Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?
Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?
Oleh: Hasnuddin Abu Samah
Kadangkala kita takut melihat ribuan orang yang mendakwa diri mereka sebagai jurugambar. Begitu ramai sekali jurugambar sekarang ini. Mana mungkin kita boleh bersaing dalam keadaan begini. Masih adakah harapan untuk kita berjaya dalam perniagaan fotografi?
Kita harus melihat fenomena ini dari sudut yang positif. Kebanjiran peminat fotografi di seluruh dunia ketika ini telah membuatkan harga peralatan kamera menjadi jauh lebih murah dari sebelumnya. Ini kerana, produk kamera boleh dikeluarkan secara besar-besaran dan ini telah dapat menurunkan harganya. Proses perkongisan ilmu fotografi juga telah menjadi lebih mudah kerana adanya komuniti yang besar dalam bidang ini.
Cuma, apa yang tidak menyenangkan ialah, dari sudut perniagaan, nilai perkhidmatan fotografi dikatakan telah menurun. Akibat persaingan yang terlalu sengit, ada segelintir jurugambar memotong harga untuk membolehkan dirinya mendapat sesuatu kerja atau tugasan fotografi. Namun, pada pendapat saya, jurugambar yang memotong harga secara keterlaluan, akan memakan diri sendiri dalam jangka masa panjang.
Jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan anda, anda tidak perlu risau akan kebanjiran peminat fotografi sekarang. Majoriti peminat fotografi hanya menjadikan fotografi sebagai hobi. Peluang perniagaan dalam fotografi masih terbuka luas. Anda cuma perlu kreatif dalam mencari peluang. Masih ada banyak bidang pasaran fotografi yang masih belum diterokai.
Di kalangan jurugambar yang menjadikan fotografi sebagai punca pendapatan pula, bukan semuanya benar-benar serius. Ada yang sekadar cuba-cuba. Ada yang melakukannya secara sambilan untuk tempoh yang singkat sahaja. Untuk menjadi seorang jurugambar profesional bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang kita sangkakan. Merakam gambar untuk wang memerlukan disiplin, kerja kuat, kemahiran tinggi, kecepatan, sanggup menghadapi risiko kewangan, sanggup menerima tekanan dari pelanggan dan sebagainya. Hanya yang kuat akan berjaya.
Ya, jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan anda, peluangnya masih ada.
Oleh: Hasnuddin Abu Samah
Untuk mengikuti kursus dan bengkel fotografi anjuran fototeacher, sila ke – http://www.fototeacher.com
Untuk mendapat artikel dan informasi percuma dari fototeacher, sila ke – http://www.fototeacher.com/subscribe.htm











