuk
mendapatkan secebis ilmu. Sanggup berkawan dengan sesiapa saja untuk
berkongsi pendapat. Ini sifat yang terpuji.

Pesan ini untuk diri saya sendiri, kerana saya banyak mengajar. Supaya
saya tidaklah merasa yang saya ini lebih pandai dari orang lain.

Belajarlah dan berlatihlah tanpa jemu, sebab kita tidak ada 100 tahun
untuk fotografi.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Sila layari laman web FOTOTEACHER di – http://www.fototeacher.com

July 10, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – Kamera Untuk Tutup Malu

BLOG ARKIB – Kamera Untuk Tutup Malu
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Kamera Untuk Tutup Malu”– 21 November 2008)

Isu kamera murah dan kamera mahal memanglah satu isu yang sentiasa
dibincangkan. Orang baru dalam fotografi sentiasa terdorong untuk
membeli kamera yang tercanggih yang ada di pasaran, yang kadangkala
membebankan dari segi kewangan. Sindrom ini jadi makin kronik bila
kawan-kawan selalu ‘meracun’ kita untuk beli kamera dan aksesori yang
terbaru dan terbaik di pasaran.

Dari pemerhatian saya, ini terjadi kerana orang baru dalam fotografi
tiada keyakinan pada diri sendiri dalam hal pengendalian kamera. Mereka
kurang pengetahuan fotografi dan kurang pengalaman. Jadi, untuk menutup
kelemahan diri, ramai yang ambil jalan mudah – beli kamera mahal lagi
canggih, dengan harapan, gambar yang dirakam akan jadi hebat secara
automatik. Malangnya, pendapat ini tidak benar.

Orang baru harus banyak belajar, banyak bertanya, banyak mengkaji dan
banyak berlatih merakam gambar. Dengan cara ini, mereka akan cepat
pandai dan akan mendapat keyakinan diri. Kita perlu yakin, bahawa, yang
membuatkan gambar yang dirakam itu cantik adalah kemahiran yang ada
pada diri kita, bukannya disebabkan oleh kamera yang canggih.

Bila kita masuk bidang fotografi dan ingin jadi jurufoto, pastikan
bahawa, minat utama kita ialah untuk hasilkan gambar yang baik, bukan
mengumpul berbagai jenis peralatan kamera dan membeli setiap kamera
keluaran terbaru. Maksudnya, jika ingin jadi jurufoto yang baik,
kita harus fokuskan masa dan wang kita lebih kepada pembelajaran dan
penguasaan kemahiran fotografi. Kamera hanyalah sekadar alat.

Jika kita ada kamera mahal, kamera tersebut akan jatuh harganya
selepas beberapa tahun.  Tapi jika kita ada ilmu dan kemahiran
fotografi dalam diri kita, ianya tidak akan jatuh nilai, malah nilai
diri kita sebagai seorang jurufoto akan sentiasa naik dengan setiap
kemahiran dan ilmu yang kita perolehi.

Tidak salah membeli peralatan kamera mahal jika kita mampu. Tapi,
sebagai jurufoto, pastikan bahawa, kemahiran kita sentiasa lebih
hebat dari kamera kita. Janganlah hanya sekadar bergaya dengan
peralatan hebat, tapi takut nak tunjuk hasil gambar.

Memang ada golongan yang digelar camera collector. Ianya juga satu
hobi yang baik dan menarik. Tapi, kalau kita ingin dikenali sebagai
jurufoto, kita lebih patut rakam dan collect gambar yang baik, bukan
collect peralatan kamera.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Ingin dapatkan artikel-artikel fotografi secara percuma dan dihantar
terus kepada e-mel anda? Sila langgan newsletter percuma kami di
http://fototeacher.com/subscribe.htm

May 30, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – Kreatif Tak Tentu Hala @ Syok Sendiri


KREATIF TAK TENTU HALA @ SYOK SENDIRI
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk Kreatif Tak Tentu Hala @ Syok Sendiri – 10 November 2008)

Tadi saya sempat dengar feedback dari seorang client yang tak berapa puas hati dengan hasil gambar yang dia dapat. Client ini baru kahwin. Jadi, semasa majlis perkahwinan dia baru-baru ini, dia telah upah seorang photographer. Photographer ini banyak shoot gambar-gambar ala-ala kreatif dengan ‘trend terkini’.

Masalahnya, client ini sudah melepasi usia ‘remaja’ dan jenis yang ada ‘citarasa. Client macam ini biasanya tidak berapa suka gambar yang terlalu kreatif dan style gila-gila. Gambar sebegini biasanya hanya digemari oleh pengantin remaja. Pengantin yang bukan remaja dan dari golongan pertengahan ke atas, lebih suka gambar standard yang cantik dengan sedikit sentuhan kreatif. Jadi, jurugambar seharusnya tahu, gambar jenis macamana yang boleh tackle hati pengantin.

Kalau shoot gambar kreatif yang berpada-pada, saya rasa, ramai orang boleh terima. Kreatif itu memang bagus -yang menjadi masalah sekarang ini, gambar kreatif yang sudah jadi karya syok sendiri; gambar yang dirakam tanpa memikirkan ‘hati dan perasaan’ orang lain.

Ramai jurugambar sekarang terikut-ikut dengan trend dan pelbagai gaya fotografi. Yang mengikut itu pula, tidak tahu kenapa dia mengikut. Yang dia tahu, dia mengikut sahaja. Orang shoot pakai fisheye lens, dia ikut. Orang shoot low angle, dia ikut. Orang shoot candid, dia ikut.

Nak shoot pakai  fisheye lens, kenalah tengok subjek yang sesuai. Bukan semua subjek sesuai dirakam guna fisheye lens. Kalau boleh, janganlah letak muka subjek di bucu framing sampai kembang muka subjek kita tu dek distortion. Kita sebagai jurugambar memanglah suka efek distortion dan perspective yang unik ini. Tapi, kita kena tanya diri kita, siapa yang bayar kita ambil gambar ni? Dia sukakah apa yang kita suka? Client ni, selalunya dia tak complaint depan-depan kita – maklumlah, orang Melayu penuh dengan sopan santun. Tapi, saya banyak kali dengar client complaint pasal kes gambar herot dan kembang ni. OK, sebelum saya diserang, saya nak buat disclaimer. Kalau ada jurugambar yang memang confirm kata client dia sangat suka gambar muka herot dan kembang – then, go ahead. Janji client suka. Lagi satu, pasal isu distortion ni, saya bercakap untuk wedding photography saja. Bidang fotografi lain seperti fine art, photojournalism dan sebagainya, saya taknak komen pasal distortion. Itu dah tajuk lain.

Lagi satu pasal shooting dari low angle. Shoot dari low angle ni memang dah ada dalam teknik fotografi sejak zaman Tok Kadok lagi. Cuma sekarang ni dah terover popular. Kalau nak shoot low angle tu memanglah boleh. Tapi, kena tengoklah jugak kalau-kalau angle tu mencacatkan gambar, terutamanya muka subjek kita. Satu orang client ni complaint kat saya, ada sorang jurugambar ni banyak shoot gambar kahwin dia dari low angle. Kata client ni, lubang hidung dia nampak besar dari low angle. Lubang hidung dia ni dahlah memang besar, shoot pulak dari low angle, memang nampak lubang hidung je la.

Lagi satu complaint yang selalu saya dengar dari client ialah pasal photographer shoot gambar kandid budak-budak. Budak-budak kecil ni memang comel. Tapi, kalau boleh, kena tengok jugak, apa hubungan budak kecil tu dengan pengantin dan samada pengantin suka atau tidak gambar-gambar kandid macam ni. Janganlah main tembak saja – shoot gambar kandid budak-budak ni sampai 50 frame, macam-macam gaya, sampai lupa nak shoot gambar pengantin.  Alih-alih, budak kecil tu rupanya anak kepada kawan kepada pakcik kepada jiran kepada mamat yang supply P.A. System kat majlis kahwin tu. Tak ke haru. Gambar budak tu pulak dah dimasukkan dalam custom album, dengan centre spread layout. Double haru…

Minta maaf kalau saya ada menyinggung mana-mana pihak dalam artikel ni. Sekadar berkongsi dan menyampaikan apa yang saya dengar dari pelanggan – untuk kebaikan kita bersama. Apa yang saya tulis, hanya betul bagi pendapat saya dan saya percaya, ada pendapat lain yang betul juga. Harap anda boleh kongsi pengalaman dan pendapat anda di ruangan komen di bawah ni.

LANGGAN NEWSLETTER PERCUMA DARI fototeacher.com! Anda akan diberitahu secara automatik melalui e-mel sekiranya ada sebarang artikel baru, kursus percuma, promosi, program baru, berita terkini dan sebagainya. Untuk melanggan newsletter percuma ini, sila ke –http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

May 20, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – DSLR TERUNGGUL

DSLR Terunggul
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM
(Artikel telah diubahsuai dari entry asal dari blog FOTOTEACHER bertajuk DSLR Terunggul – 18 Ogos 2008)

Sejak 4 hari lalu seorang rakan lama acapkali menelefon saya untuk bertanya tentang kamera yang dia patut beli. Sehari sampai 3-4 kali beliau menelefon untuk bertanya DSLR apa yang bagus dan ciri-ciri yang dimiliki setiap satu model. Saya agak kebingungan untuk menjawab, kerana soalan tersebut terlalu umum. Setelah menerangkan perihal beberapa model popular di pasaran, saya bertanya kembali beberapa soalan kepadanya:

1) Beli kamera untuk apa? Adakah untuk ambil gambar keluarga dan percutian atau untuk dijadikan hobi?
2) Berapa bajet sekarang dan adakah bersedia untuk menambah perbelajaan berkenaan kamera di kemudian hari?
3) Berapa kerapkah rasanya kamera tersebut akan digunakan?
4) Jika untuk hobi, gambar jenis macam mana yang minat untuk dirakam?
5) Bersediakah untuk melabur masa dan wang untuk belajar teknik fotografi?

Beliau tidak pasti tentang jawapan untuk kebanyakan soalan di atas. Akhirnya saya menasihatkannya untuk membeli kamera compact sahaja.

DSLR bukan untuk kegunaan semua orang. DSLR juga tidak menjamin gambar anda 100% cantik.

Oleh Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

LANGGAN NEWSLETTER PERCUMA DARI fototeacher.com! Anda akan diberitahu secara otomatik melalui e-mel sekiranya ada sebarang artikel baru, promosi, program baru, berita terkini dan sebagainya. Untuk melanggan newsletter percuma ini, sila ke –http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

May 10, 2011 Categorized under BLOG ARKIB

BLOG ARKIB – Kit Lens Sahaja

Kit Lens Sahaja
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal dari blog FOTOTEACHER bertajuk Kit Lens Sahaja – 8 Ogos 2008)

Lensa yang biasanya dijual bersama dengan DSLR kelas rendah digelar kit lens. Secara umum, kit lens adalah lensa yang bernilai rendah, mempunyai aperture maksima yang agak kecil dan kualiti optiknya di bawah par. Ada sesetengah jenama kamera memberikan kit lens yang agak canggih seperti Zuiko 12-60mm SWD dan Nikkor AF-S 18-85mm VR namun kebanyakan kit lens tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan kurang nilai terpakainya.

Ini tidak bermakna anda harus mengeluh dengan kit lens kerana ia tetap mempunyai beberapa kelebihan lain. Kit lens adalah lensa yang ringan dan mempunyai julat zoom yang sesuai untuk kebanyakan aplikasi. Jika digunakan dengan berkesan, kit lens berupaya menghasilkan gambar yang menakjubkan. Mungkin dari segi kualiti imej ia kurang memberangsangkan namun disebabkan ia ringan dan mudah digunakan, anda mungkin lebih senang merakam gambar aksi tanpa memerlukan bantuan tripod. Ingat, lensa yang laju (fast lens/high performance lens) bukan sahaja lebih mahal tetapi juga lebih berat.

Jika anda hanya mempunyai kit lens sahaja, tidak perlu untuk tergesa-gesa membeli lensa baru hanya kerana segan dengan jurugambar lain. Melainkan anda perlu lensa kegunaan khas seperti lensa makro atau super telephoto, penggunaan kit lens adalah memadai untuk kebanyakan situasi.

Oleh Amir Ridhwan untuk fototeacher.com

Untuk mendapatkan berbagai maklumat mengenai kursus dan bengkel fotografi yang akan adakan oleh FOTOTEACHER.COM, sila layari laman web rasmi kami di – http://www.fototeacher.com