Archive for the “Artikel Kreativiti” Category

January 9, 2012 Categorized under Artikel Kreativiti, Gambar, Personal

Rakaman Foto di Jepun

Baru-baru ini saya telah mengembara ke negara Jepun dan sempat merakamkan beberapa foto yang saya rasakan menarik. Kesemua foto dirakam menggunakan kamera compact Fujifilm X10.


Bayang dan Garisan
Bayang seseorang yang sedang menaiki tangga keluar dari stesyen keretapi bawah tanah di Tokyo. Saya menunggu agak lama di sini untuk merakam kira-kira 30 keping gambar orang-orang yang lalu di sini bagi mendapatkan sekeping gambar yang terbaik. Saya suka kesan pencahayaan dan bayang-bayang yang dihasilkan.


Basikal dan Teksi
Penunggang basikal dan 2 buah teksi, dirakam di Ueno, Tokyo. Saya rasa, basikal, teksi dan tulisan di atas jalanraya yang kelihatan di dalam gambar ini menggambarkan sedikit sebanyak mengenai Tokyo atau negara Jepun. Saya bermain sedikit dengan komposisi, garisan dan warna untuk merakam gambar ini.


Gelagat Manusia di Stesyen Keretapi
Warga kota Osaka di stesyen keretapi, masing-masing dengan gaya dan karakter tersendiri. Saya memilih gambar ini kerana kita dapat lihat dengan jelas apa yang sedang dilakukan oleh setiap individu di dalam gambar ini. Bagi menumpukan perhatian kepada ragam dan ekspresi subjek-subjek di dalam gambar, saya menjadikan gambar ini dalam bentuk hitam-putih.


Pekerja Keretapi Shinkansen
Seorang petugas keretapi sedang berjalan disamping keretapi Shinkansen (Bullet Train) di stesyen keretapi Hiroshima. Saya rasa, aksi berjalan subjek utama menjadikan gambar ini menarik. Saya menggunakan elemen grafik dalam merakam gambar ini seperti warna, bentuk dan garisan.


Berlari dalam Hujan
Seorang lelaki sedang berlari dalam kesejukan hujan renyai-renyai di waktu senja. Gambar dirakam di sebuah pekan di Niigata. Saya suka pada pantulan cahaya pada jalan basah dan moment di dalam gambar ini.


Kanak-Kanak dan Shinkansen
Seorang kanak-kanak perempuan sedang asyik melihat lokomotif Shinkansen dari jarak dekat yang dipamerkan di Railway Museum, Saitama, Tokyo. Saya suka kesan perbandingan saiz di antara kanak-kanak ini dengan saiz lokomotif.


Basikal di Kyoto
Basikal yang diletakkan di luar kedai di Kyoto. Saya menganggap basikal sebagai salah satu elemen penting dalam menggambarkan bandar di Jepun kerana basikal digunakan secara meluas di sini. Di dalam gambar ini, saya suka kesan cahaya malap dari kedai yang memberikan mood waktu menjelang malam di bandar ini.

Saya ingin mendengar pendapat anda pula! Gambar manakah yang paling anda minat? Sila buat pilihan anda dalam kotak di bawah:

Anda boleh pilih lebih dari satu gambar:
Bayang dan Garisan
Basikal dan Teksi
Gelagat Manusia di Stesyen Keretapi
Pekerja Keretapi Shinkansen
Berlari dalam Hujan
Kanak-Kanak dan Shinkansen
Basikal di Kyoto
pollcode.com free polls
December 1, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Artikel Teknikal, Gambar, Tips

Photo Enhancement

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Foto enhancement adalah satu proses dimana sesuatu foto itu dicantikkan lagi dari foto asalnya. Proses ini biasanya dibuat menggunakan perisian Adobe Photoshop. Saya kerap ditanya, adakah foto yang saya rakam ‘dimasukkan’ terlebih dahulu di dalam Photoshop. Jawapan saya – Ya, semua foto yang saya rakam akan saya lakukan enhancement terlebih dahulu menggunakan Adobe Photoshop sebelum sesuatu foto itu ditunjukkan kepada orang lain.

Bagi saya, gambar foto yang tidak dilakukan enhancement adalah gambar foto yang belum siap. Ia boleh diibaratkan seperti sebuah rumah yang telah siap dibina, tetapi tidak dihias. Proses photo enhancement ini bukannya baru. Jurufoto sejak zaman penggunaan kamera analog (kamera menggunakan filem) melakukan enhancement kepada foto yang mereka rakam. Bezanya, pada ketika itu, proses enhancement ini dilakukan di dalam bilik gelap (darkroom) secara manual.

Biasanya, saya akan melakukan enhancement dari segi - cropping, level, color balance, burning dan dodging. Saya bukan pakar dalam penggunaan Photoshop. Tetapi, saya rasa, pengetahuan saya cukup sekadar untuk melakukan enhancement yang asas dan penting. Sememangnya menjadi satu keperluan untuk semua jurufoto untuk mempunyai sekurang-kurangnya ilmu asas mengenai penggunaan Adobe Photoshop.

Untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas, saya tunjukkan contoh foto yang saya rakam dan jenis enhancement yang telah saya lakukan. Foto di bawah ini adalah foto original tanpa dilakukan apa-apa enhancement. Ianya kelihatan biasa sahaja. Tetapi, ciri-ciri penting pada foto mestilah cukup baik seperti subjek yang menarik, komposisi yang baik dan dedahan cahaya yang tidak terlalu teruk.

Seterusnya, saya melakukan cropping pada foto ini, iaitu menjadikannya ke dalam bentuk square format. Ini dilakukan agar subjek utama kelihatan lebih menyerlah di dalam gambar serta menjadikan keseluruhan foto lebih menarik. Saya juga menukarkan foto ini menjadi foto hitam putih agar mata kita lebih tertumpu kepada bentuk dan komposisi subjek, tanpa gangguan dari sebarang warna. Setelah itu, saya mengawal kecerahan foto (level) agar ianya tidak terlalu gelap dan tidak terlalu cerah. Secara tidak langsung, proses ini juga mempengaruhi kawalan kontras pada gambar. Saya melakukan beberapa lagi kawalan terperinci terhadap kecerahan gambar dengan melakukan dodging dan burning. Anda boleh melihat di bahagian mana saya melakukan dodging dan burning ini seperti di dalam gambar di bawah

Proses dodging dan burning ini perlu dilakukan dengan berhati-hati dan memakan sedikit masa. Apa pun yang anda lakukan, jangan lakukan enhancement yang keterlaluan. Kalau boleh, pastikan foto yang dihasilkan masih kelihatan asli tanpa kesan ubahsuai yang berlebihan. Apapun, penilaian terhadap kecantikan sesuatu foto itu tetap menjadi sesuatu yang subjektif. Di bawah ini adalah gambar foto yang telah siap dilakukan enhancement.

PENGUMUMAN:

Sekiranya anda berminat untuk mempelajari cara yang betul menggunakan Adobe Photoshop, anda boleh hadiri bengkel yang dianjurkan oleh FOTOTEACHER.COM. Bengkel ini akan disampaikan oleh jurulatih yang pakar di dalam bidang ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran, SILA KLIK DI SINI

October 13, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Artikel Teknikal, Fikiran, Inspirasi & Motivasi

Menara Berkembar Petronas

Ramai yang memanggil bangunan ini sebagai menara KLCC (Kuala Lumpur City Centre), tetapi nama sebenarnya ialah Menara Berkembar Petronas atau di peringkat antarabangsa mengenalinya sebagai Petronas Twin Tower. Bagi kita yang tinggal di Kuala Lumpur, kita tentu sering melihat pemandangan Menara Berkembar Petronas ini sehingga kadangkala kita terlupa bahawa, sebenarnya menara ini sangat popular di seluruh dunia. Ianya masih memegang rekod sebagai menara berkembar tertinggi di dunia. Pelancong dari seluruh dunia datang dari jauh untuk melihat dan menghargainya; mungkin lebih dari kita sendiri menghargai menara ini. Kita tidak berapa kisah kerana menara ini ada di negara kita sendiri. Biasalah begitu.

Saya sebagai peminat fotografi sering mengembara ke seluruh Malaysia dan kadangkala ke luar negara untuk merakam foto yang menarik. Tetapi, pelik sekali, saya tidak pernah merakam foto Menara Berkembar Petronas sebelum ini. Ini mungkin disebabkan saya selalu berkunjung ke sini dan boleh ke sini pada bila-bila masa. Jadi, tiada sebarang desakan. Lagi satu sebab ialah kerana saya rasakan terlalu ramai orang yang telah merakam gambar menara ini dan sukar untuk mendapatkan gambar yang unik.

Jadi, apa yang mendorong saya untuk merakam gambar Menara Berkembar Petronas ini?

Saya ada terlihat beberapa gambar Menara Berkembar Petronas yang dirakam dengan begitu baik sekali oleh beberapa orang jurufoto antarabangsa. Saya kagumi karya mereka. Saya terfikir, jika mereka boleh datang dari jauh untuk merakam gambar menara ini, kenapa saya yang tinggal di Kuala Lumpur tidak turut cuba merakam gambar bangunan yang sungguh indah ini? Ini akan menguji diri saya sendiri. Bolehkah saya merakam gambar satu subjek yang popular ini dengan baik? Apa yang pasti, saya mempunyai satu kelebihan. Saya tinggal tidak jauh dari menara ini dan saya boleh merakam gambarnya setiap hari jika saya mahu, sehinggalah saya dapat gambar yang baik!

Lalu, saya membuat sedikit persediaan. Melayari laman web mencari foto-foto Menara Berkembar Petronas dan mengkaji gambar-gambar tersebut. Saya membuat rumusan mengapakah sesuatu foto itu menarik dan bagaimana saya boleh jadikan foto saya lebih menarik atau sekurang-kurangnya sama taraf.

Bagi saya, ada 2 perkara paling penting dan paling sukar untuk merakam foto menara ini. Pertama, saya perlu dapatkan sudut yang menarik dan kalau boleh, perlu rakamkan dari sudut rakaman atau komposisi yang belum pernah jurufoto lain rakamkan. Perkara kedua, saya perlu dapatkan atau tunggu keadaan cahaya matahari yang sesuai. Saya sedar, saya tidak boleh mengawal cahaya matahari. Semuanya bergantung kepada nasib. Saya juga sedar, saya mungkin perlu membuat beberapa kali cubaan atau kunjungan sehingga saya mendapat pencahayaan yang sesuai.

Saya bercadang untuk merakam gambar dengan cahaya matahari pagi kerana pada waktu ini, cahaya yang datang dari sisi adalah lembut dan biasanya kurang habuk atau jerebu pada waktu ini. Untuk merakam foto ini, saya telah berada di lokasi pada sekitar jam 6.30 pagi. Keadaan masih gelap pada waktu itu. Jadi, saya masih ada masa untuk mencari sudut penggambaran yang terbaik. Setelah mencuba beberapa sudut, akhirnya saya dapat satu lokasi yang saya kira boleh memberikan gambar terbaik. Saya membuat komposisi gambar dan menunggu sehingga cahaya yang sesuai menjelma. Syukur, memang rezeki saya pada hari itu, cuaca dan cahaya adalah sangat baik. Langit juga cerah dengan sedikit awan yang saya rasa boleh menjadikan gambar saya lebih menarik. Saya merakam foto di atas pada kira-kira jam 7.15 pagi.

Saya suka imej Menara Berkembar Petronas yang dipantulkan pada permukaan air seperti yang kita dapat lihat di dalam gambar yang dipaparkan ini. Pembalikan imej sebegini hanya boleh didapati ketika air tenang. Biasanya air di kolam ini tidak setenang ini kerana air ini sentiasa mengalir disebabkan oleh beberapa pancuran air. Pada asalnya, imej pada pantulan air adalah lebih gelap berbanding imej menara sebenar. Jadi, untuk mengimbangkan kecerahannya, saya terpaksa menggunakan Gradual Neutral Density filter yang bertujuan untuk menggelapkan bahagian atas gambar ini, lalu menjadikan kecerahan bahagian atas dan bawah gambar ini kurang ketara perbezaanya.

Lain-lain data teknikal rakaman foto ini adalah seperti berikut – kamera Nikon D300s bersama lensa Nikkor 10-24mm f/3.5 digunakan. Focal length dilaraskan pada 11mm, aperture pada f/22, shutter speed pada kelajuan 1 saat dan ISO 200. Oleh kerana shutter perlahan digunakan, saya turut menggunakan tripod dan electronic release bagi mengelakkan gegaran.

Diharap anda mendapat manfaat dari perkongsian ini. Ingatlah, amalan tanpa ilmu boleh menjadi sesat. Ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Jadi, rajin-rajinlah menambahkan ilmu dan selalulah berlatih merakam foto agar karya anda menjadi semakin baik setiap hari. Pesan ini juga untuk diri saya kerana saya juga masih dalam proses belajar.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Dapatkan berbagai info dan tips fotografi di laman Facebook FOTOTEACHER.COM. Sila ke http://www.fb.com/fototeacher

Dapatkan berbagai aksesori fotografi seperti tripod, filter dan sebagainya di kedai online FOTOTEACHER. SILA KLIK DI SINI

August 5, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Fikiran, Inspirasi & Motivasi

Pameran Fotografi vs Facebook Album

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Di dalam zaman internet kini, jurufoto dengan mudah dapat mempamerkan karya mereka melalui laman web, blog, Facebook, Flickr dan sebagainya. Karya foto dapat ‘dipamerkan’ dalam media elektronik ini dengan mudah dan dapat mencapai ribuan pelawat di alam siber dari seluruh dunia! Disebabkan faktor ini, ramai jurufoto tidak lagi berminat untuk mempamerkan karya mereka dalam pameran fotografi yang diadakan di galeri yang ternyata lebih sukar prosesnya dan lebih tinggi kosnya.

Tidak seperti berkongsi karya foto di internet, apabila mengadakan pameran fotografi di galeri, seseorang jurufoto perlu mengeluarkan kos tambahan seperti mencetak foto ke saiz besar, membingkaikan foto dan adakalanya terpaksa membayar kos sewaan galeri.

Jadi, mengapa perlu mempamerkan foto di galeri? Apakah kelebihannya? Adakah berbaloi kita mengorbankan masa dan wang untuk mempamerkan karya foto kita di galeri?

Sebelum era digital dan internet, cara terbaik untuk memperlihatkan karya senifoto adalah melalui pameran fotografi yang diadakan di galeri seni. Selain dari berkongsi karya, pameran fotografi mampu mengangkat tahap seseorang jurufoto dan secara tidak langsung, setiap pameran yang diadakan adalah seumpama pengiktirafan istimewa kepada seseorang jurufoto itu. Selain dari itu, ada juga jurufoto yang memperolehi pendapatan lumayan dengan menjual karya senifoto mereka kepada pengumpul karya seni.

Tidak seperti mempamerkan foto di internet, pameran fotografi di galeri memberikan impak yang amat berbeza. Foto yang dilihat di skrin komputer tidak dapat menandingi kesan yang diberikan oleh paparan foto yang dipamerkan di dinding-dinding galeri. Di galeri, foto dicetak ke saiz yang besar siap dengan kemasan bingkai. Selalunya, semakin besar saiz foto yang dipamerkan, semakin kuat impak yang dihasilkan. Segalanya juga harus kelihatan sempurna – kualiti cetakan foto, pemilihan mounting, pemilihan bingkai, susunan siri foto, tema, konsep pameran, kualiti pencahayaan bahan pameran dan sebagainya. Ianya merupakan sebuah persembahan seni yang cukup unggul.

Di era digital, jarang sekali kita mencetak foto yang dirakam. Selalunya, foto-foto ini sekadar dimuat-naik dan dikongsikan di alam internet. Dari satu sudut pandang, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa, foto yang tidak dicetak dan tidak dipamerkan di ‘alam nyata’ adalah satu karya yang tidak sempurna prosesnya! Jadi, secara ekstremnya mungkin kita boleh katakan bahawa, jika kita rasa karya kita layak dikongsi dan kita menghargai karya kita sendiri – maka pamerkan karya itu di galeri!

Mempamerkan karya di galeri juga memberikan peluang kepada jurufoto untuk bertemu secara bersemuka dengan peminat karyanya. Jurufoto boleh menjawab soalan, berbincang dan berbual secara langsung dengan pengunjung pameran. Jurufoto juga perlu bersedia menghadapi kritikan dan mempertahankan karyanya jika perlu. Bentuk komunikasi begini nampak lebih telus dan lebih hidup berbanding komunikasi di alam siber.

Dunia seni telah meletakkan standard bahawa, karya seni harus dipamerkan di galeri sebagai satu bentuk penghargaan kepada karya seni itu sendiri. Ini juga akan membuktikan kesungguhan seseorang artis dalam kerjayanya. Artis seni lukis dan seni arca misalnya telah lama ‘bermain’ dan sentiasa aktif dalam berbagai pameran seni. Kini sudah tiba masanya, pengkarya fotografi pula melibatkan diri secara aktif dalam mempamerkan karya mereka di galeri seni, sesuai dengan perkembangan fotografi dewasa ini.

Sebagai permulaan, kita boleh mengadakan pameran secara berkumpulan bersama beberapa orang rakan jurufoto atau lebih mudah lagi jika kita menyertai pameran yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Matlamat seterusnya adalah untuk mengadakan pameran solo pula. Pameran solo memerlukan seseorang jurufoto mempunyai koleksi karya foto yang lebih banyak dan ianya juga lebih rumit untuk diadakan.

Terdapat dua cara untuk mendapatkan ruang galeri. Cara pertama ialah dengan menunjukkan contoh karya kita kepada galeri yang telah dipilih. Pihak galeri akan membuat keputusan samada karya kita cukup kuat untuk dipamerkan. Jika pihak galeri setuju mempamerkan karya kita, mereka biasanya akan mengambil sejumlah komisen dari setiap karya kita yang terjual semasa pameran berlangsung.

Cara kedua untuk mendapatkan ruang galeri ialah dengan membayar keseluruhan kos sewaan galeri. Biasanya, dengan cara ini, pihak galeri tidak begitu kisah tentang karya yang ingin dipamerkan asalkan kita membayar kos sewa yang telah ditetapkan. Kos sewaan galeri ini biasanya dalam lingkungan RM2,000 hingga RM5,000 untuk sewaan seminggu bergantung kepada saiz ruang dan lokasi galeri. Selain dari kos ini, jurufoto perlu menanggung sendiri kos cetakan gambar, bingkai foto, promosi, katalog pameran dan majlis pelancaran. Kos ini boleh diringankan dengan mengadakan pameran secara berkumpulan atau mendapatkan penaja.

Tidak seperti di negara maju, jiwa masyarakat kita belum begitu ‘hampir’ dengan galeri atau karya seni itu sendiri. Mengunjungi galeri bukan menjadi kebiasaan bagi kebanyakan dari kita. Tetapi, situasi itu boleh diubah. Kita sendiri perlu mengubahnya. Mungkin ramai yang malas untuk mengunjungi galeri kerana terpaksa meluangkan masa dan menempuh kesesakan jalanraya misalnya. Tetapi, percayalah, memang berbaloi meluangkan masa untuk menghayati pameran foto yang bagus. Ianya boleh memberikan inspirasi kepada kita untuk terus berkarya di dalam fotografi.

Bagi jurufoto yang berjaya mempamerkan karyanya di galeri, ianya merupakan kemuncak kepuasan dalam berkarya. Ianya adalah umpama satu pencapaian dalam perjalanan kita sebagai seorang jurufoto.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2011. Dilarang mengeluarkan semula artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari FOTOTEACHER.COM

Saya bersama Bustamam Mokhtar semasa pameran solo beliau di Pavilion Kuala Lumpur

Saya ketika menyertai Pameran Fotografi yang dianjurkan oleh AKAR & KukuBesi Manipulasi

Ketika menghadiri pameran fotografi oleh pelajar fotografi UTM SPACE di Annexe Gallery

Bersama rakan-rakan dan Ikram Ismail ketika pameran fotografi solo beliau di Balai Berita, NSTP

Bersama karya foto saya yang dipamerkan dalam Pameran Terbuka 2011, Galeri Shah Alam

DAPATKAN AKSESORI FOTOGRAFI DARI KEDAI ONLINE FOTOTEACHER! SILA KLIK DI SINI

June 10, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Artikel Teknikal, Gambar

Light Painting

Light Painting - Pantai Nenasi, Pekan, Pahang

Light Painting ialah satu teknik dimana imej dirakam di dalam gelap; sumber cahaya dari lampu suluh dan sebagainya digunakan untuk menyuluh subjek agar imejnya dapat dirakam oleh sensor kamera. Apa yang menarik mengenai light painting ialah, kita dapat memberikan kesan pencahayaan kepada subjek dari berbagai arah dengan berbagai tahap kecerahan, walau hanya menggunakan satu sumber cahaya. Ini dapat dilakukan apabila merakam gambar di tempat gelap menggunakan tempoh dedahan shutter yang lama.

Foto di atas dirakam pada kira-kira jam 8.30 malam di kawasan yang gelap. Kamera dipasang pada tripod dan shutter dibuka selama 4 minit menggunakan BULB. Aperture f/8 dan ISO 200 digunakan. Sepanjang tempoh dedahan selama 4 minit itu, 2 lampu suluh digunakan untuk menyuluh bahagian-bahagian yang hendak ditunjukkan di dalam gambar. Lampu kereta digunakan untuk menyuluh subjek dari tepi. Saya dibantu oleh 2 orang rakan untuk proses ini.

Setiap objek di dalam gambar disuluh dari arah yang berbeza untuk mendapatkan kesan sudut pencahayaan yang menarik. Setiap objek juga disuluh dengan tempoh suluhan yang berbeza agar kecerahan yang pelbagai diperolehi. Objek yang ingin dicerahkan disuluh lebih lama berbanding objek yang ingin digelapkan. Dalam gambar di atas, terdapat 8 jenis pencahayaan berbeza digunakan untuk menerangi keseluruhan gambar.

Light painting memang satu proses yang seronok untuk dilakukan. Harap anda dapat mencubanya sendiri.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Sertai FOTOTEACHER di Facebook untuk mendapatkan berbagai tips fotografi dan info terbaru tentang dunia fotografi. Sila ke Page Facebook kami di – http://www.facebook.com/fototeacher

March 2, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Fikiran

Fotografi Bukan Macam Matematik

Matematik ialah subjek yang saya paling lemah masa di sekolah dulu. Sebab itulah saya jadi jurufoto sekarang, bukan ahli matematik. Bila dapat masuk ITM dalam jurusan fotografi, saya rasa lega dapat belajar bidang yang saya minati. Tapi, macam tak percaya, rupanya ada juga subjek matematik yang saya kena belajar untuk dapatkan diploma dalam fotografi. Subjek itu dinamakan Photo Science Mathematics! Apakah ini semua??? Ingatkan dah lepas bala nak mengira, rupanya ada lagi…

Sebenarnya penting juga subjek sains dan matematik di dalam bidang fotografi ni. Sebabnya, fotografi dicipta oleh sains dan untuk kiraan yang tepat untuk beberapa perkara, ilmu matematik amatlah diperlukan. Contohnya, ada formula menggunakan matematik untuk mengira jarak fokus, jarak fokal, kuasa pembesaran imej, nilai f/number dan entah apa-apa lagi. Tapi, anda tak perlulah risau, sebab kalau anda tak pandai matematik pun, masih boleh jadi jurugambar yang bagus jugak. OK lah, cerita tadi tu cuma intro saja (panjangnya intro?), saya nak cakap pasal benda lain sebenarnya.

Fotografi tak sama macam matematik. Fotografi adalah satu bidang kreatif yang penilaian terhadapnya ada subjektif. Maksud saya, apa pun yang anda baca atau belajar mengenai ‘peraturan’ artistik dalam fotografi, ianya hanyalah sekadar panduan saja sebenarnya. Tidak ada betul atau salah dalam fotografi apabila kita bercakap mengenai aspek seninya.

Jangan terima bulat-bulat apa yang diajar di dalam buku atau apa yang diajar oleh cikgu fotografi anda. Semuanya terpulang kepada anda untuk mengubahsuai ‘panduan’ yang diberikan tersebut. Contohnya, dalam pelajaran fotografi, dikatakan, kalau rakam foto, subjek yang kita rakam mestilah tajam (sharp) difokus. Tapi itu tak semestinya. Gambar yang ‘blur’ pun boleh jadi gambar yang baik kalau kena pada tempatnya. Satu lagi contoh ialah mengenai noise. Secara teknikalnya, foto yang dirakam mestilah kurang noise, barulah gambar tu dikatakan cantik atau berkualiti. Maka sibuklah sekelian orang berlumba-lumba tukar kamera baru yang kurang noise. Dengan itu juga, ada pulak segelintir kaum, bila tengok gambar orang saja, dia cari noise! Kalau nampak noise pada gambar orang, noise itu yang dikomen dulu – bukannya nilai artistik pada gambar tersebut. Hakikatnya, gambar yang ada noise pun boleh jadi gambar yang berjaya kalau kena pada tempatnya. Kalau gambar yang ada noise tu ada kekuatan lain seperti aksi yang sangat menarik contohnya, maka kelemahan noise tu bolehlah diabaikan saja.

Maka, akan ada pulak yang akan bertanya, “Kalau macam tu, jika noise tak penting, kenapa diaorang buat kamera baru yang kurang noise?” Ada dua sebab. Nombor satu, sebab diaorang nak bersaing jual kamera. Siapa yang dapat buat kamera yang paling canggih, dia akan dapat jual lebih banyak kamera. Baguslah tu, kita memang nak makin maju, bukan makin mundur. Tapi, bagi yang kurang berkemampuan, janganlah susahkan diri asyik beli kamera baru. Sebab nombor dua ialah, ada sesetengah kerja fotografi memang memerlukan noise yang kurang, contohnya untuk fotografi pengiklanan dan fotografi landscape. Itupun, tidak semestinya – kadang-kadang, kita boleh nampak gambar di papan iklan yang blur dan banyak noise. Cantik jugak bila kena dengan konsepnya.

Satu lagi perkara subjektif di dalam fotografi ialah penilaian gambar. Contohnya bila kita masuk pertandingan, kita rasa gambar kita cantik, tiba-tiba gambar orang lain pulak yang menang. Janganlah marah atau kecil hati. Kita kena ingat, penilaian gambar sangat subjektif. Bukan macam matematik yang cuma ada satu jawapan untuk setiap satu soalan. Pemilihan gambar yang menang dibuat oleh juri pertandingan yang biasanya terdiri dari jurugambar yang berpengalaman. Juri adalah manusia, bukan robot atau mesin kira. Juri ada perasaan, minat yang berlainan, citarasa berbeza, pengalaman berbeza dan pendapat mereka pun berbeza. Sebab itulah dalam pertandingan fotografi, biasanya juri ada ramai – sekitar 3-5 orang dan biasanya latar belakang mereka juga berbeza. Ini supaya keputusan keseluruhan adalah lebih adil hasil dari pengiraan purata markah yang diberikan oleh kesemua juri. Sebab itulah, salah satu tips untuk menang pertandingan fotografi ialah, kita kena kenal siapakah barisan juri dan bagaimanakah jenis gambar yang mereka minati. Kalau kita rakam gambar mengikut citarasa mereka, besarlah peluang kita untuk menang. Contohnya, jika kebanyakan juri pertandingan tu suka pada gambar hitam putih, maka kalau kita hantar gambar hitam putih, senanglah nak ambil hati diaorang.

Itu tadi cerita juri profesional. Sekarang kita cerita pulak pasal juri awam atau penonton di rumah (yang selalu komen gambar dalam Facebook tu lah) Pendapat orang awam yang tak mahir fotografi pun adakalanya kita perlu ambil kira. Sebabnya ialah kerana mereka tak pandai fotografilah! Jadi, penilaian mereka tidak akan terikat dengan kualiti teknikal fotografi semata-mata. Mereka akan terus menilai sesuatu foto itu secara keseluruhannya. Kalau gambar tu dapat menarik perhatian mereka, mereka akan kata cantik. Tapi, kita janganlah cepat perasan. Selalunya di Facebook ni, orang komen sebab nak jaga hati kita dan nak memeriahkan suasana. Kalau setakat komen seperti ‘nice’ atau ‘good job bro’, anggaplah itu sebagai satu cara untuk mengeratkan silaturrahim…

Sama juga kalau kita rakam gambar kahwin untuk pengantin. Cantik atau tidak gambar tu akhirnya pelanggan yang akan nilai. Baiklah anda pastikan dia suka gambar tu, kalau tidak, susah dia nak bayar. Sebagai jurugambar, kita akan lebih terarah untuk pilih gambar yang kita susah nak rakam. Kita juga akan lebih cenderung untuk ‘suka’ kepada gambar dengan teknik-teknik yang kononnya berseni seperti rakaman secara silhouette, moment yang pelik dan close-up gambar kaki dan sebagainya. Tapi, adakah pelanggan kita suka gambar macam ni? Biasanya, untuk mengelakkan saya syok sendiri, saya akan tanya pendapat isteri saya samada gambar pengantin yang saya rakam tu, cantik atau tidak di mata seorang perempuan. Bukankah berbeza matematik dengan fotografi? Kalau matematik, tak payah tanya pendapat orang, tekan saja calculator, dapatlah jawapannya.

Jadi, dalam fotografi tak usahlah nak gaduh sangat pasal perkara yang subjektif macam ni. Buka fikiran kita. Terima pendapat orang lain kerana ada sesuatu yang boleh kita belajar dari mereka. Kita tak perlu ikut pendapat orang lain, tapi sekadar menerima itu sebagai satu pendapat. Namanya pun pendapat, bukan peraturan. Dalam fotografi, tak ada polis akan tangkap orang yang tak ikut rule of third. Kecuali kalau orang tu tak ikut rule of third sambil tak ikut rule lampu isyarat, bolehlah kena saman dengan polis.

Tapi… ada tapi jugak. Janganlah kebebasan berkarya dan faktor subjektif dalam fotografi ini dijadikan alasan untuk kita buat sesuka hati dalam fotografi. Tak cemerlang macam tu. Tak fotografilah macam tu. Kita boleh buat apa saja dalam fotografi asalkan kita tahu apa yang kita buat dan mesti boleh terangkan mengapa kita buat begitu. Orang boleh terima atau tidak, terpulang kepada mereka. Apa yang penting, bila kita terangkan mengapa kita buat sesuatu dengan cara tertentu, sekurang-kurangnya orang faham tujuan dan pendirian kita.

Pelukis lukisan abstrak yang kita tak faham entah gambar apa yang dia lukis tu, boleh jual lukisan dia sebab dia boleh cerita pasal lukisan tu dengan panjang lebar sampai orang yang mendengar cuma angguk-anggukkan kepala. Tapi, bila pelukis tu dah ada nama dan terkenal, dia dah tak payah nak cerita panjang sangat dah. Orang akan tunggu hasil karya dia yang terbaru dan berebut-rebut nak beli. Sama juga macam jurugambar. Seorang jurugambar yang dah ada nama, kalau dia hasilkan gambar yang biasa saja pun, gambar tu tetap akan ada nilai. Sebenarnya, bukan gambar tu yang bernilai tinggi sangat, tapi, siapa yang merakam gambar tu yang lebih penting adakalanya.

Fotografi ni satu bidang yang luas. Ada orang yang tak berapa nampak keluasan fotografi ni. Contohnya pasal penggunaan Photoshop. Ada segolongan orang yang tak berapa pandai rakam gambar, (dah tak pandai, tak mau belajar pulak…) gambar yang dirakam selalunya tak berapa elok. Lalu, banyak kerja mencantikkan gambar dibuat di dalam Photoshop. Kita kata, kalau nak jadi jurugambar, mesti boleh rakam gambar dengan sesempurna mungkin di dalam kamera. Kita masukkan gambar dalam Photoshop untuk mencantikkan lagi gambar yang dah sedia cantik. Tapi, adakah salah kalau buat banyak kerja foto dalam Photoshop? Tak salah. Memang tak salah. Tapi, orang yang buat banyak kerja dalam Photoshop tidak sesuai dipanggil sebagai jurugambar. Dia adalah artis photo manipulation atau ada orang panggil artis foto-grafik. Salahkah artis foto-grafik? Tak salah, dia juga adalah insan seni dan karyanya diiktiraf sebagai karya seni. Adakah foto-grafik juga diiktiraf sebagai fotografi? Ya, foto-grafik juga diterima sebagai satu cabang dari fotografi, tetapi ianya hanyalah pecahan dari bidang fotografi yang luas. Jadi apa yang salah? (biasalah, kita kena cari juga orang yang perlu dipersalahkan) Saya rasa, yang salah atau yang tak berapa tepat ialah, orang yang buat banyak kerja dalam Photoshop, dia tak pandai ambik gambar, tapi dia mengaku kata dia professional photographer. Itu macam, boleh jejaskan nama baik jurugambar lainlah…

Sama juga macam jenis orang yang suka beli kamera mahal-mahal dan asyik beli kamera untuk penuhkan dry box dia. Kemudian asyik beli dry box lagi untuk isi kamera baru lagi. Salahkah orang macam ni? Tak salah. Sebab nombor satu ialah – dia beli kamera pakai duit dia sendiri, dia bukannya mencuri. Jadi apa yang salah? Nak kata salah tu, kasar sangat bunyinya. Cuma kita rasa tak sesuailah kalau orang yang asyik beli kamera ni gelar diri dia seorang jurugambar, tetapi dia hanya sibuk bergaya dengan kamera, ikut orang pergi shooting, lepas tu komen gambar orang, tapi gambar dia orang lain tak pernah tengok. Orang macam ni boleh memberi tanggapan yang mengelirukan kepada bidang fotografi dan paling bahaya ialah dia boleh meracun orang lain untuk habiskan duit beli barang fotografi tanpa ada apa-apa kemajuan dalam penghasilan gambar itu sendiri.

Sebenarnya, saya kagum juga dengan golongan yang suka beli kamera ini. Cuma mereka tidak begitu sesuai dikategorikan sebagai jurugambar. Mereka lebih sesuai dikategorikan sebagai camera collector. Saya kenal beberapa orang camera collector yang hebat. Mereka tidak pernah mengaku mereka adalah jurugambar. Malah mereka berbangga menggelar diri mereka sebagai camera collector. Saya tabik mereka kerana minat mereka yang mendalam terhadap kamera dan kesanggupan mereka untuk melabur wang dalam membeli kamera yang bukannya murah. Apa yang lebih saya kagumi ialah, golongan camera collector tulen ini mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap spesifikasi dan segala hal mengenai kamera yang mereka kumpul. Ini juga satu hobi yang baik.

Saya harap, anda dapat faham apa yang cuba saya sampaikan. Saya harap penulisan saya ini tidak mengelirukan sesiapa. Diharap juga janganlah ada yang marah dengan apa yang ingin saya sampaikan. Ianya cuma sekadar pendapat peribadi saya yang tentunya berbeza dengan pendapat orang lain. Fotografi bukan matematik, fotografi satu bidang yang subjektif…

p/s: Kalau anda nak beri pendapat anda pula, silalah tulis pada ruangan komen. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

February 2, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Berita & Pengumuman, Berita / Pengumuman, Gambar

STREET PHOTOGRAPHY

STREET PHOTOGRAPHY
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Street Photography atau aktiviti merakam foto di sekitar jalan di bandar merupakan satu lagi cabang fotografi yang semakin popular di Malaysia ketika ini. Street Photography bukanlah satu bidang baru, ianya telah wujud sebagai satu cabang dalam fotografi sejak zaman awal fotografi lagi. Namun, Street Photography pada ketika ini telah telah diberi ‘nafas’ baru dengan penggabungan elemen lain dan gaya-gaya tertentu.

Di dalam Street Photography, selalunya jurufoto merakam dan menceritakan kehidupan masyarakat di sesuatu tempat (atau sekitar jalanan di sesuatu bandar) mengikut kacamata jurufoto. Biasanya, subjek utama yang dirakam adalah manusia, tetapi, sesuai dengan nama Street Photography, latar belakang atau elemen-elemen lain yang selalu ada di dalam foto itu adalah bangunan, kaki lima, jalanraya, gerai, jambatan dan seumpamanya.

Perkara yang menarik mengenai Street Photography ialah kita tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan subjek yang menarik. Kebanyakan dari kita tinggal berhampiran bandar atau tinggal di dalam bandar itu sendiri. Apa yang perlu dilakukan ialah ‘melihat’ sesuatu subjek itu dengan pandangan seorang jurufoto. Ada banyak subjek menarik yang selalu kita terlepas pandang. Dengan sedikit penghayatan, menunggu masa yang sesuai dan kreativiti, kita mampu menghasilkan imej-imej yang menarik dalam Street Photography. Kita mungkin dapat hasilkan foto yang luar biasa hanya dengan merakam subjek biasa yang jarang-jarang orang lain pernah hiraukan.

Salah seorang tokoh awal Street Photography ialah Henri Cartier-Bresson (1908-2004), seorang jurufoto lagenda yang hasil karyanya dikagumi sehingga kini. Namun, Henri Cartier-Bresson pada zamannya tidaklah digelar sebagai Street Photographer, tetapi lebih dikenali sebagai seorang jurufoto yang berkebolehan merakam foto tepat pada detik yang paling sukar atau lebih terkenal dengan istilah ‘the decisive moment‘. Pada zaman sekarang, istilah ini juga telah disama ertikan dengan nama candid atau moment.

Henri Cartier-Bresson juga merupakan perintis kepada bidang photojournalism atau  foto kewartawanan. Beliau merupakan salah seorang dari ahli pengasas Magnun Photo Agency, sebuah agensi foto kewartawanan yang disegani hingga kini. Oleh kerana banyak foto beliau dirakam dijalanan, maka, ada juga yang berpendapat bahawa beliau juga boleh dikategorikan sebagai seorang Street Photographer.

Antara hasil karya Henri Cartier-Bresson:


Foto oleh Henri Cartier-Bresson


Foto oleh Henri Cartier-Bresson


Foto oleh Henri Cartier-Bresson


Foto oleh Henri Cartier-Bresson


Foto oleh Henri Cartier-Bresson

Di Malaysia pada ketika ini, terdapat beberapa orang jurufoto yang serius merakam subjek dalam bidang Street Photography. Masing-masing mempunyai kecenderungan, citarasa, gaya dan pendapat yang tersendiri mengenai Street Photography.

Salah seorang Street Photographer yang mempunyai gayanya yang unik dan tersendiri ialah Che’ Ahmad Azhar – seorang yang berpengalaman luas dalam bidang komunikasi visual yang kini bertugas di Universiti Multimedia Malaysia. Selain dari aktif merakam foto Street Photography, beliau juga kini sedang giat membuat penyelidikan mengenai bidang Street Photography. Che’ Ahmad Azhar atau lebih dikenali dengan nama Che’ Mat dikalangan rakan-rakan jurufoto akan bersama-sama berkongsi hasil penyelidikan dan pengalaman beliau dalam satu program Photo Talk – Street Photography yang akan diadakan pada 12 Februari 2011.

Antara hasil karya Che’ Ahmad Azhar:


Foto oleh Che’ Ahmad Azhar


Foto oleh Che’ Ahmad Azhar


Foto oleh Che’ Ahmad Azhar


Foto oleh Che’ Ahmad Azhar


Foto oleh Che’ Ahmad Azhar

FOTOTEACHER akan mengadakan 2 program bertemakan Street Photography iaitu Photo Talk pada 12 Februari 2011 (yuran penyertaan minima dikenakan) dan diikuti program outing percuma pada 13 Februari 2011 di sekitar Kuala Lumpur. Che’ Ahmad Azhar sendiri akan mengendalikan kedua-dua program ini.

Maklumat lain adalah seperti di bawah ini:


Program: Photo Talk – Street Photography
Tarikh: 12 Februari 2011
Masa: 2.00 petang – 5.00 petang
Tempat: FOTOTEACHER Training Centre, Cheras, Kuala Lumpur
Yuran penyertaan: RM85 seorang (Harga istimewa RM50 seorang untuk bekas peserta kursus AFD FOTOTEACHER)
Untuk melihat maklumat lanjut dan pendaftaran, SILA KLIK DI SINI
(Sila buat pendaftaran dan bayaran segera, tempat terhad!)


Program: Photo Outing – Street Photography
Tarikh: 13 Februari 2011
Masa: 8.00 pagi – 11.00 pagi
Tempat: Sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur
Yuran penyertaan: PERCUMA
Untuk melihat terma & syarat, maklumat lanjut dan pendaftaran, SILA KLIK DI SINI
(Sila buat pendaftaran segera, tempat terhad!)

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155 (waktu pejabat) atau hantarkan e-mel kepada sales@fototeacher.com

Untuk menyertai berbagai kursus fotografi, sila layari – www.fototeacher.com

TEAM FOTOTEACHER.COM

January 17, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Inspirasi & Motivasi, Personal

10 GAMBAR TERBAIK 2010

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Tahun 2010 telah berlalu. Sebagai seorang jurufoto, kita perlu menilai samada hasil karya kita semakin bertambah baik, mendatar atau lebih merosot. Sebagai seorang jurufoto, portfolio atau hasil karya kita inilah yang akan menentukan dimanakah tahap kita dalam bidang fotografi. Hasil karya kita perlu menjadi lebih baik setiap tahun.

Di sini saya pilih 10 keping foto saya yang terbaik, atau lebih sesuai saya namakan foto kegemaran saya secara peribadi untuk tahun 2010. Saya harap, saya dapat menghasilkan foto yang jauh lebih baik pada tahun 2011 ini. Itu bermakna, saya perlu lebih banyak belajar dan lebih kerap merakam foto.

Di sini saya paparkan foto-foto tersebut dan sedikit huraian mengenainya, semoga dapat memberi manfaat kepada kita semua.

GAJAH MANDI

Seekor gajah sedang dimandikan di Kuala Gandah Elephant Sanctuary di Pahang. Saya suka kesan percikan air yang terhasil dari penggunaan shutter speed yang laju di dalam foto ini.  Latarbelakang dikaburkan dengan penggunaan aperture besar f/2.8 dan penggunaan lensa telephoto.

FEEDING THE BIRD

Seorang budak perempuan memberi makan kepada burung camar di pinggir sebuah tasik di bandar Queenstown, New Zealand. Saya suka melihat reaksi budak ini yang begitu terhibur memberikan burung ini makan. Foto ini dipilih dari 20-30 foto yang dirakam untuk mendapatkan detik yang paling sempurna. Lensa yang digunakan ialah 50mm dengan shutter speed yang agak laju. Foto telah dipangkas (crop) dari format asal untuk membuang elemen lain yang tidak penting dan mengganggu.

WIRELESS FLASH

Dirakam di sebuah kebun strawberry di Cameron Highlands. Jarang foto dirakam dengan menampakkan flash di dalam foto itu sendiri. Pencahayaan dari bahagian bawah muka pun jarang digunakan di dalam rakaman foto potret. Sekadar sedikit kelainan, saya suka gambar ini secara peribadi. Selain dari itu, saya suka ekspresi subjek yang bersahaja dan natural. Available light dikawal agar sedikit under exposed agar subjek utama yang diterangi oleh cahaya flash kelihatan lebih timbul.

JIMMY SHANLEY

Foto potret perkahwinan selebriti Jimmy Shanley dan pasangannya di rakam di Cameron Highlands. Saya suka kontras warna merah dari kereta antik dengan warna biru dari papan tanda. Tulisan ‘ Tanah Rata’ pada papan tanda juga memberikan info bahawa foto ini dirakam di kawasan berhampiran Cameron Highlands. Foto dirakam dengan lensa telephoto dengan satu unit flash bersama umbrella dari arah kiri untuk menyerlahkan lagi subjek utama. Sesi ini telah dijayakan oleh 3 orang krew fotografi dengan bantuan dari juru mekap dan pendandan rambut

PAINTING WITH LIGHT

Dirakam dengan menggunakan teknik light painting dimana foto dirakam di dalam tempat yang sangat gelap menggunakan long exposure. Lampu suluh digunakan sebagai sumber cahaya untuk menghasilkan imej foto. Perisian Photoshop digunakan untuk membetulkan beberapa kecacatan pada gambar.

PENCAK SILAT

Dua orang pesilat dari Silat Seni Gayong Malaysia dengan permainan senjata lembing dirakam di Pantai Bagan Lalang, Selangor. Sesi ini adalah sesi yang dirancang dengan bantuan seorang choreographer silat yang amat memudahkan tugas saya. 3 unit flash digunakan secara serentak untuk memberikan pencayaan kreatif kepada foto ini. Saya suka kepada kesan ketangkasan pesilat yang ditunjukkan di dalam foto ini. Percikan pasir serta pesilat yang sedang melompat telah membantu menampakkan kesan aksi di dalam foto ini disamping ekspresi menarik dari pesilat yang sedang ‘bertarung’. Sesi ini telah dijayakan oleh 4 orang krew fotografi dan 2 orang pesilat.

WAYANG KULIT

Persembahan wayang kulit di Ubud, Bali, Indonesia. Foto dirakam menggunakan satu-satunya sumber cahaya sedia ada iaitu cahaya lampu minyak tanah yang digunakan oleh Tok Dalang itu sendiri. Penggunaan flash tidak dibolehkan kerana akan mengganggu persembahan. Oleh kerana keadaan cahaya yang malap, shutter speed yang amat perlahan terpaksa digunakan. Puluhan foto dirakam untuk mendapatkan ekspresi terbaik disamping untuk mendapatkan foto yang kurang gegaran.

GREAT OCEAN ROAD

Foto dirakam di Great Ocean Road, Australia. Agak berlainan dengan rakaman foto pemandangan yang biasa dibuat – foto ini dirakam menghadap matahari sambil memasukkan imej matahari itu sendiri ke dalam gambar. Aperture yang kecil (f/22) digunakan untuk mendapatkan kesan garisan sinaran di sekeliling matahari. Bentuk rupa bumi sengaja dijadikan sebagai silhouette dan ini telah menjadikan imej matahari dan langit biru lebih menonjol.

GUNUNG KINABALU

Seorang pendaki sedang berjalan turun dari puncak Gunung Kinabalu menuju ke Laban Rata, cuba menamatkan perjalanan mencabar yang memenatkan. Saya suka cara subjek sedang berjalan dan kesan cahaya matahari pagi yang baru terbit di sebalik gunung. Sudut cahaya ini juga telah memberikan kesan bayang yang menampakkan bentuk permukaan batuan di Gunung Kinabalu dengan cara yang begitu kontras.

FIORDLAND

Foto dirakam di Fiordland, New Zealand. Memang banyak pemandangan menarik di New Zealand, tetapi, saya telah pelajari bahawa, bukan semua pemandangan yang cantik dilihat dengan mata akan kelihatan cantik di dalam foto. Inilah cabaran untuk merakam foto pemandangan. Saya suka foto ini kerana komposisinya dan ‘kesempurnaan’ pemandangan itu sendiri. Latar depan menunjukkan aliran air yang segar dan tenang, subjek di tengah menunjukkan padang rumput semulajadi dan latar belakangnya pula menampakkan gunung berbatu dengan ‘snow cap’ di puncaknya. Polarizing filter digunakan untuk menampakkan balikan cahaya atau warna awan pada permukaan air. Gradual Neutral Density (Grad ND) filter digunakan untuk mengimbangkan kecerahan di bahagian awan dengan bahagian latar depan. Shutter speed yang perlahan digunakan bersama tripod untuk memberikan kesan pergerakan air yang lebih lembut.

Diharap foto di atas dapat menjadikan kita lebih bersemangat untuk berusaha bagi mendapatkan foto yang lebih baik lagi. Saya sendiri akan menerima kritikan atau komen dan terus belajar. Ingatlah, tiada foto yang sempurna. Selamanya kita tidak akan habis belajar dan memperbaiki diri.

Hasnuddin Abu Samah
Pengasas/jurulatih utama FOTOTEACHER.COM

Saya akan mengadakan beberapa sesi outing, coaching, talk dan mini workshop fotografi tidak lama lagi. Jika anda berminat untuk bersama-sama menyertai aktiviti ini, sila langgan newsletter percuma dari kami. Kami akan maklumkan kepada anda tentang sebarang aktiviti fotografi terbaru melalui newsletter ini. Sila langgan newsletter percuma FOTOTEACHER di – http://fototeacher.com/subscribe.htm

January 1, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Fikiran, Inspirasi & Motivasi

NIKMAT FOTOGRAFI DARI KAMERA COMPACT

NIKMAT FOTOGRAFI DARI KAMERA COMPACT
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Saya ialah seorang jurufoto yang menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan. Ini bermakna, saya merakam foto untuk kepuasan pelanggan. Apabila bekerja, saya menggunakan kamera DSLR dengan berbagai jenis lensa dan aksesori lain. Adakalanya kesemua peralatan ini penuh di dalam 3 buah beg kamera. Bagi saya, kamera DSLR bermaksud kerja. Setiap kali memegang kamera DSLR, fikiran saya seolah-olah telah diprogramkan untuk bertindak seperti seorang jurufoto profesional yang bertanggung jawab untuk merakam foto untuk menepati keperluan tertentu seperti yang dikehendaki oleh pelanggan.

Jadi, untuk merakam foto yang berunsur seni bagi tujuan peribadi, saya lebih suka menggunakan compact camera kerana saya akan berasa lebih relaks dengan kamera ini. Dengan ciri-ciri yang ringkas dan mudah, saya lebih terarah untuk memberi tumpuan kepada aspek artistik, bukannya teknikal. Untuk membolehkan kawalan exposure secara manual, saya menggunakan “High End Compact Camera”

Sekali sekala saya akan meluangkan masa untuk merakam foto untuk kepuasan peribadi. Boleh dikatakan ianya ibarat terapi jiwa bila kita dapat menghasilkan sesuatu karya fotografi yang bermakna kepada diri kita sendiri.  Foto yang dirakam untuk tujuan peribadi ini kita namakan personal works atau adakalanya ia boleh menjadi karya yang termasuk dalam kategori fine art photography. Karya ini tidak terikat dengan apa-apa syarat, baik dari segi teknikal mahupun dari segi artistik. Kita bebas merakam apa saja dengan apa jua cara mengikut kehendak sendiri. Ini satu kebebasan dalam berkarya yang sungguh besar nikmatnya.

Seperti nikmatnya memakan masakan yang sedap, nikmat kepuasan menghasilkan karya fotografi ini tidak dapat dijelaskan tanpa anda sendiri merasainya. Jika anda belum merasainya, bermakna anda belum mendapat salah satu manfaat yang besar dari fotografi! Bagaimana caranya untuk anda mencapai apa yang saya sebutkan ini? Pertama sekali, anda mestilah menghayati suasana ketika anda merakam sesuatu foto. Anda juga perlu melihat subjek anda dengan mata hati dan perasaan anda.  Dengan cara ini, anda akan dapat hasilkan foto yang mempunyai jiwa dan penuh dengan nilai artistik.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


Embun di atas bumbung kereta di waktu pagi dirakam dengan kamera compact Leica D-Lux 4


Dirakam di Alamanda Putrajaya menggunakan kamera compact Leica D-Lux 4


Tertarik dengan unsur garisan di dalam foto ini, dirakam di kota Paris dengan kamera compact Canon G7


Dirakam ketika turun dari puncak Gunung Kinabalu menggunakan kamera Leica D-Lux 4


Hasil dari Leica D-Lux 4


Slow shutter dengan kamera Canon G7


Dirakam di kota London dengan kamera Canon G7

Nota: “High End Compact Camera” yang dimaksudkan ialah kamera compact yang mempunyai kawalan exposure secara manual dan berharga sekitar RM1,500 ke atas seperti model Canon G12 atau Leica D-Lux 5


Saya dengan kamera compact Leica D-Lux 4

SERTAI KAMI DI FACEBOOK UNTUK MENDAPATKAN BERBAGAI TIPS DAN INFO MENGENAI FOTOGRAFI. SILA KE – www.facebook.com/fototeacher

Kisah Rakaman Potret Perkahwinan Jimmy Shanley

Kisah Rakaman Potret Perkahwinan Jimmy Shanley
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Baru-baru ini, saya dan team Adan Cameraworks telah dilantik sebagai jurufoto rasmi untuk majlis perkahwinan selebriti pengacara TV – Jimmy Shanley. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan saya -  Baha selaku wedding planner yang telah memilih kami. Saya juga amat gembira kerana foto yang saya rakam telah dipilih untuk digunakan sebagai gambar cover untuk majalah Keluarga Harmoni edisi 15-31 Oktober 2010 terbitan Utusan Malaysia. Terima kasih kepada penulis, editor dan semua yang terlibat.

Sesi outdoor portrait pasangan ini telah diadakan di sekitar Cameron Highlands. Team fotografi terdiri dari 6 orang kesemuanya iaitu koordinator, jurufoto, pembantu jurufoto,  jurukamera video, make-up artist dan hair stylist. Penggambaran bermula pada jam 11 pagi dan berakhir pada jam 6 petang untuk 5 lokasi penggambaran. Memang cabaran utama untuk sesi fotografi ini adalah masa yang agak suntuk ditambah pula keadaan cuaca yang tidak menentu di Cameron Highlands yang menyukarkan lagi proses penggambaran. Tetapi, dengan kerjasama dari semua yang terlibat, kami berjaya juga mencapai apa yang dikehendaki.

Secara semulajadinya, Cameron Highlands memang merupakan lokasi yang baik untuk rakaman foto sebegini. Dikelilingi kehijauan hutan, pokok-pokok pine dan beberapa bangunan lama menjadikan lokasi ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri.  Cuaca sejuk juga pada pendapat saya dapat memberikan mood yang lebih relaks kepada pasangan pengantin. Tambah beruntung lagi, kami berpeluang menggunakan sebuah kereta antik berwarna merah sebagai props untuk penggambaran ini. Ketampanan Jimmy serta kecantikan pasangannya pula makin menjadikan sesi ini lebih menarik.

Oleh kerana cuaca panas, mendung dan hujan yang tidak menentu di Cameron Highlands, kami menggunakan peralatan pencahayaan portable serta reflector apabila keadaan memerlukan. Pencahayaan tambahan ini amat penting ketika penggambaran di waktu mendung atau apabila sudut pencahayaan matahari yang baik tidak diperolehi. Tanpa pencahayaan yang terkawal, wajah subjek tidak dapat diserlahkan dari latar belakang serta bentuk muka subjek tidak dapat digambarkan dengan baik. Di dalam penggambaran sebegini, tugas mestilah disiapkan di dalam masa yang telah diperuntukkan tidak kira apa jua masalah pencahayaan atau masalah teknikal yang dihadapi. Inilah salah satu cabaran yang perlu kami tangani. Namun, syukur alhamdulillah semuanya telah berakhir dengan baik dan kami yakin telah dapat memuaskan hati pelanggan kami setelah mencuba yang terbaik.

August 14, 2010 Categorized under Artikel Kreativiti, Artikel Teknikal, Review

Lens Baby – Meluaskan Skop Kreativiti Anda

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Lens Baby adalah satu jenama untuk lensa unik untuk menghasilkan foto yang kreatif. Lensa ini adalah lensa ringkas tanpa kebolehan auto focus (AF) atau ciri-ciri otomatik lain. Aperture boleh ditukar – bukan dengan cara biasa menggunakan dail, tetapi menggunakan aperture disc yang perlu ditukar secara manual. Namun, kelebihan lensa ini ialah, ianya boleh digerakkan ke semua arah bagi mendapatkan kesan tajam pada subjek dan mendapat kesan kabur yang menarik pada bahagian lain dalam foto anda.


Contoh foto yang boleh dihasilkan dengan menggunakan Lens Baby. Foto oleh David A. Barss

Lens Baby didatangkan dalam 3 jenis ‘badan’ lensa, bermula dari yang paling asas hinggalah yang paling canggih. Tidak kira apa jenis badan lensa yang anda gunakan, kesemua aksesori lain Lens Baby boleh digunakan dengan badan lensa yang anda pilih. Badan lensa yang ditawarkan oleh Lens Baby ialah Muse, Composer dan Control Freak. Badan lensa yang ditawarkan oleh Lens Baby boleh digunakan dengan hampir semua jenis kamera DSLR dari jenama Nikon, Canon, Sony, Pentax dan Olympus.


Lens Baby paling asas – model yang dinamakan Lens Baby Muse

Badan lensa Lens Baby Muse adalah yang paling murah dan paling asas. Ianya didatangkan dengan pilihan optik kaca atau optik plastik. Lens Baby dengan optik kaca lebih mahal berbanding optik plastik. Optik kaca menghasilkan foto yang lebih berkualiti dan lebih tajam manakala optik plastik pula menghasilkan kesan foto yang kurang tajam  dengan kesan kabur ‘seakan mimpi’. Anda boleh pilih optik yang sesuai dengan kesan yang anda kehendaki dan sesuai dengan bajet anda.  Untuk memfokus dan mendapatkan kesan kabur yang anda kehendaki, anda perlu menggerakkan lensa ini menggunakan jari pada kedua belah tangan anda. Disebabkan model Muse ini adalah model yang paling asas, kedudukan lensa ini tidak boleh ‘dikunci’ seperti model Composer.


Lens Baby model Composer

Badan lensa Lens Baby Composer membolehkan pergerakan lensa ‘dikunci’. Setelah anda membuat gerakan lensa, lensa ini tidak akan bergerak dan berada tetap pada kedudukan yang telah anda laraskan. Ianya juga mempunyai kawalan untuk memfokus dengan cara memusing kawalan fokus pada lensa ini sehingga imej kelihatan tajam.


Lens Baby model Control Freak

Model Lens Baby Control Freak adalah model yang menawarkan kawalan yang paling terperinci terhadap Lens Baby anda. Model ini membolehkan pergerakan lensa dikunci. Selain dari itu, anda juga boleh membuat pelarasan terperinci untuk fokus dan posisi pergerakan lensa.

Kesan khas utama yang dihasilkan oleh Lens Baby ialah kesan kabur yang menarik yang dihasilkan di dalam foto yang dirakam. Tetapi, selain dari itu, Lens Baby juga boleh menghasilkan kesan khas lain apabila anda menggunakannya dengan aksesori tambahan yang ditawarkan. Antara kesan khas lain yang boleh dilakukan oleh Lens Baby ialah kesan imej pinhole, zone plate, soft focus dan fisheye


Foto yang dirakam menggunakan Lens Baby optik pinhole. Foto oleh Tina Louise


Foto yang dirakam menggunakan Lens Baby optik zone plate. Foto oleh Oliver Tudoras


Foto yang dirakam menggunakan Lens Baby optik soft focus. Foto oleh Kathleen Clemons


Foto yang dirakam menggunakan Lens Baby optik fisheye. Foto oleh Kathleen Clemons

Lens Baby asas yang didatangkan dengan focal length 50mm ini juga boleh ditukar jarak fokalnya dengan menggunakan aksesori tambahan yang disediakan. Aksesori tambahan yang ditawarkan adalah macro kit, wide angle lens, super wide angle dan telephoto.

Macro kit mengandungi 2 unit kanta, iaitu kanta +4 dan +10 yang membolehkan anda merakam foto dari jarak dekat (macro). Anda boleh menggunakan salah satu kanta atau menggunakan kedua-dua kanta ini sekaligus apabila merakam foto dari jarak dekat.  Dengan menggunakan kanta ini, anda boleh merakam foto dari jarak 2 inci hingga 13 inci! Kanta macro ini dipasang secara screw-in pada bahagian depan Lens Baby anda.


Foto dirakam dengan Lens Baby kanta macro +4. Foto oleh KathleenClemonsPhotography.com


Foto dirakam dengan Lens Baby kanta macro +10. Foto oleh LisaSmithStudios.com


Foto dirakam dengan Lens Baby kanta macro +4 digabungkan dengan kanta macro +10. Foto oleh Mick LeTourneaux

Aksesori  tambahan wide angle lens pula boleh memberikan anda kesan sudut luas dengan jarak fokal 30mm. Manakala aksesori super wide angle boleh memberikan jarak fokal  21mm. Dengan menggunakan aksesori Lens Baby telephoto, anda boleh mendapat focal length 80mm pada Lens Baby anda.  Selain dari itu, Lens Baby juga menawarkan aksesori bernama Creative Aperture Kit yang merupakan bukaan aperture yang mempunyai berbagai bentuk unik dan menghasilkan kesan bukaan aperture yang menarik pada foto anda. Kesemua aksesori ini boleh dipasang pada bahagian depan Lens Baby anda.


Lensa Super Wide Angle untuk Lens Baby dan kesan imej yang dihasilkan


Creative Aperture Kit dengan hasil fotonya. Dengan menggunakan aperture berbentuk bintang, highlight yang diluar medan fokus akan menghasilkan imej berbentuk bintang juga. Anda boleh mendapatkan berbagai bentuk lain mengikut kreativiti anda.


Antara barisan aksesori Lens Baby yang lengkap untuk berbagai tujuan penggambaran

Selain dari aksesori yang dinyatakan di atas, terdapat banyak lagi aksesori lain yang disediakan oleh Lens Baby bagi memenuhi keperluan kreativiti anda. Ringkasnya, Lens Baby adalah satu inovasi fotografi yang hebat dengan sistem aksesori yang sungguh lengkap.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

MAKLUMAT TAMBAHAN:
FOTOTEACHER adalah penjual rasmi untuk kesemua produk Lens Baby. Anda boleh dapatkannya dari kami secara online di – http://www.fototeacher.com/shop.html

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Encik Adam di 03-91017155 atau e-mel kepada sales@fototeacher.com

Oleh kerana Lens Baby adalah satu inovasi baru dan mempunyai sistem yang lengkap, agak sukar pada mulanya untuk memahami keseluruhan fungsi dan kelebihan produk ini. Kami cadangkan anda mencuba sendiri produk ini dengan hadir ke pejabat kami. Anda juga boleh bertanya apa jua soalan yang berkaitan dengan Lens Baby. Alamat kami:
FOTOTEACHER.COM,
C-1-9, Megan Phoenix,
Jalan Cheras,
56000 Kuala Lumpur
SILA LIHAT PETA LOKASI DI SINI
Dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang (Isnin hingga Jumaat)
Sila buat temujanji dengan Encik Adam sebelum hadir bagi memastikan kami bersedia untuk kehadiran anda.
Telefon:  03-91017155 atau e-mel kepada sales@fototeacher.com

Untuk melayari laman web rasmi Lens Baby, sila ke: http://www.lensbaby.com

Sila tonton video ini untuk gambaran lebih jelas mengenai Lens Baby:


SERTAI PROGRAM FOTO TOOLS CLASS (FTC) ANJURAN FOTOTEACHER JIKA ANDA BERMINAT UNTUK TAHU DENGAN LEBIH LANJUT MENGENAI LENS BABY. ANDA JUGA BOLEH MENCUBA SENDIRI PRODUK INI DENGAN MENGHADIRI PROGRAM INI. UNTUK MAKLUMAT LANJUT DAN PENDAFTARAN, SILA KLIK DI SINI.

January 2, 2010 Categorized under Artikel Kreativiti, Gambar, Inspirasi & Motivasi

Jurufoto Wanita – Amie Vitale

amivitale_about
Amy Vitale

Sekarang ini, kita lihat semakin ramai kaum wanita terlibat dalam bidang fotografi samada sebagai hobi atau kerjaya. Jurufoto wanita mempunyai kelebihan dan keunikan yang tersendiri. Dunia fotografi telah jadi lebih meriah dengan penyertaan dari kaum hawa ini.

Jadi, untuk kaum wanita di luar sana, saya dedikasikan entry kali ini untuk anda! Saya ingin memperkenalkan seorang jurufoto wanita yang hebat – Amie Vitale. Beliau yang telah banyak memenangi anugerah fotografi antarabangsa turut merupakan salah seorang jurufoto untuk majalah berprestij – National Geographic. Di bawah ini adalah hasil karya beliau yang diharap dapat memberikan inspirasi kepada anda, terutamanya jurufoto wanita di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Amie Vitale di – http://www.amivitale.com

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

amie1

amie2

amie3

amie4

amie5

amie6

amie7

amie8

amie9

Semua foto adalah hakcipta Ami Vitale

September 24, 2009 Categorized under Artikel Kreativiti, Review, TANYA HASNUDDIN

Laman Web Menarik – PHOTOJOJO

photojojologo
Photojojo adalah sebuah laman web yang memaparkan banyak tips-tips menarik dan unik yang berkaitan dengan fotografi. Antaranya:

photojojo001
Tips menjadikan kamera anda buruk untuk menghilangkan minat pencuri dari mencuri kamera anda!

photojojo002
Berbagai idea mereka cipta business card yang unik

photojojo003
Cara merakam gambar dari sudut tinggi menggunakan belon, serta banyak lagi tips dan idea pelik ada dipaparkan dalam laman web Photojojo. Untuk melayari laman web Photojojo,  SILA KLIK DI SINI!

DAPATKAN ARTIKEL FOTOGRAFI PERCUMA, DIHANTAR TERUS KE E-MEL ANDA. SILA KLIK DI SINI

August 12, 2009 Categorized under Artikel Kreativiti, Inspirasi & Motivasi, Tips

Baru Beli DSLR

Baru Beli DSLR
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Saya menerima soalan daripada seorang kenalan yang baru sahaja membeli DSLR pertama. Setelah beberapa hari bermain dengan kamera barunya kelihatan seperti ada sedikit masalah. Soalan yang diajukan ialah, kenapa gambar makronya kelihatan kabur.

Apabila saya meneliti foto tersebut, saya rumuskan bahawa subjek di dalam gambar tersebut tidak difokus dengan betul. Apa yang saya syak ialah beliau cuba untuk menggunakan kit lens untuk melakukan makro tanpa penggunaan aksesori lain. Sudah tentu gambar tersebut kabur kerana kit lens tidak mungkin boleh memperolehi jarak fokus yang rapat tanpa bantuan peralatan lain seperti extension tube atau close up filter.

Memiliki DSLR boleh menyebabkan kita begitu seronok untuk menerokai alam fotografi, terutamanya ketika baru sahaja memilikinya. Kalau boleh rasa seperti tidak sabar untuk rakam apa sahaja di depan mata. Kita ingin menghasilkan foto seperti yang selalu dilihat di dalam majalah, surat khabar dan laman web. Namun begitu, kita perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap satu peralatan itu mempunyai batasan. Contohnya seperti rakan kita tadi yang cuba untuk mengambil gambar makro menggunakan kit lens.

Apa yang jelas ialah beliau tidak tahu tentang batasan lensa yang dimilikinya. Saya terangkan bahawa walaupun begitu, dia masih boleh mengasah kemahiran fotografinya dengan subjek lain yang tidak memerlukan peralatan tambahan. Sebagai contoh, gambar pemandangan boleh diambil dengan cantik hanya menggunakan kit lens, malahan kamera compact pun boleh memberi hasil yang memuaskan. Gambar potret juga boleh dihasilkan dengan baik menggunakan kit lens. Tetapi jika ini tidak mencukupi untuk anda, terpaksalah melabur untuk lensa yang lebih sesuai. Memang ada cabang fotografi yang memerlukan lebih daripada kit lens, tetapi adakah anda bersedia untuk mengambil langkah tersebut?

Cadangan saya kepada beliau dan juga sesiapa yang baru sahaja membeli DSLR ialah tidak terlalu terburu-buru untuk membeli lensa hanya kerana terikut-ikut dengan rakan. Fotografi boleh dinikmati secukupnya dengan berbekalkan kit lens. Tiada lensa ajaib yang boleh menghasilkan gambar yang cantik tanpa perlu ada kemahiran dan pengetahuan fotografi asas. Yang penting ialah tahu menggunakan apa jua peralatan yang kita ada dan bagaimana untuk memanafaatkannya dengan penuh.

Bagi yang baru berjinak dengan DSLR, asah bakat anda dengan kit lens dahulu dan dari situ anda boleh meneroka cabang fotografi yang anda minati.

10a
Gambar ini dirakam menggunakan kit lens.

Apa pendapat anda tentang kit lens yang anda miliki? Adakah anda rasa kebolehan anda terhad, atau adakah anda telah menggunakan sepenuhnya kebolehan kit lens anda? Harap anda boleh kongsi pengalaman dan pendapat anda mengenai kit lens bersama pembaca lain. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Sertai Kursus Asas Fotografi Digital anjuran FOTOTEACHER.COM. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI

August 2, 2009 Categorized under Artikel Kreativiti, Tips

Kreativiti

Kreativiti
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Apabila kita membelek majalah yang mengandungi foto yang memberikan inspirasi, mungkin perkara yang bermain di minda tentang penghasilan foto berkenaan ialah, peralatan yang lengkap, kemahiran dan peluang (nasib). Untuk penggiat foto sebagai hobi hujung minggu, peluang mungkin jarang tiba manakala peralatan pula bergantung kepada budget masing-masing. Apa yang boleh diasah ialah kemahiran yang merangkumi aspek teknikal dan estetika.

Kini terdapat pelbagai aksesori, kamera dan lensa yang memudahkan jurufoto mendapatkan kesan yang diingini tanpa perlu menggunakan teknik ortodoks yang agak leceh. Sebagai contoh, kamera moden yang mampu menghasilkan imej bersih pada ISO tinggi boleh mengurangkan pergantungan kepada kawalan cahaya yang rumit. Sistem Image Stabilizer pula membolehkan gambar yang stabil dirakam pada dedahan lama tanpa perlu menggunakan tripod. Jika masih ada kepincangan pada imej, ia boleh dibaiki dengan post processing yang boleh dilakukan dengan komputer peribadi.

Teknologi banyak membantu kita untuk menghasilkan karya dengan mudah dan menjimatkan masa. Tetapi kesannya ialah aspek seni dalam foto itu sendiri yang menjadi semakin dipinggirkan. Acapkali apabila diperbincangkan tentang seni, kita akan merujuk kepada teknik komposisi. Akhirnya ada yang merumuskan kalau gambar itu mengikut rule of thirds, sudah dikira ada seni. Tetapi di mana ceritanya? Apakah yang gambar tersebut sampaikan selain hanya tompokan pixel atau dakwat?

Foto yang dianggap masterpiece menimbulkan rasa “wow” bila dilihat. Ia bukan foto yang hanya menepati piawai teknik komposisi, pencahayaan dan memperagakan subjek cantik. Ia sepatutnya membawa sesiapa yang melihat ke alam lain dan menimbulkan riak emosi. Foto sebegini tidak dihasilkan dengan meniru gaya orang lain tetapi hasil daripada sanubari jurufoto itu sendiri. Foto-foto yang dipaparkan dalam majalah terkemuka dirakam dengan tujuan untuk membawa kisah daripada kawasan terpencil ke mata dunia, bukannya sekadar aplikasi teknik dan peralatan semata-mata. Ia lahir daripada keinginan untuk mendapatkan foto yang boleh membicarakan seribu satu coretan dan menarik perhatian pembaca untuk mengetahui lebih lanjut. Inilah kreativiti.

Apakah masalah anda untuk menghasilkan gambar yang kreatif? Adakah anda ada tips lain untuk menjadi kreatif? Harap anda boleh kongsikan pengalaman dan pendapat anda dengan pembaca lain. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Sertai berbagai program menarik anjuran FOTOTEACHER.COM. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI.