BLOG ARKIB – Kamera Untuk Tutup Malu
BLOG ARKIB – Kamera Untuk Tutup Malu
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Kamera Untuk Tutup Malu”– 21 November 2008)
Isu kamera murah dan kamera mahal memanglah satu isu yang sentiasa
dibincangkan. Orang baru dalam fotografi sentiasa terdorong untuk
membeli kamera yang tercanggih yang ada di pasaran, yang kadangkala
membebankan dari segi kewangan. Sindrom ini jadi makin kronik bila
kawan-kawan selalu ‘meracun’ kita untuk beli kamera dan aksesori yang
terbaru dan terbaik di pasaran.
Dari pemerhatian saya, ini terjadi kerana orang baru dalam fotografi
tiada keyakinan pada diri sendiri dalam hal pengendalian kamera. Mereka
kurang pengetahuan fotografi dan kurang pengalaman. Jadi, untuk menutup
kelemahan diri, ramai yang ambil jalan mudah – beli kamera mahal lagi
canggih, dengan harapan, gambar yang dirakam akan jadi hebat secara
automatik. Malangnya, pendapat ini tidak benar.
Orang baru harus banyak belajar, banyak bertanya, banyak mengkaji dan
banyak berlatih merakam gambar. Dengan cara ini, mereka akan cepat
pandai dan akan mendapat keyakinan diri. Kita perlu yakin, bahawa, yang
membuatkan gambar yang dirakam itu cantik adalah kemahiran yang ada
pada diri kita, bukannya disebabkan oleh kamera yang canggih.
Bila kita masuk bidang fotografi dan ingin jadi jurufoto, pastikan
bahawa, minat utama kita ialah untuk hasilkan gambar yang baik, bukan
mengumpul berbagai jenis peralatan kamera dan membeli setiap kamera
keluaran terbaru. Maksudnya, jika ingin jadi jurufoto yang baik,
kita harus fokuskan masa dan wang kita lebih kepada pembelajaran dan
penguasaan kemahiran fotografi. Kamera hanyalah sekadar alat.
Jika kita ada kamera mahal, kamera tersebut akan jatuh harganya
selepas beberapa tahun. Tapi jika kita ada ilmu dan kemahiran
fotografi dalam diri kita, ianya tidak akan jatuh nilai, malah nilai
diri kita sebagai seorang jurufoto akan sentiasa naik dengan setiap
kemahiran dan ilmu yang kita perolehi.
Tidak salah membeli peralatan kamera mahal jika kita mampu. Tapi,
sebagai jurufoto, pastikan bahawa, kemahiran kita sentiasa lebih
hebat dari kamera kita. Janganlah hanya sekadar bergaya dengan
peralatan hebat, tapi takut nak tunjuk hasil gambar.
Memang ada golongan yang digelar camera collector. Ianya juga satu
hobi yang baik dan menarik. Tapi, kalau kita ingin dikenali sebagai
jurufoto, kita lebih patut rakam dan collect gambar yang baik, bukan
collect peralatan kamera.
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
Ingin dapatkan artikel-artikel fotografi secara percuma dan dihantar
terus kepada e-mel anda? Sila langgan newsletter percuma kami di
– http://fototeacher.com/subscribe.htm



