Sifu Hasnuddin, Otai Fotografi.
Oleh Hasnuddin Abu Samah
Ada beberapa orang baru dalam fotografi yang anggap saya otai (old timer) yang berpengalaman luas dalam fotografi. Ada di antara mereka yang panggil saya sifu (guru) yang mempunyai ilmu tinggi dalam fotografi.
Tapi, hakikatnya, saya bukanlah otai dan saya tidak layak dipanggil sifu.
Di luar sana, masih ada ramai otai dan sifu sebenar yang kebanyakan kita tidak mengenali mereka. Mereka tidak berada dalam ‘dunia’ yang sama dengan kita. Kalau kita mahu ‘melihat’ mereka, kita kena bersungguh-sungguh mencari mereka. Mereka jarang ada dalam dunia internet. Mereka juga tidak begitu popular dalam dunia internet.
Walaupun saya telah menceburi bidang fotografi secara profesional sejak tahun 1996, namun, saya masih belum cukup otai. Bagi saya, otai sebenar adalah orang yang telah menjadi jurugambar profesional sejak saya masih belajar tentang aperture dan shutter speed lagi. Malah ada otai yang sudah mula cari makan dengan fotografi sejak zaman filem hitam putih!
Walaupun saya kerap mengajar fotografi, tetapi saya rasa, saya masih belum layak dipanggil sifu. Mungkin, kalau pelajar saya hendak tunjuk tanda hormat, saya boleh terima panggilan cikgu. Tapi, bukan sifu. Bagi saya, sifu hanya layak dipanggil kepada individu yang pakar dalam bidangnya dan berada pada tahap tertinggi bidang itu pada sesuatu zaman. Kalau saya panjang umur, lagi 30 tahun, mungkin saya boleh dipanggil sifu.
Saya ingin kita semua letakkan benchmark yang tinggi dalam industri fotografi di Malaysia. Biarlah gelaran sifu diberikan kepada mereka yang betul-betul layak sahaja. Tidak perlulah bodek sesiapa dengan memanggil mereka sebagai sifu. Saya percaya, orang yang dibodek itu pun rasa segan bila dipanggil sifu. Kalau dia rasa bangga dipanggil sifu, maknanya, dia bukan sifu betul.
Bagi saya, sifu fotografi secara akademiknya adalah individu yang sekurang-kurangnya memegang ijazah (Master) dalam bidang fotografi. Dari segi bukan akademik pula, iaitu dalam bidang profesional, bagi saya, sifu adalah jurugambar yang terlibat secara profesional dalam bidang fotografi selama lebih dari 20 tahun dengan pencapaian yang cemerlang.
Oleh Hasnuddin Abu Samah
DAPATKAN ARTIKEL FOTOGRAFI PERCUMA!
Jika anda ingin kami menghantar artikel-artikel fotografi secara otomatik ke e-mel anda, sila langgan newsletter percuma dari fototeacher di sini – http://www.fototeacher.com/subscribe.htm