rulururu

post KURSUS AFD SETERUSNYA

January 31st, 2008

Filed under: Berita & Pengumuman — hasnuddin @ 4:15 am

Assalamualaikum,

Kursus Asas Fotografi Digital (AFD) untuk 16-17 Februari 2008 telah dipenuhi. Kepada yang tak dapat menghadiri kursus ini, anda masih berpeluang untuk mengikuti kursus seterusnya yang akan diadakan pada:

1) 23-24 Februari 2008 (Sabtu & Ahad)
2) 5-6 April 2008 (Sabtu & Ahad)

Pendaftaran dibuka sekarang. Sila daftar segera kerana tempat adalah terhad!

Untuk maklumat lanjut, sila ke - http://fototeacher.com/basicphotography.htm

Hasnuddin

post TANYA HASNUDDIN - CASH FLOW

January 18th, 2008

Filed under: TANYA HASNUDDIN — hasnuddin @ 6:24 am

Soalan dari Anas Asyura:
Bolehkah Abg. Din terangkan secara terperinci, bagaimana cara untuk memastikan kita mendapat cash flow yang baik. Harap penerangan ini boleh jadikan kami lebih bersemangat untuk jadi full time wedding photographer.

Jawapan saya:

Suka saya ulangi bahawa cash flow yang baik amat penting untuk kita survive sebagai full time wedding photographer. Tak kira berapa banyak job atau berapa mahal kita charge, tapi kalau duit tu terlalu lambat sampai ke tangan kita, tak ada gunanya…

Disamping memastikan kita ada job yang banyak secara konsisten, kita juga kena pastikan bahawa aliran wang tunai yang masuk juga adalah sentiasa mencukupi dan konsisten.

Biasanya jurugambar akan beri tumpuan kepada job besar yang boleh dapat keuntungan besar. Job besar memerlukan modal besar dan biasanya, bayaran pun lambat dapat. Kalau kita tak dapat bayaran untuk job besar ni, rugi pun lagi besar! Maksudnya, job besar = risiko besar. Jadi, untuk memastikan aliran wang tunai yang baik, kita juga harus beri tumpuan kepada job-job kecil yang memerlukan kurang modal tapi boleh dapat bayaran dengan cepat. Fungsi job besar adalah untuk beri keuntungan manakala job kecil pula berfungsi untuk berikan kita cash flow. Saya bocorkanlah sikit rahsia Adan – target utama kami adalah untuk mendapat job high end dengan jumlah RM 30,000 untuk setiap client. Tapi, dalam masa yang sama, kami juga buat job kecil serendah RM 5,000 untuk setiap client. Adakalanya, kami akan buat promosi. Dengan harga promosi, keuntungan yang kami dapat adalah sangat rendah. Tapi, dengan promosi, kami dapat banyak job (volume sales). Walaupun untung kurang, tapi job banyak dengan untung yang sikit ni amat membantu dari segi cash flow. Cash flow ni lah yang akan bantu untuk bayar kos overhead bulanan.

Dapatkan job murah yang banyak walau untung kurang. Pastikan bayaran cepat dapat. Untuk jurugambar baru, nasihat saya ialah, disamping anda buat job sendiri dengan harga RM 1,500 satu pakej contohnya, buat juga job yang murah dengan harga RM 200 misalnya. Maksud saya ialah, anda boleh buat job dengan jurugambar lain. Anda cuma ambil upah untuk khidmat shooting sahaja dan dapat bayaran sebanyak RM 200. Tapi pastikan job ini banyak dan bayaran cepat dapat. Kalau anda dapat RM 200 X 10 job sebulan, anda dah boleh dapat RM 2,000. Jumlah ini boleh dikatakan untung bersih. Biasanya dah cukup untuk bayar perkara-perkara penting.

Pastikan terms of payments anda adalah menguntungkan dan mengurangkan risiko kerugian. Bila ada pelanggan ingin tempah anda untuk jadi jurugambar, pastikan anda ambil wang deposit dari beliau supaya pelanggan anda tidak cancel khidmat anda sesuka hatinya. Bayaran deposit ni adalah salah satu kelebihan yang ada dalam bisnes wedding photography. Kalau buat job dengan company untuk khidmat rakam gambar event, biasanya memang diaorang takkan bayar deposit. Bayaran deposit yang anda dapat ni dah kira secure bahawa anda akan ada job pada masa yang dijanjikan. Wang ini juga anda dah boleh guna sebagai cash flow. Ada berbagai jenis terms of payments untuk menjaga kepentingan bisnes anda. Contohnya: Bayaran pertama - pelanggan bayar 30% deposit untuk booking. Bayaran kedua - bayar 70% selepas tamat shooting. Bayaran ketiga - bayar penuh selepas gambar dihantar. Kalau boleh, untuk bayaran akhir ni, anda dah buat kiraan bahawa, kalau pelanggan tak bayar pun, anda dah ada untung. Sepanjang saya menjalankan perniagaan, banyak kali terjadi pelanggan tak bayar. Jumlah keseluruhan dah mencapai hampir RM 100,000.00. Saya telah belajar dari kesilapan. Sekarang ni terms of payment kami amat tegas sebab kami ingin terus berniaga…

Untuk menjaga cash flow, jangan buat editing gambar, cetak gambar dan buat album sebelum pelanggan membayar 70% (contoh) dari keseluruhan harga pakej. Bila anda buat editing, cetak gambar dan buat album, anda dah keluarkan kos masa dan kos material untuk kerja tersebut. Tapi, macamana bila semua album dah siap, pengantin kata, “I belum ada duit la nak ambik album tu..” atau “I sibuk ni, ada kat oversea…I ambik lagi 2 bulan boleh tak?” Jadi, anda dah kira rugi sebab kos dah keluar, tapi duit lambat dapat. Pastikan bila kos keluar, anda mesti dapat balik wang secepat mungkin. Atau pastikan anda dapat wang dulu sebelum sesuatu kos keluar. Wang yang lambat dapat akan ‘mengecut’. RM 5,000 yang anda dapat 6 bulan dari sekarang dah tak sama nilai macam RM 5,000 yang anda dapat sekarang! Faham maksud saya? Sebab tu kad kredit charge interest untuk setiap wang yang kita guna. Lagi lambat bayar, lagi banyak interest kita kena! Bila kita benarkan pelanggan bayar lambat, sama macam kita bagi dia pinjaman tanpa faedah. Betapa untungnya pelanggan, betapa ruginya kita…

Anda mesti dapatkan bayaran secepat mungkin tetapi, sebaliknya, kalau boleh, bayar kepada orang lain selambat mungkin. Untuk pastikan cash flow yang baik, cari jalan bagaimana untuk anda lambatkan bayaran kepada orang lain. Contohnya, saya bocorkan lagi sikit rahsia Adan – kami bayar supplier album 30 hari selepas stok diterima. Tapi ini memang dah dalam perjanjian, bukan kami sengaja lambat bayar. Terms macam ni menguntungkan kita. Supplier pun tak kisah sebab kita ambik stok banyak secara regular dan dia pun suka nak berikan kita tempoh bayaran selama 30 hari. Jadi, di sini, kami dah untung dari segi cash flow. Album dah digunakan, customer dah bayar, duit dah dapat, barulah kami bayar kos album kepada supplier. Untuk jurugambar baru, mungkin anda boleh bincang dengan kedai gambar supaya benarkan anda buat bayaran lambat – dalam tempoh 30 hari. Tapi, anda kenalah cetak gambar dalam kuantiti yang banyak dan bayar tepat pada masanya. Anda mesti dapatkan kepercayaan dari supplier anda. Cara lain ialah beli barang secara hutang asalkan interest yang dikenakan tidak terlalu tinggi. Contohnya, kalau anda ada duit cash RM 5,000, jangan beli laptop secara cash. Tapi bayar secara ansuran supaya anda ada duit cash dalam tangan untuk digunakan sebagai modal pusingan dan sebagainya.

Demikianlah panduan yang dapat saya berikan mengenai cash flow. Kalau nak tau lebih terperinci, anda boleh sertai Kursus Profesional Fotografi Perkahwinan anjuran fototeacher. Banyak lagi topik berkaitan bisnes fotografi akan diajar seperti pemasaran, pricing strategi dan sebagainya. Kami akan umumkan tarikhnya nanti. Sekian, saya harap anda dapat manfaat dari apa yang telah dijelaskan.

Untuk diberitahu secara otomatik tentang update terbaru blog ini, sila langgan newsletter percuma dari fototeacher. Sila klik di sini.

Hasnuddin
www.fototeacher.com

post TANYA HASNUDDIN - PERSEDIAAN UNTUK JADI ‘FULL TIME WEDDING PHOTOGRAPHER’

January 17th, 2008

Filed under: TANYA HASNUDDIN — hasnuddin @ 4:36 am

Soalan dari Ijam, Penang:
Saya nak mintak pendapat Abg. Din pasal persediaan yang perlu dibuat untuk jadi full time wedding photographer.

Jawapan saya:

Nak buat wedding photography secara full time ni merupakan satu langkah yang besar dan memerlukan pertimbangan yang mendalam. Ini memang satu keputusan yang berat. Berikut adalah tips yang boleh saya berikan:

  1. Perlu ada job yang mencukupi, sekurang-kurangnya boleh menampung kos sara hidup kita. Job yang ada mestilah konsisten jumlahnya. Kena ingat, buat bisnes dapat RM 2,000 sebulan tak sama macam kerja bergaji RM 2,000 sebulan. Kalau gaji sekarang RM 2,000, bila start bisnes kena dapat sekurang-kurangnya RM 6,000 sebulan. Ini kerana, bila buat bisnes, kita kena keluar kos permulaan, kena ada modal pusingan, kena selalu invest kepada equipment dan kita kena ingat, bukan semua customer kita akan bayar ontime dan ada jugak yang tak bayar langsung!

  2. Pastikan cash flow yang baik sepanjang masa. Disamping ada job yang mencukupi, pastikan juga kita boleh dapat wang tunai dari job yang dibuat secara konsisten. Tak guna kalau job banyak, tapi duit tak dapat. Untuk dapat cashflow yang konsisten, anda perlu buat job-job kecil yang dapat duit cepat disamping job besar yang belum tentu bila dapat duitnya. Wedding photography ni seasonal, bukan setiap bulan ada banyak job. Jadi, anda kena pastikan anda ada job setiap bulan, setiap minggu dan kalau boleh setiap hari! Waktu tak ada job wedding, kena cari job potret, buat design album dan sebagainya untuk isi masa dan untuk pastikan cash flow yang cantik. Banyak bisnes lingkup sebab cashflow yang tidak baik, bukan sebab tak ada job.

  3. Seeloknya telah mempunyai peralatan asas yang lengkap seperti set kamera DSLR dan komputer untuk buat editing. Untuk permulaan, kalau ada duit lebih, jangan beli equipment baru, simpan duit untuk bulan yang tak ada job. Jangan guna wang hanya untuk beli equipment, kena belanjakan wang untuk tujuan lain juga seperti pemasaran dan sebagainya.

  4. Seeloknya ada wang simpanan 3 kali ganda dari kos sara hidup bulanan anda. Andainya anda memerlukan RM 2,000 untuk kos sara hidup bulanan (bayar sewa rumah, bayar ansuran kereta dan sebagainya), anda memerlukan RM 6,000 sebagai wang simpanan sebagai persediaan jika anda tak dapat bayaran atau kalau tak ada job pada masa akan datang. Lagi banyak wang simpanan, lagi bagus.

Selain dari itu, mesti ada semangat yang kuat, minat yang mendalam dalam bisnes, sentiasa belajar mengenai fotografi dan teknik perniagaan. Semasa saya mula bisnes dulu, saya tak ada wang simpanan langsung, equipment tak cukup dan job yang tak secure. Saya buat kesilapan besar waktu itu dan perjalanan bisnes saya sangat susah. Tapi, kesusahan itu adalah guru dan pendorong kuat saya. Yang penting, kita mesti ada azam yang kuat untuk mencapai matlamat kita.

Hasnuddin

post Kenapa aperture diberi nama f/number?

January 17th, 2008

Filed under: Tips — hasnuddin @ 3:32 am

Apa maksud f/number sebenarnya?

Apa maksud huruf “f”. Apa maksud “/”. Apa maksud “number”.

f/number merujuk kepada saiz bukaan aperture. Saiz bukaan aperture dinamakan dengan f/number seperti f/2.8, f/4, f/5.6 dan sebagainya.

f/number bermaksud:
Nombor focal length dibahagikan dengan nombor diameter bukaan aperture.

Contoh 1:
Focal length – 100 mm
Saiz sebenar diameter bukaan aperture - 12.5 mm
Aperture – f/8
( 100/12.5 = 8 )

Contoh 2:
Focal length – 50 mm
Saiz sebenar diameter bukaan aperture - 6.25 mm
Aperture – f/8
( 50/6.25 = 8 )

Jadi, kalau lihat pada 2 contoh di atas, kita dapat simpulkan bahawa, aperture f/8 adalah berbeza dari segi saiz diameter bukaan aperturenya pada 2 jenis lensa yang berbeza. Tetapi, ianya mempunyai nilai f/number yang sama iaitu f/8. Oleh kerana f/numbernya sama, ianya memberikan jumlah cahaya yang sama masuk melalui aperture, walaupun saiz diameter bukaan aperture adalah tidak sama.

Perlukah anda tahu perkara ni? Sebenarnya tidak wajib tahu. Tapi, kalau tahu, lagi bagus. Setiap kali kita ambil gambar, kita mesti akan guna aperture. Jadi, elok jugak kalau kita betul-betul faham pasal aperture. Saya biasanya tak ajar sedetail macam ni dalam kursus AFD. Saya cuma akan ajar perkara yang betul-betul penting dan praktikal. Tapi, kadang2 ada juga peserta yang bertanya pasal perkara teknikal macam ni. Jadi, saya kena jawablah.

post LAPORAN – KURSUS AFD KHAS UNTUK LPB, BINTULU

January 12th, 2008

Filed under: Report AFD — hasnuddin @ 5:52 pm

groupphoto.jpg
Bergambar bersama peserta kursus. Untuk muat turun gambar di atas dalam saiz besar, sila klik - http://www.fototeacher.com/lpb.JPG

participant.jpg
Para peserta sedang tekun mengikuti kursus

dintraining.jpg
Saya sedang menunjukkan teknik menggunakan point and shoot camera

din_0994.JPG
Menikmati keindahan Gua Niah

group-photo-niah.jpg
Puan Azida, pembantu penceramah (paling kanan) bersama Puan Rajuna, LPB (Dua dari kanan) dan Puan Azah, LPB (tiga dari kanan) ketika lawatan ke Gua Niah.

dinatklia.jpg
Saya setelah tiba di KLIA - rasa lega setelah selesai menjalankan tanggungjawab di Bintulu.

Pada 8-9 Januari lalu, fototeacher.com telah mengadakan kursus Asas Fotografi Digital (AFD) khas untuk staf-staf Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB). Turut serta adalah staf-staf dari Bintulu Development Authority, Bintulu Port Sdn. Bhd dan Petronas. Kesemua peserta kursus seramai 26 orang. Kursus diadakan di bilik latihan LPB di Bintulu, Sarawak.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih terutamanya kepada Kapten Abdul Rahim selaku Pengurus Besar LPB kerana telah memberi peluang kepada kami untuk memberikan latihan di Bintulu. Terima kasih kerana menjaga makan dan minum kami semasa kami di sana. Terima kasih juga kerana mengaturkan sesi lawatan ke Gua Niah dan Miri untuk kami. Terima kasih juga kerana memperkenalkan ‘umai’ kepada kami. Memang sedap!

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada:

  • Encik Nordin kerana memjemput dan menghantar kami setiap hari
  • Encik Awang yang telah membawa kami ke Gua Niah dan Miri. Terima kasih juga sebab tolong membawa beg kamera saya yang berat tu semasa pulang trekking dari Gua Niah
  • Encik Zul yang telah menyediakan peralatan AV dan kemudahan bilik latihan

Terima kasih kepada semua – Kapten Zakhir, Encik Henry, Ir Zawawi, Cik Tini, Puan Hida, Puan Rajuna dan lain-lain di atas jasabaik anda semua. Budi anda semua tidak akan saya lupakan.

Saya harap anda mendapat manfaat dari kursus yang dihadiri dan saya berharap kita dapat berjumpa lagi.

Hasnuddin.

post UNTUK REKOD, TAHUN 2007

January 2nd, 2008

Filed under: Berita & Pengumuman — hasnuddin @ 3:13 am

Alhamdulillah, fototeacher telah mencapai beberapa kejayaan pada tahun 2007 ini yang bagi saya ianya adalah sesuatu yang amat memuaskan. Jutaan terima kasih kepada anda semua yang telah memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kami kearah memartabatkan penguasaan ilmu fotografi kepada peminat fotografi di Malaysia.

fototeacher ditubuhkan pada Ogos 2006. Ya, usianya masih sangat muda. Tapi, demi anda semua, kami akan berusaha lebih kuat pada tahun ini dengan memperkenalkan lebih banyak program baru dan dalam masa yang sama kami akan memperbaiki lagi segala kelemahan yang ada.

Saya ringkaskan antara pencapaian kami dalam tahun 2007:

  1. Kelas ASAS FOTOGRAFI DIGITAL (AFD) mendapat sambutan yang baik. Setakat ini, kami telah mengadakan 12 kelas AFD samada di pusat latihan fototeacher mahupun di pusat latihan luar. Kami juga telah mengadakan program-program sampingan yang lain seperti Kursus Profesional Fotografi Perkahwinan, Fotografi kewartawanan, Fotografi Fesyen dan Photo Improvement Class.
  2. Sepanjang tahun 2007, fototeacher telah mendapat khidmat ramai tenaga pengajar yang terdiri dari jurugambar profesional yang berpengalaman sebagai penceramah utama dan penceramah jemputan, seperti:
    1. Shamshahrin Shamsudin (EPA, Virtual Malaysia, The Star)
    2. Bazuki Muhammad (Reuters)
    3. Bustamam Mokhtar (White Studio, Utusan Malaysia, Design Dimension)
    4. Ikram Ismail (Ikram Ismail Photography, Berita Publishing, Corporate Ideas)
    5. Kaharuddin Samad (Ketua jurugambar, Berita Publishing)
    6. Affandi Abdul Hamid (Karangkraf, Studio 31 NST, Berita Publishing)
    7. Nasir Roli (Berita Publishing, Golf Times)
    8. Hasnuddin (Ketua Jurugambar Adan, ntv7, Delta Publishing)
  3. Kami telah diberi kepercayaan untuk memberi latihan dalam berbagai bidang fotografi kepada staf-staf dari Jabatan Kerajaan dan Syarikat Swasta seperti Tourism Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Telekom Malaysia Berhad, MRCB, Keretapi Tanah Melayu Berhad, International Islamic University Malaysia, Majlis Perbandaran Klang, SME Bank, Jabatan Audit Negara, Petronas Carigali, Istana Kelantan, NAHRIM, NIOSH, KUSTEM, Dawama Sdn. Bhd., Konsortium ABASS Sdn. Bhd. dan lain-lain.
  4. Peserta program kami datang dari berbagai peringkat umur, dari yang berusia 16 tahun hingga ke 55 tahun. Ada juga yang datang dari jauh seperti Sabah, Sarawak, Perlis, Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Johor, Kelantan dan Terengganu. Malah, ada peserta kami yang datang dari negara luar seperti Thailand, Brunei dan Indonesia. Terima kasih yang tidak terhingga dari kami di atas kesungguhan anda.
  5. Laman web dan blog fototeacher telah dikunjungi lebih dari 54,000 pelawat (unique visitor) di sepanjang tahun 2007 dan newsletter kami dilanggan oleh lebih dari 1,700 orang peminat fotografi di Malaysia dan semakin bertambah setiap hari.

Sebagai menghargai sokongan dari anda semua, kami kini dalam perancangan untuk mengadakan satu workshop tentang teknik merakam gambar model di lokasi luar dan ianya boleh disertai secara PERCUMA oleh bekas peserta program fototeacher.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Shamshahrin Shamsudin kerana beliau adalah merupakan orang yang paling penting dalam penubuhan awal fototeacher. Juga ribuan terima kasih kami ucapkan kepada anda semua yang telah membantu kami untuk kekal sehingga ke hari ini. Tanpa anda semua, fototeacher tidak akan berada di sini.

Hasnuddin
Mewakili team fototeacher.com.

post TANYA HASNUDDIN - TEORI RULE OF THIRD

January 2nd, 2008

Filed under: TANYA HASNUDDIN — hasnuddin @ 1:40 am

SOALAN:
Harap Saudara Hasnuddin dapat jelaskan apakah maksud teori ‘Rule of Third’.
- Mohd. Firdaus

JAWAPAN:
Rule of third adalah teori berkenaan komposisi gambar. Biasanya, bila rakam gambar, kita akan compose supaya subjek kita berada di bahagian tengah gambar. Cara ini tidak salah, tetapi kurang menarik kerana straight forward.

Untuk lebih kreatif, kita boleh compose gambar kita supaya subjek berada di bahagian lain selain dari bahagian tengah gambar kita. Tetapi, bagaimanakah komposisi subjek yang paling sesuai dalam sesuatu gambar? Teori rule of third ini memberikan panduan kepada kita dimana harus kita letakkan subjek kita di dalam gambar yang dirakam.

blank-line.jpg
Untuk menggunakan teori rule of third, anda perlu bayangkan 2 garis menegak dan 2 garis melintang dalam viewfinder anda. Garisan-garisan ini perlu menghasilkan 9 bahagian yang sama besar. Ingat, anda perlu bayangkan sahaja garisan ini, garisan ini tidak terdapat dalam viewfinder anda. Untuk menepati teori rule of third, subjek anda perlu berada pada mana-mana titik pertemuan garisan-garisan ini. Ada 4 titik pertemuan kesemuanya. Jika anda tidak dapat letakkan subjek anda pada salah satu titik pertemuan ini, sekurang-kurangnya, subjek anda mesti berada hampir dengan titik pertemuan ini. Menurut kajian, jika subjek anda berada pada salah satu titik pertemuan garisan menegak dan melintang ini, subjek akan jadi lebih ‘outstanding’ atau menyerlah di dalam gambar.

centre-subject.jpg
Biasanya, tanpa menggunakan teori rule of third, jurugambar akan meletakkan subjek di bahagian tengah gambar. Cara ini tidak mengikuti panduan rule of third. Hasilnya, gambar akan nampak kurang menarik dari segi komposisi.

wrong-rule-of-third.jpg
Apabila seseorang jurugambar ingin meletakkan subjek selain dari di bahagian tengah gambar, tetapi tidak mengikuti teori rule of third, hasil gambarnya juga akan jadi kurang menarik dari segi komposisi. Gambar dengan komposisi seperti gambar di atas ini tidak mengikuti panduan rule of third kerana subjek tidak berada di titik pertemuan garisan menegak dan garisan melintang.

correct-rule-of-third.jpg
Gambar di atas dirakam dengan komposisi yang betul menepati teori rule of third kerana subjek (badan burung) diletakkan pada titik pertemuan garisan tegak dan melintang. Komposisi gambar ini kelihatan lebih menarik. Nota: Selain dari rule of third, anda juga perlu pertimbangkan mengenai looking room. Looking room atau ruang pandangan adalah ruang kosong di hadapan subjek anda sekiranya subjek anda memandang ke kanan atau memandang ke kiri (Dikecualikan jika subjek memandang kamera atau membelakangkan kamera). Seperti burung helang di atas, dengan guna teknik looking room, kita membiarkan ruang kosong di hadapan burung helang. Adalah menyalahi panduan looking room jika kita letakkan burung helang pada titik atas sebelah kanan atau titik bawah sebelah kanan.

breaking-the-rule.jpg
Teori rule of third hanyalah sebagai panduan untuk komposisi yang baik. Disebabkan fotografi adalah seni dan seni adalah subjektif, adakalanya, kita boleh ‘melanggar’ peraturan dengan tidak mengikuti panduan yang ditetapkan oleh rule of third. Gambar di atas tidak mengikuti teori rule of third kerana badan burung tidak berada pada titik pertemuan garisan menegak dan melintang. Namun, dengan komposisi ini, gambar juga kelihatan menarik kerana kita dapat lihat percikan air di belakang burung yang sedang terbang.

Nota: Gambar yang ditunjukkan di atas, dirakam oleh saya di Pulau Langkawi.

Harap, penerangan saya dapat membantu.

Hasnuddin

 

 

post NOMBOR-NOMBOR YANG KIAN DILUPAKAN

January 2nd, 2008

Filed under: Fikiran — hasnuddin @ 12:00 am

Generasi baru yang minat fotografi sekarang ni dah tak ramai yang ingat nombor-nombor aperture dan shutter speed dalam turutan 1 stop. Nombor-nombor atau nilai aperture yang saya maksudkan adalah seperti 2.8, 4, 5.6, 8, 11, 16, 22 manakala nombor atau nilai shutter speed yang saya maksudkan adalah seperti 2000, 1000, 500, 250, 125, 60, 30, 15, 8, 4, 2, 1. Generasi baru agak susah nak ingat nombor ni sebab nombor-nombor ni dah tak terpampang sepanjang masa di depan mata kita. Tak macam kamera manual dulu, nombor-nombor ni kita dapat lihat setiap kali kita pegang kamera sampai kita boleh hafal nombor-nombor ni dalam tempoh yang singkat.

Lihat gambar di bawah, kamera DSLR sekarang cuma memaparkan nilai aperture dan shutter yang kita telah laras saja. Ia tidak tunjukkan semua nombor sekaligus. Tambah mengelirukan, nombor-nombor yang bakal keluar kat LCD monitor tu pulak bukan dalam gandaan 1 stop, tetapi dalam gandaan 1/2 stop atau 1/3 stop. Jadi, lebih banyak nombor yang akan kita nampak setiap kali kita laraskan dial pada kamera. (Kalau anda tak faham apa itu 1/2 stop dan 1/3 stop, anda kena datang kelas AFD! :-) ) Ini membuatkan kita makin keliru dan tidak menggalakkan kita untuk ingat nombor asas dalam gandaan 1 stop seperti yang saya nyatakan di atas.

d300leddisplayslandtingangle.jpg
Sumber gambar - http://www.dpreview.com

Lihat gambar di bawah. Gambar menunjukkan paparan pada kamera manual sebelum kedatangan DSLR. Kita boleh nampak kesemua nombor aperture pada lensa dan semua nombor shutter speed pada dial di atas kamera. Ini memudahkan kita menghafal nombor-nombor penting tersebut. Nombor-nombor ini sangat penting untuk kita hafal bagi memudahkan kita mendapatkan exposure yang tepat. Kalau tanya jurugambar yang belajar fotografi di zaman kamera manual analog, saya pasti mereka memang sangat hafal nombor-nombor ni. Pada zaman tu, tak wujud nombor atau nilai 1/2 stop atau 1/3 stop yang mengelirukan. Tak wujud nombor aperture seperti 6.3, 7.1, 9, 10, 13, 14 dan sebagainya. Juga tidak wujud nombor shutter speed pada gandaan 1/3 stop seperti 20, 25, 40, 50, 80, 100 dan sebagainya.

nikontopviewresized.jpg
Sumber gambar - http://www.mir.com.my. Hakcipta gambar ebay@netropy.com

Sebenarnya, kita cuma perlu ingat nombor-nombor ni dalam gandaan 1 stop. Cuba kita lihat perbezaan nombor pada gandaan 1 stop, 1/2 stop dan 1/3 stop.

NOMBOR APERTURE DALAM GANDAAN 1 STOP:
2.8 - 4 - 5.6 - 8 - 11 - 16 - 22

NOMBOR APERTURE DALAM GANDAAN 1/2 STOP:
2.8 - 3.3 - 4 - 4.8 - 5.6 - 6.7 - 8 - 9.5 - 11 - 13 - 16 - 19 - 22

NOMBOR APERTURE DALAM GANDAAN 1/3 STOP:
2.8 - 3.2 - 3.5 - 4 - 4.5 - 5 - 5.6 - 6.3- 7.1 - 8 - 9 - 10 - 11 - 13 - 14 - 16 - 18 - 20 - 22

Faham maksud saya? Dengan gandaan 1/3 stop, lebih banyak nombor yang akan keluar dan kita akan jadi lebih keliru. Tapi, dengan setting ini, perubahan exposure adalah lebih terperinci. Namun, biasanya, kita tak perlukan perubahan exposure yang begitu terperinci (tak berbaloi dengan pening kepala sebab banyak sangat nombor yang keluar) Jadi, disebabkan perkara ini, ramai peminat baru dalam fotografi ambil jalan mudah, set saja kepada PROGRAM, kamera buat semua kerja. Ramai yang takut nak pakai MANUAL sebab takut tengok nombor dan tak faham nilai nombor yang dipaparkan.

Sebenarnya, merakam gambar dengan kawalan MANUAL, tidak sesukar yang disangka. Ada cara dan tricks yang boleh digunakan. Semuanya akan dijelaskan dalam kelas AFD (Promosi lagi… :-) ) Kenapa kita perlu guna kawalan MANUAL? Sebab, dengan menguasai kawalan MANUAL, kita boleh dapat exposure yang lebih tepat dan cepat dengan kualiti gambar seorang profesional.

Menyedari kepentingan untuk kita kembalikan nombor-nombor ini pada penglihatan kita, fototeacher telah membuat satu design T-shirt dengan paparan semua nombor aperture, shutter dan ISO dalam gandaan 1 stop. Harap kita tak lagi terlupa! T-shirt ni boleh dibeli dari fototeacher dengan harga RM 50.00 sehelai. (Maaf, promosi lagi sekali :-) ) T-shirt dari kain cotton 100% berkualiti tinggi dengan cetakan rubber dye yang tahan lama.

Maaf kalau anda tidak faham apa yang saya tulis. Memang susah nak jelaskan perkara ni dalam bentuk penulisan. Kena datang ke kelas AFD baru mudah faham (Maaf, promosi lagi untuk kali ke-4! :-) )

tshirtfototeacher.jpg
Nombor-nombor aperture, shutter dan ISO dicetak pada T-shirt sebagai salah satu usaha fototeacher mempopularkan kembali NOMBOR-NOMBOR YANG KIAN DILUPAKAN.

Hasnuddin

post E-mel Yang Buat Saya Terharu

January 1st, 2008

Filed under: Personal — hasnuddin @ 11:37 pm

Baru-baru ini saya dapat satu e-mel dari seorang pesera kursus AFD 29-30 Disember 2007. Kandungan e-mel ni membuatkan saya rasa terharu kerana penulisan yang ikhlas dan nilai yang murni dalam diri seorang yang begitu menghargai ilmu fotografi. Kandungan e-mel ini telah saya sunting tanpa menjejaskan maksud asalnya. Antara kandungan e-mel tersebut:

“Alhamdulillah, setelah lebih kurang 10 bulan menunggu untuk hadir kelas AFD ni, dapat jugak saya datang & timba ilmu dari tenaga pengajar yang sangat berpengalaman dan profesional dalam bidang ini. Terima kasih banyak-banyak.

Memang ada jugak yang cakap tak perlu pergi kelas dan bayar mahal-mahal untuk belajar fotografi. Tapi, lepas saya hadiri kelas ni, rasanya memang tak rugi & pelaburan tu sangat berbaloi. Walaupun masih lagi di tahap awal, sekurang-kurangnya saya lebih yakin untuk mengambil gambar dengan kawalan manual. Harap cikgu-cikgu (Encik Din & Encik Kaha) doakanlah saya. Jasa baik cikgu-cikgu melayan karenah kami semua amat-amat dihargai.

Terima kasih jugak kepada Cik Niza yang jaga makan minum dan urusan pentadbiran untuk kami semua. Halalkan makan minum ya. Makanan pun sedap-sedap belaka. Insyaallah kita jumpa lagi nanti untuk kelas lain.”

Disebabkan mesej ini dihantar ke e-mel, saya anggap ianya adalah peribadi. Jadi nama penghantarnya tidak dapat saya siarkan. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada penulisnya. Harap anda dapat manfaatkan ilmu yang dipelajari. Kami akan membantu apa yang terdaya untuk kemajuan ilmu fotografi anda.

Hasnuddin

post GAMBAR PESERTA KURSUS AFD 29-30 DISEMBER 2007

January 1st, 2008

Filed under: Report AFD — hasnuddin @ 11:03 pm

afd29-30dis07resizedforweb.jpg

Para peserta kursus bergambar bersama tenaga pengajar, Hasnuddin dan Kaha. Encik Kaharuddin Samad selaku penceramah jemputan adalah ketua jurugambar untuk Berita Publishing, sebuah syarikat penerbitan yang menerbitkan majalah berkualiti seperti JELITA dan ANJUNG SERI. Terima kasih kepada Encik Kaharuddin Samad dan semua peserta kursus yang ada diantaranya datang dari jauh seperti Terengganu, Langkawi dan Johor.

Untuk muat turun gambar di atas dalam saiz besar, sila ke - http://www.fototeacher.com/afddis07large.JPG

Next Page »
ruldrurd

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

© www.fototeacher.com , Desinged by Stealth Settings , WP Themes
Entries (RSS) and Comments (RSS)