July 30, 2011 Categorized under: BLOG ARKIB - 1 Comment

BLOG ARKIB – Kamera Murah dan RM1 Juta

BLOG ARKIB – Kamera Murah dan RM1 Juta
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
“Kamera Murah dan RM1 Juta”– 7 Disember 2008)

Dari Kiri – Flash Nikon SB 26, Lensa Nikkor 28-105mm f/3.3-4.5 dan Kamera filem Nikon F80.

Peralatan di atas memberikan nostalgia yang penting dalam hidup saya.
Walaupun ianya adalah kamera lama dan ketinggalan zaman, saya masih
simpan peralatan ini dengan baik. Menambahkan ‘sayang’ saya pada setiap
satu peralatan ini ialah kerana saya membelinya pada satu ketika dulu dengan
wang yang begitu terasa besar nilainya buat saya.

Flash itu sudah berusia lebih dari 13 tahun. Saya beli ketika masih lagi belajar di
ITM. Saya beli flash ini hasil dari wang yang dikumpul beberapa bulan hasil
dari kerja-kerja fotografi sambilan yang dibuat. Harganya pada waktu
itu RM850, terasa cukup besar bagai menggigil nak membayar.

Lensa itu pula adalah lensa terpakai yang dibeli pada tahun 2001.
Waktu itu duit yang ada hanya cukup-cukup untuk bayar harga lensa.
Wang RM800 yang dikeluarkan tidak meninggalkan baki di dalam dompet.
Tapi hati tetap senang bila dapat bawa pulang lensa baru.

Kamera Nikon F80 ini saya beli dengan harga RM1,600 ketika mula-mula
menubuhkan Adan Impresif pada tahun 2001. Di waktu itu, jurugambar
perkahwinan yang lain sudah ramai menggunakan kamera yang lebih gah
seperti F90 dan F100. Saya terpaksa berpuas hati dengan kamera F80
yang bertaraf kamera amatur ini – janji boleh buat kerja untuk menampung
keperluan hidup pada waktu itu.

Dengan keseluruhan peralatan yang berharga RM3,250.00, saya mendirikan
Adan Impresif. Sedar tak sedar, berpunca dari kamera buruk inilah yang
telah membuahkan berbagai keuntungan dalam perniagaan saya sekarang.
Bak kata pepatah, perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah
pertama.

Ada apa dengan modal wang? Kita ada masa 24 jam sehari, kita
masing-masing dianugerahkan dengan bakat yang unik. Gunakan apa saja
yang ada. Jangan merungut dengan apa yang kita tidak ada. Saya masih
ingat, Tan Sri Halim Mohammad (Pemilik Halim Mazmin, salah seorang
multi jutawan Malaysia) pernah berkata kepada saya, “Orang ‘kita’
berniaga tak banyak modal wang. Tapi kita ada modal kemahiran dan
masa. Gunakan ini habis-habisan. Cuma ini yang kita ada”

Tidak keterlaluan jika saya katakan, kamera ini telah membantu saya
membuat lebih dari RM1 juta ringgit untuk Adan Impresif. Saya tidak kata
saya jutawan sebab saya tidak ada RM1 juta di dalam bank sekarang. Tetapi,
jutaan ringgit telah dibuat di dalam tempoh lebih dari 10 tahun walaupun
kebanyakannya telah ‘hangus’ membayar sewa, gaji, stok dan sebagainya.

Tanpa bapa, tidak ada anak. Tanpa kamera murah, tidak ada kamera mahal.
Walaupun kamera buruk saya ini sudah tidak digunakan sekarang, rasanya tidak
patutlah ianya dijual. Biarlah disimpan saja sebagai satu lambang kepada semangat
keusahawanan yang akan terus saya ingati.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


Dapatkan artikel fotografi percuma dari FOTOTEACHER.COM. Sila klik di sini.

One Response to “BLOG ARKIB – Kamera Murah dan RM1 Juta”

  1. bibimie says:

    gigih tanpa jemu… terima kasih atas perkongsian ini.

Leave a Reply