January 31, 2012 Categorized under Berita & Pengumuman, Berita / Pengumuman - No Comment

Harga Diskaun untuk Kursus Fotografi Perkahwinan

FOTOTEACHER akan mengadakan Kursus Fotografi Perkahwinan kali yang ke-11 pada 25 Februari 2012 nanti. Rebutlah tawaran istimewa harga diskaun early bird sekiranya anda membuat bayaran sebelum 6 Februari 2012. Anda cuma perlu membayar RM460 sekiranya anda membuat bayara sebelum tarikh yang dinyatakan. Harga biasa kursus ini adalah RM600 seorang. Jadi, jangan berlengah lagi, buat bayaran awal dan jimat sehingga RM150!

Untuk mengetahui faedah-faedah yang akan anda perolehi dari kursus ini, sila layari laman web – http://fototeacher.com/kfp.htm

Untuk pertanyaan, anda juga boleh menghubungi kami di 03-91017155 atau e-mel kepada sales@fototeacher.com

SILA KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT GAMBAR-GAMBAR DAN TESTIMONI PESERTA YANG TELAH MENGIKUTI KURSUS INI.

January 30, 2012 Categorized under Artikel Teknikal, Fikiran - No Comment

Apakah Jenama Kamera yang Terbaik?

Apakah Jenama Kamera yang Terbaik?
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Ini mungkin satu soalan yang paling kerap ditanya oleh peminat fotografi yang baru menceburi bidang ini – “Apakah jenama kamera yang terbaik?” Sebenarnya, tidak ada satu jawapan yang tepat untuk soalan ini – semuanya bergantung kepada keperluan dan citarasa setiap individu. Namun, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu bagi membantu anda mendapatkan jawapan kepada persoalan ini.

Ada banyak jenama kamera di pasaran. Ada sesetengah jenama yang jarang didengari kerana mereka mengeluarkan kamera khas untuk golongan tertentu sahaja. Contohnya, jenama kamera Horseman dan Sinar mengkhusus dalam pembuatan View Camera dan kamera berkualiti tinggi yang hanya digunakan oleh segelintir jurufoto yang mengkhusus dalam bidang tertentu.

Ada pula sesetengah jenama yang lebih dikenali sebagai pengeluar jenis kamera yang tertentu. Contohnya, jenama Leica lebih popular sebagai pengeluar kamera jenis Rangefinder (walaupun Leica turut mengeluarkan kamera compact dan DSLR) Jenama Hasselblad pula lebih dikenali sebagai pengeluar kamera Medium Format yang ulung. Kedua-dua jenama ini menghasilkan kamera berkualiti tinggi dan harga kamera mereka jauh lebih mahal dari kamera DSLR yang biasa kita gunakan.

Jadi, dari segi kualiti gambar, kamera berjenama Hasselblad bolehlah dikatakan sebagai di antara beberapa kamera yang terbaik di dunia. Tetapi, ianya bukan kamera yang sesuai untuk semua orang kerana harganya yang sangat mahal dan kameranya lebih besar dan lebih berat dari kamera DSLR biasa. Walaupun kualitinya baik, tetapi kamera ini tidak semestinya menjadi pilihan terbaik untuk kebanyakan orang.


Kamera medium format jenama Hasselblad (Foto dari Hasselblad)

Untuk kamera jenis DSLR, antara jenama yang popular adalah – Nikon, Canon, Sony, Olympus dan Pentax. Sebenarnya, selain dari kualiti kamera itu sendiri, populariti jenama-jenama ini turut dipengaruhi oleh strategi pemasaran dan penjenamaan yang dibuat oleh mereka di sesuatu negara tertentu. Contohnya, ada sesetengah jenama kamera yang lebih popular di Jepun, tetapi kurang popular di Malaysia. Jenama yang popular tidak semestinya menghasilkan kamera yang terbaik. Namun, secara umumnya, adalah lebih ‘selamat’ untuk memilih kamera dari jenama yang popular dan ramai penggunanya.

Setiap jenama meletakkan harga yang berbeza kepada peralatan mereka berbanding jenama lain. Peralatan yang berkualiti biasanya berharga lebih mahal. Selain dari itu, prestij sesuatu jenama biasanya akan turut mempengaruhi harga produk yang mereka jual.

Selain memberi perhatian kepada kualiti sesuatu kamera, anda juga harus pertimbangkan mengenai kualiti perkhidmatan selepas jualan yang ditawarkan oleh jenama-jenama kamera ini. Adakah mudah untuk memperbaiki kamera yang rosak misalnya? Adakah perkhidmatan yang diberikan cepat dan berharga patut?

Setiap syarikat atau jenama pengeluar kamera mempunyai misi dan visi mereka yang tersendiri. Ada jenama yang lebih maju dari segi teknologi, ada jenama yang lebih mengutamakan kualiti, ada jenama yang lebih cenderung membuat kamera bersaiz kecil dan sebagainya.

Satu lagi perkara penting yang perlu anda ketahui ialah, setiap jenama kamera mempunyai sistemnya yang tersendiri yang tidak sama dengan sistem kamera dari jenama lain. Peralatan seperti kamera, lensa dan flash dari jenama tertentu majoritinya hanya boleh digunakan di kalangan jenama yang sama sahaja. Contohnya, kamera jenama Canon tidak boleh menggunakan lensa dari jenama Nikon (kecuali dengan pengubahsuaian khas) Malah, ada juga peralatan dari jenama yang sama tetapi tidak boleh digunakan untuk model yang berbeza. Jadi, adalah penting untuk anda pastikan setiap peralatan yang akan dibeli boleh digunakan dengan peralatan yang telah sedia ada. Isu keserasian peralatan ini lebih dikenali sebagai compatibility.

Selain dari serasi dengan jenama yang sama, setiap kamera juga boleh berfungsi dengan peralatan dari jenama lain asalkan peralatan tersebut dibuat agar serasi dengannya. Jenama seperti Tokina, Tamron dan Sigma membuat berbagai lensa yang sesuai digunakan oleh kamera dari jenama lain. Syarikat ini dikenali sebagai third party lens maker. Biasanya harga lensa yang dibuat oleh syarikat third party berharga lebih murah dari lensa yang dibuat oleh jenama pembuat kamera yang asal. Cuma pastikan lensa third party yang ingin anda beli boleh digunakan untuk kamera anda.

Selain dari lensa yang dibuat oleh syarikat third party, ada juga syarikat third party yang mengeluarkan flash seperti dari jenama Metz dan Nissin yang serasi digunakan dengan kamera dari jenama Nikon, Canon dan sebagainya.

Sebelum anda membuat keputusan untuk membeli kamera dari jenama tertentu, anda perlu fikirkan betul-betul secara keseluruhan dan mengambil kira penggunaan kamera tersebut dalam jangka masa panjang. Ini kerana, sebaik saja anda telah membeli kamera dari jenama tertentu, anda akan ‘terikat’ di dalam sistem kamera itu sahaja. Setiap lensa, flash dan aksesori yang akan dibeli selepas itu mestilah sesuai untuk jenama yang anda gunakan sahaja.

Dalam jangka masa beberapa tahun, anda akan membeli berbagai lensa dan aksesori dari sistem yang sama. Jika pada satu ketika anda ingin menggunakan kamera dari jenama atau sistem lain, anda perlu menjual kesemua peralatan yang telah anda miliki. Ini akan menyebabkan kerugian dan anda juga terpaksa bermula sekali lagi – membeli lensa-lensa dan aksesori baru untuk jenama kamera yang baru anda beli. Penggunaan lebih dari satu sistem kamera dalam masa yang sama biasanya tidak digalakkan kerana ia melibatkan kos yang lebih tinggi.

Satu lagi perkara penting yang perlu diambil kira sebelum membeli kamera ialah – seeloknya anda membeli kamera yang sama jenama dengan kamera yang rakan anda gunakan. Ini akan memberi banyak kemudahan kepada anda dari segi perkongsian maklumat tentang sistem kamera tersebut. Malah, anda boleh bertukar-tukar lensa dan aksesori dengan rakan anda sekiranya keadaan memerlukan.

Setelah anda membandingkan berbagai jenis kamera, anda mungkin akan berhadapan dengan situasi dimana anda perlu memilih satu diantara dua kamera dari berlainan jenama. Setelah membandingkan spesifikasi kedua-dua kamera tersebut, anda mungkin mendapati keduanya adalah hampir sama. Salah satu penyelesaian untuk masalah ini ialah, pilih saja kamera berdasarkan jenama yang anda minati atau pilih saja kamera yang anda suka berdasarkan rekabentuknya semata-mata. Keputusan di sini adalah lebih kepada citarasa anda terhadap imej luaran yang ditampilkan oleh rekabentuk kamera tersebut. Akhir sekali, faktor ini jugalah yang akan membuatkan anda rasa suka dan bangga dengan kamera anda.

Persoalan mengenai jenama kamera terbaik memang sentiasa diutarakan terutamanya oleh peminat fotografi yang baru menceburkan diri dalam bidang ini. Hakikatnya, setiap jenama mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Pilihan adalah di tangan anda – buatlah keputusan berdasarkan keperluan, bajet dan citarasa anda sendiri. Apa pun jenama yang anda gunakan, kemahiran anda dalam fotografi jugalah yang akhirnya akan menentukan tahap kehebatan anda sebagai seorang jurufoto.

Artikel ini dipetik dari Buku Fotografi saya yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai buku ini, sila layari – http://www.fototeacher.com/bukufotografi.html

HAKCIPTA TERPELIHARA. DILARANG MENGGUNAKAN SEMULA ARTIKEL INI DENGAN APA JUA CARA TANPA KEBENARAN BERTULIS DARI FOTOTEACHER.COM


UNTUK MELIHAT PRODUK-PRODUK YANG DITAWARKAN, SILA KLIK DI SINI

January 20, 2012 Categorized under Berita / Pengumuman - No Comment

Report – Kursus Asas Fotografi Digital 14-15 Januari 2012

Gambar peserta Kursus Asas Fotografi Digital yang telah diadakan pada 14-15 Januari 2012. Kepada peserta yang ingin mendapatkan foto ini dalam saiz besar, sila ke – http://fototeacher.com/GroupPhotoAFD14to15Jan2012Large.jpg

Kepada anda yang berminat untuk menyertai kursus ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di – http://fototeacher.com/basicphotography.htm

Berikut ini adalah beberapa testimoni dari peserta yang hadir pada kursus kali ini:

“Apa yang saya pelajari di sini adalah 10 kali ganda lebih baik dari apa yang saya telah pelajari dari akademi lain sebelum ini”
- Muhammad Alwi

“Dengan ilmu yang dipelajari, saya bertambah yakin dengan dunia fotografi”
- M. Sharihin Ismail

“Kursus ini adalah bagus untuk orang yang baru menggunakan kamera DSLR. Mempunyai tenaga pengajar yang berpengalaman. Syabas untuk Fototeacher”
- Yaki bin Zakaria

“Penyampaian yang baik, berkesan dan mudah difahami”
- Mohd Iswandi bin Jime

“Modul pembelajaran sangat ‘detail’, mudah faham dan senang dipraktikkan”
- Zuraimee Anor

“Dari tidak tahu apa-apa tentang kamera digital, saya telah yakin untuk menggunakan ‘exposure mode manual’ sekarang yang saya rasakan lebih mudah dan efektif daripada ‘exposure mode’ yang lain”
- Mohd Kamal Nizam bin Karim

January 12, 2012 Categorized under Berita / Pengumuman - No Comment

TERBARU: Darkroom Introduction Program

Rasai pengalaman memproses dan mencetak foto secara tradisional di dalam bilik gelap. Anda juga akan diberi pendedahan tentang:
1) Rakaman foto menggunakan kamera analog format 120
2) Cara memproses filem hitam putih secara manual menggunakan bahan kimia fotografi

3) Cara mencetak gambar foto secara tradisional.

Setiap peserta akan diberi peluang mencetak sendiri sekeping foto hitam putih di dalam bilik gelap.

Program ini akan diadakan pada hari Sabtu, 28 Januari 2012 di Cheras, Kuala Lumpur

Untuk maklumat lanjut, sila ke – http://fototeacher.com/dip.html

Untuk pertanyaan, sila hubungi: 03-91017155 atau e-mel kepada sales@fototeacher.com


Sila layari kedai online di –
http://www.shop.fototeacher.com/

GAMBAR-GAMBAR PESERTA DARI PROGRAM LEPAS (DARKROOM INTRODUCTION PROGRAM & BASIC DARKROOM WORKSHOP)

January 9, 2012 Categorized under Berita & Pengumuman, Berita / Pengumuman, Inspirasi & Motivasi, Umum - No Comment

Fotografi Tradisional

Di dalam era digital sekarang ini, masih ada segolongan jurufoto yang masih meminati fotografi yang menggunakan filem. Golongan ini biasanya gemar menggunakan kamera mekanikal yang banyak berfungsi secara manual dimana gambar dirakam menggunakan filem. Filem yang telah didedahkan boleh diproses sendiri dan seterusnya boleh dicetak sendiri di dalam bilik gelap menggunakan bahan kimia dan peralatan-peralatan khas yang lain. Penggiat Lomografi merupakan salah satu golongan yang banyak menggunakan filem.

Peminat fotografi filem memilih media ini kerana ianya dapat memberikan kepuasan yang tersendiri yang tidak boleh didapati dari fotografi digital. Apabila merakam foto dengan filem, kemahiran dan disiplin seseorang jurufoto itu akan lebih teruji. Pengetahuan asas dalam proses ini juga boleh menjadikan seseorang itu lebih memahami dan menghargai fotografi. Bukan bermaksud untuk menolak kemajuan teknologi digital, media filem ini biasanya hanya digunakan untuk tujuan hobi atau sebagai media alternatif di samping fotografi digital.

Menyedari betapa pentingnya untuk memelihara proses ini agar tidak lenyap selamanya, FOTOTEACHER.COM menawarkan penjualan berbagai peralatan dan aksesori yang diperlukan untuk mempraktikkan proses fotografi filem. Produk-produk ini amat sukar didapati sekarang ini, terutamanya di Malaysia.


Kami menawarkan rangkaian produk yang lengkap dari jenama Ilford, meliputi berbagai jenis filem, chemical dan photographic paper. Antara filem yang ditawarkan ialah filem dari format 35mm, 120 dan 4X5 inci. Filem-filem ini juga disediakan dengan berbagai tahap ISO seperti 50, 100, 200, 400 dan 3200. Filem dengan kesan infrared juga ada dijual. Selain dari itu, berbagai jenis chemical juga boleh didapatkan dari kami seperti film developer, paper developer, stop bath, fixer, wetting agent dan hypo.


Kami juga merupakan pengedar tunggal (sole distributor) untuk produk jenama Paterson di Malaysia. Paterson adalah jenama terkemuka dari United Kingdom yang mengeluarkan produk-produk berkualiti seperti enlarger, enlarger timer, darkroom timer, thermometer, beaker, developing tray, negative hanger, paper dryer, changing bag, developing tank, tongs, paper squeegee, easel dan banyak lagi. Selain dari jenama dari Paterson, kami juga menjual produk untuk memproses filem dan produk darkroom dari jenama AP, LPL, Saunders, Raydawn dan Konica.


Sebagai melengkapkan lagi rangkaian produk yang ditawarkan, kami turut menjual kamera filem jenis rangefinder dari jenama Voigtlander bersama berbagai jenis lensanya. Selain dari itu, kami juga ada menjual kamera jenis TLR jenama Seagull dan lain-lain aksesori kamera filem seperti cable release dan filter.


Kami bukan setakat menjual produk, tetapi kami sendiri menggunakan produk yang dijual dan mempraktikkan proses fotografi menggunakan filem. Dari masa ke semasa, kami turut mengadakan bengkel mengenai cara-cara memproses filem dan mencetak foto di dalam bilik gelap.

Untuk membeli produk-produk berkaitan fotografi filem, SILA KLIK DI SINI
Untuk menghadiri bengkel cara memproses filem dan cetakan foto di dalam bilik gelap, SILA KLIK DI SINI

Untuk pertanyaan atau bantuan, sila hubungi kami di 03-91017155/012-6020770 atau e-mel kepada sales@fototeacher.com

Pembelian produk boleh dibuat secara online atau anda boleh datang sendiri ke pejabat kami di:
FOTOTEACHER.COM, C-1-9, Megan Phoenix, Jalan Cheras, 56000 Kuala Lumpur, Malaysia (sila buat temujanji sebelum hadir)
SILA KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT PETA KE PEJABAT KAMI.

January 9, 2012 Categorized under Artikel Kreativiti, Gambar, Personal - 1 Comment

Rakaman Foto di Jepun

Baru-baru ini saya telah mengembara ke negara Jepun dan sempat merakamkan beberapa foto yang saya rasakan menarik. Kesemua foto dirakam menggunakan kamera compact Fujifilm X10.


Bayang dan Garisan
Bayang seseorang yang sedang menaiki tangga keluar dari stesyen keretapi bawah tanah di Tokyo. Saya menunggu agak lama di sini untuk merakam kira-kira 30 keping gambar orang-orang yang lalu di sini bagi mendapatkan sekeping gambar yang terbaik. Saya suka kesan pencahayaan dan bayang-bayang yang dihasilkan.


Basikal dan Teksi
Penunggang basikal dan 2 buah teksi, dirakam di Ueno, Tokyo. Saya rasa, basikal, teksi dan tulisan di atas jalanraya yang kelihatan di dalam gambar ini menggambarkan sedikit sebanyak mengenai Tokyo atau negara Jepun. Saya bermain sedikit dengan komposisi, garisan dan warna untuk merakam gambar ini.


Gelagat Manusia di Stesyen Keretapi
Warga kota Osaka di stesyen keretapi, masing-masing dengan gaya dan karakter tersendiri. Saya memilih gambar ini kerana kita dapat lihat dengan jelas apa yang sedang dilakukan oleh setiap individu di dalam gambar ini. Bagi menumpukan perhatian kepada ragam dan ekspresi subjek-subjek di dalam gambar, saya menjadikan gambar ini dalam bentuk hitam-putih.


Pekerja Keretapi Shinkansen
Seorang petugas keretapi sedang berjalan disamping keretapi Shinkansen (Bullet Train) di stesyen keretapi Hiroshima. Saya rasa, aksi berjalan subjek utama menjadikan gambar ini menarik. Saya menggunakan elemen grafik dalam merakam gambar ini seperti warna, bentuk dan garisan.


Berlari dalam Hujan
Seorang lelaki sedang berlari dalam kesejukan hujan renyai-renyai di waktu senja. Gambar dirakam di sebuah pekan di Niigata. Saya suka pada pantulan cahaya pada jalan basah dan moment di dalam gambar ini.


Kanak-Kanak dan Shinkansen
Seorang kanak-kanak perempuan sedang asyik melihat lokomotif Shinkansen dari jarak dekat yang dipamerkan di Railway Museum, Saitama, Tokyo. Saya suka kesan perbandingan saiz di antara kanak-kanak ini dengan saiz lokomotif.


Basikal di Kyoto
Basikal yang diletakkan di luar kedai di Kyoto. Saya menganggap basikal sebagai salah satu elemen penting dalam menggambarkan bandar di Jepun kerana basikal digunakan secara meluas di sini. Di dalam gambar ini, saya suka kesan cahaya malap dari kedai yang memberikan mood waktu menjelang malam di bandar ini.

Saya ingin mendengar pendapat anda pula! Gambar manakah yang paling anda minat? Sila buat pilihan anda dalam kotak di bawah:

Anda boleh pilih lebih dari satu gambar:
Bayang dan Garisan
Basikal dan Teksi
Gelagat Manusia di Stesyen Keretapi
Pekerja Keretapi Shinkansen
Berlari dalam Hujan
Kanak-Kanak dan Shinkansen
Basikal di Kyoto
pollcode.com free polls
December 28, 2011 Categorized under BLOG ARKIB - No Comment

BLOG ARKIB – Belajar Fotografi dari Ramai Guru

Belajar Fotografi Dari Ramai Guru
Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Belajar Fotografi Dari Ramai Guru”– 22 April 2009)

Kita tidak boleh terlalu taksub dengan seorang guru tertentu dalam mempelajari ilmu fotografi atau ilmu apa sekalipun. Bila saya mengajar fotografi, saya akan ingatkan pelajar saya supaya jangan terima bulat-bulat pendapat dan cara saya. Saya juga selalu ingatkan supaya, selepas belajar dengan saya, belajarlah lagi dengan guru lain. Saya tidak tahu semua perkara dalam dunia fotografi. Tidak ada orang yang pakar dalam semua bidang. Jadi, belajarlah dari ramai guru kerana setiap orang guru mempunyai kepakaran yang tersendiri.

Jika guru lain menyampaikan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang saya ajarkan, janganlah terus membuat tuduhan guru mana yang salah. Sebaliknya, gunakanlah akal fikiran sendiri untuk membuat keputusan, pendapat mana yang lebih sesuai dengan diri kita.

Saya pernah terjumpa seorang jurugambar baru yang terlalu mendewakan gurunya yang seorang itu. Baginya, hanya seorang guru sahaja yang betul. Apa saja pendapat dari guru lain atau orang lain akan ditolak mentah-mentah. Alangkah ruginya jika kita bersikap seperti ini kerana ilmu kita takkan berkembang dan bertambah.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Untuk mengikuti kursus dan bengkel fotografi anjuran fototeacher, sila ke –http://www.fototeacher.com
Untuk mendapat artikel dan informasi percuma dari fototeacher, sila ke –http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

December 21, 2011 Categorized under video - No Comment

Teknik Unik Merakam Foto Architecture

Tonton video ini untuk melihat tutorial cara merakam foto architecture secara multiple exposure dimana setiap dedahan dirakam menggunakan pencahayaan yang berlainan. Hasil kesemua foto ini digabungkan di dalam Adobe Photoshop untuk sentuhan akhir.

December 17, 2011 Categorized under BLOG ARKIB - No Comment

BLOG ARKIB – Potret di Lokasi Luar

BLOG ARKIB – Potret di Lokasi Luar
Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk “Potret di Lokasi Luar”– 7 April 2009)

Gambar ini saya rakam di sebuah sungai di Kuala Selangor. Gambar ini tidaklah sehebat mana. Namun, di sini, saya ingin kongsikan sedikit cerita di sebalik pembikinan gambar ini.

Sebenarnya, saya tidak dapat 100% apa yang saya inginkan dari sesi fotografi ini. Namun, inilah gambar terbaik yang saya terpaksa pilih. Sebenarnya, gambar ini dirakam jauh di tengah sungai. Namun, saya kesal kerana hasil gambar ini tidak menunjukkan sedemikian.

Masalah utama saya di sini ialah arus sungai yang agak deras yang menyebabkan sampan yang dinaiki pasangan ini sering dibawa arus ke tempat yang tidak sepatutnya. Sebenarnya, krew yang terlibat untuk sesi fotografi ini terdiri dari 7 orang. Krew yang terlibat ialah: Saya sebagai jurugambar, seorang koordinator (menyelaras lokasi, makanan, props, tatarias dan sebagainya), seorang pembantu jurugambar, seorang Lighting Man, seorang Assistant Lighting Man, seorang pendayung sampan dan seorang pemandu bot enjin. Kami menggunakan 2 buah sampan dan sebuah bot enjin. Saya memerlukan Lighting Man kerana pada asalnya, saya bercadang untuk merakam gambar menggunakan flash di waktu gelap senja, tapi, arus sungai terlalu deras pada waktu itu, lalu rancangan tersebut dibatalkan.

Sehari sebelum penggambaran, kami terlebih dahulu membuat tinjauan atau recce di sekitar Kuala Selangor. Kami mencari lokasi sungai yang sesuai, jeti, bot untuk disewa dan yang paling penting sekali – sampan tradisional! Setelah puas mencari, kami berjaya juga menjumpai tuan punya sampan yang sudi menyewakan sampannya.  Kemudian, kami mencari beberapa props yang sesuai seperti lampu minyak tanah dan mangkuk tingkat di pekan berhampiran.

Beberapa minggu sebelum itu, saya telah memcari idea konsep penggambaran dan membuat lakaran idea mengenai sesi fotografi ini. Setelah berbincang dengan subjek saya, mereka bersetuju dengan idea tersebut. Kemudian, kami berbincang pula tentang pakaian yang sesuai untuk penggambaran ini.

Kesimpulannya, untuk mendapatkan gambar yang kita inginkan, kadangkala memerlukan perancangan dan persediaan yang  rapi. Untuk tugasan ini, 80% masa terlibat adalah untuk persediaan, cuma 20% masa digunakan untuk penggambaran dan suntingan gambar.

Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Dapatkan berbagai artikel dan tips fotografi – dihantar terus ke e-mel anda. Langgan newsletter percuma dari FOTOTEACHER di – http://fototeacher.com/subscribe.htm

December 12, 2011 Categorized under Tips, video - No Comment

Tips Potret Perkahwinan


Tips yang sungguh menarik mengenai rakaman potret untuk fotografi perkahwinan dikongsikan oleh jurufoto terkenal Bambi Cantrell. Saksikan video ini!

December 1, 2011 Categorized under Berita & Pengumuman, Berita / Pengumuman, Personal, Umum - No Comment

Akan Terbit – Buku Fotografi Bahasa Melayu oleh Hasnuddin Abu Samah

Saya bersama PTS NetMedia sedang mengusahakan projek menerbitkan buku (bukan E-book) mengenai panduan fotografi lengkap dalam Bahasa Melayu. Buku ini didedikasikan khas untuk peminat fotografi di Malaysia – ianya ditulis oleh penulis Malaysia, dalam Bahasa Malaysia dan dihiasi dengan gambar-gambar yang dirakam di seluruh Malaysia. Diharap buku ini dapat menepati keperluan peminat fotografi di negara ini.


Buku panduan fotografi ini akan memuatkan banyak gambar-gambar contoh hasil rakaman penulis dan beberapa jurufoto tanahair yang lain. Selain dari memberi tunjuk ajar, buku ini juga diharap dapat memberikan motivasi kepada peminat fotografi untuk terus mendalami bidang ini.

Buat masa ini, buku ini sedang giat dalam peringkat penulisan dan dijangka akan berada di pasaran pada bulan April 2012.

Sempena pelancarannya nanti, saya akan memberikan tawaran istimewa kepada 100 pembeli pertama yang membeli buku ini secara online. Saya juga akan memberikan beberapa bab percuma dari buku ini (secara online) kepada anda sebelum buku ini diterbitkan.

Untuk maklumat lanjut, sila ke – http://www.fototeacher.com/bukufotografi.html

Yang benar,
Hasnuddin Abu Samah,
Pengarah Urusan/Jurulatih Utama
FOTOTEACHER.COM

December 1, 2011 Categorized under Artikel Kreativiti, Artikel Teknikal, Gambar, Tips - No Comment

Photo Enhancement

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Foto enhancement adalah satu proses dimana sesuatu foto itu dicantikkan lagi dari foto asalnya. Proses ini biasanya dibuat menggunakan perisian Adobe Photoshop. Saya kerap ditanya, adakah foto yang saya rakam ‘dimasukkan’ terlebih dahulu di dalam Photoshop. Jawapan saya – Ya, semua foto yang saya rakam akan saya lakukan enhancement terlebih dahulu menggunakan Adobe Photoshop sebelum sesuatu foto itu ditunjukkan kepada orang lain.

Bagi saya, gambar foto yang tidak dilakukan enhancement adalah gambar foto yang belum siap. Ia boleh diibaratkan seperti sebuah rumah yang telah siap dibina, tetapi tidak dihias. Proses photo enhancement ini bukannya baru. Jurufoto sejak zaman penggunaan kamera analog (kamera menggunakan filem) melakukan enhancement kepada foto yang mereka rakam. Bezanya, pada ketika itu, proses enhancement ini dilakukan di dalam bilik gelap (darkroom) secara manual.

Biasanya, saya akan melakukan enhancement dari segi - cropping, level, color balance, burning dan dodging. Saya bukan pakar dalam penggunaan Photoshop. Tetapi, saya rasa, pengetahuan saya cukup sekadar untuk melakukan enhancement yang asas dan penting. Sememangnya menjadi satu keperluan untuk semua jurufoto untuk mempunyai sekurang-kurangnya ilmu asas mengenai penggunaan Adobe Photoshop.

Untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas, saya tunjukkan contoh foto yang saya rakam dan jenis enhancement yang telah saya lakukan. Foto di bawah ini adalah foto original tanpa dilakukan apa-apa enhancement. Ianya kelihatan biasa sahaja. Tetapi, ciri-ciri penting pada foto mestilah cukup baik seperti subjek yang menarik, komposisi yang baik dan dedahan cahaya yang tidak terlalu teruk.

Seterusnya, saya melakukan cropping pada foto ini, iaitu menjadikannya ke dalam bentuk square format. Ini dilakukan agar subjek utama kelihatan lebih menyerlah di dalam gambar serta menjadikan keseluruhan foto lebih menarik. Saya juga menukarkan foto ini menjadi foto hitam putih agar mata kita lebih tertumpu kepada bentuk dan komposisi subjek, tanpa gangguan dari sebarang warna. Setelah itu, saya mengawal kecerahan foto (level) agar ianya tidak terlalu gelap dan tidak terlalu cerah. Secara tidak langsung, proses ini juga mempengaruhi kawalan kontras pada gambar. Saya melakukan beberapa lagi kawalan terperinci terhadap kecerahan gambar dengan melakukan dodging dan burning. Anda boleh melihat di bahagian mana saya melakukan dodging dan burning ini seperti di dalam gambar di bawah

Proses dodging dan burning ini perlu dilakukan dengan berhati-hati dan memakan sedikit masa. Apa pun yang anda lakukan, jangan lakukan enhancement yang keterlaluan. Kalau boleh, pastikan foto yang dihasilkan masih kelihatan asli tanpa kesan ubahsuai yang berlebihan. Apapun, penilaian terhadap kecantikan sesuatu foto itu tetap menjadi sesuatu yang subjektif. Di bawah ini adalah gambar foto yang telah siap dilakukan enhancement.

PENGUMUMAN:

Sekiranya anda berminat untuk mempelajari cara yang betul menggunakan Adobe Photoshop, anda boleh hadiri bengkel yang dianjurkan oleh FOTOTEACHER.COM. Bengkel ini akan disampaikan oleh jurulatih yang pakar di dalam bidang ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran, SILA KLIK DI SINI

November 21, 2011 Categorized under Report BAP - No Comment

Report – Bengkel Asas Photoshop

Gambar peserta Bengkel Asas Photoshop (BAP) yang telah diadakan pada 8 Oktober 2011 di Fototeacher Training Centre, Cheras Kuala Lumpur. Kepada peserta yang ingin mendapatkan foto ini di dalam saiz besar, sila ke - http://fototeacher.com/GroupPhotoBAP8Okt2011Large.jpg

Kepada anda yang ingin menyertai kursus ini pada masa akan datang, sila dapatkan maklumat lanjut dan buat pendaftaran di - http://fototeacher.com/photoshop.htm
Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-91017155/012-6020770 (waktu pejabat) E-mel: sales@fototeacher.com
Sila layari laman web kami - http://fototeacher.com/index.htm
November 20, 2011 Categorized under BLOG ARKIB - No Comment

BLOG ARKIB – Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?

Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?
Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
(Telah diubahsuai dari entry asal di blog FOTOTEACHER bertajuk
Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?”– 30 Mac 2009)

Kadangkala kita takut melihat ribuan orang yang mendakwa diri mereka sebagai jurufoto. Begitu ramai sekali jurufoto sekarang ini. Mana mungkin kita boleh bersaing dalam keadaan begini? Masih adakah harapan untuk kita  berjaya dalam perniagaan fotografi?

Kita harus melihat fenomena ini dari sudut yang positif. Kebanjiran peminat fotografi di seluruh dunia ketika ini telah membuatkan harga peralatan kamera menjadi jauh lebih murah dari sebelumnya. Ini kerana, produk kamera boleh dikeluarkan secara besar-besaran dan ini telah dapat menurunkan harganya. Proses perkongisan ilmu fotografi juga telah menjadi lebih mudah kerana adanya komuniti yang besar di dalam bidang ini.

Cuma, apa yang tidak menyenangkan ialah, dari sudut perniagaan, nilai upah seseorang jurufoto dikatakan telah menurun. Akibat persaingan yang terlalu sengit, ada segelintir jurufoto memotong harga untuk membolehkan dirinya mendapat sesuatu kerja atau tugasan fotografi. Namun, pada pendapat saya, jurufoto yang memotong harga secara keterlaluan, akan memakan diri sendiri dalam jangka masa panjang.

Jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan anda, anda tidak perlu risau akan kebanjiran peminat fotografi sekarang. Majoriti peminat fotografi hanya menjadikan fotografi sebagai hobi. Peluang perniagaan dalam fotografi masih terbuka luas sebenarnya. Anda cuma perlu kreatif dalam mencari peluang. Masih ada banyak bidang pasaran fotografi yang masih belum diterokai.

Di kalangan jurufoto yang menjadikan fotografi sebagai punca pendapatan pula, bukan semuanya benar-benar serius. Ada yang sekadar cuba-cuba. Ada yang melakukannya secara sambilan untuk tempoh yang singkat sahaja. Untuk menjadi seorang jurufoto profesional bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang kita sangkakan. Merakam gambar untuk wang memerlukan disiplin, kerja kuat, kemahiran tinggi, kecekapan, sanggup menghadapi risiko, mempunyai kekuatan kewangan, sanggup menerima tekanan dari pelanggan dan sebagainya. Hanya yang kuat dan terbaik sahaja yang akan berjaya.

Ya, jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan anda, peluangnya masih ada.

Oleh: Hasnuddin Abu Samah

Untuk mengikuti kursus dan bengkel fotografi anjuran fototeacher, sila ke –http://www.fototeacher.com

Untuk mendapat artikel dan informasi percuma dari fototeacher, sila ke –http://www.fototeacher.com/subscribe.htm

November 11, 2011 Categorized under video - No Comment

Iklan Kamera Panasonic yang Lucu


Iklan yang menarik dan lucu tentang seorang jurufoto yang merakam foto yang cantik, tetapi tidak tahu apa-apa mengenai kawalan teknikal fotografi.