July 20, 2012 Categorized under: Artikel Kreativiti, Fikiran, Tips - No Comment

Projek Fotografi – Masjid Besi

Salah satu gambar yang dirakam dalam Projek Fotografi Masjid Besi. Gambar ini dirakam pada waktu senja dengan teknik 'long exposure'.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Salah satu cara untuk memperbaiki kemahiran fotografi kita ialah dengan mengadakan projek fotografi. Projek ini ialah projek merakam satu subjek tertentu dalam tempoh masa tertentu untuk mencapai objektif tertentu. Projek di sini bukanlah bermaksud projek berbayar atau projek yang diarahkan oleh sesiapa. Tetapi, apa yang dimaksudkan ialah, projek yang diadakan di atas inisiatif kita sendiri dengan tujuan untuk menghasilkan karya foto yang baik dan dalam masa yang sama kita akan dapat meningkatkan kemahiran fotografi kita. Untuk menjalankan projek ini, kita perlu mengkaji segala hal yang berkaitan dengan projek yang kita jalankan. Ini akan menjadikan kita banyak belajar perkara baru, seterusnya akan menjadikan kita lebih maju dalam fotografi.

Apabila mempunyai kelapangan masa, saya juga akan mengadakan projek sendiri bagi membolehkan saya terus belajar dan terus memperbaiki kemahiran saya. Baru-baru ini, saya mengadakan projek rakaman Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan nama Masjid Besi yang terletak di Putrajaya. Saya memfokus untuk merakam keindahan senibina luaran masjid ini sambil menunjukkan kawasan persekitarannya. Selain dari itu, objektif saya ialah untuk merakam gambar masjid ini dari sudut yang menarik, mendapat komposisi yang baik dan pencahayaan yang baik. Jika boleh, saya ingin hasilkan gambar Masjid Besi dengan imej yang belum pernah dirakam oleh jurufoto lain. Untuk mencapai objektif ini, saya faham dan saya bersedia untuk berulang-alik beberapa kali ke lokasi ini sehinggalah saya mendapat gambar yang saya inginkan.

Gambar dirakam dengan cahaya petang yang cantik. Tetapi, saya rasa gambar ini akan jadi lebih hebat jika ada awan-awan yang menarik pada langit

Saya memilih untuk merakam gambar Masjid Besi kerana beberapa sebab. Antaranya ialah, masjid ini terletak tidak terlalu jauh dari rumah saya lalu memudahkan saya untuk berulang-alik ke sini. Sebab lain mengapa saya memilih masjid ini ialah, masjid ini sendiri adalah amat unik dari segi senibinanya dan saya rasa, masjid ini mampu menjadi satu subjek rakaman yang baik.

Saya perlu memandu lebih kurang selama 45 minit untuk ke Masjid Besi dari rumah saya. Langkah pertama yang telah saya dilakukan ialah, membuat tinjauan di sekitar Masjid Besi bagi mengenal pasti sudut-sudut rakaman yang boleh menghasilkan gambar yang baik. Setelah berulang-alik ke sini selama beberapa kali, saya telah berjaya mendapat 5 lokasi rakaman yang baik. Dalam tempoh masa ini juga, saya telah memerhati arah matahari terbit dan terbenam serta kesan-kesan pencahayaan terhadap bangunan Masjid Besi ini.

Gambar dirakam dari atas jambatan yang berhampiran Masjid Besi. Kebetulan pada waktu ini, awan putih berkepul-kepul di latar langit. Pencahayaan pada waktu ini juga agak menarik walaupun sudah hampir waktu tengahari. Saya membuat cropping dengan format 6X17 bagi mendapatkan kesan panoramic

5 hari pertama adalah tempoh saya mengenal dan memperhalusi beberapa perkara baru mengenai sudut pencahayaan di kawasan ini dan beberapa teknik fotografi. Setelah membuat beberapa rakaman, saya terus mengkaji kelemahan gambar yang dirakam. Saya masih belum berpuas hati dengan hasilnya. Seterusnya, saya  cuba memperbaiki sudut rakaman dan komposisi agar ianya kelihatan lebih menarik.

Setelah beberapa hari, saya cuba pula untuk mendapatkan kesan pencahayaan yang lembut seperti pada waktu awal pagi atau lewat petang. Namun, setelah itu semua berjaya didapatkan, saya masih belum berpuas hati juga. Saya berpendapat, ada satu lagi elemen yang ‘kurang’ di dalam gambar saya. Saya rasa, saya juga perlu mendapatkan formasi awan yang menarik bagi mencantikkan lagi gambar yang dirakam. Jadi, misi saya seterusnya ialah, mencari dan menunggu formasi awan yang menarik agar gambar yang dirakam boleh memberikan impak yang lebih baik. Saya hanya perlu menunggu masa yang sesuai. Untuk itu, saya perlu terus berulang-alik ke sini sehinggalah saya mendapat formasi awan yang saya idamkan.

Dalam ratusan gambar yang dirakam, gambar ini adalah gambar kegemaran saya dalam projek ini. Cahaya pagi yang lembut bersama awan yang 'meriah' menjadikan gambar ini menarik. Selain dari itu ketenangan air tasik yang memantulkan imej Masjid Besi dan bangunan-bangunan lain juga turut menjadikan gambar ini berjaya memberikan kepuasan kepada saya

Di sepanjang projek ini, saya telah berulang alik ke Masjid Besi di Putrajaya selama 12 kali. Adakalanya saya akan ke sana 2 kali dalam sehari. Adakalanya saya keluar dari rumah seawal jam 5.30 pagi untuk merakam gambar dengan cahaya matahari terbit. Ada masanya saya dapat merakam gambar yang agak baik. Ada juga masanya saya pulang dengan tangan kosong.

Oleh kerana saya telah meluangkan sejumlah masa dengan hanya memfokus kepada satu subjek, saya telah dapat belajar banyak perkara baru secara terperinci mengenai bidang ini. Saya berpuas hati dengan hasil yang saya dapati dari projek ini walaupun sebenarnya saya idamkan hasil yang lebih baik. Mungkin saya akan sambung lagi projek ini pada masa akan datang jika masa mengizinkan.

Leave a Reply