Archive for July, 2009

July 29, 2009 Categorized under Berita & Pengumuman

Kini FOTOTEACHER menerima Visa dan MasterCard!

kamimenerimavisadanmastercard

Berita baik untuk anda yang ingin menyertai program anjuran FOTOTEACHER.COM, kini kami menerima bayaran menggunakan kad kredit Visa dan MasterCard. Anda boleh hadir ke pejabat kami untuk swipe kad kredit anda. Sila buat temujanji sebelum hadir ke pejabat kami. Sila hubungi Encik Zaly di 03-91017155

July 29, 2009 Categorized under Berita & Pengumuman, Sembang

JAWATAN KOSONG DI ADAN CAMERAWORKS

Adan Cameraworks merupakan sebuah syarikat dinamik yang memberikan perkhidmatan fotografi dan videografi, khususnya dalam industri perkahwinan. Ditubuhkan pada tahun 2001, Adan Cameraworks kini mempunyai 6 orang staff sepenuh masa dan 15 orang staff sambilan yang terdiri dari jurugambar dan jurukamera video profesional. Dalam usaha untuk menampung perkembangan positif syarikat ini, kami dengan ini ingin membuka tawaran kepada individu yang berminat untuk jawatan berikut:

Sales Executive – 2 Kekosongan
(Bermula dari RM1,400 tidak termasuk komisen)
Berurusan dan membuat jualan dengan pelanggan berpotensi untuk pakej fotografi dan videografi perkahwinan. Turut terlibat secara minor dalam aktiviti pemasaran produk yang akan menyumbang kepada pencapaian sasaran jualan. Komisen menarik akan diberikan untuk jualan yang dibuat. Anggaran minimum komisen sebulan termasuk gaji – RM2,500.00
Kelayakan:
1)    Mempunyai kenderaan sendiri
2)    Berumur lebih dari 24 tahun dengan personaliti menarik
3)    Sekurang-kurangnya 1 tahun pengalaman dalam bidang jualan
4)    Minat dalam industri fotografi perkahwinan
5)    Keutamaan akan diberikan kepada calon yang mempunyai kemahiran bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris

Video Editor – 2 Kekosongan
(Bermula dari RM1,500)
Membuat suntingan video perkahwinan serta lain-lain proses sampingan yang terlibat.
Kelayakan:
1)    Mempunyai bakat semulajadi dalam bidang kreatif
2)    Minat mendalam dalam videografi perkahwinan
3)    Berdisiplin dan boleh menerima arahan dengan baik
4)    Keutamaan akan diberikan kepada calon yang mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan suntingan video non-linear

Admin Executive – 1 Kekosongan
(Bermula dari RM1,400)
Melakukan kerja berkaitan pentadbiran, sumber manusia dan akaun
Kelayakan:
1)    Mempunyai kenderaan sendiri
2)    Memiliki sikap kerja semulajadi yang teliti dan kemahiran pengurusan secara sistematik
3)    Mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas dalam pengurusan akaun dan pengurusan sumber manusia.
4)    Mempunyai sekurang-kurangnya 1 tahun pengalaman dalam bidang berkaitan

Kelebihan:
1)    Bekerja dalam syarikat bersaiz kecil yang berwawasan besar, peluang untuk mempelajari banyak bidang kemahiran, bukan sekadar satu skop kerja yang spesifik. Sesuai untuk anda yang ingin menimba berbagai kemahiran atau kepada mereka yang bercadang untuk membuka perniagaan sendiri.
2)    Tiada politik pejabat, anda bekerja dalam pasukan kecil yang kuat dan bekerja rapat dengan pemilik syarikat. Sebarang pencapaian anda akan dihargai sewajarnya. Bimbingan secara peribadi akan diberikan secukupnya untuk kemajuan setiap individu. Sesuai untuk anda yang tidak pandai mengampu bos, tetapi kuat bekerja dan ingin dihargai di atas prestasi kerja anda.
3)    Peluang untuk bertukar bidang atau naik pangkat. Kami mengutamakan minat dan kesungguhan dalam bidang kerja yang dilakukan. Kami sering membantu pekerja agar beliau hanya membuat kerja yang diminati sahaja. Tugas akan disesuaikan dengan minat pekerja.
4)    Lain-lain faedah standard seperti tanggungan kos perubatan, cuti tahunan, bonus, company trip, kenaikan pangkat, latihan kerjaya dan kenaikan gaji tahunan.

Kepada calon yang layak, sila hantarkan resume serta gambar berukuran paspot kepada e-mel: info@adan.biz . Resume juga boleh dihantar secara pos ke alamat: Adan Impresif Sdn. Bhd., C-1-9, Megan Phoenix, Jalan Cheras, 56000 Kuala Lumpur. Jangan lupa nyatakan sekali jawatan yang ingin dimohon.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web kami di – http://www.adan.biz
Untuk pertanyaan, sila hubungi Puan Azida di – 03-91017144 atau 012-6020770.

July 28, 2009 Categorized under Fikiran, Sembang

Jurugambar Kahwin Jadi Tuan Director

Jurugambar Kahwin Jadi Tuan Director
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Beberapa minggu lepas saya menghadiri majlis perkahwinan sepupu saya di sebuah bandar terpencil. Bapa saudara saya ada mengambil seorang Official Photographer (OP) untuk majlis pernikahan dan persandingan anak perempuannya. Saya menulis kerana agak terganggu dengan cara OP mengendalikan majlis tersebut.

Ada beberapa perkara yang saya kurang berkenan. Pertamanya OP meletakkan beg peralatan beliau di atas pelamin ketika majis akad nikah berlangsung. Semua gambar akad nikah yang memperlihatkan pelamin akan melihatkan beg dia. Kemudiannya, bateri kameranya habis dan meminta agar aturcara majlis dihentikan sebentar sementara dia pergi ke beg menukar bateri. Seterusnya beliau mengalihkan perkakas perkahwinan seperti tepak mas kahwin untuk mengambil shot ketika pengantin baru selesai diijab-kabulkan. Apa yang berlaku seterusnya tidak kelihatan seperti majlis perkahwinan tetapi lebih kepada sesi photoshoot kerana OP mengarahkan setiap pergerakan pengantin.

Ini adalah kali pertama saya menyaksikan campur tangan jurugambar yang begitu mendalam. Sebagai ahli keluarga, saya berasa kurang senang kerana majlis perkahwinan telah bertukar sedemikian rupa. Walaupun OP mempunyai tanggungjawab untuk memastikan shot penting diambil tetapi adalah tidak wajar untuk beliau menghentikan aturacara majlis demi mendapatkan sudut sesuai atau menukar susunan prop yang sedia ada secara berlebihan. Mungkin tiada ahli keluarga pengantin yang bersuara tetapi sudah tentu mereka tidak mahu majlis perkahwinan berlangsung seperti itu. Saya harap jurufoto perkahwinan akan lebih prihatin dengan etika ketika menjalankan tugas. Sesuatu majlis bukannya dilangsungkan semata-mata untuk kita mengambil gambar. Kita hanyalah unit auxilliary yang mana kehadiran kita tidak sepatutnya dirasai oleh mereka yang hadir.

Adakah anda pernah mengalami insiden yang hampir sama? Apa pendapat anda mengenai jurugambar yang berperangai sebegini? Harap anda boleh kongsi pengalaman dan pendapat anda bersama pembaca lain. Sila tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Dapatkan artikel fotografi secara percuma, dihantar terus ke e-mel anda. SILA KLIK DI SINI

July 28, 2009 Categorized under Berita & Pengumuman, Sembang, video

Last Call – Kursus Fotografi Majlis Rasmi (FMR)

posterfmr

Kursus Fotografi Majlis Rasmi (FMR) akan diadakan lagi pada 15 Ogos 2009 (Sabtu). Masih belum terlambat jika anda belum mendaftar untuk kursus ini – masih ada tempat kosong untuk dipenuhi. Kursus ini sesuai dihadiri oleh jurugambar Jabatan Kerajaan atau Syarikat Swasta yang ditugaskan untuk merakam gambar majlis rasmi atau jurugambar individu yang berminat untuk menceburi bidang fotografi majlis rasmi (Event Photography). Berbagai teknik penting akan diajar dan akan dimantapkan lagi dengan beberapa sesi praktikal. Kursus ini cuma diadakan 3 kali setahun dan tempat terhad untuk 30 orang peserta sahaja. Jangan lepaskan peluang ini. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari – http://fototeacher.com/fmr.htm

Untuk pertanyaan, sila hubungi Encik Zaly di – 03-91017155 atau e-mel fototeacher@gmail.com

TEAM FOTOTEACHER.COM

July 26, 2009 Categorized under video

Joel Sartore – Jurugambar National Geographic


Joel Sartore, jurugambar National Geographic bercakap mengenai Pemuliharaan Alam Sekitar melalui foto-foto hebat yang beliau pernah rakamkan. Ucapan yang padat dan penuh inspirasi ini disampaikan dalam gaya yang lucu dan bersahaja.

SERTAI PROGRAM FOTOGRAFI ANJURAN FOTOTEACHER.COM. SILA KLIK DI SINI

July 23, 2009 Categorized under Report BPF

Report – Bengkel Portable Flash (BPF)

001

002

003

004

bpfgroupphoto4to5july09small
Gambar peserta Bengkel Portable Flash yang telah diadakan pada 4-5 Julai 2009. Untuk muat turun gambar di atas dalam saiz besar, SILA KLIK DI SINI

Kepada para peserta bengkel kali ini, sila hantarkan gambar-gambar terbaik yang telah anda rakam semasa bengkel ini kepada e-mel: fototeacher@gmail.com Letakkan tajuk sebagai: “Gambar Terbaik BPF 4-5 Julai” Sertakan nama dan nombor telefon anda. Saiz gambar 600 pxl pada bahagian paling panjang.

Untuk mengikuti Bengkel Portable Flash yang seterusnya, SILA KLIK DI SINI

July 22, 2009 Categorized under Artikel Teknikal, Tips

Motorsport

Motorsport
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Fotografi motorsport selalu dikaitkan dengan lensa yang besar panjang, jenis yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan peminat fotografi amatur. Lensa sebegini bukan sahaja sangat mahal tetapi berat juga. Lagi pun kebanyakan pengguna lensa bazooka di litar lumba adalah jurugambar berita yang diberi akses untuk berada di kawasan yang tidak boleh dimasuki oleh penonton biasa. Ini tidak bermakna amatur dengan kelengkapan dan akses terhad tidak boleh mendapatkan gambar yang elok.

Setiap kali saya ke SIC Sepang, saya akan menggunakan kit lens saya- Zuiko 40-150mm f/3.5-4.5. Dengan sistem 4/3, saya mendapat equivalent focal length 80-300mm yang mana sudah cukup untuk mendapatkan gambar dari main grand stand. Bagi mereka yang tak biasa mengambil gambar panning, seeloknya cuba dahulu dengan menggunakan shutter yang laju, sekitar 1/200s, supaya boleh merasai bagaimana menggerakkan badan ketika panning. Turunkan kelajuan shutter sedikit demi sedikit apabila anda telah selesa, biasanya sekitar 1/80 ke 1/125. Susah juga nak kata apakah shutter speed yang sesuai sebab kelajuan kereta sentiasa berbeza di setiap lokasi. Dalam mengambil foto sebegini, ada 3 perkara yang kita harus diberi perhatian:

1. Gambar harus menunjukkan kereta lumba dengan tulisan/logo penaja boleh dilihat jelas.
2. Latar belakar yang lembut (Soft) dan menampakkan kesan pergerakan.
3. Putaran roda kereta dapat dilihat.

Shutter speed yang terlalu tinggi akan mengakibatkan (2) dan (3) kelihatan kaku. Salah fokus dan panning yang tidak jitu mengakibatkan (1) tidak tercapai.

Gambar motorsport akan lebih bermakna jika ada unsur drama. Rasanya bila saya cakap tentang drama ramai yang membayangkan kereta berlanggar atau terbabas. Perkara sebegini jarang berlaku dan cukup sukar untuk dirakam biar pun berlaku di depan mata kerana anda perlu peka dan pantas menukar setting daripada panning kepada high shutter speed. Apa yang lebih mudah diperolehi ialah keadaan seperti aksi memotong, brek atau api pada ekzos. Aksi sebegini lebih mudah dijangka dan anda boleh mendapat hasil yang memuaskan setelah mencuba beberapa kali.

4a

4b

Jangan terlalu kedekut melepaskan shutter kerana untuk mahir teknik panning anda perlu berlatih secukupnya. Setiap kali saya ke SIC, saya akan mengambil tidak kurang daripada 1,000 frame sehari.

Harap anda boleh kongsikan pengalaman anda merakam gambar motorsport atau lain-lain acara sukan. Sila tuliskan pada ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Dapatkan artikel fotografi secara percuma, dihantar terus ke e-mel anda! SILA KLIK DI SINI.

July 20, 2009 Categorized under Artikel Teknikal, Tips

Sweet Spot: Di Mana Letaknya Ketajaman Gambar

Sweet Spot: Di Mana Letaknya Ketajaman Gambar
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Sweet spot adalah julat di mana imej adalah paling tajam. Terdapat 3 jenis sweet spot:
1.    Aperture yang memberikan imej paling tajam.
2.    Focal length (pada zoom).
3.    Zon tajam dalam frame.

Jika anda mengambil foto dengan ketiga-tiga faktor di atas berada dalam zon sweet spot, peluang untuk menghasilkan gambar yang tajam adalah lebih cerah. Mungkin anda pernah tertanya-tanya kenapa ada perbezaan dari segi ketajaman di antara foto yang diambil menggunakan peralatan yang sama. Mungkin ini adalah sebabnya.

Sweet spot untuk aperture banyak bergantung kepada rekabentuk sesuatu lensa. Namun, secara umumnya ia terletak 2 stop daripada bukaan aperture terbesar dan terkecil. Contohnya jika lensa anda mempunyai julat aperture f/2.8-f/32, kemungkinan besar sweet spot berada antara f/5.6 dan f/16. Anda boleh membuat eksperimen sendiri untuk mengetahui julat sweet spot aperture bagi setiap lensa anda dengan mengambil foto contoh pada aperture yang berbeza kemudian membandingkan hasilnya. Pastikan faktor lain dikawal rapi dan hanya mengubah aperture dan shutter speed (tanpa gegaran) sambil mengekalkan nilai dedahan pada tahap yang sama. Subjek yang ideal untuk eksperimen ini ialah struktur yang mempunyai tekstur rapi agar perbezaan dapat dilihat lebih jelas.

Untuk zoom pula, sweet spot biasanya berada di zon tengah hingga ke hujung tele. Kebiasaannya zoom menghasilkan imej yang lembut pada hujung wide dan semakin tajam ke arah tele. Contohnya bagi lensa 70-200mm, foto akan lebih tajam pada 200mm berbanding 70mm.

Ada kalanya kita melihat hasil foto yang mana bahagian berdekatan tepi gambar agak lembut (Soft). Ini kerana frame imej tersebut adalah lebih luas daripada zon tajam. Fenomena ini biasanya dilihat pada kamera bersensor besar seperti full frame dan medium format. Kamera dengan sensor yang kecil jarang menampakkan kesan ini kerana sensor hanya meliputi bahagian tengah image circle yang terletak dalam zon tajam.

Jika ketajaman adalah sesuatu yang penting untuk anda, teknik mengawal sweet spot boleh membantu anda tanpa memerlukan peralatan tambahan. Tetapi tidak semua jenis foto yang perlu begitu mengambil kira mengenai sweet spot. Contohnya jurufoto pemandangan biasa menggunakan focal length paling wide dan aperture yang paling sempit. Ini kerana bagi foto sebegini, depth of field yang sesuai adalah lebih penting daripada ketajaman.

Jika anda ada lain-lain tips atau pendapat mengenai sweet spot, sila tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Untuk membaca artikel lain berkaitan lensa, SILA KLIK DI SINI

Pelajari asas teknikal fotografi dengan lebih terperinci di FOTOTEACHER.COM. Sertai Kursus Asas Fotografi Digital. Untuk maklumat lanjut, SILA KLIK DI SINI.

July 18, 2009 Categorized under Tips, video

Chase Jarvis – Packing Peralatan Kamera


Chase Jarvis, jurugambar profesional menunjukkan cara beliau membuat packing peralatan kamera ke dalam beg kamera beliau sebelum tugasan fotografi.

SERTAI GROUP FOTOTEACHER DI FACEBOOK UNTUK BERBAGAI AKTIVITI MENARIK. SILA KLIK DISINI!

July 17, 2009 Categorized under Artikel Kreativiti, Fikiran, Gambar, Inspirasi & Motivasi, Personal, Sembang

Rakaman Saya dengan ‘Compact Camera’ di London dan Paris

Rakaman Saya dengan ‘Compact Camera’ di London dan Paris
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Baru-baru ini, saya bersama isteri mengembara ke kota London dan Paris. Kami di sana selama 25 hari. Saya ingin kongsi sedikit gambar semasa saya berada di sana.

Bila mengembara, saya lebih selesa membawa peralatan kamera yang paling minima. Untuk itu, saya hanya membawa bersama sebuah kamera DSLR Nikon D200 dengan lensa 17-55mm f/2.8 dan sebuah kamera compact Canon G7. Jika ke tempat yang banyak subjek menarik, saya akan membawa bersama kamera DSLR yang agak berat itu. Namun, jika sekadar berjalan-jalan, saya cuma membawa kamera compact Canon G7.

Pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda gambar-gambar yang saya rakam di London dan Paris menggunakan kamera compact Canon G7. Bagi saya, kamera ini sudah memadai untuk merakam gambar yang baik ketika saya mengembara. Apa yang penting ialah kefahaman asas teknikal fotografi dan kemahiran komposisi serta artistik. Gambar-gambar yang saya rakam ini bolehlah dikategorikan sebagai gambar Fine Art Photography atau Fotografi Seni Halus. Fine Art Photography adalah antara bidang pengkususan yang saya minati. Tanpa sebarang tekanan komersial, saya lebih bebas berkreatif dan menzahirkan apa yang saya rasa melalui gaya Fine Art Photography. Ianya memang memberi kepuasan.

Mungkin ada diantara anda yang tidak meminati gambar sebegini dan tidak dapat menghargai gambar berunsur Fine Art Photography. Gambar-gambar yang saya rakam ini pun tidaklah sebagus mana. Sekadar ingin berkongsi apa yang saya lihat melalui lensa kamera saya melalui kebebasan mengekspresi rasa.

manwalkingintostation
Suasana malam di sebuah stesyen keretapi yang lengang di bandaraya Paris

lvbag
Beg jenama Louis Vuitton diperagakan secara kreatif di sebuah kedai di kota London

reflectionlondon
Teksi klasik London yang telah dimodenkan, dirakam dengan latarbelakang bangunan baru berkaca yang membalikkan imej bangunan lama di London.

paristrain
Keretapi METRO kota Paris dirakam sedang melepasi sebuah stesyen pada waktu malam. Siling mozek yang membalikkan cahaya lampu-lampu bulat ini telah menjadikan pemandangan stesyen ini lebih menarik.

violinshop
Sebuah kedai menjual biola yang telah ditutup pada waktu malam. Dalam suasana gelap, masih boleh dilihat bentuk silhoutte biola yang dipamerkan di depan kedai. Lampu yang dipasang di dalam kedai pula telah menampakkan beberapa lagi biola yang dipamerkan di dalam kedai. Balikan cahaya langit pada pintu kaca pula menampakkan cahaya kebiruan pada waktu itu.

streetexhibition
Seorang penduduk kota Paris sedang berjalan menuruni tangga ke stesyen keretapi METRO bawah tanah sambil melalui foto besar yang dipamerkan untuk pameran foto jalanan.

manwalkingthedog
Seorang lelaki Perancis membawa anjingnya berjalan pada waktu senja berhampiran Notre Dame, Paris. Penduduk Paris memang terkenal dengan minat mereka memelihara anjing dan membawa anjing mereka bersiar-siar di sekitar kota Paris.

Harap anda suka menatap gambar-gambar yang telah saya pamerkan. Insyaallah, saya akan kongsikan lagi gambar-gambar dan cerita-cerita lain semasa pengembaraan saya ke London dan Paris.

P.S.: Dalam banyak-banyak gambar di atas, gambar yang mana satukah merupakan gambar kegemaran anda? (Jika ada) Harap, boleh berikan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Lain-lain maklumat mengenai kamera Canon G7 – SILA KLIK DI SINI

FOTOTEACHER.COM

Promote Your Page Too

July 15, 2009 Categorized under Fikiran, Tips

Hujan

Hujan
Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Untuk fotografi di luar rumah, cuaca yang baik adalah amat penting. Keadaan cahaya yang sesuai adalah penting untuk foto pemandangan dan senibina. Bagi jurufoto nature, cuaca yang elok akan memudahkan operasi memburu subjek. Tetapi ada kalanya kita terpaksa berdepan dengan keadaan yang tidak dirancang seperti hujan.

Oleh kerana tumpuan saya iala nature macro, hujan biasanya membawa berita yang kurang elok untuk sebarang trip. Walaupun cuaca hari tersebut elok tetapi jika hujan pada hari sebelumnya, denai hutan akan menjadi becak dan pacat bermaharaja lela. Tetapi ini tidak bermakna saya tidak boleh menikmati fotografi sepenuhnya. Memang hujan adalah halangan untuk aktiviti yang biasa saya ceburi tetapi hujan juga membawa peluang untuk kita mencuba beberapa jenis foto yang jarang dapat dirakam.

Beberapa corak semula jadi dapat dilihat daripada sudut yang lebih menarik selepas hujan. Manik-manik di sawang labah-labah membawa seribu satu cerita bila dirakam dengan teliti. Titisan air di hujung daun juga adalah satu subjek yang sangat menarik bila menampakkan reflection kawasan sekitar.

3a
Rangkaian titisan air di sawang labah-labah.

3b
Awan hujan yang mendatang.

Di kawasan bandar pula, reflection pada lopak air selepas hujan adalah antara subjek yang boleh diolah dengan pelbagai cara. Gambar sebegini akan memberikan impak yang bagus jika depth of field dikawal dengan rapi agar elemen selain subjek utama kelihatan maya. Jika renyai, gelagat manusia mengharungi kehidupan di kala hujan pun boleh menjadi subjek yang menarik seperti gambar orang melintas jalanraya sambil berpayung.

3c
Reflection di lopak air.

Hujan yang terlalu lebat dan tidak berhenti boleh mengakibatkan bencana alam. Kita boleh membawa kisah sebegini melalui foto. Tidak perlu kita merakamkan detik jambatan runtuh untuk mendapatkan foto yang bagus, cukup kalau kita dapat membawa gambaran keadaan tersebut dengan drama yang jelas. Elemen kemanusiaan akan banyak membantu untuk menguatkan lagi drama, contohnya seperti petani yang mengheret kerbaunya pulang ketika hujan lebat.

3d
Foto sebegini boleh dirakam dari tingkap rumah sahaja.

Fotografi seharusnya dinikmati sepanjang masa tanpa batasan cuaca.

Pernahkah anda mendapat sebarang gambar yang baik ketika hujan? Adakah anda ada lain-lain tips atau kisah yang ingin anda kongsikan bersama? Harap anda boleh tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

Untuk menyertai berbagai program latihan fotografi oleh FOTOTEACHER.COM, SILA KLIK DI SINI
Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155 atau e-mel fototeacher@gmail.com

July 13, 2009 Categorized under Report KFP

Report – Kursus Fotografi Perkahwinan (KFP)

kfpgroupphoto29jun09small
Gambar peserta Kursus Fotografi Perkahwinan yang telah diadakan pada 29 Jun 2009.
Untuk muat turun gambar di atas dalam saiz besar, SILA KLIK DI SINI

Untuk sertai lain-lain kursus dan bengkel anjuran FOTOTEACHER.COM, SILA KLIK DI SINI

July 12, 2009 Categorized under Inspirasi & Motivasi, Tips, video

Foto-Foto Terbaik National Geographic 2008


Chris John, Editor in Chief, National Geographic Magazine, bercakap mengenai gambar terbaik National Geographic untuk tahun 2008

July 9, 2009 Categorized under Fikiran, Tips

Hakikat untuk Jadi Jurugambar Hebat

Hakikat untuk Jadi Jurugambar Hebat
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Tiada jalan pintas untuk jadi jurugambar yang hebat. Pertama sekali, kita perlu ada ilmu. Ilmu boleh didapati dengan belajar. Hadir kursus, baca buku, bertanya kepada yang tahu dan sebagainya. Tetapi, ilmu tanpa amal dan latihan tidak akan menjadikan kita mahir.

Ada sesetengah orang yang menganggap, dengan menghadiri kursus fotografi, mereka akan terus jadi mahir. Tetapi, hakikatnya, kemahiran tidak boleh diperolehi dalam masa yang singkat. Hadir kursus boleh memberikan kita ilmu dan kefahaman. Tetapi, kemahiran hanya akan datang dari latihan dan pengalaman.

Dengan minat yang mendalam, sepatutnya kita akan sentiasa berlatih merakam gambar tanpa rasa jemu dan tidak menganggapnya sebagai beban. Kurang masa dan kurang wang bukan alasan untuk kita tidak berlatih merakam gambar. Kita boleh berlatih merakam gambar dengan mencuba berbagai-bagai teknik dan kemahiran hanya dengan berada di dalam rumah. Tidak perlu pergi jauh. Tidak semestinya mencari subjek yang menarik di luar rumah untuk berlatih merakam gambar.

Tentu sekali, memiliki peralatan kamera yang mahal juga bukanlah satu cara yang boleh menjamin kita untuk menjadi seorang jurugambar yang hebat.

Fotografi bukanlah suatu hobi mudah yang penuh dengan keselesaan. Fotografi adalah untuk orang yang sukakan cabaran. Jika anda ingin berjaya dalam fotografi, anda mestilah sanggup untuk berusaha bersungguh-sungguh dan melupakan jalan pintas.

Bagaimana pula cara anda memperbaiki kemahiran fotografi anda? Mungkin anda ada tips lain yang anda ingin kongsikan bersama. Harap anda boleh tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM

July 7, 2009 Categorized under Fikiran, Personal, Sembang

Kesukaran yang Indah di Zaman Sekolah

Kesukaran yang Indah di Zaman Sekolah
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Saya minat fotografi sejak dari saya masih bersekolah di dalam darjah 4. Saya membeli kamera pertama saya pada ketika itu dengan duit tabung sendiri. Saya masih ingat, saya membayar harga kamera RM40 itu dengan duit syiling kesemuanya!

Minat saya dalam fotografi semakin mendalam ketika di sekolah menengah. Fotografi adalah satu hobi yang amat mahal bagi seorang budak sekolah pada masa itu. Saya bukan berasal dari keluarga kaya. Jadi, untuk tampung hobi saya pada ketika itu, saya bekerja sambilan untuk membeli peralatan kamera dan untuk menampung belanja membeli filem. Saya kerap merakam gambar kawan-kawan semasa aktiviti di sekolah dan kemudiannya menjual gambar-gambar tersebut kepada mereka dengan harga 50 sen sekeping. Itu adalah sekitar tahun 1988

Ketika cuti sekolah selepas SRP (Sijil Rendah Pelajaran), saya bekerja di Restoran KFC dengan gaji RM400 sebulan. Duit itu saya gunakan untuk meneruskan hobi saya. Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya menanamkan niat untuk bekerja di kedai gambar untuk lebih mendalami bidang fotografi. Ketika itu, saya tinggal di Butterworth bersama arwah datuk dan nenek saya. Dengan menaiki basikal, saya menebalkan muka, pergi ke beberapa buah kedai gambar di Bagan Luar untuk mendapatkan kerja. Saya tidak berjaya mendapat kerja…

Beberapa ketika selepas itu, disebabkan faktor kasihan, seorang tauke Cina bersetuju untuk berikan saya kerja di kedai gambar miliknya di Kepala Batas. Gaji yang ditawarkan – RM400 sebulan. Saya setuju! Saya sangat gembira! Dengan gaji RM400 itu, setelah ditolak belanja tambang bas dan belanja makan semasa bekerja, saya dapat gaji bersih RM196 sebulan. Dari wang yang saya perolehi, saya kumpul sikit-sikit dan akhirnya berjaya membeli kamera terpakai jenama Yashica 108 dengan harga RM600. Itu adalah pada tahun 1992.

Saya diterima masuk ke UiTM untuk mengikuti kursus Diploma Fotografi pada tahun 1993. Sambil belajar, saya membuat kerja sambilan mengambil gambar dengan upah RM10-50 untuk setiap satu tugasan. Pelanggan saya pada ketika ini terdiri dari pelajar-pelajar dan pensyarah di UiTM. Saya perlu membuat kerja sambilan ini bagi menampung kos pengajian fotografi pada ketika itu. Ketika di tahun kedua di UiTM, saya membuat kerja sambilan dengan lebih serius dengan upah sekitar RM150 untuk setiap tugasan separuh hari. Pada tahap ini, saya sudah mula berurusan dengan pelanggan-pelanggan dari luar universiti yang terdiri dari pengantin, mak andam, ejen fotografi dan syarikat koprat.

Saya telah melalui banyak cabaran di sepanjang penglibatan saya di dalam fotografi. Tetapi, saya bersyukur dengan cabaran dan kesukaran yang telah saya tempuhi. Cabaran inilah yang telah menjadikan saya semakin matang dan kuat. Setelah saya kecapi apa yang saya ada pada hari ini, kenangan menghadapi kesukaran di masa lalu terasa begitu manis dan berharga.

Inilah pengalaman saya. Pengalaman sebenar. Pengalaman yang telah banyak mengajar saya. Pengalaman yang membuatkan saya bersyukur.

Mungkin anda juga ada pengalaman menarik di sepanjang penglibatan anda di dalam fotografi. Harap anda boleh kongsi kisah anda dengan pembaca lain. Sila tuliskan di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Hakcipta terpelihara FOTOTEACHER.COM 2009. Dilarang mengeluarkan semula mana-mana bahagian di dalam artikel ini tanpa kebenaran bertulis dari pihak FOTOTEACHER.COM