Archive for August, 2009

August 31, 2009 Categorized under Berita & Pengumuman, Survey & Poll

Survey Jenis Kamera yang Anda Gunakan

Rakan-rakan yang dihormati sekelian,
FOTOTEACHER.COM sedang mengumpul maklumat tentang jenis kamera/jenama kamera yang digunakan oleh pengunjung blog ini. Maklumat yang diperolehi amat berguna untuk kami bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik untuk anda. Kami amat berharap agar anda dapat meluangkan masa untuk mengisi borang poll di bawah:

Jenis atau jenama kamera yang anda gunakan:
Kamera Compact (Point and Shoot) sebarang jenama
Kamera DSLR Nikon
Kamera DSLR Canon
Kamera DSLR Sony
Kamera DSLR Olympus
Kamera DSLR Pentax
Lain-lain jenis kamera atau jenama
Belum memiliki kamera

  
pollcode.com free polls
August 30, 2009 Categorized under Tips

Mengenali Subjek

Mengenali Subjek
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Pengetahuan berkenaan subjek yang kita rakam adalah satu perkara yang penting jika kita ingin menghasilkan foto yang baik. Jurugambar profesional sentiasa mengkaji subjek yang mereka pilih agar dapat membuat persiapan yang sewajarnya. Perkara ni meliputi semua aliran fotografi tanpa mengira peralatan yang anda miliki. Jika anda ingin mendapatkan masterpiece, kenalilah subjek anda dengan lebih dekat.

Jurufoto potret seringkali berinteraksi dengan subjek sebelum sesi penggambaran dimulakan. Mereka akan berbual tentang pelbagai perkara meliputi keluarga, pekerjaan dan kampung halaman. Saya sentiasa berbual kosong dengan subjek manusia ketika melakukan persiapan penggambaran supaya dapat membina kemesraan dan kepercayaan. Perbualan bukan sahaja bertujuan untuk ice breaking tetapi yang lebih penting ialah untuk kita mengenali peribadi beliau supaya ia dapat membantu kita untuk menzahirkan kecantikan asli subjek berkenaan. Foto yang cantik dihasilkan apabila subjek tersebut mengukir senyuman bukannya kepada kamera yang tidak bernyawa tetapi kepada jurugambarnya. Raut muka dapat dirakam dengan lebih neutral dan ikhlas, satu perkara yang sukar dicapai apabila bekerja dengan orang yang tidak dikenali.

Apabila kita melakukan penggambaran dengan subjek bukan manusia, sudah tentu kita tidak boleh berbual dengan subjek berkenaan. Sebagai contoh apabila kita merakam pemandangan di kampung atau mercu tanda sebuah bandar, pengetahuan tentang tempat tersebut membolehkan kita tahu sudut apa yang terbaik untuk dirakam. Kita tidak perlu tercari-cari lokasi yang sesuai yang akan memenatkan badan dan merosakkan mood. Kita juga boleh menganggar waktu yang sesuai untuk mengambil foto di lokasi terbabit, mungkin cahaya lebih cantik di pagi hari apabila matahari naik di timur atau mungkin di bulan Mac ketika burung berhijrah yang memberikan impak kepada suasana.

Untuk jurugambar nature, pengetahuan tentang subjek tidak dapat dielakkan. Penggemar burung sentiasa tahu waktu penghijrahan burung, habitat, tabiat dan makanan yang digemari setiap species. Jurufoto makro pula harus tahu bagaimana untuk mencari subjek yang diinginkan dan juga cara yang sesuai untuk menghampiri subjek tanpa mengganggunya. Menjangka tindak balas subjek tersebut sangat penting supaya kita boleh bersiap sedia untuk mendapatkan foto yang jarang dirakam oleh orang lain. Silap langkah walaupun sedikit akan menyebabkan peluang keemasan terlepas.

Jurufoto harus belajar untuk membuat kaji selidik berkenaan subjek yang dipilih sebelum penggambaran dimulakan untuk mendapat hasil terbaik. Tiada jalan singkat untuk mengenali subjek anda selain daripada mengambil inisiatif sendiri untuk menimba maklumat yang diperlukan. Inilah antara perkara yang melampaui batasan teknikal dan kenapa sesetengah jurufoto terkenal hanya perlu berbekalkan peralatan yang minima ketika melakukan tugasan.

8a
Pengetahuan yang mendalam tentang tabiat dan habitat tarantula tropika adalah penting untuk menjejak labah-labah ini yang sensitif dan hanya aktif di waktu malam.

Apakah subjek kegemaran anda? Apakah bidang pengkhususan anda? Bagaimana cara anda mengenal subjek anda dengan lebih mendalam? Harap anda dapat kongsi pengalaman dan pendapat anda bersama pembaca lain di sini. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

August 28, 2009 Categorized under Report - Kursus Fotografi Khas

Report – Kursus Asas Fotografi Khas untuk STRIDE

groupphotoafdstride18hingga19ogos2009small

Pada 18-19 Ogos 2009 yang lalu, team FOTOTEACHER telah dijemput untuk mengendalikan Kursus Asas Fotografi Digital (AFD) di Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi (STRIDE), salah sebuah jabatan di bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF). Peserta kursus antaranya terdiri dari staf STRIDE yang terlibat dalam ujian, penilaian dan kajian kepada senjata dan jentera pertahanan. Kursus dikendalikan oleh Encik Hasnuddin selaku jurulatih utama serta dibantu oleh Encik Amin dan Zaly.

Kepada peserta kursus yang ingin memuat turun group photo di atas di dalam saiz besar, SILA KLIK DI SINI.

Kepada yang berminat untuk menyertai program anjuran FOTOTEACHER.COM atau menjemput kami memberikan latihan fotografi khas di tempat anda, sila hubungi Encik Zaly di 03-91017155 atau e-mel fototeacher@gmail.com

August 26, 2009 Categorized under Tips, video

Tips Dari Jurugambar ‘Stock Photography’


Tips Dari Jurugambar 'Stock Photography'

August 24, 2009 Categorized under Report FMR

Report – Kursus Fotografi Majlis Rasmi (15 Ogos 2009)

fmr15ogos09001

fmr15ogos09002

groupphotofmr15ogos2009small
Gambar peserta Kursus Fotografi Majlis Rasmi yang diadakan pada 15 Ogos 2009. Kursus dikendalikan oleh Encik Hasnuddin dan dibantu oleh Encik Amin. Kepada peserta kursus yang ingin memuat turun gambar di atas dalam saiz besar, SILA KLIK DI SINI.

Untuk maklumat lanjut mengenai kursus ini, SILA KLIK DI SINI.

Untuk pertanyaan, sila hubungi Encik Zaly di 03-91017155 atau e-mel fototeacher@gmail.com

August 22, 2009 Categorized under Fikiran, Sembang

Etika Jurugambar

Etika Jurugambar
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Fotografi digital merupakan hobi yang sangat mengasyikkan. Ia memberi peluang kepada seseorang untuk menzahirkan kreativiti dengan cara yang agak mudah kerana apa yang perlu dilakukan ialah mencari subjek yang dikehendaki dan merakam foto dengan teknik yang sesuai. Lengkuk pembelajaran teknik juga agak mudah berbanding dengan bidang seni yang lain seperti seni lukis yang memerlukan tempoh pembelajaran yang lama. Dengan teknologi digital, sesiapa sahaja boleh menikmati fotografi dan mahir dalam tempoh yang singkat. Ditambah lagi dengan adanya internet, jurufoto boleh berkongsi ilmu dan juga hasil karya masing-masing.

Dalam keghairahan untuk mencuba perkara baru dalam fotografi, sama ada teknik mahupun perubahan subjek, kita mungkin juga alpa dengan etika yang wajar. Apa yang dimaksudkan ialah bila mana fotografi itu menjadi gangguan kepada orang lain, terutamanya apabila kita merakam foto manusia. Tidak semua orang suka gambar mereka dirakam, terutamanya tanpa izin. Lebih lanjut, mereka mungkin tidak suka jika foto mereka dipaparkan di internet untuk dilihat oleh seluruh dunia. Ini lebih kritikal jika gambar tersebut tidak mencerminkan invididu terbabit sebagaimana yang dikehendakinya seperti gambar kandid ketika menyuap makanan. Saya rasa kebanyakan orang tidak mempunyai niat yang buruk untuk memalukan subjek di dalam foto sebegini, tetapi kita perlu juga sensitif terhadap keterbukaan individu berkenaan.  Jika kita mengambil gambar jalanan secara kandid, adalah lebih elok jika indentiti manusia di dalam foto berkenaan tidak ditonjolkan dengan jelas agar kita tidak mendatangkan masalah dengan tidak sengaja.

Apa yang lebih memeningkan ialah apabila ada segelintir jurufoto yang suka mengambil gambar candid berunsur seksual. Adakala saya melihat foto di forum yang hanya menunjukkan bahagian tubuh wanita yang mengghairahkan secara kandid. Pernah juga berlaku di majlis pertunjukan fesyen di mana seorang jurugambar dilihat cuba mengambil gambar dari bawah skirt seorang model. Perbuatan sebegini mencemarkan imej jurufoto secara keseluruhan dan membawa pandangan serong kepada penggiat foto.

Etika tidak membataskan kreativiti dalam fotografi tetapi ia adalah garis panduan untuk melahirkan kreativiti dengan terpimpin. Jurufoto yang berhemah tidak perlu bergantung kepada populari murahan dengan menayangkan foto separa lucah yang tidak membawa apa-apa erti.

Apa pendapat anda mengenai etika jurugambar? Harap anda dapat kongsikan pandangan anda. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

DAPATKAN ARTIKEL FOTOGRAFI PERCUMA, DIHANTAR TERUS KE E-MEL ANDA. SILA KLIK DI SINI

August 20, 2009 Categorized under Report - Kursus Fotografi Khas

Report – Kursus Fotografi Khas di ILIM

groupphotoafdilim12hingga13ogos2009small
Pada 12-13 Ogos 2009 yang lalu, FOTOTEACHER.COM telah dijemput untuk memberikan Kursus Asas Fotografi Digital di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Kursus ini telah dikendalikan oleh Encik Hasnuddin dengan dibantu oleh Encik Amin. Untuk muat turun gambar di atas dalam saiz besar, SILA KLIK DI SINI

Kepada Jabatan Kerajaan, Syarikat Swasta atau Organisasi yang ingin menjemput FOTOTEACHER.COM memberikan kursus di tempat anda, sila hubungi Encik Zaly di 03-91017155 atau e-mel fototeacher@gmail.com.

Sila layari laman web rasmi fototeacher di – http://www.fototeacher.com

August 18, 2009 Categorized under Fikiran, Inspirasi & Motivasi, Tips

Muhasabah Fotografi…

Muhasabah Fotografi…
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Setelah sekian lama memiliki DSLR, saya kurang pasti berapa banyak kali saya melepaskan shutter. Pada zaman filem, kita berfikir banyak kali sebelum merakam sesuatu gambar kerana faktor kos yang terlibat tetapi di era digital, fotografi tidak semestinya berakhir dengan gambar tersebut dicetak. Gambar yang dirakam boleh diteliti pada LCD atau di paparam monitor untuk dikaji kelemahannya. Ini membolehkan seseorang meningkatkan kemahiran berterusan dalam tempoh yang lebih singkat.

Oleh itu kita boleh membuat andaian bahawa fotografi digital membantu kebolehan kita berkembang pesat. Ini seharusnya dilihat dengan membandingkan foto yang dirakam pada kala tertentu sejak kita mula berkecimpung di arena ini. Bagi memudahkan perbandingan, elok juga kita bandingkan foto menggunakan peralatan dan genre yang sama. Kita perhatikan kelemahan pada gambar di peringkat awal kita menggunakan DSLR dari segi teknik dedahan asas, kawalan cahaya, komposisi dan pilihan titik fokus.

Sebagai contoh, saya lebih tertumpu kepada fotografi makro dan subjek pilihan saya ialah labah-labah. Lensa utama saya ialah Zuiko Digital 35mm f3.5 macro yang dipasang pada Olympus E-500. Kesemua gambar ini menggunakan peralatan yang sama kecuali gambar pada tahun 2006 yang mana tidak menggunakan flash. Dengan merujuk kepada gambar terpilih, sedikit sebanyak saya boleh melihat perbezaan kemahiran dan kreativiti dalam tempoh tersebut. Ini juga boleh dijadikan ukuran bagi melihat aspek apakah yang saya masih lemah dalam usaha untuk menghasilkan karya yang lebih baik.

9a
Tahun 2006 – Komposisi kurang berkesan, detail juga kurang.

9b
Tahun 2007 – Pencahayaan bertambah elok namun masih ada sedikit highlight.

9c
Tahun 2008 – Depth of field masih boleh diperbaiki, kawalan cahaya semakin baik.

9d
Tahun 2009 – Kawalan cahaya yang hampir sempurna untuk makro.

Dengan membuat penilaian berkala, kita dapat memahami kadar perkembangan kemahiran fotografi kita dalam sesuatu jurusan tertentu. Dari sini juga kita boleh melakukan perbandingan dengan foto jurugambar professional dalam bidang tersebut dan dapat mengukur perbezaan antara kita dan dia. Mungkin satu hari nanti kita dapat menghasilkan karya yang sama taraf dengan hasil jurugambar tersohor dunia.

Adakah anda juga mengkaji dan memperbaiki kualiti gambar anda dari masa ke semasa? Adakah anda berpuas hati dengan perkembangan anda di dalam bidang fotografi setakat ini? Bagaimanakah cara anda belajar dan memperbaiki kemahiran anda dalam fotografi? Mari kongsi kisah anda dengan pembaca lain. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Pelajari asas teknikal fotografi dengan menyertai Kursus Asas Fotografi Digital anjuran FOTOTEACHER.COM. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI.

August 16, 2009 Categorized under Report AFD

Report – Kursus Asas Fotografi Digital (8-9 Ogos 2009)

groupphotoafd8hingga9ogos2009small
Gambar peserta Kursus Asas Fotografi Digital anjuran FOTOTEACHER.COM yang diadakan pada 8-9 Ogos 2009. Kursus disampaikan oleh jurulatih Encik Kaharuddin Samad serta dibantu oleh Ally dan Firdaus. Untuk muat turun gambar di atas dalam saiz besar, SILA KLIK DI SINI.

Untuk sertai Kursus Asas Fotografi Digital yang akan datang, SILA KLIK DI SINI

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Encik Zaly di 03-91017155 atau e-mel fototeacher@gmail.com

August 12, 2009 Categorized under Artikel Kreativiti, Inspirasi & Motivasi, Tips

Baru Beli DSLR

Baru Beli DSLR
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Saya menerima soalan daripada seorang kenalan yang baru sahaja membeli DSLR pertama. Setelah beberapa hari bermain dengan kamera barunya kelihatan seperti ada sedikit masalah. Soalan yang diajukan ialah, kenapa gambar makronya kelihatan kabur.

Apabila saya meneliti foto tersebut, saya rumuskan bahawa subjek di dalam gambar tersebut tidak difokus dengan betul. Apa yang saya syak ialah beliau cuba untuk menggunakan kit lens untuk melakukan makro tanpa penggunaan aksesori lain. Sudah tentu gambar tersebut kabur kerana kit lens tidak mungkin boleh memperolehi jarak fokus yang rapat tanpa bantuan peralatan lain seperti extension tube atau close up filter.

Memiliki DSLR boleh menyebabkan kita begitu seronok untuk menerokai alam fotografi, terutamanya ketika baru sahaja memilikinya. Kalau boleh rasa seperti tidak sabar untuk rakam apa sahaja di depan mata. Kita ingin menghasilkan foto seperti yang selalu dilihat di dalam majalah, surat khabar dan laman web. Namun begitu, kita perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap satu peralatan itu mempunyai batasan. Contohnya seperti rakan kita tadi yang cuba untuk mengambil gambar makro menggunakan kit lens.

Apa yang jelas ialah beliau tidak tahu tentang batasan lensa yang dimilikinya. Saya terangkan bahawa walaupun begitu, dia masih boleh mengasah kemahiran fotografinya dengan subjek lain yang tidak memerlukan peralatan tambahan. Sebagai contoh, gambar pemandangan boleh diambil dengan cantik hanya menggunakan kit lens, malahan kamera compact pun boleh memberi hasil yang memuaskan. Gambar potret juga boleh dihasilkan dengan baik menggunakan kit lens. Tetapi jika ini tidak mencukupi untuk anda, terpaksalah melabur untuk lensa yang lebih sesuai. Memang ada cabang fotografi yang memerlukan lebih daripada kit lens, tetapi adakah anda bersedia untuk mengambil langkah tersebut?

Cadangan saya kepada beliau dan juga sesiapa yang baru sahaja membeli DSLR ialah tidak terlalu terburu-buru untuk membeli lensa hanya kerana terikut-ikut dengan rakan. Fotografi boleh dinikmati secukupnya dengan berbekalkan kit lens. Tiada lensa ajaib yang boleh menghasilkan gambar yang cantik tanpa perlu ada kemahiran dan pengetahuan fotografi asas. Yang penting ialah tahu menggunakan apa jua peralatan yang kita ada dan bagaimana untuk memanafaatkannya dengan penuh.

Bagi yang baru berjinak dengan DSLR, asah bakat anda dengan kit lens dahulu dan dari situ anda boleh meneroka cabang fotografi yang anda minati.

10a
Gambar ini dirakam menggunakan kit lens.

Apa pendapat anda tentang kit lens yang anda miliki? Adakah anda rasa kebolehan anda terhad, atau adakah anda telah menggunakan sepenuhnya kebolehan kit lens anda? Harap anda boleh kongsi pengalaman dan pendapat anda mengenai kit lens bersama pembaca lain. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Sertai Kursus Asas Fotografi Digital anjuran FOTOTEACHER.COM. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI

August 8, 2009 Categorized under video

Kerja Studio Jurugambar Fesyen


Jurugambar Fesyen beraksi merakam gambar model di dalam studio

August 4, 2009 Categorized under Report BPF

Report – Bengkel Portable Flash, 28-29 Mac 2009

bpfgroupphoto28to29mac2009small
Gambar peserta Bengkel Portable Flash yang diadakan pada 28-29 Mac 2009 yang lalu. Untuk muat turun gambar di atas dalam saiz besar, SILA KLIK DI SINI. Kami memohon maaf kerana gambar ini lewat disiarkan disebabkan oleh kesilapan teknikal.

Bagi yang berminat untuk mengikuti Bengkel Portable Flash, SILA KLIK DI SINI.

August 2, 2009 Categorized under Artikel Kreativiti, Tips

Kreativiti

Kreativiti
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Apabila kita membelek majalah yang mengandungi foto yang memberikan inspirasi, mungkin perkara yang bermain di minda tentang penghasilan foto berkenaan ialah, peralatan yang lengkap, kemahiran dan peluang (nasib). Untuk penggiat foto sebagai hobi hujung minggu, peluang mungkin jarang tiba manakala peralatan pula bergantung kepada budget masing-masing. Apa yang boleh diasah ialah kemahiran yang merangkumi aspek teknikal dan estetika.

Kini terdapat pelbagai aksesori, kamera dan lensa yang memudahkan jurufoto mendapatkan kesan yang diingini tanpa perlu menggunakan teknik ortodoks yang agak leceh. Sebagai contoh, kamera moden yang mampu menghasilkan imej bersih pada ISO tinggi boleh mengurangkan pergantungan kepada kawalan cahaya yang rumit. Sistem Image Stabilizer pula membolehkan gambar yang stabil dirakam pada dedahan lama tanpa perlu menggunakan tripod. Jika masih ada kepincangan pada imej, ia boleh dibaiki dengan post processing yang boleh dilakukan dengan komputer peribadi.

Teknologi banyak membantu kita untuk menghasilkan karya dengan mudah dan menjimatkan masa. Tetapi kesannya ialah aspek seni dalam foto itu sendiri yang menjadi semakin dipinggirkan. Acapkali apabila diperbincangkan tentang seni, kita akan merujuk kepada teknik komposisi. Akhirnya ada yang merumuskan kalau gambar itu mengikut rule of thirds, sudah dikira ada seni. Tetapi di mana ceritanya? Apakah yang gambar tersebut sampaikan selain hanya tompokan pixel atau dakwat?

Foto yang dianggap masterpiece menimbulkan rasa “wow” bila dilihat. Ia bukan foto yang hanya menepati piawai teknik komposisi, pencahayaan dan memperagakan subjek cantik. Ia sepatutnya membawa sesiapa yang melihat ke alam lain dan menimbulkan riak emosi. Foto sebegini tidak dihasilkan dengan meniru gaya orang lain tetapi hasil daripada sanubari jurufoto itu sendiri. Foto-foto yang dipaparkan dalam majalah terkemuka dirakam dengan tujuan untuk membawa kisah daripada kawasan terpencil ke mata dunia, bukannya sekadar aplikasi teknik dan peralatan semata-mata. Ia lahir daripada keinginan untuk mendapatkan foto yang boleh membicarakan seribu satu coretan dan menarik perhatian pembaca untuk mengetahui lebih lanjut. Inilah kreativiti.

Apakah masalah anda untuk menghasilkan gambar yang kreatif? Adakah anda ada tips lain untuk menjadi kreatif? Harap anda boleh kongsikan pengalaman dan pendapat anda dengan pembaca lain. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Sertai berbagai program menarik anjuran FOTOTEACHER.COM. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI.