Archive for October, 2009

October 26, 2009 Categorized under Fikiran, Inspirasi & Motivasi, Personal

Menjadi Jurufoto Kaya Raya

Salam hormat,

Apa khabar rakan-rakan sekelian,
Diharap anda semua sihat dan sentiasa segar dalam fotografi.

Sudah agak lama sebenarnya saya tidak menulis panjang di dalam blog ini kalau anda perasan. Saya juga agak jarang membuat update di dalam facebook sejak kebelakangan ini. Semuanya disebabkan kesibukan yang datang tiba-tiba sejak selepas Hari Raya tempohari. Antara tugas yang banyak memakan masa saya ialah pelancaran program baru  Bengkel Lanjutan Fotografi, Persediaan program AFD, FMR dan AFD di Sabah, penulisan E-Book Fotografi Kreatif, hal-hal pengurusan Adan Cameraworks dan macam-macam lagilah.

Walaupun saya sibuk, blog ini tetap diupdate dengan kerap untuk tatapan pengunjung setia blog FOTOTEACHER. Setelah sejak sekian lama, blog ini sentiasa dikemaskini dengan 1 hingga 3 artikel terbaru setiap minggu. Itulah komitmen kami terhadap penyokong setia blog FOTOTEACHER. Saya juga merasa bertuah kerana telah dibantu oleh penulis jemputan blog ini – saudara Amir Ridhwan. Beliaulah yang kerap menulis menggantikan saya jika saya tiada kelapangan.

Baiklah, sebagai hadiah untuk anda sempena perjumpaan semula kita, saya telah tuliskan satu artikel khas untuk pembaca blog FOTOTEACHER. Artikel ini belum pernah disiarkan di lain-lain tempat sebelum ini. Ianya ditulis khas untuk anda yang terus setia menyokong FOTOTEACHER. Selamat membaca!

Hasnuddin

————————————————————————————————————————–

Menjadi Jurufoto Kaya Raya
Oleh Hasnuddin Abu Samah

Bolehkah kita jadi kaya dengan menjadi seorang jurufoto?
Wujudkah jurufoto yang kaya raya di Malaysia?

Sebelum saya boleh menghuraikan soalan di atas, kita perlu tanya dulu diri kita, apa itu sebenarnya yang dikatakan kaya? Berapakah jumlah wang yang perlu kita perolehi untuk menjadikan kita kaya? Tentu sekali terlalu subjektif jawapannya.

Ketika saya mula menceburi bidang fotografi 15 tahun dahulu, gaji saya sebagai seorang jurufoto adalah RM1,200 sebulan. Pada ketika itu, sifu saya, seorang jurufoto profesional yang mempunyai perniagaan sendiri memperolehi pendapat RM1,200 sehari! Saya tidak boleh bayangkan bagaimana besarnya pendapatan beliau pada ketika itu. Saya terpaksa bekerja selama sebulan untuk dapatkan pendapatan yang sama dengan beliau yang hanya perlu bekerja satu hari sahaja untuk dapatkan wang sebanyak itu. Itu cerita tahun 1990an dulu.

Ketika ini, pada tahun 2009, setelah saya menjadi jurufoto profesional, saya mengenakan harga RM4,500 untuk setiap separuh hari bekerja merakam foto untuk pakej fotografi perkahwinan. (Sifu saya pula, saya dengar, beliau pernah mengenakan harga setinggi RM12,000 sehari untuk khidmat fotografi beliau ketika ini) Saya tidak pasti samada sifu saya ini kaya atau tidak sebab saya tidak pernah tengok akaun bank beliau.

Berbalik kepada cerita saya mengenakan harga RM4,500 untuk 4 jam bagi setiap pakej fotografi perkahwinan yang saya rakam. Jumlah itu tidaklah sebesar mana sebenarnya. Ini setelah mengambil kira fakta-fakta berikut:

  • Bukan setiap hari saya ada peluang rakam foto perkahwinan. Jika setiap hari saya dapat RM4,500 sehari, saya mungkin sudah jadi kaya.
  • Jumlah RM4,500 sehari itu bukanlah untung bersih. Saya perlu tolak kos album, cetakan foto, upah pembantu jurufoto dan sebagainya
  • Jumlah RM4,500 yang saya dapat itu sebenarnya bukan saya hanya bekerja untuk separuh sehari. Tetapi, proses lengkap yang diambil sebenarnya memakan masa 2-3 hari. Tugas tidak habis sekadar merakam foto, tetapi perlu diteruskan dengan proses pemilihan foto, photo enhancement, membuat layout album dan sebagainya.
  • Untuk mendapatkan tugasan dan mengenakan harga setinggi RM4,500, bukan boleh didapati dengan hanya goyang kaki dan orang berpusu-pusu datang ingin memberikan wang kepada kita. Tetapi, kita perlu keluarkan kos untuk usaha pemasaran seperti menyediakan laman web, membayar gaji dan komisen eksekutif jualan, membuat promosi, membeli iklan di media cetak dan sebagainya.

Kesimpulannya, jangan hanya tengok pada angka. Kita perlu tahu kos dan faktor-faktor lain sebelum membuat andaian pendapatan atau kekayaan seseorang jurufoto.

Kita berbalik pula kepada pengertian kaya. Setiap orang mempunya takrifan berbeza mengenai erti kaya. Bagi saya, saya akan anggap diri saya kaya bila saya ada wang simpanan yang banyak sehingga sekiranya saya tidak bekerja selama 12 bulan, saya masih boleh membayar segala overhead saya tanpa sebarang masalah. Pejabat yang besar tidak tentu bermaksud saya kaya. Staff yang ramai tidak menjamin saya kaya. Kereta yang mahal tidak semestinya saya kaya. Kekayaan sejati sebenarnya tersembunyi. Hanya diri kita sendiri yang tahu samada kita kaya atau tidak kaya.

Anda mungkin ingin tahu – wujudkan jurufoto yang kaya raya di Malaysia? Saya tidak pasti. Apa yang saya pasti, saya kenal beberapa orang rakan jurufoto yang senang. Maksud saya bukan kerja senang, tetapi agak senang dari segi kewangan. Rata-rata mereka yang saya kenali ini, setiap seorang dari mereka memiliki 2-3 buah aset bangunan, 2 buah kereta import, boleh melancong ke luar negara setiap tahun, boleh membeli peralatan kamera terbaru walau berharga puluhan ribu ringgit dan boleh selalu belanja kawan-kawan makan. Cukuplah.

Tetapi, yang pastinya, mereka yang saya kenali ini adalah orang yang sangat kuat bekerja. Kesemua mereka ini telah menjadi jurufoto selama lebih dari 15 tahun. Saya teringat, rakan yang saya kagumi, jurufoto fesyen terkenal tanahair, Bustamam Mokhtar pernah berkata kepada saya, seorang tauke cina pernah berkata kepadanya,”Lu kalau mau bikin bisnes, 13 tahun baru boleh jadi kaya!” Ada benarnya dalam kata-kata tauke cina tersebut. Dalam perniagaan, 1-5 tahun pertama adalah tahun rugi. 5-10 tahun seterusnya balik modal atau surviving – duit memang banyak masuk, tetapi banyak juga yang keluar. Setelah lebih kurang 13 tahun, barulah perniagaan tersebut matang dan menghasilkan untung besar. Pendapat saya, kepada orang yang baru 5 tahun berniaga tetapi masih sekadar balik modal, itu sudah dikira cukup bagus, sebab ramai yang gulung tikar tidak sampai 1 tahun berniaga.

Tempoh masa 13 tahun yang saya sebutkan tadi itu adalah tempoh masa biasa dimana kebanyakan perniagaan menjadi matang dan menghasilkan keuntungan. Tidak dinafikan, ada perniagaan yang boleh maju dan menghasilkan untung besar dalam masa yang lebih singkat. Keajaiban boleh berlaku. Pasti ada insan istimewa satu dalam sejuta di luar sana.

Sanggupkah anda bertungkus lumus di dalam perniagaan fotografi selama 10-15 tahun? Ianya bukan tugas mudah. Suka saya jelaskan di sini, menjadi jurufoto dan menjalankan perniagaan di dalam bidang fotografi bukanlah cara terbaik untuk jadi kaya raya. Ada banyak lagi cara lain yang lebih mudah dan lebih cepat buat duit. Saya pernah terbaca penulisan seorang jurufoto kewartawanan hebat yang amat saya hormati, Abang Zainal Halim (Reuters). Kata beliau – kalau ingin jadi kaya, tidak perlu jadi jurufoto. Menjadi jurufoto memerlukan kerja keras dan pengorbanan yang besar. Lebih baik jadikan fotografi sebagai hobi jika tidak sanggup menghadapi tekanan kerja sebagai seorang profesional. Menjadikan fotografi sebagai hobi lebih menyeronokkan.

Tetapi, jika anda tetap ingin menjadi jurufoto profesional dan sanggup menghadapi cabaran demi minat yang mendalam di dalam fotografi, ‘please join the club’. Mungkin, siapa tahu, di masa depan, bidang fotografi boleh jadikan anda kaya raya.

Satu lagi perkara penting yang perlu anda tahu jika ingin jadi kaya di dalam fotografi – merakam foto yang baik sahaja tidak mencukupi. Kebanyakan jurufoto yang berjaya dan kaya(?) di Malaysia bukanlah jurufoto semata-mata. Mereka adalah USAHAWAN. Disamping mempunyai kebolehan hebat di dalam fotografi, mereka juga amat hebat dari segi pemasaran, pengurusan, kewangan dan banyak lagi kemahiran lain yang berkaitan dengan perniagaan fotografi. Namun ada juga segelintir jurufoto yang memperolehi banyak wang selain dari bergiat dalam perniagaan fotografi.

Sekarang ini, ramai orang yang ingin jadi kaya. Ramai juga yang ingin jadi kaya dengan kamera. Jadi, itulah tadi serba sedikit yang dapat saya kongsikan mengenai wang dan fotografi, setakat pengetahuan saya. Walaupun begitu, sebenarnya ada juga orang yang tidak hiraukan sangat pasal hendak jadi kaya, asalkan saja dia dapat rakam foto yang sempurna. Kaya atau tidak kaya, yang penting kita bahagia.

“Al-kisah nak jadi kaya raya, punyai uwang berjuta-juta” (teringat saya, sebuah lirik lagu oleh Senario)

Anda ada pendapat? Ada cerita yang ingin dikongsi bersama? Ada soalan? Sila tuliskan di dalam ruangan komen di bawah.

Oleh Hasnuddin Abu Samah

Hakcipta Terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Tidak dibenarkan disalin dan digunakan semula tanpa kebenaran bertulis dari pemegang hakcipta.

Dapatkan artikel terbaru dari FOTOTEACHER.COM secara percuma, dihantar terus ke e-mel anda. Sila langgan newsletter FOTOTEACHER. SILA KLIK DI SINI.


October 25, 2009 Categorized under Berita & Pengumuman

Pameran Fotografi “Candid Street”

poster-exhibition_small

Buat julung-julung kalinya pameran fotografi mengenai “Candid Street” akan diadakan di Wisma Bentley yang berlansung selama seminggu mulai 26 Oktober sehingga 1 November 2009. Homegrown adalah pihak yang bertanggungjawab dalam menganjurkan pameran fotografi ini dalam mengetengahkan bakat-bakat baru. Hasil dalam pencarian bakat baru, mereka tertarik dengan hasil sentuhan “Chot Touch” yang juga adalah pengasas “Candid Street” di Malaysia.

Chot adalah satu-satunya jurufoto yang memperkenalkan “Candid Street” dan kini ia menjadi satu fenomena baru dalam arena fotografi di Malaysia. Semoga usaha ini membawa lembaran baru dalam industri fotografi di Malaysia dan  menjadikan jurufoto di Malaysia mencipta suatu kelainan dalam fotografi.

http://chottouch.daportfolio.com/

October 23, 2009 Categorized under Berita & Pengumuman, Review, TANYA HASNUDDIN

Diploma Fotografi (Part Time) SPACE UTM

spaceutm-trainer-group-photo
Foto oleh: Dinarshad Studio

Pada hari Selasa lepas, satu sesi fotografi telah diadakan di Dinarshad Studio. Sesi fotografi ini bukan untuk shoot artis atau model, tetapi shoot gambar barisan tenaga pengajar untuk Program Diploma Fotografi yang akan diadakan oleh SPACE UTM (School of Professional and Continuing Education, Universiti Teknologi Malaysia) Peliklah juga rasanya bila jurufoto duduk di depan kamera dan berposing. Ada yang keras, ada yang tak boleh senyum, ada yang terlebih senyum, ada yang terlebih perut dan sebagainya. Sekali sekala, bolehlah…

Kepada yang berminat untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang fotografi secara sambilan ke peringkat diploma, bolehlah menyertai program ini. Maklumat lanjut akan diumumkan tidak lama lagi.

Dalam gambar di atas, berdiri dari kiri ialah: Munzir Fauzi, Din Arshad, Ted Adnan, Shamshahrin, Azam & Hasnuddin. Ada 2 orang lagi tenaga pengajar tidak ada di dalam gambar kerana ada urusan lain.

Hasnuddin

October 21, 2009 Categorized under Artikel Teknikal, Fikiran

Noise Fanatic

Noise Fanatic
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Saya masih lagi menggunakan kamera lama iaitu sebuah kamera DSLR keluaran 2005. Model tersebut menggunakan sensor CCD dan mempunyai tahap ISO maksima hingga 1600 seperti mana kebanyakan DSLR pada zaman tersebut. Kebiasannya saya tidak menggunakan ISO yang terlalu tinggi kerana noise akan kelihatan terlalu ketara. Kebanyakan DSLR masa kini menghasilkan imej yang lebih bersih dengan menggunakan sensor dan cip yang lebih maju.

Ini bukanlah masalah yang besar bagi saya kerana kamera tersebut paling kerap digunakan untuk mengambil gambar makro menggunakan flash yang mana ISO 100 sudah memadai. Apabila saya menggunakannya dalam situasi cahaya malap, saya tidak keberatan untuk menaikkan ISO jika perlu asalkan foto tersebut dapat dirakam dengan baik. Kebiasaannya saya lebih gemar untuk menaikkan ISO berbanding menurunkan kelajuan shutter di bawah paras minima.

Ada juga orang yang begitu taksub untuk mendapatkan foto yang bersih daripada noise. Beberapa kenalan saya sungguh teliti apabila melihat gambar dan akan meneropong hingga 100% untuk mencari noise. Apabila model kamera baru keluar, mereka akan meneliti foto contoh dan mula meneropong untuk mencari noise, kemudian membuat perbandingan dengan model kamera lain. Mereka berpegang kepada fahaman yang percaya bahawa foto digital yang bagus tidak boleh ada noise.

Memang terdapat beberapa jenis penggunaan gambar yang mana kadar noise adalah perkara yang perlu dikawal dengan teliti. Contohnya penjualan melalui stock photo mensyaratkan semua gambar yang dihantar adalah bersih. Agensi berita juga amat cerewet dalam hal noise untuk memastikan kualiti yang tertinggi. Tetapi, bagi peminat fotografi peringkat amatur, noise tidak sepatutnya dijadikan kayu ukuran yang terlalu tinggi terutamanya jika kebanyakan foto yang dirakam bukan untuk dicetak. Lagipun, terdapat perisian yang boleh mengurangkan noise seperti Noise Ninja, Neat Image dan Noiseware.

Gambar dibawah diambil pada ISO 1600 tanpa menggunakan flash. Oleh kerana cahaya kurang menyebelahi saya dan kanak-kanak tersebut sentiasa bergerak, saya menggunakan  ISO maksima untuk mendapatkan kelajuan shutter setinggi mungkin. Untuk kegunaan sendiri, ini sudah lebih dari memadai.

5a

Jika penggunaan kita lebih banyak tertumpu kepada perkongsian gambar di internet, noise bukan lah isu yang terlalu kritikal. Kita juga boleh menggunakan noise untuk menampakkan impak yang lebih seperti yang selalu kita lihat dalam foto hitam putih. Selagi noise tidak mengganggu details pada subjek utama (contohnya tekstur kulit), tidak perlu diambil pusing berlebihan. Adalah lebih baik jika kita memberi tumpuan untuk mendapatkan pencahayaan, moment and komposisi yang sesuai. Saya percaya ini akan lebih membantu peminat senifoto untuk menikmati hobi ini.

Adakah anda seorang yang terlalu mementingkan tahap noise? Mengapa anda berfikir demikian? Adakah anda dalam kategori sebaliknya yang tidak begitu kisah tentang tahap noise pada gambar? Harap anda dapat kongsikan pendapat anda di sini. Sila tulis pendapat anda di ruangan komen di bawah.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Sertai berbagai kursus dan bengkel fotografi anjuran FOTOTEACHER.COM. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI.

October 18, 2009 Categorized under Fikiran, video

Pencuri gambar

Pencuri gambar
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Ada beberapa kes yang hangat dibincangkan dalam komuniti fotografi tempatan berkenaan perbuatan mencuri gambar. Apa yang berlaku ialah seorang individu yang tidak bertanggung jawab telah memaparkan hasil karya jurugambar lain dalam laman webnya dan menggunakan foto tersebut seolah-olah foto tersebut adalah hasil karya beliau sendiri. Tiada credit yang diberikan kepada jurufoto asal foto-foto tersebut dan dalam kes yang lebih ekstrim, foto tersebut digunakan sebagai portfolio oleh individu terbabit untuk mendapatkan tugasan berbayar.

Kes sebegini berlaku apabila terdapat individu yang ingin mengambil kesempatan dalam dunia digital dan internet. Dengan mencuri gambar orang lain, beliau boleh terus melakukan kempen pemasaran khidmat fotografi  walaupun tanpa pengalaman. Apa yang jelas ialah individu sebegini tidak mempunyai cukup pengalaman dalam bidang fotografi tersebut dan perlu bergantung kepada gambar curi. Client beliau juga adalah mangsa penipuan kerana mengukur kemahirannya berdasarkan gambar hasil kerja orang lain.

Ada juga rakan yang pernah ternampak foto anaknya yang dia sendiri rakam telah digunakan untuk cetakan umum. Foto tersebut telah dimuat turun daripada lawan web mangsa dan kemudiannya diolah sebelum dicetak untuk tujuan komersial. Ini semua berlaku tanpa izin daripada jurugambar yang juga pemegang copyright karya tersebut.

Perkara sebegini memang menyusahkan jurufoto lain terutamanya golongan profesional yang cari makan dengan karya fotografi. Ia juga boleh melibatkan reputasi apabila karya seseorang itu dikaitkan dengan individu yang tidak bertanggung jawab yang mana tindakan penipuan beliau mungkin tidak terbatas kepada portfolio sahaja tetapi juga merangkumi perjanjian dengan client beliau.

Terdapat beberapa kaedah untuk mengurangkan risiko gambar dicuri dari internet. Yang terbaik ialah hanya menggunakan laman web sendiri untuk memaparkan karya anda. Dengan laman web peribadi, anda boleh menggunakan flash untuk menayangkan slideshow karya yang mana foto tersebut tidak boleh dimuat turun. Anda juga boleh menggunakan Flickr yang mana terdapat pilihan untuk menggunakan sistem copyright dibawah penyeliaan Creative Commons. Di Flickr anda boleh memilih sejauh mana foto anda boleh digunakan pihak ketiga berdasarkan syarat dan terma lesen copyright tersebut. Penggunaan watermark dan hanya berkongsi foto pada resolusi rendah boleh juga mengurangkan risiko kecurian dan foto anda disalah gunakan.

Adakah foto anda juga pernah dicuri? Apakah pandangan anda terhadap penggunaan karya foto orang lain untuk tujuan komersial? Harap dapat kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah ini. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Dapatkan artikel terbaru dari FOTOTEACHER.COM secara percuma, dihantar terus ke e-mel anda. Sila langgan newsletter FOTOTEACHER. KLIK DI SINI.

October 14, 2009 Categorized under Berita & Pengumuman

Tarikh Baru Program FOTOTEACHER

2 lagi tarikh dan tempat telah ditetapkan untuk program akan datang iaitu:

posterafds
KURSUS ASAS FOTOGRAFI DIGITAL – EDISI KHAS KOTA KINABALU SABAH

Kuasai pengetahuan teknikal dalam asas fotografi digital. Kemahiran ini akan membuka jalan kepada anda untuk menghasilkan gambar seperti yang anda idamkan. Kursus popular ini kini akan diadakan di Kota Kinabalu Sabah!

Tarikh: 14-15 November 2009
Tempat: Beverly Hotel, Kota Kinabalu, Sabah
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, SILA KLIK DI SINI.

posterblf
BENGKEL LANJUTAN FOTOGRAFI (BLF)

Bengkel intensif 3 hari 2 malam ini padat dengan sesi praktikal dengan bimbingan rapat dari jurulatih. Aspek seni dan teknik fotografi akan diberikan penekanan dalam penghasilan foto yang berkualiti. Semestinya program ini akan memperlengkapkan anda ke arah menjadi seorang jurufoto yang kreatif samada sebagai hobi atau kerjaya.

Tarikh: 19-21 Disember 2009
Tempat: Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang, Selangor
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, SILA KLIK DI SINI

Untuk pertanyaan, sila hubungi FOTOTEACHER di 03-91017155 atau e-mel fototeacher@gmail.com

October 13, 2009 Categorized under Survey & Poll

Survey Tajuk E-Book

FOTOTEACHER bercadang untuk menerbitkan E-Book fotografi dengan harga sekitar RM50 sebuah. Beberapa tajuk telah dikenal pasti dan draf awal telah pun disiapkan. Namun, kami ingin memberikan keutamaan kepada tajuk E-Book yang paling popular untuk diterbitkan terlebih dahulu. Harap anda dapat nyatakan tajuk apakah yang paling anda minati. Sila tandakan dalam ruangan di bawah:

E-book bertajuk apakah yang akan anda beli?
Asas Teknikal Fotografi Digital
Tips Jadi Jurufoto Kreatif
Teknik Fotografi Perkahwinan
Panduan Perniagaan Fotografi
Saya tidak berminat untuk beli sebarang E-book
pollcode.com free polls
October 9, 2009 Categorized under Review, TANYA HASNUDDIN

Produk Menarik – Flip Bac

flipback011
flipback022

Produk yang diberi nama Flip Bac ini dipasang pada LCD screen kamera. Ia akan membalikkan imej dari LCD screen dan membolehkan anda melihat LCD anda dari sudut atas. Ketika artikel ini ditulis, produk ini masih belum dijual di Malaysia. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari laman web Flip Bac http://www.flipbac.com


FOTOTEACHER.COM

Promote Your Page Too

October 2, 2009 Categorized under Berita & Pengumuman

Tarikh Baru Kursus Fotografi AFD dan FMR

Rakan-rakan yang dihormati sekelian,
Sukacita dimaklumkan, kami telah menetapkan tarikh seterusnya untuk kursus AFD dan FMR:

AFD (Kursus Asas Fotografi Digital)

Tarikh: 24-25 Oktober 2009 (Sabtu & Ahad)
Tempat: Shah’s Village Hotel, Petaling Jaya
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila ke – http://fototeacher.com/basicphotography.htm

FMR (Kursus Fotografi Majlis Rasmi)
Tarikh: 31 Oktober 2009 (Sabtu)
Tempat: Shah’s Village Hotel, Petaling Jaya
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila ke – http://fototeacher.com/fmr.htm

Lain-lain program akan datang:
Bengkel Lanjutan Fotografi (BARU)
Kursus Asas Fotografi Digital Khas di Kota Kinabalu Sabah (BARU)
Bengkel Portable Flash
Bengkel Asas Photoshop
Kursus Asas Videografi Digital

Harap tuan/puan dapat sampaikan maklumat ini kepada rakan-rakan lain yang berminat.
Untuk pertanyaan, sila hubungi Encik Zaly di talian telefon 03-9101 7155 atau e-mel fototeacher@gmail.com
Terima kasih.

Sales Team FOTOTEACHER.COM

jimbocamera

posterfmr