Noise Fanatic
Noise Fanatic
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM
Saya masih lagi menggunakan kamera lama iaitu sebuah kamera DSLR keluaran 2005. Model tersebut menggunakan sensor CCD dan mempunyai tahap ISO maksima hingga 1600 seperti mana kebanyakan DSLR pada zaman tersebut. Kebiasannya saya tidak menggunakan ISO yang terlalu tinggi kerana noise akan kelihatan terlalu ketara. Kebanyakan DSLR masa kini menghasilkan imej yang lebih bersih dengan menggunakan sensor dan cip yang lebih maju.
Ini bukanlah masalah yang besar bagi saya kerana kamera tersebut paling kerap digunakan untuk mengambil gambar makro menggunakan flash yang mana ISO 100 sudah memadai. Apabila saya menggunakannya dalam situasi cahaya malap, saya tidak keberatan untuk menaikkan ISO jika perlu asalkan foto tersebut dapat dirakam dengan baik. Kebiasaannya saya lebih gemar untuk menaikkan ISO berbanding menurunkan kelajuan shutter di bawah paras minima.
Ada juga orang yang begitu taksub untuk mendapatkan foto yang bersih daripada noise. Beberapa kenalan saya sungguh teliti apabila melihat gambar dan akan meneropong hingga 100% untuk mencari noise. Apabila model kamera baru keluar, mereka akan meneliti foto contoh dan mula meneropong untuk mencari noise, kemudian membuat perbandingan dengan model kamera lain. Mereka berpegang kepada fahaman yang percaya bahawa foto digital yang bagus tidak boleh ada noise.
Memang terdapat beberapa jenis penggunaan gambar yang mana kadar noise adalah perkara yang perlu dikawal dengan teliti. Contohnya penjualan melalui stock photo mensyaratkan semua gambar yang dihantar adalah bersih. Agensi berita juga amat cerewet dalam hal noise untuk memastikan kualiti yang tertinggi. Tetapi, bagi peminat fotografi peringkat amatur, noise tidak sepatutnya dijadikan kayu ukuran yang terlalu tinggi terutamanya jika kebanyakan foto yang dirakam bukan untuk dicetak. Lagipun, terdapat perisian yang boleh mengurangkan noise seperti Noise Ninja, Neat Image dan Noiseware.
Gambar dibawah diambil pada ISO 1600 tanpa menggunakan flash. Oleh kerana cahaya kurang menyebelahi saya dan kanak-kanak tersebut sentiasa bergerak, saya menggunakan ISO maksima untuk mendapatkan kelajuan shutter setinggi mungkin. Untuk kegunaan sendiri, ini sudah lebih dari memadai.

Jika penggunaan kita lebih banyak tertumpu kepada perkongsian gambar di internet, noise bukan lah isu yang terlalu kritikal. Kita juga boleh menggunakan noise untuk menampakkan impak yang lebih seperti yang selalu kita lihat dalam foto hitam putih. Selagi noise tidak mengganggu details pada subjek utama (contohnya tekstur kulit), tidak perlu diambil pusing berlebihan. Adalah lebih baik jika kita memberi tumpuan untuk mendapatkan pencahayaan, moment and komposisi yang sesuai. Saya percaya ini akan lebih membantu peminat senifoto untuk menikmati hobi ini.
Adakah anda seorang yang terlalu mementingkan tahap noise? Mengapa anda berfikir demikian? Adakah anda dalam kategori sebaliknya yang tidak begitu kisah tentang tahap noise pada gambar? Harap anda dapat kongsikan pendapat anda di sini. Sila tulis pendapat anda di ruangan komen di bawah.
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM
Sertai berbagai kursus dan bengkel fotografi anjuran FOTOTEACHER.COM. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI.


Yes, I agree that at times, we are too concerned about the technical perfection of our photos that we ignore what actually makes a good picture. Henri Cartier Bresson used an ancient leica that would be terrible in todays’ terms, but his photos are timeless and are still influential today in our lives. I am also using an ”old” camera model with heaps of noise, but with the right techniques, brilliant photos are still attainable.
cheers,
brandon
Dahulu, saya juga taksub dengan teknologi ISO ni. Lama kelamaan saya menyedari bahawa sebenarnya tidak semua orang melihat sesuatu gambar dengan pembesaran 100% (kecuali gambar untuk stock photo dan cetakan iklan dll). Rakaman gambar yang menarik dan berkesan memberi ‘first impression’ yang baik kepada orang yg melihatnya. Noise menjadi perkara kedua. Yakinlah dengan kemampuan kamera masing-masing.