Kamera Murah
Kamera Murah
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Bang, kamera ni bagus tak???” – 6 Julai 2007)
“Encik Din, kamera yang saya baru beli ini bagus tak?”
- Pertanyaan dari seorang yang baru beli kamera yang ‘tidak berapa mahal’ (kamera murah)
Ini adalah soalan yang paling kerap ditanya kepada saya. Memang susah hendak menjawab soalan ini dalam satu ayat yang ringkas. Namun, saya biasanya akan menjawab soalan ini dengan jawapan ringkas, “It’s not the camera, it’s the man behind the camera”
Namun, biasanya jawapan ini tidak cukup memuaskan hati si polan yang bertanya. Kemudian, saya akan beri jawapan yang lebih panjang, “Kamera mahal untuk orang yang ada banyak duit. Kalau duit tidak begitu banyak, beli sahaja apa kamera yang kita mampu. Gambar cantik atau tidak lebih banyak bergantung kepada kemahiran seseorang jurufoto. Cuma, kamera mahal mempunyai beberapa kelebihan tertentu dan boleh lebih memudahkan kerja.
Kamera murah memang mempunyai beberapa kelemahan, sesuai dengan harganya yang murah. Tetapi, janganlah fikirkan atau fokuskan kepada kelemahan kamera murah tersebut. Kita gunakanlah apa saja yang kamera murah tersebut boleh lakukan untuk dapatkan gambar yang cantik. Contohnya, jika kamera kita tidak boleh rakam foto continuous drive sehingga 10 frames per second, tidak perlulah kita berangan untuk merakam foto aksi dan menembak macam pakai machine gun. Rakam saja foto sekeping demi sekeping dan cuba dapatkan foto yang baik juga. Inilah masanya untuk kita gunakan kemahiran diri kita, bukannya kecanggihan kamera. Jika kita rajin, sabar, berkemahiran dan mungkin adakalanya bernasib baik, kita tetap akan mendapat foto yang baik walau hanya menggunakan kamera murah. Atau jika kamera kita tidak boleh merakam foto sehingga 10 frames per second, lebih baik lagi, elakkan saja merakam foto aksi, kita fokus dulu kepada rakaman subjek lain seperti landscape photography misalnya.
Sama juga halnya jika kita tidak mampu membeli flash. Janganlah risau mengenai flash yang kita tidak mampu beli itu. Gunakan saja built-in flash yang ada pada kamera kita. Walaupun banyak kelemahan atau limitation seperti tidak boleh bounce dan kuasa flash yang tidak kuat, cuba kerja dengan limitation yang ada. Bila berlatih dengan sumber dan peralatan yang terhad, kemahiran kita akan jadi lebih mantap. Kalau susah sangat pasal flash, lupakan saja mengenai rakaman foto indoor yang memerlukan kita guna flash. Cari subjek atau bidang lain yang tidak memerlukan kita memakai flash. Mahirkan dulu diri kita pada mana-mana bidang yang mampu dilakukan oleh peralatan kita yang terhad.
Saya memulakan perniagaan saya – Adan Cameraworks pada tahun 2001 hanya menggunakan kamera yang paling murah pada waktu itu iaitu kamera Nikon D70 bersama kit lens dan flash lama SB26 sahaja. Dari satu set kamera murah tersebut, saya berniaga, dapat keuntungan dan tambahkan kepada 3 set kamera. Dari 3 set kamera, saya kembangkan perniagaan untuk adakan pejabat yang lengkap. Dari satu perniagaan, saya tambahkan lagi perniagaan lain seperti mewujudkan FOTOTEACHER yang menyediakan khidmat latihan fotografi dan yang terbaru – kedai menjual peralatan fotografi. Pengajarannya – jangan jadikan kamera murah kita itu satu alasan untuk kita tidak boleh maju. Apa yang penting adalah semangat dan kemahiran kita.
Jurufoto zaman dahulu, ramai yang hebat. Tetapi mereka tidak pernah memiliki peralatan kamera secanggih kamera digital sekarang ini. Jurufoto lagenda seperti Ansel Adams dan Henri Cartier Bresson misalnya, cuma menggunakan kamera yang sangat asas, tetapi kehebatan karya foto mereka tidak dapat ditandingi hingga sekarang. Pada zaman itu, tiada Auto Focus, Continuous Drive, LCD preview, Auto Exposure Mode dan sebagainya. Bagi mereka, kamera adalah sekadar alat untuk merakam foto. Tidak lebih dari itu.
Jadi, bagi mereka yang memiliki kamera murah, sahut cabaran saya – anda adalah seorang jurufoto yang hebat bila anda boleh rakam foto yang baik hanya menggunakan kamera yang murah!
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
SERTAI KAMI:
- Dapatkan tips dan info terbaru dari laman Facebook kami – www.facebook.com/fototeacher
- Langgan newsletter percuma dari FOTOTEACHER untuk mendapat kiriman artikel dan maklumat promosi – http://www.fototeacher.com/subscribe.htm




















































