Archive for April, 2007

April 25, 2007 Categorized under Sembang, Tips

Annie Leibovitz – Tak Pandai Bercakap


Annie Leibovitz

Saya amat mengagumi hasil karya Annie Leibovitz sejak awal penglibatan saya dalam fotografi.

Walaupun Annie Leibovitz merupakan seorang jurugambar selebriti yang terkenal, tapi dia mengaku bahawa dia seorang yang pemalu dan tidak pandai bercakap. Dia hanya pandai ‘melihat’. Sungguh menarik…

Ini menunjukkan bahawa, walaupun kita lemah dalam sesuatu perkara, kita tetap boleh berjaya sekiranya kita mempunyai kekuatan dalam perkara lain. Jadi, apa lagi yang menghalang kita semua untuk berjaya sebagai seorang jurugambar?

Sementara itu, saya nak promote sesuatu yang relevan dengan artikel ni:
Photo Talk – Fashion Photography by Bustamam Mokhtar, kini dibuka untuk pendaftaran! Dapatkan diskaun early bird. Maklumat lanjut di http://www.fototeacher.com/fashion.htm

Untuk membaca interview dengan Annie Leibovitz, sila klik di sini.

Hasnuddin


GAMBAR-GAMBAR OLEH ANNIE LEIBOVITZ

Apakah agaknya strategi atau kekuatan yang anda ada untuk jadi seorang jurugambar yang baik? Mari kita kongsi bersama…

April 23, 2007 Categorized under Fikiran

Harga murah untuk kawan-kawan???

Bagi anda yang menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan…

Kita tentu selalu dengar ayat macam ni – “Takkan takde diskaun untuk kawan-kawan?” Ayat ni kita biasa dengar bila ‘kawan’ kita nak guna khidmat kita untuk rakam gambar untuk mereka… Masalahnya di sini:

1) Diskaun ‘harga kawan-kawan’ tu adakalanya tak munasabah. Dahlah mintak diskaun sampai kita hampir rugi, lepas tu nak free gift lagi, lepas tu nak kualiti ngalahkan anak raja… Dan yang paling peritnya, bila time nak bayar, bukan main liat lagi…

2) Kalau kawan yang mintak diskaun tu memang kawan lama dan kawan baik yang dah banyak berjasa, tak apa jugak. Memang dengan rela hati, saya boleh bagi FREE aje. Tapi masalahnya, jenis kawan yang hanya mengaku kawan bila nak guna khidmat kita. Kawan kepada kawan kepada kawan kita pun mengaku jadi kawan kita dan nak mintak diskaun. Teruk la macam ni…

Maaflah, wahai ‘kawan-kawan’, saya terpaksa bercakap yang benar untuk mengubah mentaliti orang kita. Sepatutnya, kalau ada kawan kita buat bisnes, kita bukan mintak harga murah, tapi, lebih baik kalau kita bayar dia harga yang sepatutnya untuk menyokong dan memajukan lagi bisnes kawan kita tu. Kalau asyik bayar murah, macamana orang kita nak maju berniaga?

Ada sorang kawan saya mintak saya shoot gambar kahwin dia. Disebabkan kawan saya ni banyak berjasa dengan saya, maka saya cakap kat dia, saya nak bagi FREE aje. Dia cakap, “Jangan bagi free. Kau charge berapa kau nak charge. Aku takut kalau kau bagi free nanti, aku dapat kualiti macam gambar free!” Saya respek dengan mentaliti dia ni. Dia faham pasal bisnes.

Saya ada sorang makcik yang jual nasi lemak. Dia ni baik hati dan selalu panggil kitaorang datang makan kat rumah dia. Satu hari tu, saya tak ada duit nak makan (ni cerita zaman dulu la ni…) So, saya pun pergi le ke gerai makcik saya ni dengan harapan nak makan nasi lemak free. Bila dah habis makan, makcik saya suruh saya bayar – dia tak bagi kurang satu sen pun! Saya kena bayar macam harga orang lain jugak. Prinsip dia, kalau berniaga kena tegas. Tak kira sedara ke, kawan ke, harga sama. Business is business. Saya belajar sesuatu dari dia…

Macam jugak satu cerita ni, saya pernah nak beli barang dari sorang tauke cina yang agak baik dengan saya. Saya mintak dia bagi diskaun RM 2 dari harga asal. Puas mintak, dia tak bagi jugak sebab tu dah best price katanya. Last sekali dia kata, “Kawan, ni harga sudah spesel, gua tak boleh kasi kurang, nanti gua rugi. Lu bayar ini harga, nanti gua belanja lu minum kopi, itu lain cerita”

So, saya faham, tauke ni ada prinsip. Dia berniaga mesti ada untung. Tapi, kalau di luar bisnes dia, dia boleh ‘rugi’ untuk belanja kawan minum kopi. Macam makcik saya yang jual nasi lemak tu jugak, rajin belanja sedara mara makan kat rumah dia dan selalu bagi hadiah kepada anak-anak buah. Tapi, kalau nak beli barang dengan dia, strictly no diskaun! Again, business is business.

Sekarang ni kalau ada kawan-kawan atau sedara-mara yang tak faham pasal bisnes datang nak mintak khidmat kami, saya dengan baiknya akan menolak dengan berkata, “Maaflah, tak boleh buat job tu, kami dah ada job lain….”

Apa pendapat anda? Mari kita kongsi bersama…

Hasnuddin

April 23, 2007 Categorized under Berita & Pengumuman

KELAS PERCUMA di fototeacher.com

UNTUK PESERTA YANG PERNAH MENYERTAI KURSUS ASAS FOTOGRAFI DIGITAL SAHAJA

Sebagai peserta yang pernah menghadiri Kursus Asas Fotografi Digital, anda layak untuk menghadiri satu sesi Photo Improvement Class secara PERCUMA. Untuk kelas ini, anda perlu bawa 5 gambar anda untuk dibincangkan bersama. Sila burn imej2 tersebut dalam CD.

Selain dari sesi perbincangan gambar, sesi soal jawab juga akan diadakan. Anda boleh bertanya apa saja masalah anda yang berkaitan fotografi.

Kelas akan diadakan pada 28 April 2007 (Sabtu) pada jam 2.00 ptg hingga 6.30 petang di bilik kuliah fototeacher.com, Cheras.

Sekiranya anda ingin dan boleh menyertai program ini, sila sahkan kehadiran anda dengan menghantar e-mel kepada fototeacher@gmail.com. Tuliskan pada tajuk e-mel SAH HADIR PIC. Nyatakan nama, no telefon dan e-mel anda dalam e-mel berkenaan.

Sesi kali ini hanya terhad kepada 15 orang sahaja. Sesi lain akan diumumkan kelak.

Jumpa anda nanti!

Hasnuddin

April 23, 2007 Categorized under Berita & Pengumuman

BERITA TERBARU – TERUS KEPADA ANDA!

Sudahkah anda melanggan newsletter percuma dari fototeacher.com?

Dengan melanggan newsletter kami, anda akan diberitahu secara otomatik melalui e-mel anda jika terdapat sebarang berita terbaru mengenai fototeacher.com. Caranya mudah saja, cuma isikan nama dan e-mel anda pada borang yang disediakan. Cepat, langgani newsletter dari fototeacher.com agar anda tidak ketinggalan. Untuk melanggan, sila klik di sini.

Jangan risau, anda boleh batalkan langganan anda pada bila-bila masa yang anda mahu

Langgan newsletter dari fototeacher.com sekarang!

Hasnuddin

April 22, 2007 Categorized under Tips

Bounce Card Oleh Pakcik Mat Salleh

Untuk jadikan cahaya flash lebih soft, biasanya kita akan bounce cahaya flash tu. Tapi, adakalanya, muka subjek akan jadi agak flat (tak ada kontras dengan background).

Jadi, bermacam-macam jenis gadget dikeluarkan oleh berbagai manufacturer seperti Lumiquest, Gary Fong, DDF dan Sto-Fen untuk mengatasi masalah ini. Gadget ini berharga dalam lingkungan RM 100 ke atas. Saya tak recommend, tapi, anda boleh cuba produk di atas – mungkin sesuai untuk anda…

Saya ada mencuba 2 dari produk di atas (saya tak mahu sebut jenis apa), tapi tak memuaskan hati saya sebab ada beberapa kelemahan. Saya perlukan produk yang fleksibel dan boleh dikendalikan dengan cepat. Jadi, saya berbalik kepada alat asal yang biasa saya gunakan – bounce card yang saya buat sendiri. (Saya akan tunjukkan bounce card saya pada posting akan datang)

Baru-baru ini, saya terjumpa satu laman web yang mengajar anda untuk buat bounce card sendiri. Ianya simple, murah dan yang penting – BERKESAN!

Sila lihat di sini – A Better Bounce Card


Ni pakcik yang tunjuk demo macamana nak buat bounce card sendiri…

Hasnuddin

April 22, 2007 Categorized under Sembang

fototeacher.com tidak diiktiraf???

Kalau anda datang ke program fototeacher.com, kami akan berikan anda sijil penyertaaan sebagai bukti penyertaan anda. Tapi, buat masa ini, sijil kami tidak diiktiraf oleh mana2 badan kerajaan.

Apa yang penting bagi saya adalah ILMU yang diperolehi. Bukan setakat ilmu sahaja, sebenarnya kehandalan jurugambar diukur dari hasil karyanya. Namun, saya faham, adakalanya seseorang itu perlukan SIJIL yang diiktiraf untuk menaikkan kerjayanya. Kami masih dalam proses untuk mendapat pengiktirafan yang sah yang mengambil sedikit masa… Nanti saya akan umumkan.

Buat masa ini, pengiktirafan datang dari peserta yang telah mengikuti program kami. Kebanyakan peserta amat berpuas hati dengan ilmu yang diperolehi. Untuk melihat testimoni para peserta, sila klik disini.

Saya ada diploma fotografi dari UiTM, tapi client2 saya tak pernah pulak mintak tengok diploma saya :-)

Sementara tu, jangan lupa klik fototeacher.com – ada program baru akan datang tak lama lagi. Daftar awal dan dapatkan diskaun istimewa! Sila klik di sini.

April 22, 2007 Categorized under Berita & Pengumuman

TANYA HASNUDDIN

Ada masalah kefahaman fotografi? Sila hantarkan soalan anda kepada fototeacher@gmail.com

Tulis tajuk e-mel sebagai – TANYA HASNUDDIN

Dalam e-mel, sila sertakan:

1) Tulis soalan anda. Soalan yang hendak ditanya mestilah ditulis dengan perkataan yang mudah difahami. Berikan maklumat sokongan yang secukupnya yang berkaitan dengan soalan anda. Sertakan gambar jika perlu.

2) Nyatakan maklumat diri anda:
- Nama
- e-mel
- laman web

Soalan-soalan berikut tidak akan dilayan:

1) Soalan yang sukar difahami atau tidak jelas maksudnya
2) Soalan yang tidak disertakan maklumat yang cukup bagi menjawab soalan tersebut
3) Soalan yang terlalu remeh atau complicated yang sudah terdapat dengan jelas dalam manual book kamera anda
4) Soalan yang terlalu sukar hendak dijawab dalam perkataan

KEUTAMAAN AKAN DIBERIKAN KEPADA PESERTA YANG PERNAH MENGIKUTI PROGRAM fototeacher.com

HANYA 5 SOALAN YANG TERPILIH SAHAJA AKAN DIJAWAB.

Cepat! Hantar soalan anda sekarang!
JANGAN hantar soalan anda dalam ruangan komen di bawah. Hantarkan kepada e-mel fototeacher@gmail.com

April 22, 2007 Categorized under Tips

MIMPI NGERI CF CARDS

Macamana kalau CF card anda hilang?

Kalau CF card yang tak ada data, kira OK lagi… Tapi macamana kalau CF card yang penuh dengan data penting tu hilang? Contohnya gambar majlis besar dengan imej-imej penting di dalamnya. Macamana kalau client telah bayar anda beribu-ribu ringgit untuk merakam gambar majlis tersebut?

CF card hilang tu satu hal. Tapi, andai kata CF card tu tercicir dan ada orang terjumpa, adakah dia akan kembalikan kepada anda? Andai kata orang yang jumpa CF card anda tu baik hati dan nak pulangkan CF card anda, macamana dia nak pulangkan kepada anda kalau dia tak tau CF card tu sape yang punya?

Jadi, oleh sebab itu, pada semua CF card saya, saya tampal label di belakangnya dan ada nombor telefon saya pada label tu. Just in case, kalau tercicir dan orang yang terjumpa CF card tu nak pulangkan kepada saya, dia tahu mana nak cari saya.

Rasa-rasanya, anda perlu tak buat macam saya?

Hasnuddin

null
Label pada belakang CF card saya.

April 20, 2007 Categorized under Tips

Wayar berserabut, otak berserabut

Bila guna kamera digital ni, kita banyak menggunakan equipment yang berwayar – wayar charger bateri kamera, wayar charger bateri rechargeable AA, wayar USB, wayar video output dan sebagainya. Kalau wayar ni tak diuruskan dengan betul, kadang2 tu berserabut kepala kita nak meleraikan wayar yang berserabut tu. Kerja pun boleh jadi lambat.


Ni baru satu wayar. Bayangkan kalau ada 2-3 wayar lain yang bergumpal sekali…

Untuk memastikan equipment berwayar ni semua sentiasa kemas dalam beg kamera saya, saya gunakan velcro strap untuk ikat wayar-wayar ni. Velcro wire strap ni boleh dibeli di ACE HARDWARE. Saya beli ni di ACE HARDWARE Midvalley Megamall.


Velcro wire strap

Bila dah ikat wayar ni elok2 dengan velcro wire strap ni, nampak hensem la sikit… Saya jenis tak boleh tengok barang bersepah dan berserabut. Saya suka semuanya dalam keadaan yang kemas. Disiplin macam ni rasanya penting untuk bekerja dengan lebih efisyen dan lebih profesional.


Nampak lebih kemas?

Apa pendapat anda?

p/s: Semua gambar di atas dirakam menggunakan spot light 20Watt (IKEA) dengan lens Nikkor 50mm f/1.4

Hasnuddin

April 17, 2007 Categorized under Relaks

RAJA DAN JURUGAMBAR

Saya pernah terdengar satu joke ni (yang ada jugak benarnya), tapi tak ingat dari mana saya dapat…

Raja mesti kena ikut arahan 3 orang ini:

  1. TUKANG GUNTING RAMBUT (“Tunduk sikit, sengetkan kepala Tuanku…”)
  2. DOKTOR GIGI (“Bukak mulut sikit Tuanku…”)
  3. JURUGAMBAR (“Tuanku, pusing kepala ke kanan sikit…senyum…”)

Jadi, hebat jugaklah kita sebagai jurugambar nih…

Hasnuddin

April 17, 2007 Categorized under Sembang

SALAH EJA – LENSE

Saya kerap terjumpa dalam forum perkataan yang dieja sebagai LENSE. Perkataan ini merujuk kepada lensa. Setahu saya, ejaan yang betul dalam Bahasa Inggeris adalah LENS (singular) atau LENSES (plural). Dalam bahasa melayu pulak, dieja sebagai LENSA.

Setelah saya menyiasat (macam CSI la pulak), saya terjumpa satu bukti yang agak kuat yang mengatakan ejaan yang betul untuk lensa dalam Bahasa Inggeris adalah LENS walaupun ada beberapa kamus yang mengeja sebagai LENSE. Untuk maklumat lanjut, sila klik - Common Error In English

Hasnuddin

April 17, 2007 Categorized under Review

Kamera Canon G7 saya


Kamera Canon G7 bersama underwater housing WP-DC11 (Photo by Hasnuddin)

Walaupun saya adalah pengguna setia kamera jenama Nikon, tapi saya juga ada sebuah kamera Canon G7. Saya beli kamera ni sebab tak ada kamera brand Nikon yang dapat menyaingi kamera Canon G7 ni (dalam kelas yang sama) pada waktu itu.

Saya beli kamera ni untuk digunakan bagi merakam gambar personal saya. Saya jarang bawak kamera DSLR saya kalau pergi berjalan-jalan sebab saya akan rasa macam sedang bekerja kalau bawak kamera DSLR yang besar dan berat tu. Maklumlah, fotografi ni dah jadi kerjaya saya sejak satu dekad yang lalu. Sekarang ni, saya dah sampai tahap malas nak bawak kamera kalau tidak dibayar.

Kamera Canon G7 ni jugak saya beli bertujuan untuk rakam gambar bawah air semasa scuba diving. Kamera ni ada underwater (UW) housing yang juga dari brand Canon iaitu model WP-DC11. Tapi, setup ni, untuk level beginners saja, sesuai untuk saya yang masih baru dalam scuba diving.

Apa yang saya suka mengenai kamera Canon G7 ni ialah bentuk rekaannya yang cantik. Saya bayangkan kamera ni macam kamera rangefinder Leica M6 (kononnya) yang saya tak mampu nak beli. Lagi satu, kamera ni ada banyak kawalan manual macam kamera DSLR seperti MANUAL EXPOSURE MODE, EXPOSURE COMPENSATION, FLASH COMPENSATION dan MANUAL FOCUS. Dari segi control pulak, memang user friendly sebab button yang penting senang dikendalikan. Kalau ada yang berminat nak beli kamera Canon G7 ni, boleh baca review di: http://www.dpreview.com/review/canong7

Hasnuddin

Dirakam dengan Canon G7 dan underwater housing WP-DC11
Dirakam dengan Canon G7 dan underwater housing WP-DC11 (Photo by Hasnuddin)

April 17, 2007 Categorized under Sembang

Nikon atau Canon?

Ni satu soalan paling popular yang sampai sekarang tak ada jawapannya…

Setiap kamera ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Jadi, pilih kamera berdasarkan ciri yang anda minat pada kamera itu. Contohnya, ada orang pilih Canon sebab noise pada ISO tinggi kurang ketara. Manakala, orang yang pilih Nikon pulak suka Nikon sebab kualiti lensnya yang high contrast. Ada banyak lagi ciri-ciri berbeza setiap brand.

Kalau anda mencari satu kamera yang perfect, memang tak ada kamera yang perfect. Kalau dah susah sangat nak pilih, nasihat saya ialah, pilih kamera berdasarkan rupanya. Kalau rasa kamera Canon nampak lebih hensem pada pandangan mata anda, beli Canon. Kalau rasa kamera Nikon boleh jadikan anda lebih macho, beli Nikon. Habis cerita. Kalau nak dibandingkan dari segi features dan teknologi, panjang cerita…sebab Nikon dan Canon sentiasa berlumba-lumba untuk develop teknologi kecanggihan kamera mereka. Ada masa Canon menang, ada masa Nikon menang.

By the way, saya pengguna setia Nikon sejak tahun 1994… :-)

Hasnuddin Abu Samah

April 17, 2007 Categorized under Report AFD

KURSUS ASAS FOTOGRAFI DIGITAL – sesi kali ini telah selesai…

Alhamdulillah, saya baru saja selesai menjalankan tanggungjawab saya sebagai jurulatih untuk Kursus Asas Fotografi Digital pada hari Ahad lepas. Dari feedback oleh para peserta, rata2 berpuas hati dengan kualiti kursus yang diberikan. Tapi, sudah tentu ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki lagi dan saya berjanji akan memperbaiki kekurangan yang ada.

Saya nak ucapkan tahniah kepada semua peserta yang sanggup melaburkan masa dan wang ringgit untuk menghadiri kursus ini. Terima kasih kerana memberikan kepercayaan dan sokongan kepada saya untuk berkongsi ilmu dengan anda semua.

Saya juga rasa terharu kerana ada yang sanggup datang dari jauh seperti dari Ipoh, Penang, Batu Pahat dan Johor Baharu semata-mata untuk belajar dari saya. Saya tabik kepada semangat anda! Saya juga ingin memberi tabik hormat saya kepada beberapa peserta yang lebih berusia dari saya yang turut hadir untuk belajar…

Seronok dapat berkenalan dengan anda semua dan diharap kita dapat berjumpa lagi!

Hasnuddin Abu Samah
www.fototeacher.com

Untuk mengikuti kursus yang akan datang, sila klik di sini

Saya dan kesemua peserta Kursus Asas Fotografi Digital anjuran fototeacher.com pada 14-15 April 2007
Bergambar dengan kesemua peserta Kursus
Untuk melihat gambar besar atau muat turun gambar di atas, sila klik di sini

Kepada peserta dalam gambar di atas, sila bagitau nama anda dan di mana posisi anda dalam gambar di atas dan sertakan sekali URL online portfolio anda. Sila tulis dalam komen di bawah ya…